June 28th, 2015

Jamin kelancaran

PENGURUSAN jemaah haji di Tanah Suci melibatkan penyediaan dan penyampaian 12 perkhidmatan utama sepanjang mereka berada di sana. Perkhidmatan tersebut adalah sambutan semasa ketibaan, penyelarasan pengangkutan, penginapan, sajian, kesihatan, nasihat ibadat, kaunseling, kewangan, khidmat pelanggan, pengurusan jenazah, pelbagai perkhidmatan pihak ketiga dan urusan keberangkatan balik.

Rombongan rasmi haji yang menjaga jemaah haji Malaysia di Tanah Suci diketuai oleh Ketua Rombongan Haji dan terdapat dua kategori anggotanya iaitu Rombongan Kebajikan dan Rombongan Perubatan.

Sebelum ketibaan jemaah haji, anggota TH telah siap sedia menyediakan prasarana dan kemudahan untuk jemaah haji. Petugas awal haji dihantar lebih dahulu untuk menyambut jemaah, di samping persiapan bagi menyediakan prasarana sambutan jemaah haji.

Beberapa mesyuarat penyelarasan diadakan dengan pihak Muassasah Adillak di Madinah, Muassasah Tawwafah di Mekah dan dengan pihak berkuasa lain di Arab Saudi bagi melicinkan operasi haji pada setiap tahun.

Bagi tahun ini, dijangkai 22,320 orang bakal haji Malaysia adalah yang bertuah dijemput Allah sebagai tetamu-Nya di Baitullah. Kebiasaannya jemaah haji Malaysia akan berada selama lebih 40 hari di Tanah Suci, termasuk lapan hari di Madinah.

Perkhidmatan pertama yang disediakan adalah urusan sambutan ketibaan bakal haji apabila mendarat di Terminal Haji, sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdul Aziz di Madinah ataupun Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah.

Selepas melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam, bakal haji akan dibawa ke bangunan penginapan mereka di Madinah atau Mekah. Perkhidmatan pengangkutan bas disediakan untuk membawa jemaah sepanjang mereka berada di Tanah Suci, manakala bagasi besar akan dihantar menggunakan lori untuk perjalanan jarak jauh Madinah-Mekah.

Di bangunan penginapan, setiap jemaah akan diperuntukkan bilik secara berkongsi dan sama jantina. Bagi keselesaan jemaah, kebiasaannya terdapat tiga hingga tujuh penghuni yang berkongsi satu bilik dengan bilik air sendiri.

Di Mekah, jarak bangunan penginapan jemaah haji dari pekarangan Masjidil Haram adalah kurang 1,000 meter (m). Sementara di Madinah jarak hotel ke Masjid Nabawi adalah lebih dekat iaitu kurang 500m.

Setiap hari, para jemaah akan diberi sajian sebanyak dua kali, makan tengah hari dan malam. Makanan disediakan oleh TH Global Services Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh TH.

Bagi jemaah yang jatuh sakit atau tidak sihat, kemudahan klinik terdapat di bangunan penginapan di Madinah dan Mekah. Beberapa pusat rawatan juga disediakan bagi jemaah yang memerlukan rawatan lanjut. Bagi kes yang lebih serius dan memerlukan rawatan tambahan, jemaah akan dirujuk ke hospital Arab Saudi. Lawatan harian akan dilakukan bagi memastikan kebajikan jemaah yang masuk wad.

Urusan haji di Tanah Suci perlu kerjasama semua pihak

TAHUN ini, dijangka 22,320 orang bakal haji Malaysia adalah yang bertuah dijemput Allah sebagai tetamu-Nya di Baitullah. - GAMBAR HIASAN

Bagi jemaah yang memerlukan nasihat ibadat ataupun memerlukan penjelasan tentang hukum-hakam ibadat haji, mereka boleh merujuk kepada Pembimbing Ibadat Haji (PIHTAS) dan pakar rujuk yang bertugas di Tanah Suci.

Bagi yang memerlukan bantuan kaunseling, terdapat kaunselor berdaftar yang berkhidmat kepada jemaah haji.

Tidak dinafikan, keadaan persekitaran baharu dan tertekan boleh membawa kepada kerunsingan dan lain-lain masalah psikologi dan khidmat para kaunselor ini amat penting. Malah talian ibadat dan talian kaunseling juga disediakan bagi memudahkan para jemaah menghubungi petugas pada bila-bila masa.

