June 13th, 2015

Pilih untuk berbakti ` Dilema Hussin Mohd. Ali menerima tawaran tugas sebelum memilih LZS

MEMPEROLEH ganjaran sebanyak 100,000 kali ganda bagi setiap amalan yang dilakukan, pastinya tidak ada siapa yang mahu melepaskan peluang pintas mengumpul pahala tersebut. Begitulah kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bagi mereka yang melakukan ibadah di Masjidil Haram, Mekah.

Ini sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Solat di dalam masjidku (Masjid Nabawi di Madinah) adalah lebih afdal daripada 1,000 solat di lain-lain masjid kecuali Masjidil Haram dan solat di dalam Masjidil Haram lebih afdal daripada 100,000 solat di lain-lain masjid. (Riwayat ibnu Majah)

Namun, itulah dilema yang dilalui oleh Hussin Mohd. Ali ketika bertugas sebagai Ketua Pegawai Strategi Kumpulan, IBEX Holdings Sdn. Bhd. sebelum membuat keputusan meletak jawatan daripada tugas tersebut yang berpangkalan di Mekah.

Walaupun mampu memperoleh bonus saham akhirat yang berlipat kali ganda dalam setiap ibadah yang dilakukan, tetapi baginya yang terlibat dalam projek pembesaran dan selenggara di masjid tumpuan dunia itu terdapat tugas yang lebih penting untuk dilakukan di tanah air.

Ini adalah dengan menyumbang bakti mengenal pasti langkah yang boleh dilakukan bagi membantu golongan asnaf dan yang memerlukan menerusi tawaran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Keputusan itu katanya, dibuat selepas mendapat petunjuk daripada Allah SWT yang mendorong bekas Ketua Pegawai Operasi di Semasa Sentral Sdn. Bhd. itu untuk memilih tugasan berbakti kepada masyarakat berbanding memperoleh ganjaran peribadi.

“Apa lagi orang yang telah pertengahan umur seperti saya mahu, selain beribadah dan bertaubat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Bertugas bersama IBEX Holdings Sdn. Bhd., di Masjidil Haram merupakan peluang terbaik sukar untuk dilepaskan kerana ganjarannya sekali solat bersamaan 100,000 kali ganda.

“Namun, selepas mendapat panggilan ditawarkan berkhidmat di LZS, saya mula berbelah bahagi dan saya serahkan kepada ketentuan Allah SWT dengan melakukan solat Istikharah memohon petunjuk daripada-Nya.

“Akhirnya, gerak hati saya berat mengatakan untuk menerima tawaran ini kerana di sini saya dapat membahagiakan orang lain dengan membantu mereka yang dalam kesusahan berbanding melakukan ibadah untuk diri sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

LZS mengumumkan pelantikan Hussin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu berkuat kuasa 2 Februari lalu, menggantikan Mohamed Izam Mohamed Yusof yang menamatkan tempoh perkhidmatannya di LZS pada 31 Januari lalu.

Hussin yang sebelum ini tidak pernah terfikir untuk mengelola sebuah institusi agama mengakui menjadi cabaran buatnya untuk mengendalikan sebuah badan yang membawa imej dan memegang amanah besar terhadap umat Islam.

Sambil tidak menafikan bimbang untuk menyertai LZS pada awalnya, Hussin menjadikan cabaran tersebut untuk meningkatkan diri lebih mendalami pengetahuan mengenai agama, khususnya bidang zakat.

“Saya tidak mempunyai latar belakang agama, namun bapa saya merupakan seorang guru agama. Berbekalkan pengetahuan dan pengalaman dalam industri, saya akan cuba melakukan perubahan yang terbaik di dalam LZS.

“Dalam masa sama peluang ini membolehkan saya bersama pegawai lain di LZS untuk mempelajari lebih mengenai zakat dengan menjemput tenaga pakar dalam ekonomi Islam dan zakat,” jelasnya.

Hub zakat dunia

Tidak menanti terlalu lama sejak pelantikannya, bagi Hussin telah menetapkan misi dan visi sendiri dalam mencorakkan institusi kutipan dan agihan zakat itu di bawah pentadbirannya.

Ini katanya, untuk menjadikan LZS sebagai sebuah institusi rujukan dan contoh pengurusan zakat bertaraf dunia yang menjadi contoh negara Islam yang lain.

