May 21st, 2015

Amalan doa dalam mentarbiah anak

MELAHIRKAN anak yang bijak dan salih adalah impian setiap ibu bapa tanpa mengira latar sosial, ekonomi atau pendidikan. Namun, kegagalan ibu bapa melahirkan anak impian mereka mungkin kerana salah faham terhadap masa usaha itu bermula.

Kebanyakannya hanya memulakan pendidikan apabila anak sudah mula bertutur sekitar usia dua hingga empat tahun. Terdapat juga yang langsung mengabaikan aspek pendidikan dan hanya menumpukan kepada keperluan jasmani.

Ibu bapa mahu anak pintar

Besarnya dorongan ibu bapa untuk mendapat anak pintar terbukti apabila semakin ramai yang sanggup berhabis wang ringgit menghantar anak ke sekolah swasta yang jauh lebih tinggi kos persekolahannya.

Prasekolah pula tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dengan menawarkan pelbagai teknik melahirkan pelajar cemerlang. Kegigihan ibu bapa dalam pendidikan anak seperti ini wajar dipuji dan digalakkan.

Namun, keghairahan inginkan anak pandai dengan pelbagai kaedah dan teori itu tidak mungkin sempurna tanpa memegang kukuh ikatan kepada Allah SWT.



PENDIDIKAN prasekolah antara cara ibu bapa bentuk anak berilmu. - Foto hiasan

Berdoa kepada Allah SWT adalah medium paling utuh dalam pendidikan anak. Tambahan pula doa ibu bapa untuk anak antara doa yang mudah diterima Allah SWT. Menariknya, doa untuk kesejahteraan anak tidak bermula apabila telah mendapat anak atau selepas berkahwin.

Doa seperti itu boleh dilakukan ketika seseorang belum berkahwin. Permulaan tarbiah anak tidak juga bermula saat mereka berada dalam rahim ibu atau ketika hubungan kelamin dilakukan.

Rasulullah SAW menganjurkan supaya berdoa untuk kesejahteraan anak walau pun orang tua mereka belum berkahwin, masih bujang atau remaja.

Ketika Rasulullah SAW diusir oleh orang Thaif yang menolak seruan dakwahnya, malaikat menawarkan kepadanya untuk membalas tindakan kasar penduduk untuk menghempap mereka dengan dua bukit Akhbasy (dua bukit di Makkah).

Rasulullah SAW dengan lembut menolaknya, malah mendoakan dengan penuh sikap penyayang supaya zuriat penduduk Thaif akan beriman.

Doa Baginda - "Saya mendoakan semoga Allah mengeluarkan dari tulang sulbi mereka hamba yang menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukannya."

Lalu Allah memperkenankan doa Baginda dan menjadikan anak yang lahir daripada penduduk Thaif pada masa itu beriman serta menerima Islam. Berdoa dan memohon kepada Allah SWT memperoleh zuriat salih adalah wasilah paling mudah untuk dilakukan.

Sebaliknya, mereka yang enggan berdoa adalah selemah-lemah manusia. Sabda Baginda, seperti dilaporkan oleh at-Thobrani - "Manusia paling lemah adalah mereka yang lemah daripada berdoa."

Ulama dan orang salih mengamalkan doa supaya Allah SWT mengurniakan zuriat yang salih serta patuh kepada-Nya.

Salah seorang ulama Nusantara yang bertanggung jawab membawa Islam di Tanah Melayu, Syeikh Irsyad al-Banjari, juga mengamalkan doa dalam mentarbiahkan anak.

Dikatakan bahawa beliau pernah berdoa supaya Allah menjadikan setiap generasi zuriatnya akan ada sekurang-kurangnya seorang yang menjadi ulama. Doanya termakbul sehingga sekarang.

Doa kurnia zuriat salih

Rasul yang juga manusia terpilih dan murabbi umat menggunakan doa kepada Allah SWT bagi mendapatkan zuriat yang salih.

