June 22nd, 2015

Ramadan dan pemulihan jiwa

RAMADAN lebih dikenali sebagai bulan di mana umat Islam diwajibkan berpuasa, iaitu menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari dan melakukan perkara yang boleh membatal­kan puasa dan pahalanya. Pada masa sama, mereka digalakkan berbuat baik dan meningkatkan aktiviti dan amalan diri mereka untuk menjadi yang lebih baik lagi.

Puasa bukanlah hanya menahan diri daripada aktiviti makan dan minum atau sebarang perkara dan perbuatan yang merosakkan puasa dan pahalanya, tetapi lebih daripada itu.

Paling penting ialah bagaimana ibadah puasa itu mampu mengawal tingkah laku luaran individu yang berpuasa itu agar terus beristiqamah sehingga mencapai status orang yang berpuasa secara sempurna atau puasa khususil khusus, sebagaimana menurut Imam al Ghazali. Tidak lain tidak bukan, kaitannya dengan aspek spiritual, kerohanian, kejiwaan dan keimanan seseorang individu itu.

Aspek keimanan dan kerohanian atau kejiwaan adalah satu elemen yang amat subjektif sifatnya. Faktor keimanan inilah yang berkait secara langsung dengan amalan puasa yang juga subjektif keadaannya dan sukar dinilai oleh sesiapa melainkan Tuhan Yang Maha Pencipta.

Firman Allah seperti diungkap Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud: “Semua amalan anak Adam adalah untuknya, kecua­li puasa, ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.”

PELAJAR lelaki bersama-sama menjalani program tadarus Ramadan pertama di Maahad Tahfiz Al-Quran Dar Al Abrar
di Bentong, Pahang. utusan/MOHD. NAIM AZIZ -

Puasa bukan hanya tertumpu kepada aspek fizikal dan luaran, tetapi juga merangkumi aspek dalaman atau kejiwaan dan kerohanian. Sebab itu Ramadan adalah bulan mendidik jiwa dan iman, khusus sebagai satu bulan rahmat hanya kepada umat Islam, iaitu dengan melalui ibadah puasa.

Individu yang berpuasa berusaha mendidik dan meningkatkan kekuatan dalaman dan kerohanian atau kejiwaaan. Mereka menahan diri daripada godaan hawa nafsu dan keinginan makan serta minum. Mereka menahan diri daripada segala keseronokan fizikal yang merosakkan ibadah puasa. Mereka juga menahan diri daripada segala perbuatan dan pemikiran yang sia-sia. Mereka juga menahan diri daripada sikap bermalas-malasan dan kerehatan tanpa melakukan apa-apa aktiviti yang produktif.

Dalam takrifan puasa yang dituntut, bersabar dan menahan diri perlu diiringi dengan pelbagai amalan dan aktiviti yang boleh mempertingkatkan lagi tahap dan kedudukan mereka secara kerohanian ke satu tahap yang lebih tinggi. Perlu bermujahadah. Inilah yang dituntut, iaitu menjadi lebih patuh, taat dan bertakwa. Bukan sekadar terbaring dan terlantar menunggu Syawal menjelang tiba atau menanti tibanya waktu berbuka untuk kembali aktif dan produktif.

Peningkatan kedudukan spiritual atau kerohanian dan kejiwaan ke tahap yang lebih baik adalah objektif ibadah puasa, tetapi bagaimana objektif ini boleh dicapai? Berhubung perkara ini, Imam al Ghaza­li memberikan panduan bagaimana kedudukan tersebut boleh dinilai atau dikenali individu terbabit me­lalui cara mereka berpuasa.

Menurut beliau, terdapat tiga tahap atau peringkat puasa oleh umat Islam. Pertama, peringkat puasa umum iaitu peringkat puasa paling rendah atau permulaan sahaja. Ini adalah jenis puasa kanak-kanak yang baharu belajar berpuasa. Berpuasa sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak membantu ke arah peningkatan ketakwaan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Betapa ramai orang yang berpuasa namun tidak memperolehi sesuatu daripada puasanya itu melainkan lapar dan dahaga.”

