July 10th, 2015

Zakat memecah tembok kemiskinan

KITA kini memasuki fasa terakhir Ramadan. Marilah kita terus mengabdi diri kepada Ilahi, melaksanakan segala ibadah dengan tulus, demi mengejar pahala yang berlipat kali ganda pada bulan ini.

Demikianlah besar hikmah dan mulianya bulan ini. Ia mengajar kita erti berlumba-lumba mengerjakan amal maaruf, amalan kebaikan. Mengajar kita erti mencegah segala kemungkaran.

Dan masa yang sama, mengajar kita erti saling mengingati mereka yang kurang bernasib baik. Semoga segala pengabdian, amalan dan didikan dalam madrasah Ramadan kali ini, boleh kita teruskan sekalipun selepas menjelmanya Syawal nanti.

ZAKAT MENYEMAI 
KEPEDULIAN MANUSIAWI

Dalam Islam kita diajar bahawa dalam setiap harta yang kita miliki terdapat sebahagian hak orang lain. Dan perkara ini diterjemahkan melalui pengeluaran zakat oleh mereka yang mampu dan memenuhi syarat-syaratnya.

Zakat ditetapkan oleh Allah SWT sebagai salah satu Rukun Islam. Dan seringkali kefarduannya disebut berdampingan dengan solat dalam al-Quran. Demikianlah pentingnya zakat.

Perkara ini menunjukkan dengan jelas bahawa Islam menyemai rasa prihatin terhadap sesama manusia. Islam adalah ajaran komprehensif yang mengakui hak individu dan hak kolektif masyarakat secara sewajarnya.

Islam mengakui adanya perbezaan pendapatan dan kekayaan pada setiap orang. Islam mengakui setiap orang mempunyai perbezaan ketrampilan, inisiatif, usaha dan kemampuan. Namun perbezaan itu tidak seharusnya menimbulkan kesenjangan yang terlalu lebar antara yang kaya dengan yang miskin.

Kerana kesenjangan yang terlalu lebar tersebut adalah bersalahan dengan syariah Islam itu sendiri. Tidak sesuai dengan fitrah manusia dan masyarakat. Malah bercanggah dengan konsep keadilan, kesaksamaan dan kebajikan.

Oleh itu, kita mempunyai kewajipan moral untuk memastikan kekayaan dan kelebihan sedemikian tidak hanya berlegar di tangan segelintir orang. Selari dengan ayat 7, Surah Al-Hasyr yang menyebut bahawa ‘supaya harta itu tidak hanya berlegar di kalangan orang kaya di antara kamu’.

Maka Islam menganjurkan penyelesaian yang adil. Jalan yang tidak membebankan. Jalan yang pragmatik. Iaitu perkongsian harta dan pendapatan melalui zakat, infak, hibah dan wakaf. Sejak kecil kita telah dididik tentang zakat. Bahawa kita harus membayar sebahagian kekayaan bersih atau hasil usaha kita apabila apa yang telah kita miliki tersebut melebihi nisab.

Zakat adalah tekad untuk mensucikan masyarakat daripada penyakit kemiskinan tanpa membezakan suku, ras dan kelompok. Dan yang lebih penting, zakat merupakan komitmen seorang Muslim, dalam mensuadayakan masyarakat. Sekali gus mengikis sifat bakhil dan individualistik dalam diri seseorang mukmin.

Maka mereka yang hartawan dan berada harus membelanjakan hartanya menurut amanah yang telah disyariatkan Islam. Membelanjakannya dengan cara yang akan menjamin kepentingan jangka pendek dan jangka panjang ummah. Melakukannya sebagai sebahagian dakwah dan ibadah kita.

Melakukannya untuk mencari keredhaan Allah SWT. Melakukannya dengan berkeyakinan bahawa pembayaran zakat tidak akan mengurangi kekayaan seseorang, sebaliknya membersihkannya.

BERZAKAT BUKAN 
BERSIFAT SEMENTARA

Malangnya, masih ramai yang tidak menunaikan tanggungjawab ini. Masih ramai yang mengambil mudah dan memandang enteng kewajipan berzakat. Barangkali masih ramai yang rendah pengetahuan tentang zakat. Atau barangkali juga, kerana rendahnya kepercayaan dan keyakinan masyarakat untuk menyalurkan zakat melalui institusi milik pemerintah.