“Sebagaimana Lembaga Tabung Haji yang mampu membuktikan kepada dunia sehingga mendapat pengiktirafan pengurusan ibadah haji terbaik, kita juga meletakkan cita-cita sama sebagai institusi zakat rujukan bertaraf dunia.

“Oleh itu, segala langkah-langkah penambahbaikkan dan pembaharuan akan dirancang dan dilakukan dalam usaha mencapai sasaran tersebut. Dan ini tidak mustahil melihat kepada segala sistem dan kemudahan tersusun yang ada kini,” katanya.

Antara langkah yang sedang dilakukan tambahnya, adalah dengan memudahkan kutipan dan agihan yang dilakukan kepada pembayar dan pemohon zakat bagi menjadikannya lebih efektif.

“Menggunakan segala kemajuan teknologi yang ada, kita akan cuba mempelbagaikan lagi medium yang boleh digunakan oleh pembayar dan pemohon zakat supaya kutipan dan agihan dapat dilakukan dengan mudah dan pantas.

“Orang ramai tidak lagi perlu menghabiskan masa dan tenaga untuk berbaris ke kaunter zakat menerusi urusan dalam talian yang diperkenalkan. Secara tidak langsung, dalam masa sama meningkatkan lagi jumlah pembayar zakat.

“Bagi pemohon pula, LZS berusaha untuk mengurangkan proses permohonan yang rumit dan mempermudahkan permohonan dengan bantuan seawal tunai secara langsung,” ujarnya.

Beliau yang sebelum ini turut tidak menafikan mempunyai pandangan serong terhadap institusi zakat turut mendakwa menjadi cabaran baginya bagi mengubah persepsi negatif terhadap institusi yang memikul tanggungjawab menjaga kebajikan umat Islam itu.

“Sebelum terlibat dalam bidang ini, saya sendiri sering memandang serong dengan institusi zakat, kerana jika kita lihat masih ramai umat Islam yang miskin dan layak memperoleh zakat sedangkan kutipan tahunan mencecah ratusan juta.

“Namun, baru kini saya memahami tugas sebenar institusi zakat dan kekangan yang dihadapi untuk mengagihkan bantuan. Saya memohon orang ramai yang terlihat golongan asnaf yang layak mendapat zakat untuk membantu LZS bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Begitu juga syarikat yang ingin bayar sendiri dinasihatkan supaya membayar kepada institusi zakat yang dilantik kerana bantuan yang diagihkan oleh pusat zakat adalah lebih menyeluruh dan berpanjangan berbanding bantuan sekali sahaja,” jelasnya. - Utusan Malaysia Rencana Agama 11 Jun 2015

Kos urus jenazah makin tinggi?

Hukum mengurus jenazah adalah fardu kifayah bagi umat Islam. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan seseorang atau sekumpulan manusia itu akan menanggung dosa.

Penekanan sedemikian kerana pengurusan jenazah perlu disegerakan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Janganlah kamu tangguhkan pengurusan) jenazah apabila tiba (kematian).” (Riwayat Ibn Majah).




WALAUPUN tanah kubur adalah tanah wakaf tetapi upah mengali kubur tetap perlu dibayar. - Gambar hiasan

Justeru, tidak hairanlah, kursus pengurusan jenazah antara yang paling kerap diadakan, sama ada di masjid, surau, sekolah, hatta ia turut dianjurkan oleh pelbagai organisasi milik orang Islam di negara ini.

Tidak cukup dengan itu, ilmu pengurusan jenazah turut dibukukan bagi memudahkan umat Islam membuat rujukan jika ada kekeliruan atau sebagai bahan ulang kaji.

Namun begitu, ada satu lagi aspek yang mungkin jarang dibincangkan secara terbuka adalah soal kos pengurusan jenazah. Mungkin ramai yang menganggapnya sebagai satu sumbangan terakhir kepada si mati.

Sedangkan aspek itu sebenarnya cukup relevan dengan gaya hidup masyarakat hari ini yang sibuk dengan urusan kerja dan ditambah pula dengan peningkatan kos hidup.

Bagi yang berduit, soal kos itu tidak menjadi persoalan, tetapi untuk kalangan yang berpendapatan sederhana dan miskin, ia sesuatu yang mungkin membebankan.

Tidak hairanlah, berdasarkan pengalaman seorang pengurus jenazah Islam berpengalaman, Mohd. Zainal Khamis menyatakan, soal kos sering kali dipersoalkan oleh waris si mati.