Peringkat kedua ialah puasa khusus dan puasa orang soleh. Mereka beramal soleh, berilmu dan beramal dengan ilmunya. Mereka mengajak kepada kebaikan dan mencegah serta mengelakkan kemungkaran, maksiat dan dosa. Peringkat ketiga, puasa khususil khusus iaitu jenis puasa peringkat tertinggi, dan diperolehi oleh kalangan para nabi dan rasul serta orang yang bertakwa. Matlamat puasa mereka ialah mencari reda Allah dan berusaha menjauhi segala yang melalaikan mereka da­ripada mengingati Allah.

Kesimpulannya, kita boleh nilaikan sendiri jenis puasa dan di peringkat mana kedudukan spiritual dan nilai ketakwaan kita, dan adakah puasa kita itu benar-benar sempurna serta mampu mencegah kita daripada kancah maksiat dan dosa, termasuklah dosa pembaziran kerana melayan nafsu makan menjelang waktu berbuka.

Apakah kaitan antara aktiviti spiritual dan kejiwaan dengan tingkah laku luaran? Sememangnya wujud kesatuan dan keseragaman serta interaksi yang bersilang-kait antara aspek kejiwaan dan kerohanian de­ngan tingkah laku luaran. Dalam amalan puasa, kekuatan kerohanian dan kejiwaan yang terbentuk itu akhirnya akan mendorong tingkah laku individu untuk terus istiqamah dalam sebarang aktiviti ketakwaan di sepanjang hayatnya. Amalan puasa bukan hanya mendorong kekuatan dalaman dan kejiwaan mereka, tetapi juga mencetuskan dorongan tingkah laku luaran yang menggambarkan kedudukan dan tahap kekuatan kejiwaan yang dimiliki.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.”

Hati yang telah dididik dengan latihan dan didikan Ramadan bertindak sebagai nakhoda yang memberi dorongan kepada tingkah laku individu dan cara mereka berfikir.

Bagaimana amalan puasa dapat mempengaruhi kesihatan mental dan kejiwaan? Kesihatan mental adalah gambaran terhadap kestabilan dalaman atau kejiwaan, meliputi pemikiran dan perasaan serta dorongan tingkah laku yang tercetus dalam diri individu. Ia akan terserlah dalam bentuk tingkah laku, cara berfikir dan beremosi, serta kepelbagaian personaliti atau sahsiah yang dimiliki.

Menurut Imam al Ghazali, kesihatan mental itu manifestasi akhlak seseorang individu. Akhlak pula berkait dengan diri, personaliti atau sahsiah mereka, cara berfikir dan berimaginasi, beremosi serta bertindak. Amalan puasa yang dilakukan dengan penuh kesempurnaan akhirnya akan membentuk akhlak dan sahsiah diri yang baik dan seterusnya membantu untuk menghasilkan kesihatan mental yang baik kepada individu.

Didikan untuk menghormati ibadah puasa ini perlu dilakukan sejak zaman kanak-kanak lagi agar mudah terdidik dengan kejiwaan yang penuh sabar dan takwa kerana akan mempengaruhi kestabilan mental di kala dewasa kelak. Malah, jika diteliti, kebanyakan gangguan mental amat jarang berlaku di zaman kanak-kanak berbanding apabila manusia itu meningkat remaja dan dewasa.

Ramadan: Melatih anak-anak beribadah

RAMADAN adalah waktu terbaik untuk umat Islam melaksanakan amal ibadah kerana telah dijanjikan oleh Allah SWT keberkatan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Sayugia, ibadah puasa Ramadan menjadi antara tunjang Rukun Islam dan semua umat Islam tidak kira usia perlu sedar kewajipan untuk menunaikannya termasuklah anak-anak kecil.