Kaunter-kaunter kewangan telah disediakan di setiap bangunan penginapan untuk kemudahan jemaah. Selain dapat membuat pengeluaran atau simpanan di akaun TH, jemaah boleh membuat bayaran dam dan korban, sekali gus jemaah tidak perlu membawa wang tunai.

Terdapat juga Pusat Perkhidmatan Zon semasa jemaah berada di Madinah dan Pusat Perkhidmatan Maktab di Mekah.

Pusat Perkhidmatan Pelanggan juga disediakan di beberapa bangunan penginapan jemaah yang besar, di mana para petugas bersedia memberi bantuan dan penjelasan bagi yang memerlukan bantuan atau maklumat terkini.

Selain itu, di kawasan sekitar Masjidil Haram terdapat pasukan peronda yang bertugas sepanjang masa untuk memberi bantuan kepada jemaah haji yang tersasar.

Bagi jemaah yang meninggal dunia, pengurusan jenazah akan diatur sehingga dikebumikan. Tabung khairat kematian disediakan untuk membantu waris jemaah yang meninggal dunia. Bagi bakal haji yang meninggal dunia sebelum wukuf, TH akan menguruskan badal haji mereka.

Selain itu, terdapat juga lain-lain perkhidmatan yang disediakan di bangunan penginapan oleh pihak ketiga. Perkhidmatan tambahan ini termasuk kafeteria dan kiosk yang menjual makanan ringan sepanjang hari, dobi, penghantaran bungkusan ke Malaysia dan panggilan I Talk.

Jemaah juga boleh mengikuti program ziarah yang disediakan oleh pihak syarikat. Pemantauan dilakukan oleh TH untuk memastikan mutu perkhidmatan adalah terkawal.

Fasa yang paling penting dalam menyelaras pengurusan jemaah ialah persediaan menghadapi wukuf. Beberapa siri lawatan ke tempat perkhemahan di Arafah dan Mina diadakan. Sebagai tambahan anggota yang bertugas di Madinah dan di Jeddah diserapkan dalam pengurusan Maktab bagi melicinkan operasi Masyair.

Semasa operasi Masyair anggota TH akan bekerjasama membantu pihak Muassasah bagi menggerakkan kesemua jemaah haji. Pergerakan jemaah haji dipantau melalui Pusat Maklumat Operasi di Mekah. Penggunaan alat komunikasi terkini seperti walkie-talkie dan maklumat pergerakan secara web-base banyak membantu melicinkan operasi.

Setelah selesai mengerjakan ibadat haji, pergerakan pulang diatur. Keberangkatan pulang jemaah haji biasanya melalui dua pintu iaitu melalui Lapangan Terbang Madinah dan Jeddah.

Semasa keberangkatan pulang, jemaah akan diurus sehingga ke terminal haji untuk penerbangan balik. Melalui kemudahan city check-in, pendaftaran masuk dan timbang bagasi akan dilakukan lebih awal semasa di bangunan penginapan dan pergerakan jemaah menaiki bas ke terminal akan menjadi lebih selesa dan tersusun.

Pengurusan Haji di Tanah Suci memerlukan kerjasama erat semua pihak demi mencapai haji mabrur.

Tarawih dua sesi

SOLAT sunat Tarawih adalah antara ibadat-ibadat sunat yang amat digalakkan sepanjang malam bulan Ramadan. Di negara-negara Islam, amnya dan Malaysia, khasnya, kebiasaannya dilakukan usai solat fardu Isyak secara berjemaah.

Namun persoalan yang timbul, adakah semua golongan masyarakat Islam sempat menunaikannya bersama sejurus selepas Isyak. Realitinya, pada masa sekarang terdapat golongan masyarakat Islam yang tidak sempat menunaikan solat sunat Tarawih berjemaah di masjid atau di surau.

Peniaga bazar Ramadan, selalunya akan terlepas bertarawih kerana terpaksa mengemas barang jualan selepas tamat berniaga.

Bukan perkara bidaah kerana ia bukan ibadat baharu tetapi memberi pilihan

Orang ramai menunaikan solat terawih di Masjid Negara, - GAMBAR HIASAN

Apatah lagi jika mereka tinggal jauh dari tempat berniaga. Mereka yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas juga akan terlepas bertarawih kerana tidak sempat sampai di rumah sebelum waktu Isyak.

Petugas-petugas yang terlibat dengan majlis berbuka puasa juga terkadang terlepas bertarawih kerana terpaksa menguruskan program tersebut hingga selesai. Akhirnya mereka ini yang tetap ingin menunaikan solat sunat tarawih hanya melakukannya secara sendirian di rumah atau hanya berjemaah antara suami isteri.

