May 30th, 2015

Meningkatkan tahap patuh syariah dalam tadbir urus

Indeks Syariah Malaysia adalah satu kaedah pengukuran saintifik bagi menentukan usaha kerajaan dalam aspek berkaitan dasar serta program yang dilaksanakan menepati prinsip maqasid syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Indeks itu juga akan mengenal pasti ruang pembaikan yang perlu diberi fokus oleh kerajaan supaya hasil daripada penerapan nilai sejagat dalam Islam itu dapat meningkatkan tahap patuh syariah pada setiap dasar, program pentadbiran serta pembangunan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia, Tan Sri Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata kerajaan komited memastikan usaha dan dasar dilaksanakan menepati maqasid syariah dan perlu ada satu ukuran yang dapat menunjukkan tindakan itu memenuhi prinsip Islam.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Indeks Syariah Malaysia yang merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di negara ini melalui pengukuran tuntutan syarak yang lebih menyeluruh pada bulan Februari yang lalu.


Tepati piawaian Islam

Beliau berkata, berdasarkan kajian saintifik dijalankan nanti kesungguhan kerajaan dalam menepati piawaian Islam dapat dinilai selain mengenal pasti ruang pembaikan yang perlu diberi perhatian dalam usaha meningkatkan tahap patuh syariah. "Indeks Syariah ini idea Perdana Menteri kerana beliau melihat sejak merdeka lagi, kerajaan sangat komited memastikan dasar serta tindakan dibuat selari dengan syariah.

Oleh itu, perlu ada mekanisme untuk menilai secara sistematik sejauh mana komitmen itu menepati maqasid syariah. "Indeks ini juga untuk mengelak tanggapan negatif terhadap usaha kerajaan kerana ada yang dibuat tidak mempunyai label Islam, tetapi hasilnya menepati maqasid syariah.

Contohnya, sekolah kebangsaan walaupun tiada label Islam, tetapi tujuannya memberi ilmu kepada semula pelajar adalah selari prinsip Islam," katanya kepada BH pada pertemuan di pejabatnya, baru-baru ini.

Model Indeks Syariah Malaysia dilancarkan pada 10 Februari lalu sebagai mekanisme bagi memperbaiki dan menambah baik program untuk kesejahteraan rakyat. Indeks syariah itu mencakupi lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana serta sosial.

Bagi setiap bidang itu ia meliputi penyempurnaan lima aspek dalam maqasid syariah atau matlamat syariah iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Fokus indeks adalah berkaitan dasar, program atau pembangunan dilaksanakan kerajaan yang memiliki nilai murni dan menepati prinsip Islam.


Solat perlu dilakukan dengan teliti dan sepenuh hati supaya ia diterima Allah SWT. - Gambar hiasan

Ukuran indeks berdasarkan tiga komponen

Pengukuran pencapaian indeks itu dilakukan ke atas tiga komponen iaitu penggubal dasar (pemerintah), pelaksana dasar (agensi pelaksana) dan masyarakat awam keseluruhannya.

Elemen maqasid syariah menjadi teras pengukuran kerana ia menepati semua aspek kehidupan. Indeks Syariah yang bersifat menyeluruh, komprehensif dan pertama seumpamanya di dunia itu juga adalah pelengkap kepada tadbir urus Islam di Malaysia.

Memandangkan Indeks Syariah ini adalah satu usaha rintis, amalan terbaik beberapa negara terpilih seperti Indonesia, Pakistan, Turki dan Maghribi dijadikan asas perbandingan atau penanda aras bagi tujuan penambahbaikan proses pengukuran indeks syariah di Malaysia.

Abdul Shukor menjelaskan, pendekatan digunakan untuk mengukur secara sistematik itu ialah 'nilai, lihat dan ukur' dasar, pelaksanaan serta pembangunan dilakukan oleh kerajaan adakah ia sudah menepati maqasid syariah atau sebaliknya.

Maknanya, Indeks Syariah Malaysia akan menyemak sama ada dasar dan program diperkenalkan kerajaan menepati tahap penyempurnaan lima aspek maqasid syariah. Jika sudah menepati, ia berada di tahap mana, sudah berjaya, sangat berjaya atau tidak berjaya.

"Pengukuran Indeks Syariah menjadi penanda aras setakat mana kerajaan telah melaksanakan prinsip syariah dalam pemerintahan. Perundangan umpamanya, kita melihat apakah aspek perundangan negara benar-benar memenuhi tuntutan syariah. "

Jika undang-undang itu bukan undang-undang Islam, tetapi pelaksanaan memenuhi tuntutan syariah maka ia dianggap sebagai patuh syariah. Begitu juga pengurusan ekonomi, pembasmian kemiskinan atau kesaksamaan dalam pengagihan kekayaan perlu memenuhi tuntutan syarak," katanya.

Katanya, melalui Indeks Syariah juga kerajaan dapat membuat perancangan masa depan. Dalam proses membuat kajian tentu akan bertemu perkara yang sudah tercapai atau masih dalam usaha mencapai maqasid syariah.

Jika ada kelompangan, kerajaan perlu memberi perhatian kepada usaha peningkatan serta penambahbaikan. "Usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat sudah ada, tetapi persoalannya pencapaiannya pada tahap mana.

