June 5th, 2015

Khutbah Jumaat ~ Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Tunjang Kekuatan Umat Islam

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat  (5 Jun 2015 / 18 Syaban 1436H) JAWI

"Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Tunjang Kekuatan Umat Islam"

Sempena dengan hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari esok 6 Jun 2015

Dalam sejarah Alam Melayu apabila seorang Raja memeluk Islam, maka semua rakyat akan mengikutinya dan secara rasmi Islam akan menjadi agama rasmi sesebuah negara. Seorang Raja akan menjadi tunjang kekuatan perjuangan dan penyebaran Islam.

Perkara 3 (2) di dalam Perlembagaan dinyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi Persekutuan dan negeri yang tiada Raja seperti Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Manakala di negeri-negeri lain ketua agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja sebagai ketua agama Islam adalah sesuatu yang amat istimewa di negara kita.

Di dalam lafaz sumpah Baginda iaitu Wallahi, Wabillahi, Watallahi yang dapat dirungkaikan dalam kata kunci iaitu undang-undang, Perlembagaan Negeri, Agama Islam, adil dan aman.

Dalam Islam, seorang pemimpin merupakan wakil pemegang amanah umat dan disebut sebagai khalifah yang menyebarkan dasar Islam sebagai agama pembawa rahmat kepada seluruh umat manusia.

Antara rahmat yang perlu disebar ialah berlaku adil kepada sesama manusia iaitu tidak membenci, tidak berlaku zalim, tidak melakukan penindasan, penipuan dan tidak mengabaikan manusia tanpa memandang darjat dan status seseorang.

Usaha mewujudkan keadilan kepada manusia sejagat adalah sebahagian daripada sifat ketaqwaan sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nahli ayat 90: Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat baik dan memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan mungkar dan kezaliman. Ia mengajar kamu supaya kamu mengambil peringatan.”

Sabda Rasulullah SAW: Mafhumnya: Akan ada selepas aku pemerintah-pemerintah, maka hendaklah kamu taat kepada mereka, kerana pemerintah laksana perisai yang melindungi kamu, Jika mereka memerintah dengan baik, maka kamu dan mereka akan mendapat kebaikan, tetapi jika mereka memerintah dengan cara tidak baik, maka mereka akan menanggung akibatnya,manakala kamu terselamat daripada menanggung akibat perbuatan mereka.” (Riwayat: at-Tabarani).

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tunjang kekuatan Islam, dapat dilihat dengan pelaksanaan Islam di negara ini berteraskan prinsip wasatiyyah. Secara dasarnya wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain tetapi pada masa yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan

Allah SWT menggesa kita supaya mencontohi gambaran kehidupan yang penuh toleransi dan mulia sepertimana dalam surah al-Hujurat ayat 13: Maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya".

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma’idah ayat 77: Maksudnya: Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan mereka (kini) telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul."


Marilah sama-sama kita memberi sepenuh ketaatan dan menjunjung setinggi tinggi kasih kepada Baginda sepanjang bersemayam di takhta pemerintahan. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta Putri-Putri dan Kerabat-Kerabat DiRaja sekalian sentiasa di bawah payung rahmat Ilahi, diteguhkan keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan berterusan. Agama Islam terus dimartabatkan dengan melaksanakan perintah Allah SWT Yang Maha Esa dan institusi Raja terus didaulatkan.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59: Maksudnya: "Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya"

Wallahualam.

Tasawuf dan Tarekat Sunni

MUTAKHIR ini ma­sya­rakat dikejutkan de­ngan pendedahan me­­­­­ngenai tarekat yang bertentangan de­ngan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mendepani situasi ini, pada prinsipnya tasawuf dan tarekat adalah jalan untuk memperlengkapkan diri dengan nilai-nilai kerohanian bagi menghadapi kehidupan kebendaan yang sangat mencabar. Walaupun kelahiran tasawuf ke dalam masyarakat Islam agak lewat iaitu pada abad ketiga hijrah, namun ia telah didahului oleh sifat-sifat zuhud yang dihayati oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.

Zuhud adalah titik permulaan dalam sejarah pertumbuhan dan perkembangan tasawuf yang merupakan jalan untuk mendapat makrifah dan kebahagiaan adalah lanjutan daripada amalan Rasulullah dan para sahabat. Tasawuf dan tarekat menjadikan kehidupan di dunia ini sebagai wasilah (jalan) dan bukannya ghayah (tujuan).

Sekadar menyebut beberapa contoh, tokoh yang sangat terkenal di abad ini iaitu Imam al-Ghazali juga dikenali dengan gelaran Hujjatu al-Islam kerana ketokohannya dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan seperti ilmu fiqh, ilmu kalam, falsafah dan tasawuf. Kitab tasawuf Imam al-Ghazali paling disegani hingga ke hari ini iaitu Kitab Ihya’ Ulum al–Din yang dibahagikan kepada empat bahagian asasi iaitu Ibadat, Adat, Muhhikat dan Munjiyat.

Ibadat mengandungi perbincangan tentang ilmu, kaedah akidah dan ibadat, adab membaca al-Quran, zikir, doa dan susunan wirid-wirid. Bahagian adat pula mengandungi antara lain adab-adab berhubung dengan makan, berkahwin, mencari rezeki, halal dan haram, amar makruf serta nahi mungkar.