Justeru, saya ingin mencadangkan agar pihak berkuasa agama di Malaysia mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi kedua solat sunat tarawih bagi golongan-golongan seperti ini.

Sebenarnya, inisiatif mengadakan dua sesi solat sunat tarawih telah lama dilakukan beberapa masjid di Indonesia, antaranya Masjid Al Huda di Lumajang, Jawa Timur dan masjid Gedhe Kauman, Yogyakarta.

Menurut pihak pengurusan masjid tersebut, penambahan sesi solat Tarawih ini ditujukan bagi mereka yang tidak dapat mengikutinya pada sesi sebelumnya.

Begitu juga pihak Masjid An-Nahdhah di Singapura mengadakan Tarawih dua sesi. Sesi pertama akan diadakan seperti lazimnya selepas waktu Isyak. Sesi solat Tarawih kedua pula akan diadakan pada waktu yang agak lewat, iaitu jam 10.30 malam.

Lazimnya, pada waktu tersebut, kebanyakan masjid sudah pun selesai melakukan solat Tarawih berjemaah masing-masing.

Imam Eksekutif Masjid An-Nahdhah, Ustaz Leyakat Ali menerangkan pihak masjid berusaha memenuhi keperluan masyarakat menerusi inisiatif itu.

“Masjid An-Nahdhah tidak mempunyai masalah menaung jemaah dalam satu sesi Tarawih.

“Sesi kedua Tarawih ini ialah untuk membezakan waktu. Misalnya, ada jemaah yang ingin berbuka di luar dan tidak sempat untuk melaksanakan solat Tarawih selepas Isyak,” katanya.

Sebahagian anggota masyarakat Islam mungkin tidak berpeluang melakukan solat tarawih di masjid kerana mereka pulang lewat daripada kerja atau kerana bekerja mengikut giliran masa atau kerana mereka berbuka di luar bersama teman-teman atau anggota keluarga.

Namun, kini dengan pilihan bersolat Tarawih pada pukul 10.30 malam di Masjid An-Nahdhah, golongan sedemikian masih boleh melaksanakan solat Tarawih secara berjemaah di masjid.

Beza solat sunat Tarawih dua sesi di dua negara ini ialah di Indonesia ia dilakukan selepas satu pertiga malam. Manakala di Singapura dilakukan pada pukul 10.30 malam.

Lebih kreatif

Ini juga sebagai usaha dakwah kepada masyarakat Islam dengan memberi peluang kepada sesetengah golongan untuk menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah juga.

Pihak berkuasa agama disarankan lebih kreatif dalam menyampaikan dakwah dengan memberi kebenaran solat sunat Tarawih dua sesi ini.

Mungkin tidak perlu semua masjid atau surau mengadakan solat sunat Tarawih dua sesi. Ini mungkin sesuai di bandar-bandar besar atau di tempat-tempat yang ada permintaan. Masjid Negara atau masjid-masjid negeri boleh mengambil inisiatif awal untuk mengadakan solat sunat Tarawih dua sesi ini.

Usah difikirkan apakah ada masyarakat Islam yang akan hadir sesi kedua solat sunat Tarawih ini. Pada pandangan saya, insya-Allah ia akan mendapat sambutan kerana ramai lagi golongan peniaga bazar Ramadan dan golongan yang disebutkan tadi masih ingin berjemaah dalam menunaikan solat sunat Tarawih.

Dengan adanya dua sesi solat sunat Tarawih ini akan memberi peluang dan keselesaan kepada masyarakat Islam kerana mereka juga akan sempat berjemaah dalam menunaikannya.

Bahkan, tidak semestinya sesi kedua ini hanya untuk mereka yang terlewat, tetapi masyarakat Islam lain juga mempunyai pilihan, sama ada ingin menunaikannya pada sesi pertama atau pada sesi kedua.

Bukan bidaah

Solat sunat tarawih dua sesi ini bukanlah perkara bidaah kerana kita tidak mengadakan ibadat baharu. Ia cuma pilihan dua waktu bagi mereka yang tidak berkesempatan pada waktu pertama, khususnya. Semua masyarakat Islam mempunyai peluang dan keselesaan untuk beribadat terutamanya bertarawih secara berjemaah.

Semua golongan pencinta akhirat mendapat peluang untuk mengecapi kemanisan beribadat di bulan Ramadan. Seterusnya mudah-mudahan ia dapat menggapai tiket ketakwaan daripada puasa seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Cadangan ini mungkin ada pro dan kontranya, namun tidak salah untuk kita mencubanya.

Roh mereka berbau harum?

