July 16th, 2015

Eratkan perpaduan sempena hari raya

KEDATANGAN Syawal se­me­mangnya dinantikan dengan penuh sabar dan teruja oleh seluruh rakyat Malaysia. Ini ke­­rana kebiasaannya Aidilfitri di­sambut dengan penuh meriah oleh seluruh rakyat negara ini sebagai antara perayaan utama tanpa mengira agama dan kaum.

Inilah keistimewaan negara dan rakyat kita yang walaupun berbeza agama dan bangsa tetapi boleh hidup dalam sebuah masyarakat majmuk yang bersatu dan boleh merayakan perayaan kaum lain secara bersama.

Hakikatnya, selama ini setiap perayaan utama setiap kaum dikongsi bersama dan disambut seperti perayaan kebangsaan oleh seluruh negara. Ini ditambah pula dengan pelbagai keistimewaan yang disediakan seperti pemberian cuti umum, pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan serta budaya rumah terbuka di seluruh negara.

Senario ini mewarnai kalendar kehidupan setiap rakyat negara ini sejak kita merdeka lagi. Ia telah dibentuk, dipupuk dan dipateri kemas oleh generasi terdahulu yang mengetepikan segala kepentingan peribadi kaum masing-masing demi mencapai kemerdekaan serta dapat hidup aman sebagai satu keluarga besar.

Ternyata semangat kebangsaan mereka mengatasi semangat individualistik dan sekali gus bersepakat dan bermuafakat membentuk sebuah negara majmuk yang berdiri gah di persada antarabangsa seperti pada yang ada pada hari ini.

Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan peranan pelbagai perayaan dan sambutan upacara rasmi negara seperti Hari Raya Aidilfitri ini yang telah dan juga sedang menjadi platform terbaik dalam kita terus menyuburkan semangat perpaduan dan kebangsaan dalam kalangan generasi dahulu hingga ke hari ini.

Saban tahun perayaan seumpama ini terus menonjolkan dan mengeratkan tali silaturahim sesama rakyat kita. Ia boleh dilihat melalui budaya kunjung mengunjung yang biasanya dilakukan semasa rumah terbuka.

Kita boleh lihat dengan jelas orang India dan Cina mengunjungi rumah orang Melayu semasa Aidilfitri dan juga sebaliknya semasa sambutan Tahun Baru Cina, Deepavali ataupun perayaan utama lain.

Senario seumpama ini membuktikan betapa rakyat kita bersyukur dan meraikan segala nikmat kehidupan bersosial masyarakat majmuk yang terdiri daripada penduduk berlainan budaya dan gaya hidup. Ia juga telah menjadi nadi dan teras pembangunan dan kejayaan kita sekian lama.

Justeru sebagai rakyat yang bertanggungjawab setiap seorang daripada kita wajib untuk memainkan peranan masing-masing dalam mempertahankan apa yang kita miliki sekarang.

Ini kerana kita perlu sentiasa sedar bahawa nikmat kemerdekaan, perpaduan, kegembiraan dan keamanan yang ada pada hari ini boleh diragut sekelip mata andai kita leka dan lalai.


AIDILFITRI disambut dengan penuh meriah oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum sebagai antara perayaan utama negara ini. GAMBAR HIASAN

Buktinya, mutakhir ini kita dapat lihat pelbagai insiden dan peristiwa yang berlaku dalam negara kita yang mula menyentuh sensitiviti sesuatu kaum.

Misalnya, isu pencemaran masjid, pertikaian laungan azan dan bacaan al-Quran serta pertikaian terhadap hak keistimewaan sesuatu kaum terutamanya hak orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti negara ini.

Ingatan kita juga masih segar dengan apa yang berlaku di Plaza Low Yat baru-baru ini di mana urusan jual beli telefon boleh berakhir dengan pergaduhan dan apa yang paling dikesali ia dijadikan sebagai isu perkauman oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Akibatnya keadaan menjadi huru-hara dan mencetuskan perbalahan serta pergaduhan antara segelintir orang Melayu dan juga orang Cina.