Bahagian muhlikat pula mengandungi antara lain tentang nafsu syahwat seperti marah, dendam, hasad, kedekut dan sombong. Bahagian terakhir iaitu munjiyat membicarakan tentang maqamat dan ahwal seperti taubat, sabar, syukur, zuhud, tauhid, tawakal, mahabbah dan reda.

Selain itu diterangkan juga tentang pengertian niat, kebenaran, keikhlasan, muraqabah, muhasabah, tafakur dan maut. Imam al-Ghazali telah memberikan garis panduan yang jelas tentang tasawuf. Beliau dianggap sebagai seorang sufi kerana menunjukkan ciri-ciri amalan ilmu tasawuf dan seorang sufi positif yang peka dengan keadaan masyarakat pada masa itu. Beliau menentang keras mazhab dan aliran pemikiran yang menyeleweng pada masa itu dengan memberi kritikan yang ilmiah.

Begitu juga dengan penulisan oleh tokoh-tokoh tasawuf sunni lain seperti al-Hawari, al-Qushayri dan sebagainya. Mereka menunjukkan jalan orang sufi dalam pengembaraan menuju Allah SWT dengan mengamalkan mujahadah dan menghapuskan sifat keji serta pengisian dengan sifat-sifat baik yang menumpukan semua urusan mereka kepada Allah SWT.

Perkataan ‘tarekat’ menurut para tasaawuf mutakhir dimaksudkan dengan perkumpulan atau perhimpunan dalam kalangan pengamal tasawuf yang menjadi pengikut kepada sheikh tertentu dan mematuhi suatu peraturan yang ditetapkan ke atas mereka dalam menjalani amalan-amalan kerohanian. Mereka hidup secara berkumpulan, selalu menyambut perayaan-perayaan tertentu dan juga mengadakan majlis-majlis ilmu serta zikir. Tarekat-tarekat tasawuf telah tumbuh dengan suburnya pada abad keenam dan ketujuh yang pada kebiasaannya mempunyai kaitan dengan sheikh atau pengasas bagi sesebuah tarekat dan mereka menggunakan pebagai nama.

Perbezaan yang didapati dalam tarekat-tarekat ini ialah dari sudut upacara amalan seperti pakaian dan wirid. Matlamat mereka pada umumnya untuk pembaikan akhlak dan merapatkan diri kepada Allah. Tasawuf dan tarekat ini berkembang dengan pesat dan sebahagian besar daripadanya masih aktif menjalankan aktiviti mereka hingga ke hari ini.

Walaupun begitu tarekat-tarekat tasawuf yang muncul dan berkembang di peringkat akhir-akhir ini, terutama sejak zaman kerajaan Uthmaniyyah mulai merosot dari segi kualitinya kerana penulisan ilmiah bernilai tinggi semakin kurang dihasilkan. Apa yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh pada peringkat ini pada umumnya hanya berkisar tentang huraian dan ringkasan terhadap kitab-kitab tokoh ulama terdahulu.

Selain itu, para pengikut tarekat-tarekat bermula dari masa tersebut mula menumpukan perhatian kepada bentuk-bentuk luaran dan upacara-upacara sahaja. Mereka kurang memberi penumpuan kepada tujuan dan matlamat sebenar ilmu tasawuf dan tarekat itu diwujudkan. Akibatnya sebahagian besar pengikut-pengikut mereka mula kabur dan samar terhadap konsep serta disiplin amalan dalam tasawuf.

Mereka melebihkan perkara yang kurang penting seperti menumpukan kepada unsur keramat tokoh-tokoh tertentu sedangkan pengasas tarekat di peringkat awal tidak pernah pun membicarakannya atau menganggap kekeramatan itu suatu tanda kesempurnaan ilmu dan amalan mereka.

Dalam perkara ini, kita berpendapat membaca al-Quran dan menghayati al-Sunnah adalah jauh lebih afdal dari membaca wirid-wirid tersebut. Ini adalah kerana tiada perkataan dan ungkapan yang lebih baik daripada Kalam Allah dan sunnah Rasul-Nya. Alangkah baiknya, sekiranya sheikh-sheikh tarekat ini memasukkan ke dalam wirid mereka ayat-ayat al-Quran atau pun hadis-hadis Rasulullah dan mewajibkan murid-murid mereka supaya menghafalnya. Dengan cara ini, mereka akan dapat memperkembangkan Islam dan menambahkan jumlah ulama yang faham dan hafal al-Quran serta hadis.

Dari huraian dan ulasan di atas, beberapa kesimpulan seperti berikut :

n para ahli sufi dan tarekat sunni tidak sewajarnya membebaskan diri mereka daripada tarekat al-Quran dan al-Sunnah. Pengalaman kerohanian yang diperoleh bukanlah sumber bebas untuk mendapat maklumat tentang hakikat, malah tidak mempunyai autoriti untuk memperbaiki atau menukar risalah Rasulullah.

n tarekat dalam Islam bukanlah satu percubaan atau usaha untuk membentuk kehidupan berlainan daripada kehidupan Rasulullah. Baginda adalah manusia agung yang sempurna dalam segenap aspek kehidupan umat Islam.

n tarekat seseorang sheikh sufi hendaklah mengikut tarekat Rasulullah SAW. Mereka hendaklah mengikut ibadat-ibadat asasi yang dijalankan oleh Rasulullah SAW seperti solat, puasa, membaca al-Quran, berdoa dan berzikir.

