June 24th, 2015

Keberkatan rahsia bertahan

SENTIASA melakukan solat sunat dhuha dan yakin dengan rezeki daripada Allah SWT. Begitulah komen ringkas yang diberikan oleh ahli perniagaan, Shamsuri Mohd. Yusof, 43, ketika ditanya mengenai rahsia pencapaiannya sejak menceburi dalam sektor perniagaan.

Walaupun tidak memperoleh keuntungan lumayan sehingga jutaan ringgit, namun baginya yang mengendalikan perusahaan pembekal daging segar import dan pemborong runcit itu, cukup sekadar rezeki yang dikurniakan mampu menampung modal pusingan bagi meneruskan perniagaan selain wang gaji pekerja.

Pengarah ZS Armin Sdn. Bhd. itu berkata, menjadi kewajipan sebagai peniaga Islam dalam memastikan produk yang ditawarkan kepada majoriti pengguna yang juga beragama Islam itu adalah mematuhi syarak dalam segala aspek.

Bukan hanya dilihat secara fizikal pada produk yang ditawarkan malah beliau berkata, modal yang diperoleh daripada sumber yang bersih dan menepati syariah juga mempengaruhi bagi memastikan status benar-benar halal sesuatu produk.

Itulah yang ditekankan oleh Shamsuri bersama rakan kongsi niaganya, Zulkifli Abd. Ghani bagi memastikan perniagaan yang diusahakan bukan sahaja memberi keuntungan di dunia, malah keberkatan sehingga ke hari akhirat.

“Dalam persaingan perniagaan yang sengit, pelbagai kemungkinan boleh berlaku kepada peniaga. Mungkin hari ini kita berjaya, tetapi tidak mustahil esok kita boleh jatuh disebabkan pelbagai faktor dan kekangan yang tidak dijangka lebih-lebih lagi dalam sektor perniagaan yang kami ceburi ini.

“Namun, bagi kami berbekalkan keyakinan dengan menyerahkan takdir kepada Allah SWT, perniagaan yang dijalankan ini sentiasa dilimpahkan dengan rezeki yang murah walaupun pada waktu kecemasan, dan sentiasa akan dipermudahkan.

“Sehingga mampu membawa syarikat ini mampu bertahan sejak penubuhannya sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Seri Kembangan, baru-baru ini.

Bermula dengan tenaga kerja hanya dua orang, ZS Armin Sdn. Bhd. kini mempunyai sebanyak 40 kakitangan yang mengurus dan menggerakkan perniagaan ke beberapa lokasi penghantaran di seluruh negara.

ZS Armin Sdn. Bhd. merupakan antara pengusaha pengimport daging sejuk beku segar Muslim Bumiputera yang mengedarkan jualan di pasar-pasar borong, restoran dan juga mengikut tempahan.

Syukur dibantu Agrobank

Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran dalam perniagaan

ZS Armin Sdn. Bhd. yang diterajui Shamsuri Mohd. Yusof (kanan) dan Zulkifli Abd. Ghani kini mempunyai 40 kakitangan yang mengurus dan menggerakkan perniagaan di beberapa lokasi penghantaran di seluruh negara.

Berkongsi kisah membangunkan perniagaan, bekas penerbit program di sebuah stesen televisyen swasta itu berkata, memperoleh modal yang menepati syariah merupakan kekangan utama yang dihadapi ketika ingin memulakan perniagaan pada 2005.

Namun, berikutan tidak mempunyai pilihan memaksa graduan lepasan Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu untuk menggunakan sumber yang ada bagi mengelakkan perniagaan terbantut.

Sehinggalah beliau dimaklumkan mengenai tawaran pinjaman daripada Agrobank pada tahun 2013 yang menyediakan pembiayaan modal perniagaan patuh syariah sepenuhnya.

“Perbankan Islam masih tidak popular pada masa itu dan boleh dikatakan tidak ada bank yang menawarkan pembiayaan patuh syariat pada awal ingin mendapatkan modal.

