May 22nd, 2015

Khutbah Jumaat ~ Menghayati Peristiwa Israk Dan Mikraj

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 22.05.2015: JAIS

“Menghayati Peristiwa Israk Dan Mikraj”

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada 'al-Ashur al-Hurum' (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulqa’dah dan Zulhijjah.

Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abu Bakrah RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda:-“Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rajab iaitu antara bulan Jumada dan Sya'ban”. (Hadis Bukhari dan Muslim).

Israk dan Mikraj seperti yang kita ketahui berlaku dalam bulan Rajab adalah merupakan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil ‘Aqsa seterusnya diangkat pula ke Sidratul Muntaha.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj ini merupakan penghibur hati kepada baginda Rasulullah SAW setelah kehilangan tunjang belakang dan kekuatan baginda dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri baginda yang tercinta iaitu Saidatina Khadijah Binti Khuwailid. Peristiwa Isra’ Mikraj juga merupakan salah satu mukjizat Nabi Muhammad SAW dan bukti kesetiaan para sahabat yang mampu berdiri teguh dibelakang nabi dan menguatkan keimanan dalam diri mereka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 1: “Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”.

Antara peristiwa-peristiwa yang baginda saksikan sepanjang perjalanan Israk yang merupakan tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah:

i. Kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang menginfakkan hartanya pada jalan Allah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

ii. Sekumpulan orang orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali, Jibrail memberitahu: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk mendirikan solat

iii. Sekumpulan orang yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail Itulah orangorang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

iv. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging yang busuk sedangkan daging yang dimasak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.

v. Lelaki yang lemas dalam sungai darah dan apabila meminta tolong dia dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

vi. Lelaki yang memikul seberkas kayu sedang dia tak terdaya memikulnya, tapi masih menambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

vii. Seorang perempuan yang terlalu tua memanggil Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat. Kisah berhubung peristiwa tersebut dinaqal dari kitab Fathul Bari karangan Ibn Hajar al-Asqalani di Juzuk 11 halaman 214.

Peristiwa Mikraj pula menyaksikan nabi Muhammad SAW berjumpa dengan nabi-nabi yang terdahulu di setiap lapisan langit sebagai mana disebutkan dalam hadis sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Kemuncak kepada peristiwa isra’ dan mikraj ialah apabila Allah memfardhukan solat fardu sebanyak 50 waktu sehari semalam dan akhirnya dikurangkan menjadi 5 waktu seperti yang kita laksanakan sekarang tanpa mengurangkan pahala 50 waktu tersebut.

Maka adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim untuk menuruti segala perintah-Nya sepertimana perintah menunaikan solat 5 waktu sehari semalam walaupun kita merasakan ianya juga berat, maka Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 45: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.

Sesungguhnya peristiwa israk dan Mikraj memberitahu kita tentang pelbagai bentuk pendidikan dan pengajaran yang berharga, antaranya adalah;

1. Sebagai Muslim kita wajib meyakini dan mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj benar-benar berlaku dan wajib beriman dengannya kerana ia telah disebut dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.

2. Peristiwa Israk dan Mikraj menggambarkan perjalanan seorang hamba menuju kepada Allah SWT yang akan menghadapi berbagai cabaran dan ujian yang memerlukan kekuatan iman dalam diri kita.

3. Permulaan perjalanan seorang muslim menuju keredaan Allah SWT bermula dengan membersihkan hatinya dan membetulkan niatnya.

4. Solat 5 waktu hendaklah dilakukan walau dalam keadaan apa sekalipun selagi manusia mempunyai akal yang sihat.

5. Umat Islam hendaklah memberi sokongan penuh kepada perjuangan mempertahankan Baitul Maqdis daripada serangan dan pencerobohan Yahudi Laknatullah.“Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya. Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu? Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (Malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, di sisi "SidratulMuntaha”. (Surah an-Najm : 11-14).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Belia Al-Fateh

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat  22 Mei 2015M/ 4 Sya’ban 1436H JAKIM

"Belia Al-Fateh"

Marilah kita merenung akan ketokohan Sultan Muhammad Al-Fateh yang membuka Kota Konstantinopel dalam usia yang begitu muda, baginda menjawat jawatan sebagai khalifah kerajaan Islam Uthmaniyyah yang ke-7.

Baginda adalah seorang tokoh cendekiawan, mempunyai kekuatan, berani, bijak, pintar, kuat menyimpan rahsia pemerintah di samping bersikap tenang dan pendiam.

Baginda menghormati ulama dan senantiasa berbincang dengan mereka mengenai permasalahan negara, senantiasa bersifat tawaduk dan rendah diri serta kuat beribadah.

Menurut riwayat, Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh lagi.

