July 3rd, 2015

Khutbah Jumaat ~ Sempurnakanlah Ramadhan Dengan Berinfaq”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 03 Julai 2015: JAIS

“Sempurnakanlah Ramadhan Dengan Berinfaq”


Nabi Muhammad SAW apabila tiba bulan Ramadhan, baginda melipat gandakan amalan berinfaq dan bersedekah berbanding bulan-bulan yang lain.

Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Nabi adalah orang yang amat dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadhan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan padanya AlQuran dan Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadhan, lalu membacakan padanya Al-Quran. Rasulullah ketika ditemui Jibril lebih dermawan daripada angin yang berhembus”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Melalui amalan Infaq termasuklah ibadah zakat yang kita tunaikan, akan membersihkan diri kita dan memperelokkan puasa kita daripada pencemaran dosa dan maksiat. Memperbanyakkan amal soleh di bulan Ramadhan merupakan keutamaan ibadah.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sedekah tidaklah mengurangi harta”. (Riwayat Muslim).

Nabi Muhammad SAW memberi jaminan bahawa zakat dan sedekah yang kita tunaikan akan diberkati oleh Allah SWT dalam bentuk pemeliharaan dan perlindungan daripada sebarang bahaya kemusnahan.

Hadis daripada Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ubatilah sakitmu dengan bersedekah, lindungilah hartamu dengan berzakat dan hadapi gelombang hidupmu ini dengan berdoa”.

Begitu juga terdapat sebuah hadis daripada ‘Adi Bin Hatim RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berlindunglah daripada api neraka walaupun dengan bersedekah sebahagian daripada tamar”. (Riwayat al-Bukhari).

Zakat fitrah difardukan bertujuan untuk membantu fakir dan miskin agar mereka dapat sama-sama bergembira dan menikmati makanan tatkala menyambut hari raya.

Menunaikan zakat fitrah adalah wajib berdasarkan sebuah hadis daripada Ibnu Umar RA yang menceritakan yang bermaksud bahawa: “Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah iaitu segantang tamar atau segantang gandum ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar dari kalangan umat Islam. Baginda memerintahkan supaya ia ditunai sebelum orang ramai keluar pergi menunaikan sembahyang (hari raya)”. (Riwayat al-Bukhari)

Hadis daripada Anas B. Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pahala puasa Ramadhan itu tergantung di antara langit dan bumi. Zakat fitrahlah yang akan menyampaikannya”. (Riwayat Ad-Dailami).

Untuk makluman seluruh ahli Jemaah sekalian, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahawa harga zakat fitrah pada Ramadhan tahun ini adalah sebanyak RM7.00 seorang.

Allah SWT memberi amaran terhadap sesiapa yang enggan, lali dan ingkar daripada menunaikan zakat akan dijanjikan dengan pelbagai ancaman dan peringatan.

Pada hari kiamat, Allah SWT akan mengalungkan harta yang tidak dikeluarkan zakatnya di leher pemiliknya. Sebagimana Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 180: “Jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya – menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan harta yang mereka simpan itu (tidak mengeluarkan zakat) pada hari kiamat kelak. Allah jualah yang memiliki segala warisan (isi) langit dan bumi. Ingatlah Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan”

Kita hendaklah menyucikan jiwa dan harta kita dengan menunaikan zakat dan menginfakkan harta. Oleh itu, marilah kita melaksanakan perkara berikut:

1. Harta yang cukup nisab, hendaklah dikeluarkan zakatnya sama ada gaji dan pendapatan, wang simpanan, saham, pengeluaran KWSP, emas dan perak, perniagaan serta hasil sawah padi dan ternakan.

2. Pembayaran zakat fitrah dan zakat harta hendaklah di bayar kepada LZS melalui amil yang bertauliah supaya pengagihanyya dapat dibuat dengan adil dan sempurna.

3. Umat Islam hendaklah yakin dengan jaminan Allah bahawa orang yang berinfaq tidak akan mengurangkan hartanya sebaliknya dikurniakan ganjaran nikmat dan pahala oleh Allah SWT.

4. Umat Islam yang bersifat bakhil da enggan bersedekah dan membayar zakat adalah berdosa dan hartanya akan dikalungkan ke leher pemiliknya pada hari kiamat kelak untuk tontonan orang ramai.