“Oleh itu, tidak banyak pilihan yang kami ada selain menggunakan pinjaman yang ditawarkan oleh perbankan jenis konvensional.

“Sehinggalah kami beralih ke Agrobank yang menawarkan pembiayaan Islam dan mampu mengambil alih pinjaman yang dibuat sebelum ini, di samping perkhidmatan yang lebih bersih dan meyakinkan. Ini bagaikan satu rahmat bagi kami yang telah lama mencari-cari.


KEYAKINAN dan keberkatan merupakan rahsia pencapaian cemerlang ZS Armin Sdn. Bhd. dalam dunia perniagaan.

“Ini kerana, menjadi tuntutan fardu kifayah sebagai seorang Muslim yang menceburi dalam bidang ini untuk memastikan umat Islam memperoleh bekalan makanan daripada sumber yang benar-benar mematuhi syariah,” jelasnya.

Shamsuri berkata, selain sumber modal dan produk yang patuh syariat, percampuran produk ketika proses simpanan dan penghantaran juga boleh menjejaskan status halal sesuatu produk jika didapati bercampur dengan produk tidak halal.

Itulah tambahnya, antara perkara yang dilihat kurang dititikberatkan oleh sesetengah pengusaha dan peniaga dalam membekalkan daging segar kepada pengguna dikebanyakan pasar atau pusat membeli belah.

“Bagi ZS Armin Sdn. Bhd., kita hanya membekalkan produk halal yang diimport daripada pembekal yang diiktiraf halal. Oleh itu produk yang dipasarkan akan terpelihara daripada masalah percampuran gudang simpanan atau lori penghantaran,” katanya.

Bermimpi ternakan

Walaupun boleh dikatakan menjawat jawatan yang selesa ketika bertugas sebelum ini, namun bagi Shamsuri dan Zulkifli, minat dalam perniagaan sejak belajar di institut pengajian tinggi mendorong kedua-dua rakan baik itu untuk berubah arah menjalankan perniagaan.

Shamsuri berkata, biarpun sedar risiko yang bakal ditempuh, namun hasil petunjuk daripada Allah SWT yang memberikan panduan kepadanya dengan lebih yakin untuk beralih alih dalam sektor tersebut.

“Sebelum memulakan perniagaan, perkara pertama yang kami lakukan adalah melakukan solat hajat dan istiqarah meminta petunjuk daripada Allah SWT mengenai keputusan yang ingin dipilih ini.

“Apa yang menguatkan keyakinan saya dalam memilih bidang perniagaan adalah bermimpi melihat haiwan ternakan. Selain minat sejak menuntut di universiti, ia lebih meyakinkan saya untuk memilih keputusan ini,” ujarnya.

ZS Armin Sdn. Bhd. bermula dengan hanya 10 ekor lembu yang dibela di ladang Batu 9, Hulu Langat sebelum beralih kepada perniagaan mengimport daripada luar yang dilihat lebih menawarkan pulangan memberangsangkan.

Transformasi perbankan Islam Agrobank

MENGHASILKAN produk yang halal dan tayyiba bukan sahaja dinilai daripada kaedah pembuatan yang menepati syariah, tetapi memerlukan penelitian bermula daripada akar umbi iaitu dalam aspek sumber modal.

Prihatin terhadap keperluan tersebut, Agrobank yang menawarkan perkhidmatan pembiayaan modal bagi peniaga kecil dan sederhana mengorak langkah dengan menyasarkan untuk melaksanakan operasi perbankan Islam sepenuhnya pada tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman berkata, usaha untuk menuju ke arah operasi perbankan Islam telah dijalankan secara berperingkat sejak bank dikorporatkan dan Agrobank kini sudah berada pada fasa akhir bagi pelaksanaan keseluruhan.

Ini tambahnya, meliputi perkhidmatan pembiayaan dan simpanan deposit yang masing-masing telah beralih kepada perbankan Islam sepenuhnya, manakala terdapat sedikit aset kekal yang masih berasas konvensional.

