July 11th, 2015

Pulanglah, Aidilfitri hanya setahun sekali

WALAUPUN berbaki seminggu lagi, semua orang sudah berkira-kira untuk balik kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pada waktu-waktu sebegini separuh hati dan jiwa sudah berada di kampung. Kecualilah mereka yang tidak ada kampung atau ada kampung halaman tetapi tidak suka balik kampung.

Yang merajuk dengan keluarga dan buah hati pun mahu balik beraya. Meskipun bertahun membawa hati lara, jiwa tetap bergejolak mahu balik setiap kali berkumandang lagu raya, Dari Jauh Kupohon Maaf dan Balik Kampung nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad atau Musafir Di Aidilfitri dendangan Allahyarham S. Jibeng.

Semua orang mahu balik me­nyambut hari besar ini. Pendatang asing yang mencari rezeki di Malaysia pun awal-awal lagi sudah menempah tiket feri, bot, tongkang atau kapal terbang untuk balik. Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang duduk secara haram di sini pun mahu ‘mudik lebaran.’

Bacalah dalam akhbar sehari dua ini, berapa banyak PATI yang ditahan ketika cuba menyusup keluar untuk kembali ke negara masing-masing. Semuanya mahu menyambut lebaran dengan keluarga dan sanak saudara. Pada hari-hari biasa yang ditangkap ialah pendatang yang cuba masuk ke negara ini. Bagaimanapun setiap kali menjelang musim perayaan keadaan menjadi sebaliknya.

Di sesetengah negara banyak juga tragedi yang menyebabkan kematian hanya kerana mahu balik kampung. Mereka berebut-rebut, berasak-asak dan bersesak-sesak menaiki pengangkutan awam seperti bas, bot, feri atau kereta api. Semuanya kerana tidak mahu menyambut hari raya di rumah sewa, stesen bas, di jeti atau di stesen kereta api.

Kopi Panas

KESESAKAN di Plaza Tol Karak adalah pemandangan biasa setiap kali musim perayaan apabila orang ramai mengambil peluang balik kampung. utusan/AZLAN HADI ABU BAKAR

Beberapa tahun dahulu, selalu berlaku kes pelatih di pusat-pusat pemulihan dadah merusuh sehingga membakar asrama menje­lang sambutan hari raya. Khabarnya sa­lah satu sebabnya kerana mahu keluar dan balik beraya! Biarlah dapat beraya sehari dengan keluarga pun tidak mengapa. Selepas itu ditangkap, didakwa dan dijatuhkan hukuman sekali lagi pun sudah tidak kisah. Janji dapat beraya.

Begitulah besarnya ‘dorongan’ balik kampung setiap kali tiba musim hari raya. Ramai rakan dan sanak saudara penulis yang tinggal di ibu kota sering bercerita bagaimana dia ‘membuang masa’ bukan berjam-jam, tetapi berbelas-belas jam di atas jalan raya atau lebuh raya setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri. Sebahagian memandu dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Sebahagian yang lain pula memandu dari ibu kota ke utara. Mereka sanggup meredah ‘kesengsaraan’ ini semata-mata mahu balik kampung.

Ibarat cerita ulang tayang setiap tahun, mereka tidak pernah serik untuk mengharung lagi kesesakan jalan raya atau lebuh raya pada tahun-tahun berikutnya. Memandu dalam keadaan jalan raya sesak sehingga berpuluh-puluh kilometer jauhnya sudah seperti satu ‘festival tahunan.’ Kemeriahan pesta lampu brek yang sebelum ini hanya dapat dilihat di ibu kota sudah dapat dilihat di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) atau jalan Persekutuan ke Kota Bharu.

Perjalanan yang panjang dan meletihkan itu menjadi satu ke­puasan apatah lagi jika dapat tiba sebelum waktu berbuka pada hari terakhir berpuasa. Lebih puas jika dapat berbuka beramai-ramai dengan ibu bapa dan adik-beradik. Atau sekurang-kurangnya tiba sebelum solat sunat Aidilfitri bermula.

Cerita perantau terpaksa beraya di dalam kereta di atas jalan raya berlaku setiap tahun. Sesetengah­nya tiba di kampung ketika sambutan sudah hampir memasuki hari raya kedua, walaupun bertolak sehari sebelumnya! Mereka tidak peduli berapa puluh jam terpaksa memandu kerana itu bukan satu masalah. Apa yang penting tiba di kampung halaman dengan selamat dan dapat beraya.

