May 27th, 2015

Antara tohmahan, persoalan dan kebenaran

Sesungguhnya penulis menerima secara terbuka pelbagai kecaman, kritikan dan tohmahan yang dilemparkan pelbagai pihak berikutan laporan khas Utusan Malaysia mengenai ancaman tarekat baru di negara ini.

Laporan khas yang disiarkan sejak Jumaat lalu sehingga semalam mendapat reaksi luar biasa dan ada kalanya terlalu melampau termasuk tuduhan Utusan Malaysia ada agenda bagi memburuk-burukkan golongan ulama, para sufi dan mereka yang dikategorikan daripada keturunan Rasulullah SAW.

Bagaimanapun apabila dikaji satu persatu kritikan dan kecaman yang diterima adalah jelas, mereka yang melakukan serangan itu ‘sudah tersasar’ daripada maksud sebenar laporan khas tersebut iaitu mendedahkan kewujudan tarekat yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) pegangan umat Islam negara ini.

Tohmahan paling popular ialah menyatakan Utusan Malaysia me­nuduh pendakwah Indonesia, Habib Sheikh Abdul Qodir As-Segaf mengamalkan Tarekat Nasyabandiah Al-Aliyyah yang difatwakan haram oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2000.

Perlu ditegaskan, dalam laporan khas itu sama sekali tidak pernah membuat tuduhan sedemikian. Sebaliknya hanya menimbulkan persoalan apakah hubungan antara Sheikh Muhammad Hisham Kabbani dengan Habib Sheikh As-Segaf kerana terdapat rakaman video Sheikh Muhammad Hisham yang merupakan anak murid pengasas Tarekat Nasyabandiah Al-Aliyyah, Sheikh Nazim Al-Haqqani membaiah Habib Sheikh As-Segaf.

Selain tidak membuat sebarang andaian berhubung bentuk baiah tersebut, turut disiarkan penafian Habib Sheikh As-Segaf bahawa beliau tidak mengikuti ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah. Turut disiarkan kenyataan beliau menafikan amalan selawat dibawanya menyeleweng daripada ajaran Islam. Oleh itu adalah tidak wajar jika mana-mana pihak termasuk sesetengah ahli politik begitu mudah menuduh Utusan Malaysia memburuk-burukkan dan memfitnah Habib Sheikh As-Segaf.

Tetapi apa yang menimbulkan persoalan, dalam keghairahan melakukan ‘serangan’ tidak ada mana-mana pihak tampil menjawab kemusykilan mengenai perbuatan meragukan yang dilakukan oleh Sheikh Muhammad Hisham seperti sujud di atas kubur dan mendakwa sesiapa yang menziarah makam Wali Songo di Indonesia memperolehi 70,000 kali pahala ziarah. Malah tidak ada hujah diberikan bagi menafikan Sheikh Muhammad Hisham yang dikatakan kini memimpin Tarekat Nasyabandiah Haqqani adalah anak murid dan pewaris Tarekat Nasybandiah Al-Aliyyah.

Pokok pangkal dan matlamat pendedahan dilakukan ialah bagi mengelakkan kesucian fahaman ASWJ yang dipegang oleh umat Islam di negara ini dicemari atau dikelirukan oleh perbuatan-perbuatan meragukan oleh Sheikh Muhammad Hisham yang turut hadir dalam pelbagai program agama di Malaysia.

Kita tidak mahu mewujudkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam apabila individu yang diangkat ‘ulama besar’ dan berada dalam tarekat meragukan dilihat bebas melakukan aktiviti agama di negara ini tanpa sekatan. Sedangkan di negara kita ada ustaz-ustaz atau alim ulama tidak bebas untuk menjalankan program agama mereka hatta kuliah pagi sekalipun kerana didakwa membawa fahaman berbeza dengan ASWJ.

