June 21st, 2015

Jalin penyatuan di bulan rahmat

Kita umat Muhammad SAW dimuliakan dengan diberi satu bulan yang tiada pada umat-umat yang lain iaitu bulan Ramadan, di mana dalam bu­lan tersebut terdapat satu malam (Lailatul Qadar) yang lebih baik dari seribu bulan. Permulaan Ramadan adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dosa dan penghujung Ramadan adalah kelepasan daripada neraka.

Satu bulan istimewa di mana ganjaran bagi me­nu­naikan amalan sunat adalah seumpama amalan fardu dan sesiapa yg menunaikan amalan fardu adalah se­um­pama menunaikan 70 fardhu pada bulan lain.

Bulan Ramadan adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga. Bulan itu adalah bulan sim­pati, bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Dalam bulan Ramadan sesiapa yang mengingati Allah SWT akan diampunkan dosanya dan sesiapa yang meminta sesuatu daripada Allah SWT tidak akan dihampakan (dalam satu hadis yang lain, dengan syarat tidak berdoa untuk memutuskan silaturahim dan tidak berdoa untuk sebarang dosa).

Namun terdapat dalam satu hadis mengenai kisah dua orang Islam yang bergaduh dan penentuan Lailatul Qadar telah diangkat. Ulama memberitahu bahawa pergaduhan atau perbalahan adalah satu perkara yang sangat buruk sehinggakan penentuan Lailatul Qadar diangkat, bahkan pertelingkahan sentiasa menjadi se­bab kehilangan berkat.

Sabda Nabi, "Sukakah aku beritahu kamu satu perkara yang lebih afdal dari solat, puasa, sedekah dan ibadat-ibadat lain?" Para sahabat RA berkata "Bahkan Ya Rasulullah". Rasulullah SAW bersabda, "HUBUNGAN baik sesama kamu adalah perkara yang paling afdal dan pergaduhan sesama sendiri adalah perkara yang mencukur agama". Rasulullah SAW juga bersabda iaitu menjatuhkan maruah seseorang Islam adalah riba yang paling buruk dan keji.

Manakala dalam Surah Al Anfal ayat 46, Allah ber­firman: dan janganlah kamu berbantah-bantah, kalau tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu

Berdasarkan hadis dan ayat di atas, dapat kita sim­pulkan mengenai kemurkaan Allah Taala dalam perbalahan, tidak kira sama ada pemimpin ataupun yang dipimpin dan Allah Taala memberi jaminan ke­kuatan akan hilang dan semangat akan lemah apabila wujudnya perbalahan.

Demi Allah yang menurunkan bulan rahmat ini, sempena Ramadan yang diberkati, marilah kita meng­hulurkan tangan perpaduan lambang penyatuan umat Islam di negara ini, agar kesan daripada per­balahan ini dapat kita sama-sama jauhi.

Kita khuatir per­ba­la­han yang berpanjangan akan mengundang ke­mur­kaan Allah Taala dan Allah me­nu­runkan azab-nya yang amat pedih se­perti yang telah sedang kita rasai asbab dari rah­mat (kasih sayang) Allah yang berkurangan.

Marilah kita semua me­mainkan peranan ma­sing-masing agar yang keruh dapat dijernihkan, yang kabur dan samar da­pat dijelaskan dan yang ma­sam dapat dima­nis­kan.

Menyatukan

Para pemimpin dapat duduk semeja, sama-sa­ma berperasaan ingin sa­ling memperbaiki bukan me­­nuding jari, berbuka ber­sama sambil meneliti jaringan perpaduan umat Is­lam yang dapat di­­per­kemaskan dan ke­ku­su­tan dalam penyatuan dapat dileraikan.

Manakala rakan-rakan di sekeliling membantu me­nunaikan hak sesama Islam yang amat dituntut dalam agama, tanpa menuntut hak diri sendiri dan inilah amalan para sahabat RA yang sentiasa sedia mengorbankan diri masing-masing untuk kesenangan saudara seislam yang lain.

