July 12th, 2015

Prinsip Tabayyun lawan Fitnah

Kita masih ada beberapa hari sahaja lagi berbaki sebelum meninggalkan Ramadan bulan tarbiyyah dan ibadah yang penuh berkat. Hari-hari yang tersisa ini seharusnya diambil kesempatan sepenuhnya untuk kita menggandakan ibadah bagi menjadikan kita benar-benar manusia bertakwa sebagaimana matlamat Ramadan yang digariskan al-Quran.

Namun melihat suasana perdebatan di dalam ruang-ruang media sosial hari ini, seakan-akan manusia sudah lupakan Tuhan bahkan tidak lagi mempedulikan keberkatan Ramadan.

Malan-malam terakhir yang menjanjikan seribu kebaikan juga seolah-olah tidak dipedulikan lantaran begitu galak berdebat di ruang-ruang media tentang aneka isu yang hakikatnya terdedah kepada tohmah dan fitnah.

Memang benarlah telahan Nabi SAW lebih 1,400 tahun lalu yang sudah pun menggambarkan suasana yang disebut berulang kali dengan istilah "zaman fitnah".

Bahkan hakikatnya fitnah zaman moden dengan kecanggihan teknologi maklumat tidak lagi berlegar secara tradisi melalui pancaindera mulut semata-mata, malah berkembang hebat dengan menggunakan jari-jemari.

Ternyata banyak isu yang dibangkitkan berlegar seputar maklumat yang hangat disebarkan dan dibahaskan di dalam media-media sosial. Malah kebanyakan pandangan yang disuarakan hanya berpandukan andaian-andaian mahupun maklumat-maklumat separa masak yang belum tentu asas kebenarannya.

Apa yang dapat dirumuskan zaman kehebatan media sosial sekarang, maklumat dan fitnah hanya di hujung jari. Bahan fitnah juga tidak memerlukan masa lama untuk tersebar luas hanya dengan menekan butang mahupun papan kekunci.

Kecanggihan pelbagai peralatan IT seperti telefon pintar dengan dibantu perisian masa kini seperti Whatsapp, Facebook, Twitter, Flicker, Instagram, blog, laman sesawang dan banyak lagi turut membantu satu-satu maklumat sampai dengan hanya menggunakan jari-jemari tanpa memerlukan kudrat, wang ringgit mahupun masa yang panjang.

Mungkin benarlah telahan Nabi SAW bahawa umat kini berada pada zaman fitnah yang besar sehingga diwasiatkan berkali-kali dalam banyak hadis keperluan untuk umat tetap tegar berpegang prinsip al-Quran dan as-Sunnah.

Teliti

Salah satu prinsip penting yang dipasakkan dalam al-Quran buat pegangan orang beriman dalam mendepani zaman fitnah seperti hari ini ialah tabayyun.

Tabayyun ialah prinsip dan akhlak orang beriman yang merujuk kepada amalan meneliti dan menyelidiki sesuatu berita, tidak tergesa-gesa dalam membuat kesimpulan sebelum dipastikan keabsahan dan kesahihan berita tersebut.

Prinsip ini dipertegaskan Allah SWT dalam al-Quran melalui surah Al-Hujurat, ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti (tabayyun), agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan menyesal atas perbuatanmu itu.”

Ayat ini merupakan ayat perintah kepada setiap yang mengaku beriman agar sentiasa menyelidiki sesuatu berita yang datang agar tidak terjerumus ke dalam kancah perbuatan atau tindakan yang menimbulkan dosa sehingga menatijahkan penyesalan akibat keputusannya yang tidak adil atau merugikan pihak lain.

Tabayyun juga membawa pengertian agar umat sentiasa teliti dan berhati-hati dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara.

Imam as-Syaukani rahimahullah berkata, “Yang dimaksud dengan tabayyun ialah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tasabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Fathul Qadir, 5:65).

Ia seiring dengan disiplin dan tradisi keilmuan Islam yang memerlukan seorang cendekiawan dan ulama memperhalusi satu-satu permasalahan ilmu dengan menggunakan metadologi kajian yang objektif, sistematik, relevan dan sah. Adab atau sikap yang terkait dengan tabayyun agar tidak terjerumus dalam kancah fitnah termasuklah juga mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahas aib dan membahayakan pemikiran.