Tetapi bagaimana dengan Sheikh Muhammad Hisham? Apakah pendakwah-pendakwah luar mempunyai keistimewaan luar biasa sehingga mereka tidak ditapis dengan teliti? Adakah mereka ‘begitu suci’ sehingga hendak dipersoalkan perbuatan meragukan yang beliau lakukan pun tidak boleh?

Begitu juga dengan persoalan pengharaman Tarekat Nasyabandiah Al-Aliyyah, kenapakah ada pihak masih mahu mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan itu? Bukankah sudah dijelaskan bahawa ia dilakukan melalui kajian terperinci dan dibentangkan kepada Panel Pakar Akidah (PPA) sebelum diputuskan, malah ketua kumpulan tarekat terlibat turut dipanggil untuk penjelasan lanjut. Kalaulah keputusan majlis fatwa pun tidak mahu diikuti, pihak mana umat Islam mahu merujuk jika berlaku sesuatu isu berkaitan agama?

Turut paling tidak wajar apabila tuduhan berfahaman Wahabi dilemparkan kepada mereka yang memberi pandangan berhubung isu tarekat baharu ini. Perbuatan melabelkan seseorang dengan mudah bukanlah ajaran Islam sebenar. Janganlah kerana orang itu berbeza pendapat atau pendirian, mudah sangat kita hendak menuduh orang itu atau orang ini Wahabi. Bukanlah dalam Islam, kita diperingatkan oleh Rasulullah SAW jangan melampau dalam beragama?

Perlu ditegaskan, pendedahan yang dibuat juga menyentuh soal perbuatan mencium kaki, berdoa di makam-makam dan beryaqazah. Kesemua perbuatan ini bertentangan dengan fahaman ASWJ.

Dalam soal mencium kaki, tidak apalah kalau mana-mana pihak mahu mempertahankan perbuatan itu mengikut hujah masing-masing tetapi bagi sebahagian umat Islam di negara ini, ia akan dikaitkan dengan ketaksuban kepada ketua atau pemimpin. Apatah lagi dalam hadis yang diriwayatkan At-Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda, “Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain nescaya aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya”.

Begitulah juga dengan menziarahi makam, apatah lagi kalau di situ dilakukan upacara berdoa dan meminta sesuatu seperti mana dilakukan oleh Sheikh Muhammad Hisham, sudah pasti ia menimbulkan persoalan dalam umat Islam di negara ini. Dalam bab beryaqazah pula, fakta sudah jelas, salah satu punca Tarekat Nasyabandiah Al-Aliyyah diharamkan adalah kerana pegangan tersebut. Keputusan itu membuktikan ia jelas bertentangan dengan fahaman ASWJ.

Dalam berhadapan isu seumpama ini jangan biarkan nafsu dan perasaan menguasai diri sehingga kita terlupa bahawa tidak kira fahaman apapun kita pegang, mazhab manapun kita ikuti, tarekat apapun kita susuli, kita tetap hamba Allah yang berada dalam agama suci iaitu Islam.

Justeru jangan mudah membuat tuduhan dan melemparkan tohmahan. Setiap persoalan perlu diselesaikan secara berhemah bukan berdasarkan ketaksuban apatah lagi menutup mata dan hati untuk mencari sebuah kebenaran. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, ta­atilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (an-Nisa’: 59)


Keratan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia berhubung isu tarekat.

Tujuh anggota sujud

ULAMA bersepakat bahawa sujud yang sempurna mestilah dilakukan di atas tujuh anggota. Majoriti mazhab iaitu Hanafi, Maliki dan Syafie berpendapat yang wajib hanyalah dahi. (Al-Mughni, 2/67; Tuhfatul Muhtaj, 1/203 (cet. Dar Kutub Ilmiah)

Sekiranya tertinggal mana-mana anggota, solat tidaklah batal. Namun, menurut Mazhab Syafie jika bahagian dahi tidak diletakkan sebetulnya di atas tempat sujud sehingga kira-kiranya berat kepala terletak di atas tempat sujud. Jika keadaan demikian tidak berlaku, wajib mengulangi sujud. (Mughni al-Muhtaj1/235, Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibnu Hubayrah, 1/117, Al-Fiqh ala Mazahib al-Arba’ah, Abd. Rahman Al-Jaziri, 1/207)