Nabi Ibrahim berdoa, "Wahai Tuhanku! Kurniakan kepadaku zuriat yang salih." (Surah as-Shaafaat, ayat 100) Nabi Zakaria juga mendoakan zuriat yang salih seperti doanya yang diabadikan dalam surah Ali Imran, ayat ke-38 - "Wahai Tuhanku! Anugerahkan kepadaku dari sisi-Mu zuriat yang baik. Sesungguhnya, Engkau adalah yang Maha Mendengar doa."

Jika Rasul yang diangkat darjat mereka oleh Allah SWT melebihi manusia lain dari segi ketaatan kepada Pencipta, memerlukan doa sebagai satu seni tarbiah zuriat mereka, bagaimana dengan kita sebagai ibu bapa biasa yang tiada apa-apa.

Syaitan boleh mengganggu siapa sahaja sama ada orang dewasa atau pun kanak-kanak. Disunatkan berdoa memohon Allah SWT memberikan perlindungan kepada anak.

Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW pernah memohon perlindungan Allah SWT bagi cucunya, al-Hasan dan al-Husain.

Doa Baginda - "Sesungguhnya ayah kamu pernah memohon perlindungan daripadanya (syaitan) dengan Ismail dan Ishaq. Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna daripada setiap syaitan, binatang berbisa dan pandangan mata jahat." (Riwayat al-Bukhari)

Ini adalah sunah Rasulullah SAW dan Rasul sebelum ini yang menjadi murabbi serta ikutan. Sebagai ibu bapa, kita mungkin mampu menghindari sebarang bahaya kepada anak yang dikasihi tetapi gangguan daripada syaitan tidak mungkin dapat dihindari melainkan memohonnya daripada Allah SWT.

Jangan membataskan permintaan untuk anak kepada Allah SWT seperti meminta keselamatan di akhirat semata-mata.

Sebaliknya, ibu bapa perlu mendoakan kesejahteraan anak di akhirat dan dunia. Mohon ditambah ilmu, rezeki dan kesejahteraan mereka di dunia.

Sangat malang bagi ibu bapa yang mendoakan keselamatan anak, tetapi apabila dalam keadaan marah, mereka memaki hamun dan mendoakan kecelakaan anak.

Bagaimana jika kata-kata itu dimakbulkan Allah SWT. Rasulullah SAW mencegah ibu bapa mendoakan kecelakaan anak walaupun ketika marah.
Berita Harian Rencana Agama 21 Mei 2015

Sihir boleh dibuktikan

SEJARAH peradaban manusia membuktikan bahawa amalan sihir adalah suatu yang berbahaya dan mendatangkan mudarat, sekali gus amat dibenci. Apa tidaknya, ia membawa kepada sifat tamak dan sombong individu yang terlibat dengan ilmu hitam itu.

Menggabungkan empat bidang kepakaran, iaitu perubatan moden, psikiatri, perubatan Islam dan forensik

PENGUMPULAN bukti bahan sihir menjadi antara elemen yang boleh membawa penyihir dan pengupahnya ke tali gantung. - GAMBAR HIASAN- Gambar IHSAN UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG

Kebencian itu dizahirkan melalui kewujudan pelbagai tindakan berupa hukuman yang dikenakan ke atas pengamal ilmu hitam tersebut dan juga kalangan yang mengupah tukang sihir itu sendiri.

Islam melarang keras umatnya terlibat dalam sihir. Bukan hanya kerana boleh mendatangkan kemudaratan, bahkan ia mendekatkan diri kepada amalan mensyirikkan Allah SWT, yang terang-terangan satu perbuatan dosa besar.

Ada ulama Islam menyatakan bahawa tukang sihir atau dukun adalah syaitan dalam kalangan manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud: ...mereka membelakangkan kitab Allah dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibaca oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, pada hal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir dengan amalan sihirnya; kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir. (al-Baqarah: 102)

Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mahyuddin Ismail memberitahu bahawa usaha mengkanunkan hukuman untuk ahli sihir telah wujud sejak kewujudan manusia lagi.

Berdasarkan kenyataan sarjana Barat iaitu semasa zaman Mesopotamia sudah ada satu peruntukan khas berkenaan cara untuk mengadili ahli sihir.

“Pada Zaman pemerintahan Julius Ceasar di Rom telah mengkanunkan hukuman untuk ahli sihir, iaitu dibakar hidup-hidup.

