May 29th, 2015

Khutbah Jumaat ~ Syaaban; Menukar Buku, Memuhasabah Amalan

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 29 Mei 2015: JAIS

“Syaaban; Menukar Buku, Memuhasabah Amalan”

Kedatangan bulan Syaaban wajar dialu-alukan oleh umat Islam, kerana bulan Syaaban adalah bulan yang mulia, bulan beribadah dan bulan memperbaiki diri. Bulan Syaaban terletak antara bulan Rejab dan bulan Ramadhan.

Jika bulan Rejab ada Israk dan Mikrajnya, Ramadhan pula ada malam Lailatul Qadarnya, maka bulan Syaaban pula ada Nisfu Syaabannya.

15 hari bulan Syaaban yang sering disebut sebagai Nisfu Syaaban adalah termasuk hari istimewa dalam Islam kerana hari itu mengandungi beberapa kelebihan, dan Allah menurunkan rahmat-Nya serta memberikan keampunan kepada hamba-Nya.

Hadis daripada Ali Bin Abi Talib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban maka kamu hidupkanlah malamnya dan kamu berpuasa di siang harinya, sesungguhnya Allah turun (hampir) padanya dari terbenam matahari ke langit dunia dan berfirman: Sekiranya terdapat orang yang memohon keampunan maka Aku ampunkannya, sekiranya terdapat orang yang meminta rezeki maka Aku beri rezeki kepadanya, sekiranya terdapat orang yang ditimpa bala maka Aku sejahterakannya, sekiranya begitu… sekiranya begini… sehinggalah terbitnya fajar”. (Riwayat Ibnu Majah).

Malam Nisfu Syaaban, segala catatan amalan manusia dilaporkan ke hadrat Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Yasin ayat 65: “Pada waktu itu Kami paterikan (tutup) mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa Yang mereka telah usahakan”.

Para ulama’ dan orang-orang soleh biasanya membaca surah Yassin tiga kali sesudah solat Maghrib malam Nisfu Syaaban, dan berdoa, baik secara sendirian atau berjemaah dengan harapan agar dikurniakan Allah ketetapan iman dan Islam, lapang rezeki dan panjang umur serta mati dalam khusnul khatimah.

Berdoa memang disyariatkan Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Mukmin ayat 60: “Dan Tuhanmu berfirman, berdoalah kepada-Ku, pasti aku mengabulkan bagimu”

Hadis daripada Anas B. Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Doa adalah otak kepada ibadat”. (Riwayat at-Tirmizi).

Sesungguhnya setiap orang Islam wajib beriman bahawa Allah SWT telah melantik para Malaikat (Raqib dan Atid) untuk mencatat segala tingkah laku manusia semasa berada di atas dunia sama ada yang baik dan yang buruk, sama ada dalam keadaan sedar atau lupa, dalam keadaan bergurau atau bersungguh-sungguh, yang zahir atau yang batin, sehingga nafas dan rintihan pun dicatat sama.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 49: “Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka Engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa Kitab ini demikian keadaannya? ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun”.

Menurut hadis daripada Saiditina Aishah RA, bulan yang paling banyak Nabi SAW berpuasa selain bulan Ramadhan ialah bulan Syaaban. “Tidaklah Nabi SAW melakukan ibadat Puasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Syaaban. Sesungguhnya Rasulullah SAW berpuasa dalam bulan Syaaban keseluruhannya ”. (Riwayat al-Bukhari).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Inilah bulan Syaaban di mana manusia lalai mengenainya, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Allah SWT. Maka aku sangat suka sekiranya amalan ku diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa”. (Riwayat Ahmad).

Saidatina Aishah RA juga pernah menerangkan, bahawa pada malam Nisfu Syaaban, Rasulullah SAW mendirikan solat-solat sunat hingga pagi. Baginda bersabda kepada ku, “Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban, di mana amal ibadat kita diangkat dan dipersembahkan kepada Allah SWT”.

Firman Allah SWT dalam surah az-Zalzalah ayat 6-8: “Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masingmasing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”.