“Waktu itu saya du­duk di tepi katil. Mak Ngah terus membisikkan kalimah syahadah ke telinga bapa saudara saya itu. Yang lain-lain membaca al-Quran dan surah Yasin untuk Pak Ngah yang sedang nazak akibat kencing manis, darah tinggi dan beberapa penyakit lain.

“Usia Pak Ngah sekitar 60-an. Penyakitnya sudah kritikal dan pihak hospital tidak mampu mengubatinya lagi, lalu membenarkan Pak Ngah dibawa pulang kerana itulah pesan terakhir bapa saudara saya itu sebelum dimasukkan ke wad. “Apa jadi pun, biarlah mati di rumah.” Itu pesan Pak Ngah berkali-kali kepada ahli keluarganya.

“Pukul 6.00 pagi, Pak Ngah semakin nazak, nafasnya beralun-alun. Makin susah dan lemah. Lima minit kemudian, azan Subuh pun berkumandang dari masjid tidak jauh dari rumah Pak Ngah.

“Selesai saja azan, saya tidak semena-mena terhidu suatu bau yang cukup harum. Entahlah... susah nak digambarkan. Wangi macam bunga tengah berkembang. Ia datang sepintas lalu, dalam beberapa saat, dan kemudian menghilang.

“Dalam waktu itulah saya lihat nafas Pak Ngah berakhir, diiringi oleh ucapan innalillahi wainna ilaihi rajiun, oleh Mak Ngah dan anak-anaknya.

“Peristiwa ini sudah lama berlaku. Lebih kurang 15 tahun lalu. Tetapi saya masih ingat dengan jelas. Dari mana datangnya bau harum itu? Semua yang menghadap Pak Ngah ketika menghembuskan nafasnya yang terakhir, turut terhidu bau yang sama.

“Adakah itu bau roh arwah Pak Ngah yang keluar dari tubuhnya? Atau itu bau malaikat maut yang datang untuk menjemputnya pulang ke hadrat Allah SWT?

“Semua orang bercakap tentang hal itu. Bagi kami, mungkin itu tanda-tanda husnul khatimah. Memang layaklah Pak Ngah memperolehinya kerana bapa saudara saya itu orang yang cukup kuat beribadah, berzikir, sedekah dan bersembahyang jemaah.

“Setiap hari arwah akan berjemaah, kecuali tidak sihat dan cuaca buruk,” demikian cerita seorang kawan, Norzaini, kepada saya baru-baru ini. Ia terjadi di kampungnya di Batu Pahat, Johor.

Pukul 12.00 malam

Cerita Norzaini ini sebenarnya hampir sama dengan apa yang saya saksikan sendiri, pada 2006. Ia berlaku kepada Opah, iaitu saudara rapat keluarga kami, di Perak.

Opah berusia 80-an, keturunannya berasal dari wilayah Pattani, selatan Thailand. Badannya bongkok. Cakapnya susah untuk saya faham. Sudahlah laju, bercampur slanga Siam, Kelantan dan Perak.

Sekitar awal 2006, Opah terlantar akibat sakit tua. Keadaannya mula tenat menjelang Hari Raya Korban, dan semakin kritikal pada tengah hari Aidiladha. Kami berkumpul membacakan al-Quran dan surah Yasin untuknya yang ketika itu dibaringkan di atas tilam.

Keadaan ini berlarutan sampai ke malam. Penat membaca al-Quran, saya duduk seorang diri di atas tangga memerhatikan Opah yang kian nazak dan saudara mara yang mengelilinginya. Jarak antara saya dengan mereka sekitar lima meter.

Ketika jarum jam hampir mencecah tepat pukul 12.00 tengah malam, tiba-tiba saya terhidu satu bau yang cukup harum. Entahlah bau apa, seperti bercampur antara wangian bunga dan lemon. Harum dan segar.

Wartawan wajib berfikiran kritikal. Jangan terus percaya dengan apa yang diceritakan atau disaksikan. Cari bukti. Cari sebab musabab. Jangan percaya sebelah pihak. Tambahan pula perkara-perkara aneh dan mistik, yang entahkan betul entahkan tidak.

Saya sudah biasa lihat orang yang suka memistikkan perkara yang tidak mistik, lantaran terlampau minat dan fanatik terhadap alam ghaib. Mereka tidak menilai bukti dengan ilmu dan sikap skeptikal, tapi terus mengatakan ia memang benar-benar hantu dan mistik. Saya tidak setuju dengan sikap itu.