Sebab itulah dalam surah al-Hujurat juga, prinsip tabayyun diseiringkan dengan ayat yang menuntut umat bersangka baik dan tidak mudah menjatuh hukum atau kesimpulan sebagaimana yang disebut ayat 12 dalam surah yang sama:

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa”.

Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran untuk sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh dalam membuat kesimpulan akan sesuatu perkhabaran.

Berhati-hati

Kegagalan mengamalkan tabayyun akan menatijahkan musibah kepada diri dan ummah sehingga membawa kepada penyesalan diri yang teramat di dunia dan akhirat. Inilah diisyaratkan Allah dalam surah al-Hujurat ayat keenam sebagaimana ulasan di atas.

Justeru dalam berhadapan dengan zaman fitnah dengan bantuan teknologi maklumat yang begitu canggih masa kini, umat seharusnya lebih berhati-hati dan mengamalkan prinsip tabayyun sebelum menyebarkan mahupun berkongsi satu-satu berita.

Dalam senario masa kini tatkala begitu banyak lambakan maklumat hingga menjadikan kita keliru antara benar atau salah, adalah lebih baik kita kembali kepada prinsip Islam.

Ini supaya kita tidak mudah menjatuhkan sebarang kesimpulan apatah lagi untuk menyebarkan maklumat yang boleh jadi fitnah yang memudaratkan.

Apa yang perlu lebih digeruni kiranya kita jatuh muflis di akhirat lantaran menjadi agen penyebar fitnah mahupun mudah membuat tuduhan dan tohmah tanpa tabayyun sebagaimana hadis Nabi SAW:

“Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat: “Adakah kamu semua mengetahui siapa itu orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis di sisi kami adalah orang yang tidak memiliki dirham dan harta benda”. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis dari kalangan umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan (pahala) solat, puasa, dan zakat, dan dia juga datang dengan (dosa) mencaci maki orang, menuduh (memfitnah) orang, memakan harta orang (dengan jalan yang salah), menumpahkan darah orang (bukan dengan jalan syarak), memukul orang (dan sebagainya). Maka diberikan pahala-pahalanya kepada orang sekian, dan pahala-pahalanya kepada orang sekian (kerana perbuatan buruknya terhadap orang lain) sebelum diselesaikan urusannya, akan diambil dosa-dosa mereka (iaitu orang-orang yang diperlakukan perbuatan buruk di dunia), kemudian dosa-dosa itu dilemparkan ke atas orang tadi, kemudian dia dihumbankan ke neraka”. (Hadis Riwayat Muslim).

Mudah-mudahan Ramadan yang berbaki ini dapat mengembalikan kita kepada penghayatan makna takwa yang diungkapkan berulang-kali oleh Allah sebagai manifestasi kejayaan berpuasa.

Ini termasuklah menzahirkan akhlak al-Quran dalam menangani sesuatu berita berteraskan prinsip tabayyun dan mengelakkan prasangka ‘dzan’ sebagaimana yang digariskan dalam Surah al-Hujurat.

Jika setiap warga mengamalkannya sudah tentu negara akan lebih didominasi dengan aura-aura positif yang penting untuk membangunkan masyarakat yang kuat dan berakhlak. - Dr. Asyraf Wajdi Dusuki Utusan Malaysia Rencana Agama 12 julai 2015

Rebut ganjaran pahala 83 tahun

Umat Nabi Muhammad SAW beruntung kerana walaupun purata jangka hayat hidup adalah sekitar usia 60 ke 70 tahun tetapi Allah SWT menyediakan satu malam yang mana jika beribadat padanya akan mendapat pahala lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam itu disebut sebagai lailatul qadr.

Demikian Pemurahnya Allah kepada umat nabi akhir zaman. Bayangkan jika dalam sepanjang hayat, kita dapat bertemu dan beribadat 20 kali pada malam al-qadr. Perkiraan mudahnya, kita sudah mendapat pahala seolah-olah beribadat selama 16,600 tahun. Lumayankan?


PADA 10 terakhir Ramadan, bilangan yang berjemaah di masjid tidak sebanyak pada awal Ramadan. - Gambar hiasan.

Malangnya, masih ada yang tidak teruja dan tidak beriman dengan janji Allah ini. Sebab itu, banyak masjid dan surau yang sepi dalam 10 terakhir Ramadan. Sepatutnya, ketika inilah kita berlumba-lumba memenuhi masjid dan surau untuk solat berjemaah termasuk tarawih.

