June 19th, 2015

Khutbah Jumaat ~ Di Sebalik Lapar Dan Dahaga

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 19 Jun 2015: JAIS

“Di Sebalik Lapar Dan Dahaga”

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 : “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Puasa yang diperintahkan Allah pada tahun kedua hijrah. Pernah mengamalkan ibadat puasa ialah umat Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS. Bahkan kaum Arab Jahiliah sebelum diutus Rasulullah SAW juga, melakukan puasa pada 10 hari bulan Muharram.

Puasa Ramadhan merupakan ibadat wajib, yang mempunyai tujuan yang sangat luas dan sangat dalam maknanya.

Ibadah yang diwajibkan itu ialah menahan diri daripada makan dan minum, tidak melakukan hubungan suami isteri dan menjauhi perbuatan yang boleh membatalkan dan menghilangkan pahala puasa, sejak dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Sesungguhnya ibadah puasa, memberi pengajaran kepada kita betapa nikmatnya sesuap nasi dan seteguk air.

Rasulullah SAW kepada Allah SWT, sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Pernah Tuhan ku menawarkan kepada ku untuk menjadikan lembah Makkah di penuhi emas. Aku menjawab : Tidak Ya Tuhan ku. Akan tetapi aku ingin kenyang sehari dan lapar sehari. Maka jika aku lapar, aku semakin dekat kepada Mu, dan apabila aku kenyang, aku akan bersyukur dan memuji Mu”. (Riwayat at-Tirmizi).

Di akhir ayat 183, surah al-Baqarah menjelaskan kebaikan amalan berpuasa dapat menjadikan orang yang beriman itu bertakwa kepada Allah.

Takwa ertinya takut dan patuh kepada Allah, mengikut apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang.

Takwa lahir daripada latihan melaksana perintah Allah dan menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang.

Sanggup menghadapi keadaan letih dan lapar, ketika berpuasa, mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan mungkar dan dosa-dosa.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Betapa ramai daripada orang-orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa hasilnya kecuali hanya lapar dan dahaga sahaja”. (Riwayat Ahmad)

Ibadah puasa juga dapat melahirkan jiwa sosial kemasyarakatan dalam diri seseorang. Kesusahan dan kelaparan berpuasa, semoga dapat memberi keinsafan tentang keadaan yang dialami oleh orang yang kurang bernasib baik.

Bagi manusia yang mempunyai jiwa keinsafan akan tumbuh dengan subur, sehingga sanggup menginfakkan harta untuk membantu golongan fakir dan miskin. Seterusnya mengeluarkan sebahagian harta sebagai ibadat zakat, wakaf Tabung Amanah Pembangunan Islam Selangor (TAPIS) dan lain-lain.

Puasa merupakan jalan untuk mempersiapkan diri menjadi orang yang sabar, iaitu tahan ujian, gigih berjuang, sanggup menanggung derita, sengsara serta kesusahan hidup, demi mengharapkan keredaan Allah SWT.

Di sebalik lapar dan dahaga, Islam mendidik manusia supaya bersabar.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Puasa itu separuh daripada kesabaran”. (Riwayat at-Tirmizi).

Besarnya ganjaran orang yang bersabar seperti firman Allah SWT dalam surah az-Zumar, ayat 10 “Sesungguhnya orang-orang yang sabar itu dipenuhi ganjaran pahalanya tanpa perhitungannya”

Kelebihan berpuasa juga dapat menjaga kesihatan seseorang.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW membenarkan kenyataan ini apabila baginda mengesahkan dalam sabdanya :“Berpuasalah, nescaya kamu sihat”. (Riwayat at-Tabrani).

Allah telah mengingatkan kita dalam surah al-A’raf ayat 3 : “..makan dan minumlah dan jangan berlebihan”.

Seorang pakar perubatan Arab yang menjalankan kajian mengenai punca beberapa jenis penyakit, merumuskan dengan katanya : “Perut itu pangkal segala penyakit. Menahan makan merupakan ubat yang paling mujarab”

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 184 : “Puasa itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya..”.

Puasa atau kurang makan dikenal pasti antara pendekatan yang sangat berfaedah bagi membantu menambahkan kesihatan badan, melewatkan kedatangan usia tua dan pembiakan keturunan.

Menurut kajian, bahawa haiwan juga berpuasa tanpa dipaksa sesiapa. Haiwan berpuasa bukan kerana dosa dan pahala, bukan kerana syurga dan neraka tetapi atas fitrahnya.

Sedangkan haiwan hanya diajar oleh fitrah atau semula jadinya sahaja. Maha Suci Allah yang berfirman dalam surah al-An’am ayat 38: “Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang di udara dengan dua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu juga...”.

Oleh itu, marilah kita berazam meningkatkan kualiti puasa kita supaya kita mendapat manfaat dari kelebihan ibadat tersebut. Antaranya :

1. Kita hendaklah berpuasa dengan ikhlas kerana Allah SWT, supaya kita bukan sahaja mendapat beberapa hikmat di sebalik lapar dan dahaga, tetapi kita dapat melaksanakan ibadat yang diwajibkan Allah.

2. Ketua keluarga hendaklah membimbing anak-anak mereka berpuasa, solat sunat tarawih, tadarus al-Quran, memperbanyakkan sedekah dalam bulan yang diberkati ini.

3. Pengusaha-pengusaha restoran atau kedai makan dapat kiranya memberi kerjasama mematuhi peraturan yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama mengenai etika berniaga dalam bulan Ramadhan.

4. Kita hendaklah memperbanyakkan berdoa memohon keredaan Allah SWT dalam bulan Ramadhan ini.

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. maka hendaklah mereka menyahut seruan-ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul”. (Surah al-Baqarah : 186).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Memburu Rahmat Ramadhan

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat 19 Jun 2015M/ 2 Ramadhan 1436H JAWI

Memburu Rahmat Ramadhan

Dr. Allan Cott, pakar perubatan di Amerika Syarikat, mendedahkan hasil kajian di dalam bukunya, Why Fast bahawa puasa mampu menurunkan tekanan darah dan kadar lemak, serta melambatkan proses penuaan. Di samping manfaat fisiologi badan, ibadah puasa turut menambahkan kesihatan jiwa apabila dikaji dari sudut psikologi.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ertinya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu; dan sesiapa yang mendirikan malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu.”

Marilah sama-sama kita gunakan kesempatan berada di bulan barakah ini untuk meningkatkan prestasi diri bagi memburu rahmat Allah SWT dengan perkaraperkara berikut:

Pertama: Perbanyakkan amalan soleh.

Kedua: Rapatkan ukhuwwah sesama insan

Sunnah Rasulullah SAW ketika berbuka puasa sebagaimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud daripada Anas bin Malik RA: Ertinya: “Bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa kurma basah (rutob) sebelum solat Maghrib, sekiranya tidak ada kurma basah, baginda akan berbuka dengan beberapa biji tamar (kurma kering), jika tidak ada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air.”

Ketiga : Berjihad bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu.

Rasulullah SAW bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi rhm daripada Fudhalah bin ‘Ubaid RA: Bermaksud: “Seorang mujahid adalah orang yang berjihad melawan nafsunya di jalan Allah SWT.”