Alangkah baiknya pengamal-pengamal tarekat hari ini mengambil contoh teladan daripada tokoh-tokoh tarekat sunni silam yang memahami Islam secara syumul. Mereka sangat kuat berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah. Umat Islam sewajarnya berpendirian sedemikian, inilah wasatiyyahnya kehidupan ahli sufi dalam tarekat Islam. - Abdullah Md Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 5 Jun 2015

Buat persiapan sambut Ramadan

Masa amat pantas berlalu. Kini kita berada dalam separuh yang kedua bulan Syaaban. Tinggal 12 atau 13 hari sahaja lagi kita akan memasuki bulan Ramadan al-Mubarak. Suatu bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan nescaya diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (riwayat Bukhari)

Alhamdulillah, bagi kita di Malaysia, puasa Ramadan bukan masalah besar bagi majoriti umat Islam dari segi menahan lapar dan dahaga. Sebaliknya cabaran yang lebih hebat adalah menahan diri daripada berbelanja ‘besar’ di bazar-bazar Ramadan membeli juadah berbuka.

Namun, bagi umat Islam Denmark, mereka bakal berhadapan dengan cabaran menunaikan rukun Islam ketiga itu apabila terpaksa berlapar selama 21 jam sehari. Selain itu, penduduk Islam di Iceland, Sweden dan Norway pula perlu berpuasa selama 20 jam. Ini berpandukan peta terkini rakaman waktu puasa di seluruh dunia.

Menurut portal berita emirates247.com, waktu berpuasa sepanjang Ramadan tahun ini dijangka sebagai terpanjang dalam sejarah.

Bayangkan jika kita di Malaysia juga terpaksa berpuasa selama 21 jam. Mampukah kita menunaikannya atau makin ramai yang mencari jalan mendapat MC (sijil cuti sakit) agar ‘dikecualikan’ berpuasa? Apakah pula persediaan kita untuk menghadapi Ramadan?

Ulama kontemporari Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi dalam bukunya ‘al-Ibadah fi al-Islam menggariskan beberapa rahsia yang terdapat dalam amalan berpuasa. Antaranya, puasa dapat menguatkan roh dan jiwa. Seterusnya jiwa yang kuat dapat mengawal nafsu. Menyihatkan jasmani dan badan. Mendidik melakukan kebaikan. Mengenal nilai nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada makhluk dan dapat merasai penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh orang lain.

Sebab itu, kita hendaklah mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangannya dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Antara persiapan tersebut adalah:

n Berdoa agar Allah SWT memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan Ramadan dalam keadaan sihat walafiat. Dengan keadaan sihat, kita dapat melaksanakan ibadah secara maksimum dalam bulan ini, baik puasa, solat, membaca al-Quran mahupun zikir.

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa, Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan. Ertinya: “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kami ke bulan Ramadan.” (Riwayat Ahmad dan Tabrani)

n Mengulang kaji ilmu yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan dan pedoman yang baik dan sempurna. Ilmu mengenai puasa termasuklah yang rukun, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, adab berpuasa dan sebagainya.

n Membuat persiapan dari segi rohani dengan memperbanyakkan taubat kepada Allah dan saling bermaafan sesama manusia.

n Memperbanyak doa agar Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayah-Nya agar kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dan dijauhi daripada segala penyakit hati yang menghilangkan pahala puasa.

n Menguatkan semangat untuk melaksanakan puasa dengan sempurna agar kita memperoleh ketakwaan kepada Allah SWT.

n Memperbanyak amalan soleh dan amalan-amalan kebajikan di dalam Ramadan.

Sebaliknya, jangan pula kita dilekakan dengan persiapan menyambut Hari Raya sebagai mana yang berlaku di sesete­ngah pusat beli-belah yang sudah pun menaikkan banner jualan Aidilfitri walaupun Ramadan belum bermula. - Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 5 Jun 2015

Keunggulan Majlis Tilawah Al-Quran

PADA 2014, satu kajian yang dilaksanakan oleh kum­pulan perunding pe­­lancong Islam yang ber­pang­kalan di Singapura te­lah meletakkan Malaysia sebagai des­tinasi mesra pelancongan Is­lam terbaik di dunia. Kajian me­nyak­sikan Malaysia menduduki tempat teratas mengatasi Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Arab Saudi dan Indonesia. Penyenaraian dibuat berdasarkan bagaimana Malaysia dapat memenuhi keperluan pe­lan­cong beragama Islam yang se­makin meningkat khasnya dalam per­khid­matan dan makanan halal.

Menyumbang kepada momentum kejayaan ini, Malaysia telah menjadi tuan rumah tertua bagi penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa selama lebih satu setengah abad, dan tahun ini mengulangi acaranya yang ke-57 mengumpulkan para qari dan qariah terbaik seluruh dunia di Kuala Lumpur.

Acara yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 9 hingga 14 Jun 2015 menganggarkan seramai 120 orang peserta termasuk qari, qariah, hafiz, hafizah, hakim dan pegawai pengiring dari lebih 70 buah negara yang dijemput berkumpul dan mengambil bahagian sepanjang enam hari berlangsungnya acara tersebut.

Acara yang penuh berprestij dan membanggakan ini saban tahun telah memperdengarkan bacaan peserta dalam pelbagai versi taranum sekali gus mendapat perhatian dan liputan media dari dalam dan luar negara yang semakin meningkat saban tahun. Dalam konteks pembacaan al-Quran, Majlis Tilawah Al-Quran telah berjaya melahirkan qari dan qariah yang berwibawa dan memiliki bacaan bermutu tinggi selain membantu meningkatkan kadar celik al-Quran di negara ini.