Insiden ini dengan jelas membuktikan betapa tahap perpaduan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin menipis. Sedikit provokasi sudah cukup untuk mencetuskan api perkauman. Apakah ini yang hendak kita banggakan dalam meniti pelbagai cabaran sepanjang 58 tahun yang lalu?

Penulis cukup kesal dengan apa yang berlaku di Plaza Low Yat dan percaya majoriti rakyat negara ini yang mencintakan perpaduan dan keamanan juga merasakan begitu kerana insiden kecil pun boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum seperti ini.

Keadaan ini dengan jelas menunjukkan bahawa jambatan perpaduan yang telah kita bina selama ini tidak mustahil untuk mengalami keretakan malah runtuh sama sekali andai kita terlalu selesa dengan nikmat sedia ada tanpa berusaha menghayatinya dan mempertahankannya.

Kita perlu terima hakikat bahawa insiden-insiden yang telah mengambil tempat ketika ini sedikit sebanyak sudah mula memutikkan rasa prasangka dan prejudis sesama rakyat kita. Masing-masing dilihat lebih berhati-hati dan mula was-was dalam perhubungan dengan orang lain.

Walaupun situasi ini mungkin tidak terlalu kritikal mahupun serius lagi namun jika terus dibiarkan begitu maka kita percaya akan menjadi barah dan duri dalam daging untuk menghancurkan apa yang telah kita bina sekian lama.

Selama ini kita berbangga dengan dunia luar bahawa kita boleh dijadikan sebagai negara contoh masyarakat majmuk. Itulah keistimewaan kita dan negara luar juga sering memuji negara ini dalam aspek tersebut.

Namun kita perlu sedar bahawa tiada jaminan status ini akan kekal selamanya. Apakah kita mahu menghancurkannya? Apakah kita mahu mewariskan sebuah negara yang kacau bilau dan tidak stabil kepada generasi pewaris kita kelak? Cukuplah dengan apa berlaku pada 13 Mei 1969 dan percayalah negara kita tidak mampu untuk berhadapan dengan satu lagi tragedi berdarah seperti itu.

Justeru tepuk dada dan tanyalah minda, hati dan perasaan masing-masing. Sudah semestinya setiap seorang daripada kita tidak mahu anak cucu kita kelak memaki hamun kita kerana mewariskan sebuah negara yang tidak aman kepada mereka.

Dalam hal ini, apakah kita lupa bahawa keamanan dan perpaduan yang kita warisi dan nikmati ini adalah apa yang telah dipinjamkan kepada kita oleh generasi sebelum ini? Fikir-fikirkanlah sejenak. Jangan sesekali kita mengkhianati amanah ini.

Justeru bersempena dengan sam­butan Hari Raya Aidilfitri ini marilah kita seluruh rakyat Malay­sia mengambil kesempatan ini mengetepikan segala persengketaan, perselisihan faham dan ideologi politik seterusnya bermuhasabah diri dan insaf dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang mula melanda dan menggoncang perpaduan kaum di negara kita lantas berusaha untuk menepisnya dari akar umbi lagi sebelum merebak menjadi virus yang sukar diubati kelak. Ingatlah, mencegah lebih baik daripada mengubatinya.

Sebulan sudah berpuasa, masa untuk beraya bersama

SELEPAS sebulan berpuasa, umat Islam menyambut bulan Syawal dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu ini. Bulan Ramadan pantas berlalu, bulan yang dikatakan penuh berkah, dilimpahi dengan kebaikan dan pahala buat umat Muslim. Ia penuh dengan unjuran persiapan keimanan, jasmani, keilmuan dan harta. Ini juga tidak bermakna persediaan ini dilakukan hanya pada bulan Ramadan namun ia satu kelangsungan secara berterusan.

Keunikan melaksanakan tanggungjawab berpuasa dan beraya terserlah di Malaysia. Negara yang dihuni masyarakat pelbagai etnik yang kaya dengan kepercayaan, amalan dan ritual; Malaysia melihat bagaimana masyarakat Islam menjadi contoh kepada yang lain dan tahap pemahaman masyarakat bukan Islam juga berbeza berbanding dengan negara lain.