“Secara keseluruhan, Agrobank telah mencapai 100 peratus pelaksanaan bagi simpanan deposit dan pembiayaan, manakala 95 peratus bagi sesetengah aset kekal. Kita telah berhenti menawarkan perkhidmatan perbankan konvensional kepada pelanggan termasuk di semua cawangan di seluruh negara sejak lima tahun lalu.

“Langkah ini kerana, kita mahu meletakkan Agrobank ke arah perbankan Islam sepenuhnya dengan menawarkan produk pembiayaan dan simpanan deposit yang patuh syariah dan memberi lebih manfaat kepada pelanggan.

“Malah, Agrobank terus komited untuk menyediakan dan menambah pelbagai kemudahan pembiayaan yang komprehensif dan sesuai dengan keperluan usahawan tani bagi menjalankan projek masing-masing,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah nilai

Usaha itu juga tambahnya selari dengan fokus Agrobank pada tahun ini yang menekankan dalam sektor pemakanan kepada peniaga dan pengusaha.

“Kita melihat menyediakan perkhidmatan perbankan Islam merupakan pilihan yang tepat berikutan permintaan pasaran halal di negara ini yang tinggi.

“Ini secara tidak langsung mampu menambah keyakinan pembeli mengenai status halal sesuatu produk apabila menggunakan modal yang berasaskan sumber patuh syariat yang menjadi nilai tambah pengusaha bagi memasarkan produk.

“Malah, difahamkan golongan bukan Islam juga mengakui lebih suka menggunakan perbankan Islam kerana lebih telus dan memberi pulangan tinggi,” jelasnya.

Agrobank akan dilancarkan secara rasmi sebagai institusi perbankan Islam sepenuhnya pada 1 Julai ini dengan mengadakan majlis pelancaran pada 30 Jun ini.

Sempena dengan pelancaran itu, Agrobank turut menganjurkan forum bertajuk, Jihad Ekonomi dalam Pelaksanaan Perbankan Islam: Perspektif Baru bagi membincangkan isu berkaitan perbankan islam dan kriteria dalam proses pengukuhan ekonomi.

Pada 2014, Agrobank menyumbang 32.1 peratus (RM2.61 bilion) kepada pembiayaan sektor makanan daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM5.5 bilion.

Di samping itu, Agrobank menyumbang 11.1 peratus (RM4.01 bilion) daripada keseluruhan RM32 bilion pembiayaan pertanian di dalam negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan pembiayaan Agrobank, boleh melayari www.agrobank.ny atau menghubungi pusat khidmat pelanggan di talian 1300-88-2476.

Roh tidak pulang ke dunia

“MENJELANG bulan Ramadan, roh orang beriman dibenarkan pulang ke dunia bagi mengutip pahala yang dihadiahkan kepada mereka.” Itulah antara mesej berantai yang banyak tersebar dalam media sosial pada bulan Ramadan ini.

Ilmu masuk mencurah-curah ke dalam telefon pintar bak hujan mengalir deras tanpa perlu menunggu kuliah di masjid dan surau. Begitu pun, fitnahnya juga tidak kurang hebat kerana sindrom “kemaruk berkongsi tazkirah dan informasi” tanpa tapisan. Pantang ada tazkirah yang diterima terus mahu dikongsi. Tanpa sedar rupanya yang disangka mutiara ilmu adalah hadis dan fakta palsu yang sangat beracun untuk minda.