Cara sujud yang betul (ilustrasikan dengan gambar yang telah disediakan)


  • Kedua-dua tapak tangan

  • Dahi

  • Hidung

  • Siku

  • Kedua-dua belah lutut

  • Hujung jari kaki

Kewajipan untuk sujud di atas tujuh anggota ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas ra yang sahih yang bermaksud: Aku diarahkan untuk sujud dia atas tujuh anggota sujud: Di atas dahi - dan Nabi SAW menunjukkan ke arah dahinya dan kedua-dua belah tangan dan kedua-dua lutut dan kedua-dua hujung kaki. (riwauay al-Bukhari dan Muslim).

Kedudukan hujung jari kaki

Bagi memperoleh solat yang sempurna

TERDAPAT tujuh anggota yang perlu diteliti ketika sujud. - Gambar hiasan

Berdasarkan apa yang dihuraikan oleh Imam al-Nawawi, anggota yang dikira ialah telapak bagi kedua-dua tangan dan yang dikira bagi kaki ialah permukaan jari-jari kaki dan paling minimum untuk melaksanakan arahan daripada hadis di atas adalah jika ada satu jari yang betul kedudukannya.

Jika jari kaki tidak pada kedudukan sedemikian, adakah solat menjadi batal? Jawapannya berbeza menurut ijtihad ulama seperti berikut;

* Hanafi, Syafie (menurut al-Nawawi dan Hanbali: Solat boleh terbatal kerana ia anggota wajib.

* Maliki: Tidak batal kerana anggota sujud yang wajib hanyalah dahi.

Pandangan terpilih dan lebih selamat ialah menjaga kedudukan jari kaki agar dibengkokkan. Keluar daripada khilaf dan melakukan yang terbaik untuk menuruti sunah Nabi SAW adalah lebih elok.

Mestikah hidung mencecah tempat sujud?

Terdapat perbezaan ijtihad dalam keadaan sujud dengan hidung mencecah bumi. Majoriti mazhab berpendapat ia tidak wajib. Imam Ahmad pula mempunyai dua pandangan yang berbeza.

Ibnu Munzir telah menyatakan ijmak daripada kalangan sahabat untuk memastikan sentuhnya dahi dan hidung sekali gus.

Namun Jumhur ulama menyatakan dahi tanpa hidung adalah mencukupi dan Ibnu Qudamah menafikan kesahihan ijmak yang disebutkan.

Antaranya wajib berdasarkan hadis al-Bukhari dan Muslim yang mengarahkan agar sujud di atas tujuh anggota dan ketika Nabi SAW menyebut dahi, Nabi SAW menunjukkan hidungnya sekali (sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas)

Imam Syafie menyebut bahawa sekiranya hidung tidak mencecah bumi, hukumnya hanyalah makruh. Bagi memastikan kesempurnaan dan kualiti solat, elok dipastikan kedua-dua anggota tersebut dicecahkan ke tempat sujud.

Keadaan dahi semasa sujud

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Kemudian terus sujud sehingga berhenti sekejap dalam keadaan sujud (riwayat al-Bukhari)

Sementara sifat sujud yang diajarkan oleh Nabi SAW adalah wajib meletakkan dahi di atas bumi dan menekankan dahi ke bumi, dalilnya bermaksud: Apabila bersujud hendaklah kamu menekankan ke bumi dan jangan mencecah cepat semata-mata.” (riwayat Ibnu Hibban, dianggap sahih)

Hadis ini secara tidak langsung memberi maksud, dahi mestilah tidak tertutup semasa sujud. Justeru, Imam Syafie beijtihad, wajib dahi terbuka dan tidak harus ada apa jua yang menghalang di antara dahi dan tempat sujud.