Sempena bulan Syaaban tahun ini, marilah kita melakukan amalan seperti berikut:

1. Kita hendaklah meningkatkan ibadat kepada Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

2. Umat Islam hendaklah mencontohi amalan Rasulullah dalam bulan Syaaban seperti berpuasa dan qiamullail khususnya malam Nisfu Syaaban.

3. Umat Islam mestilah penuh yakin bahawa setiap amalan yang kita lakukan di atas dunia ini akan dipamerkan di akhirat kelak dan akan dibalas dengan adil oleh Allah SWT.

“Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya”. (Surah al-Anbia’ : 94).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Jihad Memerangi Kebatilan

Sedutan Petikan Teks Khutbah 29 Mei 2015M/ 11 Sya’aban 1436H. JAWI

"Jihad Memerangi Kebatilan"

Dunia hari ini semakin menuju ke penghujungnya. Pelbagai peristiwa dan fenomena alam yang berlaku di muka bumi ini menunjukkan betapa tuanya usia bumi Allah ini. Jangkaan manusia mengenai perubahan iklim dan cuaca seringkali tersasar disebabkan ketidakstabilan alam ini. Ini sememangnya tidak dapat dinafikan oleh semua pihak

Peringatan dari Nabi SAW menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RHM daripada Abu Hurairah RA  Bermaksud : “Tidak akan terjadi Kiamat sehingga banyak terjadinya ‘Al-Haraj’. Para sahabat bertanya : Apakah itu ‘Al-Haraj’ wahai Rasulullah? Baginda menjawab : Pembunuhan demi pembunuhan.”

Isu jihad oleh militan Negara Islam atau Islamic State di Malaysia seolah-olah belum menemui titik penghujungnya. Berjihad memerangi kebatilan dengan cara yang lebih berhikmah tanpa mengangkat senjata atau peperangan sebagaimana militan IS tersebut adalah yang lebih utama untuk dilaksanakan khususnya di Malaysia.

Sedarlah bahawa kita adalah satu umat yang sentiasa menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran ayat 104 : Bermaksud : “Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Justeru, marilah kita berjihad memerangi bentuk-bentuk kebatilan seperti berikut :

Pertama : Berjihad menentang fitnah di media sosial.

Rasulullah SAW sebagaimana riwayat Imam Muslim RHM daripada Abu Hurairah RA :  Bermaksud : “Sesungguhnya terdapat orang yang menuturkan dengan satu perkataan yang dia tidak jelas, menyebabkan dia dihumbankan ke dalam neraka lebih jauh daripada jarak antara timur dan barat.”

Kedua : Berjihad menentang gejala negatif dalam media massa

Allah SWT telah memberi amaran mengenai perbuatan-perbuatan tersebut sebagaimana di dalam surah al-hujurat ayat 1  Bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

Ketiga : Jihad menentang ajaran dan pemikiran sesat

Peringatan Rasulullah SAW menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RHM daripada Abu Hurairah RA : Bermaksud : “Tidak kan berlaku kiamat sehinggalah munculnya dajjal-dajjal pendusta yang mana hampir bilangan mereka itu tiga puluh, setiap mereka mengaku sebagai utusan Allah.”

Keempat : Jihad memerangi khurafat dan bidh’ah. Kurangnya ilmu pengetahuan mengenai akidah Islam yang sebenar menyebabkan umat Islam mudah terpengaruh dengan perkara-perkara khurafat.

Kesimpulan yang dapat diambil dari khutbah hari ini ialah :

Pertama : Sesungguhnya kebatilan yang timbul di muka bumi ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia yang mengingkari perintah Allah SWT dan Rasul.

Kedua : Jihad memerangi kebatilan wajib ke atas setiap umat Islam dengan cara berhikmah tanpa perlu mengangkat senjata.

Ketiga : Berusahalah untuk menjadi penegak kebenaran dan penentang kebatilan walaupun dengan usaha yang kecil atau sedikit.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 81 : Bermaksud : “Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.”

Wallahualam.