Berpuasa di Malaysia tidak dilihat sebagai suatu yang luar biasa atau pelik bagi yang bukan Islam, memandangkan ia dilalui, dipelajari dan dinikmati bersama. Ada juga dalam kalangan masyarakat bukan Islam turut mengambil kesempatan berpuasa untuk bukan sahaja melalui amalan ini secara luaran tetapi lebih daripada itu memahami tuntutan mengapa ia menjadi praktis sepanjang bulan Ramadan.

Apa yang seringkali menjadi perhatian adalah apabila bermula Ramadan dan bagaimana ia berakhir. Suasana di kampung dan bandar jauh berbeza.

Di bandar, aktiviti Iftar tertumpu di restoran dan di hotel manakala di kampung, meriah di surau, madrasah dan masjid serta rumah masing-masing. Ada juga ziarah kumpulan tabligh yang mengindahkan suasana Ramadan di kampung-kampung yang bergemerlapan tatkala malam tujuh likur yang istimewa dengan pancaran cahaya menikam mata memandang.

Jika dahulu pelita menggunakan minyak serta diisi dalam buluh atau tin kini segalanya dimodenkan sewaktu 10 malam terakhir di bulan Ramadan. Ada yang menggunakan pelita kuasa elektrik dan bateri.

Inilah juga proses pemodenan sehingga keaslian luntur disebabkan oleh tuntutan manusia sendiri. Dulu, ada gendang atau meriam digunakan menandakan masuk waktu solat dan waktu berbuka puasa tetapi kini segalanya juga tinggal nostalgia.

Malahan, juadah di kampung ketara keenakan ketika ia dimasak bersama, baik dodol mahupun rendang dan ketupat sehingga bukan untuk jualan tetapi menjadi santapan bertukar makanan di musim perayaan ataupun kunjungan raya bersama rakan dan keluarga.

Kini suasana sebegitu dirindui. Raya dikomersialkan. Konsep ziarah dan kunjung mengunjung menjadi mesej kebanyakan iklan Hari Raya seolah-olah ia sesuatu yang kian pudar yang mahu dihidupkan semula.

Konsep ‘balik kampung’ agar generasi baharu memahami dan mahu memahami wajar diteruskan walau ada kekangan dan keterbatasan dalam persaingan kehidupan materialistik dan individualistik.

Bagi orang tua, apabila anjung rumah dipenuhi dengan anak, menantu dan cucu; apa lagi keseronokan Hari Raya yang mahu diberikan kepada mereka kerana mereka tidak mengharapkan wang ringgit tetapi kasih sayang membilang hari tua.

Apabila bersama-sama membakar lemang; membalut ketupat mahupun nasi himpit dan menyediakan kuahnya serta bersembahyang berjemaah dan bersiap menjelang sembahyang raya; itulah saat yang paling seronok bagi sebilangan dalam kalangan kita termasuk yang bukan Islam yang pernah merasai pengalaman itu.

Ini bukan untuk menidakkan mereka yang berniaga lemang, dodol dan rendang sewaktu musim perayaan tetapi ia bertujuan menjiwai kehidupan bersama dan menghormati tanggungjawab ‘bersama dalam satu keluarga besar’. Ia hanya ada di kampung dan molek jika diperkembangkan ke bandar-bandar kerana menjelang beberapa tahun lagi, yang hanya akan dapat dilihat kampung adalah ciptaan iklan dan sejarah silam semata-mata andai kata generasi muda melihat tidak ada kerelevanannya dalam konteks masyarakat moden yang budayanya luar biasa.

Saya khuatir budaya kunjung mengunjung akan kehilangan nilainya jika kita tidak membinanya dari sekarang kerana peredaran masa dan komunikasi di alam maya yang semakin membesar setiap hari. Ia ketara dengan kehilangan detik kita mengirim kad ucapan hari raya melalui pos yang kini lebih jelas di alam media sosial, melalui mesej pesanan ringkas (SMS) ataupun kumpulan WhatsApp seolah-olah ia sekadar menjadi ‘satu rutin tuntutan’ dan bukan dengan keinginan untuk melakukannya.