Tetapi beliau menegaskan bahawa kos yang dikenakan itu bukan sesuatu yang baharu.

“Persamaan fardu kifayah tersebut dengan 10 atau 20 tahun lalu adalah pengurusan itu digerakkan oleh duit atau upah kepada pelaksananya.

“Kalau 10 atau 20 tahun lalu, upah itu lebih dikenali sebagai sedekah waris si mati kepada pelaksananya,” katanya ketika ditemui di Puchong, baru-baru ini.

Cuma apa yang menjadi pertikaian hari ini apabila waris si mati melihat bayaran itu dalam bentuk bil. Lebih terkejut lagi bila dia tidak menyangka jumlah bil itu agak mahal.

Bayaran itu merangkumi proses memandikan mayat sehingga kepada ia dihantar ke kubur untuk tujuan pengebumian.

Tidak serupa tapi sama

Mohd. Zainal yang juga Pengarah Eksekutif Bumijez Sdn. Bhd. menjelaskan, proses pengurusan jenazah yang bermula dengan mandi, kafan, solat jenazah dan pengebumian melibatkan kos tertentu.

Mungkin ada di kalangan waris si mati atau umat Islam tidak nampak kos tersebut kerana mereka beranggapan ia sebagai sagu hati atau sedekah.

“Cuma kita tidak nampak dan tidak kira sebagai kos, tetapi sekarang bila ada pihak tertentu senaraikannya, maka kita teruskan katakan sebagai kos.

“Kalau yang faham, tidak mengapa, tetapi bagi yang tidak faham, akan membawa kepada pertikaian,” katanya.

Kos pertama adalah tanah kubur. Walaupun ia tanah wakaf tetapi hari ini orang yang mahu gali atau sediakan kubur, sudah tentu perlu dibayar.



MENGETAHUI cara mengurus jenazah yang betul perlu dipelajari dan difahami oleh setiap umat Islam, sama ada lelaki atau perempuan. -Gambar hiasan

Kalau dahulu, kita bagi duit minum kopi atau barangan tertentu kepada pengali kubur atas khidmat yang diberikan.

Samalah dengan proses mandi jenazah kerana kita pastinya akan bagi wang sagu hati atau kain pelekat kepada mereka yang memandikan jenazah satu ketika dahulu.

Selain penggunaan van jenazah, kain kapan dan bahan wangi lain untuk mengafankan jenazah pula perlu dibeli yang mana itu sudah tentu ada kos.

Tetapi ada sesetengah masjid atau surau menggunakan pendekatan bahawa setiap penggunaan bahan itu perlu diigantikan semula oleh waris si mati.

“Begitu juga dengan sembahyang jenazah. Kita beri sagu hati, sama ada dalam bentuk wang atau hadiah, dan semua itu melibatkan kos yang perlu si waris bayar.

“Imam baca talkin, tak akan kita ucap terima kasih sahaja? Setidak-tidaknya, kita bagi kain atau lain-lain barangan dan itu pun kos juga,” katanya.

Lebih tinggi

Usaha pihak tertentu menetapkan kos bagi pengurusan jenazah seharusnya dilihat sebagai satu langkah yang perlu dihargai.

Ini kerana, Mohd. Zainal memberitahu, konsep sedekah dalam pengurusan jenazah itu ada ketikanya menyukarkan mengawal pengeluaran wang tunai.

“Tidak kiralah ia membabitkan pemberian wang sagu hati atau pembelian hadiah kepada mereka yang menguruskan jenazah.

“Ada ketikanya, kita tidak perasaan sedekah itu telah meninggikan kosnya,” katanya yang turut mengusahakan syarikat pengurusan jenazah, Al Barzah Enterprise.

Bagaimanapun, Mohd. Zainal tidak menafikan ada individu atau syarikat pengurusan jenazah yang mengambil kesempatan dengan menawarkan kos yang tidak munasabah.

Keadaan itu wujud kerana persaingan, khususnya jika kematian itu berlaku di hospital sama ada swasta atau kerajaan.

“Pada saya untuk atasinya, setiap keluarga mesti bersedia untuk menghadapi kematian. Bukan hanya dari segi amalan tetapi juga bagaimana untuk urus kematian.

“Salah satunya mengenal pasti syarikat pengurusan jenazah yang berdaftar dengan jabatan agama negeri supaya kita tahu kos yang perlu dikeluarkan.