ICT sampaikan mesej Islam

PELBAGAI topik menarik telah dikupas dalam buku ini yang sesuai dibaca setiap lapisan masyarakat terutama yang ingin mempelajari kaedah terbaik menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi menyampaikan mesej Islam. Buku ini mempunyai sembilan bab dengan pelbagai topik yang ditulis oleh 13 ahli akademik, tokoh agama dan penyelidik.

Penggunaan ICT selaras dengan apa yang disebut oleh Saidina Umar Al-Khattab: “Ajarlah anak-anakmu dengan ilmu semasa. Sesungguhnya mereka dicipta di suatu zaman yang bukan lagi zamanmu.”

Golongan pendakwah yang menggunakan teknologi termasuk ICT bagi tujuan penyampaian dakwah Islam digelar dengan istilah teknodaie. Istilah ini telah diperkenalkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak 1999 hasil daripada beberapa siri perbincangan, bengkel dan seminar yang telah dianjurkan sebelum itu.

Teknodaie tidak hanya merujuk kepada individu tetapi kepada sekumpulan orang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang berbeza seperti agama dan teknikal tetapi mempunyai matlamat sama untuk menegakkan syiar Islam.

Pegawai penyelidik IKIM, Norkumala Awang dalam salah satu bab buku berkenaan, menyifatkan umat Islam kini lebih kepada menjadi pengguna kepada teknologi ICT dan bukannya pencipta peralatan dan kandungan yang terdapat dalamnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya umat Islam mewujudkan syarikat bertaraf dunia yang berperanan membina teknologi baharu ICT yang lebih canggih daripada yang ada sekarang.

Tegas beliau, para teknodaie juga perlu meraih peluang yang ditawarkan ICT dengan menjadi pemain utama dalam penghasilan perisian alternatif dan bukan sekadar menjadi pengguna utama yang terpaksa menggunakan apa sahaja bahan yang tersedia.




“Keperluan animasi, multimedia dan perfileman yang mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat dan juga golongan bukan Islam perlu dipandang oleh teknodaie sebagai peluang untuk turun padang dalam menyampaikan dakwah Islamiah.

“Penghasilan buku elektronik dari kitab-kitab muktabar dapat menambahkan khazanah ilmu.

“Penulisan cerpen dan novel yang mengadaptasikan elemen dakwah juga perlu digunakan oleh teknodaie sebagai ruang mendekatkan diri dengan masyarakat,” tulis beliau.

Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad pula menyifatkan cadangan sesetengah pihak untuk menggunakan ICT bagi memperkasakan masjid hanya akan menjadi angan-angan jika mereka tidak serius untuk melaksanakannya.

Menurut beliau, antara yang boleh dilakukan ialah menjadikan masjid pusat pengedaran produk multimedia dan mewujudkan perpustakaan dengan peralatan ICT yang akan membolehkan maklumat tentang ilmu Islam diakses secara digital.

“Bagi menarik kanak-kanak dan remaja ke masjid, kelas celik komputer juga boleh diadakan di situ.

“Ini secara tidak langsung dapat menghentikan peminggiran masjid secara halus yang dimulakan sejak zaman penjajahan Inggeris lagi.

“Inggeris telah meluluskan kawasan untuk pembinaan masjid bersekali dengan tanah kubur, setelah penjajah itu menyedari orang Melayu takutkan hantu. Dengan cara ini, orang Melayu takut untuk ke masjid, melainkan hanya pada hari Jumaat,” tulisnya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM, Mohd. Farid Mohd. Shahran pula menulis, keperluan untuk menggunakan ICT adalah cukup penting dalam memberikan hujahan balas kepada golongan penentang Islam yang turut menggunakan teknologi sama.

“Kaedah menyerang menggunakan senjata musuh telah dilakukan tokoh ilmuwan besar Islam seperti Imam Abu Hasan al-Ash’ari yang menggempur pemikiran Muktazilah dengan senjata akal dan Abu Hamid al-Ghazali menyerang pemikiran ahli falsafah menggunakan kaedah mantik,” jelasnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Zulkiple Abd. Ghani menegaskan, pendakwah tidak boleh mengelak daripada menggunakan ICT kerana ia digunakan secara intensif oleh golongan liberal yang menyebarkan fahaman yang boleh mengelirukan umat Islam.