Keempat : Jauhkan diri daripada perkara sia-sia.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud : “Setiap amalan yang dilakukan anak Adam pada bulan Ramadhan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda. Firman Allah, “Melainkan puasa, kerana sesungguhnya ia adalah bagi-Ku dan Aku yang akan memberikannya balasan pahala, kerana dia telah menahan syahwatnya dan makan minumnya kerana Aku.”

Kesimpulan daripada bicara mimbar Jumaat kita pada hari ini ialah:

Pertama: Ibadah puasa terbukti mengandungi pelbagai kelebihan zahir dan batin.

Kedua: Madrasah Ramadhan menawarkan peluang terbaik untuk perubahan diri seseorang Muslim.

Ketiga: Setiap orang berpeluang untuk meraih ganjaran rahmat Allah.

Firman Allah SWT di dalam surah al-An`am ayat 162: Maksudnya: “Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Wallahualam. 

Zakat daripada 
modal induk haram

SAYA mempunyai kemusykilan yang sekian lama bersarang di minda. Soalannya, apakah hukumnya apabila sebuah syarikat induk yang menjalankan perniagaan 100 peratus haram. Misalnya kilang arak dan pusat perjudian dan kemudiannya ia menubuhkan sebuah anak syarikat yang menjalankan penternakan ayam (iaitu halal 100 peratus). Apakah anak syarikatnya itu wajib menunaikan zakat perniagaan? Bukankah anak syarikat itu mendapat suntikan modal daripada induknya yang jelas haram perniagaannya? Harap penjelasan ustaz, terima kasih.

JAWAPAN

Segala puji-pujian bagi Allah SWT yang terus memberikan kita kekuatan akal fikiran sehingga dapat terus berfikir demi kebaikan diri dan ummah keseluruhannya. Sesungguhnya, soalan yang dikemukakan oleh saudara ini amat besar faedahnya. Moga-moga saya diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk memberikan jawapannya.

Sebenarnya, jauh sebelum saudara mengemukakan soalan ini, pihak pusat zakat memang ada menerima zakat dari syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan yang halal, namun diketahui juga bahawa induknya memang menjalankan perniagaan yang haram. Maka di sinilah timbulnya perbahasan ulama mengenai status harta yang diperoleh secara haram, kemudian diserahkan kepada pihak lain, apakah statusnya berkekalan haram atau tidak?

Sebelum itu, suka dinyatakan bahawa ulama sebenarnya membahagikan harta yang haram itu kepada dua cara memperolehnya:

1. Haram dengan cara menzalimi orang, misalnya dengan merompak, menipu, riba, mencuri, memeras ugut dan meragut.


Wang yang haram hanya pada induknya, tidak pada anak syarikat -


ZAKAT wajib dikeluarkan bagi sumber pendapatan yang halal, walaupun daripada sumber yang haram. - Gambar hiasan

2. Haram tetapi tanpa menzalimi orang, misalnya menjalankan perniagaan arak, perjudian, pelacuran, rasuah dan kelab disko.

Apakah kesannya daripada kedua-dua kaedah memperoleh harta haram berkenaan kepada zakat? Ya, hakikatnya memang ada kesannya dan ada hukumnya yang tersendiri. Bagi pihak yang mendapatkan harta melalui cara yang pertama, iaitu dengan cara menzalimi orang lain, maka harta yang diperolehnya itu adalah haram mutlak ke atas dirinya, malah haram juga diterima oleh orang lain jika mereka mengetahui ia adalah daripada hasil kezaliman.

Nabi Muhammad SAW menyatakan dengan jelas: Allah tidak menerima solat tanpa bersuci dan sedekah daripada pengkhianat (penzalim). (riwayat Imam Muslim)

Maka, orang yang mendapatkan harta dengan cara menzalimi orang lain, hakikatnya dia telah melakukan dua kejahatan. Pertama, mencari harta dengan cara haram dan kedua, menzalimi orang lain pula.

Harta yang diperoleh dengan cara seperti ini, tidak ada jalan lain kecuali hendaklah dikembalikan kepada pemilik asalnya, kerana memang diketahui daripada siapa ia diperoleh.

Setelah dikembalikan atau diminta halal maka wajib bagi si penzalim meminta ampun kepada orang yang dizaliminya dan bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha.

Sementara itu, bagi pihak yang mendapatkan harta dengan cara kedua, ada perbahasannya yang lebih panjang. Fuqaha menyatakan, harta berkenaan memang haram mutlak buat diri orang yang mendapatkannya, namun apabila dia memberikannya kepada orang lain, maka keharaman itu tidak pula berjangkit kepada pihak yang menerimanya.

Orang yang menerimanya, halal menikmatinya biarpun dia tahu asal harta itu diperoleh daripada sumber judi, riba dan arak.

Contohnya, si Abu mendapat wang dengan cara membuka disko (di dalam disko ada arak dan judi), kemudian si Abu memberikan wang hasil perniagaannya kepada si Ali atas dasar menjelaskan hutangnya. Maka halal bagi si Ali menikmati wang berkenaan, biarpun si Ali tahu wang itu berasal daripada hasil arak dan judi.



PERNIAGAAN yang dijalankan secara halal wajib mengeluarkan zakat, walaupun daripada modal induk yang beroperasi secara haram. - GAMBAR HIASAN

Kenapakah wang itu menjadi halal kepada si Ali; namun haram kepada si Abu? Harus diingat, haram kepada si Abu kerana sudah terang lagi bersuluh dia melakukan pekerjaan yang haram dan pastilah hasilnya juga adalah haram. Manakala bagi si Ali, dia menerima wang itu bukan atas dasar jual beli arak atau judi, tetapi atas dasar hutang. Si Abu membayar hutangnya, maka si Ali menerima hutang. Hutang adalah halal.

Haram kepada halal

Sebelum menamatkan jawapan ini, ingin dikemukakan sebuah hadis bagaimana suatu hari Nabi Muhammad SAW memakan kambing yang asalnya disedekahkan kepada Barirah, bekas hamba Aisyah rha. Perlu diingat, Nabi SAW dan seluruh keturunannya haram memakan sedekah.

Lalu, kenapakah Nabi memakan sedekah yang diberikan kepada Barirah tersebut? Bukankah ia haram kepada Nabi? Tidak lain, kerana Barirah yang menerima sedekah itu dan kemudiannya kala Barirah memberikannya kepada Nabi, Barirah telah memberikannya sebagai hadiah (berubah status kambing berkenaan, daripada haram kepada halal).

Lalu nabi menjelaskan: Untuk dia (Barirah adalah) sedekah, untuk kita (Nabi dan Aisyah adalah) hadiah (halal dimakan). (riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Ia menunjukkan, asal harta itu haram bagi Nabi, namun berubah menjadi halal apabila Barirah menukarnya daripada sedekah kepada hadiah. Asal harta bagi syarikat induk adalah haram (kerana terlibat dengan arak dan judi); namun ia menjadi halal di sisi anak syarikatnya kerana menjalankan perniagaan minyak angin. Apa yang diambil kira bukan sebelum itu, tetapi keadaan sekarang, iaitu perniagaannya yang halal.

Kesimpulannya, wajiblah zakat bagi mana-mana pihak yang menerima harta yang didasari pekerjaan yang halal, biarpun dia tahu dia dibayar oleh pihak sebelumnya daripada sumber yang haram.