Masing-masing berperanan agar penyatuan pemimpin dan umat Islam terhasil dan bukannya menambah parah luka di pihak masing-masing dengan mencadang atau membuka aib pihak lain demi untuk mengangkat pemimpin atau pihak yang disukainya.

Atau sekurang-kurangnya kita diam sekiranya tidak dapat membantu menjernihkan keadaan dengan kata-kata dan pendapat kita kerana kita perlu menjaga lidah sendiri agar perkataan yang kita ucapkan tidak menjadi asbab kepada perbalahan pemimpin dan perpecahan umat. Rasulullah SAW dan para sahabat RA telah menyatukan umat yang terdiri dari ratusan malah ribuan kaum, bangsa dan negara menjadi satu sahaja iaitu sebagai umat Muhammad.

Mereka telah berkorban untuk menyatukan umat ini dengan darah dan air mata dan janganlah kita menjadi penyebab kepada perbalahan pemimpin yang akhirnya merugikan rakyat dan akhirnya menjadi asbab kepada perpecahan umat, yang amat dimurkai Allah SWT.

Demi Allah yang nyawa saya dan tuan-tuan dalam genggaman-Nya, sempena bulan Ramadan yang hanya datang setahun sekali ini, yang di dalamnya terdapat keberkatan dan rahmat Allah, marilah sama-sama kita berazam untuk melupakan pertelingkahan dan perbalahan demi untuk melihat penyatuan umat Islam dan generasi seterusnya merasai nikmat perpaduan yang terhasil.

Apabila pemimpin bersatu-padu, yang longgar di­pa­datkan, yang kusut dileraikan, yang rosak dipu­lih­kan, maka kekuatan akan terhasil, semangat akan bersemarak, dengan izin Allah, negara kita akan di­berkati dan rahmat Allah mencurah-curah ke atas bumi Malaysia dan terzahir ke seluruh alam.

- Ismawi Ishak Utusan Malaysia Rencana Agama 21 jun 2015

Fokus dan Undang-Undang Tarikan

Manusia memiliki minda sedar (otak/akal) dan minda bawah sedar/minda segar (roh/jiwa). Minda sedar (otak/akal) digunakan untuk berfikir. Melalui minda sedar (otak/akal) kita boleh nampak apa yang kita fikirkan. Contohnya, cuba kita fikirkan tentang peti ais di rumah kita. Apabila kita berfikir tentang peti ais itu, kita dapat melihat/nampak imej peti ais di rumah kita itu. Iaitu bagaimana saiznya, apa yang ada di dalam peti ais itu dan sebagainya, tentang peti ais tersebut yang tidak ada di hadapan kita, pada waktu kita memikirkannya.

Kita boleh nampak imej yang difikirkan oleh minda sedar (otak/akal) kita itu, kerana otak kita mempunyai sel yang terlalu banyak, yang tidak terkira. Kerana itu setiap kali otak kita berfikir tentang sesuatu, otak kita akan melakukan asimilasi. Maknanya ketika kita berfikir, kita boleh bayangkan. Oleh sebab itu kita boleh kawal minda bawah sedar (otak/akal) kita untuk pilih fokus kita dalam mengejar matlamat dan tujuan hidup kita. Iaitu kita boleh kawal apa yang hendak dilihat oleh minda sedar (otak/akal) kita, yang di sebut fokus.

Setiap hari ada banyak perkara yang berlaku, dan orang yang bijak akan fokus untuk melihat apa yang dia mahu lihat sahaja. Iaitu apabila kita nampak sesuatu peristiwa yang kita tidak mahu lihat berlaku di hadapan kita, kita boleh mengawal minda sedar (otak/akal) kita, untuk tidak fokus kepada perkara itu, walaupun kita telah dan sedang melalui peristiwa itu.

Hal ini bermakna dunia dalaman kita kuat hingga berjaya mengawal dunia luaran kita, kita tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran kita. Apabila kita menggunakan kuasa minda untuk fokus kepada yang positif sahaja, serta fokus kepada matlamat dan tujuan hidup kita sahaja, maka kita akan cepat mencapai apa yang kita cita-citakan.