“Jika kamu menampakkan sedekah mu, maka itu adalah baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagi mu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Surah al-Baqarah : 271).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Kudamba Syafaatmu

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat Khas Nuzul Quran 3 Julai 2015M/ 16 Ramadhan 1436H JAWI

"Kudamba Syafaatmu "

Menyingkap definisi al-Quran menurut Sheikh Ali as-Sobuni, ia adalah kalam Allah SWT yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai mukjizat melalui malaikat Jibril AS, diturunkan melalui jalan mutawatir dan membacanya dikira ibadah, dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah an-Nas. Ketahuilah, mukjizat agung ini anugerah teristimewa khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT dan RasulNya telah memberikan jaminan syafaat yang begitu banyak hanya dengan membaca al-Quran. Jangan sesekali kita memberatkan hati untuk menyibukkan diri untuk mendekati al-Quran.

Renungkanlah hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Umamah al-Bahili RA bahawa Nabi SAW bersabda:  Maksudnya: “Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya”.

Al-Quran yang merupakan mukjizat teragung dan abadi, berperanan memandu manusia ke jalan yang benar dan membebaskan manusia dari azab api neraka.

Pertama : Aspek ekonomi.

Renungkan firman Allah SWT menerusi firmanNya di dalam surah as-Syu’ara’ ayat 183: Bermaksud : ”Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi.”

Kedua : Aspek pendidikan.

Al-Quran telah memainkan peranan yang cukup penting dalam pembinaan tamadun Islam agar umatnya terus belajar, mengkaji dan mencari ilmu.

Firman Allah SWT berfirman di dalam surah al-‘Alaq ayat 1 hingga 5:Bermaksud : ”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Ketiga : Aspek sosial.

Al-Quran juga mendidik manusia supaya menghindari daripada perpecahan, perbalahan, kezaliman, diskriminasi, perbuatan khianat, dengki dan lain-lain.

Ingatlah pesanan Allah SWT di dalam surah alhujurat ayat 13 :  Bermaksud : ”Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Keempat : Aspek perundangan

Melalui al-Quran, Allah SWT memandu kehidupan manusia dengan menetapkan paeraturan dan undang-undang sama ada yang berkaitan dengan ibadah, munakahat, jinayat, muamalat dan sebagainya.

Hayati firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 58 :Bermaksud : ”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”

Ingatlah Hak Al-Quran mesti sentiasa dibaca dan difahami. Antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi membudayakan penghayatan al-Quran dalam masyarakat ialah:

Pertama: Hendaklah kita sentiasa membaca dan berusaha menghafaznya. Dengan membaca al-Quran ia dapat menambah kejernihan jiwa, ketenangan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Dengan membaca al-Quran, kita akan mendapat ganjaran pahala dan syafaat al-Quran.

Kedua: Al-Quran hendaklah dibaca dengan teliti iaitu dengan bacaan yang terang, jelas dan betul mengikut ilmu tajwid. Memperelokkan suara ketika membaca al-Quran menjadikan bacaan tersebut menusuk ke dalam jiwa.

Ketiga : Hendaklah kita sentiasa memahami dan menghayati kandungan dan petunjuk al-Quran itu. Makna tadabbur yang dijelaskan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam AlTafsir al-Munir ialah memerhatikan makna-makna ayat al-Quran dan meneliti kandungannya. Apabila melakukannya kita dapat menghayati sepenuhnya kandungan Al-Quran, bahkan menambah tautan cinta dan rindu berinteraksi dengannya.

Keempat : Tindakan bersepadu dari berbagai pihak mestilah dilakukan bagi menjayakan amalan mulia ini. Pihak yang berwajib perlulah menganjurkan kempen membudayakan Al-Quran di kalangan rakyat jelata. Pemimpin masyarakat setempat juga berperanan merangka program-program penghayatan al-Quran seperti kelas-kelas pengajian al-Quran, tafsir dan ilmu-ilmu Islam yang lain. Ibu bapa pula mesti Teks Khutbah Jumaat Kudamba Syafaatmu 6 memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam menguasai al-Quran. Seterusnya memastikan anak-anak sentiasa membaca, menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan mereka.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin menyimpulkan beberapa intipati penting yang dapat dijadikan pengajaran:

Pertama: Penurunan al-Quran merupakan anugerah agung dari Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan seluruh umat baginda.

Kedua: Al-Quran mempunyai peranan yang penting terhadap kehidupan manusia sama ada dalam aspek ekonomi, pendidikan, sosial dan perundangan.

Ketiga: Yakinlah, jika kita mentadabbur dan mengamalkan al-Quran, pasti al-Quran akan menjadi syafaat kepada kita di akhirat kelak.

Firman Allah SWT menerusi surah Surah Shaad pada ayat 29: Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar”.

Wallahualam.

