May 18th, 2015

Tidak wajar Tabung Haji diperlekeh, ibadah dipersenda

SEORANG sahabat bukan Islam bertanyakan saya sama ada sudah mengeluarkan wang di dalam Lembaga Tabung Haji (TH). Katanya ramai yang berbuat demikian kerana bimbangkan pelaburan mereka di institusi itu.

Saya menjawabnya dengan menyatakan terima kasih kerana prihatin terhadap pendeposit seperti saya. Walaupun bukan Islam, nampaknya ia mengambil berat& terhadap masalah rakannya sebagai orang Islam. Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga bersuara mengenai TH ini seolah-olah satu penyelewengan besar sedang berlaku di TH. Mungkin disebabkan ia melibatkan orang ramai bukan hanya melibatkan anggota parti politik satu-satu parti. Jika sekadar penyelewengan duit tabung parti politik, mungkin riuhnya tidak sehebat ini. Punca kemarahan hanyalah kerana TH melaburkan wang pendeposit di 1MDB. Sebelum ini pun banyak pelaburan yang dibuat oleh TH tanpa kita ketahui potensi untung rugi pelaburan itu.

Kembali kepada soalan rakan tadi. Saya memberitahunya, tidak akan mengeluarkan wang simpanan itu. Niat saya menyimpan hanyalah untuk menunaikan haji. Saya menyimpan untuk mencukupkan jumlah yang diperlukan. Walaupun menyimpan sejak remaja dan sudah mencukupi, saya tetap membiarkan wang itu kerana me­nunggu giliran yang entah bila akan tiba, entah masih hidup atau sudah meninggalkan dunia ini. Simpanan itu adalah hasil titik peluh saya yang akan membantu ke Mekah dan Madinah bagi menunaikan ibadah haji, Rukun Islam yang ke lima. Bagi saya, tidak perlu mengeluarkan wang simpanan itu kerana niat asal menyimpan adalah bagi membolehkan ke Mekah. Jika ada dividen atau bonus, syukurlah. Pada masa yang sama TH diharap memberikan perkhidmatan haji yang terbaik. Jika mahu mengaut keuntungan yang lebih, eloklah melabur di tempat lain. Ada macam-macam pelaburan yang diperkenalkan oleh pelbagai institusi.


ORANG Melayu dan Islam perlu menyokong institusi ekonomi seperti Tabung Haji dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Dulu waktu membuka akaun TH pada usia muda dengan azam mahu menunaikan haji, saya berpendapat mereka yang membuka akaun awal akan dapat ke Mekah lebih awal selepas jumlah wang mencukupi. Dalam erti kata lain, ikut giliran tahun bermulanya simpanan tetapi sangkaan itu meleset. Ikut pendaftaran. Siapa cepat daftar dia dapat awal. Menyesal dah tak berguna. Bersabar dan berdoalah supaya keajaiban giliran itu tiba lebih awal ak­hirnya. Saya juga menjelaskan kepada rakan itu bahawa konsep simpanan di TH adalah berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah. Ia merupakan konsep simpanan di mana pendeposit menyimpan wangnya dan TH sebagai penjaga bersetuju untuk menjaga wang tersebut. Dalam kontrak ini, pendeposit telah memberi keizinan kepada TH untuk menggunakan/meminjam wang mereka bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya. Kesan daripada kebenaran ini, TH/kerajaan akan menjamin wang yang diletakkan di bawah jagaannya. Dari sudut keuntungan yang diperoleh, ia adalah milik penuh TH.

Oleh itu, keuntungan yang diagihkan adalah menurut budi bicara TH termasuk juga memberi pulangan yang berlainan kepada para pendeposit. Menyelak kembali penubuhan TH ini, Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) ditubuhkan pada tahun 1969 di bawah Akta 8/1969. Sejarah penubuhannya bermula apabila pada Disember 1959, Profesor Diraja Ungku Aziz mengemukakan kertas kerja kepada pihak kerajaan bertajuk Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji. Beliau mengesyorkan penubuhan satu perbadanan untuk mengendalikan urusan orang beragama Islam me­nunaikan haji. Sehubungan itu, satu Jawatankuasa Kebajikan Ekonomi Bakal-Bakal Haji dibentuk.

Hasil perbincangan itu, “Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji” ditubuhkan di bawah Undang-undang bil 34/62 berkuatkuasa pada 1 November 1962 dan dilancarkan pada 30 September 1963. Pada tahun 1969 Perbadanan itu digabungkan dengan Jabatan Hal Ehwal Haji yang beroperasi sejak tahun 1951 bagi mewujudkan LUTH. Lembaga ini diwujudkan bukan sahaja bertujuan mengatasi masalah sosio ekonomi malahan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang membolehkan kaum Muslimin untuk melabur dan menyertai secara berkesan segala aktiviti ekonomi negara. Pada 1 Jun 1995 akta baru Tabung Haji iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dikuatkuasakan yang memansuhkan akta lama dan nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997. Hari ini, banyak negara Islam meminta bantuan dan kepakaran kita bagi menubuhkan institusi yang serupa di negara mereka.