Latih diri kita untuk fikir dan pandang kepada apa yang kita fokuskan sahaja, dengan cara ambil sehelai kertas berwarna putih yang dititiskan tompokan dakwat hitam di tengah-tengah kertas itu. Tumpukan pandangan kepada kertas putih itu berulang kali hingga akhirnya kita tidak nampak apa-apa lagi di sekeliling kertas putih itu, selain pandangan kita fokus kepada tompokan hitam itu. Orang yang berjaya ialah orang yang fokus kepada setiap tindakannya.

Apabila di tempat kerja kita memberikan fokus tumpuan sepenuhnya untuk memberikan manfaat sebanyak mungkin kepada kerja, pada waktu yang ditetapkan. Tetapi, apabila di rumah fokus tumpuan kita sepenuhnya kepada keluarga kita, tinggalkan segala masalah di pejabat dan berikan perhatian dan kasih sayang kepada ahli keluarga.

Fokus kita ada kaitan yang sangat rapat dengan satu konsep pemikiran yang disebut "undang-undang tarikan". "Undang-undang tarikan" bermakna kita akan menarik atau membenarkan situasi yang sama dalam sesuatu perkara itu menjadi kuat dan sama tenaga dalam tubuh kita. Contohnya, kalau kita geram dan marah kepada anak kita yang nakal, jangan putus asa. Terus mengharapkan dan berdoa yang baik-baik untuk anak kita supaya dia berubah meninggalkan perangai negatifnya.

Kalau kita buat perkara yang sama, akan dapat hasil yang sama. Apabila kita memarahi anak, kita sebut, "jangan buat bersepah", yang diterima oleh minda bawah sedar/minda segar (roh/jiwa) anak adalah "buat bersepah". Sebab itu semakin banyak kita mengulangi kata melarang anak "jangan buat bersepah", semakin kerap anak kita menyepahkan permainannya.

Oleh sebab itu, pilih perkataan positif, iaitu gantikan perkataan "jangan buat bersepah" kepada "kemas semula selepas bermain". Iaitu bagi tahu kepada anak, apa yang kita sebagai ibu atau ayahnya mahu, bukan bagi tahu kepada mereka apa larangan kita. Minda bawah sedar/minda segar (roh/jiwa) akan menerima maklumat arahan positif, (kemas selepas bermain).

Apabila kita pandang anak kita dengan pandangan negatif, contohnya nakal, dan diulangkan kata-kata itu beberapa kali, "undang-undang tarikan’"akan menarik perkara itu akan jadi, kerana itulah fokus hati/jiwa/roh (minda bawah sedar/minda segar). Apabila kita fokus kepada kenakalan anak, dia akan semakin nakal. Apabila kita fokus kepada sikap negatifnya, maka tenaga anak akan lemah sebab kita "menarik" tenaga negatifnya. Demikianlah kuasa "fokus" dan "tarikan" yang memberi kesan kepada kehidupan, sama ada positif atau negatif.

Pengalaman

Cuba tukar, pandang anak kita yang nakal itu dengan pandangan kasih sayang. Sebab "undang-undang tarikan" berfungsi menukar niat hati kita. Setiap kali kita fikir, emosi kita menentukan getaran dan gelombang jiwa kita. Sebab itu apabila kita hendak ubah suasana kita ubah emosi.

Banyak orang kata tidak boleh fikir positif sangat. Sebenarnya berfikir positif sahaja memang tidak akan berkesan. Sebab apabila kita berfikir ia tidak masuk dalam emosi, dan memang tidak menjadi apa yang kita fikirkan itu. Sebab itu kita ada dua jenis minda (minda sedar = akal) minda bawah sedar/minda segar = roh /jiwa/hati). Kalau kita bercakap tanpa masuk dalam hati kita, sesuatu perkara yang kita cakap itu tidak akan terjadi, walaupun kita mengucapkan kata-kata positif itu berulang kali, kerana kita tidak bercakap dari hati/jiwa.

Jaga emosi kita. Pandang anak dengan positif, dan berkatalah dari hati kita setiap hari, “saya memandang anak saya dengan positif dan saya mendoakan dia yang baik-baik sahaja”.