Andai taraf hidup yang baik hanya dinikmati sebahagian kecil sahaja, apakah usaha kerajaan itu sudah tercapai. Inilah yang akan kita nilai, lihat dan ukur," katanya.

Pakar pelbagai bidang

Abdul Shukor berkata, pengukuran Indeks Syariah bukan dibuat dengan sewenang-wenangnya sebaliknya ia membabitkan banyak pihak termasuk perbincangan pakar daripada pelbagai bidang untuk menyumbang ke arah penghasilan indeks yang benar-benar menepati matlamat pengukuran Indeks Syariah itu.

Bagi tujuan itu, Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia yang terdiri daripada sembilan pakar dalam bidang masing-masing akan mendapatkan kerjasama penyelidik dari enam universiti untuk membuat penyelidikan serta mendapatkan input diperlukan. Universiti terbabit ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau memberitahu, kerangka kajian Indeks Syariah Malaysia telah siap dan sebahagian kerja sudah dimulakan. Banyak lagi program serta dasar kerajaan yang perlu dinilai dan dilihat sejauh mana menepati prinsip syariah.

"Kita menjangkakan akhir tahun ini kita akan dapat hasil kajian pada peringkat awal. Daripada hasil kajian dan data diperoleh, kita akan ada apa yang kita sifatkan sebagai prototaip. Berdasarkan kepada perancangan, Mac tahun depan kita boleh kemukakan laporan Indeks Syariah itu kepada kerajaan. "

Ini akan diikuti dengan memberi penilaian yang dicadangkan dilakukan pada tahun 2016 hingga tahun 2017, manakala pada tahun 2017 hingga tahun 2018, indeks itu sudah mencapai tahap kita berpuas hati dan mendapat pengiktirafan bukan sahaja dalam negara, malah dari negara luar," katanya.

Mengakui ia bukan tugas mudah, Abdul Shukor berkata, Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia akan membuat kawal selia serta pemantauan Indeks Syariah secara sepenuh masa untuk menilai persepsi serta tahap kepuasan masyarakat melalui semakan dasar patuh syariah dan pelaksanaannya.

Jawatankuasa juga akan memperkukuhkan kefahaman masyarakat dari semasa ke semasa melalui strategi menyedar, menjiwakan, mendidik masyarakat terhadap usaha kerajaan supaya mereka memahami apa yang ingin dicapai kerajaan serta berkongsi aspirasi itu kerana hasilnya nanti adalah demi kesejahteraan rakyat.

Amalan tarekat perlu tunduk kepada syariah berasaskan al-Quran, sunah

Pelbagai reaksi diterima berikutan pendedahan wujudnya tarekat baharu yang mempunyai kaitan dengan Tarekat Naqsyabandiah yang diharamkan.

Apa yang dimaksudkan dengan tarekat? Pada prinsipnya, tarekat adalah perjalanan kepada Allah SWT seperti mana amalan umum yang diamalkan Rasulullah SAW, sahabat dan tabi'in. Itulah perjalanan hidup yang menyeluruh dalam kalangan ulama salaf.

Rasulullah SAW dan sahabat adalah mereka yang mendahului atau lebih ke hadapan dalam perjalanan menuju Allah SWT, justeru, mereka adalah yang terdekat kepada Allah SWT.

Dalam ungkapan lain, tarekat ialah melaksanakan agama Islam dengan teliti, menjauhi serta meninggalkan perkara haram dan syubhah.

Kewajipan yang dituntut Islam dikerjakan dengan sempurna seperti solat lima waktu, puasa pada bulan Ramadan, zakat, haji dan lain-lain.

Selain itu, dikerjakan pula secara bersungguh dan penuh minat keutamaan yang dianjurkan Islam seperti solat tahajud, solat sunat rawatib, puasa hari Isnin dan Khamis, aktif membaca al-Quran, berselawat, tasbih, istighfar dan zikir lain.

Bicara hal ehwal nafsu

Perkataan mu'tabarah pula bererti tarekat yang muttasil (bersambung sanadnya kepada Rasulullah SAW), syariatnya pula mestilah mengikut aliran Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah iaitu mengikut salah satu dari mazhab empat iaitu Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali serta amalan tasaufnya mengikut ajaran ulama salaf dan khalaf yang muktabar.

Ilmu tarekat ialah ilmu yang membicarakan hal ehwal nafsu dan sifatnya seperti mazmumah yang perlu dijauhi serta ditinggalkan, diisi dengan sifat mahmudah untuk diamal.

Ilmu ini juga membicarakan ilmu ketuhanan dengan menggunakan dalil akli bagi murid dan juga syuhud bagi wasilin. Dengan ungkapan lain, ilmu ini membincangkan mengenai al-Takhalli, al-Tahalli dan al-Tajalli.

Apa yang dimaksudkan dengan al-takhalli ialah pembuangan atau pengosongan jiwa daripada sifat yang rendah dan hina iaitu sifat kesyaitanan serta kehaiwanan.

Sifat inilah yang menjadi debu serta pengotor jiwa dan hati. Manakala al-Tahalli pula ialah pengisian jiwa dan hati dengan sifat yang tinggi serta mulia yang diistilahkan dengan al-Takhalluq bi Akhlaq Allah (berakhlak dengan akhlak Allah).