Seperkara lagi, tanggungjawab setiap kakitangan termasuk pengurusan kanan yang mengendalikan TH ini adalah amat besar. Ini soal amanah. Mereka bertanggungjawab menjaga amanah itu dan tidak ‘menzalimi’ pendeposit. Ingatlah pendeposit telah mengamanahkan wang mereka untuk disimpan di TH sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia.(Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. (An-nisa’:58)

Amanah amat penting. Ia juga berkait rapat dengan ganjaran di dunia dan di akhirat. Mereka yang tidak amanah mungkin terlepas di dunia ini tetapi bagaimana di akhirat nanti? Ingatlah bukan mudah menguruskan wang umat Islam untuk tujuan yang baik itu. Sebagai orang Islam, kita harus yakin dengan mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab ini. Tidak dinafikan di mana-mana agensi akan berlaku kepincangan tetapi sama ada ia dalam skala besar atau kecil. Apa yang berlaku baru-baru ini mendapat perhatian banyak pihak kerana kesangsian berhubung urus niaga tanah 1MDB. Akhirnya ada pihak yang mengambil kesempatan menggesa pendeposit mengeluarkan wang mereka. Tidak pasti sejauh mana reaksi orang ramai berhubung gesaan itu. Adakah wang di TH sudah merosot? Itu hak pen­yimpan untuk menentukannya tetapi berfikirlah secara rasional. Bagi yang sudah menunaikan haji mungkin boleh mengeluarkan wang mereka tetapi persoalannya ke mana mahu dilaburkan? Bagaimana pula yang belum mendapat giliran? Adakah mereka mengambil tindakan yang sama? Jangan jadi seperti marahkan nyamuk kelambu dibakar. Duit diambil tetapi habis sebelum sempat dipindahkan ke tempat lain. Bagi warga Lembah Kelang terutama di ibu negara, amat mudah untuk mengeluarkan wang di TH dan kemudian singgah di ibu pejabat Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang terletak bersebelahan.

Eloklah bagi yang merajuk de­ngan TH ‘berhijrah’ ke PNB supaya pegangan ekuiti orang Melayu tidak terancam akibat isu ini. Kita bimbang ada pihak tertentu yang me­rancang untuk meruntuhkan pegangan ekonomi orang Melayu dalam institusi seperti TH ini. Sebelum ini PNB juga ‘diserang’ dengan pelbagai kenyataan yang mempertikaikan pelaburan oleh agensi itu. Isu berkaitan berjaya diselesaikan dengan baik dan kembali meyakinkan pelabur. Bagi mereka yang tidak yakin dengan TH tidak perlulah mengajak orang lain ‘menyerbu’ TH. Amat malang apabila terdapat desakan dalam media sosial supaya pendeposit mengeluarkan simpanan mereka. Kenapa perlu dikeluarkan? Bagi pendeposit yang menyimpan jutaan ringgit mungkin ada kebimbangan tetapi bagi pendeposit yang hanya ada simpanan sekadar mampu menunaikan haji, eloklah berfikir dua kali. Rasanya pendeposit kecil ini tidak akan hilang simpanan mereka berdasarkan nilai pelaburan yang dimiliki oleh TH ketika ini.

Bagi TH pula, mereka perlu mengambil langkah proaktif membetulkan sebarang kepincangan di dalam pentadbiran dan penguru­sannya. TH perlu melakukan se­suatu bagi memulihkan keyakinan pendeposit dan ‘mematikan’ ke­re­­sahan mereka. Jangan biarkan mereka ‘memberontak’ sehingga menimbulkan masalah lain termasuk mengambil tindakan drastik secara kolektif terhadap institusi kewangan Islam itu. Amat malang ada yang marah sehingga sanggup memperkecil atau memperlekehkan ibadah haji. Kawal sikit kemarahan itu. Salah satu post yang disebarkan ialah mengajak mereka yang tidak dapat menunaikan ibadah haji de­ngan ‘melontar batu’ di bangunan TH bagi menghalau setan di sana.

Bukankah giliran menunaikan haji mengikut kuota yang diluluskan? Satu lagi post ialah memendekkan kerja haji tanpa kerja melontar batu. Lontar batu boleh dibuat sekembalinya ke tanah air dengan bertempat di bangunan TH. Tapi ingatannya jangan baling lebih-lebih sebab ada juga yang baik-baik di situ. Persoalannya adakah merosakkan bangunan TH sesuatu tindakan yang diharuskan? Sebagai orang Islam, adakah gurauan dalam kemarahan berkaitan ibadat ini wajar?