Samalah seperti kakitangan awam yang tahu sumber perbendaharaan negara adalah bercampur antara segala macam yang halal dan haram, namun dia bekerja sebagai guru dan pekerjaannya adalah halal, maka wajiblah dia mengeluarkan zakat atas pendapatannya sebagai guru. Wallahua’lam.

Berbalik pada kes Ali yang disebutkan sebelum ini tadi, banyak sekali dalil yang boleh dikemukakan demi menguatkan hujah kehalalan bagi si Ali menerimanya. Antaranya, Allah SWT menyatakan di dalam surah al-An’am, ayat 164: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh sesuatu jiwa (seseorang atau satu individu) melainkan dialah yang menanggung dosanya (sendiri) dan seseorang yang boleh memikul (dosa) tidak akan memikul dosa orang lain (pelakunya).

Jelas di sini, si Ali menerima hutang, itu hak Ali. Dia tidak akan dipertanggungjawabkan atas kejahatan dan dosa si Abu dalam mendapatkan wang untuk membayar hutangnya. Abu berdosa, Ali tidak.

Mungkin ada pihak yang berhujah, bukankah itu namanya seperti bersubahat atau bersekongkol dengan kejahatan? Bukankah sepatutnya jika si Ali sudah tahu si Abu mendapat wang dengan jalan yang haram, maka dia patut menolak wang itu agar si Abu mencari sumber yang lain? Jawapannya, tidak dinamakan subahat atau bersekongkol bagi Ali tatkala dia menerima hutangnya.

Namun, atas dasar Islam mencegah kemungkaran, maka wajiblah bagi si Ali membuat suatu tindakan agar pekerjaan haram si Abu dapat dihentikan. Misalnya, memberikan nasihat, teguran malah jika perlu meminta pihak berkuasa agama menutup perniagaan haram berkenaan.

Pendek kata, dia tidak boleh reda dengan pekerjaan si Abu, apatah lagi jika menggalakkannya pula. Jika dia menggalakkan Abu kekal bermaksiat, baharulah jadi subahat.

Maka, berbalik kepada persoalan yang telah dikemukakan di atas tadi, bagaimanakah status zakat perniagaan sebuah syarikat yang halal 100 peratus (misalnya syarikat minyak angin) tetapi ditubuhkan oleh sebuah induk yang haram 100 peratus?

Dengan berpandukan dalil dan kaedah di atas, maka jelas bahawa zakat perniagaan yang dikeluarkan oleh syarikat penternakan itu adalah halal, hasil perniagaannya halal dan boleh diterima sebagai zakat perniagaan. Alasannya:

Wang yang haram hanya kepada induknya (kerana jelas perniagaannya haram), apabila berpindah kepada anak syarikat ia sudah berubah menjadi halal. Ertinya induk tidak boleh membayar zakat perniagaan, tetapi anak syarikatnya boleh.

Perniagaan yang dijalankan oleh anak syarikat adalah berbeza, iaitu halal maka halallah kesemua pendapatan anak syarikat itu dan halal jugalah zakatnya.

Menyambut pesta ibadat Ramadan

Alhamdulillah, kita dipanjangkan umur untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan dan bulan di mana al-Quran diturunkan di dalamnya. Bulan yang cukup istimewa kerana sesiapa yang berjaya melepasi ‘ujian’ berpuasa akan beroleh takwa.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Menurut Sayid Qutub, demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung ibadat puasa iaitu bagi mencapai takwa. Takwa itulah yang bersemarak dalam hati ketika mengerjakan fardu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredaan-Nya. Takwa itu juga yang mengawal hati daripada merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik dalam hati.

Selain itu, banyak keberkatan yang boleh kita peroleh sepanjang Ramadan baik dari segi individu ataupun masyarakat. Antara yang paling ketara, masjid dan surau penuh berbanding sebelum bulan puasa. Jika dahulu hendak mengumpulkan 50 orang untuk jemaah solat Subuh amat payah, kedatangan Ramadan menyaksikan ramai ‘muka baharu’ turut hadir solat Subuh berjemaah.

Demikian juga dalam solat-solat fardu lain. Jangan kiralah bab solat Isyak dan tarawih. Kalau minggu pertama puasa, masjid dan surau seolah-olah ‘kecil’ kerana jemaahnya yang melimpah ruah. Inilah antara keberkatan Ramadan di mana hati-hati manusia lebih terdorong melakukan ibadat berbanding dilalaikan dengan lain-lain perkara duniawi.

Antara yang menjelaskan perkara ini adalah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila datangnya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan. (riwayat Bukhari dan Muslim) ‘Syaitan’ ini merujuk kepada sifat. Manusia atau jin yang mempunyai sifat-sifat buruk tertentu dikenali sebagai syaitan.

Dalam surah an-Naas ada disebut ayat Minal jinnati wan naas yang menyatakan bahawa para penghasut yang timbul tenggelam (yang ditafsirkan oleh para ulama sebagai ‘syaitan’) itu terdiri daripada bangsa jin dan bangsa manusia. Maka istilah ‘syaitan’ itu bukanlah merujuk kepada jin, tetapi kepada manusia dan jin yang mempunyai sifat-sifat tertentu.

Berbalik kepada hadis di atas, yang dirantai atau dibelenggu itu bukanlah jin tetapi sifat-sifat kesyaitanan yang ada dalam diri manusia dan jin. Digunakan istilah ‘dirantai atau dibelenggu’ untuk menyatakan ‘ketidakbebasan’. Sifat-sifat kesyaitanan pada diri manusia dan jin sepanjang bulan Ramadan ini tidak bebas seperti dalam bulan-bulan lain.

Contohnya, sifat syaitan pada diri kita sendiri. Antara sifat kesyaitanan yang kita rai pada bulan-bulan selain Ramadan adalah seperti banyak makan, memandang kepada perkara yang haram, suka mengumpat, marah-marah, berfikiran jahat dan sebagainya.

Namun apabila masuk bulan Ramadan dan umat Islam berpuasa, sedikit-sebanyak kita berusaha mengekang sifat-sifat ini pada siang hari agar puasa kita menjadi puasa yang berkualiti.

Pada waktu malam pula kesempatan kita untuk keluar rumah juga terhad. Natijahnya, sifat-sifat kesyaitanan ini seolah-olah terbelenggu, terantai dan tidak bebas seperti dalam bulan-bulan yang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘syaitan-syaitan dirantai’.

Dengan demikian, marilah kita merebut peluang melipat-gandakan amal ibadat dalam kesempatan umur yang Allah berikan kali ini. Penuhilah diari kehidupan harian kita dengan membaca al-Quran, membanyakkan sedekah, melakukan solat malam dan sebagainya. - Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 19 Jun 2015 1:09 AM

Menghayati madrasah Ramadan

RAMADAN adalah bulan latihan atau madrasah yang pada umumnya bertujuan melatih umat Islam agar bertakwa, bersyukur dan mendapat petunjuk Ilahi. Menurut Dr. Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya al-Ibadah fil-Islam menyatakan bulan Ramadan adalah madrasah atau sekolah yang bertujuan memberi latihan untuk menambah kekuatan kerohanian, bulan untuk melawan nafsu dan bulan persediaan untuk jihad.

Bagi Profesor Dr. Wahbah Zuhaili pula dalam Fiqh al-Islam wa adillatuh menyebut bahawa ibadah puasa adalah madrasah yang bertujuan melahirkan insan bertakwa yang berlandaskan ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. Menurut beliau lagi, madrasah itu bertujuan membina takwa melalui pendekatan berikut:

Berpuasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi atau terbuka.