Selepas melalui dua proses itu, jiwa dan hati akan mencapai peringkat kejernihan serta keheningan (al-safa') yang seterusnya akan melayakkannya untuk menerima al-tajalli iaitu penyaksian dan makrifah.

Dalam erti kata lain, ilmu ini membincangkan 'riadhah' dan 'mujahadah.' Riadhah ialah latihan untuk tasfiyatu al-qalb atau tazkitual-nafs (penyucian jiwa) daripada sifat negatif atau mazmumah. Inilah juga yang diistilahkan dengan 'al-takhalli.'

Mujahadah pula ialah perjuangan untuk mewarna dan menghiasi hati dengan sifat mahmudah. Ini ada persamaan dengan istilah 'al-tahalli' dan 'al-takhalluqbli Akhlaq Allah.'

Ilmu untuk kebersihan hati

Daripada huraian itu, dapatlah disimpulkan bahawa objektif ilmu ini dipelajari adalah untuk mendapat kebersihan hati dari ta'aluq bi duniawiyyah (hati kuat terikat dengan kehidupan dunia), seterusnya dihayati melalui amalan zikir, muraqabah, muhasabah, mahabbah, ma'rifah dan musyahadah kepada Allah SWT.

Silsilah dan syariah Islamiyyah adalah dua perkara penting bagi menentukan sesebuah tarekat itu mu'tabarah atau tidak.

Silsilah ialah tarekat yang bersambung sanadnya kepada Nabi Muhammad SAW serta ditapis oleh syariah Islamiyyah. Ini bererti pengajaran tarekat itu tidak boleh bercanggah atau berlawanan dengan pengajaran syariah yang diketahui serta diterima oleh masyarakat Islam.

Tarekat yang mu'tabarah mestilah berasaskan Islam beraliran Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah dan berpegang dengan salah satu dari mazhab empat.

Dalam kalangan ahli sufi dan tarekat, konsep guru (syaikh) adalah penting. Malah kelahiran sesebuah tarekat itu disebabkan adanya syaikh.

Konsep syeikh ini diakui dan dituntut oleh al-Quran dan al-Sunah. Pendidikan yang sempurna bukan setakat menyampaikan maklumat mengenai suatu perkara yang hendak diajar, malah lebih penting ialah memperlihatkan kaedah serta cara pelaksanaannya yang betul.

Oleh itu, jelaslah pentingnya guru pada setiap bidang pendidikan.

Peranan guru

Solat perlu dilakukan dengan teliti dan sepenuh hati supaya ia diterima Allah SWT. - Gambar hiasan

Jika dalam bidang ilmu yang bersifat zahir, guru diperlukan bagi mencapai pendidikan sempurna, maka dalam bidang ilmu tarekat ini yang sifatnya jauh lebih rumit serta lebih khusus, sudah pasti guru sangat diperlukan.

Syarat untuk menjadi guru yang murshid antara lain ialah takwa kepada Allah SWT, beramal dengan ilmu syariah, tamat dari tarbiah sesebuah tariqah yang mu'tabarah, berakhlak dengan sifat mahmudah dan sifat makarim al-akhlaq, menjauhi serta meninggalkan sifat mazmumah.

Pokok ajaran akhlak tariqat ialah berpegang dengan al-Quran, mengikuti jejak Rasulullah SAW, makan dan minum yang halal, menjauhi maksiat, taubat nasuha dari segala dosa, melaksanakan hak Allah, menyampaikan hak manusia, dilarang menyakiti orang lain secara zahir atau batin terutama wali dan ulama.

Dakwaan memiliki daya kekuatan ghaib tidak ada dalam tarekat. Cuma yang ada ialah ma'unah dan karamah kerana ia adalah pemberian Allah SWT kepada hambaNya yang dikehendaki.

Ma'unah ialah hal luar biasa yang terjadi kepada orang mukmin. Manakala karamah pula ialah perkara luar biasa yang terjadi kepada wali Allah SWT.

Tokoh ulama tasauf dan tarekat pada peringkat awal abad ke tiga hingga ke tujuh hijrah tidak pernah membicarakan perkara ini atau tidak menganggap karamah suatu tanda kesempurnaan ilmu dan amalan mereka. Apa yang diutarakan hanyalah satu pandangan ringkas untuk pemikiran bersama.

Semua idea dikemukakan adalah terbuka untuk perbincangan bagi mencari penyelesaian yang ideal. Dalam pengajian tarekat masih banyak lagi konsep yang tidak disentuh seperti bai'ah rabitah, makrifah dan sebagainya.

Namun, kita berpendapat setiap konsep dalam tarekat hendaklah ditundukkan kepada syariah berdasarkan al-Quran dan al-Sunah kerana jika konsep itu tidak dijaga dan dikawal oleh syariah, ia akan berkembang dan dikhuatiri menyalahi syarak. Inilah wasatiyyahnya pembentukan akhlak dalam diari kehidupan seorang sufi.