Ini adalah rahsia Allah yang tergolong dalam urusan ghaib

BICARA mengenai yang ghaib seperti roh wajib bersandarkan sumber wahyu seperti al-Quran dan hadis yang sahih. Gambar hiasan

Antara tazkirah media sosial yang sangat popular saat ini adalah tazkirah ajaib berkaitan kepulangan roh manusia pada bulan Ramadan. Setakat yang dilihat, pihak yang menyebar mesej ‘Kepulangan roh pada bulan Ramadan’ tidak menyatakan dalil atau hujah yang sahih atas dakwaan tersebut. Mungkin ini berpunca daripada salah faham terhadap makna perkataan ‘roh’ dalam ayat keempat surah al-Qadar yang bermaksud: Pada malam itu, turun malaikat dan ‘roh’ (iaitu Jibril) dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). (rujuk al-Qadar: 4)

Roh dalam ayat ini bukan roh manusia seperti yang disangka, tetapi suatu gelaran kemuliaan kepada malaikat Jibril. Bukan sekali Jibril digelar ‘roh’ oleh al-Quran tetapi berkali-kali (al-Baqarah: 87 & 253, al-Ma’idah: 110, al-Nahl: 102, al-Syu’ara’: 192-193 dan al-Naba’: 38)

Selain itu, wajib diingat perihal roh adalah rahsia Allah yang tergolong dalam urusan ghaib. Pengetahuan kita mengenainya pun sangat sedikit, jadi usahlah terlebih bijak daripada Allah. (rujuk al-Isra’: 85)

Sebarang bicara mengenai yang ghaib wajib bersandarkan sumber wahyu seperti al-Quran dan hadis sahih. Tidak cukup sekadar berkata ‘ia ada disebut dalam kitab’ atau ia pernah dikongsi oleh Pak Ustaz dalam media sosial. Fahamilah disiplin ilmu Islam ditegaskan melalui surah al-Naml ayat 65.

Al-Quran menegaskan roh orang yang sudah mati terkurung di alam barzakh sehingga kiamat. Tidak boleh balik semula ke dunia, tidak untuk balik mengutip ‘pahala-siswa’ pada bulan Ramadan atau malam Jumaat dan jauh sekali untuk pulang menjadi hantu membalas dendam. Akurlah kepada firman Allah ini pada surah al-Mu’minun ayat ke-99 hingga 100.

Malahan barzakh itu sendiri dalam takrifnya bermaksud dinding pemisah yang menghalang roh si mati daripada kembali ke dunia. (Tafsir al-Jalalayn)

Jika dikata yang bebas adalah roh manusia yang beriman. Apa dalilnya? Tambahan pula nikmat alam barzakh yang dirasai orang beriman jauh lebih hebat daripada nikmat duniawi. Jadi apa perlunya mereka pulang ke dunia mencari yang biasa serta meninggalkan yang istimewa? Jika dikata pulang mereka adalah untuk mengutip pahala sedekah anak cucu, maka jawabnya penyaluran pahala boleh sahaja dialirkan terus ke alam barzakh tanpa perlunya mereka balik.

Jika dikatakan ada hadis sahih menyebut orang yang sudah mati masih mampu mendengar sebagaimana bicara Nabi SAW kepada bangkai kafir quraysh yang terbunuh selepas perang Badar (Sahih Muslim), maka fahamilah hadis itu dengan betul. Rasulullah SAW menyatakan mereka mampu mendengar dan bukannya mampu balik ke dunia selepas mati.

Jika dikatakan ada riwayat menyebut orang hidup bermimpi bertemu orang mati, perlu difahami ini juga bukan dalil roh si mati pulang ke dunia. Ini adalah pertemuan di suatu alam yang hanya Allah sahaja tahu. Sebahagian ulama menyebut ketika manusia tidur, Allah mempertemukan roh orang yang hidup dengan roh orang yang sudah mati di suatu alam bandingan yang dikenali sebagai ‘alam mithal’ dan bukannya roh si mati itu kembali ke dunia. Prinsip perbincangan mengenainya berpaksi pada ayat ke-42 surah al-Zumar.

Jika dikatakan ada sebuah hadis lemah menyebut mengenai kepulangan roh pada bulan Ramadan, maka jawabnya hadis lemah tidak boleh menjadi hujah agama, apatah lagi untuk menyanggah ayat 99 dan 100 surah al-Mu’minun di atas.