Jangan lari tinggalkan imam

RAMADAN amat pantas berlalu. Hari ini kita sudah berada pada 16 Ramadan. Bermakna telah separuh Ramadan meninggalkan kita. Hanya berbaki 13 atau 14 hari sahaja untuk kita terus memperhebatkan ibadat bagi mengejar pelbagai ganjaran pahala yang dilipatgandakan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Seharusnya ketika ini, umat Islam semakin mendekatkan diri kepada Allah selepas menjalani proses tarbiah (didikan) 10 hari pertama Ramadan. Sepatutnya, kita kini semakin bersemangat melakukan ibadat terutama solat tarawih dan qiamullail. Qiamullail adalah amalan sunat yang bererti ‘bangun malam’ iaitu bangun dengan tujuan beribadat kepada Allah.

Malangnya, banyak masjid dan surau kini sudah makin sepi. Ramai yang hangat-hangat tahi ayam dan gagal berjuang sampai ke garisan penamat. Sedangkan, Rasulullah SAW dan para sahabat semakin memperbanyakkan amalan terutama pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dengan bilangan jemaah yang makin kurang itu, ada pula pertikaian mengenai solat witir. Antara isu yang sering kedengaran, bolehkah solat witir bersama imam sedangkan kita mahu bangun tahajud nanti? Keadaan ini menyebabkan ada jemaah yang bangun atau lari mening­galkan imam apabila masuk solat witir. Sekali gus, saf yang kosong makin bertambah.

Niat qiamullail itu memang bagus. Cuma mari kita lihat apakah ganjaran yang disebut oleh Rasulullah SAW kepada mereka yang solat berjemaah isyak hingga selesai solat witir pada malam-malam Ramadan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Siapa yang solat bersama imam sehingga imam selesai, maka ditulis untuknya pahala qiam satu malam penuh. (Riwayat Tirmidzi). Maksud solat bersama imam hingga selesai menunjukkan menjadi sunnah baginda solat tarawih bersama imam dari awal hingga selesai solat witir.

Hadis ini menjelaskan tentang fadilat yang besar kepada mereka yang solat berjemaah sehingga selesai dengan beroleh pahala solat sepanjang malam. Dengan kata lain, mereka yang ‘lari’ itu tadi telah kerugian dan tidak mendapat pahala qiam satu malam yang penuh.

Justeru, marilah kita merebut peluang istimewa ini yang hanya ditawarkan dalam Ramadan. Sebabnya, dalam bulan-bulan lain, kita perlu tidur dahulu sebelum boleh qiamullail. Dengan keadaan kita yang bekerja pada siangnya, tidak ramai yang mampu untuk bangun mengerjakan solat malam.

Timbul pula soalan kedua, perlukah kita solat witir sekali lagi semasa qiamullail sedangkan kita sudah melakukan solat witir bersama imam di masjid tadi?

Ada khilaf ulama dalam bab ini. Namun, pandangan jumhur ulama adalah tidak perlu lagi melakukan solat witir selepas selesai qiamullail. Barang siapa yang telah mengerjakan witir penamat, kemudian mahu bersembahyang lagi selepas itu, maka ia boleh sembahyang tetapi tidak mengulangi witir kerana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada dua witir pada satu malam”. (Riwayat Ahmad)

Marilah kita berazam menerus dan meningkatkan pelbagai ibadat terutama bagi merebut kelebihan pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam malam al-qadar. Sebabnya, umur kita tidak panjang. Justeru marilah kita manfaatkan ia sebaik-baiknya untuk menambah pahala.

Tidak terujakah kita dengan ganjaran pahala beribadat pada malam al-qadr iaitu lebih baik daripada 1,000 bulan? - Mohd Radzi Mohd Zin Al Bayan Utusan malaysia Rencana 03 Julai 2015 1:34 AM

Al-Quran sebagai manual kehidupan

MENJADI tradisi bagi umat Islam pada setiap 17 Ramadan akan diadakan majlis peringatan Nuzul al-Quran. Al-Quran mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Ia merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada junjungan besar hingga seterusnya beransur-ansur lengkap sebagaimana al-Quran yang ada pada hari ini.

Al-Quran adalah manual kehidupan dan kitab petunjuk ke jalan yang sebaik-baiknya sebagaimana Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’: 9: “Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus (jalan yang sebaik-baiknya).”

Mempelajari al-Quran satu kewajipan. Mempelajarinya bukan setakat cara membaca dan hukum tajwid sahaja malah menerangkan isi al-Quran kepada orang ramai juga adalah suatu kewajipan ke atas umat Islam.