Antara kata-kata keramat Baginda ketika melancarkan percubaan akhir pada hari ke 53 kepungan untuk menawan Kota Konstantinopel ialah, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid, ikutilah aku”.

Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi seorang tokoh ulama’ semasa yang amat berpengaruh menyatakan, “apabila kita hendak melihat wajah sesebuah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Sekiranya golongan muda hari ini adalah daripada kalangan berakhlak, tentunya sesebuah negara itu akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.

Rasulullah SAW memberi pesanan dengan penekanan khusus membimbing belia dengan cara menggesa mereka sentiasa taat beribadah kepada Allah, berakhlak mulia, menjaga kesihatan akal, kebersihan jasmani dalam semua sudut yang membawa kepada kesempurnaan peribadi. Sabdanya: Mafhumnya: Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng”.(Riwayat Ahmad)

Kita hendaklah meletakkan Islam sebagai cara hidup (Way of Life) dengan meletakkan aqidah sebagai tiang kehidupan, syariat sebagai peraturan, akhlak sebagai cerminan, halal dan haram sebagai neraca perjalanan.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 85: Bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi”.

Rasulullah SAW pernah menasihatkan kita dalam sabdanya: Maksudnya:Sesiapa yang menunjukkan kebaikan maka ia akan mendapatkan pahala yang sama seperti orang yang melakukannya.”(Riwayat Muslim)

Sebagai umat Islam yang beriman kita hendaklah berperanan dalam mendidik anak-anak dan generasi belia kita dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredhai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhi dari neraka Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6: Bermaksud: Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.      

Bersempena Dengan Sambutan Hari Belia Negara 2015, yang diadakan pada tahun ini, yang bermatlamat menggilap potensi bakat sedia ada melalui kaedah baru iaitu persembahan bakat (Showcase of Talent), dengan objektif memperkasakan generasi anak muda melalui pendekatan 7K iaitu, kesukanan dan kecergasan, kesenian, kesukarelaan, kerohanian, kreativiti, komuniti, kemahiran dan kepimpinan,

Percayalah bahawa apabila belia masa kini meletakkan Islam sebagai cara hidup, mereka insyaAllah masa depan negara akan dipimpin oleh mereka yang cintakan agama, bangsa dan negara. Sebagaimana gambaran firman Allah:

Maksudnya:(ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami". (surah Al-Kahfi ayat; 10)

Wallahualam.

Keistimewaan bumi Mekah

ANTARA keajaiban ciptaan Allah SWT ialah Dia membuat hati manusia cenderung untuk menziarahi tempat-tempat suci-Nya serta rindu untuk berada di situ. Dia juga telah mengukuhkan cinta tersebut dalam hati mereka hingga tidak dapat berpisah dengan tempat tersebut melainkan dengan perasaan sedih dan kecewa teramat dalam. Begitulah gambaran awal Ibnu Batutah ketika menceritakan keistimewaan bumi Mekah dalam bukunya, Rihlah Ibn Batutah.

Hakikat ini digambarkan oleh Allah SWT sendiri dalam al-Quran melalui doa yang diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika membina Kaabah al-Musharrafah. (rujuk al-Baqarah: 126)

Imam al-Nawawi rha dalam hal ini berkata: “Ketahuilah bahawa banyaknya nama menunjukkan kepada kebesaran yang dinamakan, sebagaimana banyaknya nama Allah SWT dan nama Rasul-Nya. Kita tidak mengetahui suatu tempat yang mempunyai banyak nama selain dari Mekah dan Madinah, kerana kedua-duanya merupakan sebaik-baik bumi. Disebabkan kerana banyaknya sifat yang boleh dinamakan kepada kedua-duanya.”

Mempunyai pelbagai kelebihan, 
keberkatan serta pahala berlipat ganda




BANGSA Arab sejak dahulu lagi telah sepakat untuk menghormati dan memuliakan Baitullah.

Semoga Allah SWT memberi peluang kepada kita semua untuk menjadi Dhuyuf al-Rahman, melihat dan merasai sendiri kelazatan beribadah di kota Mekah yang dijanjikan Allah SWT dengan segala kelebihan dan pahala yang berganda-ganda buat hati yang ikhlas mendambakannya.