Doa dan kata-kata positif yang datang dari hati kita itu telah menambah tenaga kepada kepercayaan kita kepada anak kita, dan "undang-undang tarikan" menarik tenaga positif kepada anak kita, dan insya-Allah akan menambahkan semangat anak kita untuk hidup dengan lebih positif.

Ibu bapa yang ada anak-anak bermasalah tidak cemerlang akademiknya, tukar fokus kepada anak tersebut kepada kelebihan lain yang dimiliki oleh anak kita itu, seperti keceriaan anak, kesihatan anak, kebaikan anak, kerajinan anak, kreativiti anak dan pelbagai lagi sikap positif. Mungkin anak kita tidak cemerlang akademik, tetapi dia cemerlang akhlak dan hati budi, (rajin membantu kita dan sangat penyayang dan bertanggung jawab kepada keluarga dan adik beradiknya). Semua pengalaman negatif akan menjadi "tarikan" kepada kehidupan dan masa hadapan negatif kepada anak tersebut, begitulah sebaliknya.

Sebab itulah betapa besarnya impak "fokus" kita kepada sesuatu perkara. Jangan fokus kepada kelemahan tetapi fokus kepada kekuatan, kerana setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Fokus kepada apa yang kita hendak kepada anak kita itu yang kita dapat. Kalau fokus kepada kesalahannya, kita akan dapat nampak perangai tidak eloknya sahaja, kerana minda bawah sedar/minda segar kita akan lebih "menarik" unsur negatif anak sahaja.

Kita mesti suka "tangkap" anak kita buat perkara yang betul, bukan "tangkap" anak buat perkara yang salah, dan kita marah anak apabila didapati dia berbuat salah. Tetapi, kita tidak puji anak ketika anak berbuat baik, sebab itu untuk "menarik" perhatian ibu bapa, anak-anak akan berbuat perangai dan mencipta masalah. Oleh sebab itu kita mesti berfokus, tetapi hati-hati dalam memilih fokus, agar fokus kita itu tidak "menarik" unsur negatif. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”. - Dr Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana Agama 21 Jun 2015

Sikit lagi batal puasa

SERONOK terima tazkirah tentang ibadah puasa dalam WhatsApp. Dalam Facebook pun bertalu-talu. Ada juga ulang tayang dari tahun lepas. Tidak apa, masih boleh pakai. Tidak timbul isu sahih atau tidak. Ini kerana kebanyakannya lebih bersifat umum dan asas seperti niat berpuasa, waktu berbuka dan perkara-perkara membatalkan puasa. Kita mudah mengesan jika ia palsu.

Namun, hari ini saya mahu merrepak bukan tentang perkara yang membatalkan puasa. Sebaliknya, merrepak akan menumpukan kepada perkara-perkara yang "sikit sahaja lagi boleh membatalkan" puasa. Jadi, merrepak ini bukan kategori tazkirah totok, sebaliknya untuk bacaan ringan anda sementara menunggu maghrib kelak.


TERPAKSA menempuh kesesakan lalulintas ketika bulan Ramadan mampu menaikkan darah dan hampir boleh membatalkan puasa.

1 Kesesakan lalu lintas

Bab ini saya yakin ramai akan setuju. Kesesakan lalu lintas di bandar-bandar melangkaui musim puasa dan hanya akan menurun pada Hari Raya Aidilfitri nanti. Ketika itu, kesesakan bertukar ke kampung halaman.

Waktu bukan bulan puasa, bila terlekat dalam kesesakan boleh juga mengunyah makanan atau menyalakan rokok. Sekarang, fokus ke hadapan dan sila kawal emosi. Sangat sensitif bila kereta lain hendak mencelah masuk walaupun sudah setengah jam beri lampu isyarat meminta laluan. Ini sikit sahaja lagi boleh membatalkan puasa.

2 Jalan rosak

Kesesakan lalu lintas selalunya disebabkan bilangan kenderaan yang terlalu banyak di atas jalan raya pada satu-satu masa. Tetapi satu lagi faktor ialah permukaan jalan yang rosak atau sedang dalam pembinaan. Ini menyebabkan pemandu memperlahankan kenderaan, takut tayar pecah atau benda melayang dari atas.