Memang mudah seolah-olah pengirim mahu menyatakan bahawa ucapan tidak lekang dari ingatan tetapi ini juga kesan dari pembentukan ketamadunan baharu yakni ‘tamadun media sosial’. Saya percaya waktu balik kampung, seorang pun tidak berani meninggalkan telefon bimbit di rumah untuk mencari ketenangan di kampung kerana kegelisahan yang akan wujud tanpa telefon bimbit. Ini realiti yang perlu dirungkai agar kehidupan kita tidak ditentukan oleh alam media baharu yang memberi kesan besar kepada komunikasi dan silaturahim dan tasamuh yang lahir dari nilai kemasyarakatan di alam dunia sebenar.

Juga menjadi harapan biar marhaban bukan sahaja akan kedengaran di televisyen dan radio tetapi berdendang dari rumah ke rumah kerana kesannya kepada nilai kejiranan yang pernah kita lalui. Dahulu berebut-rebut rumah siapa dahulu; kini tercari-cari rumah siapakah akan terlibat sama.

Menjelang Hari Raya, marilah sama-sama meraikan kepelbagaian dan tidak menjadikan ia sebagai tembok pemisah yang menghalang kemuafakatan, perpaduan, keharmonian mahupun persaudaraan. Memahami, hormat dan menerima kepelbagaian sebagai satu aset penting dalam kita menzahirkan iklim muhibbah dan aman sentiasa.

Kita perlu sama-sama bertanggungjawab untuk menyimpan dan memupuk serta mewarisi kesinambungan nilai keagamaan dan budaya di sebalik agama ataupun etnik kerana ia menyerikan kerencaman tanah air ini.

1 Syawal 1436 dijangka jatuh pada esok tetapi kesemuanya tertakluk kepada pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas anak bulan Syawal dilihat pada hari ini. Sepantas masa berlalu, begitu juga dengan persediaan dan persiapan untuk menyambutnya.

Bagi umat Islam terutama rakan-rakan di Tanjung Malim; Universiti Sains Malaysia dan di mana sahaja anda berada, diucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri; raikan Hari Lebaran dalam kepelbagaian agar keunikannya di Malaysia terus kekal zaman berzaman. - Dr Sivamurugan Pandian Utusan Malaysia Rencana 16 Julai 2015

NGO pelengkap perjuangan memartabatkan Islam

Tanggungjawab memartabatkan agama Islam di Malaysia bukan hanya terletak pada pihak kerajaan semata-mata, sebaliknya ia tanggungjawab setiap umat Islam di negara ini.

Acap kali pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengambil peranan ini berdasarkan fokus pertubuhan masing-masing.

Sebagai kuasa ketiga, NGO hendaklah dilihat sebagai melengkapi perjuangan memartabatkan Islam.

Menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat dipilih untuk mendaulatkan Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bukan 'agama rasmi' seperti difahami sesetengah golongan.



HAK umat Islam mendapat cuti bagi menunaikan ibadah haji tidak boleh disangkal. - Foto hiasan


Apatah lagi sebagai negara majoriti Islam yang mengiktiraf peranan penting Islam dalam sistem politik, ekonomi sosial dan undang-undang. Islam yang dinyatakan adalah Islam dalam erti kata sebenar iaitu sebagai cara hidup, bukan terhad kepada amalan atau ibadah khusus semata-mata.

Ia juga termasuk menjaga integriti badan perundangan seperti Parlimen dan agensi kerajaan supaya bebas daripada rasuah, salah guna atau menjadi ejen perpecahan dalam kalangan umat Islam serta hubungan dengan bukan Islam.

Pembetulan secara dalaman umat Islam juga perlu dilakukan bagi memastikan negara maju dan dapat mendaulatkan Islam kerana umat Islam adalah komposisi penting dalam demografi rakyat Malaysia.

Dalam isu antara agama pula, NGO dan pertubuhan politik mestilah bersatu atas asas akidah yang satu. Terdapat pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi umat Islam untuk menyelesaikan segala permasalahan antara agama dengan hikmah yang didasari perundangan Islam itu sendiri.