Bagaimanapun terdapat hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim bahawa sahabat Nabi SAW pernah meletakkan hujung baju mereka mengalas dahi ketika hari yang panas. Berdasarkan hadis ini dan qias bahawa seluruh anggota sujud yang lain tidak perlu terbuka, maka majoriti ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali mengharuskan dahi tertutup ketika sujud.

Pandangan yang lebih hampir dengan sifat solat NAbi SAW adalah dengan mendedahkan dahi ke tempat sujud. Ia berdasarkan hadis sahih yang jelas iaitu: Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh (anggota) tidak ditutupi oleh rambut dan baju. (riwayat al-Bukhari)

Adapun hadis sahabat sujud di atas hujung baju, ia hanyalah dalam keadaan tertentu yang darurat, seperti panas atau sejuk atau batu-batu agak tajam dan keras. Manakala dalam keadaan biasa, elok mengambil azimah dan keluar daripada khilaf. Demikian juga pandangan Imam Ahmad dan Ibnu Qudamah. Bagaimanapun ulama bersepakat mengatakan solat tidak batal jika sujud beralas baju dan rambut, cuma makruh dan kerana ia seolah-olah seorang yang takbur. Petikan buku Formula Solat Sempurna

Sentuhan kasih sayang-Nya

APAKAH manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja dengan mengatakan: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (al-Ankabut: 2-3)

Realiti kehidupan tanda kasih cinta Allah SWT kepada hamba-Nya, ujian sebagai medan menambah keimanan dan ketakwaan kepada-Nya. Hanya hamba yang miliki ilmu dan pandangan mata hati mampu menembusi ujian-Nya.

Begitulah kehidupan, kesenangan yang datang tidak akan selamanya menapak dalam diri yang mendambakannya. Selepas kesusahan, Allah SWT menjanjikan kesenangan kepada hamba-Nya. Ibarat selepas waktu malam datangnya siang. Apabila insan di jalan kesenangan, jangan lupa akan daratan yang dipinjamkan-Nya.

Ujian adalah tarbiah daripada Allah SWT apakah kita mampu bersabar atau sebaliknya. Penderitaan atas ujian tidak berpanjangan, bersangka baik dengan Allah SWT kelak tiada istilah putus asa di atas nikmat-Nya.

Kabus ujian tidak akan berpanjangan dan apabila ia beredar pasti cerah mentari menyinar kehidupan buat hamba-Nya. Kesenangan selepas kesukaran ujian-Nya adalah nikmat Allah SWT yang paling tinggi dan agung, hikmah Allah SWT tersingkap bersama kesabaran dan ketabahan dalam menongkah arus mehnah dunia yang sementara.

Dalam senario ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya unik keadaan seseorang mukmin, semua urusannya adalah baik. Apabila ia mendapat nikmat, ia bersyukur dan itu adalah kebaikan baginya, apabila mendapat musibah ia bersabar dan itu adalah kebaikan pula baginya. Semua itu hanya dimiliki oleh mereka yang beriman. (Muslim, no. 2999 dan Ahmad, no. 18455, 18460)

Janji Allah

Ibnu al-Qayyim berkata: “Wahai orang yang mempunyai tekad yang lemah, sesungguhnya jalan itu sangat sulit dan panjang. Nuh as berdukacita dan menangis, Nabi Zakaria as, Nabi Yahya as dibunuh, Umar ra, Uthman ra ditusuk dan bergelumang darahnya, Ali ra dibunuh dan para imam dan ulama disebat, seterusnya dipenjarakan.”

Oleh itu, sebagai hamba Allah SWT, perjuangan dalam ujian perlu diteruskan, kerana janji Allah akan kemenangan itu pasti, berjuang menempuh susah dalam menanggung derita dunia dalam masa sama menongkah fitnah dunia.