Kuala Lumpur sekarang berdepan dengan pembinaan MRT yang turut merangkumi Jalan Chan Sow Lin, lokasi ibu pejabat Kumpulan Utusan. Bersabarlah. Siap nanti, boleh haramkan kereta masuk ibu kota dan wajibkan guna MRT.

Di Shah Alam, aktiviti penurapan jalan utamanya baru bermula awal tahun ini, setelah terabai selama 10 tahun. Tetapi ia tidak menyeluruh. Macam terpilih-pilih. Apa kriteria pemilihan jalan dan siapa yang buat pemilihan, hanya MBSA ada jawapan.

Bila jalan tidak disenggara baik dan kereta kita rosak akibatnya, memang berang dan bengang yang sikit sahaja lagi boleh batalkan puasa.

3 Bazar Ramadan

Setakat minggu pertama Ramadan ini, saya berjaya menghalang diri daripada membeli di Bazar Ramadan. Pertamanya kerana saya tidak tahan memandu dalam kesesakan lalu lintas dan terpaksa menempuh jalan rosak.

Ramai mengomel kononnya mengunjungi Bazar Ramadan adalah punca kepada pembelanjaan tidak berhemah dan makan tidak habis. Hujah ini saya tidak akan pertikaikan. Kerana jika di kanan saya ada menjual ayam goreng tepung dan di kiri pula menjual apam balik, maka kedua-duanya akan saya beli. Matlamat asal nak cari karipap sahaja. Semua ini jika membazir, nescaya sikit saja lagi boleh batalkan puasa.

4 Renjatan nikotin

Malam 1 Ramadan, seorang sahabat menelefon. Dia mengaku tidak sihat. Bukan kerana panas terik atau mengangkut barang berat. Saya tanya dia, sakit mula di kepala atau tengkuk? Selepas senyap sekejap, dia menjawab mula di tengkuk.

Berdasarkan jawapannya itu, saya katakan ia bukan migraine dan bukan juga bawaan jin. Sebaliknya ia adalah kesan renjatan nikotin setelah tidak menghisap rokok selama 12 jam. Saya tahu. Saya pun kena juga.

Ini mengingatkan kisah zaman remaja tidak lama dulu. Ali tidak peduli Zaidi tidak puasa dan makan di hadapannya. Bau nasi kari ayam tidak menjejaskan imannya. Air sirap bandung yang manis pun tidak mencuitnya. Selepas usai makan, Zaidi pun menyalakan rokok. Tiba-tiba Ali minta rokok juga. Batal puasa. Nampaknya rokok ini ada bisanya.

Moral cerita benar di atas ialah sila sorok rokok dalam laci atau berhenti sahaja agar tidak sikit saja lagi terbatal puasa.

5 Kerenah rakan sepejabat

Beberapa kenalan yang berkumpul menceritakan sesuatu yang tidak disangka-sangka. Hari pertama puasa, masing-masing ada kakitangan mereka yang mengadu sakit dan tidak datang bekerja. Saya katakan kebetulan sahajalah. Tiada kaitan dengan puasa.

Satu lagi topik sahabat ini ialah payahnya hendak menyemai pendidikan sivik kepada sesetengah kakitangan. Ada yang sudah berpuluh tahun di unitnya hingga merasa diri mereka "otai besar" dan bila diarah bertukar, dengan selamba menolak dan membuat protes sampai ke pengerusi syarikat.

Satu lagi cerita lawak ialah tingkah laku kakitangan yang sampai saja ke meja mereka, menukar kasut dan memakai selipar. Kalau tujuan ke tandas dan solat, boleh diterima. Masalahnya, memang dah jadi hobi berselipar di pejabat. Samalah ibarat orang duduk kondo harga beratus juta tapi jemur seluar dalam di beranda.

Semua ini jika tidak diurus dengan bijak, pun sikit lagi boleh membatalkan puasa. Sabarlah kita semua ya.