Begitu pun, walau berjela diberikan hujah naqli (wahyu) dan aqli (logik) menafikan kepercayaan karut ini, orang jahil yang tiada disiplin ilmu Islam akan menyanggah dengan ayat `seribu guna’ mereka iaitu: “Ia tidak mustahil pada kekuasaan Allah kerana Allah itu Maha Berkuasa. Boleh sahaja Allah dengan kuasanya yang tidak terbatas membebaskan roh yang beriman pada bulan Ramadan atau malam Jumaat.”

Jika begitu logik mereka, maka ini jawapannya: “Malam tadi saya didatangi Jibril as. Jibril memeluk saya erat sambil mengajarkan saya surah al-‘Alaq. Sejurus selepas itu saya dilantik sebagai nabi akhir zaman selepas Nabi Muhammad SAW.”

Menyanggah hukum

Jadi, anda semua perlu beriman kepada kerasulan saya. Jika ada yang tidak bersetuju dengan perlantikan saya sebagai Rasul, maka ini hujah ‘seribu guna’ saya: “Ia tidak mustahil pada kekuasaan Allah kerana Allah itu Maha Berkuasa. Boleh sahaja Allah dengan kuasanya yang tidak terbatas melantik saya sebagai Nabi akhir zaman selepas Nabi Muhammad.”

Inilah antara contoh ‘disiplin caca-marba’ dalam agama yang diguna pakai oleh sesetengah orang jahil. Memang Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja, tetapi perlu dipahat kemas dalam hati bahawa Allah juga sudah meletakkan sunnatullah atau undang-undang-Nya yang tidak akan diubah. (rujuk al-Ahzab: 62)

Antara sunnatullah yang tidak akan berubah sampai kiamat adalah Nabi Muhammad SAW adalah nabi dan rasul terakhir. Juga roh orang yang sudah mati tidak boleh pulang sama sekali ke dunia untuk apa sahaja tujuan.

Sebarang dakwaan menyanggah hukum dan undang-undang Allah ini wajib ditolak. Jika tidak, agama suci ini akan jadi ‘agama secukup rasa’ yang bergantung kepada penganutnya. Jika mahu lebih pedas tambahlah cilinya. Jika mahu lebih masin, tambahlah garamnya. Jika mahu lebih manis, tambahlah gulanya. Jika ini disiplin memahami agama ini, hilanglah keagungannya dan runtuhlah kegemilangannya.

Bulan latihan, tarbiah

MARILAH sama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana pada detik ini, pada saat ini kita masih lagi hidup. Darah kita masih mengalir, nadi kita masih berdenyut, nafas kita masih terus turun dan naik, kita masih lagi mampu untuk menatap wajah insan-insan yang kita kasih dan sayang. Alhamdullilah.

Walau bagaimanapun akan datang satu masa, akan datang satu saat, kita akan dimandikan, dikafankan, disembahyang oleh orang. Kemudian diusung ke tanah perkuburan dan ditinggalkan di dalam tanah, bersendirian tanpa teman.

Sesungguhnya mati bukan noktah kepada kehidupan. Mati bermakna bermulalah kehidupan kita. Kehidupan yang lebih hakiki, lebih abadi. Apa yang akan berlaku ke atas kita pada kehidupan kita yang satu lagi itu bergantung bagaimana kehidupan kita di atas dunia ini. Kalau padi yang kita tanam, padilah yang kita akan tuai. Tapi kalau lalang yang dibiarkan maka lalanglah yang kita akan dapat.

Peluang jana kualiti peribadi insan bertakwa

SALAH satu sifat orang bertakwa ialah semasa hidup, hatinya sentiasa terpaut dengan rumah Allah. - GAMBAR HIASAN

Ar-Rasul SAW menegaskan bahawa sebaik-baik bekal adalah takwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia daripada kalangan kita pada sisi Allah adalah orang yang bertakwa. Maka Allah mendatangkan bulan Ramadan. Berpuasa bulan Ramadan akan menjadi kita orang yang bertakwa.

Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu puasa, sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang terdahulu dari kamu, mudah-mudah kamu menjadi orang bertakwa.

Daripada ayat ini kita boleh buat satu formula: IMAN + PUASA = TAKWA

Bagaimanapun Allah meletakkan di dalam ayat tadi perkataan la al la yang bermaksud mudah-mudahan. Maka dengan itu, belum tentu dengan kita berpuasa, takwa akan dapat dibina dan dijana. Ini adalah kerana ia bergantung kepada kualiti puasa kita.

Sebab itu kata Nabi: “Ramai umat aku berpuasa, tetapi mereka hanya dapat lapar dan dahaga.”

Maka penting untuk kita sama-sama memuhasabah diri. Bagaimanakah mutu puasa kita selama ini? Marilah kita jadikan bulan Ramadan tahun ini adalah bulan Ramadan yang terbaik dari yang sebelum ini.

Dalam dunia pengurusan terdapat istilah input, proses dan output. Puasa bukan output. Puasa adalah proses. Proses untuk melahirkan takwa. Maka penting untuk kita sama-sama menginsafi akan hakikat ini. Kita berpuasa buka hanya kerana berpuasa tapi kita berpuasa untuk menjana budaya hidup orang bertakwa.

Dalam kehidupan ini penting untuk kita mempunyai matlamat yang jelas. Maka sebab itu dalam konteks organisasi kita ada visi dan misi. Dalam konteks individu pun kita ada mission statement. Dalam konteks puasa yang kita jalani, melalui ayat tadi kita boleh bentuk satu objektif, iaitu setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan, diakhirnya orang yang beriman akan menjadi mereka yang bertakwa.

Allah SWT dengan sifat kasih-sayang-Nya telah mendatangkan dalam bulan Ramadan modul-modul khusus untuk menjadi katalis ke arah penjanaan budaya hidup orang bertakwa dalam kehidupan kita.

Modul 1: Niat

Ia mempunyai peranan penting dalam kehidupan kita. Hari ini disebabkan kita biasa berniat dalam melaksanakan ibadah seharian, hingga kita tidak merasakan kekuatan yang ada di sebalik niat itu. Hingga niat yang kita ungkapkan hilang rohnya.

Modul 2: Tarawih

Apakah yang tersirat disebaliknya? Orang bertakwa sentiasa menjadikan masjid sebagai paksi kehidupannya. Nabi Muhammad SAW sendiri apabila berhijrah ke Madinah, perkara pertama yang baginda lakukan adalah mendirikan masjid. Kata baginda, nanti di Padang Mahsyar akan ada tujuh golongan manusia yang akan diletakkan oleh Allah di atas mimbar yang bercahaya-cahaya. Satu daripada golongan tersebut adalah mereka yang hatinya, semasa hidup di dunia sentiasa terpaut dengan masjid.

Allah SWT menegaskan bahawa orang yang mengimarahkan rumah-rumah Allah (masjid, surau atau musalla) mereka adalah orang yang benar-benar beriman dengan-Nya dan Hari Akhirat. Tidak cukup dengan itu Allah menegaskan mereka juga adalah orang yang jaga solat dan menunai zakat serta tidak takut pada apa-apa selain-Nya. Kelima-lima kualiti ini adalah sifat-sifat orang-orang bertakwa yang dianugerahkan kepada mereka yang suka mengimarahkan rumah-rumah-Nya.

Sunnah yang terpenting dalam bulan Ramadan adalah iktikaf. Nabi memperbanyakkan masa di dalam masjid. Maka penting untuk kita berusha untuk menghidupkan amalan ini.

Selama sebulan kita menghubungkan diri dengan rumah Allah. Insya-Allah hati kita akan terpaut dengannya. Sesungguhnya dalam masjid ada suasana takwa, suasana malaikat dan suasana taat. Maka apabila kita banyak berada dalam suasana itu, maka ia akan memberi kesan kepada kita, sehingga kerananya akan mudah berlaku proses pembinaan personaliti takwa dalam diri kita.