Mengekang nafsu syahwat daripada menguasai diri.

Membina cetusan naluri yang peka dan sensitif.

Memulihkan dan membina kekuatan struktur dalaman tubuh badan serta menguatkan kesihatan jasad dari unsur yang memudaratkan.

Bagi Dr. Mustaffa Siba’i pula menerusi bukunya, Ahkamu syiam wa falsafat fi dhu al-Quran wa al-sunnah menjelaskan ibadat puasa sebagai madrasah atau pusat latihan untuk membina kekuatan dari aspek al-madi (kebendaan) dan kekuatan al-ruhi (roh). Dalam aspek kebendaan, ini mencakupi aspek harta dan jasmani sementara aspek roh meliputi iman dan pemikiran.

Dalam konteks ini bagaimanakah sewajarnya setiap insan muslim dapat mengambil pengajaran atau iktibar dalam tempoh sebulan dalam melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan dan dapat diterjemahkan pengajaran Ramadan atau madrasah yang sama-sama dilalui itu untuk dibawa dalam pelbagai profesion pekerjaan.

Selain itu, madrasah Ramadan juga mampu meningkatkan motivasi untuk melakukan pembaikan diri yang meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilai-nilai unggul khususnya nilai takwa.


Jemaah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin memenuhi saf ketika menunaikan solat sunat tarawih di Putrajaya, semalam. BERNAMA

Dari aspek psikologi, manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu fizikal, emosi, kognitif dan spiritual. Berdasarkan komponen ini, madrasah Ramadan diharapkan dapat melatih fizikal, emosi, kognitif dan spiritual untuk melakukan transformasi diri ke arah kebaikan yang dituntut berlandaskan kehendak Islam.

Pada umumnya melalui latihan atau sukatan pelajaran yang dilalui dalam bulan Ramadan, diharapkan dapat membina generasi yang mantap dan kukuh secara luaran dan dalaman individu. Dalam konteks kehidupan seluruhnya, diharap madrasah Ramadan dapat melahirkan generasi umat yang mantap iaitu yang bukan dimanjakan atau generasi yang berada di keadaan serba selesa, tetapi generasi yang dididik dengan sifat mujahadah, bersedia melawan hawa nafsu dan cabaran dan godaan sekeliling.

Falsafahnya mudah, jika mampu mendidik dan mengalahkan nafsu, sudah pasti ia mampu mengatasi masalah dan cabaran yang dihadapi dalam hidup dan sebaliknya. Jika gagal melawan nafsu, sudah pasti banyak cabaran dan dugaan yang mendatang gagal diharungi.

Perlu disedari bahawa sepanjang bulan Ramadan ini umat Islam pada umumnya telah melalui fasa-fasa latihan berdasarkan sukatan pelajaran atau silibus yang tertentu dan sekali gus umat Islam keseluruhannya telah menjalani dan mengalami latihan yang menjurus kepada perubahan tertentu dalam kehidupan seharian dan perubahan yang dilakukan bermatlamatkan untuk membina diri mukmin yang kuat serta amanah.

Bagi melihat dengan lebih dekat, bagaimana semangat daya juang yang tinggi dapat dibina dalam kalangan umat seluruhnya, sirah nabi telah membuktikan bahawa madrasah Ramadan mampu membina individu seperti Ali bin Abi Talib, yang mempamerkan semangat daya juang dan keberanian yang tinggi dalam peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW.

Dalam konteks daya juang ini, sirah juga mencatatkan bahawa tentera Islam telah terlibat dalam Perang Badar (Badr al-Kubra) yang berlaku pada 17 Ramadan Tahun Kedua Hijrah. Sesungguhnya ‘Badr al-Kubra’ telah memberikan pengajaran dan iktibar yang boleh diteladani oleh seluruh umat iaitu:

Sifat cinta dan kasih kepada agama Islam mengatasi segalanya.

Semangat cintakan negara, bangsa dan tanah air dari diceroboh musuh.

Mempunyai sifat takwa dan sabar dalam menghadapi ujian dan kesukaran.

Sentiasa berserah diri kepada Allah dan bertawakal.

Selain itu madrasah Ramadan juga mendidik diri untuk menghayati konsep Hablun MinAllah (hubungan dengan Allah) dan konsep Hablun Minannas (hubungan sesama manusia).

Sesungguhnya madrasah Ramadan melatih seluruh umat Islam untuk melaksanakan amalan hubungan seorang hamba dengan Rabbnya iaitu hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Hubungan tersebut terserlah dalam ibadah dan akhlak yang dilakukan sepanjang Ramadan dan sekali gus mampu untuk diterjemahkan selepas Ramadan.

Dalam konteks hubungan sesama manusia adalah menjadi harapan, agar hubungan sesama manusia itu dapat diterjemahkan dalam erti kata semangat setia kawan atau dalam Islam disebut sebagai itsar yang bermaksud bersedia mendahulukan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri. Sejauh manakah umat seluruhnya telah menghayati sifat itsar ini dalam kehidupan seharian khususnya semangat setiakawan yang telah dididik dalam masyarakat dan organisasi?

Bagi menggambarkan sifat itsar yang boleh dibina melalui madrasah Ramadan antaranya ialah tentang kisah para sahabat dan pejuang Islam yang mempunyai kesanggupan mendahulukan kepentingan orang lain berbanding dari kepentingan diri sendiri.

Bagi menjelaskan sifat itsar ini, terdapat kisah yang berlaku dalam kalangan tentera Islam yang berjuang dan tercedera dalam Perang Yarmouk. Kisah ini berlaku kepada Ikrimah bin Abu Jahal (anak Abu Jahal). Apabila Ikrimah tercedera parah dalam peperangan tersebut, sepupunya yang turut serta dalam peperangan telah berusaha untuk membantunya dengan ingin memberikan air kepadanya dan apabila Ikrimah hendak meminum air tersebut, dia terdengar ada tentera lain yang turut tercedera parah inginkan air.

Lantas, dia menyuruh sepupunya itu memberikan air tersebut kepada tentera yang merintih memerlukan air dan berkata, “demi Allah aku tidak akan minum sebelum saudaraku minum”. Sepupu Ikrimah pergi kepada orang tersebut dan keadaan sama berlaku kepada 10 orang yang lain dan orang yang kesepuluh menyatakan, “demi Allah aku tidak akan minum sebelum Ikrimah minum”. Maka sepupu Ikrimah pun kembali kepada Ikrimah dan didapati Ikrimah telah pun syahid.

Dalam usaha untuk menjadikan masyarakat atau organisasi terus cemerlang agar menjadi masyarakat atau organisasi yang kuat, sejahtera, dinamik, saling bekerjasama, aman sejahtera, dan saling membantu, adalah menjadi harapan bersama agar Ramadan kali ini benar-benar memberikan madrasah yang mampu memberikan pendidikan ideal yang berlandaskan tiga unsur penting iaitu kekuatan, kecintaan dan tawaduk.

Pembinaan individu yang mantap dari segi fizikal, mental dan kerohanian adalah proses awal untuk membentuk masyarakat yang dinamik.

