June 20th, 2015

Ramadan masa didik diri, bukan hamba hawa nafsu

Amal ibadah sepanjang Ramadan pastinya dibuat sebaik-baiknya dengan harapan setiap amal ibadah itu mendapat pandangan tertinggi di sisi Allah SWT.

Dalam keghairahan melaksanakan amal ibadah, ada kala kita tergelincir daripada syariat yang dipandu oleh al-Quran dan hadis.

Menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm yang bersiaran setiap Jumaat, jam 10.15 pagi, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang mengingatkan umat Islam supaya mengambil peluang keemasan pada bulan mulia ini untuk memperhebatkan amal ibadah kepada Allah SWT dengan ikhlas.




Katanya, tidak dinafikan ketika melaksanakan ibadah pada bulan mulia ini, ada segelintir umat Islam terlepas pandang perkara dituntut agama sehingga tanpa sedar melakukan amalan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

"Walaupun bulan puasa sering dikaitkan dengan lapar dan dahaga, seorang Mukmin tidak sewajarnya menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk makan sebanyak-banyaknya ketika berbuka sehingga ia disalah faham sebagai bulan pesta makanan. "

Sungguhpun ada budaya pasar Ramadan yang memberi kesempatan untuk berniaga pelbagai juadah berbuka puasa, ia bukanlah alasan untuk kita berbelanja sehingga amalan berpuasa yang mulia itu dipenuhi aktiviti berbelanja yang menyebabkan pembaziran," katanya.

Tingkat ketakwaan

Beliau berkata, umat Islam harus menggunakan kesempatan Ramadan ini sebagai bulan dipenuhi amalan baik yang akan meningkatkan ketakwaan di sisi Allah SWT.

Ketika berpuasa kita menahan diri daripada lapar dan dahaga, apabila tiba waktu berbuka kita makan seolah-olah tidak mampu menahan nafsu.

Ia adalah satu perbuatan yang dikeji di sisi agama dan pastinya falsafah serta erti berpuasa itu tidak memberi apa-apa makna buat kita.

Kata-kata hikmah menyebut, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati, justeru sebaiknya kita mengelak perbuatan yang sia-sia.

Jangan biarkan bulan puasa yang sepatutnya melatih dan mendidik nafsu akhirnya menjadi bulan menahan lapar serta dahaga semata-mata.

Oleh itu, umat Islam hendaklah sentiasa mengenal pasti perkara yang dianjurkan oleh agama dan meninggalkan perkara dilarang.

Begitu juga bagi sesetengah umat Islam yang ghairah merebut ganjaran pahala pada Ramadan dengan melaksanakan amalan bertadarus atau membaca al-Quran.

Amalan itu amat dituntut dan membaca sebaris ayat sekali pun akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Syed Mohd Norhisyam menyarankan kepada mereka yang bertadarus al-Quran pada bulan mulia ini supaya bukan sekadar membaca ayat al-Quran, malah turut bertadabur dengan ayat Allah SWT itu.

Dalam erti kata, bukan hanya membaca, tetapi benar-benar menghayati inti pati al-Quran. Memahami kandungan ayat suci al-Quran sudah pasti akan meningkatkan pemahaman terhadap agama dan menambah ketakwaan kepada Allah SWT kerana kita bukan hanya mahu merebut pahala membaca al-Quran, malah pada masa sama turut mendapat ilmu daripada kalam Allah SWT.

Beliau turut membangkitkan soal amalan bersahur sebelum tidur oleh mereka yang tidak bangun untuk makan pada waktu sepatutnya. Katanya, anjuran bersahur dan barakah amalan itu adalah pada awal pagi sebelum masuknya waktu imsak.

Bersahur akan membawa keberkatan bagi mereka yang berpuasa seperti dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabda Baginda: "Bersahurlah, kerana sesungguhnya pada sahur (makanan) itu ada keberkatan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagi yang mungkin berasa sukar bangun pada awal pagi untuk bersahur dinasihatkan berlatih membiasakan diri melaksanakan amalan yang dituntut oleh ajaran agama.