Malangnya, ramai yang tewas. Fokus beribadat sudah lari. Masjid bertukar sepi sebaliknya pusat beli-belah dikerumuni.

Apa lagi yang menjadi batu penghalang umat Islam menumpukan ibadat terutamanya qiamullail pada 10 malam terakhir Ramadan? Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Carilah lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam terakhir di bulan Ramadan. (Riwayat Muslim).

Ramai dalam kalangan kita yang memberi alasan sibuk dan letih sebagai punca tak larat hendak berqiamullail. Soalnya, adakah kita lebih sibuk daripada Nabi SAW. Ibadat qiamullail adalah kegemaran Rasulullah SAW dan para sahabat.

Saidatina Aishah r.a. pernah berkata: Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda bersolat dalam keadaan duduk.

Biar apa pun keadaannya, usahakan sekurang-kurangnya kita tunaikan dua rakaat solat tahajud. Kemudian bacalah al-Quran, berselawat, berzikir, bermunajat dan sebagainya. Hendaknya jangan dibiarkan 10 malam terakhir Ramadan itu berlalu begitu sahaja. Sebabnya, belum pasti kita akan bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan ini pada tahun depan.

Ramadan juga adalah bulan istimewa. Sebabnya, kita sudah dikira melakukan qiamullail apabila kita solat berjemaah bermula Isyak, tarawih dan witir. Sedangkan dalam bulan-bulan lain, kita perlu tidur dahulu sebelum boleh berqiamullail. Justeru bagi mereka yang "sibuk" sangat, usahakanlah sekurang-kurangnya agar dapat melakukan solat sebagaimana yang tersebut.

Ganjaran

Hal ini dijelaskan menerusi hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Siapa yang solat bersama imam sampai imam selesai, maka ditulis untuknya pahala qiam satu malam penuh. (Riwayat Tirmidzi).

Ungkapan Nabi SAW "solat bersama imam sampai selesai" menunjukkan yang menjadi anjuran kepada kita adalah solat tarawih bersama imam dari awal sehingga selesai solat witir.

Justeru, marilah kita menjadi orang yang cerdik dalam mengatur strategi bagi memperoleh pahala yang semaksimum mungkin sepanjang Ramadan. Hadis ini memberi khabar gembira kepada makmum yang setia bersama imam sehingga selepas solat witir dengan mendapat ganjaran pahala beribadat sepanjang malam.

Sepatutnya, kita yang diberi kesempatan berada dalam Ramadan di negara yang aman damai ini tidak mensia-siakan peluang yang ada. Kalau mampu, tambah dengan solat tasbih, solat taubat dan solat hajat. Ini supaya kita tidak menjadi orang yang merayu-rayu kepada Allah agar dikembalikan ke dunia ini walaupun sekejap untuk lakukan kebaikan. Ketika itu semuanya sudah tidak berguna.

Ingatlah peringatan Allah yang bermaksud: Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (Sajdah: 12)

Bagi suami dan ayah, jika sudah bangun untuk beribadat waktu malam, jangan dilupakan isteri dan anak-anak. Kejutkan juga mereka agar sama-sama beroleh keberkatan dan ganjaran yang dijanjikan dalam malam al-qadr itu. Marilah kita mencontohi Nabi SAW yang akan mengejutkan ahli keluarganya pada 10 malam terakhir Ramadan untuk beribadat kepada Allah.

Seperkara yang perlu diberi perhatian adalah keikhlasan kita dalam melakukan segala ibadat sepanjang Ramadan. Ganjarannya sangat hebat sebagai mana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Barang siapa yang menghidupkan malam-malam Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Jom memburu "Bonus Akhirat"

Nilai manusia, sama ada baik atau buruk diukur dengan dua perkara sahaja. Pertama, ketakwaan kepada Allah SWT. Kedua, akhlak yang baik dengan manusia. Kalau kita hebat macam mana sekali pun, tetapi tidak bertakwa, di akhirat nanti ketika di sisi Allah SWT, kita tidak ada nilai sama sekali. Sebab kekayaan, harta, kedudukan atau pangkat yang kita miliki di dunia, yang menjadikan nilai hidup kita tinggi di mata manusia, semuanya akan ditinggalkan apabila kita mati. Jasad kita dibawa masuk ke liang lahad hanya dengan sehelai kain kafan, hanya dosa dan pahala yang kita bawa bersama untuk menghadap Allah.