“Semasa pemerintahan Dinasti Yuan di China, ahli sihir dihukum dengan dikelar hidup-hidup.

“Sementara itu, pada zaman tamadun Islam, semasa pemerintahan, Saidina Umar Al-Khatab telah diriwayatkan ada tiga ahli sihir yang telah dipancung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Dialog Perundangan Berkaitan Amalan Sihir di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, baru-baru ini.


UJIAN DNA mampu mengesan tukang dan pengupah ahli sihir. - Gambar hiasan

Dialog setengah hari anjuran UMP dan melibatkan sembilan ahli panel yang merangkumi bidang keilmuan yang berkaitan.

Era zaman moden, beberapa negara seperti Australia, China, Afrika, India, Arab Saudi dan Brunei turut mengkanunkan undang-undang bagi membendung amalan sihir.

Di Malaysia, sudah ada 13 kes dibicarakan di mahkamah sivil dan tiga kes di mahkamah syariah yang secara terang-terangan mempunyai kaitan dengan ilmu sihir.

Bukan hanya mengkanunkan hukuman, Dr. Mahyuddin memberitahu, aktiviti memburu ahli sihir begitu berleluasa, khususnya semasa zaman kelam Eropah.

“Memang aktiviti memburu ahli sihir sangat berleluasa kerana pada masa itu, amalan sihir semakin merebak dalam masyarakat dan pemerintah masa itu. Maka usaha memerangi amalan sihir telah dilakukan dengan mendapat kerjasama pihak gereja,” katanya.

Justeru, Dr. Mahyuddin percaya gerakan membendung amalan sihir itu bukan hanya mewujudkan undang-undang tetapi juga aspek pembuktian terhadap individu yang terlibat.

Apa tidaknya, kemajuan sains dan teknologi pada hari ini, telah menjadikan aspek pembuktian bukan lagi sesuatu yang sukar, berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Dengan menggunakan empat bidang kepakaran iaitu perubatan moden, psikiatri, perubatan Islam dan forensik sesuatu yang sukar dibuktikan sebelum ini, boleh dijadikan sesuatu yang lebih berbentuk fizikal untuk tujuan pembuktian,” katanya.

Keberkesanan 
sains forensik

Bekas Ketua Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan mengakui bahawa menjadikan amalan sihir sebagai salah satu elemen jenayah di negara ini bukan satu perkara yang mustahil.

Beliau percaya, dengan bantuan ilmu sains forensik yang digunakan dalam membuktikan berlakunya kegiatan jenayah, boleh membawa ahli sihir dan individu yang mengupahnya ke muka pengadilan.

Lagipun tambahnya, matlamat sains forensik untuk menegak keadilan bukan hanya kepada mangsa tetapi suspek yang dituduh.

“Bagi saya, sama ada aspek pembuktian kes pendakwaan di mahkamah sivil atau syariah adalah sama dan cuma apa yang berlaku hari ini, jabatan agama Islam negeri tidak didedahkan dengan sains 
forensik.

“Pihak syariah tidak dapat membuktikan sesuatu jenayah sihir kerana tiada analisis terhadap bahan-bahan bukti yang dirampas daripada pengamal sihir dan dari tempat kejadian,” katanya pada dialog itu.


BUKTI... Amidon Anan menunjukkan kaedah pembuktian bahan sihir. -

Malahan kata Amidon, kesukaran untuk menyatakan tentang kejituan perbuatan sihir kerana selama ini tidak ada pihak yang pernah menjalankan pemeriksaan terhadap bahan bukti amalan itu.

“Kita belum cuba secara menyeluruh tetapi tidak menjadi masalah kalau hendak dilakukan,” katanya.

Sejajar dengan keyakinan tersebut, Amidon berkongsi pengalaman dengan para peserta dialog itu tentang bagaimana kaedah sains forensik mampu mengesan tukang sihir (penyihir) dan juga individu yang mengupah.

Beliau menunjukkan bagaimana elemen DNA (asid deoksiribonukleik) yang ada pada bahan sihir dan juga lokasi sihir tersebut berlaku itu boleh mengaitkannya dengan penyihir dan individu yang mengupah.