Lalu perkara ini menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat kita cenderung menyalurkan zakat secara langsung kepada pihak, yang menurut mereka, berhak menerimanya. Walaupun kita tidak boleh menghalang orang ramai menghulurkan zakat secara terus kepada golongan yang memerlukan. Tetapi kita juga harus sedar bahawa jika trend tersebut berterusan, maka tujuan zakat sebagai dana pengembangan ekonomi pasti tidak tercapai.

Kecenderungan sebegini hanya akan menjadikan zakat tidak lebih sekadar dana sumbangan untuk penggunaan bersifat sementara. Kerana itu, kita mesti memastikan impak dan kesan pemberian dan penerimaan zakat itu dilestarikan. Biar kesannya boleh membantu menyelesaikan masalah kemiskinan dan keperluan ummah. Dan boleh membangunkan ekonomi dan mewujudkan pertumbuhan negeri.

Bukan setakat memenuhi keper­luan golongan fakir di Hari Raya. Sedangkan setelah lebaran berlalu, mereka kembali kepada keadaan asal. Terjatuh semula ke dasar dalam hierarki ekonomi dan status sosial. Kembali terpinga-pinga mencari jalan bagi memenuhi keperluan ekonomi harian mereka yang terhad.

Di Johor, ia mesti menjadi dasar pentadbiran negeri agar pembahagian dana zakat, dilakukan dengan cara yang memberikan keutamaan kepada usaha menjadikan golongan miskin mampu berdikari. Mampu membina kehidupan yang lebih baik dan mampu keluar dari belenggu kehidupan yang daif.

PENGURUSAN LEBIH 
PROFESIONAL

Kerana Islam sangat melarang seseorang menjadi pengemis, justeru, pengurusan dana zakat mesti dilakukan secara profesional dan berkesan. Agar ia bukan sahaja sampai kepada mereka yang memerlukan. Sebaliknya sampai dengan cara terbaik yang membolehkan mereka mengubah kehidupan mereka.

Agensi pungutan zakat mesti mempunyai sasaran. Kita tidak boleh hanya menunggu orang datang membayar zakat. Kita mesti mendidik masyarakat untuk tampil dan membayar zakat, memberi infak dan hibah.

Berlumba-lumba melakukan kebaikan. Bersungguh-sungguh memberi dengan tulus dan ikhlas. Secara sukarela, sebagai suatu budaya dan amalan. Bukan sekadar kemurahan hati yang bermusim.

Sudah sampai masanya kita mempunyai sasaran pungutan dan pengagihan zakat yang berorientasikan pencapaian. Dan mempunyai strategi pengagihan yang mampu menterjemahkan manfaat sebenar zakat dan hibah kepada masyarakat.

Pengagihan yang boleh menggalakkan pertumbuhan industri kecil-mikro umpamanya. Ikhtiar inovatif sebeginilah yang akan mewujudkan ruang berdikari, mengurangkan kadar pengangguran dan akhirnya mampu merapatkan kesenjangan sosio-ekonomi.

Hanya dengan strategi komprehensif sebegini, syiar Islam akan terus dijadikan pedoman dalam menyelesaikan kesulitan urusan hidup manusiawi. Dan maqasid syariah itu dapat dicapai dengan baik.

Justeru, pada kesempatan ini, saya menyarankan satu dokumen strategik untuk membangunkan secara besar-besaran potensi zakat demi masa depan dan kemakmuran umat Islam. Sudah tiba masanya zakat menjadi elemen penting perbendaharaan dan kumpulan sa­sarannya.