Hari raya bukan sebarangan hari. Hari besar ini diraikan sebagai hari kemenangan melawan hawa nafsu, hari penyatuan dan pengukuhan silaturahim. Hari ini menjadi lebih bermakna apabila dapat disambut bersama ayah dan bonda di kampung.

Keseronokan berhari raya adalah apabila dapat mengucup tangan kedua ibu bapa, bertemu adik-beradik, saudara-mara dan rakan taulan. Bertanya khabar sambil bermaaf-maafan apatah lagi kalau berpuluh tahun tidak bertemu adalah nikmat yang tiada bandingannya.

Justeru kepada mereka yang ada kampung, baliklah beraya tahun ini. Jangan ambil peduli ‘nasihat’ seorang pakar kewangan ‘hari raya, jangan balik kampung’ sebagai petua berjimat cermat. Anggaplah nasihat ini datangnya daripada orang yang tidak ada kampung dan tidak tahu betapa nikmatnya berhari raya di kampung!

Jangan abaikan pembayaran zakat

KURANG daripada seming­gu lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dalam tempoh itu, antara benda yang paling menjadi tumpuan selain daripada membeli-belah pada saat-saat akhir, ialah mencari lokasi membayar zakat fitrah.

Baru-baru ini isunya sama ada perlu dibayar di negeri tempat mencari rezeki atau dibolehkan untuk menunaikannya di negeri kelahiran semasa balik beraya di kampung, telah menjadi viral di laman sosial. Seperti biasa, ‘ulama papan kekunci’ pun pakat-pakatlah mengeluarkan fatwa masing-ma­sing, tanpa merujuk kepada sumber yang sepatutnya.

Mengulas perkara ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan bahawa menurut pandang­an ulama-ulama muktabar, zakat fitrah wajib dibayar berdasarkan di mana seseorang itu berada ketika ma­suknya waktu wajib untuk menu­naikannya - bermula malam raya sehingga sebelum solat hari raya.

Walau bagaimanapun, melihat kepada realiti semasa, beliau lebih cenderung kepada pendapat untuk mengawalkan sedikit masa pembayaran sama ada sehari atau dua hari mengikut apa yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah SAW.

“Ketika pembayar itu masih berada di tempat kerja dan belum pulang ke kampung, lebih elok ba­ginya untuk bayar di tempat kerja kerana bersifat yakin sedang­kan kepulangannya ke kampung masih lagi dalam bentuk sangkaan yang mungkin tidak berlaku.

“Pembayaran awal boleh menyelesaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan tidak tergopoh-gapah atau mungkin berlakunya sebarang halangan yang menyebabkan terlepas untuk membayarnya pada waktu wajib,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengenai waktu diwajibkan zakat fitrah, wujud khilaf antara ulama iaitu Mazhab Hanafi mewajibkannya apabila keluarnya fajar pada hari raya, manakala mazhab Shafie dan Hanbali berpendapat bermula dengan tenggelamnya matahari pada akhir Ramadan (malam raya).

Berkaitan dengan hukum membayar zakat sebelum waktu wajib, Zulkifli berkata terdapat khilaf iaitu Mazhab Maliki dan Hambali berpendapat harus mendahulukannya berdasarkan kepada kenyataan Ibn Umar RA, “Mereka dalam kalangan sahabat menunaikan zakat fitrah sebelum hari raya sehari atau dua hari.”

“Dalam Mazhab Shafie zakat fitrah sunat dibayar sebelum solat hari raya dan makruh melewatkannya sehingga selesai solat. Apa yang penting ialah zakat itu wajib dibayar jangan sesekali terlupa,” katanya.

Untuk memudahkan umat Islam, agensi pungutan zakat seluruh negara lazimnya membuka kaunter-kaunter pembayaran zakat di kawasan strategik yang menjadi tumpuan ramai, namun masih terdapat segelintir yang cuba membuat ‘kelainan’ iaitu dengan membayar sendiri zakat kepada asnaf atas alasan tindakan itu lebih telus, seolah-olah mempertikaikan kredibiliti agensi zakat.

Ditanya mengenai kecenderung­an itu, Zulkifli menjelaskan bahawa perkara asas yang paling penting ialah individu terbabit mengeluarkan zakat fitrah yang diwajibkan ke atasnya.

“Tetapi apabila pemerintah te­lah menetapkan umat Islam di negara ini perlu membayarnya melalui agensi zakat seperti Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), maka kita kena faham bahawa mentaati kerajaan dalam perkara yang tidak berdosa hukumnya adalah wajib.