MEMPELAJARI al-Quran bukan setakat cara membaca dan hukum tajwid sahaja sebaliknya turut membabitkan
penerangan isi kandungannya kepada orang ramai. GAMBAR HIASAN


Secara ringkasnya, penurunan al-Quran atau nuzul al-Quran berlaku dalam beberapa peringkat masa beransur-ansur selama 23 tahun lamanya. Al-Quran mengandungi 114 surah dan susunannya ditentukan oleh Allah SWT secara tauqifi. Al-Quran tidak disusun mengikut penyusunan kitab-kitab ilmiah biasa kerana pada kebiasaannya kitab-kitab tersebut membicarakan satu masalah dengan membahagi-bahagikan kepada bab-bab dan fasal-fasal dan sebagainya. Cara atau kaedah ini tidak terdapat di dalam al-Quran. Persoalan-persoalan induk diterangkan secara silih berganti iaitu:

- Persoalan akidah terkadang digandingkan dengan persoalan hukum.

- Sejarah umat terdahulu disatukan bersama nasihat, dorongan atau tanda-tanda kebesaran Allah yang ada di alam semesta.

- Penerangan masalah-masalah falsafah dan metafizika, al-Quran tidak menggunakan istilah-istilah falsafah dan logik.

- Begitu juga dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Ini membuktikan bahawa al-Quran tidak dapat disamakan dengan kitab-kitab yang dikenali oleh manusia. Tujuannya diturunkan juga berbeza dengan tujuan kitab-kitab ilmiah ditulis. Untuk memahaminya, terlebih dahulu mesti diketahui masa turunnya ayat-ayat al-Quran berkenaan dengan mengetahui peringkat-peringkat masa tersebut. Ulama Ulum al-Quran membahagikan sejarah penurunan al-Quran kepada dua peringkat iaitu:

- Ayat-ayat Makkiyyah iaitu ayat-ayat al-Quran yang diturunkan sebelum penghijrahan ke Madinah.

- Ayat-ayat Madaniyyah iaitu ayat-ayat al-Quran yang diturunkan selepas penghijrahan ke Kota Madinah.

Ayat-ayat Makkiyyah yang diturunkan pada peringkat ini secara umumnya membentangkan mengenai manhaj pendidikan yang dijalani oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang terkandung dalam Surah al-’Alaq, ayat 1-5 dan Surah al-Muzzammil ayat 1-8.

- Ia juga berkaitan perintah berdakwah dan seruan kepada kaum keluarga terdekat, sebagaimana yang terkandung dalam Surah al-Mudaththir, ayat 1-7 dan surah al-Syu’ara’, ayat 214-216.

- Dasar-dasar penting mengenai sifat-sifat Allah seperti ayat dalam Surah al-A’la dan Surah al-Ikhlas.

- Dasar-dasar akhlak Islamiyyah dan bantahan secara umum mengenai penyelewengan amalan-amalan jahiliyyah seperti dalam Surah al-Takathur yang mengecam golongan terlalu rakus dengan harta dan Surah al-Maa’un yang menerangkan kewajipan terhadap fakir miskin dan anak yatim serta pandangan agama mengenai amalan hidup bermasyarakat.

Peringkat manhaj pendidikan dan seruan dakwah ini berlangsung dalam lingkungan masa antara empat dan lima tahun telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat Arab. Dakwah mula melebar melampaui perbatasan Mekah menuju ke daerah-daerah sekitarnya.

Pada peringkat ini juga dipenuhi dengan suasana fitnah, penganiayaan dan kekejaman yang menyebabkan orang Islam berhijrah ke Habsyah. Era ini berlangsung selama lapan dan sembilan tahun, di mana berlaku pertarungan hebat antara gerakan Islam dan jahiliyah. Kemuncaknya mereka semua berhijrah ke Madinah.

Mengenai ayat-ayat Madaniyyah, pada peringkat ini umat Islam berada dalam keadaan selesa, hidup bebas di Madinah dan melaksanakan ajaran agama tanpa rasa takut tidak seperti semasa berada di Mekah. Peringkat ini berlangsung selama 10 tahun. Di sini mula timbulnya pelbagai persoalan antaranya, apakah prinsip yang perlu dilaksanakan dalam masyarakat yang baharu ini bagi mencapai kejayaan? Bagaimana menghadapi golongan munafik, ahli al-Kitab, orang kafir dan sebagainya sebagaimana yang diterangkan oleh al-Quran.

Justeru, penurunan ayat al-Quran pada peringkat ini berkisar tentang:

- Urusan pemerintahan dilaksanakan di atas prinsip syura seperti dalam Surah al-Shura ayat 38.

- Akhlak dan tingkah laku dalam kehidupan seharian diterangkan seperti dalam Surah al-Nur ayat 27.

- Dialog dengan golongan munafik, ahli al-kitab dan musyrik.