Latih anak berpuasa

Menyentuh sikap sesetengah ibu dan bapa yang teruja melatih anak kecil untuk berpuasa sepanjang Ramadan ini, mereka menjanjikan pelbagai ganjaran sebagai dorongan atau sokongan moral kepada anak yang berpuasa.

Malangnya, mereka terlupa melatih anak menunaikan solat sedangkan ia adalah amalan pertama yang dihitung pada hari akhirat nanti.

"Ibu bapa yang melatih anak berpuasa adalah satu perbuatan amat baik, tetapi pada masa sama ibu bapa tidak harus lupa untuk melatih anak melaksanakan solat.

Jika ibadah puasa dan solat ditekankan seiring, ia akan menjadi satu pendidikan lengkap yang memberi kesan besar kepada anak," katanya.

Beliau turut mengingatkan golongan dewasa yang berpuasa, tetapi tidak solat kerana puasa tidak memberi ganjaran jika tidak dilengkapkan dengan solat.

Apabila seseorang tidak solat, amalan lain tidak memberi erti kerana amalan lain dihitung selepas solat terlaksana.

Jika begitu keadaannya, puasa dilihat sebagai adat bukan ibadah yang memerlukan seseorang itu memastikan kesempurnaan pelaksanaannya dengan memberi perhatian kepada setiap aspek yang perlu dipenuhi bagi mendapatkan puasa sempurna

Kenali sukan sunah Nabi

ISLAM mendidik umatnya untuk mencapai kebahagiaan akhirat tanpa mengetepikan kesejahteraan duniawi. Justeru, amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang dititikberatkan agama ini bagi melahirkan masyarakat yang cergas dan cerdas.

Umat Islam tanpa mengira faktor usia wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan aktiviti riadah dan bersukan untuk mengekalkan tahap kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal ibadah yang difardukan dengan sempurna dan khusyuk.

Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjaga kesihatan, memiliki fizikal yang kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan. Hal ini penting, umat Islam yang mempunyai tenaga dan fizikal yang kuat dapat menzahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mengancam dan melakukan provokasi terhadap agama ini.

Dalam pada itu, Rasulullah SAW juga sentiasa menunjukkan contoh terbaik kepada sahabat dalam soal ibadah mahupun perkara membabitkan kehidupan seharian. Contohnya, baginda pernah menyertai sahabat yang bermain anak panah sebagai aktiviti riadah.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda),” (riwayat Muslim).

Banyak hadis menyebut mengenai sukan yang sangat popular pada zaman Rasullullah SAW dan dilakukan sendiri baginda seperti memanah, menungang kuda dan berenang.

Secara ringkas, aktiviti memanah, menunggang kuda dan berenang dapat membantu individu terutama generasi muda membentuk emosi positif, membina konsentrasi, sabar dan berdisiplin tinggi selain membantu mengatasi rasa ketakutan dan membentuk keyakinan diri.

Bukan itu sahaja, seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki merangkumi aspek fizikal dan mental akan mendapat manfaatnya. Pada masa sama, segala otot dan tulang rangka digerakkan untuk membuat satu gerakan yang berkoordinasi antara dua anggota kaki dan dua anggota tangan, selain merangsang stamina (sistem kardiovaskular).

Sementara itu, manfaat memanah dan berkuda juga tidak terbatas sebagai aktiviti kecergasan semata-mata tetapi turut membantu penguasaan tentera Islam semasa di medan peperangan serta menjadi ketumbukan utama dalam sistem ketenteraan ketika itu.