Contohnya, penyeragaman undang-undang Islam masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya. Akta Profesion Guaman Syarie bagi mengawal selia peguam syarie seluruh negara seperti rakan peguam sivil masih belum menjadi realiti.

Malah, undang-undang mengawal penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam di seluruh negara selaras Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan masih belum dikuatkuasakan.

Sehingga hari ini Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang itu.

Segala usaha hendaklah dipadukan bagi meningkat tahap profesionalisme dan keberkesanan agensi Islam dalam mendaulatkan Islam di Malaysia.

Kenakan tindakan tegas Kerajaan dituntut mengambil tindakan tegas, termasuk ke tahap membatalkan mana-mana lesen perniagaan majikan yang menyukarkan apatah lagi menghalang pekerja Islam mengamalkan ajaran Islam seperti menghalang pemakaian tudung, solat Jumaat, berpuasa, cuti mengerjakan haji dan lain-lain syiar Islam.

Seorang Muslim yang baik sudah pasti menjadi warganegara dibanggakan. Proses pembentukan jati diri Muslim perlu dilaksanakan melalui sistem pendidikan yang mementingkan Islam sebagai satu cara hidup.

Oleh itu, pendidikan Islam dalam sistem pendidikan kebangsaan perlu diperkasakan. Kementerian Penerangan perlu memahami aspirasi dan sensitiviti umat Islam dalam merangka dasar penyiaran serta melaksanakan program membina masyarakat berakhlak terpuji.

Program berunsur pendidikan Islam dan moral perlu diperbanyakkan dan disiarkan pada waktu puncak. Sistem politik dan tadbir urus baik adalah syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara.

Kesejahteraan rakyat akan terbela dengan wujudnya sistem politik adil, tadbir urus baik dan sistem penyampaian cekap. Kerajaan dipilih hendaklah bebas daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Tolak usaha ekstremis Sebagai sebuah negara majoriti Islam yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian hubungan kaum dan agama adalah ramuan utama kestabilan politik serta ketenteraman awam.

Usaha ekstremis agama dan perkauman sempit hendaklah ditolak. Oleh demikian, pemimpin dipilih hendaklah mempertingkatkan komitmen terhadap keharmonian hubungan kaum dan agama.

Parti politik yang tidak sensitif terhadap kepentingan hubungan kaum dan agama, termasuk mempersendakan kedudukan agama Islam di Malaysia hendaklah ditolak.

Pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut peraturan hendaklah dikawal tanpa mengira agama. Jika pihak berkuasa agama tegas dalam melaksanakan peraturan membina surau dan masjid, mereka ternyata sangat lemah apabila berhadapan dengan pembinaan rumah ibadat agama lain.

Bilangan pegawai penguat kuasa agama (PKA) dan profesionalisme mereka dalam membanteras gejala maksiat serta salah laku moral perlu dipertingkatkan.

Kerajaan dituntut melaksanakan undang-undang antimaksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan.


Beberapa hari lagi umat Islam akan meraikan hari kemenangan iaitu Aidilfitri selepas sebulan berpuasa. Namun masih banyak lagi tindakan yang perlu diambil untuk mencapai kemenangan sebenar.

Kemenangan ini hendaklah menjadi kesinambungan untuk umat Islam terus menang dalam memartabatkan Islam di tanah air tercinta ini.

Pastikan juadah Aidilfitri bersih, berkualiti

Menjelang hari raya, tradisi rumah terbuka dengan sajian beraneka jenis dan rasa adalah senario biasa sambutan perayaan di Malaysia.

Inilah masanya bagi kita berkumpul bersama ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan untuk saling bermaafan dan mengeratkan silaturrahim.

Menu utama dihidangkan seperti lemang, ketupat, rendang dan buah-buahan, membuka selera hingga kita sering terlupa untuk memberi perhatian kepada kebersihan dan keselamatan makanan yang disedia dan dihidangkan.

Oleh itu, lazimnya, banyak kes keracunan yang berlaku akibat kelalaian kita sendiri yang boleh mengundang maut.

Tanggungjawab bagi penyediaan makanan biasanya dipikul oleh wanita.