- Syariat dan hukum yang menerangkan dasar-dasar yang mesti diikuti oleh manusia dalam hubungan dengan Tuhan dan sesama manusia.

Ringkasnya sejarah penurunan al-Quran seiring bersama perkembangan dakwah Islam. Turunnya al-Quran secara beransur-ansur mengikut asbab al-nuzul dan penyelesaian masalah yang berlaku. Apabila dakwah berjalan secara menyeluruh, masyarakat Arab Quraisy mula berduyun-duyun memeluk agama Islam. Ketika inilah berakhirnya penurunan ayat-ayat al-Quran dan datangnya penegasan dari Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 3: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan Aku reda Islam itu agamamu.”

Al-Quran adalah petunjuk yang tersimpul dalam keimanan kepada keesaan Allah dan kepercayaan kepada adanya hari pembalasan. Ia juga petunjuk mengenai akhlak yang murni dengan menerangkan norma-norma keagamaan dan tata susila kehidupan yang mesti diikuti dalam kehidupan individu dan bermasyarakat demi kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat. Inilah mesej Rasulullah SAW, Islam merupakan nizam al-hayat ataupun way of life yang menjamin kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat.

Transformation of the heart

Our experience this month is supposed to create gratefulness to God for what we have, and lead us to form some new resolutions for the remaining chapters of our life.

MUSLIMS all around the world are currently observing the month of Ramadan by fasting and perfor­ming ibadah or religious rituals, to gain the blessings and mercy of Allah.

Ramadan is the ninth month in the Hijri calendar. In this month, it is obligatory for all Muslims to fast from fajr (sunrise) to sunset.

Prophet Muhammad addressed his companions on the last day of Sha’ban (the month before Rama­dan), saying: “Oh people! A great month has come over you; a blessed month; a month in which is a night better than a thousand months; a month in which Allah has made it compulsory upon you to fast by day, and voluntary to pray by night. Whoever draws nearer (to Allah) by performing any of the (optional) good deeds in (this month) shall receive the same reward as perfor­ming an obligatory deed at any other time, and whoever discharges an obligatory deed in (this month) shall receive the reward of performing seventy obligations at any other time.

“It is the month of patience, and the reward of patience is Heaven. It is the month of charity, and a month in which a believer’s sustenance is increased. Whoever gives food to a fasting person to break his fast, shall have his sins forgiven, and he will be saved from the Fire of Hell, and he shall have the same reward as the fasting person, without his reward being diminished at all.” (Narrated by Ibn Khuzaymah).

For many Muslims, the month of Ramadan offers countless blessings promised by Allah.

Fasting is one part of it because, through the act of fasting, we learn to appreciate God’s sustenance for us and at the same time empathise with those who are less fortunate.

Ramadan is mainly about purifying the heart and being closer to God. The act of fasting and other rituals related to it are ultimately to achieve that purity.

For the heart, when it is pure, is drawn to its Master. And when we make submission to God, the most valuable element of our existence on Earth, life becomes so worthwhile.

This experience is supposed to create gratefulness to God for what we have, and lead us to form some new resolutions for the remaining chapters of our life.

The heart that seeks pleasure from its Creator must first be sincere in its intention. From the Isla­mic point of view, sincerity acts as a foundation for all of our actions in life.

It is about focusing on desiring the pleasure of Allah in everything that we do as the basis of our intentions and actions.

Allah says in the Quran of those who are sincere:

They [are those who] fulfil [their] vows and fear a Day whose evil will be widespread. And they give food in spite of love for it to the needy, the orphan, and the captive, [saying], “We feed you only for the countenance of Allah. We wish not from you reward or gratitude”. (Chapter 76, Verses 7-9).

Sincerity of this kind will ensure that every action that is taken, is done out of the realisation that God wants us to do good deeds, possess high moral character and be kind towards the people around us.

Those who are sincere in their intentions are constantly observant of their actions and do not stray from the remembrance of God.

Genuine sincerity also does not demand any material benefits in return. When we are truly sincere, our actions become our point of satisfaction, and worldly appreciation and acknowledgements are immaterial. We will become res­pect­ful of others because we know that is what is required from us.

Someone who seeks to purify his heart would not let hatred, envy and anger take the best of him, as he knows that this would only bring him farther from God.

The heart or qalb as mentioned in the Quran is the starting point of all our intentions and actions.

As social beings, the way we treat others and the manner we conduct our daily dealings with people around us are also manifestations of what lies within our hearts.

Transformation of the heart through the purification process would mould us into becoming better human beings who seek the pleasure of God, and at the same time would reflect the God-consciousness condition into real good actions.