Mudahnya Islam: Keringanan diberikan syarak

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang meredai Islam sebagai agama anutan kita. Agama yang bersifat mudah dan toleransi ALLAH berfirman: "Dialah yang memilih kamu; dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama." (Surah Al-Hajj: 78)

Inilah agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, membawa rahmat, kebaikan dan kebahagiaan buat manusia. Inilah agama yang ALLAH berpesan kepada kita untuk berpegang dengannya sehingga tiba ajal. ALLAH SWT berfirman: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada ALLAH dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Surah Ali-Imran: 102)

Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail AS berdoa agar mereka dan zuriat mereka tergolong dalam kalangan penganut Islam. Doa mereka dirakamkan dalam al-Quran dalam firman-Nya:  "Wahai Tuhan kami! Jadikanlah Kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu." (Surah Al-Baqarah: 128)

Gambar Hiasan - Idris Sulaiman (Ahli Majlis Syura Pertubuhan Ilmuwan Malaysia)

"Dan Nabi Ibrahim berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya dengan) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya ALLAH memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Surah Al-Baqarah: 132)

Islam bererti menyerahkan diri kepada ALLAH dengan tauhid dan tunduk kepada-Nya dengan ketaatan dan membebaskan diri daripada segala bentuk syirik perhambaan kepada selain ALLAH. Maka Islam menjadi agama seluruh nabi-nabi.

Dan berkata Musa: "Wahai kaumku! Jika kamu telah beriman dengan ALLAH maka hendaklah kamu bertawakal kepada-Nya jika kamu orang Islam." (Surah Yunus: 84)

Justeru, Islam dengan dengan pengertiannya yang am merangkumi seluruh syariat yang diutus kepada golongan nabi. Begitu juga lafaz orang Islam yang merangkumi seluruh umat manusia yang mengikuti nabi mereka sebelum kedatangan Nabi SAW.

Dengan kedatangan Baginda SAW disatukan seluruh agama samawi untuk kedua-dua alam jin dan manusia dan syariat Baginda SAW berterusan sehingga ke akhir zaman tanpa ditukar atau dimansuhkan sehinggalah tiba hari kiamat. Kerana itu, ALLAH mewajibkan seluruh umat manusia akhir zaman untuk ikut dan mentaatinya.

Firman ALLAH: "Dan sesiapa memilih selain Islam sebagai agama, maka ia tidak akan diterima daripadanya dan pada hari akhirat kelak dia tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi." (Surah Ali Imran: 85)

Dalam ayat lain ALLAH menitahkan Nabi SAW untuk berkata: "Katakanlah: Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah pesuruh ALLAH kepada kamu semua. Yang Menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan melainkan dia. Yang Menghidupkan dan Mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada ALLAH dan Rasul-Nya, Nabi yang buta huruf." (Surah Al-A’araaf: 158)

Islam adalah agama mudah yang bersifat toleransi. Sejajar dengan firman ALLAH: "ALLAH inginkan yang mudah bagi kamu dan Dia tidak mahu untuk kamu yang susah." (Surah Al-Baqarah: 185). "Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung dalam agama sesuatu yang susah." (Surah Al-Hajj: 78)

Rasulullah SAW bersabda: "Jika aku perintahkan kamu melakukan sesuatu, maka lakukanlah ia sedaya yang kamu mampu." (Riwayat Bukhari & Muslim). ALLAH meraikan dalam agama-Nya yang agung ini dengan sifat rahmat-Nya keadaan hamba-Nya yang beriman agar mereka tidak dibebani dengan suatu yang di luar kemampuan mereka.

Syarak meraikan perbezaan situasi dan keadaan dalam hukum-hakamnya. Maka orang musafir diberi rukhsah kelonggaran untuk berbuka puasa pada siang Ramadan dan mengqadaknya di hari lain. Mereka diberi keringanan untuk mengqasarkan solat fardu empat rakaat menjadi dua rakaat sahaja di samping dibolehkan jamak menghimpunkan antara dua solat untuk dikerjakan dalam waktu salah satu daripadanya.

Buat mereka yang dalam keadaan ketakutan yang teramat, diizinkan untuk mereka solat dalam apa jua keadaan; sama ada berjalan atau di atas kenderaan dengan menghadap kiblat atau tidak.

Dibolehkan bagi orang yang sakit untuk solat fardu mengikut kemampuan sama ada berdiri, duduk atau baring. Syarak juga memberi kemaafan atas kesalahan dan kesilapan yang dilakukan tanpa sengaja, lupa atau kerana dipaksa.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa lupa ketika sedang berpuasa lalu makan atau minum, hendaklah dia menyempurnakan puasanya. Sesungguhnya ALLAH yang telah memberinya makan dan minum." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Syarak juga membolehkan dalam keadaan darurat dan terpaksa apa yang asalnya adalah haram seperti memakan bangkai. Firman ALLAH: "Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Baqarah: 173)

Syarak mengharuskan jika tiada air atau khuatir penggunaannya membawa mudarat untuk tayamum menyapu wajah dan kedua tangan sebagai ganti wuduk. Begitulah sebahagian contoh kemudahan dan keringanan yang diberikan syarak bagi meraikan situasi dan keadaan manusia dalam urusan ibadah dan kehidupan mereka.