Elemen peluh, rambut, cap jari dan air liur adalah antara unsur yang boleh ditemui di tempat kejadian dan alat-alat sihir.

“DNA ini milik Allah SWT kerana Dia yang menciptakan manusia dan sudah pasti, setiap manusia ada DNA masing-masing.

“Cuma apa yang perlu kita lakukan adalah memastikan pengurusan bahan bukti itu mengikut prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya.

Konflik pertindihan bidang kuasa

KONFLIK pertindanan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah sering mendapat perhatian media. Ia adalah merupakan dilema yang dihadapi dalam hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia.

Dalam konteks Malaysia, ia diburukkan lagi dengan sentimen agama dan perkauman ini disulami dengan emosi dan sikap berprasangka antara satu sama lain. Jalan penyelesaian dikatakan gagal digapai walaupun negara telah mencapai kemerdekaan lebih 52 tahun.

Isu satu pihak beragama Islam dan sepihak lagi tidak beragama Islam perlu ditangani dalam kerangka atau skima Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia. Malah sejarah juga perlu ditelusuri bagi mencari kaedah terbaik penyelesaian kemelut ini.

Pada masa ini, mahkamah sivil dalam hal pembubaran perkahwinan telah menutup pintu mereka kepada penganut Islam, manakala mahkamah syariah pula menutup pintu mereka kepada orang bukan Islam.

Hal yang demikian terpaksa dilakukan oleh kedua-dua mahkamah akibat daripada peruntukan undang-undang yang ada. Bahkan, ia bukan sahaja berlaku dalam hal ehwal kekeluargaan, malah dalam hal-hal lain yang memerlukan determination of Islamic laws atau pertimbangan hukum syarak (sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan) juga telah dimonopoli oleh mahkamah sivil atas alasan antara lainnya, kerana ia melibatkan orang bukan Islam seperti di dalam kes-kes perbankan Islam.


KEDUDUKAN istimewa Islam di negara ini haruslah diterima oleh setiap rakyat, berdasarkan kontrak sosial yang telah dipersetujui. - Gambar hiasan

Maka wujudlah penghakiman-penghakiman yang tersasar daripada landasan Hukum Syarak kerana hakim sivil yang mengadilinya tidak semuanya dilatih di dalam Undang-undang Islam, malah alat yang digunakan untuk mengadilinya pula seperti undang-undang keterangan dan undang-undang prosedur juga adakalanya tidak Islamik.

Begitu juga sifat hakim mahkamah sivil yang lebih kepada sistem adverseri berbanding sistem Islam yang melaksanakan inkuisitori juga memberi impak kepada penghakiman yang dibuat.

Sebagaimana kita sedia maklum, semua enakmen negeri-negeri melibatkan Undang-undang Islam dalam negara meletakkan peruntukan bahawa mahkamah syariah berkuasa mendengar dan memutuskan perkara di mana kedua-dua pihak mestilah beragama Islam.

Penulis berpendapat bahawa sudah sampai masanya, peruntukan ini diubah demi menjaga kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Malah Butiran 1 kepada Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipinda bagi maksud ini. Begitu juga mana-mana undang-undang lain yang menyanggah orang bukan Islam daripada diadili di mahkamah syariah perlu dimansuhkan.

Semestinya mahkamah syariah sebagai mahkamah yang memperjuangkan keadilan dan mempertahankan kedudukan Islam boleh mendengar daripada mana-mana pihak, sama ada orang tersebut beragama Islam atau pun tidak.

Mengecilkan skop keadilan hanya kepada pihak beragama Islam sebenarnya bertentangan dengan prinsip keadilan Islam itu sendiri. Sejarah perundangan Islam sendiri telah membuktikan penghakiman mahkamah syariah tidak semestinya memihak kepada orang Islam.

Banyak kes telah dilaporkan, mahkamah Islam memberi penghakiman kepada orang bukan Islam, malah pemimpin Islam juga pernah dikalahkan oleh rakyat biasa bukan beragama Islam di mahkamah Islam. Ini adalah manifestasi kebebasan mahkamah Islam dan keadilannya melampaui batasan agama.