The world, in its present chaotic state, needs people with sincere and good hearts to improve its condition.

Therefore, Ramadan is indeed the best time to nurture such a personality in a person.

Fasting, prayers and other acts of worship that one undertakes to seek the pleasure of God will put oneself in a position of constant remembrance of Him.

The heart needs such a process to transform the person into beco­ming the kind of human being who lives his or her life in accordance to what is ordained by God.

Hopefully, hearts which are constantly in search of tranquillity would find guidance within the countless blessings promised by God in the month of Ramadan. nizahura Abdul Aziz is Senior Research Officer with Ikim’s Centre for The Study of Syariah, Law and Politics. The views expressed here are entirely the writer’s own. The STAR Home News Opinion Columnist 30 June 2015

Wajib Haji

MENGERJAKAN ibadat haji adalah satu kefarduan bagi mereka yang telah mencukupi syarat-syarat wajib menunaikan haji. Jutaan manusia mengerjakan haji pada setiap tahun dengan harapan dan matlamat yang satu iaitu mendapat haji yang mabrur.

Untuk mendapatkan haji mabrur bukannya satu perkara yang mudah, tidak semudah dilafazkan. Inilah yang memerlukan persediaan ilmu yang bersungguh-sungguh dan istiqamah serta beramal dengannya. Ilmu berhubung ibadat haji yang luas ini tidak hanya terhenti pada perkara rukun sahaja, malahan merangkumi perkara-perkara wajib, sunat dan sebagainya.

Tidak dibuat tetap sah tapi dikenakan dam

Bermalam di Muzdalifah adalah antara enam perkata yang terkandung dalam Wajib Haji. - GAMBAR HIASAN

Selain daripada rukun-rukun haji seperti yang telah dibicarakan dalam siri sebelum ini, jemaah haji juga perlu mengetahui apakah yang dikatakan Wajib Haji? Wajib haji ialah pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan haji.

Jika tidak dikerjakan salah satu daripadanya, haji tersebut tetap sah, tetapi dikenakan dam menurut syarat-syaratnya dan juga akan menanggung dosa jika meninggalkan perkara tersebut dengan sengaja.

Enam perkara Wajib Haji iaitu;


  1. Berniat ihram di Miqat.

  2. Meninggalkan larangan ihram.

  3. Mabit (bermalam) di Muzdalifah.

  4. Melontar anak batu di Jamrah Kubra.

  5. Mabit (bermalam) di Mina.

  6. Melontar anak batu di tiga Jamarah, iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.

1. Berniat ihram di Miqat

Niat ihram ialah lafaz niat untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah, ia tertakluk kepada cara pelaksanaan haji yang dipilih iaitu sama ada haji Tamattu’, Ifrad atau Qiran. Niat tersebut hendaklah dilafazkan di miqat.

Contoh Lafaz niat ihram haji:

“Sahaja aku mengerjakan haji dan berihram dengannya kerana Allah SWT.”

Apakah yang dimaksudkan dengan miqat?

Miqat ialah ketentuan tempat atau sempadan atau masa untuk berniat ihram haji atau umrah. Miqat pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu;

a. Miqat Zamani haji ialah masa bagi seseorang untuk berniat ihram haji. Ia bermula dari 1 Syawal hingga seketika terbit fajar (masuk waktu Subuh) pada 10 Zulhijjah. Tempoh inilah yang dinamakan bulan-bulan haji. Miqat Zamani umrah pula ialah sepanjang masa selain dari masa sedang berihram haji.

b. Miqat Makani ialah ketentuan tempat atau sempadan untuk berniat ihram haji atau umrah. Pada masa kini, kebiasaannya hanya dua miqat sahaja yang dilalui oleh jemaah haji dari Malaysia iaitu;

1. Qarn al-Manazil- Bagi jemaah haji yang dijadualkan penerbangan masuk ke Jeddah dan seterusnya ke Mekah dari Malaysia.

2. Zulhulaifah-(Bir Ali) Bagi jemaah haji yang dijadualkan penerbangan dari Malaysia turun di Jeddah kemudian ke Madinah atau dari Malaysia terus ke Madinah selepas itu barulah masuk ke Mekah.

Jemaah haji yang melaksanakan haji Tamattu’ akan berniat umrah terlebih dahulu ketika melalui miqat yang ditetapkan. Niat haji akan disempurnakan di Mekah (tempat penginapan), kebiasaannya pada 8 Zulhijjah.