Atas dasar ini, syarak menegah perbuatan berlebih-lebihan dan sifat melampau kerana ia bertentangan dengan prinsip kemudahan dan toleransi Islam. Maka umat Islam dilarang menyusahkan diri dalam ibadah yang dilakukan. Mereka dituntut agar sentiasa berpada-pada.

Salah faham erti toleransi

Terdapat sebahagian kelompok yang cuba menyalah ertikan maksud kemudahan dan keringanan agama. Akhirnya mereka membolehkan hal yang haram dan meninggalkan perkara wajib atas alasan bahawa Islam bersifat mudah dan toleransi. Ternyata ungkapan mereka menjurus kepada 'perkataan benar tetapi dengan niat yang batil'.

Keringanan dan kemudahan yang diberikan syarak sama sekali bukan bererti meninggalkan apa yang wajib dan melakukan apa yang haram dengan sewenang-wenangnya. Sebaliknya, toleransi Islam menjurus kepada erti menggantikan ibadah yang susah dengan ibadah yang mudah. Seperti menggantikan solat empat rakaat dengan solat qasar dua rakaat kerana musafir dan menggantikan air dengan tanah untuk tayamum kerana ketiadaan air.

Kewajipan itu tidak ditinggalkan kerana tidak suka atau benci terhadapnya, tetapi atas dasar keterpaksaan semata-mata. Justeru, kemudahan dan toleransi Islam tidak bererti meninggalkan kewajipan dan melakukan yang haram tanpa sebab yang syarie. Bahkan siapa berbuat sedemikian layak menerima hukuman di dunia dan akhirat. Atas dasar ini syarak menetapkan hukuman dan denda sebagai langkah pencegahan untuk mematikan masyarakat Islam terus patuh dengan hukum syarak.

Adapun mereka yang melakukan maksiat lalu berhujah dengan alasan apa yang penting adalah niat baik di hati. Hujah ini batil tidak boleh diterima kerana jika hati itu baik, beriman dan bertakwa pasti ia akan benci terhadap maksiat serta menjauhinya. Kerana itu ALLAH SWT berfirman: "Dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama ALLAH sesungguhnya perbuatan demikian adalah kesan daripada ketakwaan hati." (Surah Al-Hajj: 32). Oleh itu, perbuatan yang buruk menjadi petanda hati yang buruk kerana hati yang baik akan menunjukkan kesan yang baik pada zahir seseorang.

Ramadan rai budaya tadabur, menghafal

ALLAH SWT menamakan al-Quran dengan beberapa nama. Antaranya dinamakan Al-Kitab, sebagai indikasi umat ini adalah umat yang membaca. Dinamakan juga Nur, dalam Surah An-Nisaa, dan Roh dalam Surah As-Syura.

Dengan nama Nur, al-Quran ini menerangi dan dengan nama Roh menunjukkan bahawa ia menggerakkan serta menghidupkan jiwa.

Sempena kedatangan Ramadan, seminar Nikmatnya Bertadabur dan Menghafal Quran akan dilaksanakan dengan tujuan mendidik orang ramai membaca, mengingat dan mengamalkan al-Quran, agar masyarakat bercahaya dengan akhlak, dan bersemi dalam jiwa nilai-nilai kebaikan.

Pelajarilah cara bacaan al-Quran yang sebetulnya kerana ia perlu dan wajib bagi kita umat Islam. - Gambar hiasan

Seminar anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) bersama Akademi Sinergi Ikhlas bakal menggandingkan dua tokoh agama dari dua negara serumpun iaitu Dr Abdul Basit Abdul Rahman (Malaysia) dan Ustaz Bachtiar Abdul Nasir (Indonesia) sebagai penyampai utama.

Dr Abdul Basit atau dikenali ramai dengan Abu Anas Madani adalah tokoh agama yang banyak menulis buku dan menyampaikan kuliah. Beliau juga adalah penyelia Pondok Sungai Durian, Kelantan. Pondok Sungai Durian antara yang terjejas teruk semasa banjir besar Kelantan tahun lalu.

Manakala, Ustaz Bachtiar Nasir ialah  tokoh agama yang dikenali ramai di Indonesia. Beliau turut memimpin institusi pendidikan, Ar-Rahman Quranic Learning (AQL) Center dan Pesantren Ar-Rahman Quranic College (AQC) di Jakarta. Ustaz Bachtiar turut menulis buku bertajuk Tadabur Al-Quran serta membina modul menghafal al-Quran yang praktikal untuk semua golongan.

Tajuk yang akan disampaikan antaranya: Ahlan Ya Ramadan, Persediaan Ramadan- Tadabur Al-Quran, Al-Quran Dihatiku- Menghafaz al-Quran Menjelang Ramadan, Ramadan Penuh Barakah Dengan Al-Quran, Talk Show- Nikmatnya Menghafal & Tadabur Al-Quran.

Nikmat hayati al-Quran

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang membaca al-Quran datang pada hari kiamat, lalu al-Quran berkata: "Ya Tuhan, berilah dia pakaian," maka dia diberi mahkota kemuliaan.

Kemudian al-Quran berkata lagi: "Ya Tuhan, tambahilah lagi." maka dia diberi pakaian kemuliaan. Kemudian al-Quran berkata lagi: "Ya Tuhan, redailah dia," maka ALLAH reda kepadanya. Lalu dikatakan kepadanya: "Bacalah dan tingkatkanlah," dan dia ditambahi satu kebaikan dari setiap satu ayat.