Semua ini merupakan gelombang hidup samudera duka yang sementara. Apabila dihina, dibuang, difitnah, diumpat dan disisih maka berkelanalah insan dengan keimanan dan ketakwaan kepada-Nya.

Malam hari bagi hamba dalam ujian Allah SWT adalah seorang rahib yang bangun untuk merintih sayu kepada-Nya, memuhasabah diri mengenang dosa-dosa, bermunajat dengan titisan air mata keinsafan pohon maghfirah dan petunjuk-Nya.

Hakikatnya perjuangan tidak pernah lekang daripada ujian Allah SWT. Ombak derita tiada bertepian, ketenangan dan kekusutan silih berganti. Ini kerana berjuang dalam ujian Allah SWT bererti terkorban, rela dihina kerana kebenaran. Inilah sunah bagi hamba yang berjuang di medan agama. Jiwa hamba tetap tekad menuju cita dan cinta membara demi mendamba reda Allah SWT dan kasih Rasulullah SAW.

Jelaslah bahawa ujian adalah medan pembersihan dan penyucian diri dan jiwa daripada segala dosa dan kesilapan lampau. Penyucian hati yang hakiki, pembersihan jiwa yang mengagungkan populariti, kedudukan, sombong diri, riak dan segala sifat mazmumah yang menapak dalam diri insan sehingga ilmu yang dimiliki tidak dapat diamalkan dalam kehidupan.

Abu Laits berkata dalam kitab karangannya Tanbihul Ghaafiliin, “Seorang tidak akan dapat mencapai tingkat orang baik, kecuali dengan kesabaran di atas penderitaan, kesukaran dan gangguan. Allah SWT menyuruh Rasulullah SAW bersabar dengan kesabaran sebagaimana kesabaran yang dimiliki oleh para Rasul yang bersemangat besar.”

Cari hikmah di sebalik musibah

SESUNGGUHNYA setiap ujian Allah SWT pasti tersirat hikmahnya yang tidak tersingkap oleh mata kasar hamba-Nya. Semakin Allah SWT sayang kepada seseorang hamba maka semakin kuat ujian-Nya ditimpa ke atasnya. Ujian-Nya hanya pada kadar kemampuan hamba-Nya untuk menghadapinya, kerana Allah SWT tidak pernah zalim ke atas hamba-Nya.

Kembali berpegang kukuh kepada tali Allah SWT dalam mencari hikmah di setiap musibah yang menimpa kerana kadang kala hikmah itu terhijab kerana hikmah itu dibaluti dengan selimut putus asa. Hikmah sebalik ujian Allah SWT tersingkap pada hamba-Nya yang benar-benar pasrah terhadap percaturan takdir Allah SWT yang pada masa yang sama ia berusaha dan terus berjuang mencari pengajaran serta kekuatan dan pengajaran di sebalik takdir itu.

Kehebatan Allah SWT, Dia hilangkan matahari dalam sekejap masa, bumi jadi gelap dan muram. Kemudian Allah SWT hadirkan dentuman guruh, panahan kilat, membuatkan hamba-Nya dalam kegusaran dan kegelisahan. Setelah hamba-Nya puas menangis mencari mengharap sinar mentari, rupanya Allah SWT telah berjanji untuk menghadiahkan pelangi kehidupan yang lebih indah dan ceria.

Hakikatnya, bagi yang bersabar, reda dan tabah menongkah arus ujian-Nya, pasti Allah SWT sempurnakan kesabaran, keredaan dan ketabahannya lalu memasukkannya ke dalam syurga-Nya. Ujian Allah SWT adalah sentuhan kasih sayang daripada-Nya kepada hamba pilihan-Nya agar hamba sentiasa mengingati dan mendekati-Nya di setiap masa dan keadaan.

Tidur berkualiti pengaruhi kuantiti kerja

MENERUSI rancangan Ibrah kali ini, Ustaz Syaari Abdul Rahman, membincangkan orang beriman meyakini tidur adalah cara Allah SWT mematikan seketika hidupnya.