Walaupun kanak-kanak masih belum mukallaf iaitu diwajibkan melak­sanakan syariat, ibadah berpu­a­sa oleh mereka dianggap sebagai suatu bentuk latihan.

Riwayat oleh Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kami puasakan pula anak-anak kecil kami, dan kami berangkat ke masjid dengan menjadikan mainan daripada kapas buat mereka, jika ada salah seorang daripada mereka menangis minta makanan, kami berikan mainan itu kepadanya sampai masuk waktu berbuka.”

Jemaah termasuk kanak-kanak menunaikan solat sunat tarawih di Masjid Muhammadiah, yang dikenali sebagai Masjid Cina di Ipoh, Perak. BERNAMA

Pernyataan ini jelas memberi isyarat bahawa ibadah puasa perlu dididik dan dilatih sejak kecil. Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak seawal usia lima hingga tujuh tahun menghayati kele­bihan berpuasa Ramadan. Latihan menahan nafsu makan dan minum di siang hari serta memperbanyakkan amalan mulia dan mengelakkan diri daripada kemungkaran adalah sangat besar impaknya apabila anak-anak ini mening­kat dewasa kelak. Mereka tidak akan berasa canggung untuk melaksanakan bukan sahaja amalan berpuasa bahkan ibadah fardu lain seperti bersolat dan zakat. Begitu juga jiwa mereka akan terdi­dik untuk memperbanyakkan ibadah sampingan yang melengkapkan diri menjadi manusia soleh dan solehah.

Minda dan pemikiran anak-anak perlu dididik supaya tidak mentafsir Ramadan sinonim dengan pesta bunga api dan mercun. Hindarkan mereka daripada terjebak dengan sindrom negatif sebegini yang bukan sahaja membazirkan wang malah membahayakan nyawa.

Anak-anak juga tidak seharus­nya dibiarkan terlalu leka menonton televisyen, bermain permainan komputer, atau membuat aktiviti tidak berfaedah. Sebaliknya mereka perlu dibimbing menambahkan amal ibadah yang dijanjikan ganjaran sangat besar oleh Allah SWT.

Melatih anak-anak berpuasa perlulah secara berperingkat-pering­kat. Turuti tahap kemampu­an mereka seadanya seperti puasa setengah ha­ri, sekadar beberapa jam, atau beberapa hari sepanjang Ramadan. Unsur ganjaran juga boleh dipraktikkan sebagai elemen penggalak mereka berpuasa. Misal­nya, menyediakan masakan kegemaran mereka untuk berbuka dan bersahur, memberikan pujian, hadiah atau sejumlah ‘duit raya’.

Ibu bapa boleh menceritakan apa perlunya berpuasa mengikut konteks agama dan kesihatan agar mereka faham bahawa berpuasa adalah suatu amalan yang sangat besar faedahnya. Anak-anak perlu dilatih dengan rukun dan pantang larang ketika berpuasa supaya mereka bijak memelihara kesempurnaan puasa mereka.

Dalam bulan Ramadan ini juga, mereka boleh diajak menunaikan solat fardu dan sunat tarawih secara berjemaah sama ada di rumah atau di masjid dan juga bertadarus al-Quran bersama-sama. Anak-anak juga boleh diasuh mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga, jiran dan masyarakat de­ngan menganjurkan majlis berbuka puasa, berziarah dan bersedekah.

Jika kaedah-kaedah yang disarankan ini dapat diamalkan sepanjang Ramadan, insya-Allah mereka akan menjadi bukan sahaja umat Islam yang diredai-Nya, bahkan yang sempurna akhlak dan tatasusilanya. Didikan agama yang mantap sejak kecil pasti dapat menjamin kekentalan dan keutuhan personaliti anak-anak ini apabila menginjak dewasa.

Harus kenduri arwah jika ikhlas

Soalan: Saya dengar daripada pelbagai pihak mengenai hukum kenduri arwah. Saya jadi pening kerana setiap mereka menyampaikan hukum yang berbeza. Bolehkah ustaz jelaskan hukum kenduri arwah berasaskan pandangan empat mazhab.