Dr Yusuf Al-Qaradawi memberikan motivasi menghafal dengan berkata: "Lafaz dan kalimat al-Quran terkandung keharmonian, kenikmatan dan kemudahan, yang membuatnya mudah dihafal bagi orang yang ingin menghafalnya, ingin memasukkan ke dalam dada dan menjadikan hatinya sebagai wadah bagi al-Quran.

Membaca, mengingat dan mengamalkan adalah gabungan kukuh memasakkan al-Quran dalam kehidupan. Ketiga-tiga aktiviti tersebut dalam masa sama perlu digandingkan dengan bertadabur agar kita dapat meneguk hikmah melalui pesan yang disampaikan.

Seperti yang dikatakan Sheikh Soleh Fauzan: "Kita memikirkan makna ayat al-Quran, apa yang ditunjukkannya, rahsia dan berita yang terdapat daripada ayatnya, sehingga kita mendapatkan manfaat berupa hidayah, rasa takut kepada ALLAH dan ibadah kepada-Nya. Dan kita tahu apa yang harus kita tinggalkan dan apa yang kita tinggalkan daripada perbuatan, perkataan, interaksi sosial dan yang lainnya."

Abdul Basit dan Ustaz Bachtiar Nasir akan mengulas dengan lebih dalam secara praktikalnya menerusi seminar Nikmatnya Menghafal dan Bertadabbur Quran pada 14 Jun ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Orang ramai dijemput hadir ke seminar ini untuk mendapatkan manfaatnya, dan hasilnya terbentuk jiwa Qurani dalam masyarakat. Penganjur turut membuka peluang tajaan yang membolehkan seramai mungkin peserta dapat mengikuti perjalanan seminar.

Maklumat seminar dan urusan pendaftaran boleh dirujuk di laman Bit.ly/ramadhan1436 atau terus menghubungi urusetia 0122230782 (Khadijah) dan 0139916967 (Fadhil).

Dia … suami luar biasa

MANUSIA diciptakan dengan fitrahnya tersendiri. Lelaki mempunyai kecenderungan meminati dan tertarik dengan wanita. Begitulah sebaliknya dengan wanita. Mana-mana lelaki atau wanita yang tidak mempunyai perasaan ini maka dia melanggari fitrah yang diciptakan ALLAH SWT.

Bagi memenuhi tuntutan fitrah ini secara suci, Islam sediakan jalan perkahwinan. Melalui perkahwinan, perasaan dan nafsu yang ada pada lelaki dan wanita dapat disempurnakan dengan cara yang halal dan diberikan pahala. Apabila jalan halal ditawarkan, maka tidak ada lagi ruang untuk diharuskan jalan yang haram iaitu zina.
Teruna dara bercinta

Seorang lelaki dan perempuan pasti akan melalui detik-detik cinta dalam hidupnya. Apabila sampai ke suatu tahap umur, si teruna akan terpikat dengan si dara. Anak dara pula teruja tatkala ada teruna yang ingin berkenalan dengannya. Perasaan ini adalah fitrah yang dianugerahkan. Ia hanya perlu diuruskan dengan betul mengikut landasan yang disediakan.


Gambar hiasan ...

Pasangan pemuda dan pemudi yang istilahnya sedang dilamun cinta, pertama sekali bersyukurlah kerana anda memiliki fitrah yang normal. Kedua, pastikan cinta yang dijalin tersebut jelas dan betul hala tujunya, iaitu menuju ke gerbang perkahwinan sebagai menyahut saranan al-Quran dan sunnah Rasul junjungan.

Jika  kedua-duanya meletakkan matlamat perkenalan dan hubungan yang dijalin demi meraih reda dan rahmat Ilahi, maka anda tidak akan tergamak untuk mencemarkannya dengan perbuatan yang mengundang dosa. Perkahwinan dan rumah tangga mesti diliputi dengan cinta dan kasih sayang.

ALLAH berfirman: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir." (Surah Al-Rum: 21)

Jika rumah tangga sunyi daripada kasih sayang dan belas ihsan malah diganti pula dengan marah dan kebencian, itu tandanya ia jauh dari rahmat dan keberkatan. Perlu dirawat sebelum terlambat. Perlu dicegah sebelum parah.

Layani dengan baik

Kasih sayang dan belas ihsan mampu disuburkan apabila pasangan suami isteri tahu dan sedar hak dan tanggungjawab masing-masing. Keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga akan sentiasa bersemarak apabila adanya konsep 'saling' antara suami isteri seperti saling mengasihi, menghormati, memahami, mempercayai, mendoakan dan mengingati.

Wahai suami, isteri anda juga seorang manusia yang punya jiwa dan perasaan. Usah dilayan seperti seorang hamba atau khadam. Bersyukurlah kerana ada wanita yang sudi menjadi peneman setia perjalanan hidup anda. Bersyukurlah kerana ada wanita yang sanggup menanggung kesakitan mengandung dan melahirkan zuriat keturunan anda. Bersyukurlah kerana ada wanita yang sudi menerima diri anda, kelebihan dan kekurangan diterima seadanya.