“Ada juga sesetengah itu menawarkan pakej atau keahlian tertentu yang mungkin bersesuaian dengan keupayaan kewangan kita,” katanya.

Ganjaran besar sedekah Ramadan

RAMADAN menjanjikan banyak kelebihan dan ganjaran. Antaranya amalan sunat diberi ganjaran pahala ibadat fardu, yang fardu diberi ganjaran 70 kali ganda. Demikian juga dalam bab sedekah. Bagi umat Islam yang suka bersedekah, pastinya Ramadan sentiasa ditunggu-tunggu untuk mendapat kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW juga adalah insan yang paling dermawan. Sifat pemurah Baginda adalah berlipat kali ganda dalam bulan mulia ini berbanding bulan-bulan lain.

Ketahuilah bahawa Allah SWT melipatgandakan pahala orang yang bersedekah.

Ini dijelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak. (al-Hadid: 18)

Seharusnya ini menjadi pemangkin kepada umat Islam untuk bersedekah terutama kepada golongan yang kurang bernasib baik. Sedekah itu pula bukan mesti banyak, sedikit pun mencukupi kerana yang penting adalah ikhlas.

Ingatlah ganjaran yang disebutkan oleh Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya”. (Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi).

Oleh itu, marilah kita mengambil kesempatan Ramadan kali ini menyediakan juadah berbuka puasa kepada jiran atau pun saudara seagama. Ini boleh dilakukan secara bersendirian atau dengan mengambil giliran menyumbang wang kepada masjid atau surau menyediakan juadah berbuka puasa.

Bagi yang berkebolehan membuat kuih apa salahnya hadiahkan sepiring kepada jiran tetangga. Bagi yang tidak sempat memasak, apa kata mulai tahun ini beli lebih sedikit kuih muih atau makanan untuk disedekahkan kepada orang berbuka puasa. Bayangkan kegembiraan orang yang berbuka puasa itu lebih-lebih lagi bagi mereka yang bermusafir dan singgah di masjid atau surau kariah kita.

Alangkah baik jika kempen derma minimum RM1 turut dipromosi kepada setiap jemaah masjid dan surau. Ini bertujuan menyuburkan budaya bersedekah dalam kalangan umat Islam terutamanya kanak-kanak.

Ingatlah setiap kebajikan yang kita lakukan walau sebesar zarah akan diperlihatkan ganjarannya di akhirat kelak. Lebih penting lagi, kita menghayati sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang di bawah adalah orang yang meminta. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, keutamaan bersedekah yang lain adalah:

- Sedekah dapat menghapus dosa. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api”. (Riwayat Tirmidzi)

- Orang yang bersedekah mendapat naungan di hari akhirat. Nabi SAW dalam sabdanya menyebut antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak ialah: “Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sampai-sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya”. (Riwayat Bukhari)

- Sedekah memberi keberkatan pada harta. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Harta tidak akan berkurang dengan sedekah...” (Riwayat Muslim)

Jika tidak mampu menyumbang harta, setidak-tidaknya berusahalah menyumbang tenaga dan fikiran dengan mengajak orang sekeliling melakukan kebaikan.

- Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 12 Jun 2015

Haji wanita

SETELAH selesai umrah wajib, jemaah haji wanita membayar dam Tamattu’. Kemudian dia keluar berniat ihram umrah sunat di Tana’im. Belum sempat tawaf, dia datang haid dan masih tidak suci sehingga hendak berangkat wukuf ke Arafah pada 8 Zulhijah. Bolehkah dia berniat haji dan bagaimana dengan umrah sunatnya yang belum selesai?

Jemaah haji wanita tersebut boleh berniat ihram haji pada 8 Zulhijah (Hari Tarwiyah) semasa hendak berangkat ke Arafah, dengan itu dia dianggap melaksanakan Haji Qiran. Umrah sunat yang tidak selesai itu secara tidak langsung termasuk dalam kerja haji. Dia hendaklah melaksanakan semua amalan ibadat haji. Pada hari-hari tasyrik dia wajib melontar ketiga-tiga jamarat. Dia hanya wajib melaksanakan Tawaf Ifadah/Rukun dan Sai’e Haji, setelah yakin suci darah haid dan mandi hadas.