Oleh sebab itulah kita perlu merancang kehidupan kita untuk dua kehidupan, iaitu merancang corak kehidupan dan merancang corak kematian. Sebagaimana kita merancang matlamat kehidupan kita di dunia, begitu jugalah kita merancang matlamat kehidupan di akhirat. Antara kepentingan dunia dan akhirat perlu seimbang, bahkan sepatutnya dilebihkan persediaan hidup di akhirat, kerana itulah kehidupan kekal kita, sedangkan dunia ini hanya kehidupan sementara.

Kita kini berada dalam minggu terakhir Ramadan, (bulan memohon keampunan dan bulan beribadah), yang perlu kita rancang dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak terlepas mendapatkan "bonus akhirat" (pahala) yang Allah sediakan melalui malam lailatulqadar. Analoginya, semua orang yang bekerja mengharapkan mendapat bonus dan ternanti-nanti berapakah jumlah bonus yang diberikan oleh majikan pada hujung tahun, sebagai balasan baik atas usaha kerja keras kita.

Demikian juga, kita akan sanggup bertungkus-lumus dan gigih bekerja untuk mendapatkan kenaikan pangkat supaya pada akhir perkhidmatan, kita mendapat tangga gaji yang tinggi. Hal ini sanggup kita lakukan dengan harapan, apabila kita bersara kita akan mendapat duit persaraan yang besar, sebagai jaminan hidup selesa selepas persaraan. Sebagaimana kita sanggup bersusah payah berusaha untuk mendapatkan "bonus dunia", begitu jugalah sepatutnya usaha kita untuk mendapatkan "bonus akhirat", yang ditawarkan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadan ini, melalui 10 malam terakhir Ramadan, yang menjadi kemuncak buruan orang yang beriman dan bertakwa.

Berusaha

Kajian saintifik mendapati, orang yang menulis "matlamat utama" hidupnya akan lebih berjaya mencapai cita-citanya, berbanding dengan orang yang tidak tahu apakah "matlamat utama" hidupnya. Umpama kita bermain bola tidak ada tiang gol, maka kita menendang sesuka hati tanpa hala tuju dan sasaran untuk matlamat mencapai kemenangan. Kita sepatutnya membuat rancangan amalan kita untuk menjadi orang yang dicintai Allah sebagai matlamat utama hidup, kerana perlu berusaha untuk mendapatkan kasih Allah SWT.

Tanda Allah sayang dan menganugerahkan hidayah kepada seseorang itu adalah pertama, apabila kita suka berbuat baik. Kedua, apabila Allah kurniakan kefahaman dalam agama. Ertinya audit diri kita, kalau sukar memahami pelajaran agama, kenalah banyakkan bertaubat. Mungkin Allah tidak sayang dan reda dengan kita, kerana itu digelapkan-Nya hati kita hingga tidak tembus cahaya iman. Ketiga, apabila akhlak kita semakin baik. Iaitu, jika semasa muda "kesedaran keegoan" kita tinggi, (panas baran, pemarah, berlagak, suka menunjuk-nunjuk, dendam dan sifat-sifat negatif yang lain). Tetapi sebaliknya, apabila usia semakin meningkat sifat kita bertukar kepada "kesedaran ketuhanan" yang tinggi, (sabar, tenang, berlembut hati, pemaaf dan sifat-sifat positif yang lain).

Jom audit diri, adakah kita semakin berubah menjadi bertambah baik atau sebaliknya.

Jadikan Ramadan ini sebagai satu transformasi untuk membangunkan keperibadian kita. Selama sebulan kita telah "disekolahkan" melalui "madrasah Ramadan", alangkah sayangnya jika segala disiplin kehidupan yang telah kita lalui dalam bulan mulia ini, tidak kita teruskan untuk bulan-bulan seterusnya.

Empat perkara penting yang dididik melalui ibadah berpuasa, yang perlu menjadi disiplin kehidupan harian kita untuk bulan seterusnya selepas Ramadan ini. Pertama, puasa mendidik kita menjaga kesihatan fizikal, dengan cara mengawal pemakanan kita. Apabila kita tidak makan pada siang hari, limpa dan organ-organ lain dalam tubuh kita akan mengeluarkan bahan glukosa yang lama disimpan dalam tubuh kita. Selain boleh mengawal berat badan, berpuasa dapat mengawal gula dalam darah bagi pesakit diabetes, bahkan baik juga untuk pesakit jantung koronari yang boleh disebabkan oleh hiperlipidemia (tinggi kolesterol).