Majlis ini juga telah menjadi acara tahunan terpenting dalam kalendar pelancongan Islam Malaysia yang ditadbir urus di bawah Pusat Pelancongan Islam Malaysia (ITC) khasnya para pelancong Asia Barat dan dalam kalangan negara serantau yang sering menjadikan Malaysia sebagai tempat persinggahan mereka sebelum menyambut bulan Ramadan yang bakal menjelang. Ketika inilah, para penonton dan pengunjung dapat melihat keunikan Islam dalam kepelbagaian bangsa, negara dan bahasa tapi bersatu dalam akidah, rujukan (al-Quran) termasuklah bacaannya.

Sejarah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa

Menyingkap sejarah Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa yang menjadi satu acara rasmi negara untuk tempoh yang matang, pastinya telah banyak memberi kesan kepada beberapa aspek sejarah, kebudayaan, kesenian dan ketamadunan Islam yang bakal kita wariskan untuk generasi akan datang.

Penganjurannya yang bermula pada sekitar tahun 1960-an dikenali pelbagai Musabaqah al-Quran dengan penglibatan hanya tujuh buah negara. Perlu dimaklumi Malaysia juga negara pertama yang julung kalinya menganjurkan majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di dunia sebelum diikuti oleh negara Mesir. Pada peringkat awalnya penyertaan hanya dibuka kepada negara-negara di Asia Tenggara sehinggalah negara-negara di luar kawasan Asia Tenggara menyatakan hasrat untuk mengambil bahagian.

Dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama itu, Tun Abdul Razak telah menyebut bahawa Kerajaan Malaya terus menggalakkan rakyatnya membaca al-Quran sementara Masjid Negara yang sedang dalam pembinaan ketika itu akan dijadikan pusat untuk kursus-kursus mempelajari dan menghafaz al-Quran. Bermula dari situlah, Masjid Negara telah mengembangkan institusi tahfiz terulung yang kininya dikenali sebagai Darul Quran yang terletak di Kuala Kubu Bharu.

Betapa besarnya jasa Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa kepada pembangunan institusi huffaz selain telah meninggalkan kesan yang maksimum kepada masyarakat Islam di negara ini dan seluruh dunia.

Ini membuktikan komitmen Malaysia dalam menyemarakkan minat dan pembelajaran al-Quran dalam kalangan orang Islam, meningkatkan hubungan baik negara Malaysia dengan negara-negara Islam lain yang sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan syiar Islam di Malaysia.

Mutu Penganjuran Malaysia dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa

Dengan mutu penganjuran yang sentiasa ditambah baik pada setiap tahun juga telah menjadikan Malaysia sebagai model dan tempat rujukan kepada negara Islam lain khasnya di Asia Barat dan kawasan Asia Tenggara dalam penganjuran majlis seumpama ini. Malah ada yang mendakwa johan bagi penyertaan majlis tilawah di Malaysia merupakan johan bagi dunia.

Hakikat yang perlu diketahui umum, Malaysia telah mempelopori sistem penghakiman yang begitu terperinci dan adil, apabila pengasingan antara para juri dan peserta tilawah ketika bacaan diadakan menolak kemungkinan berlakunya prejudis para hakim terhadap negara yang diwakili atau diminati. Begitu juga pengasingan penginapan dan aktiviti antara para peserta dan hakim. Maka agak mustahil jika timbul spekulasi atau fitnah ke atas pemenang walau dari negara mana pun.

Begitu jua dalam aspek undian ayat dan giliran bacaan peserta, ia ditentukan pada setiap pagi bagi memastikan peserta tidak begitu obses dengan hanya ayat dan kaedah bacaan tertentu. Begitu juga dengan kaedah tahsin bacaan dan saringan yang diadakan khusus kepada para peserta.

Bagi memastikan beberapa negara yang tidak mendapat pendedahan kaedah bacaan yang sebaiknya, Jakim telah mendatangkan tenaga pengajar bagi membantu para peserta memperelokkan bacaan sebelum kemudiannya mereka disaring bagi memastikan hanya yang terpilih dapat menyertai majlis tilawah yang diadakan.

Usaha ini juga adalah sumbangan kerajaan Malaysia kepada semua peserta dan negara-negara yang masih terkebelakang dari sudut bacaan, sekali gus membuktikan bukanlah kemenangan dan pertandingan yang menjadi keutamaan kepada penganjuran sebaliknya syiar Islam, nilai dan mutu bacaan yang baik untuk sama-sama dihayati oleh para peserta dan penonton.

Majlis Hafazan Peringkat Antarabangsa

Untuk tahun kedua penganjurannya, kita telah melaksanakan pembaharuan kepada penganjuran Majlis Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa dengan gabungan bersama majlis hafazan peringkat antarabangsa. Tentunya Jakim menerima pelbagai maklum balas positif dari negara-negara luar yang sememangnya menantikan majlis hafazan peringkat antarabangsa diadakan di Malaysia sebagaimana beberapa negara telah mendahului penganjurannya. Setakat ini, sebanyak 27 buah negara dijemput dan 22 daripadanya telah mengesahkan kehadiran. Sambutan yang diberikan oleh negara luar terhadap Malaysia sekali gus membuktikan keyakinan mereka.