Kekeliruan akan mengakibatkan ibadat haji terjejas

Untuk memperoleh haji mabrur memerlukan kefahaman dan penghayatan tulus ikhlas dalam beribadat. - GAMBAR HIASAN

Dia tidak perlu membayar dam Haji Qiran kerana bayaran dam Tamattu’ sebelum ini dikira sebagai dam Qiran dan tidak lagi wajib menyempurnakan umrah sunat yang terhalang sebelum ini kerana dengan amalan hajinya, umrah telah dikira sempurna.

Jemaah haji wanita memasuki Mekah dalam keadaan haid dan dia tidak berniat ihram umrah atau haji di miqat kerana beranggapan dalam keadaan haid tidak boleh berniat ihram. Apabila sampai di Mekah dan suci daripada haid dia pun berniat umrah. Adakah boleh tidak berniat di miqat dan adakah dikenakan dam. Bagaimana pula niat umrahnya itu?

Seseorang yang berniat masuk Mekah untuk mengerjakan haji atau umrah hendaklah dia berniat ihram haji atau umrah sebelum melepasi miqat, walaupun dalam keadaan haid atau nifas. Haid dan nifas tidak menghalang niat ihram.

Dalam kes di atas kalau dengan sengaja wanita haid tidak berniat ihram di miqat adalah berdosa. Dia dikenakan Dam Tertib dan Taqdir kerana tidak berniat di miqat. Dam tersebut ialah menyembelih seekor kambing atau kibas atau 1/7 daripada lembu. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa 10 hari, tiga hari pada masa ihram haji dan tujuh hari apabila pulang ke tanah air atau bersedekah sebanyak 10 cupak makanan asasi.

Niat umrahnya di Mekah sah. Dia boleh tawaf, saie dan bergunting setelah suci daripada haid dan mandi hadas. Apabila selesai kerja umrah dia boleh bayar dam Tamattu’.

Datang haid selepas tawaf rukun. Sebelum suci haid dia hendak pulang ke Malaysia. Apakah dia wajib Tawaf Wada’?

Wanita haid tidak wajib Tawaf Wada’ dan tidak dikenakan dam. Ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas r.a berkata: Umat Islam telah diperintahkan agar menjadikan akhir urusan mereka adalah di Kaabah, kecuali wanita haid diberi keringanan. (riwayat Muslim)

Berwangian sebelum berniat ihram?

Wanita boleh memakai wangian sebelum berniat ihram dengan syarat baunya tidak keterlaluan.

Selepas berihram tidak boleh memakai wangian, sama ada di pakaian atau badan sebagaimana hadis riwayat Ibnu Umar Rasulullah bersabda: Semasa dalam ihram kamu tidak boleh memakai pakaian yang disapu wangian zaafaran atau waras. (riwayat Muslim)

Bilakah keputihan atau angin atau air kencing dikira sebagai daimul hadath (sentiasa berhadas). Bagaimana cara berwuduk?

Daimul Hadath bermaksud sentiasa berhadas sehingga tidak sempat selesaikan satu solat atau satu pusingan tawaf dengan wuduk yang telah diambil.

Jika jemaah haji wanita yang keluar keputihan atau angin atau kencing berada di dalam situasi sedemikian, maka dia dikategori mengalami daimul hadath.

Contoh, jika dia masih sempat untuk menghabiskan satu solat dengan wuduk tersebut tanpa keluar keputihan atau angin atau sempat tawaf dua pusingan maka dia bukanlah dikategorikan sebagai daimul hadath.

Cara berwuduk:

Berwuduk setelah masuk waktu solat.

Basuh najis keputihan/kencing dan pakai tuala wanita atau panty liner.

Wuduk hanya sah untuk satu solat fardu atau tawaf fardu dan beberapa solat sunat.

Hendaklah muwwalat antara wuduk dengan pelaksanaan ibadat.

Cara berwuduk tersebut berdasarkan hadis Rasulullah kepada Fatimah binti Hubaisy yang mengalami istihadah Baginda berkata: “Mandilah dan berwuduklah setiap solat fardu.”

Kadar uruf masa (muwwalat antara wuduk dengan pelaksanaan ibadat) bagi jemaah yang berwuduk menggunakan kaedah daimul hadath iaitu bermula dari selepas jemaah mengambil wuduk di hotel sehingga sampai ke dataran masjid mestilah kurang dari 15 minit perjalanan.