Dialah isteri. Isteri yang perlu disantuni sehabis baik oleh suami. Bukan tanda "takut bini". Tetapi itulah lambang suami mithali. Melayani isteri seperti yang termaktub dalam al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Firman ALLAH: "Dan layani dan bergaullah dengan mereka (isteri) secara baik (makruf)." (Surah Al-Nisaa’: 19)

Rasulullah SAW juga berpesan: "Terimalah wasiat ini supaya kamu semua berlaku baik dengan golongan perempuan." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Rasulullah SAW adalah contoh suami terbaik dan Baginda SAW mengingatkan: "Sebaik-baik manusia dalam kalangan kamu ialah yang paling baik dengan isterinya dan akulah yang paling dengan isteriku." (Riwayat Ibn Hibban, dinilai hasan lighairihi oleh Syuaib al-Arnaut)

Jadi, usah berasa kekok dan malu untuk menguruskan rumah dan anak. Ketika anda membantu isteri melakukan kerja, niatlah itu semua kerana anda ingin mengikut sunnah. Anda ingin menjadi suami yang terbaik untuk isteri seperti yang dipesan oleh Nabi Muhammad SAW.

Sunnah mengajar kita menjadi suami luar biasa yang mampu memahami hati perempuan dan menghormati hak isteri. Layani isteri anda dengan baik kerana Rasulullah SAW sangat baik dengan isteri-isterinya. Bisikkan kata-kata cinta. Hadiahkan kucupan mesra. Dengar luahan hatinya. Sabar dengan rajuknya. Belai sifat manjanya. Nasihati kecuaiannya. Pimpin tangannya hingga ke syurga.

Berikan nafkah
Isteri juga punyai hak-hak lain yang perlu ditunaikan oleh suami. Dalam sebuah hadis, Mu’awiyah bin Haidah RA bertanya kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah, apa hak seorang isteri yang harus dipenuhi oleh suaminya?" Maka Rasulullah SAW menjawab: "Engkau memberinya makan apabila engkau makan,  memberinya pakaian apabila engkau berpakaian, janganlah engkau memukul wajahnya, janganlah engkau mencaci dan menghinanya, janganlah engkau meninggalkannya melainkan dalam rumah (yakni jangan berpisah tempat tidur melainkan dalam rumah)." (Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad, Hadis sahih dan disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh az-Dzahabi)

Berdasarkan hadis ini, suami yang bertanggungjawab akan berusaha untuk menyempurnakan nafkahnya kepada isteri. Disediakan tempat tinggal, makan dan pakaian mengikut kemampuannya. ALLAH berfirman: "…Dan kewajipan ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak dibebani lebih dari kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah: 233)

Hendon binti ‘Utbah isteri kepada Abu Sufyan pernah datang mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya tidak memberikan nafkah yang cukup untuk dia dan anak-anaknya. Sehinggakan Hendon terpaksa mengambil harta suaminya tanpa diberitahu demi menyara keperluannya. Hendon bertanya kepada Rasulullah SAW adakah perbuatannya itu dibolehkan? Lalu Rasulullah SAW menjawab: "Ambillah hartanya (suami) secara baik, sekadar memenuhi keperluanmu dan anakmu sahaja." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Wahai suami, kerahkan kudratmu untuk mencari pendapatan yang halal. Setiap kepenatan dan perit jerih anda membanting tulang mencari rezeki, niatkan untuk menjadi suami yang terbaik seperti yang disuruh oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Mudah-mudahan niat ini akan menghilangkan kepenatan dan diganti dengan kebahagiaan hingga ke syurga.

Selain itu, ombak tidak selalunya tenang, kadangkala ia bergelora. Seorang suami mungkin diuji dek karenah isteri. Namun, kesilapan dan kecuaian isteri bukanlah menjadi ruang untuk suami memperlakukan apa sahaja. Dalam keadaan ini pun, isteri masih ada hak yang perlu diraikan. Berikan teguran dan nasihat dengan baik.

Dalam membuat teguran, elakkan perkataan yang menghina dan merendah-rendahkan maruahnya. Dialah wanita yang telah menyempurnakan cinta anda. Mengapa perlu diherdik dan dihina?

Jika perlu dipisahkan tempat tidur, lakukan hanya di rumah sendiri.  Anda pisahkan tempat tidur demi memberi peringatan dan ruangnya untuknya bermuhasabah. Kesalahannya tidak perlu diheboh-hebohkan.

Jika sampai tahap perlu dipukul pun, pukulan tersebut tidak boleh mencederakan fizikalnya. Hanya demi mendidik dan memberi pengajaran.  Elakkan memukul wajahnya, kerana wajah lambang kemuliaan seseorang.

Wahai suami, apabila anda menjadi seorang suami seperti yang diajar oleh al-Quran dan ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW, andalah suami yang luar biasa. Isteri berbangga mempunyai suami seperti anda. Dalam diam dia berkata: "Dia…Suamiku luar biasa!"