Sebagai seorang ibu/isteri/menantu/suri rumah tangga, kita haruslah bijak ketika memilih bahan mentah bagi masakan atau ketika membeli makanan. Jangan lupa, pilihan sentiasa terletak di tangan kita.

Harga bukanlah faktor penentu kepada kualiti, makanan yang mahal dan eksklusif tidak semestinya berkualiti, dan sebaliknya. Makanan yang enak pula, tidak bermakna bersih, selamat dan berkualiti.

Persoalannya, bagaimana kita memilih makanan/bahan mentah bagi memastikan masakan yang dimasak adalah berkualiti?

Salah satu caranya adalah dengan menyemak logo pensijilan yang dipaparkan di atas bungkusan produk makanan. Contohnya, logo MyGAP (Amalan Pertanian Baik), ia adalah skim pensijilan komprehensif bagi pematuhan standard subsektor tanaman, akuakultur dan ternakan.

Lebih yakin buat pilihan

Pensijilan MyGAP merujuk kepada Malaysian Standard (MS) yang dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) yang selaras dengan standard antarabangsa.

Dengan logo MyGAP ini, kita akan lebih yakin dalam membuat pemilihan bahan mentah untuk makanan seperti sayur-sayuran, ikan dan daging untuk keluarga tersayang.

Selain itu, logo Halal juga tidak boleh dikompromi. Standards Malaysia telah membangunkan standard halal yang pertama di dunia pada tahun 2009.

Sehingga kini, sebanyak lapan standard halal dalam Nilai Rangkaian Makanan Halal (Halal Food Value Chain) yang meliputi kebersihan, logistik, pembungkusan, penyimpanan, peruncitan dan keselamatan telah dibangunkan dan dirujuk oleh JAKIM dalam pensijilan Halal.

Standard halal kita adalah berdasarkan konsep 'Halalan Toyyiban' iaitu komponen asas kebersihan dan keselamatan selain memenuhi keperluan syariah.

Selain itu, Kementerian Kesihatan telah melancarkan Program Jaminan Keselamatan Makanan Malaysia melalui pensijilan MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) yang menjadi keperluan minimum keselamatan bagi industri pemprosesan makanan.

Logo pensijilan GMP (Good Manufacturing Practice) dan HACCP (Standard Hazard Analysis and Critical Control Point) yang berdasarkan MS juga dapat memberi keyakinan pengguna terhadap makanan yang diproses.

Semak label, tarikh luput

Selain logo Halal, MeSTI, MyGAP dan HACCP, pensijilan berdasarkan MS tertentu juga boleh menjadi panduan bagi pengguna dalam memilih bahan-bahan untuk memasak dalam menyediakan juadah pada Aidilfitri.

Kandungan makanan seperti gula, lemak dan kalori yang dibekalkan melalui label makanan juga tidak boleh kita abaikan.

Pastikan kita menyemak label, tarikh luput, dan logo-logo pensijilan itu ketika membuat pembelian. Peniaga pula perlu sentiasa beretika dalam memastikan bahan mentah dan produk yang dikeluarkan terjamin keselamatan, kebersihan dan kualitinya.

Air yang digunakan dalam masakan atau dijual mestilah dari sumber yang bersih dan suci. Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata, nyawa dan kesihatan pelanggan perlu diberi keutamaan.

Akhir kata, marilah kita meraikan Syawal tahun ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan dengan menerapkan budaya kualiti dalam kehidupan seharian.

Janganlah kita membazir dan bermewah dengan menyediakan juadah dan makanan yang berlebihan.

Kita patut bersederhana dalam apa juga perkara yang kita lakukan, termasuklah ketika musim perayaan, kerana bersederhana itu adalah dituntut dalam Islam.

Marilah kita raikan Aidilfitri tanpa kompromi ke atas standard dan kualiti.

Semoga Syawal tahun ini memberikan seribu satu makna buat seluruh rakyat Malaysia. Sentiasa berhati-hati di jalan raya, pandulah dengan berhemah. Selamat menyambut hari raya, maaf zahir dan batin.
Fadilah Baharin Berita Harian Kolumnis 16 Julai 2015