July 21st, 2015

Istiqamah kekal momentum Ramadan

SAMBUTAN hari raya adalah anugerah Allah yang amat besar kepada umat Islam lantaran telah melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Aidilfitri adalah hari untuk umat Islam bersuka ria dan menzahirkan kegembiraan, iaitu kembali kepada fitrah (yakni bersih) dan yang bersih itu adalah hati yang sudah dididik melalui tarbiah (pendidikan) Ramadan. Justeru, matlamat kita berhari raya adalah bagi meraikan kejayaan kita berpuasa di bulan Ramadan dan dalam masa sama berusaha mengekalkan momentum tarbiah Ramadan yang tujuan utamanya ialah menjadi insan bertakwa kepada Allah SWT.

Justeru, sambutan hari raya yang menginjak 4 Syawal pada hari ini seharusnya terus menjadi kesinambungan rahmat dengan menjaga adab (tingkah laku dan tutur kata) ter­utamanya ketika tetamu berkunjung ke rumah kita dan semasa menziarahi sanak-saudara dan juga sahabat handai.

Sambutan Aidilfitri seusai berakhirnya madrasah Ramadan seharusnya menjadi lambang kejayaan mendidik jiwa manusia mencapai martabat takwa sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Anugerah takwa yang diraih melalui tarbiah Ramadan seharusnya menjadi pembimbing kepada umat Islam dalam mengekalkan momentum Ramadan bagi menempuhi kehidupan sepanjang hayat.

Oleh yang demikian, umat Islam diwajibkan menyambut Aidilfitri dalam kerangka takwa mengikut panduan Islam. Sebarang sambutan yang boleh merosakkan amalan baik yang sudah dikerjakan sepanjang bulan Ramadan seharusnya dihindari agar momentum Ramadan terus dapat dikekalkan bukan sahaja sepanjang bulan Syawal, tetapi juga pada bulan-bulan yang berikutnya.

Jika sepanjang Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah ter­utamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), amalan ini seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajud. Antara amalan lain mengikut sunnah yang disarankan selepas bulan Ramadan adalah mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.

Begitu juga dengan amalan membaca al-Quran. Jika sepanjang bulan Ramadan amalan ini begitu subur sama ada membaca secara berseorangan mahupun secara tadarus di surau atau masjid, bagaimana pula selepas 1 Syawal? Adakah amalan ini terus ditinggalkan atau sebaliknya? Sedangkan, sewajarnya diteruskan dan dipertingkatkan de­ngan meneliti tafsir ayat-ayat yang dibaca atau menghafalnya, khususnya pada surah-surah atau ayat-ayat yang tertentu.

Sementelah, al-Quran adalah mukjizat Allah SWT. Walaupun mungkin kita tidak memahami isi kandungannya, namun kita tetap tidak akan jemu membacanya. Malahan, de­ngan membacanya akan membawa perubahan kepada diri kita baik secara luaran mahupun dalaman tanpa kita sedari.

Selain amalan membaca al-Quran, amalan bersedekah juga menjadi budaya pada bulan Ramadan. Persoalannya, adakah amalan ini juga terhenti setelah berakhirnya Ramadan? Alangkah malangnya jika berlaku sedemikian kerana Allah SWT meletakkan amalan ‘infaq’ atau sedekah sebagai salah satu daripada ciri-ciri seorang Muslim.

Justeru, amalan ini sewajarnya diteruskan pada bulan-bulan lain mengikut kemampuan kita. Lebih-lebih lagi umat Islam dianjurkan bersedekah dan Allah SWT amat membenci sifat bakhil. Bahkan harta kita setelah meninggal dunia adalah hasil daripada amalan sedekah jariah yang kita lakukan semasa hayat yang dapat memberi manfaat kepada kita kelak.

Oleh yang demikian, Syawal seharusnya menjadi medan penerus kepada maqasid puasa dan juga ibadah-ibadah serta amalan-amalan lain dalam bulan Ramadan. Dalam konteks ini, umat Islam sewajarnya meneruskan kesinambungan Syawal dalam keadaan tunduk, patuh, penuh keinsaf­an dan bertakwa kepada Allah SWT. Ini sebahagian daripada amalan yang disunatkan selepas berakhirnya Ramadan yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam.   - ROSMIDZAT UL AZILA MAT YAMIN Utusan Malaysia Rencana Agama 20 Julai 2015 12:02 AM

Ziarah asas bina ukhuwah

SYAWAL menemukan kita dengan tradisi ziarah. Ziarah sesama keluarga, handai-taulan jauh dan dekat adalah tradisi murni. Amalan ini merapatkan ukhuwah dan hubungan persaudaraan serta persahabatan sesama insan.