Majlis tahun memilih tema Perpaduan Nadi Transformasi Negara. Menjadi harapan negara untuk meningkatkan perpaduan dalam masyarakat dan umat Islam melalui semangat toleransi beragama apabila orang Islam dan bukan Islam saling memahami, bekerjasama dan hidup secara harmoni. Tema ini juga sekali gus menggambarkan kebebasan beragama, keadilan kepada semua dan melindungi kaum minoriti untuk mengamalkan pegangan dan budaya mereka.

Sehubungan itu, saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk sama-sama memanfaatkan peluang mengimarahkan penganjuran Majlis Tilawah al-Quran dan Hafazan Peringkat Antarabangsa ini. Bagi yang berpeluang sangat dialu-alukan datang ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur dari 9 hingga 14 Jun 2015 ini di mana pada siangnya bagi majlis hafazan manakala malamnya untuk majlis tilawah al-Quran. Bagi mereka yang tidak berkesempatan, agenda tontonan seisi keluarga boleh direncanakan melalui siaran langsung di TV1, TV Al-Hijrah, radio IkimFM mahupun melalui web TV Jakim dengan melayari laman sesawang www.jakim.tv. - Datuk Othman Mustapha Utusan Malaysia Rencana Agama 5 Jun 2015

Khutbah Jumaat ~ “YDP Agong Payung Agama Islam”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 05 Jun 2015:  JAIS

“YDP Agong Payung Agama Islam”

Sistem Raja berperlembagaan telah mengiktiraf Raja sebagai ketua Negara yang diberi gelaran sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut giliran setiap lima tahun.

Peranan Yang Dipertuan Agong berserta Majlis Raja-raja amat penting dalam menjaga dan memastikan agama Islam dihayati dan diamalkan dengan sempurnanya di Negara ini.

Selaku ketua agama Islam, Yang Dipertuan Agong memang punya peranan penting dan penentu dalam memastikan agama Islam sentiasa terpelihara dan terjaga dari segala anasir yang boleh menggugat kemuliaannya.

“Wallahi; Wabillahi; Watallahi; maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sungguh-sungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia menjalankan fungsi Yang Dipertuan Agong yang telah ditetapkan dan yang akan ditetapkan pada suatu masa ke suatu masa yang ke hadapan ini oleh undangundang dan Perlembagaan Malaysia”.

Berdasarkan kepada lafaz sumpah tersebut bertujuan untuk memperkasa maqasid syariah iaitu untuk memelihara lima perkara utama iaitu;

1. Menjaga agama,
2. Menjaga diri (nyawa) / jiwa,
3. Menjaga aqal,
4. Menjaga maruah / keturunan dan
5. Menjaga harta.

Islam diturunkan kepada umat manusia untuk mewujud keadilan, kejujuran, ketelusan, keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Ketaatan kepada Ketua Negara yang sentiasa mengajak kepada kebaikan adalah wajib hukumnya demi untuk melangsungkan misi dan visi bagi melahirkan baldatun taiyibatun warabbun ghaffur.

Imam as-Sayuti Rahimahumullah menukilkan dalam kitab al-Jami’ al-Saghir bahawa Anas B. Malik RA memberitahu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sultan adalah bayangan Allah dibumi. Jika seseorang kamu memasuki sesuatu negeri yang tiada sultan padanya, janganlah dia tinggal dalamnya”. (Riwayat ad-Dailami)

Sesungguhnya Raja adalah wakil atau khalifah di bumi yang kuasanya disandarkan kepada syariat. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut keupayaanya melaksanakan tanggung jawab Ilahi.

Diantara khalifah unggul yang sering dirujuk selaku salah seorang ketua atau pemerintah tertinggi yang sangat takut kepada Allah SWT dan berjaya mentadbir Negara dengan adil dan sejahtera berdasar syariat ialah khalifah Umar Bin Abdul Aziz. Beliau pernah berkata; “Sesungguhnya tidak akan ada keselamatan bagi seseorang yang menyalahi sunnah dan tidak boleh patuh dan tunduk terhadap sesiapa pun yang mengajak kepada kemaksiatan terhadap Allah SWT.”

Antara sifat-sifat unggul yang beliau miliki ialah;

1. rasa teramat takut kepada Allah swt,
2. zuhud,
3. tawaduk,
4. warak,
5. santun dan pemaaf,
6. sabar dan tabah,
7. adil,
8. tegas dan berhikmah serta
9. banyak berdoa.

Ketika khalifah Umar Abdul Aziz memerintah, beliau telah nenentukan kriteria memilih sahabat dalam membantu menyempurnakan tugas dan tanggung jawabnya; “Sesiapa pun di antara kalian boleh bersahabat dengan ku asal dapat memenuhi lima syarat,
iaitu:

1. ia harus membimbingku dalam menegakkan keadilan,
2. membantuku melakukan kebajikan,
3. menjadi perantaraan menyampaikan hajat orang tertentu kepada ku,
4. tidak mengata sesiapa dihadapanku dan
5. mahu membantuku menyampaikan amanat kepada rakyat.

Jika memilih kelima-lima syarat tersebut bersahabatlah denganku secara rapat, jika tidak, sebaiknya ia menjauhi daripadaku”.