Begitu pun, orang bukan Islam tidak perlulah gusar, kerana hal ini tidaklah bertujuan untuk mengislamkan orang bukan Islam. Hanya dalam perkara-perkara tertentu, seperti yang melibatkan orang Islam dan hukum syarak, permasalahan ini perlu ditadbir di mahkamah syariah.

Penulis berpendapat sudah sampai masanya pelbagai pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri dan majlis agama negeri, sama-sama membawa kedudukan Islam seperti yang tercatat di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan dengan meminda peruntukan yang sesuai dan memartabatkan kedudukan Islam kepada seluruh masyarakat supaya ia dapat difahami, di samping tidak merendahkan hak orang bukan Islam di mahkamah syariah dalam kes-kes di mana terdapat pertindanan bidang kuasa.

Sikap prejudis

Seringkali apabila isu berkaitan pemelukan Islam oleh seorang mualaf (khususnya apabila suami yang memeluk Islam) dikupas, pelbagai pihak membuat andaian dan memberi pelbagai pandangan negatif.

Antaranya dikatakan orang mualaf tersebut memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan orang Islam, ingin lari daripada tanggungjawab terhadap isteri dan keluarga, ingin memutuskan hubungan kekeluargaan dan pelbagai kata-kata nista yang memandang sinis sehingga boleh memalukan mualaf tersebut.

Sikap prejudis inilah yang dicanang dan merendahkan martabat mualaf sedangkan menurut Undang-undang Islam, mualaf menikmati jaminan dan keistimewaan sama seperti orang yang lahir Islam.

Malahan dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan juga menjamin hak mualaf mengamalkan agamanya.

Dalam hal penjagaan anak pula sering rujukan dibuat pada Seksyen 5 Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 yang memperuntukkan persamaan hak ibu bapa ke atas anak mereka.

Namun mereka lupa dalam Seksyen 1(3)(b) akta tersebut menyebut secara jelas larangan penggunaan akta itu kepada orang yang memeluk agama Islam. Jadi apabila anak tersebut telah diiktiraf sebagai Islam, maka perkara yang menjadi subjek iaitu anak-anak yang telah memeluk Islam juga dianggap terkeluar daripada naungan akta tersebut.

Oleh yang demikian, penulis berpandangan penyelesaian konflik ini ialah dengan membuka ruang kepada orang bukan Islam di mahkamah syariah. Mana-mana undang-undang yang menjadi halangan perlulah dipinda bagi merealisasikan maksud ini. Ia juga selaras dengan usaha kerajaan memartabatkan kedudukan Islam sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Pihak bukan Islam pula perlu faham tindakan ini tidak sekali-kali merupakan cubaan untuk mengislamkan mereka. Ia hanyalah sekadar memberi efek kepada perisytiharan yang dibuat di dalam Perkara 3(1) di atas.

Malah kedudukan istimewa Islam di negara ini haruslah diterima oleh setiap rakyat, berdasarkan kontrak sosial yang telah dipersetujui. Namun orang bukan Islam bebas menganut dan mengamalkan agama mereka dalam aman dan damai.

Kedudukan gender dalam berzakat

SAYA ingin bertanya sesuatu yang mungkin agak pelik. Antara orang lelaki dan wanita, yang manakah lebih diberati untuk mengeluarkan zakat? Mungkin soalan ini tidak pernah ditanya orang, namun saya ingin mengetahui jawapannya. Terima kasih.

JAWAPAN: Segala pujian hanya bagi Allah SWT. Sesungguhnya soalan yang tuan kemukakan ini, memang jarang-jarang dikemukakan orang. Malah, rasanya ramai orang merasakan ia tidak ada bezanya, antara kaum lelaki dan kaum wanita dalam menunaikan kewajipan harta mereka.

Terlebih dahulu izinkan saya memetik sebuah firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat:13)

Jika melengkapi segala syarat, maka wajib berzakat tidak kira jantina


SEDEKAH adalah salah satu cara untuk memperoleh pahala yang berpanjangan. - GAMBAR HIASAN

Itulah asas penciptaan lelaki dan wanita, iaitu untuk saling li ta’arafu ataupun berkenal-kenalan. Di penghujungnya, Allah SWT meletakkan gred atau kedudukan, bukanlah kerana jantina yang berbeza; tetapi atas dasar iman dan takwa.