Dalam pada itu, aktiviti memanah dan berkuda turut popular di Nusantara sehingga terdapat dalam catatan perjalanan seorang pengembara Islam dari Maghribi, Ibnu Battuta (1304 hingga 1370-an). Beliau menceritakan tentang seorang pahlwan wanita, Che Siti Wan Kembang menjadi pemanah berkuda, sekali gus membuktikan aktiviti tersebut sudah beratus tahun wujud di Nusantara. Dalam catatan tersebut, pemerintah Kelantan itu dicatatkan sebagai Urduja membeli busur dan anak panah daripada orang-orang Arab dan Turki. – DHIYA’ZULHILMI DAUD / HALIM KHALID

Tingkat kesihatan jantung, otot dengan renang

JELAS Muhammad Ikhfal Hakimi Damaseli, kebaikan sukan renang bukan sahaja dapat meningkatkan stamina badan malah memiliki beberapa manfaat lain yang umum tidak sedia maklum.

Katanya, antara kebaikan berenang adalah seperti membentuk dan menguatkan otot, meningkatkan kesihatan jantung, membakar kalori dan mencegah stres.

“Kepadatan air menyebabkan setiap pergerakan tubuh seolah-olah sedang berlari laju. Berenang dengan pantas dapat meningkatkan kekuatan serta ketahanan otot badan.

BERENANG bukan sahaja dapat meningkatkan stamina malah membina kekuatan otot.

“Pada masa sama, jantung dapat mengepam ke seluruh tubuh dengan baik sekali gus perenang dapat membakar kalori pada tubuh badannya,” katanya.

Kuda beri manfaat seluruh badan

MENURUT Pengasas Ladang Alam Warisan (LAW), Muhamad Akmal Mohamad Dahalan, menunggang kuda dapat memberi manfaat kesihatan seluruh anggota badan dari segi fizikal hingga mental.

“Semasa menunggang, seluruh anggota badan seperti tulang belakang, sistem saraf, organ dan otot akan bergerak serentak antara satu sama lain seolah-olah ia diurut.


SEKIRANYA pemanah gagal mengawal emosi, panahan mereka akan tersasar dari sasaran

“Malah, geseren tersebut dapat menjadikan organ seksual lelaki atau wanita menjadi semakin sihat,” katanya.

Katanya, selain kebaikan terhadap kesihatan fizikal, menunggang kuda juga dapat memberikan manfaat kepada kesihatan mental seperti mendidik penunggang mengawal emosi supaya sentiasa tenang walau dalam keadaan yang mencabar.

Jelas Muhamad Akmal, untuk berkuda, seorang pemanah perlu mempercayai kuda yang ditunggangnya.

“Interaksi antara penunggang dan kuda sangat penting. Jika wujud interaksi ini, kuda akan membawa penunggangnya mengikut laluan dan kelajuan yang sepatutnya.

“Pergerakan mestilah seiring. Jadi, penunggang akan mudah mengimbangkan badan,” jelasnya.

Memanah bentuk perwatakan, keperibadian

BAGI Pengajar LAW, Syahir Iidham Md. Saberi, sukan sunah seperti memanah juga dapat dikaitkan dengan proses muhasabah bagi menilai diri iaitu fikiran, pendirian, proses membuat keputusan dan sebagainya.

Ini kerana katanya, pemanah yang baik perlu berada dalam keadaan yang tenang sewaktu melepaskan busar panah.

“Melalui pengamatan saya, aktiviti memanah secara tidak langsung membentuk perwatakan dan keperibadian pemanah.

“Pemanah mempunyai sifat dan sikap lemah-lembut, merendah diri dan tenang. Tidak ada langsung perasaan bongkak atau sombong meskipun jaguh dalam  memanah,” katanya.

Tambahnya, sahsiah terpuji mereka ini terbit kerana mereka adalah antara individu yang mengikut sunah Nabi meskipun ada antara mereka bukan beragama Islam.

PASUKAN memanah akan menyalut hujung anak panah dengan kain sebelum membakarnya sebagai taktik mengetahui kedudukan musuh.


MENGEMBALA kambing juga merupakan sunah Rasulullah SAW yang dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan umat Islam.