Telah sampai waktunya kita menjelaskan strategi kita untuk menjadikan zakat sebagai elemen suadaya ummah, sebagai instrumen membasmi kemiskinan. Dan sebagai saluran yang memungkinkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi berlaku secara inklusif. Atau dalam erti kata mudahnya, kita mesti memberikan dimensi moden kepada zakat dalam sistem ekonomi tanah air. - Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin Utusan Malaysia Rencana Agama 10 Julai 2015

Memperoleh haji mabrur

PADA Bicara Haji minggu lepas, telah dibincangkan dua perkara Wajib Haji dan akan disambung empat lagi iaitu;

3. Mabit di Muzdalifah

Mabit di Muzdalifah bermaksud berada di Muzdalifah selepas separuh malam 10 Zulhijah hingga seketika sebelum terbit fajar (masuk waktu Subuh) hari tersebut. Sebaik-baiknya ialah jemaah haji berada sepanjang malam dalam tempoh tersebut. Namun memadai walau berada seketika sahaja. Sah dan dikira telah mabit bagi jemaah haji yang dibawa dengan bas melintasi Muzdalifah dalam waktu tersebut walaupun tidak menjejak kaki di Muzdalifah.

Jemaah haji akan mula bergerak ke Muzdalifah setelah berwukuf di Arafah. Jarak dari Arafah ke Muzdalifah lebih kurang tujuh kilometer. Jemaah akan bergerak ke sana dengan menaiki bas.

Menjaga enam Wajib Haji dengan penuh disiplin, reda dan ikhlas

MELONTAR perlu dilakukan dengan betul agar tidak melakukan kesilapan. - GAMBAR HIASAN

Setelah tiba di Muzdalifah jemaah haji bolehlah mencari lokasi yang sesuai untuk menunggu atau berehat sebelum masuk waktu mabit (jika tiba awal). Jemaah haji dinasihatkan jangan leka atau terus tidur apabila sampai di Muzdalifah. Kesempatan kita berada di Muzdalifah ini eloklah kita melaksanakan amalan-amalan sunat ketika berada di Muzdalifah.

Adakah dikenakan dam dan berdosa jika tidak bermabit di Muzdalifah ?

Jemaah haji perlu mengambil maklum bahawa meninggalkan mabit di Muzdalifah tanpa uzur syarie adalah berdosa dan dikenakan dam (jenis Tertib dan Taqdir). Begitu pun, terdapat beberapa golongan yang dikecualikan daripada mabit di Muzdalifah tanpa dikenakan dam dan tidak berdosa.

Setelah bermabit di Muzdalifah jemaah haji akan bertolak pula ke Mina. Jemaah akan dibawa ke sana dengan menaiki bas. Jarak antara Muzdalifah ke Mina lebih kurang enam kilometer. Di sini sekali lagi cabaran dan dugaan mungkin datang menyapa jemaah haji. Keadaan letih, lesu, berdebu dan disertakan dengan hiruk-pikuk kenderaan dan sebagainya. Semua faktor ini boleh mencetuskan kemarahan jika kita tidak mempunyai daya kesabaran yang tinggi.

Jemaah haji hendaklah elakkan diri daripada berebut-rebut dan mementingkan diri sendiri ketika menaiki bas dari Muzdalifah ke Mina. Berdasarkan pengalaman penulis terdapat jemaah haji yang seolah–olah sudah tidak dapat mengawal diri dan terlupa bahawa beliau adalah Tetamu Allah yang mulia yang sedang menyempurnakan kewajipan haji, lantaran itu pelbagai sikap negatif mungkin boleh tercungkil daripada diri masing-masing, khususnya semasa berada di Muzdalifah.

4. Mabit di Mina

Setelah tiba di Mina dari Muzdalifah jemaah haji akan ditempatkan dalam khemah masing-masing. Mabit di Mina bermaksud berada di Mina pada malam-malam hari Tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijah.

Jemaah haji yang melaksanakan Nafar Awwal akan bermabit pada 11 dan 12 Zulhijah, manakala bagi jemaah haji yang melakukan Nafar Thani akan bermabit pada 11, 12 dan 13 Zulhijah.

Tempoh Mabit:- Terdapat dua pendapat ulama berhubung tempoh mabit

1- Pendapat Muktamad (al-Asah): Lebih dari separuh malam

2- Pendapat Lemah (Muqabil al-Asah): Memadai berada di Mina seketika masuk waktu Subuh (azan Subuh dilaungkan) (Rujukan al Idhah, al-Majmuk, kasyful lisam)

Bagi jemaah haji dari Malaysia sememangnya bermabit lebih dari separuh malam ketika di Mina kerana sememangnya penempatan jemaah haji Malaysia adalah di kawasan Mina sendiri.