Modul 3: Sahur

Sahur adalah satu lagi modul khas yang Allah letakkan di dalam bulan ini sebagai katalis ke arah membentuk budaya hidup orang yang bertakwa. Apa tujuan sahur. Dalam minda umat hari ini, sahur itu dilihat sebatas untuk makan. Sahur tujuannya bukan untuk makan. Sebab itu makan sunnahnya kita lambatkan. Lagi lambat lagi baik.

Mana mungkin kita makan kalau tidak bangun. Maka janganlah bangun hanya untuk makan. Orang bertakwa sentiasa bangun malam untuk beribadat kepada Allah. Maka kerannya janganlah kita bangun hanya untuk makan. Bangunlah dan berbadatlah dimalam hari.Sesungguh sahur adalah modul latihan untuk bangun malam bagi mentaqarrubkan diri kepada Allah.

Mana mungkin kita menjadi orang bertakwa kalau kita tidak menjadikan budaya bangun malam untuk beribadat ini, sebagai budaya kita.

Maka marilah kita jadi Ramdan kita tahun Ramdahan yang dapat membentuk kita kearah menjadikan malam hari kita, sebahagian darinya kita bangun untuk mendekatkan diri kita kepada Allah swt.

Modul 4: Puasa

Imam Ghazali rha. membahagikan puasa kepada tiga. Pertama puasa awam, kedua puasa khusus dan yang ketiga puasa khusus lil khusus.

Puasa awam adalah puasa menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Ini kita faham dan amat kita menjaganya.

Bagaimanapun untuk menjana takwa kita perlu menaikkan kualiti puasa kita ke tahap yang kedua dan yang ketiga.

Puasa yang kedua bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Bahkan berusaha untuk menyelamatkan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan pahal puasa.

Bagaimana pahala puasa boleh batal? Bila kita berpuasa tetapi kita tidak menjaga pancaindera lain. Siapa orang bertakwa? Ia adalah orang yang mampu mentadbir urus jasadnya agar sentiasa berada di dalam rahmat dan kasih-sayang Allah.

Puasa ketiga adalah puasa yang tertinggi. Ia berkaitan dengan hati. Orang bertakwa adalah orang yang hatinya sentiasa ingat Allah dan sentiasa merasakan keberadaan dan kebesaran Allah Tuhan Rabbul Jalil.

Untuk kita menjadi orang bertakwa kita perlu betulkan kehidupan kita. Untuk betulkan kehidupan kita, kita perlu betulkan amal kita. Untuk betulkan amal, kita perlu betulkan jasad kita. Untuk betulkan jasad, kita perlu betulkan hati.

Oleh itu, dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini marilah kita ushakan hati kita agar sentiasa ingat Allah. Mana mungkin kita menjadi orang bertakwa, kalau hati kita kosong daripada mengingati Allah. (Bersambung esok)

Kisah Maryam, Nabi Isa dalam al-Quran

Kisah Nabi Isa yang dibicarakan dalam al-Quran bukan sahaja merangkumi perjalanan seorang Nabi yang tidak mempunyai bapa, tetapi mengenai kisah ibunya Maryam dengan Allah SWT dan malaikat Jibril.

Maryam berhadapan kaumnya dan Nabi Isa berhadapan golongan Hawariyyun, Bani Israel serta ahli kitab. Perbincangan minggu lalu membicarakan kisah Yakjuj dan Makjuj serta dajal yang akhirnya dapat ditawan oleh Nabi Isa.

Kali ini, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman dalam program Ibrah membicarakan beberapa dialog yang dirakamkan oleh al-Quran melalui kisah Nabi Isa ini. Pertama, dialog antara Maryam dengan Allah SWT dan malaikat Jibril dalam al-Quran.