Jemaah haji yang melaksanakan haji Ifrad atau Qiran akan berniat haji terlebih dahulu ketika melalui miqat yang ditetapkan. Niat umrah pula akan disempurnakan pada kebiasaannya di Tan’im, Ja’aranah atau Hudaibiyah selepas selesai melaksanakan haji.

Walau bagaimanapun menurut pandangan para ulama, jemaah haji boleh berniat ihram sebelum melepasi kawasan atau sempadan miqat, tetapi yang terbaik adalah sebaik sahaja memasuki/tiba di miqat yang ditetapkan. Ibnu Munzir menjelaskan bahawa semua ulama sepakat mengatakan dibenarkan berniat ihram sebelum miqat.

Bagaimana jemaah haji akan mengetahui miqat manakah yang akan dilaluinya untuk berniat, sama ada niat ihram haji atau umrah?

Jemaah haji perlu mengambil perhatian ia adalah tertakluk kepada jenis haji yang dipilih oleh jemaah haji, iaitu sama ada melakukan haji Tamattu’, Ifrad dan Qiran dan juga ada kaitan dengan jadual penerbangan haji yang akan dikeluarkan oleh TH.

Jika berhajat berniat ihram lebih awal dan contohnya dalam pesawat (bagi kes miqat yang dilalui nanti adalah Qarnul Manazil) maka niat hendaklah dilafazkan setelah empat atau lima jam mengharungi perjalanan udara. Tidak digalakkan berniat terlalu awal contohnya di Kompleks Haji Kelana Jaya atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang.

2. Meninggalkan larangan semasa dalam ihram

Jemaah haji perlu memahami perkara berhubung larangan semasa dalam ihram. Walaupun hanya perkara wajib haji jemaah perlu memberi tumpuan dan perhatian kerana bimbang akan memberi kesan terhadap mencapai matlamat haji mabrur.

Meninggalkan larangan semasa dalam ihram bermaksud setelah jemaah haji berniat ihram sama ada haji atau umrah maka haram melakukan perkara yang ditegah, sekiranya melakukan perkara tersebut maka dikenakan dam menurut syarat-syaratnya. Sekiranya dilakukan juga dengan sengaja maka ia akan memberi kesan dosa.

Dalam pelaksanaan ibadat haji, jemaah akan dikira bebas daripada 10 larangan ihram (no. 1 hingga 10) di atas setelah bertahallul Awwal, iaitu melakukan dua daripada tiga perkara berikut;

i- Melontar Jamrah Kubra

ii- Tawaf dan Sa’ie

iii- Bercukur atau Bergunting

Manakala sekiranya telah melakukan ketiga-tiga perkara di atas maka jemaah haji dikira telah Tahallul Thani dan akan bebas semua larangan ihram.

Ini berbeza dengan pelaksanaan ibadat umrah, iaitu jemaah akan dikira bebas daripada semua larangan ihram setelah selesai melakukan tawaf, sa’ie dan bercukur

Berdasarkan pengalaman penulis, perkara mengenai larangan dalam ihram sering mengelirukan jemaah haji, khususnya dikenakan dam atau tidak, berdosa atau tidak berdosa, sengaja atau tidak sengaja, jika dilakukan dalam keadaan lupa dan sebagainya.

Sekiranya jemaah haji memerlukan penjelasan dan bantuan bagi menyelesaikan permasalahan dan sebagainya mereka dinasihatkan merujuk terus kepada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) yang bertugas di bangunan Penginapan Jemaah Haji Mekah dan Madinah (Pusat Perkhidmatan Maktab dan Zon), jangan malu dan teragak-agak serta elakkan sama sekali menghantar wakil (kawan) untuk bertanya kepada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci.

Sepatutnya jemaah haji yang memerlukan bantuan hendaklah datang bertanya terus kepada PIHTAS. Ini penting bagi mengelak perasaan was-was timbul di kemudian hari.

Sesungguhnya aku berpuasa

MENGUMPAT atau menceritakan keburukan dan keaiban orang lain adalah antara perkara yang dilarang keras ketika berpuasa. Selain mendapat dosa, pahala puasa juga terjejas gara-gara tidak menjaga lidah.

Di zaman teknologi ini, mengumpat tidak hanya terbatas kepada aktiviti mulut, bahkan juga mengumpat dengan jari-jemari. Membuat komen-komen di facebook, twitter, Instagram dan sebagainya juga boleh menyebabkan seseorang terlibat dosa mengumpat.

Menyebutnya demi mengelak jebakan mengumpat

MENGUMPAT bukan hanya daripada mulut, bahkan ia berlaku dengan jari-jemari, menerusi pelbagai media sosial masa kini. - GAMBAR HIASAN

Mengumpat bermakna menyatakan aib seseorang di belakangnya, sama ada dengan perkataan atau perbuatan. Menggunakan isyarat-isyarat tangan atau mata dengan maksud menunjukkan keaiban orang, juga termasuk kategori mengumpat dengan perbuatan.