Begitu pun, apabila Allah SWT menjadikan sesuatu di atas dunia ini, pastilah ada sesuatu di sebaliknya yang perlu kita perhalusi. Kaum wanita dan lelaki, hakikatnya berbeza dalam banyak hal. Antara yang jelas:

1. Kekuatan. Orang lelaki nyata lebih kuat berbanding wanita. Atas dasar itu, orang lelaki perlu tahu meletakkan posisi dirinya dalam setiap perkara.

2. Akal. Lelaki lebih berakal berbanding wanita. Malah wanita lebih mudah dipengaruhi emosi.

3. Biologi. Orang lelaki ditentukan Allah SWT tidak ada kitaran darah bulan seperti wanita.

4. Ketua atau pemimpin utama. Orang lelaki hendaklah sedar mereka perlu bersedia menjadi ketua, dan kaum wanita hanya menjadi pembantu.

5. Pertanggungjawaban. Orang lelaki lebih berat memikul tanggungjawab. Pendeknya, mereka wajib menafkahi keluarga. Ia beban di bahu seorang lelaki dan wanita peranannya di dalam rumah tangga.

6. Hukum. Ada hukum-hakam tertentu hanya tersangkut pada kaum wanita dan tidak pada kaum lelaki.

Hal ini, hakikatnya sudah pun dijelaskan sendiri oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Firman-Nya yang bermaksud: Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. (an-Nisa’: 32)

Dan lagi peringatan Allah SWT kepada kita: Dan anak lelaki tidaklah (sama) seperti anak perempuan. (al-Imran: 36)

Sedekah

Maka, dalam hal sedekah dan zakat, siapakah yang lebih utama? Tidak sukar dinyatakan, secara nalar ia lebih utama kepada kaum lelaki. Ini kerana, di bahu merekalah punca rezeki, punca pendapatan itu diperoleh. Harta bermula di tangan mereka, sehingga melayakkan mereka terlebih utama untuk menyalurkannya kembali.

Namun, dalam konteks yang lain Nabi Muhammad SAW sebaliknya pernah memberikan peringatan kepada kaum wanita agar memperbanyakkan sedekah.

Dalam sebuah hadis nabi berpesan: Wahai kaum wanita, bersedekahlah kamu sekalian. Kerana, aku melihat sesungguhnya kaum wanitalah yang paling ramai menjadi penghuni neraka. (riwayat Muslim, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Hadis di atas seakan-akan menggesa kaum wanita agar lebih banyak bersedekah berbanding lelaki. Namun, hakikatnya ia bukanlah sedemikian. Ini kerana, lelaki dan wanita sama sahaja dalam bab bersedekah dan memberikan zakat. Jika pada diri mereka sudah melengkapi segala syarat wajib zakat, maka mereka wajib mengeluarkannya. Hukumnya sama.

Maka, apabila masing-masing wajib mengeluarkannya, maka masing-masing juga berhak menerima hadiah berupa pahala di sisi Allah SWT. Pahala itu kelak, akan menjadi imbalan berbentuk syurga yang teramat indah di akhirat nanti.

Cuma, bisa difahami bahawa Nabi SAW menggesa kaum wanita agar suka bersedekah, kerana kaum wanita amat mudah terjebak dengan dosa. Dalam bab aurat sahaja, wanita susah untuk menjaganya sesempurna mungkin. 
Maka, sedekah adalah salah satu cara untuk memperoleh pahala yang berpanjangan.

Misalnya, apabila harta yang diberi dibangunkan masjid dan sekolah, maka ia menjadi modal yang terus berkembang pahalanya. Dengan pahala yang banyak, adalah diharapkan kelak ia menjadi asbab agar para wanita yang berdosa, dapat terlepas daripada azab seksaan neraka dan dapat menempati syurga.

Khutbah Jumaat ~ Berkat Kehidupan

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat  22 Mei 2015M/ 4 Sya’ban 1436H JAWI

"Berkat Kehidupan Khas Hari Guru"

Kerjaya Guru merupakan suatu pekerjaan yang amat mulia dan bermakna dalam kehidupan seseorang.

