June 12th, 2015

Khutbah Jumaat ~ Ramadhan Bulan Memperkasa Ibadah

Khutbah Jumaat 12 Jun 2015: JAIS

“Ramadhan Bulan Memperkasa Ibadah”

Kehidupan kita di dunia ini tidak bermakna, sekiranya kita tidak mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah SWT. Lebih tidak bermakna lagi sekiranya segala kesalahan, keterlanjuran dan dosa-dosa yang kita lakukan tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Bulan Ramadan adalah bulan yang dipenuhi dengan rahmat, keampunan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda.Rasulullah SAW telah menyatakan kelebihan bulan Ramadhan yang tiada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain sepanjang tahun. Khutbah yang sangat bermakna itu dirakam oleh Ibn Khuzaimah dalam sohihnya.

Antara kelebihan bulan Ramadhan seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW ialah:

Pertama: Allah mengurniakan satu malam dalam bulan itu ganjaran pahalanya lebih baik dari seribu bulan.
Kedua: Sesiapa yang melakukan amalan sunat umpama melakukan amalan fardhu dan sesiapa yang melakukan amalan fardhu umpama melakukan tujuh puluh kali amalan fardhu.
Ketiga: Sesiapa yang memberi makanan untuk orang yang berbuka puasa ia akan mendapat ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang berpuasa itu, walaupun sekadar bersedekah seteguk air atau sehirup susu.
Keempat: Dipermulaan bulan Ramadhan adalah rahmat daripada Allah SWT, dipertengahannya keampunan dan dipenghujungnya kebebasan daripada api neraka.

Khutbah yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW menggambarkan kepada kita betapa Allah SWT telah melimpahi bulan Ramadhan dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Oleh itu sewajarnyalah dipermulaan Ramadhan yang mulia ini kita berazam dan bertekad untuk melipat gandakan amal ibadah kita. Antara ibadah yang boleh kita lakukan ialah;

Pertama: Berpuasa. Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang sangat lumayan bagi orang yang berpuasa. Malahan ibadah puasa yang dilakukan dalam bulan Ramadhan secara jelas dijanjikan dengan keampunan dosa-dosa yang lalu.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu” (Riwayat al-Bukhari).

Kedua: Bersedekah. Rasulullah SAW merupakan seorang yang dermawan dan paling suka bersedekah. Baginda lebih dermawan pada bulan Ramadhan.

Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas RA dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:“Rasulullah SAW ialah orang yang paling dermawan. Dan Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadhan pada saat Baginda bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk bertadarus Al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.”


Ketiga: Bertadarus al-Quran. Membaca al-Quran merupakan amalan yang mulia dan utama. Namun kelebihan membaca dan mempelajarinya dilipat gandakan pada bulan Ramadhan. Ini dibuktikan melalui hadis yang menceritakan tentang Nabi Muhammad SAW didatangi Jibril sepanjang Ramadhan dan mengajarkan kepada Baginda al-Quran.

Sepertimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.“…Dan Jibril menemuinya setiap malam (pada bulan Ramadhan) untuk mengajarkannya al-Quran…”.

Keempat: Memburu Lailatul Qadar. Lailatul Qadar ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadhilatnya. Malam al-Qadar adalah malam yang amalanpada malam itu lebih baik dari 1000 bulan ganjaran pahalanya.

Ia telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1-5:  “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar. Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, untuk mengatur segala peraturan. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”.

Kelima: Memperbanyakkan iktikaf di masjid. Hadis daripada Aisyah RA berkata: “Sesungguhnya Nabi selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan sehingga meninggal dunia, kemudian isteri-isteri baginda beriktikaf sesudahnya”. (Muttafaqun 'alaih).

Amalan lain yang boleh kita lakukan dalam bulan Ramadhan seperti beriktikaf di masjid-masjid, menziarahi sanak saudara, membantu anak-anak yatim, fakir miskin dan lain-lain lagi. Apa yang penting ialah kita melakukannya semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah. Kita juga dituntut agar bertaubat atas segala dosa yang dilakukan untuk mencari redha-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31: “…dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya”.