*ABD RAZAK MUTHALIB (Penulis adalah bekas pensyarah Fakulti Sains Sosial, Kolej Islam Antarabangsa. Berkelulusan sarjana dan ijazah sarjana dalam bidang Ilmu Wahyu, UIA)

Henti fatwa bercanggah demokrasi

FATWA adalah satu sumber hukum perundangan Islam. Di Malaysia, secara amalannya fatwa dibuat oleh mereka yang dilantik khusus berkaitan kefatwaan sama ada sebagai mufti atau jawatankuasa fatwa.

Dalam proses membuat fatwa, pakar dalam bidang berkaitan diberi ruang untuk membantu mufti dan jawatankuasa fatwa membuat keputusan mengenai hukum syarak.

Kebiasaannya mufti tidak mengeluarkan fatwa secara bersendiri. Apabila sesuatu fatwa dikeluarkan dan jika diwartakan ia akan menjadi undang-undang yang wajib dipatuhi.

Dalam keadaan ini ada pihak berhujah bahawa proses kefatwaan tidak menepati kehendak demokrasi, yang semua peraturan dan undang-undang hendaklah diluluskan menerusi proses dalam Dewan Perundangan.

Jika prosedur perundangan tidak ditepati maka ia tidak menepati demokrasi. Bagi menjelaskan mengenai kedudukan fatwa dalam sistem demokrasi, fatwa di negara kita ini sepenuhnya berkaitan soal hukum syarak, ia bukan undang-undang dalam konteks faham undang-undang mengenai maslahah awam yang diluluskan oleh Parlimen.

Hukum syarak tidak perlu dibahas melalui proses demokrasi. Keputusan hukum syarak hanya boleh dibuat oleh mereka yang pakar dalam soal hukum syarak selepas mendapatkan maklumat atau pengetahuan daripada mereka yang pakar dalam hal berkaitan permasalahan yang memerlukan pernyataan kedudukannya di sisi hukum syarak.

Kesungguhan pihak berwibawa

Fatwa adalah hasil kesungguhan pihak berwibawa mengenai hukum syarak mengenai hukum syarak; bukan undang-undang untuk kemaslahatan yang lain.

Konsep kebebasan bersuara dalam membuat sesuatu fatwa hendaklah terhad kepada kalangan mujtahid berkelayakan sahaja.

Kebebasan bersuara dalam urusan hukum syarak tidak seharusnya dibuat terbuka untuk perbahasan awam atau perbahasan Parlimen. Tetapi ini bukan bermaksud mengetepikan mereka yang berkepakaran dalam bidang berkaitan masalah yang memerlukan fatwa.

Dalam kes Sulaiman bin Takrib v kerajaan Terengganu (Kerajaan Malaysia-pencelah) (dan 2 Rayuan lain-lain), satu daripada pempetisyen didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Enakmen 2001 kerana bertindak menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang disiarkan dalam warta mengenai ajaran sesat.

Pempetisyen memohon deklarasi bahawa Seksyen 51 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) Enakmen 2001 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Enakmen 2001 adalah batal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan memutuskan kuasa Jawatankuasa Fatwa tidak boleh disamakan dengan kuasa Dewan Undangan Negeri dalam membuat undang-undang berkaitan kesalahan. Jawatankuasa fatwa boleh membuat fatwa dalam semua perkara berkaitan agama Islam dan kesan mengikat fatwa bukan dibuat Jawatankuasa Fatwa itu.

Kesan fatwa yang mengikat itu diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri. Walaupun begitu, dalam keadaan semasa, perkara yang perlu dipulihkan dalam institusi fatwa ialah reputasi dan kebolehan serta kredibiliti institusi ini.

Amalan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mengambil kira pendapat mereka yang berkepakaran dalam permasalahan berkaitan boleh diikuti oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Dengan cara ini, apabila fatwa dikeluarkan, ia boleh diterima oleh masyarakat.

Ambil kira keadaan semasa

Fatwa itu mengambil kira keadaan semasa bagi kesesuaian hukum syarak dengan keadaan semasa dan tempat.

Pendekatan ini boleh diamalkan sebelum mengeluarkan fatwa yang boleh menjejaskan kebebasan asasi, sebagai contoh.

Mengenai fatwa dan demokrasi, amalan mufti negeri mengeluarkan fatwa yang mengikat (selepas diwartakan) adalah berperlembagaan.

Pejabat mufti mempunyai kuasa untuk mengeluarkan fatwa yang mengikat sudah wujud sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal. Malah, pejabat mufti wujud di beberapa negeri sebelum campur tangan British atau ketika pentadbiran British.

Apabila mencapai kemerdekaan, kerangka ini dikekalkan. Bahkan tiada pernyataan dalam proses gubalan Perlembagaan yang mempersoalkan kedudukan fatwa dalam sistem demokrasi yang baru diperkenal itu.

Proses membuat fatwa itu diluluskan melalui proses perundangan. Maksudnya, Dewan Undangan Negeri sudah meluluskan undang-undang pentadbiran yang memberi kuasa kepada Jawatankuasa Fatwa dan pada masa sama menggariskan tatacara proses fatwa.

Pejabat mufti dan fatwa lahir dengan sokongan undang-undang, bukan semata-mata amalan pentadbiran Islam di negara ini. Maka, pernyataan mengenai pemfatwaan bercanggah dengan demokrasi tidak perlu ditimbulkan.
Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian Kolumnis 27 Mei 2015