Sebuah pujangga Inggeris menyatakan : “Sekiranya kamu mengajar, kamu telah menyentuh masa depan”. Benar sekali kata-kata tersebut apabila kita menyedari hakikat pekerjaan seorang guru.

Guru bukan sahaja memindahkan ilmunya kepada para pelajarnyadan membina sebuah karekter bagi masa depan anak didiknya.

Peringatan Allah SWT di dalam Surah Al-Haj, ayat 54 yang dinyatakan pada muqaddimah khutbah sebentar tadi, yang bermaksud : “Dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahwasanya Al Quran itulah yang hak dari Rabbmu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadaNya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus.”

Allah SWT mengangkat kedudukan orang-orang berilmu seperti guru sebagaimana firmanNya di dalam Surah Al-Mujadalah, ayat 11: Bermaksud : “Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapanglapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi Rahimahullah daripada Abi Hurairah RA : Bermaksud: “Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah pahala amalannya melainkan dari tiga sumber : sedekah jariah yang manfaatnya berterusan, ilmu yang terus dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya”.

Sasterawan Negara Malaysia, Dato’ Usman Awang pernah mendeklamasikan bait-bait sajak yang berbunyi : “ Jadilah apa pun pada akhir kehidupan, budi yang diapungkan di dulang ilmu, panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat, menjadi kenangan ke akhir hayat.”

Saranan menghargai para guru :

Pertama : Masyarakat khususnya para pelajar haruslah menghormati para guru kerana dengan menghormati itulah akan mendatangkan keberkatan ilmu. Sentiasalah berbuat baik kepada guru dan bertuturlah dengan bahasa yang mulia. Sekiranya terdapat aib pada guru tersebut, maafkan dan lupakanlah. Imam Al-Ghazali pernah mengungkapkan sebuah doa : “Ya Allah, tutuplah aib guruku dari penglihatanku dan janganlah hilangkan berkat ilmuku.”

Kedua : Sebagai pelajar, berikan tumpuan sepenuhnya kepada apa yang diajar. Jangan leka bermain ,bersembang atau tidur ketika guru mengajar. Setiap patah perkataan guru adalah ilmu, sendainya kita tidak memberikan tumpuan yang sepenuhnya, bermaksud kita telah terlepas ilmu yang berguna.

Ketiga : Rela menerima teguran dan hukuman demi memperbaiki diri. Setiap manusia ada kesilapannya. Sebagai pelajar dan ibu bapa, akuilah kesilapan tersebut & bersedia sekiranya guru memberikan hukuman. Janganlah kerana pelbagai alasan, kita bersikap tidak adil dengan mempertahankan kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak kita.

Keempat : Tadahkan tanganmu serta ringankan lidahmu untuk berdoa agar para guru hidup di bawah naungan rahmat ilahi serta kembali kepadaNya dalam dakapan redha sebagai ahli syurga.

Percayalah, kunci untuk menjadi pelajar yang baik ialah disiplin yang tinggi. Untuk melaksanakan disiplin maka perlaksanaan peraturan mesti dipatuhi dan ibu bapa harus sedar hakikat ini.

Sebagai kesimpulan, Marilah kita renungi beberapa perkara pokok perbicaraan dalam khutbah hari ini

Pertama : Profesyen guru adalah sebuah profesyen yang sangat mulia dan tinggi kedudukannya di sisi Allah dan RasulNya.

Kedua : Sebagai pelajar, haruslah kita menghormati guru, memberi tumpuan semasa guru mengajar serta mendoakan kesejahteraan guru di dunia dan akhirat.

Ketiga : Terimalah apa jua teguran daripada guru kerana ia adalah demi kebaikan pelajarnya ada masa akan datang.

Ketahuilah segala ilmu yang disampaikan guru adalah sesuatu yang datang dari sisi Allah SWT, maka peliharalah ia dengan sebaiknya. Fahami dan hayatilah ayat 109 daripada Surah Al-Kahfi ini : Bermaksud : “Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimatkalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)."

Wallahualam.