Ulama dan saintis Islam percaya kualiti waktu tidur menghasilkan kuantiti kerja yang berkesan.

Justeru, bagi memastikan setiap pekerjaan berkualiti dan tidur diredai, hayatilah cara tidur pejuang Nabi dan Rasul Allah SWT.

Orang yang benar-benar mengetahui bahawa kualiti hidup ini adalah bersandarkan kepada waktu tidurnya tentu tidak mensia-siakan lenanya.

Masa yang digunakan untuk tidur adalah waktu yang berkualiti dan memenuhi ciri lena seorang pejuang.

Pada Isnin lalu, perbincangan rancangan Ibrah di IKIMfm bersama Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman, dimulakan dengan mengungkapkan sajak menceritakan perihal Nabi Isa.

Isa ibnu Maryam,
Ketika engkau hadir dengan pelbagai mukjizat daripada Tuhan,
Yahudi memilih untuk mengkufurimu dan membuat sesuatu keputusan,
Membunuhmu suatu penyelesaian,
Demi sebuah kesombongan dan ketaksuban.
Isa ibnu Maryam,
Sejahteralah engkau dalam ketenangan,
Bersama Hawariyyun yang terus beriman,
Kau menanti detik sebuah perpisahan,
Demi menegakkan sebuah tujuan,
Membuktikan kerasulan di akhir zaman.
Isa ibnu Maryam,
Perjuanganmu seperti nabi pada masa silam,
Menyantuni manusia agar menyembah Tuhan,
Namun manusia memilih menyembah syaitan.
Isa ibnu Maryam,
Tenanglah engkau di alam sana,
Mendapat rezeki daripada Yang Maha Esa,
Bertemankan Yahya dan penduduk langit yang kedua,
Menanti detik untuk perintah seterusnya pulang ke dunia,
Membunuh dajjal dan menyeru manusia,
Menyembah Allah yang Maha Esa.

Sajak itu adalah kesimpulan kisah Nabi Isa melayari perjalanan dakwahnya. Nabi Isa telah diwafatkan oleh Allah SWT dan diangkat ke langit dalam keadaan tidur.

Firman Allah SWT bermaksud: "(Ingatlah) ketika Allah berfirman: Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu daripada orang kafir, dan juga akan menjadikan orang yang mengikutmu mengatasi orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat.
Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) mengenai apa yang kamu perselisihkan." (Surah Ali-Imran, ayat 55)

Tidur lena beri 80 peratus kelebihan

Memahami konsep tidur sebagai pejuang, Dr Hamzah Al-Hamzawi, dalam artikelnya berjudul Seni Tidur menyatakan tidur berkualiti itu dipilih bermula dari jam 10 malam hingga 1 pagi.

Katanya, kajian mendapati tidur lena pada waktu itu memberikan 80 peratus kelebihan berbanding waktu tidur yang lain. Pejuang yang menggunakan waktu tidurnya dengan berkualiti dapat menghasilkan cas tenaga bekerja berkualiti.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan Dialah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Ia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan." (Surah al-An'am, ayat 60)

Manfaat waktu tidur

Manusia merancang tidur yang berkualiti, Allah SWT mendidik hamba-Nya untuk memanfaatkan masa tidurnya.

Dalam sejarah, Allah SWT pernah menidurkan pemuda Ashabul Kahfi yang dianggap sebagai tidur kemenangan.

Firman-Nya yang bermaksud: "Allah (Yang Menguasai segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya)." (Surah az-Zumar, ayat 42)

Orang beriman meyakini tidur itu adalah cara Allah SWT mematikan seketika hidupnya.

Ulama dan saintis Islam juga percaya kualiti waktu tidur menghasilkan kuantiti kerja yang berkesan.

Justeru, bagi memastikan setiap pekerjaan berkualiti dan tidur kita diredai, hayatilah cara tidur pejuang Nabi dan Rasul Allah SWT.