Hasan al-Basri pernah menasihatkan khalifah dengan berkata; “Wahai Amirul Mukminin! Jika tuan istiqamah, berpendirian teguh dengan kebenaran Islam, maka mereka (pegawai dan rakyat) juga akan beristiqamah. Tetapi jika tuan menyimpang, mereka juga akan menyimpang”

Di Negara ini maka Yang Dipertuan Agong memang mempunyai peranan yang paling utama. Sehubungan dengan itu para menteri, pegawai dan rakyat pula mestilah sentiasa memberikan kerjasama seutuhnya dalam membantu Yang Dipertuan Agong mentadbir pengurusan hal ehwal Islam supaya dapat dilaksanakan dengan penuh hikmah, teratur dan memberikan kebaikan kepada masyarakat seluruhnya.

Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Dua golongan daripada manusia, apabila baik kedua-duanya, baiklah seluruh manusia, dan apabila rosak kedua-duanya, rosaklah seluruh manusia, itulah ulama dan umara”. (Riwayat ad-Dailami).

Yang Dipertuan Agong dan sultan memang menjadi payung kepada agama Islam berdasarkan institusi Yang Dipertuan Agong selaku Ketua kepada pelaksanaan pengurusan hal ehwal Islam.

Oleh yang demikian mimbar mengajak;

1. Umat Islam hendaklah sentiasa memberi sepenuh ketaatan kepada Yang Dipertuan Agong dan sultan dalam menjayakan usaha memartabatkan pelaksanaan syariat Islam,
2. Umat Islam hendaklah sentiasa mewujudkan kerjasama, persefahaman, perpaduan demi mengembalikan kegemilangan Islam di Negara ini,
3. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa kejayaan hakiki mewujudkan kedaulatan Islam ialah apabila kita berjaya menyepadukan setiap aspek dan keperluan kehidupan dilaksanakan berdasar kepada syariat Islam,
4. Umat Islam hendaklah menyumbang usaha, tenaga dan fikiran yang termampu bagi menjayakan tujuan untuk memayungi dan mempertahan ketinggian Islam, dan
5. Umat Islam hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memartabatkan dan meletakkan keunggulan enakmen jenayah syariah sebagai penyempurnaan kepada usaha meletakkan Islam di persada kecemerlangannya.

“Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah : 8).

Wallahualam.

Abang… Inilah isterimu

"BEHIND every successful man, there is a woman." Kata-kata ini selalu kita dengar. Dari satu sudut, ia benar. Sehebat mana lelaki bergelar suami, pasti ada kelemahannya yang mungkin tidak diketahui orang lain.

Namun, wanita pendamping setia hidupnya menyedari hakikat yang sebenar, siapakah suaminya.  Kelemahan dan kekurangan tersebut bukan untuk diheboh-hebohkan atau alasan untuk berbalah. Tetapi, di situlah ruang kosong yang perlu diisi isteri bermula hari pertama pernikahan.


Beruntungnya suami

Alangkah damainya jiwa si suami jika saat dirundung gelisah dan lemah, muncul si isteri memberi semangat agar terus tabah dan gagah. Walau suami hadapi seribu satu mehnah, namun bisikan keyakinan si isteri mampu hilangkan segala keluh kesah.

Kehadiran isteri memberikan ketenangan dan membangkitkan kekuatan. Inilah watak seorang isteri dambaan suami.

Contohi peranan yang dipamerkan isteri pertama Rasulullah SAW, Ummul Mukminin, Khadijah. Sewaktu suami tercinta, Baginda SAW pulang ke rumah dari Gua Hira, Baginda SAW dalam ketakutan.

Penuh debaran dan mencemaskan tatkala pengalaman pertama menerima wahyu. Sampai di rumah, Baginda SAW terus minta untuk diselimutkan.

Khadijah terus lakukan, tanpa banyak soal, sebaliknya penuhi dahulu permintaan suami. Tenangkan keadaan. Apabila diceritakan kepadanya apa yang berlaku, respons Khadijah menenteramkan perasaan.

Lalu Khadijah berkata: "Sama sekali tidak! Demi ALLAH SWT. ALLAH tidak akan menghinamu selama-lamanya.

Engkau adalah seorang yang suka menghubungkan silaturahim, berbicara jujur, menanggung beban orang susah dan berusaha membantu orang fakir, memuliakan tetamu, dan menolong penegak kebenaran." (Al-Mubarakfuri, Safiy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum (Dar Ibn al-Jauzi, 1999), m/s 88)


Hanya perlu jadi isteri

Wahai isteri, suamimu suka dengan wajah cantik, berpendidikan tinggi, jawatan hebat, gaji banyak dan perhiasan menarik.

Namun, suamimu lebih gembira dan bangga jika dirimu yang menjadi seorang isteri solehah yang boleh mendamaikan dan kata-kata yang menenangkan.


Taat suami

Suami berkedudukan istimewa perlu diakui oleh isteri. Ini termaktub dalam kalam Pencipta. "Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana ALLAH telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka." (Surah An-Nisa’: 34)

Mungkin suami anda lebih rendah jawatannya, lebih sedikit gajinya, lebih kecil keretanya, lebih gelap kulitnya, namun dia tetap lebih tinggi kedudukan apabila bergelar suami.

Ketaatan kepadanya tidak boleh diabaikan selagi mana ia dalam ruang yang diizinkan syariat. Suami yang mahukan isteri taat kepadanya, dia terlebih dahulu perlu taat kepada perintah ALLAH dan Rasul-Nya.