“Contohnya, Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia yang sudah tentu tidak wujud tanpa kemudahan Internet.

“Dalam tempoh lebih sedekad sejak awal tahun 1990-an, kelompok marginal umat Islam ini turut sama melibatkan diri secara aktif dalam ICT, malah menganggap peluang telah terbuka luas setelah sekian lama terkongkong di bawah kawalan pihak berkuasa,” tulisnya.

Fahami intipati Tarekat Muktabarah

Pelbagai reaksi diterima berikutan pendedahan wujudnya tarekat baru yang mempunyai kaitan dengan Tarekat Naqsyabandiah Al Aliyyah pimpinan Sheikh Nazim Al-Haqqani yang difatwakan haram. Apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘tarekat’?

Pada prinsipnya, ia merupakan perjalanan kepada Allah SWT sebagaimana amalan secara umum yang diamalkan oleh Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in. Itulah perjalanan hidup yang menyeluruh dalam kalangan ulama salaf.

Rasulullah dan sahabat merupakan mereka yang mendahului atau lebih ke hadapan dalam perjalanan menuju Allah, oleh itu mereka adalah orang yang terdekat kepada Allah. Dengan ungkapan lain tarekat ialah melaksanakan agama Islam dengan teliti dan juga menjauhi serta meninggalkan perkara-perkara haram dan syubhah.

Kewajipan-kewajipan yang dituntut oleh Islam dikerjakan dengan sempurna seperti solat lima waktu, puasa bulan Ramadan, zakat, haji dan lain-lain. Selain daripada itu, dikerjakan pula secara bersungguh-sungguh dan penuh minat keutamaan-keutamaan yang dianjurkan oleh Islam seperti mengerjakan solat tahajjud, solat sunat rawatib, puasa hari Isnin dan Khamis, aktif membaca al-Quran, membaca selawat, tasbih, istighfar dan zikir-zikir yang lain.

Manakala perkataan ‘muktabarah’ pula bererti tarekat yang muttasil (bersambung sanadnya) kepada Rasulullah, syari’atnya pula mestilah mengikut aliran Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah iaitu mengikuti satu dari mazhab empat iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali serta amalan tasawwufnya pula hendaklah mengikut ajaran ulama salaf dan khalaf yang muktabar.

Ilmu tarekat ialah ilmu yang membicarakan tentang hal-ehwal nafsu dan sifat-sifatnya seperti sifat-sifat mazmumah yang perlu dijauhi dan ditinggalkan, diisi pula dengan sifat-sifat mahmudah untuk diamalkan. Ia juga membicarakan tentang ilmu ketuhanan dengan menggunakan dalil-dalil akli bagi para murid dan juga syuhud bagi para wasilin. Lebih tepat, ia membincangkan tentang al-Takhalli, al-Tahalli dan al-Tajalli. Apa yang dimaksudkan dengan al-takhalli ialah pembuangan atau pengosongan jiwa daripada sifat-sifat yang hina iaitu sifat-sifat kesyaitanan dan kehaiwanan. Elemen inilah yang menjadi debu dan pengotor jiwa serta hati.

Sementara itu, al-Tahalli pula ialah pengisian jiwa dan hati dengan sifat-sifat mulia yang diistilahkan dengan al-Takhalluq bi Akhlaq Allah (berakhlak dengan akhlak Allah). Setelah melalui dua proses tersebut, jiwa dan hati akan mencapai peringkat kejernihan (al-safa’) yang seterusnya akan melayakkannya untuk menerima al-tajalli iaitu penyaksian dan makrifah.

Dengan ungkapan lain, ilmu ini membincangkan ‘riadah’ dan ‘mujahadah’. Riadah ialah latihan-latihan untuk penyucian jiwa daripada sifat-sifat negatif atau mazmumah. Mujahadah pula ialah perjuangan untuk menghiasi hati dengan sifat-sifat mahmudah.