Jika lebih, maka terputus muwwalat antara wuduk dan amal ibadat yang akan dilakukan. Oleh itu, jemaah wajib bersuci dan mengambil wuduk semula sebelum memulakan ibadat berkaitan.

Jemaah haji dalam keadaan daimul hadath yang telah sampai di dataran masjid atau berada dalam masjid dan terpaksa menunggu imam untuk iqamah dan menunaikan solat tidak perlu berwuduk semula.

Tempoh menunggu untuk solat tidak dikira memutuskan muwwalat jemaah itu. Ini kerana ia telah berada dalam waktu solat dan perbuatan menunggu termasuk dalam perkara yang berkaitan maslahah solat.

Wanita itu datang haid semasa tawaf umrah dalam pusingan kedua, haidnya tidak suci hingga hari Tarwiyah 8 Zulhijah. Semua rakan sebilik bersiap untuk berangkat ke Arafah. Apakah dia boleh berniat haji dan bagaimana dengan umrahnya yang tidak selesai itu?

Sekiranya haid wanita ini tidak suci sehingga masa hendak berangkat melakukan wuquf di Arafah, bererti ibadat umrahnya belum selesai. Dalam situasi sebegini wanita tersebut tidak perlu merasa cemas, kerana dalam isu ini ada dua pendapat mazhab.

Mazhab Syafie berpendapat wanita tersebut tidak boleh memasukkan sekali niat hajinya ke dalam umrah yang belum selesai itu. Ini bermakna wanita terbabit tidak dapat melakukan ibadat haji pada tahun itu.

Mazhab Maliki wanita terbabit masih boleh memasukkan niat hajinya ke dalam umrah yang belum selesai itu selagi dia belum mengakhiri tawafnya dengan melakukan solat sunat tawaf dua rakaat. Dengan masukkan niat hajinya ke dalam umrah yang belum selesai, hajinya telah bertukar menjadi Haji Qiran dan dikenakan membayar dam Haji Qiran.

Oleh itu bagi wanita yang mengalami keadaan seperti ini dinasihati supaya bertaklid dengan mazhab Maliki. Selain, ia adalah satu rahmat besar kepada jemaah haji wanita yang mengalami keadaan seperti ini.

Pusat ibadah kepada ALLAH

SEMENTARA al-Quran dan Bible membawa kisah yang hampir sama mengenai kehidupan anbiya dan rasul di Palestin, namun kisah kedua-dua sumber kitab wahyu ini membawa  perspektif berbeza.

Bible menceritakan kisah tersebut secara miring sebagai kisah sejarah Bani Israel dan  menjadikannya hujah asas hak mereka ke atas bumi Kan’an (Palestin). Sementara itu, al-Quran pula memaparkan kehidupan hamba ALLAH SWT yang soleh.

Kehidupan mereka di Bait Al-Maqdis iaitu pusat kehidupan  bumi Syam yang sentiasa dipenuhi dengan ibadah kepada ALLAH, itulah yang menjadikan Syam sebagai bumi yang berkat.

Hal ini sangat jelas  apabila diteliti  kepada rangkaian ayat yang menyebut mengenai bumi yang diberkati di atas, di mana ayat yang terakhir Surah Al-Isra' ayat satu memberikan jawapannya. Ia kerana wilayah Palestin di bumi Syam mempunyai Masjid Al-Aqsa yang didirikan di kota suci Baitil Maqdis ( al-Quds).

Ulama terutamanya Mufassirin (ulama tafsir) bersetuju ayat yang menyebut bumi yang diberkatkan dalam ayat al-Quran adalah Syam.

Imam Al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat daripada Surah Al-Isra’: 1 dan ayat lain yang berkenaan dengan konsep tersebut dengan tegas mengatakan ia adalah bumi Syam yang wilayah utamanya Suriah dan Palestin.

Katanya, bumi Syam dianggap berkat kerana ia adalah bumi yang subur, ada sungai besar, banyak pokok buah-buahan mengeluarkan buah yang lazat.

Namun apa yang jauh lebih penting daripada semuanya itu adalah di atas bumi itu dahulunya ramai anbiya dan auliyaa' ALLAH yang soleh hidup dan melaksanakan ibadah kepada-Nya sewaktu hayat dan sesudah wafat  mereka disemadi di sana.