Jemaah haji akan ditempatkan di perkhemahan-perkhemahan yang telah ditetapkan setelah tiba dari Muzdalifah. Suasana perkhemahan sementara di Mina juga tidak kurang hebat ujiannya, oleh itu kekuatan dalaman dan pengharapan yang tinggi kepada Allah diperlukan.

Semua pengalaman ibadat ini pasti dilalui oleh jemaah haji dan ia sudah pasti menjadi kenangan pahit manis dan iltizam yang boleh meningkatkan ketakwaan. Jemaah dinasihatkan agar memperbanyakkan amalan sunat semasa berada di Mina. Elakkan bercakap kosong lebih-lebih lagi mengumpat dan sebagainya.

Adakah dikenakan dam dan berdosa jika tidak bermabit di Mina? Sebagai mana hukum bermabit di Muzdalifah, jemaah haji perlu mengambil maklum bahawa meninggalkan mabit di Mina tanpa uzur syarie adalah berdosa dan dikenakan dam (jenis Tertib dan Taqdir). Namun begitu terdapat beberapa golongan yang dikecualikan daripada mabit di Muzdalifah tanpa dikenakan dam dan tidak berdosa.

5. Melontar Tujuh Biji Anak Batu di Jamrah Kubra pada 10 Zulhijah

Menurut sunnah melontar tujuh biji anak batu di Jamrah Kubra merupakan amalan yang pertama dilakukan oleh jemaah haji pada 10 Zulhijah. Ia merupakan penghormatan bagi Mina.

Masa untuk melontar di Jamrah Kubra bermula selepas separuh malam 10 Zulhijah dan berakhir apabila terbenam matahari (masuk waktu Maghrib) pada 13 Zulhijah.

Perlu diberi perhatian, jangan tersalah tempat lontaran. Pastikan kedudukan Jamrah Kubra diketahui dengan betul, Jamrah Kubra terletak di kedudukan paling akhir sekali. Rujuklah dengan Pembimbing Ibadat Haji terlebih dahulu, ini adalah jalan yang terbaik untuk mengelak daripada melakukan kesilapan.

6. Melontar tujuh biji Anak Batu di ketiga-tiga Jamrah

Melontar anak batu di tiga jamrah iaitu Jamrah Sughra (dahulu dikenali sebagai Ula) Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra (dahulu dikenali sebagai Jamrah Aqabah).

Demikianlah enam perkara Wajib Haji yang perlu diketahui oleh setiap jemaah haji. Dengan sempurna pelaksanaan enam Rukun Haji dan enam Wajib Haji yang ditunaikan dengan penuh disiplin, reda, ikhlas dan penuh pengharapan kepada Allah, insya-Allah kita mohon semoga ibadat haji kita diterima Allah sebagai haji mabrur.

Ini bererti telah sempurna Rukun Islam yang kelima, inilah saat dan detik yang dirindui dan di cita-citakan oleh setiap umat Islam. Semoga ia dapat melahirkan mukmin yang berjaya hidup di dunia dan akhirat.

Jangan ditunda bersedekah

SEMPENA bulan Ramadan umat Islam digalakkan melakukan pelbagai ibadah dan amalan-amalan yang lain seperti bersedekah dan infak wang dan harta bagi mendapatkan 70 kali ganda pahala. Ganjaran pahala yang dijanjikan-Nya sungguh lumayan dan digandakan.

Amalan ini bukan sahaja dapat memperkukuh ekonomi Islam malah dapat membantu fakir miskin serta mereka yang kurang bernasib baik. Bagaimanapun, sedekah dan infak itu mestilah dilakukan mengikut saluran yang betul dan disahkan oleh pihak berwajib seperti majlis agama Islam sesebuah negeri.