Kedua, puasa bagus untuk kecerdasan minda. Bagi menjaga kesempurnaan ibadah puasa, kita mengelakkan minda daripada berfikir yang negatif dengan membaca berita negatif dan sensasi, yang menjadi racun kepada minda, tetapi sebaliknya kita penuhkan minda kita dengan banyak membaca al-Quran. Ketiga, puasa mendidik kita meningkatkan hubungan silaturahim dengan banyakkan bersedekah, lebihkan memberi daripada menerima, serta sentiasa berikhlas hati dan bersangka baik dengan orang sekeliling kita. Keempat, puasa mendidik kita dari segi pengurusan kewangan. Antara contohnya, dengan iman kita dapat mengawal nafsu daripada membazir di bazar Ramadan dengan membeli secara berpatutan berdasarkan keperluan kita dan ahli keluarga. Empat disiplin kehidupan yang diperoleh melalui "madrasah Ramadan" ini, memberikan kita didikan bersepadu yang bermanfaat positif dari segi fizikal dan jiwa kerohanian.

Sempena bulan keampunan ini marilah kita bersujud kepada Allah, mohon keampunan kepada-Nya; sucikan hati kita dengan istighfar dan harumkan jiwa kita dengan tasbih. Jom kita renung jawapan seorang ulama, Ibnu al-Jauzi apabila ditanya manakah yang lebih penting antara istighfar dengan tasbih. Menurut beliau, pakaian yang kotor itu lebih memerlukan sabun daripada minyak wangi. Istighfar itu ibarat sabun, manakala tasbih umpama minyak wangi. Maknanya daripada analogi ini, hati kita yang kotor ini lebih memerlukan sabun daripada minyak wangi.

Orang yang memburu "bonus akhirat", maknanya kita telah meletakkan "matlamat utama" dalam mendapatkan sebanyak mungkin pahala melalui ibadah berpuasa dan ibadah-ibadah lain, sejak hari pertama Ramadan lagi. - Dr Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana Agama 12 Julai 2015

Kekeliruan imsak dan akhir sahur

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, tahun ini kita masih lagi diizinkan untuk bertemu dengan Ramadan. Maka hendaklah Ramadan kali ini menjadi motivasi kepada kita dengan memanfaatkan segala kebaikan dan amal soleh seolah-olah inilah Ramadan kita yang terakhir.

Dan di antara kebaikan dan amal soleh dalam bulan Ramadan yang paling besar adalah melaksanakan ibadat puasa itu sendiri sesuai dengan sunah Nabi SAW.

Apa yang dilakukan dan disuruh oleh Nabi dalam berpuasa itulah yang terbaik manakala yang tidak dilakukan oleh Nabi dan tidak disuruh itu bukanlah sunah baginda.


Semua orang Islam mengetahui bahawa puasa bermula dengan terbit matahari - masuk waktu Subuh dan berbuka selepas tenggelamnya matahari yakni masuk waktu Maghrib.

Namun, takrif puasa yang mudah difahami ini jika dilihat kebanyakan orang Islam yang berpuasa terdapat perbezaan praktikal dengan takrif puasa ini.

Tiada istilah imsak

Misalnya, sudah menjadi kebiasaannya orang Islam hari ini imsak ketika bersahur iaitu berhenti 10 minit sebelum masuk waktu Subuh dan beriktikad pada tempoh masa 10 minit ini tidak boleh lagi menjamah makanan dan perlu berhenti serta-merta. Lebih parah lagi bersangka batal puasa seseorang seandainya masih makan dan minum dalam tempoh imsak ini.


Benarkah dakwaan ini? Apakah ada sandaran daripada Nabi? Pada pemahaman penulis, amalan imsak ini tidak menepati petunjuk dan sunah Nabi.

Buktinya di antara sunah dan dianjurkan Nabi ketika bersahur untuk berpuasa adalah dengan melewatkan sahur seperti hadis Nabi yang bermaksud: “Tiga perkara adalah akhlak kenabian; mempercepatkan buka puasa, melewatkan sahur dan meletak tangan kanan atas tangan kiri dalam solat.” (Riwayat Al-Thabarani, dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih al-Jami’, no. 3038)

Dan ia dikuatkan lagi dengan hadis daripada Zaid yang ditanya oleh Anas kepadanya, bahawa Zaid mengatakan jarak Nabi dan sahabat, mereka bersahur sebelum waktu Subuh dalam tempoh 50 ayat al-Quran dibacakan.