Kitab Qadiyyah al-Palestiniyyah munzu Adam AS menjelaskan sesungguhnya kota suci Bait al-Maqdis adalah pusat nadi kehidupan ('Asimah) kepada bumi Syam sejak hari pertama ALLAH menciptakan dunia ini.

Dalam Kitab Akhbaru Makkah terdapat satu sumber athar yang Sahih daripada Saidina Ali bin Abi Talib, asal bumi ini diliputi air. Kemudian apabila liputan air mulai mengering yang mula-mula timbul di permukaan air tiga tanah daratan.  Itulah Makkah, Taibah (Madinah) dan Bait Al-Maqdis.

Satu bukti yang jelas Bait al-Maqdis adalah pusat nadi kehidupan (‘Asimah) kepada bumi Syam sejak azali ialah hadis qudsi diriwayatkan Muaz bin Jabal bahawa ALLAH berkata kepada bumi Syam: "Wahai Syam! engkaulah bumi pilihan-Ku. Nantikan, akan Aku bawa kepadamu hamba pilihan-Ku."

Adalah dikatakan janji ALLAH ini kepada bumi Syam sejak hari pertama bumi Syam diwujudkan. Ketika itu manusia pertama, Adam AS pun masih belum diciptakan. Bilakah ALLAH menunaikan janji-Nya kepada bumi Syam?

ALLAH menunaikan janjinya kepada bumi Syam pada malam Israk dan Mikraj di mana hamba pilihan ALLAH iaitu Nabi Muhammad SAW dibawa ke pusat nadi kehidupan bumi Syam iaitu Bait Al-Maqdis.

Ulama menjelaskan bumi Syam adalah bumi yang berkat lantaran buminya yang subur, terutamanya Syria  dan Palestin. Terdapat sungai besar dan cabang-cabangnya yang kecil mengalir sepanjang tahun.

Di bumi Syam yang subur ini terdapat ladang dan kebun buah-buahan yang juga mengeluarkan buah sepanjang tahun.

Penjelasan ulama ini bertepatan dengan petunjuk geo-history yang mengesahkan sebahagian jaluran tanah di selatan Syria yang bersambung dengan Palestin termasuk dalam 'lengkungan Bulan Sabit Yang Subur' (the Crescent Furtile) yang bersambung-sambung daripada Lembah Euphrates di Mesopotamia dengan Lembah Nil di Mesir.

Lantaran itu sejak dahulu, bumi Syam menjadi tumpuan kediaman berbagai suku kaum tempatan seperti suku-suku kaum Phoenic-Canaanite dan Semetik sejak daripada milineum ke 2 SM.

Daripada segi hubungan strategik,  bumi Syam yang berkat juga terletak di pertengahan hubungan pertemuan dan pertembungan budaya antara Rom yang mewakili barat dan Parsi yang mewakili timur.

Adalah tidak menghairankan bumi Syam menjadi medan rebutan hegemoni di antara kuasa besar serantau pada zaman itu Rom dan Parsi.

Parsi berjaya menegakkan kuasa hegemoninya ke atas bumi Syam jauh lebih lama berbanding dengan Rom. Penegakan hegemoni Parsi mula ditandai kejayaan Raja Cyrus Yang Agung memperluaskan daerah kekuasaan Parsi ke bumi ini pada tahun 540 SM.

Sejak itu Parsi berjaya menegakkan hegemoni dalam tempoh jangka masa yang agak panjang tanpa cabaran kecuali  sedikit gangguan ringkas oleh kemunculan Alexander Agong (334 hingga 300 SM).

Hanya menjelang berakhirnya alaf terakhir SM, Syria mula dikuasai oleh Rom. Pompey sewaktu bersekutu dengan Julius Ceaser diangkat sebagai pemerintah Rom untuk rantau timur Mediternean telah menakluki Syria pada tahun 64 SM.

Walaupun akhirnya Pompey dan Ceaser bermusuhan yang berakhir dengan pembunuhan Pompey namun Syria terus berada di bawah Empayar Rom dan pemerintahan Rom menjadikan kota Damascus sebagai ibu negara bagi Syria.

Memasyarakatkan tahfiz

JUMAAT yang penuh barakah. Moga kita semua dirahmati dan diberkati ALLAH SWT sentiasa. Al-Quran mempunyai dua sisi interaksi iaitu ibadah dan amalan. Aspek pertama dipenuhi dengan cara membaca al-Quran dengan niat beribadah kepada ALLAH.