Ia mendidik rasa syukur serta menjauhi sifat tamak

BERSEDEKAH membawa banyak pahala terutamanya di bulan Ramadan. - GAMBAR HIASAN

Berkaitan pahala infak Allah SWT berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Wahai Anak Adam! Berinfaklah, pasti Aku akan limpahkan kurniaan-Ku kepadamu. Sesungguhnya Yaminullah (gudang nikmat dan kelebihan-Nya), sangat banyak melimpah-ruah tidak akan susut sedikit pun siang ataupun malam.” (hadis qudsi riwayat Daraquthni daripada Abu Hurairah ra)

Sifat gemar melaksanakan infak dan sedekah ini akan menjauhkan dan menghindarkan sifat tamak dan lokek dalam kalangan umat Islam terutama bagi golongan berada atau yang kaya bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. Mendidik rasa syukur dan berterima kasih. Selain itu, Islam juga menggalakkan umatnya saling membantu antara satu sama lain.

Sementara itu, hal berkaitan sedekah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bersedekah pahalanya 10, memberi hutang (tanpa bunga) pahalanya 18, menghubungkan diri dengan kawan-kawan pahalanya 20 dan silaturahim (dengan keluarga) pahalanya 24.” (riwayat Al Hakim)

Jelaslah, bersedekah membawa banyak pahala terutama di bulan Ramadan. Bersedekah juga dapat mendidik hati ke arah ketakwaan kepada Allah SWT atas rezeki yang dilimpahkan-Nya. Dalam melaksana sedekah dan infak ini umat Islam digalakkan bersedekah dan infak sewaktu sihat dan dalam keadaan yang senang.

Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis. Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, Sedekah yang bagaimana yang paling besar pahalanya?” Nabi SAW menjawab, “Saat kamu bersedekah hendaklah kamu sihat dan dalam keadaan senang dan saat kamu takut melarat tetapi mengharap kaya. Jangan ditunda sehingga roh mu di tenggorok baru kamu berkata untuk si polan sekian dan untuk si polan sekian. (riwayat al Bukhari)

Membanyakkan sedekah pada bulan Ramadan sangat digalakkan terutama bagi mereka yang berada. Bersedekahlah walaupun sedikit tetapi penuh keikhlasan akan memberi pahala dan keberkatan kepada pemberi sedekah.

Sedekah dan infak juga membentuk insan soleh dan bertakwa kepada Allah SWT. Ia juga pernyataan rasa syukur kepada Allah SWT atas rezeki yang dilimpahkan kepada hamba-hamba-Nya.

Tiada batasan

Imam Al-Ghazali pernah menyatakan, dahulukan teman mu daripada diri mu sendiri dalam masalah duniawi, atau paling tidak hendaklah bersedia memberikan bantuan (sedekah) material kepada teman mu yang memerlukannya. Bantulah dengan sekuat tenaga, teman mu yang sedang memerlukan sebelum ia meminta bantuan.

Amalan bersedekah dalam bulan Ramadan ini bukan hanya terbatas kepada wang ringgit malah ia meliputi makanan seperti kuih-muih dan juga hidangan berbuka puasa yang pahalanya sama dengan pahala orang yang berpuasa.

Menurut Muhammad bin Abdullah Al-Mashri, Imam Syafie adalah orang yang sangat dermawan. Sementara menurut Amr bin Sawad Al-Sirji, Imam Syafie orang yang gemar menderma daripada apa yang dimilikinya. Dia pernah berkata; “Aku pernah mengalami kegagalan, tak memiliki suatu apapun, sehingga aku harus menjual semua perhiasan milik isteriku dan puteri kesayanganku.”

Muhammad Al-Sijistani mengatakan: “Imam Syafie pernah tidak memiliki suatu apapun kerana sifat dermawannya.”

Dalam hal ini, Imam Syafie pernah berkata; “Jika kamu tidak boleh bersikap dermawan, maka ingatlah bahawa hari-harimu yang telah berlalu tak akan kembali. Bukankah tanganmu boleh mengepal dan membuka? Apa yang boleh kau harapkan ketika kau sendiri, tatkala bumi mencengkam dirimu dengan kuku besinya? Saat itulah, tentu, engkau berharap untuk dapat kembali ke dunia, pada hal hari-hari itu tak akan pernah kembali.

Sesungguhnya, bersedekah dan menderma daripada harta dan wang lebihan adalah sifat yang sangat mulia dalam kalangan umat Islam terutama pada bulan Ramadan. Lakukan ibadah ini dengan penuh tawaduk dan ikhlas bagi mendapatkan balasan setimpal di akhirat nanti.