Daripada huraian-huraian di atas dapatlah disimpulkan bahawa objektif tarekat dipelajari adalah untuk mendapat kebersihan hati daripada terikat kuat dengan kehidupan dunia dan seterusnya dihayati melalui amalan zikir, muraqabah, muhasabah, mahabbah, ma’rifah dan musyahadah kepada Allah SWT.

KRITERIA PENETAPAN
TAREKAT MUKTABARAH

Silsilah dan syariah Islamiyyah merupakan dua perkara yang paling penting bagi menentukan sesebuah tarekat itu muktabarah atau sebaliknya. Silsilah ialah tarekat yang bersambung sanadnya kepada Nabi Muhammad serta ditapis oleh syariah Islamiyyah. Ini bererti bahawa pengajaran sesebuah tarekat itu tidak boleh bercanggah dengan pengajaran syariah yang telah diketahui dan diterima umum oleh masyarakat Islam.

Dalam kalangan ahli sufi dan tarekat, konsep guru (sheikh) adalah amat penting. Malah kelahiran sesebuah tarekat itu adalah disebabkan adanya sheikh. Konsep ini diakui dan dituntut oleh al-Quran dan al-Sunnah. Daripada sudut pendidikan, kesempurnaannya bukan setakat menyampaikan maklumat tentang suatu perkara yang hendak diajar, malah yang lebih penting memperlihatkan kaedah-kaedah dan cara-cara pelaksanaannya yang betul.

Oleh itu, jelaslah betapa pentingnya guru pada setiap bidang pendidikan. Jika dalam bidang ilmu yang bersifat zahir, guru diperlukan dalam mencapai pendidikan yang sempurna, maka dalam bidang ilmu tarekat ini yang sifatnya jauh lebih rumit dan lebih khusus sudah pasti guru sangat-sangat diperlukan. Syarat-syarat untuk menjadi guru yang murshid antara lain:

- taqwa kepada Allah SWT.

- ‘allamah dengan ilmu-ilmu syariah.

- beramal dengan ilmu-ilmu tersebut.

- tamat dari tarbiyah sesebuah tarekat yang muktabarah.

- berakhlak dengan sifat-sifat mahmudah, sifat-sifat munjiyat dan sifat-sifat makarim al-akhlaq, serta menjauhi dan meninggal sifat-sifat mazmumah, sifat-sifat muhlikat, fawahisy ma zahara minha wa ma batan.

Dasar-dasar pembentukan akhlak menurut tarekat, antaranya:

- berpegang dengan al-Quran.

- mengikuti jejak Rasulullah SAW.

- makan dan minum yang halal.

- menjauhi maksiat.

- taubat nasuha daripada segala dosa.

- melaksanakan hak-hak Allah dan menyampaikan hak-hak manusia.

- ​ dilarang menyakiti orang lain sama ada secara zahir atau batin terutama para wali dan ulama.

Dalam pada itu, dakwaan memiliki daya kekuatan ghaib sebenarnya tiada dalam tarekat. Cuma yang ada ialah maunah dan karamah kerana ia merupakan pemberian Allah SWT kepada hamba-Nya yang dikehendaki. Maunah ialah hal yang luar biasa yang terjadi kepada orang mukmin manakala karamah pula ialah perkara luar biasa yang terjadi kepada wali Allah SWT.

Tokoh-tokoh ulama tasawwuf dan tarekat di peringkat awal pada abad ketiga hingga ketujuh hijrah tidak pernah pun membicarakan perkara ini atau tidak menganggap unsur keramat sebegini suatu tanda kesempurnaan ilmu dan amalan mereka.

Apa yang diutarakan di atas hanyalah satu pandangan ringkas untuk pemikiran bersama. Semua idea yang dikemukakan adalah terbuka untuk perbincangan bagi mencari satu penyelesaian yang ideal. Di dalam pengajian tarekat masih banyak lagi konsep-konsep yang tidak disentuh seperti bai’ah rabitah, makrifah dan sebagainya.