Rahsia sesebuah rumah tangga perlu disimpan dengan rapi, jangan mudah hebohkan kepada ramai.
Sedia untuk 'bersama'

Wahai isteri, suami akan tersenyum riang apabila anda sentiasa bersedia memenuhi keinginannya. Di kala suami bermanja-manja dan bermesra-mesra dengan anda, fahamilah. Tangguhkan urusan lain. Dia halal untukmu. Dirimu halal untuknya. Dia ibarat ladang bagimu.

Dirimu juga bak ladang untuknya. Kecapi kemanisan nikmat ini. Penuhi tuntutan fitrah yang suci, dengan penuh adab menurut sunnah Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW mengingatkan dalam hadisnya: "Apabila suami mengajak isterinya ke atas katil (untuk hubungan jimak), lalu diingkari oleh isteri, kemudian suaminya tidur dalam keadaan marah kepada isteri, maka malaikat akan melaknat isteri hingga ke pagi." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Si suami juga perlulah meraikan keadaan isteri. Lihatlah masa yang sesuai. Apabila 'bersama', kenikmatannya juga perlu dikecapi bersama.


Pengurus rumah

"Dan perempuan menjadi penjaga kepada rumah suaminya dan anak-anaknya." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Ini satu laagi peranan hebat seorang isteri yang bertanggungjawab memastikan hal ehwal dalaman rumah berjalan lancar dan tersusun kemas.

Ketika anda mengemas rumah, membasuh pakaian, memasak makanan, dan menguruskan anak-anak dan sebagainya, rawati keletihan tersebut dengan hadis ini.

Jadilah seorang isteri seperti yang disuruh oleh Nabi Muhammad SAW.


Bawa tetamu dengan izin

Isteri yang baik tidak akan menjemput atau membawa masuk tetamu ke dalam rumah mengikut sesuka hatinya. Apatah lagi jika individu tersebut tidak disukai suami. Izin suami perlu diperoleh terlebih dahulu.

Rasulullah SAW berpesan: "Tidak dibenarkan bagi seorang isteri berpuasa sunat, sedangkan suaminya ada ketika itu melainkan dengan izin suaminya. Tidak dibenarkan membawa masuk orang lain ke dalam rumah, melainkan dengan izinnya." (Riwayat Bukhari & Muslim)


Keluar rumah dengan izin

Isteri yang baik tidak akan keluar rumah sesuka hati melainkan dengan izin suaminya. Hal ini bergantung kepada persefahaman dan fleksibeliti antara suami dan isteri. Suami perlu jelaskan kepada isteri mengenai keperluan keizinannya terlebih dahulu.


Tidak buka aib suami

"Maka perempuan-perempuan yang solehah itu ialah yang taat (kepada ALLAH dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan ALLAH dan pertolongan-Nya." (Surah An-Nisa’:34)

Isteri  baik juga tidak akan membuka aib suami di hadapan orang lain dan kekurangannya biarlah disimpan. Cari ruang untuk memperbaikinya.

Namun, ada beberapa kondisi isteri perlu mendedahkan hal sebenar suaminya. Contohnya jika maklumat tersebut diperlukan oleh hakim, kadi, kaunselor dan sebagainya. Bukan bertujuan memalukan suami, tetapi demi pedamaian, menegakkan kebenaran dan menuntut hak sebagai seorang isteri.


Jaga air muka suami

Isteri baik sama sekali tidak akan menjatuhkan air muka suami di khalayak lain, mahupun di hadapan anak.

Jaga tingkah laku, perkataan hingga mimik wajah anda. Suami tidak gembira jika isterinya bersikap kasar, menengking, mengarah-arah bahkan menunjukkan wajah menjengkelkan.

Isteri perlu pandai buatkan suami berasa bertuah memiliki anda dan pandai menjaga nama baiknya. Menjadi penyokong setia dalam kehidupannnya. Berperanan sebagai 'pengkritik' yang berhikmah terhadap kekurangannya. Pandai menjaga tingkah laku dan memilih perkataan yang sopan.


Layan suami sampai syurga

Wahai isteri, suami anda boleh menjadi pintu syurga anda. Boleh juga menjadi jambatan ke neraka.

Beruntunglah isteri yang solehah. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila wanita menunaikan solat lima waktu, puasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya, dan mentaati suaminya; maka disampaikan kepadanya: masuklah syurga dari pintu mana saja yang kamu mau." (Disahihkan Al-Albani dalam Shahih Al-Jami’)

Layani suamimu sehabis baik. Gembirakan hatinya. Damaikan perasaannya. Jika suami bertanya: "Mengapa sayang lakukan semua ini?." Bisikkan di telinganya: "Abang…inilah isterimu."

Permasalahan solat

DALAM kesempatan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang solat menghormati waktu, solat jamak tamam serta tawaf wada’ dan permasalahannya.

Apakah yang dimaksudkan dengan solat menghormati waktu?

Solat menghormati waktu ialah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas sama ada kerana ketiadaan air untuk berwuduk atau ketiadaan debu tanah untuk bertayamum.

Bilakah solat menghormati waktu perlu diulang atau diqada’?

Mereka yang telah melakukan solat menghormati waktu tetapi kemudiannya menjumpai air untuk berwuduk atau debu tanah untuk bertayamum sedangkan waktu solat berkenaan masih ada lagi, maka dalam situasi ini solat tersebut wajib diulang kembali.