Selanjutnya pendidikan ideal dari madrasah Ramadan ini yang membentuk perlakuan, spiritual, emosi dan kognitif jika dapat diterjemahkan dalam kehidupan seluruh organisasi dan masyarakat, sudah pasti negara mampu mencapai hala tuju yang telah ditetapkan serta mencapai kemakmuran dan kemajuan yang berterusan.

200 huffaz sudah dilahirkan

KOTA BHARU 18 Jun - Sejak dari dahulu lagi, masyarakat Melayu Islam amat mendambakan mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak yang menghafal seluruh ayat-ayat al-Quran dan bergelar ‘Al-Hafiz’ dalam keluarga.

Mereka yakin anak yang 30 juzuk al-Quran ‘tersimpan’ dalam dada serta mengamalkan isi kandungannya adalah satu jaminan untuk ibu bapa mendapat ganjaran dipakaikan mahkota yang bersinar dalam syurga sebagaimana mafhum hadis Rasullulah s.a.w.

Bahkan sejarah awal Islam menunjukkan Rasulullah s.a.w amat memuliakan golongan penghafaz al-Quran yang mana apabila baginda menghantar utusan mewakilinya sebagai pemimpin, baginda akan mengutamakan kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran.

Sejak Maik tubuhkan Maahad Tahfiz al-Quran 13 tahun lalu
Pensyarah Maahad Al-Quran Maik, Mohd. Fadly Hisyam Mat Jun (duduk hadapan) memimpin bacaan pelajar pada Majlis Khatam Al-Quran Pelajar Semester 6 Sesi 2012-2015 di Masjid Al-Mawaddah, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismai Petra di Panji di Kota Bharu baru-baru ini. -

Justeru, kewujudan banyak institusi tahfiz di negara kita yang beroperasi sama ada di bawah kendalian kerajaan, swasta ataupun individu perseorangan adalah perkara yang menjadi keperluan.

Data dari laman sesawang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan bahawa terdapat 278 institut tahfiz yang berdaftar di seluruh negara dan dianggarkan lebih 13,000 sudah bergelar hafiz al-Quran atau kata jamaknya dalam bahasa Arab ‘huffaz’.

Antara institusi berkenaan adalah Maahad Tahfiz al-Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang telah melahirkan 200 huffaz sejak penubuhannya pada penghujung 1992.

Maahad Tahfiz al-Quran di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji, kira-kira sembilan kilometer dari pusat bandar Kota Bharu, adalah sebuah pusat pengajian tahfiz al-Quran yang merangkumi empat bidang pengajian iaitu Hafiz Al-Quran Wal-Qiraat, Bahasa Arab, Pengajian Islam dan akademik.

Institusi ini, yang merupakan cetusan idea Sultan Ismail Petra iaitu Sultan Kelantan ketika itu, dibuka kepada penuntut lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat untuk menghafal al-Quran.

Imam Besar Maik, Muhamad Hana Pizi Abdullah berkata, lulusan maahad tersebut layak bergelar ‘Al-Hafiz’ apabila berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dan lulus program Diploma Tahfiz al-Quran dan Qiraat iaitu sijil di bawah Darul Quran, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, setiap tahun pihak Maik memberi tempat kepada kira-kira 30 pelajar baru yang bukan sahaja mendapat kemudahan asrama serta makan minum percuma bahkan diberikan duit poket RM250 sebulan.

“Kita buka tempat kepada lepasan SPM yang layak dan berminat serta lulus temuduga tanpa mengira mereka asnaf zakat ataupun tidak.

“Pelajar yang mengikuti pengajian selama tiga tahun di sini juga belajar subjek lain se­perti bahasa Inggeris dan terlibat dalam kegiatan ko-kurikulum sebab itu lulusan kita tidak ada masalah untuk bersaing dengan pelajar-pelajar dari aliran dan institusi lain.

“Ramai lepasan kita menyambung pengajian ijazah sarjana muda dalam negara selain ke institusi qiraat terkenal dunia di Syoubra, Mesir dan sebahagian­nya ke Jordan bagi mengikuti pengajian Islam,” katanya.

Malah tambahnya, lulusan maahad tersebut yang cemerlang juga berpeluang cerah untuk mendapat bantuan kewangan Maik melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Muhamad Hana Pizi berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Khatam al-Quran Pelajar Semester 6 Sesi 2012 – 2015 Maahad Al-Quran Maik di Masjid Al-Mawaddah, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismai Petra di Panji di sini baru-baru ini.

Beliau menyampaikan sijil kepada 22 pelajar semester akhir yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran pada waktu ditetapkan. Yang turut hadir, Pengetua Maahad Al-Quran Maik, Mohd. Sukeri Mohd. Nor.



Bangunan Maahad Tahfiz Al-Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismai Petra, Kota Bharu. Kelantan .

Bagaimanapun, Muhamad Hana Pizi berkata, pihaknya setakat ini belum bercadang untuk membuka tempat kepada pelajar wanita memandangkan kapasiti yang ada terhad kepada 100 pelajar sahaja iaitu pelajar dari semester satu hingga enam pada satu-satu masa.

“Cadangan tersebut kita boleh fikirkan untuk masa hadapan tetapi buat masa sekarang tempat kita terhad, tempat kita sekarang di Kompleks Islam Panji ini pun berkongsi dengan asrama anak yatim,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhamad Hana Pizi mengingatkan peranan besar yang dipikul setiap pelajar setelah bergelar hafiz.

Beliau berkata, para huffaz adalah ‘tentera-tentera’ yang diharapkan untuk membantu membangunkan pembudayaan generasi al-Quran dalam masyarakat.

“Kualiti seorang hafiz al-Quran bukan terletak kepada gelarannya tetapi kepada berapa banyak ayat yang benar-benar dihayati, kekal di dada dan seterusnya lancar dibaca.

“Pembangunan generasi al-Quran adalah proses pembentukan sikap, pandangan dan kehidupan manusia yang berlandaskan wahyu dan usaha besar ini memerlukan sokongan padu para huffaz,” katanya.

Pada majlis itu juga, pelajar Muhammad Basyaruddin Hashim, 21, telah dinobat sebagai penerima Anugerah Hafiz Tauladan 2015 berikutan kecemerlangannya dalam pengajian dan ko-kurikulum.

Muhammad Basyaruddin yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.72 ketika ditemui berkata, dia tidak menyesali keputusannya tiga tahun lalu menolak tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Anak sulung dari lima beradik ini memberitahu, meskipun surat tawaran ke UiTM sudah dalam genggaman, tetapi hatinya tegar dengan sasaran untuk menjadi pendamping al-Quran.

“Saya adalah pelajar aliran sains semasa di sekolah dan mendapat 7A dalam SPM. Tetapi ayah dan ibu berhasrat melihat anak mereka menjadi hafiz Al-Quran dan Alhamdulillah saya juga mempunyai sasaran yang sama.

“Walaupun nama saya tidak termasuk dalam senarai awal pelajar yang diterima masuk ke Maahad Tahfiz al-Quran Maik tetapi saya cekalkan hati menulis surat rayuan dan memberanikan diri bercakap sendiri dengan pengetua untuk merayu tempat di sini.

“Saya amat bersyukur di­terima biarpun masuk biarpun orang lain sudahpun memulakan kelas pengajian,” katanya.