Sebenarnya, amalan yang saudara nyatakan itu hanya masyhur dalam kalangan umat Islam di negara ini dan tidak di negara lain.

Pada masa sama, penentuan hukum mengadakan kenduri arwah menjadi khilaf dalam kalangan fuqaha.

Menurut Mazhab Hanafi, makruh mengharapkan hidangan daripada keluarga si mati kerana hidangan hanya sesuai disajikan dalam masa bahagia bukan dalam masa musibah.


Perkara ini berdasarkan kepada kenyataan Jarir bin Abdullah: "Kami berpendapat bahawa perbuatan sebahagian manusia berhimpun di rumah keluarga si mati bagi mengharapkan makanan selepas pengebumiannya adalah sebahagian daripada ratapan kematian." (Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Majah dengan sanad yang sahih)

Mazhab Maliki pula, mengadakan kenduri arwah untuk si mati adalah makruh, manakala hukum berkumpul dalam rumah keluarga si mati bagi tujuan mendapatkan makanan percuma yang disediakan oleh tuan rumah adalah bidaah. Ini kerana niat mereka yang datang itu salah dan membebankan keluarga si mati yang sememangnya sudah terbeban dengan kematian salah seorang ahli keluarga mereka.

Jika kita perhatikan sunah Nabi SAW, menyediakan makanan adalah tanggungjawab jiran tetangga, sahabat handai dan bukannya ahli keluarga.

Ulama Mazhab Syafie, Imam al-Syarbiny dan Imam al-Nawawi, adat menghidangkan makanan oleh keluarga si mati dan mengajak orang ramai berkumpul untuk kenduri tertentu adalah bidaah yang tidak disunahkan kerana membebankan keluarga si mati selain tiada dalil daripada al-Quran dan sunah terhadap perbuatan itu.

Amalan golongan jahiliah

Menurut Ibn al-Qudamah (Mazhab Hambali), adat menghidangkan makanan untuk pengunjung oleh keluarga si mati adalah makruh.

Perbuatan itu akan menambahkan lagi musibah kepada keluarga si mati dan penambah beban, sekali gus perbuatan ini menyerupai amalan golongan jahiliah.

Diriwayatkan, Jarir mengunjungi Umar, kemudian Umar berkata: "Apakah kalian suka berkumpul bersama keluarga si mati yang kemudian menghidangkan makanan?

Jawab Jarir: Ya. Berkata Umar: Hal itu termasuk dalam meratapi si mati yang terlarang."

Ikut kerelaan keluarga

Berdasarkan kepada perbincangan keempat-empat mazhab itu, dapatlah disimpulkan bahawa hukum melakukan kenduri arwah adalah harus jika ia dilakukan dengan kerelaan dan keikhlasan ahli keluarga kepada yang berkunjung.

Kos hidangan diambil sepenuhnya daripada duit peribadi anak dan sahabat handai yang telah menderma untuk tujuan itu.

Semoga amalan itu termasuk dalam kategori doa anak soleh dan sekali gus diterima Allah SWT.

Pengunjung mestilah memperbetulkan niat bahawa tujuan mereka datang ke rumah si mati adalah untuk mengucapkan takziah bukannya untuk menjamu selera secara percuma.

Tidak menganggap perbuatan itu sebagai sunah Nabi SAW.

Makruh berbuat demikian jika ia dilakukan bagi tujuan memenuhi kehendak adat setempat.

Pada masa sama, ahli keluarga tidak langsung terbeban dengan kenduri arwah itu.

Haram melakukan kenduri arwah jika ahli keluarga dipaksa untuk berbuat demikian.

Ahli keluarga pula terpaksa menjayakan kenduri itu tanpa kerelaan dan keikhlasan mereka.

Lebih teruk lagi apabila kos jamuan diambil sepenuhnya daripada duit pusaka yang belum diagihagihkan kepada mereka yang berhak.