Hal ini seperti terkandung dalam hadis Zaid yang berbunyi: Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh).”

Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama sahur antara azan dan sahur tersebut?” Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dua hadis di atas jelas menunjukkan bahawa tiada petunjuk daripada Nabi yang memberhentikan makan dan minum dalam tempoh tertentu sebelum masuk Subuh.

Hal ini dibahaskan oleh Imam Ibnu Hajar di zamannya lagi dengan mengatakan: “Di antara bidaah yang mungkar ialah apa berlaku di zaman ini iaitu melaungkan azan kedua sebelum waktu Subuh dengan anggaran satu pertiga jam pada bulan Ramadan, di samping memadamkan pelita yang dijadikan tanda pengharaman makan dan minum bagi mereka yang ingin berpuasa.

Perbuatan ini dianggap satu usaha berjaga-jaga dalam ibadat. Perkara ini tidak diketahui kecuali oleh segelintir manusia. Perbuatan ini juga menarik mereka untuk tidak melaungkan azan kecuali selepas terbenamnya matahari seketika untuk memastikan waktu pada sangkaan mereka.

Dengan ini mereka melewatkan berbuka dan mempercepatkan bersahur dan mereka menyalahi sunah. Disebabkan inilah kebaikan menjadi sedikit dalam kalangan mereka dan keburukan menjadi banyak di antara mereka. Allah jualah yang dipohon pertolongan.” (Lihat Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Baari, 4/199)

Azan ketika sahur

Lebih jelas bukti yang menunjukkan tiadanya imsak dalam Islam ini walau apa sekalipun matlamatnya adalah hadis Nabi yang melarang seseorang berhenti ketika bersahur walaupun azan Subuh sudah berkumandang.

Kata Nabi yang bermaksud: “Sekiranya seorang daripada kamu mendengar azan sedang bekas makanan di tangannya, janganlah dia letakkan sehingga dia selesai menghabiskan apa yang perlu.” (Riwayat Abu Daud, Dinilai hasan sahih oleh Syeikh al-Albani)

Maka yang sahih dan menepati sunah bersahur untuk berpuasa ini adalah tiada waktu imsak.

Berhentilah sebelum azan tanpa perlu dibataskan masa tertentu, itupun terdapat rukhsah dan keringanan sekiranya terdengar azan selesaikanlah makan dan minum barulah berhenti dan teruskan berpuasa.

Yahudi lewatkan berbuka

Ketika berbuka pula, disunahkan pula kita berbuka puasa dengan segera jangan melewatkannya seperti hadis Nabi yang berbunyi: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka segera berbuka puasa.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hal ini kerana Islam adalah agama fitrah dan berbuka awal menepati fitrah insan di samping anjuran Nabi kepada umatnya untuk berbeza dengan orang Yahudi yang berpuasa akan melewatkan berbuka seperti perkataan Nabi dalam hadis yang lain: “Agama ini akan senantiasa menang selama manusia menyegerakan berbuka, kerana orang Yahudi dan Nasrani mengakhirkannya.” (Hadits Riwayat Abu Dawud 2/305, Ibnu Hibban 223, dengan sanad yang Hasan)

Tetapi ada juga di sana segolongan manusia berasa warak kepada Allah dengan melewatkan berbuka puasa dan berasa hina jika berbuka awal seperti golongan Syiah yang sesat.

Mereka suka melewatkan berbuka puasa menanti sehingga nampak bintang di langit padahal sahih daripada Nabi agar jangan berbuka sehingga kelihatan bintang di langit.

Kata Nabi yang bermaksud: “Umatku akan senantiasa dalam sunahku selama mereka tidak menunggu bintang ketika berbuka puasa.” (Hadits Riwayat Ibnu Hibban 891 dengan sanad sahih)

Jadi yang terbaik adalah mengikut petunjuk dan sunah Nabi ketika berpuasa kerana berasa cukup dengan sunah itu adalah sebuah hidayah.

Ahmad Tajuddin Bin Idris al-Manhaji adalah lulusan Syariahh Fiqh dan Usul (UM) adalah Ketua Biro Massa Ilmuan Malaysia. Harian Metro Ahad Rencana Agama Ramadhan 12 Julai 2015