Oleh itu, marilah kita melaksanakan perkara-perkara berikut;

1. Umat Islam hendaklah sentiasa memperkasakan akidah da meyakini bahawa ajaran Islam adalah yang terbaik.
2. Umat Islam hendaklah mematuhi syariah Islam sepenuhnya dengan sempurna tanpa meninggalkan perintah wajib yang lain seperti kewajipan menunaikan solat. Ini kerana ada yang berpuasa tetapi tidak solat, tidak amanah, tidak menutup aurat dan lain-lain.
3. Umat Islam hendaklah menjaga dan memelihara ibadah puasanya daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa atau yang mengurangkan pahalanya.
4. Umat Islam juga hendaklah berjimat cermat dalam berbelanja dan tidak melakukan pembaziran seperti berlebih-lebihan berbelanja membeli juadah untuk berbuka puasa dan menyambut hari raya.
5. Umat Islam janganlah membazir masa hanya sibuk berniaga dan membeli-belah dalam masa yang lama di pasar-pasar malam, pasaraya dan sebagainya. Sebaiknya hendaklah mengutamakan urusan ibadah di masjid-masjid dan surau-surau secara berjemaah.

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan”. (Surah an-Nahl : 97).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Ramadhan Yang Dinanti

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat  12 Jun 2015M/ 25 Sya’aban 1436H JAWI

"Ramadhan Yang Dinanti"

Bulan Sya’aban telah pun memasuki ke hari-hari terakhirnya, tidak lama lagi kita akan bertemu dengan penghulu segala bulan; Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang memiliki pelbagai kemuliaan, dijanjikan gandaan ganjaran, dilimpahi keberkatan dan dilimpahi rahmat serta keampunan.

Kedatangan bulan Ramadhan adalah hadiah dan nikmat yang terbesar bagi umat Islam.

Ramadhan adalah tetamu agung umat Islam yang membawa keampunan, rahmat, kebajikan dan berkat. Imam an-Nasaie meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW menggembirakan para sahabat dengan kedatangan Ramadhan dengan sabdaNya :Bermaksud : "Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati, Allah S.W.T telah mewajibkan kepadamu berpuasa di dalamnya, pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan akan dibelenggu ; juga terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang tidak memperolehi kebaikannya, maka ia tidak memperolehi apa-apa."

Beberapa persiapan yang wajar untuk dibuat bagi menyambut ketibaan Ramadhan alMubarak:

Pertama: Betulkan Niat Dan Azam Menjelang Bulan

Kedua: Mengulangkaji Ilmu Pengetahuan Tentang Kesempurnaan Ibadah Puasa

Ketiga: Berdoa dan Lahirkan Kegembiraan Dengan Kehadiran Ramadhan

Keempat: Memperbanyakkan Puasa Sunat Dalam Bulan Sya’aban

Imam Al-Bukhari Rahimahullah, daripada Aisyah RAnha, beliau berkata : Bermaksud : “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa penuh sebulan kecuali Ramadhan, dan aku tidak melihat baginda SAW lebih banyak berpuasa sunat selain di bulan Sya’ban.”

Imam Ahmad telah menceritakan tentang Rasulullah SAW yang sedang menaiki mimbar, lalu Baginda SAW menyebut ‘’Amiin’’ sebanyak tiga kali.

Setelah selesai memberi khutbah, para sahabat bertanya kepada Nabi SAW apakah maksud ucapan amin baginda sebanyak 3 kali itu?

Lalu Nabi SAW menjawab bahawa Jibrail AS datang ketika itu lalu mendoakan kerugian ke atas tiga golongan:

Pertama: Sangat kecewa dan rugilah bagi orang apabila disebutkan nama Muhammad, tetapi tidak dibacakan selawat ke atas-Nya.

Kedua: Orang yang sempat hidup bersama orang tuanya, tetapi tidak dapat masuk ke dalam syurga.

Ketiga: Orang yang sempat hidup dalam bulan Ramadhan, namun dosa-dosanya masih tidak diampunkan.

Mengakhiri Khutbah pada hari ini, marilah kita hayati beberapa pengajaran yang dapat diambil melalui khutbah yang telah disampaikan:

Pertama : Bulan Ramadhan adalah tetamu agung yang wajib dimuliakan oleh setiap kaum muslimin dengan bersungguh-sungguh menjayakannya dengan amalan-amalan ketaatan.

Kedua : Berlumba-lumbalah dalam melaksanakan ibadah di sepanjang bulan Ramadhan, kerana setiap amalan yang dilakukan akan dilipatgandakan ganjarannya di bulan ini.

Ketiga : Jadikanlah Ramadhan kali ini adalah yang terbaik buat diri, jangan biarkan Ramadhan berlalu tanpa kita memperolehi keampunan dari sisiNya.

Firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran Ayat 133: Bermaksud : “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”

Wallahualam.