Seiringan, aspek kedua adalah yang menjadi tujuan penurunan al-Quran, sebagaimana firman ALLAH: "Agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang yang berakal sihat mendapat pelajaran." (Surah Shaad: 29)



Al-Quran adalah bacaan yang paling mulia, kerana ia adalah kalam ALLAH Yang Maha Mulia, dibawa oleh malaikat yang mulia Jibrail AS, diterima oleh Rasul-Nya yang mulia, Nabi Muhammad SAW, awal mula diturunkan pun pada bulan paling mulia yakni bulan suci Ramadan.

Al-Quran diimani dan diikuti oleh umatnya yang mulia, iaitu umat Islam. Orang yang mengetahui kemuliaan al-Quran, dia pasti akan mencintainya, membacanya, menghayati kandungan isinya, berusaha menghafal ayat demi ayat-Nya dan yang paling penting adalah berusaha mengamalkannya secara keseluruhan dalam kehidupan sehari-hari.

Oleh kerana al-Quran sebagai bacaan yang mulia itulah, maka seorang Muslim yang membacanya pun akan mendapatkan pahala daripada huruf demi huruf yang dibacanya.

Kerjasama Permata Tahfiz

Madrasah tahfiz sering dilihat sebagai tempat eksklusif untuk melatih anak-anak ke arah menghafal al-Quran. Hafalan Quran juga dikaitkan hanya untuk golongan tertentu dan kurang popular dalam kalangan orang awam.

Baru-baru ini Rumah Ngaji Malaysia menjalin kerjasama dengan Persatuan Madrasah Tahfiz (Permata Tahfiz) bagi melancarkan kempen agar masyarakat awam dapat menghafal al-Quran melalui pendekatan memasyarakatkan tahfiz.

Permata Tahfiz dengan keahlian sebanyak 400 pusat tahfiz berharap untuk sama-sama menyumbang ke arah memartabatkan al-Quran sehingga ia menjadi agenda besar masyarakat  dalam membaca, memahami, menghayati dan mengamalkannya.

Melalui kempen ini, 14 madrasah tahfiz di seluruh negeri akan bekerjasama sebagai tempat untuk orang ramai memeriksa hafalan al-Quran mereka setiap minggu.

Bagi semua peserta terlibat, mereka diberi motivasi dan dorongan untuk berasai nikmatnya menghafal al-Quran sehingga mereka mampu untuk setia dengan al-Quran, sekurang-kurangnya 1 jam setiap hari.

Mana-mana individu atau pihak yang berminat dan mahu menyertai program ini, seminar dan motivasi untuk menghayati dan setia dengan al-Quran akan diadakan pada 14 Jun ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.

Sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi Khadijah di talian 012-2230782.

Rumah Ngaji Baitul Abrar

Rumah Ngaji pertama di Kuantan, Pahang kini dibuka untuk orang awam secara percuma.

Program yang dijalankan setiap hujung minggu di Taman Perumahan Sri Damai Aman, Jalan Gambang dengan kerjasama Masjid setempat, diadakan  setiap Ahad, bermula jam 9.30 pagi hingga 11 pagi dikendalikan oleh Ustaz Mohd Rozamli Mohd Razak dan isteri, Ustazah Hasnuli.

Ustaz Rozamli  berkata, beliau membuka Rumah Ngaji Baitul Abrar dengan menginfakkan sebahagian daripada rumahnya kerana tujuannya adalah untuk bersama membawa masyarakat membaca dan memahami al-Quran sebagaimana yang dicetuskan oleh Rumah Ngaji.

"Saya dan isteri mempunyai kelulusan dalam bidang agama dan selama ini banyak mengisi ceramah di masjid. Jadi dengan apa yang kami ada dan ALLAH berikan kepada kami, kami kira, inilah masanya untuk kami menjadi sebahagian daripada perubahan melalui al-Quran.

"Bagi mereka yang berada di sekitar Kuantan, bolehlah berhubung terus dengan saya di talian 019-7206040 atau boleh juga menghubungi isteri, Ustazah Hasnuli (019-7076575) bagi mengikuti kelas pengajian al-Quran," katanya.

Menurutnya, Rumah Ngaji Baitul Abrar adalah fokusnya untuk memastikan masyarakat Islam sekitar yang tinggal berdekatan lebih mendekati al-Quran dan mentadaburkan kitab ALLAH itu dalam erti sebenarnya.