Namun begitu kita berpendapat setiap konsep dalam tarekat hendaklah ditundukkan kepada syariah yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah kerana jika konsep-konsep tersebut tidak dijaga dan dikawal oleh syariah, perkembangannya dikhuatiri akan menyalahi syarak. Inilah wasatiyyahnya pembentukan akhlak dalam diari kehidupan seorang sufi. - Abdullah Md Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 29 Mei 2015

Kalaulah Jumaat hari cuti mingguan

HARI Jumaat adalah hari paling utama sehingga digelar sayyidul ayyam atau penghulu segala hari. Ia juga adalah hari perhimpunan mingguan bagi umat Islam khususnya golongan lelaki untuk solat Jumaat dan juga membajai hati melalui khutbah yang disampaikan.

Tentang kelebihan hari Jumaat ini Rasululah SAW ber­sabda yang bermaksud: Allah menyesatkan orang-orang sebelum kami pada hari Jumaat, Yahudi pada hari Sabtu, dan Nasrani pada hari Ahad, kemudian Allah mendatangkan kami dan memberi petunjuk pada hari Jumaat, mereka umat sebelum kami akan menjadi pengikut pada hari kiamat, kami adalah yang terakhir dari penghuni dunia ini dan yang pertama pada hari kiamat yang akan dihakimi sebelum umat yang lain. (Riwayat Muslim)

Bagaimanapun, disebabkan keterbatasan waktu selain kesibukan bekerja, ramai dalam kalangan kita yang tidak sempat melaksanakan amalan-amalan sunat Jumaat. Apa tidaknya, bagi yang tinggal di Lembah Klang misalnya, masa amat kritikal.

Bagi yang tinggal di kawasan seperti Sungai Buloh dan Rawang serta bekerja di Kuala Lumpur, ramai yang terkejar-kejar ke pejabat. Pendek kata, kalau masuk waktu Subuh pada pukul 6 pagi, lepas bagi salam maka mereka akan cabut ke pejabat.

Jarang bagi golongan ini berpeluang solat sajadah pada subuh Jumaat. Sebab itu, imam di sesetengah masjid dan surau tidak membaca ayat sajadah bagi mengelak makmum kelam-kabut dan terganggu solat mereka.

Amalan ini adalah berdasarkan sunnah Rasulullah SAW yang biasa membaca pada hari Jumaat dalam solat Subuh (surah) Alif lam mim tanzilus sajadah dan (surah) Hal ata ‘alal insani hinum minad dahr. (Riwayat Bukhari)

Disebabkan majoriti kita bekerja pada hari Jumaat, maka kita terlepas satu lagi amalan sunat iaitu mandi sebelum menunaikan solat Jumaat. Suruhan ini bersandarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi umat Islam, maka siapa yang hendak menghadiri solat Jumaat hendaklah mandi terlebih dahulu”. (Riwayat Ibnu Majah)

Kita juga digalakkan datang awal ke masjid atau surau untuk solat Jumaat dengan ganjaran pahala yang berar. Dalam bab ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta; sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu; sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas; sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebutir telur.” (Riwayat Ibnu Majah)

Malangnya, sebahagian besar kita yang bekerja tidak dapat datang awal ke masjid pada hari Jumaat kerana waktu rehat untuk solat adalah kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Itu belum ditolak masa perjalanan ke masjid kerana bukan semua kita berada dekat dengan lokasi solat Jumaat.

Satu lagi sunnah pada Jumaat adalah membaca surah al-Kahfi. Ini pun tidak ramai yang mampu melakukannya. Antara alasan utama adalah kesuntukan masa. Yalah, selepas selesai solat Jumaat sudah bergegas pula masuk semula ke pejabat untuk kembali bertugas.

Sebab itu, alangkah baik jika negara kita menukar cuti mingguan daripada Ahad kepada Jumaat. Selain memang Jumaat itu adalah hari kebesaran umat Islam ia juga memberi peluang yang seluas-luasnya kepada umat Islam beribadat.

Ini bukan pula mahu menjadikan kita malas bekerja pada Jumaat tetapi selaras dengan suruhan Allah bersegera solat Jumaat dan bertebaran mencari rezeki di muka bumi selepas menunaikannya. (Rujuk surah Jumuah: 9) - Mohd Radzi Md Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 29 Mei 2015