Kembali kepada cerita tadi: Apabila haruman itu menusuk hidung, saya terus memandang ke segenap ruang rumah itu. Saya memerhati kalau ada sesiapa di antara kami lebih kurang 15 orang itu yang bergerak, berjalan mahupun berpindah kedudukan.

Ini kerana, apabila seseorang itu bergerak, haruman daripada pewangi yang digunakannya mungkin akan tersebar. Haruman itulah yang mungkin saya hidu ketika ini. Tapi tiada. Semuanya tidak berganjak dari tempat masing-masing, terus membaca al-Quran dan membisikkan kalimah syahadah ke telinga Opah.

Seandainya ada antara mereka yang mengelilingi Opah memakai pewangi tersebut, kenapa sebelum itu saya tidak menghidunya, sedangkan itulah juga orangnya yang menemani Opah sejak daripada pagi.

Tanpa saya duga, ketika itulah Opah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Saya melihat jam di dinding. Tepat 12.00 tengah malam. Dan saat Opah disahkan meninggal itulah bau harum tadi beransur-ansur hilang.

Adakah saya saja yang sedar akan kehadiran bau tersebut? Tidak. Semua yang berada di sekeliling Opah turut menghidu bauan yang sama dan menceritakan perkara yang sama.

Perkara ghaib itu urusan Allah. Dosa, pahala, syurga dan neraka juga urusan Allah. Kita tidak tahu bagaimana bentuk roh. Husnul khatimah dan suul khatimah juga urusan-Nya. Kita hanya dapat berdoa dan mengagak. Mungkin...

Opah bukan ustazah, pakar tilawah mahupun pegawai agama. Dia hanya orang kampung yang miskin. Namun dirinya kaya ibadah. Setiap hari, arwah sudah bersiap-siap di atas sejadah sebelum masuk waktu solat. Selepas solat, doa dan zikirnya panjang.

Opah mempunyai buku kecil untuk menanda bilangan setiap kalimah zikirnya. Setiap bilangan lima kali akan dipangkah dengan satu garisan. Begitu juga dengan kiraan beberapa surah lazim, seperti tiga Qul.

Pernah beberapa orang ahli keluarga Opah cuba mengira jumlah zikir-zikir itu, tetapi gagal. Sebab, jumlahnya terlampau banyak, hingga tidak terdaya hendak menghabiskan kiraan. Bayangkan, oleh kerana amalan itu sudah dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun, jumlah bukunya juga banyak.

Itu yang terlihat di mata. Bagaimana pula ibadah dan kebaikan yang dilakukan dalam diam?

Pembaca sekalian, janganlah anda berasa hairan atau sangsi dengan misteri yang berlegar di sekitar kematian seseorang. Sepanjang pengalaman saya sebagai wartawan, sudah cukup banyak saya mendengar cerita-cerita sebegini.

Bukan saja perginya roh diiringi bau harum, malah ada juga mayat yang berbau harum sedangkan tiada setitik pun pewangi disapu atau dititiskan pada tubuhnya.

Sekali lagi, adakah itu roh si mati, malaikat maut, atau hanya perasaan kita sahaja? Atau ini semua khurafat dan salah sangka semata-mata? - Utusan Malaysia Rencana Agama 28 Jun 2015

Imam lupa rakaat, apa makmum perlu buat?

Baru-baru ini, semasa saya solat Isyak secara berjemaah sebelum solat sunat tarawih, pada rakaat ketiga, selepas sujud imam terus melakukan tahayat akhir dan beri salam. Pada fikiran saya, mungkin imam terlupa. Tapi tiga perkara berlaku pada makmum.

a) Ada mengikut bersama imam terus sujud dan tahayat akhir dan memberi salam pada rakaat ketiga.

b) Semasa imam tahayat akhir pada rakaat ketiga, ada jemaah berdiri buat rakaat keempat.

c) Selepas imam memberi salam dan berdoa, ada jemaah bangun dan solat Isyak.

Yang mana satu betul? Makmum Tarawih, 
Kuala Lumpur.

UKE: Bagi imam yang tidak menyedari tentang rakaat tersebut, maka solatnya sah. Jika diperingatkan yang dia belum cukup rakaat selepas habis salam, maka dia boleh bangun mencukupkan bilangan yang tidak cukup dengan syarat tidak ada pergerakan dan percakapan yang banyak.

Bagi makmum yang sedar kesilapan imam, hendaklah dia menegur imam dengan sebutan subhanallah dan boleh mufaraqah dan meneruskan solat. Tidak sah solat makmum yang mengetahui rakaat tidak cukup dan wajib ulang solatnya.