Muhammad Basyaruddin yang bercita-cita melanjutkan pengajian ijazah pertamanya di Syoubra, Mesir berkata, dia menghafal tidak kurang dari satu muka surat Al-Quran setiap hari serta menjadikan kismis makanan tambahan untuk menguatkan minda.

Meskipun sibuk dengan tanggungjawab sebagai salah seorang Exco dalam majlis perwakilan pelajar dan pernah ditimpa sakit, dia bersyukur dapat menyempurnakan semua hafalannya pada penghujung Februari lalu serta lulus ujian sekali gus layak bergelar seorang hafiz.

Ramadan medan suburkan semangat jihad

Ramadan kembali hadir. Bagaimanakah semangat umat Islam yang sepatutnya apabila tibanya bulan mulia ini? Sirah mencatatkan menjelang kedatangan Ramadan, Rasulullah SAW membuat beberapa persediaan pada akhir Syaaban. Sahabat dikumpulkan oleh Rasulullah SAW untuk diterangkan fadilat Ramadan al-Mubarak ini.

Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam:

Bersiap sedia menanti kedatangan Ramadan iaitu dengan mengulangkaji pelajaran berkaitan ibadah puasa supaya kita menyambut Ramadan dengan mempunyai pedoman yang sempurna. Setiap inci pengetahuan berkenaan ibadat ini disemak merangkumi rukun, syarat, sunat, makruh, adab, faedah dan rahsia terkandung dalam ibadah puasa.

Memperlihatkan kepada sesama kita kesenangan hati dan kegembiraan menyambut Ramadan seperti Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda mengucapkan "Marhaban, Marhaban Ya Ramadan."

Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT semoga diberikan kekuatan dan tenaga serta kelapangan mengerjakan ibadah puasa.

Memperbanyakkan doa supaya Allah SWT mengurniakan kejujuran, keikhlasan, terjauh daripada sifat riyak, ujub dan takabur yang boleh menghilangkan pahala puasa.

Menguatkan semangat dan hemah menjalankan latihan kerohanian pada bulan puasa dengan lengkap dan sempurna.

Menghindarkan diri daripada terlebih dengan adat yang membebankan pada Ramadan seperti berbelanja lebih dan membazir untuk membeli juadah berbuka puasa dan sebagainya.

Mengucapkan tahniah sesama saudara Islam dengan kedatangan Ramadan.

Puasa dalam bahasa Arab bermaksud menahan atau meninggalkan, manakala ulama Fiqh meletakkan puasa ialah menahan diri (al-Imsak) daripada makan minum, nafsu syahwat dan perkara yang boleh membatalkannya bermula dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." (Surah al-Baqarah : 183)

Ikut peraturan dan adab

Hakikatnya, Allah SWT memberi isyarat dan menunjukkan dengan jelas betapa ibadah puasa menimbulkan ketakwaan dalam hati seseorang. Ibadah ini jika ditunaikan mengikut peraturan dan adabnya yang sebenar mampu menguatkan hati supaya bertakwa dan melahirkan sifat terpuji.

Ibadah puasa juga mampu menerbitkan semangat jihad melawan hawa nafsu yang sedia wujud dalam diri manusia.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertakwa." (Surah al-Shams : 6-8)

Ibadah puasa memberi kesempatan kepada manusia untuk membersihkan nafsu melalui ibadah dan zikir kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman mafhumnya: "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu." (Surah Yusof: 53).

Ramadan adalah medan untuk umat Islam menyuburkan semangat jihad menentang was-was, bisikan syaitan yang menjadi musuh umat manusia.

Semangat jihad ini dipupuk melalui sifat sabar mengerjakan kebaikan dan kebajikan di sepanjang bulan ini.

Ibadah puasa juga turut melahirkan rasa keseronokan mengerjakan kebaikan, malah Ramadan juga adalah bulan latihan dan pendidikan kerohanian yang mampu membentuk peribadi dan akhlak Muslim.

Menyuburkan sifat takwa

Ibadah puasa melahirkan sifat amanah, sekali gus menyuburkan rasa takwa yang merangkumi semua sifat terpuji dan luhur sama ada batin mahupun zahir seseorang Muslim.

Sifat takwa akan mampu berfungsi sebagai pengawal kepada kebaikan dan menjernihkan jiwa daripada dosa dan maksiat.

Ia akan menjernihkan jiwa dan hati manusia daripada sifat syirik dan nifaq. Sifat syirik yang menyekutukan Allah SWT dengan makhluk lain dan melakukan sifat orang musyrik, manakala nifaq pula ialah perbuatan berpura-pura beriman, tetapi hakikatnya kufur dan bersifat orang munafik.

Rasulullah SAW ada mengungkapkan situasi ini dengan sabda Baginda: "Setiap anak keturunan Adam adalah seorang yang selalu melakukan kesalahan dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan adalah orang yang selalu bertaubat." (Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah).

Kita mengharapkan institusi Ramadan ini berjaya ditempuhi dengan penuh keikhlasan dan rendah diri serta ketakwaan sebagai hamba-Nya.

Semoga proses transformasi diri ke arah lebih baik menjadi kenyataan apabila berakhirnya bulan penuh keberkatan ini.

Modal insan adalah sumber terpenting kepada pembangunan negara. Maju atau mundur sesebuah negara bergantung penuh kepada kekuatan dan kehebatan nilai, kompetensi dan kemahiran insaniah bangsa itu sendiri.

Ringkasnya, pada hemah saya, kita perlu membangunkan sebuah masyarakat yang memiliki nilai tinggi, berakhlak mulia serta memiliki minda yang mencerminkan rakyat sebuah negara maju berpaksikan prinsip Islam.

Inilah transformasi seorang Muslim pasca Ramadan. Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan Karim. Dr Abdullah Md Zin Berita Harian Kolumnis 19 Jun 2015

Permasalahan haji

HAJI merupakan ibadat yang difardukan oleh Allah kepada hamba-Nya sekali untuk seumur hidup jika dia berkemampuan. Justeru, terdapat banyak permasalahan yang dilakukan sepanjang mengerjakan rutin-rutin ibadat haji yang kadangkala membawa kepada ketidaksempurnaan.

Lantas, jemaah perlu prihatin terhadap kesalahan yang dilakukan, kerana ketidaksahan dalam ibadat haji memberikan kesan jangka panjang terhadap amalan-amalan lain yang berbangkit selepasnya, seperti urusan nikah kahwin.


Ketidaksahan dalam ibadat haji beri kesan jangka panjang

PERMASALAHAN yang dilakukan sepanjang mengerjakan rutin-rutin ibadat haji yang kadangkala membawa kepada ketidaksempurnaan. - GAMBAR HIASAN

Semoga dengan penerangan ini dapat memberi sedikit gambaran ringkas tentang persoalan dalam mengerjakan ibadat haji. Begitu pun, pihak Tabung Haji, selain menyediakan buku-buku panduan ibadat haji dan umrah, turut menyediakan talian secara terus kepada jemaah sekiranya menghadapi kesulitan dalam melakukan ibadat.

Pembimbing ibadat haji juga bersedia membantu para jemaah dalam menyelesaikan permasalahan mereka. Tinggal lagi, para jemaah tidak perlu segan bertanyakan soalan. Semoga haji yang dikerjakan sempurna dan diterima-Nya.

Berikut beberapa permasalahan yang berbangkit dan sering ditanya oleh jemaah.