Jangan biarkan teknologi hancurkan manusia

TEKNOLOGI adalah apa sahaja yang boleh membantu, memperkuat dan memperkembangkan deria manusia. Contohnya mikrofon menguatkan dan memanjangkan suara manusia, cermin mata membantu penglihatan, roda dan kereta memudahkan perjalanan dan lain-lain. Teknologi boleh saja berbentuk alat atau idea, satu sistem mahupun mekanisme melaksanakan atau memenuhi sesuatu tugasan atau keperluan.

Pun begitu, mutakhir ini begitu kerap kita mendapat berita tentang jenayah yang kalau diperhalusi dibantu oleh teknologi yang canggih dan terkini.

Satu kes yang boleh dijadikan contoh adalah yang melibatkan anak muda rakyat negara ini yang luar biasa kelebihannya dalam bidang yang dianggap sukar dikuasai iaitu Matematik. Atas sebab-sebab yang mungkin (menurut pakar psikologi) melibatkan pengalaman penderaan seksual zaman kanak-kanaknya, anak muda yang penuh potensi ini terdorong atau ketagih untuk menggunakan teknologi ICT untuk menyimpan, mengumpul bahan-bahan lucah (gambar dan video misalnya) dalam jumlah yang tidak kurang daripada 30,000 banyaknya.

Darjah kelucahan bahan-bahan ini menurut polis di London di mana anak muda itu ditahan adalah yang amat teruk yang dikategorikan sebagai ‘gred A’. Kemudian kita mendengar pula nasib malang dua kanak-kanak perempuan (7 dan 3 tahun) yang telah kehilangan ibu bapa dan adik perempuan mereka akibat dilanggar oleh kereta (teknologi) berkuasa rendah (dan dengan itu ringan dan mudah tidak stabil apabila dipandu laju) dengan kelajuan yang setara dengan kelajuan perlumbaan di Litar F1 misalnya.

Kita juga baru-baru ini turut membaca mengenai dua pelajar sekolah tingkatan 2 di sebuah sekolah yang ternama di Melaka menggunakan teknologi telefon bimbit untuk merakamkan aktiviti penggunaan tandas oleh beberapa orang guru (perempuan).

Satu pengajaran yang boleh kita simpulkan daripada contoh-contoh yang diberi ini ialah memanfaatkan teknologi adalah nikmat Allah kepada manusia dan satu perkara yang menuntut penggunanya mempunyai disiplin dan ilmu. Ilmu melibatkan pemahaman tentang kesan penyalahgunaan teknologi itu kepada manusia sementara disiplin memerlukan kita menahan nafsu apabila menggunakan teknologi.

Semakin canggih teknologi, semakin besar risiko atau bahayanya jika disalahgunakan. Kajian sains tentang berbagai penyalahgunaan teknologi misalnya memberitahu ada kesan buruk dan merosakkan apabila teknologi digunakan untuk memberi “kepuasan” semata-mata kepada manusia.

Misalnya, teknologi kereta, memandu laju ‘memberikan’ kepada ‘penggemar’ kelajuan, rasa ‘keterujaan’ dan ‘rangsangan’ yang tinggi. Hakikatnya dari segi fizikal dan emosi perlakuan pemanduan laju itu sendiri adalah sesuatu yang ‘berbahaya’. ‘Bahaya’ mencetuskan hormon adrenalin dalam badan yang meningkatkan aktiviti jantung, paru-paru dan otot. Ini bermakna fungsi lain seperti pencernaan makanan, sistem reproduktif dan aktiviti-aktiviti otak yang mengawal mood, motivasi dan ketakutan akan terganggu.

Sekiranya kerap badan dirangsang secara tiruan begini kesan buruknya termasuklah sakit jantung, kerosakan sistem memori dan konsentrasi, masalah berat badan, kemurungan dan lain-lain masalah serius. Sistem ‘flight or fight’ melibatkan hormon adrenalin ini adalah satu mekanisme yang fitrah/tabii manusia mempertahankan diri yang dijadikan oleh Allah dalam diri manusia apabila diancam bahaya.

Sekiranya disalahgunakan maka kerosakan akan berlaku. Inilah dosa yang berasal daripada perkataan Sanskrit ‘dhosa’, yang bermaksud kezaliman, kehancuran, kerosakan akibat manusia melanggar peraturan dan undang-undang.

Ada yang mengatakan undang-undang jalan raya (seperti mematuhi had laju) tidak ada dalam al-Quran. Benar tetapi al-Quran dan Hadis membuahkan prinsip Maqasid Syariah iaitu syariah (bersumberkan al-Quran dan Hadis) bertujuan memelihara iman, nyawa, harta, keturunan dan akal. Dengan sengaja memandu laju khususnya di jalan logik/akal yang juga telah dibekalkan Allah kepada manusia, memberitahu kita bahawa hampir kesemua prinsip maqasid ini telah pun kita langgar. - Dr Azizan Baharuddin Utusan Malaysia Rencana 18 Mei 2015