Orang yang mengumpat dijanjikan Allah dengan balasan seksaan yang pedih. Dosa mengumpat boleh menjadi lebih menyeksakan pelakunya kerana dosa ini tidak akan diampunkan oleh Allah selagi tidak dimaafkan oleh orang yang diumpatnya.

Rasulullah SAW diperlihatkan dengan orang-orang yang mencakar mukanya sendiri ketika baginda diangkat ke langit dalam kisah Israk dan Mikraj. Jibril menjelaskan bahawa itulah orang-orang yang suka mengumpat di masa hidupnya.

Orang yang suka mengumpat juga menghadapi kemungkinan pahalanya habis dibahagi-bahagikan kepada orang-orang yang diumpatnya. Akhirnya di akhirat nanti dia menjadi muflis apabila habis semua pahalanya dibahagikan, dosa orang lain pula yang akan dipindahkan kepadanya.

Perumpamaan yang diberikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran berkaitan orang mengumpat adalah melalui persoalan retorik adakah kamu suka untuk memakan daging saudara kamu yang telah mati? Persoalan ini secara umumnya tidak memerlukan jawapan kerana pembaca maklum akan jawapannya.

Namun dalam ayat ini, Allah SWT memberikan jawapannya iaitu sama dengan jawapan oleh orang yang berakal waras bahawa tentulah kamu tidak suka. Hanya yang tidak waras sahaja yang akan memberikan jawapan sebaliknya.

Demikianlah Allah mengajarkan kepada manusia berkenaan keburukan mengumpat. Sekiranya kita berfikiran waras, tentulah kita tahu betapa buruknya amalan mengumpat.

Lapar dan dahaga

Rasulullah SAW juga mengingatkan supaya kita hanya bercakap perkara-perkara yang baik atau lebih baik diam sahaja. Itu adalah satu cara untuk mengelakkan daripada terjebak dalam dosa mengumpat. Berpuasa juga adalah antara cara terbaik melatih diri menjauhi amalan mengumpat.

Seseorang yang sedar dirinya berpuasa seharusnya menjaga amalan puasanya agar tidak menjadi sia-sia. Rasulullah SAW juga mengingatkan kita tentang berapa ramai orang yang berpuasa yang tidak mendapat sebarang pahala tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga.

Orang yang berpuasa biasa akan berkurangan tenaganya dan kurang aktif bercakap, ini secara tidak langsung mengurangkan risiko mengumpat. Selain itu, seseorang yang puasa benar-benar kerana Allah SWT dan dengan penuh kesedaran menjalani ibadah ini akan terasa di nalurinya bahawa dia perlu menjaga betul puasanya.

Umat Islam diajarkan menyebut “aku berpuasa” apabila diajak melakukan perkara yang dilarang. Kaedah ini boleh dipakai ketika terbuka peluang untuk mengumpat, katakanlah kepada diri “aku berpuasa”. Allah SWT Maha Mengetahui akan niat dan keikhlasan kita dan akan memberi ganjaran terbaik di sisi-Nya.

Setiap individu juga perlu sedar bahawa kita semua tidak sempurna dan masing-masing mempunyai kelemahan dan kekurangan. Adakah kita rela keaiban kita dibuka oleh orang lain? Rasulullah SAW mengingatkan bagi orang yang suka mendedahkan aib orang lain, Allah SWT akan mendedahkan pula aibnya dengan pelbagai cara.

Allah Maha Mengetahui dan tiada siapa dapat menyembunyikan dirinya daripada intipan Allah SWT? Dengan mengingati dan menyedari bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan kita dan di sisi kita juga ada malaikat Raqib dan Atid yang tidak berhenti mencatat segala gerak-geri kita, maka seharusnya kita berasa risau sebelum mengumpat atau membuka aib orang lain.

Tiada siapa yang dapat menjamin tertutupnya aib kita, malah sebaliknya diberi janji bahawa aib kita pula yang akan dibuka. Di bulan Ramadan, penuhilah masa dengan amalan mengaji dan bertadarus. Aktiviti ini secara tidak langsung akan mengurangkan masa-masa bersosial dan aktiviti mengumpat.

Walaupun sukar kerana sudah terlalu biasa dengan amalan mengumpat, namun sekiranya kita kuat berusaha, insya-Allah dimudahkan. Semoga kesan tarbiah Ramadan kali ini benar-benar menjadikan kita mukmin yang bertakwa.