1. Apakah hukum bagi jemaah yang telah berniat ihram terlebih dahulu sebelum memakai ihram dan adakah individu dianggap telah berniat ihram dan terikat dengan larangan ihram jika melafazkan niat ihram semasa kursus haji?

Jemaah yang telah berniat ihram terlebih dahulu sebelum memakai ihram, Ihramnya sah, tetapi jemaah tersebut dikenakan dam, iaitu dam takhyir dan taqdir. Niat ihram yang dilafazkan semasa kursus haji hanya sebagai proses pembelajaran atau latihan amali dan individu tersebut tidak terikat dengan apa-apa larangan ihram.

2. Apakah yang boleh dan 
tidak boleh dilakukan 
semasa haid selepas wuquf 
di Arafah?

Jemaah wanita yang didatangi haid sama ada sebelum atau selepas wukuf di Arafah boleh menunaikan semua rukun dan wajib haji, bermula daripada niat haji dan seterusnya berwukuf dan melontar jamrah, kecuali tawaf, sa’ie dan bertahallul. Ini kerana tawaf tidak boleh dilakukan dalam keadaan haid, sa’ie pula tidak boleh dilakukan kerana ia mengiringi tawaf dan tahallul hanya boleh dilakukan setelah selesai sa’ie.

3. Apakah hukumnya jika terdapat jemaah haji wanita yang memakan ubat penahan haid kerana menganggap haid akan mengganggu penumpuan, seterusnya merugikan masa untuk beribadat?


Seseorang yang kedatangan haid semasa di tanah suci dan menerima dengan reda ketentuan Allah atasnya akan diganjarkan pahala oleh Allah SWT. Ini kerana haid ialah suatu yang normal dan ketentuan Ilahi pada setiap wanita. Wanita tersebut tidak boleh menganggap ia mengganggu penumpuan terhadap ibadat, kerana menerima dengan reda terhadapnya adalah satu bentuk ibadat juga kepada-Nya. Oleh itu, wanita tidak perlu merasa tertekan atau dukacita dengan keadaan itu.

4. Jemaah haji lelaki sedang melakukan tawaf dan bersentuh secara tidak sengaja dengan seorang wanita. Walau bagaimanapun, syahwatnya terangsang dan keluar mazi. Dia meneruskan tawaf, kemudian sa’ie dan seterusnya bertahallul. Apakah sah pekerjaannya?

Seseorang yang mengerjakan tawaf mestilah berada dalam keadaan berwuduk. Jika wuduknya terbatal, maka tawafnya juga batal atau tidak sah. Dalam hal ini, wuduk jemaah tersebut telah terbatal kerana syahwatnya terangsang dan keluar mazi. Oleh itu, tawafnya tidak sah kerana dia tawaf dalam keadaan batal wududan oleh kerana itu sa’ie serta tahallulnya juga tidak sah.

5. Jemaah telah melakukan sa’ie, setelah selesai empat pusingan dia berhenti dan pulang ke hotel penginapan. Keesokannya dia kembali dan menyelesaikan baki tiga pusingan lagi sa’ie tersebut. Adakah sah sa’ienya?

Sa’ienya sah, kerana hukum muwwalat (berturut-turut) dalam sa’ie adalah sunat sahaja. Tetapi hendaklah dia memulakan sa’ie dari tempat di mana dia berhenti atau memulakannya di tempat permulaan sa’ie, iaitu di Safa.

6. Sesudah selesai melontar Jamrah al-Kubra, jemaah telah menanggalkan ihramnya dan memakai jubah tetapi dia belum bergunting. Adakah dia dikenakan dam dan apakah bentuk damnya?

Jika jemaah memakai pakaian yang bersarung sebelum bercukur atau bergunting dia dikenakan dam. Damnya ialah takhyir taqdir, iaitu boleh memilih sama ada untuk menyembelih seekor kambing atau memberi makan enam fakir miskin setiap orang satu cupak beras (dalam kadar SR5 bagi 1 cupak) atau puasa tiga hari. (Jemaah belum menyempurnakan Tahallul Awwal iaitu melakukan dua daripada tiga perkara, melontar Jamrah al-Kubra, tawaf dan bercukur atau bergunting).

7. Jika jemaah tidak melontar Jamrah al-Kubra pada hari ke-10 Zulhijjah atau tidak melontar pada hari ke-11 dan 12 Zulhijjah?

Bagi jemaah yang tidak melontar Jamrah al-Kubra atau tidak dapat melontarnya pada hari Nahar (hari ke 10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik iaitu 11 dan 12 Zulhijjah, maka dia bolehlah melontar pada hari ketiga (13 Zulhijjah) sebelah pagi atau petang tetapi hendaklah mendahulukan lontaran hari Nahar, diikuti dengan lontaran hari pertama dan kedua (hari 11, 12) dan seterusnya membuat lontaran untuk hari ketiga (13) sebelum atau selepas gelincir matahari tetapi hendaklah dilakukan sebelum terbenamnya matahari. Jika matahari 13 Zulhijjah telah terbenam, tidak sah lontarannya.

Serban bukan kewajipan

ADAKAH benar bahawa hadis menyatakan bahawa memakai serban adalah lebih baik daripada sekadar memakai kopiah dengan gandaan pahala 70 kali ganda?

JAWAPAN: Terdapat beberapa riwayat hadis tentang kelebihan memakai serban. Ada riwayat hadis yang menyebut tentang kelebihan memakai serban kerana ia seumpama mahkota bagi orang Arab. Ada riwayat hadis yang menyatakan bahawa solat dalam keadaan memakai serban lebih besar pahalanya daripada solat tanpa memakai serban.


Tidak perlu berbalah hanya kerana isu serban


Solat dikira sah sama ada dengan memakai serban atau tanpa serban.- GAMBAR HIASAN


Begitu pun, para ulama hadis berbeza pendapat dalam menilai status hadis-hadis ini. Namun, saya pasti bahawa Rasulullah SAW memang memakai serban. Cuma riwayat hadis tentang kelebihan memakai serban menjadi perbezaan pendapat para ulama.

Dalam hal ini, kita tidak perlu berbalah hanya kerana isu serban. Solat dikira sah dengan memakai serban atau tanpa serban. Kita dikira menutup aurat jika memakai serban atau tidak memakai serban. Maka memakai serban bukanlah satu kewajipan.

Jika yakin dengan hadis kelebihan memakai serban berdasarkan huraian para ulama yang kita rujuki, maka eloklah untuk kita memakai serban. Jika tidak yakin, maka tidak mengapa untuk tidak memakai serban.

Memohon keampunan-Nya

ACAPKALI tibanya Ramadan umat Islam menyambut puasa Ramadan iaitu bulan menyucikan diri dengan menggandakan amalan kebaikan. Bagaimanapun ada juga dalam kalangan kita yang sibuk mencari rezeki dengan menjual pelbagai juadah berbuka puasa dan kuih raya. Perkara ini bukan tidak boleh dilakukan tetapi hendaklah dengan cara yang sederhana.

Sederhana dalam konsep ini adalah dalam berbelanja bagi mengurangkan kos sara hidup yang tinggi dan sederhana dalam mencari rezeki di bulan Ramadan iaitu berniaga di bulan Ramadan tetapi melebihkan melakukan ibadah.