“Tambahan pula kutipan dan agihannya dilakukan secara penuh sistematik, cekap dan telus dengan segalanya mempunyai laporan lengkap. Kita ini kadang-kadang atas dasar kasihan apabila didatangi ‘asnaf’ terus menghulurkan tanpa usul periksa.

“PPZ ini mempunyai keupayaan untuk memeriksa kredibiliti asnaf termasuk mempunyai data yang boleh ‘menyuluh’ penerima zakat sama ada layak atau sebaliknya. Ia juga dipantau oleh Majlis Perundingan Hukum Syarak MAIWP yang dianggotai oleh mufti, tokoh-tokoh agamawan dan tokoh masyarakat,” katanya.

Mengenai segelintir agensi zakat negeri lain yang seperti ‘melanggar sempadan’ apabila membuat promosi kepada anak negeri yang be­kerja di luar terutamanya Wilayah Persekutuan untuk membayar zakat pendapatan kepada mereka.

Zulkifli berkata:” Saya syorkan bayarlah berdasarkan kepada nege­ri tempat bekerja. Kena faham setiap negeri ada majlis agama Islam masing-masing, sebagaimana kita mahu orang hormati majlis agama kita, maka begitu juga de­ngan pihak sebelah sana.

“Apa yang penting keluarkanlah zakat dalam keadaan tenang, harap jangan timbul isu rebut-merebut, berlapang dada dan elakkan bermasam muka apabila bertembung.”

Sementara itu, ditanya mengenai kriteria utama kenapa syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan syarikat milik kerajaan (GLC) perlu membayar zakat perniagaan mereka, Mufti Wilayah Persekutuan itu menegaskan bahawa mana-mana syarikat berkenaan yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan tidak dikenakan zakat.

“Tapi bagi yang pegangan sahamnya turut melibatkan pihak selain kerajaan, zakat dikira berdasarkan kepada peratus milikan itu (bukan kerajaan). Tabung Haji walaupun milik kerajaan tetap kena bayar zakat kerana pendepositnya adalah rakyat,” katanya.

Zakat itu terbahagi kepada dua, pendapatan dan fitrah. Amat menyedihkan kerana terdapat segelintir umat Islam menganggap zakat pendapatan tidak wajib ditunaikan melainkan mereka benar-benar kaya. Sebahagian lagi menganggap apabila menunaikan zakat fitrah semasa bulan Ramadan bermakna tanggungjawabnya sebagai Muslim sebagai sudah selesai

Tegas Zulkifli, tanggapan bahawa zakat merugikan pembayarnya adalah salah kerana maksud zakat dari segi bahasa ialah bersih, suci, subur, berkat dan berkembang, sekali gus membawa maksud tersirat membersihkan harta dan diri orang kaya daripada sifat bakhil.

Umat Islam juga dinasihatkan supaya menjadikan pembayaran zakat sebagai agenda paling utama, bukannya agenda ke-10 atau 11, sebagaimana Islam itu tertegak pada lima rukun iaitu mengucap dua kalimah syahadat, mendirikan sembahyang, berpuasa, menunaikan zakat dan haji.

“Antara keistimewaan zakat yang tidak dapat ditengok dengan mata kasar ialah keberkatan, ia tidak terhad kepada diri sendiri sahaja tetapi turut membabitkan harta benda, kehidupan dan keluarga - semua sekali,” katanya.

Justeru, beliau berkata, orang ramai tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana tidak membayar zakat, mungkin berpunca kerana kurangnya pendedahan dan jawap­annya pihak berkuasa zakat perlu lebih kerap turun padang.

“Pihak autoriti seperti PPZ MAIWP sebagai contohnya perlu serlahkan setiap kebaikan yang dibuat dalam laman sosial, bukan untuk berbangga diri tetapi bagi memberi kefahaman dan pengetahuan kepada orang ramai tentang apa yang telah dizakatkan, disedekahkan, dihadiahkan kepada baitulmal telah diagihkan kepada asnaf,” katanya.

Berikut adalah talian zakat PPZ MAIWP (1-300-88-5757), Talian Bebas Tol Baitulmal Wilayah (1-800-88-5222), Talian Jejak Asnaf Baitulmal Wilayah (012-5183614/012-5127614), web/portal PPZ (www.zakat.com.my), Facebook PPZ (www.facebook/myzakat) dan orang ramai juga memuat turun aplikasi iZakat di AppStore dan GooglePlay. -  Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana Agama 11 Julai 2015