Nama-nama lain Mekah

Bakkah (lembah air mata, Ali Imran: 96)

Ummul Qura (perkampungan tua, al-An’aam: 92)

Al-Balad (negeri, Ibrahim-35)

Al-Balad al-Amin (negeri yang aman, at-Tiin: 3)

Al-Baldah (negeri, an-Naml: 91)

Haraman Amina (tanah suci yang aman, al-Ankabut: 67)

Wad Ghairu DziZar’in (lembah yang gersang, Ibrahim: 37)

Ma’ad (tempat kembali, al-Qashash: 85)

Qaryah (negeri/kampung, Muhammad: 13)

Al-Masjid al-Haram (al-Baqarah: 144)

Kelebihan dan keberkatan daripada al-Quran dan hadis

Sebagai tempat rumah ibadat pertama di bumi iaitu Baitullah. (rujuk Ali Imran: 96)

Dijanjikan keamanan dan kemakmuran oleh Allah SWT, ia merupakan tempat yang diharamkan pertumpahan darah padanya. (rujuk al-Ankabut: 67)

Al-Maghariy berkata, bangsa Arab sejak dahulu lagi telah sepakat untuk menghormati dan memuliakan Baitullah.

Mekah yang terdapat Baitullah padanya dijanjikan-Nya dengan keberkatan dan pahala berganda-ganda kepada sesiapa yang memasuki serta beribadat di dalamnya.

“Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1,000 kali solat di masjid lain kecuali Masjid al-Haram, solat di Masjid al-Haram lebih afdal 100 kali daripada solat di masjidku ini (iaitu 100,000 kali dari masjid lain).” (riwayat Ahmad, al-Bazzar dan al-Tabrani)

Bukan sahaja orang yang hidup dan beribadat padanya memperoleh kelebihan, bahkan orang yang mati di bumi Mekah dan juga Madinah dijanjikan dengan kelebihan yang tersendiri.

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa mampu untuk mati di Madinah, maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat untuk orang yang mati di situ.” (riwayat Ahmad)

Kewujudan Telaga Zam-Zam yang mempunyai sejarah dan kelebihannya dalam merawat penyakit. Dalam sebuah hadis Nabi SAW telah bersabda: Sebaik-baik air yang ada di muka bumi adalah Zam-Zam. Di dalamnya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit. (riwayat Muslim)

Air Zam-Zam tidak pernah kering sehingga ke hari ini walau diminum berjuta-juta orang. Saintis Jepun, Dr. Masari Emoto yang mendapati bahawa air Zam-Zam mempunyai keajaiban dan kandungan airnya berbeza dengan yang lain. Beliau juga mendapati molekul air itu adalah bercabang-cabang dan berkilauan serta begitu kukuh, strukturnya tidak berubah walau apa jua tekanan. Malah, ia mampu merakam dengan tepat gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu tertentu.

Kelebihan nukilan ulama

Tempat dibangunkan rumah Allah (Baitullah) pertama kali. Nabi Adam yang diperintah Allah untuk mendirikan Baitullah. Allah memberikan petunjuk berupa cahaya yang turun dari langit membentuk mihrab. Jadi, tapak Kaabah itu berbentuk mihrab masjid, tapi pada masa Sultan Murad IV dipotong menjadi simetris. Sisa potongan itulah, Hijr Ismail yang tidak boleh masuk ke dalamnya saat melakukan tawaf, kerana masuk ke situ sama dengan memasuki Kaabah.

Kota kelahiran Rasulullah SAW sebagai nabi akhir zaman.

Tempat pertemuan Adam dan Hawa yang mana setelah dikeluarkan dari syurga, mereka berdua hidup mengembara selama 200 tahun sehingga Allah mempertemukan mereka kembali di Jabal Rahmah, Arafah, tanggal 9 Zulhijah. Arafah masih termasuk Kota Mekah.

Tempat beribadah para hamba-Nya serta adanya kewajipan atas mereka untuk mengunjunginya, baik yang dekat mahupun yang jauh, iaitu dalam mengerjakan haji.

Tempat yang tidak boleh seorang pun masuk ke dalamnya kecuali dengan kerendahan hati, khusyuk, kepala terbuka dan meninggalkan segala bentuk pakaian dan perhiasan dunia.

Tempat yang tidak ada sejengkal bumi pun yang Allah wajibkan hamba-hamba-Nya untuk menghadap dan melambaikan tangan, kecuali kepada Kaabah, Hajarul Aswad, Rukun Yamani yang adanya di kota Mekah.

Tempat Allah memberikan balasan bagi siapa saja yang berniat jahat, walaupun belum melakukannya. Dan barang siapa yang melakukan kejahatan, balasannya akan dilipatgandakan. Ia adalah kerana melakukan kejahatan di Tanah Suci, lebih besar dosanya dibandingkan di tempat-tempat lain.

Tempat-tempat mustajab berdoa. Misalnya di Hajar Aswad, Rukun Yamani, Makam Ibrahim, Hijr Ismail, Telaga Zam-Zam, Arafah saat berwukuf dan lain-lain.

Tempat dilarang orang-orang kafir termasuk Dajjal untuk memasukinya.

Tempat yang sentiasa dijaga para malaikat.

(Sumber: Buku Sejarah Mekah Dulu dan Kini, tulisan Dr. Muhammad Abdul Gani)