Dalam ibadat berpuasa kita digalakkan bersungguh-sungguh tekun dan taat melakukan puasa, amalan-amalan lain seperti bersedekah, bersolat tarawih, berzikir, bertasbih, berdoa dan qiamullail yang perlu diutamakan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila masuk bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatkan semua syaitan. (riwayat Bukhari dan Muslim).




Berpuasa dengan penuh keimanan, mengharapkan pahala dan penghapusan dosa

RAMADAN mendidik umatnya menjadi umat Islam terbaik dari sebelum ini. GAMBAR HIASAN

Sebelum Rasulullah SAW wafat, baginda sempat berpuasa sebanyak sembilan kali Ramadan. Di samping puasa Ramadan, Rasulullah SAW banyak mengerjakan puasa sunat sehingga ibadat puasa ini menjadi antara amalan utama baginda.

Namun sebagaimana biasa, Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan konsep sederhana dalam kehidupan baginda. Pada hari-hari tertentu baginda berpuasa sunat dan pada hari-hari biasa baginda tidak berpuasa dan menikmati makanan.

Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa setiap hari kecuali bulan Ramadan sahaja. Isteri baginda Saidatina Aisyah r.a. pernah menceritakan: Rasulullah SAW berpuasa sehingga aku katakan beliau tidak berbuka. Beliau berbuka sehingga aku katakan beliau tidak berpuasa. Aku tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh kecuali bulan Ramadan. Aku tidak melihat beliau berpuasa setiap bulan lebih banyak dari di bulan Syaaban. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Elak boros

Dalam hadis ini dijelaskan konsep sederhana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW terutama ketika berbuka. Hal inilah yang patut diikuti oleh umat Islam sebagai panduan dalam berbuka dan berpuasa terutama di bulan Ramadan. Elakkan daripada makan terlalu banyak dan boros berbelanja.

Puasa-puasa sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah puasa hari Isnin dan Khamis. Puasa tiga hari dalam sebulan (iaitu hari ke-13, 14 dan 15 pada setiap bulan Islam di mana dinamakan sebagai hari-hari putih kerana bulan mengambang pada malam-malam hari tersebut).

Baginda Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah, hari Asyura iaitu pada 10 Muharam dan puasa enam hari dalam bulan Syawal.

Puasa Ramadan wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam mukalaf (berakal dan cukup umur) dan tiada keuzuran. Meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja adalah fasik dan berdosa besar.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa berpuasa Ramadan dengan keimanan dan mengharap pahala (keredaan) Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu. (riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, setiap umat Islam digalakkan berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala serta keampunan daripada Allah SWT.

Begitu juga mereka yang mendirikan solat tarawih. Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang mendirikan solat tarawih pada malam hari di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu. (riwayat al-Bukhari)

Semoga Ramadan tahun ini umat Islam akan dapat menggandakan pahala dan melakukan pelbagai ibadat wajib dan sunat dalam bulan yang penuh berkat dengan tenang dan tabah bagi mendapatkan pengampunan Allah dan penghapusan daripada segala dosa.

Pengorbanan Rahah menginjak usia 82

PADA 9 Jun lalu, rumah yang dihuni isteri Perdana Menteri kedua, Tun Rahah Mohamed Noah di Jalan Eaton, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, suasananya tidak seperti selalu.

Tidak juga seperti mana kebiasaan adik beradik Datuk Seri Najib Tun Razak berkumpul seminggu sekali menjenguk ibu mereka setiap Ahad.


NAJIB Tun Razak mencium tangan ibunya, Tun Rahah Mohamed Noah yang menyambut hari jadi ke-82 tahun pada 11 Jun lalu selepas majlis doa selamat di kediaman Rahah di Jalan Eaton, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tetapi pada 9 Jun itu telah berjalan satu majlis istimewa. Iaitu majlis doa selamat sebagai rasa syukur dengan rahmat-Nya memanjangkan kesihatan ibu tercinta mereka yang menginjak usia 82 tahun pada 11 Jun.

Suasana pada majlis itu dikongsi pengawal peribadi Allahyarham Tun Razak Hussein dari 1965 hingga 1976, Datuk Idris Shaari Mat Aris, 73, kepada Utusan Malaysia semalam.

“Pada majlis doa selamat itu turut diadakan solat hajat dengan dihadiri Perdana Menteri, adik beradik beliau, 10 orang cucu dan tiga cicit Tun Rahah serta 40 orang pelajar tahfiz.

“Keadaan kesihatan ibu Perdana Menteri baik, walaupun sesekali kalau berjalan jauh, perlu menggunakan kerusi roda,” kata Idris Shaari yang juga Setiausaha Sulit kepada Rahah sejak 1978 dan turut merupakan Pengerusi Masjid Kampung Baru.

Selepas Tun Razak meninggal dunia pada 1976, Rahah mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab menguruskan keluarga khususnya empat orang anak mereka.

Najib ketika itu sudah menamatkan pelajaran dan bekerja. Empat anak lain masih bersekolah.

Ahmad Johari berada di tahun akhir kursus undang-undang manakala Mohd. Nizam dan Mohd. Nazim belajar di sekolah berasrama penuh di England dengan Nazir pula masih di sekolah rendah.

Rahah tentunya bersyukur kerana kesemua anaknya berjaya dalam bidang pelajaran dan kerjaya masing-masing. Ahmad Johari adalah seorang peguam lulusan University of Kent yang kini menjadi seorang ahli perniagaan berjaya.

Mohd. Nizam pula memiliki kelulusan dalam bidang politik, ekonomi dan falsafah dari sebuah universiti ternama di England - Oxford. Mohd. Nazim yang dilahirkan pada 25 Mac 1962 pula tampil sebagai seorang arkitek yang menempa namanya sendiri dalam dunia seni bina yang kini menceburi dunia perniagaan.

Anak bongsu Rahah, Datuk Seri Nazir pula lulusan University of Bristol dan University of Cambridge merupakan seorang tokoh korporat yang berjaya. Beliau kini Pengerusi Kumpulan CIMB.

Tetapi di antara lima anak lelaki pasangan Ra­zak-Rahah ini, hanya Najib menyertai politik.

Dilahirkan di Muar, Johor, Rahah ialah anak bongsu daripada 10 beradik. Pada 4 September 1952, sebaik sahaja meninggalkan sekolah menengah di Johor Bahru, Rahah yang waktu itu berumur 19 tahun telah berkahwin dengan Razak, 30, yang ketika itu berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang di Kuala Lipis, ibu negeri Pahang ketika itu, sebelum berpindah ke Kuantan.

Ketika berkongsi kehidupan dengan suaminya, Rahah berkecimpung dalam bidang pendidikan dan kemasyarakatan sehingga dilantik sebagai Pre­siden Pandu Puteri mulai 1963 hingga 1976 dan Penaung Pertiwi (1969-1976).

Berdasarkan sumbangannya kepada bidang tersebut, Universiti Utara Malaysia (UUM) menganugerahinya Ijazah Dok­tor Kehormat Falsafah (Pendidikan) pada Mac 2009. Rahah juga pernah mendapat pengiktirafan lain termasuklah Anugerah Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO) pada 1976.

Golongan wanita, bagi Rahah, mampu memberi kesan kepada pembangunan negara. Beliau sentiasa mengingatkan kaum wanita agar melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai kegiatan khususnya untuk wanita, di samping memberi sumbangan dan khidmat bakti ke arah kemajuan negara.