Malaikat Jibril menyatakan, Allah SWT telah menyucikan Maryam dan memilihnya melebihi seluruh perempuan yang sezaman dengannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu dan menyucikanmu dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu)." (Surah Ali-Imran, ayat 42)

Selain itu, Allah SWT juga merakamkan kisah Jibril menasihati Maryam supaya mentaati Allah SWT dengan mengerjakan solat. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu dan sujudlah serta rukuklah bersama orang yang rukuk." (Surah Ali-Imran, ayat 43)

Kekuatan keimanan Maryam itu sering kali teruji apabila berhadapan Bani Israel, tetapi Allah SWT sentiasa bersama Maryam bagi menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan mereka.

Keistimewaan Nabi Isa

Allah SWT telah mengurniakan beberapa keistimewaan dan mukjizat kepada Nabi Isa serta memelihara Baginda daripada dibunuh oleh Bani Israel.

Dengan nikmat dan pertolongan itulah, maka Allah SWT meminta Baginda Nabi Isa supaya mengingati-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai Isa ibn Maryam! Kenanglah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa, dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis, membaca dan hikmah pengetahuan, khasnya kitab Taurat dan kitab Injil dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izin-Ku, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah dia seekor burung dengan izin-Ku dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izin-Ku dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang yang mati dengan izin-Ku dan ingatlah ketika Aku menghalangi Bani Israel daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan (mukjizat), lalu orang yang kafir di antara mereka berkata: Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata." (Surah Al-Maidah, ayat 110)

Begitulah kelebihan yang ada pada seorang Nabi yang tetap beriman serta mengajak kepada kaumnya untuk turut sama mentaati perintah Allah SWT.

Selain daripada itu, Nabi Isa juga berhadapan kerenah Bani Israel.

Seru Bani Israel sembah Allah SWT

Nabi Isa menyeru Bani Israel supaya menyembah Allah SWT dan jangan menyekutukan-Nya seperti dijelaskan melalui ayat Allah SWT yang bermaksud: "Wahai Bani Israel! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu, bahawa sesiapa mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka serta tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim." (Surah Al-Maidah, ayat 72)

Nabi Isa juga menerangkan kepada Bani Israel hakikat diutuskan Baginda untuk menyeru kebaikan kepada mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmah (ajaran Tuhan) dan untuk menerangkan kepada kamu sebahagian daripada perkara agama yang kamu berselisih padanya. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku." (Surah az-Zukhruf, ayat 63)

Baginda juga menyatakan perutusannya daripada Allah SWT adalah untuk mengesahkan kebenaran kitab Taurat selain menghalalkan beberapa perkara yang telah diharamkan kepada mereka.

Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan juga (aku datang kepada kamu) ialah untuk mengesahkan kebenaran kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian perkara yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku." (Surah Ali-Imran, ayat 50)

Sampaikan risalah Allah SWT

Kebenaran Nabi Isa untuk menyampaikan risalah Allah SWT juga kerana berhadapan dengan golongan ahli kitab. Walau bagaimanapun, Allah SWT meminta supaya ahli kitab tidak melampaui batas dalam perkara agama dan tidak mengatakan Tuhan itu tiga seperti yang didakwa mereka. Ini dinyatakan menerusi ayat Allah SWT yang bermaksud: "Wahai Ahli Kitab! (Yahudi dan Nasrani)

Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya Al-Masih Isa ibn Maryam itu hanyalah pesuruh Allah dan kalimah Allah yang telah disampaikannya kepada Maryam dan roh daripadanya.

Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: Tuhan itu tiga. Berhentilah daripada mengatakan yang demikian, supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Bahawa Allah ialah Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jugalah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi pengawal (yang mentadbir sekalian makhluknya)." (Surah an-Nisa, ayat 171)

Begitulah beberapa kisah yang diceritakan melalui dialog antara Nabi Isa dan pengikutnya sama ada golongan Hawariyun, Bani Israel dan ahli Kitab.

Dialog dalam al-Quran untuk menjelaskan kebenaran al-Quran dan menguatkan keimanan Nabi Isa, Rasul yang diberikan Injil kepadanya