Ketahui tentang solat menghormati waktu, jamak tamam dan tawaf wada’

Jemaah haji dalam kapal terbang yang tidak menyediakan kemudahan untuk melakukan solat seperti biasa dibolehkan melaksanakan solat menghormati waktu. - GAMBAR HIASAN

Namun sekiranya air atau debu tanah hanya dijumpai setelah habis waktu, maka solat berkenaan hendaklah diqada’.

Pengulangan solat dan qada’ solat ini boleh dilakukan secara jamak dan qasar sekiranya masih dalam musafir. Jika sebaliknya, maka solat tersebut hendaklah dilakukan secara sempurna seperti biasa.

Siapakah orang yang boleh melakukan solat menghormati waktu?

a) Orang yang tidak memperoleh air atau debu tanah. Sebagai peringatan untuk golongan yang pertama ini, sekiranya dalam musafir, solat hormat waktu hanya boleh dijamakkan secara jamak ta’khir sahaja dan qasar.

b) Jemaah haji dalam kapal terbang yang tidak menyediakan kemudahan untuk melakukan solat seperti biasa. Walaupun ada air tetapi dibimbangi mengundang bahaya jika air melimpah di lantai kapal terbang ekoran penggunaan yang tidak cermat.

c) Orang yang sakit terlentang dipembaringan dan tiada sesiapa yang boleh membantunya untuk berwuduk atau bertayamum.

d) Doktor yang sedang menjalankan pembedahan yang lama sehingga tamat waktu solat yang boleh dijamak.

e) Orang yang tersesat di dalam hutan dan berhadapan dengan binatang buas sehingga tidak mampu berwuduk atau bertayamum.

f) Orang yang terkurung dan tiada air atau debu tanah untuk bersuci.

g) Dalam kenderaan seperti bas di mana bas tersebut tidak berhenti untuk membolehkan penumpangnya menunaikan solat sehingga habis waktu solat termasuk waktu solat yang boleh dijamak ta’khir.

Apakah yang dimaksudkan dengan solat jamak tamam?

Solat jamak tamam ialah menggabungkan dua solat yang boleh dijamak seperti Zuhur dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak, sama ada secara jamak takdim atau ta’khir tanpa melakukan qasar kepada Zuhur, Asar dan Isyak.

Bilakah jemaah haji boleh melakukan solat jamak tamam?

Dalam Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-25 Musim Haji 1430H dinyatakan bahawa dibolehkan solat jamak di Arafah, Mina dan Muzdalifah secara tamam (sempurna) kerana keperluan disebabkan masyaqqah yang dihadapi oleh jemaah haji. Pendapat ini adalah berdasarkan pendapat Ibnu Sirin, al-Qafal al-Kabir al-Syasyi, Abi Ishaq al-Marwazi yang menyatakan harus jamak solat semasa bermukim/tidak musafir kerana keperluan (al-Hajat)

Apakah yang dimaksudkan dengan tawaf wada’?

Tawaf wada’ ialah tawaf selamat tinggal yang dilakukan oleh jemaah haji sebelum berangkat pulang meninggalkan Mekah.

Berapa lama tempoh jemaah haji boleh berada di Mekah setelah melakukan tawaf wada’?

Menurut Mazhab Syafie tempoh berada di Mekah selepas tawaf wada’ adalah mengikut uruf, iaitu jemaah dalam tempoh menunggu keberangkatan ke Jeddah/Madinah dan mereka dalam keadaan membuat persediaan untuk keluar dari Mekah.

Uruf adalah mengikut hari seperti berikut:

1. Hari Jumaat (Bagi bas yang akan bertolak di antara pukul 2 hingga 3 petang)

Uruf selepas tawaf wada’ ialah 4-5 jam. Contohnya, jadual bertolak (keluar Mekah) pada pukul 2 atau 3 petang maka jemaah haji dibolehkan bertawaf pada pukul 10 pagi.

2. Hari Sabtu hingga Khamis dan Jumaat (Bagi bas yang bertolak selain waktu di atas)

Uruf selepas tawaf wada’ ialah 2-3 jam. Contohnya, jadual bertolak (keluar Mekah) pada pukul 6 petang maka jemaah haji dibolehkan bertawaf pada pukul 3 petang.

Perkara-perkara yang termasuk dalam kategori Hajiyat (keperluan) yang boleh dilakukan selepas tawaf wada’?

1. Makan dan minum sekadar keperluan di dalam bilik penginapan di hotel (maktab).

2. Qada hajat dalam tandas di bilik penginapan.

3. Mengambil beg dan barang yang diletakkan dalam bilik penginapan.

4. Mencari isteri, keluarga atau rakan yang hilang.

5. Mencari harta yang hilang.

6. Melawat atau membawa orang sakit (kes kecemasan) ke hospital atau klinik.

7. Membeli makanan/ubat sekadar keperluan untuk musafir.

Perkara yang boleh membatalkan tawaf wada’?

1. Menunggu dalam masjid sehingga masuk waktu solat.

2. Melakukan ibadat sunat yang lain seperti solat sunat tahajud.

3. Mengambil gambar di sekitar Masjidil Haram dan sepanjang perjalanan pulang ke tempat penginapan.

Akhir kalam, semoga perkongsian ini dapat membantu, khususnya bakal jemaah haji untuk lebih memahami tentang solat menghormati waktu, keharusan menunaikan jamak tamam di Arafah, Mina dan Muzdalifah serta perkara dibolehkan dan dilarang selepas melakukan tawaf wada’.