Ziarah membolehkan kita bertanya khabar secara langsung, menjalin pengertian mendalam dan bermakna akan maksud kekeluargaan dan saling memohon maaf atas kesilapan dan ketelanjuran lalu. Ziarah dengan niat ikhlas mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan dan persahabatan supaya jiwa muafakat terbina.

Sepanjang Syawal lazimnya rumah terbuka sering terjadi. Kita diundang oleh sahabat dan teman. Ini kesempatan yang baik untuk ditunaikan kerana hari-hari biasa kita disibukkan dengan kerja dan urusan. Ziarah menemukan sahabat dan rakan yang lama tidak bertemu, teman sekampung dan setaman supaya hubungan saudara seagama menjadi erat dan kuat.

Dalam kalangan umat Islam di Malaysia, ziarah amat dituntut terjadi. Menziarahi jiran di hari raya ini adalah suatu keperluan, menziarahi yang tua dan uzur pula amat digalakkan.

Ziarah mesti dilakukan dengan niat yang ikhlas. Di tengah-tengah pengaruh kebendaan dan faham individualistik yang tinggi ada orang enggan melakukan ziarah atau melakukan ziarah berpilih-pilih lantaran status atau kedudukan. Tradisi begini tidak menepati anjuran dalam Islam kerana tujuan ziarah ialah mendekatkan diri kita dengan orang lain tanpa mengira status dan kedudukan kerana Islam itu agama jamaah, muafakat dan masyarakah.

Apabila ziarah terjadi sama ada menghadiri rumah terbuka atau ziarah secara langsung, adab berziarah kena dijaga. Pergaulan antara yang bukan mahram harus dipelihara, penyediaan makanan jangan sampai membazir, dan kalau ada hiburan mengiringi jangan sampai membawa lagha dan lalai, supaya ziarah yang berlaku adalah dalam barakah Allah. Barakah Allah penting supaya tradisi ini mendatangkan pahala.

Budaya ziarah yang dipupuk masyarakat Islam di Malaysia adalah suatu amalan yang baik. Amalan ini tidak terbatas kepada umat Islam bahkan melibatkan masyarakat bukan Islam. Budaya ziarah ini boleh menjadi saluran merapatkan hubungan orang Islam dan bukan Islam supaya wujud persefahaman dan menimbulkan pengertian mendalam mengenai perayaan dan kemanusiaan sejagat.

Kehidupan bermasyarakat dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia boleh dirapatkan lagi dengan budaya ziarah antaranya ketika perayaan Aidilfitri.

Di Malaysia, budaya ziarah ini harus dijadikan agenda sosial supaya peningkatan kesatuan umat terjadi. Tidak harus berlaku dan berlegar dalam kalangan status yang sama, anggota jamaah yang serupa atau sifatnya berpilih-pilih kerana hanya akan mengukuhkan faham “kabilah” dan “kelompok” yang sifatnya tidak merentasi.

Budaya ziarah harus sifatnya merentasi dan terbuka supaya pendekatan menyantuni terjadi. Manfaatnya haruslah memperluaskan lagi horizon pergaulan dan kemesraan menerusi pendedahan kepada kelompok yang pelbagai supaya wujud titik persaudaraan yang lebih luas dan mencakupi.

Inilah maksud Aidilfitri yang ingin mengembalikan corak hidup yang lebih fitrah. - Utusan Malaysia Rencana Agama Jendela To Ki 21 Julai 2015

Kegembiraan sambut raya usah dinodai perbuatan dilarang agama

MEMASUKI gerbang 1 Syawal, umat Islam akan kembali kepada fitrah seolah-olah diri mereka bersih umpama bayi baru dilahirkan kerana menunaikan ibadah puasa Ramadan dan ditambah dengan ibadah sunat seperti solat tarawih, bertadarus al-Quran, qiamullail, bersedekah dan berdoa penuh keinsafan kepada Allah SWT.

Melebur segala noda dan membersihkan diri daripada dosa yang lalu, maka beruntunglah bagi mereka yang memperolehnya. Daripada Abu Hurairah,

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredaan-Nya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Allah SWT memanggil orang berpuasa dengan panggilan yang sangat baik iaitu 'wahai orang beriman'. Sewajarnya kita meneruskan ibadah pada Ramadan dan menambahnya pada bulan seterusnya sebagai tanda ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Ibnu Rajab menyebut, tanda ibadah diterima ialah ibadah itu berlanjutan dengan ibadah terbaharu dan tanda ibadah ditolak ialah ibadah itu berlanjutan dengan maksiat.

Bergembira dan membesarkan Ilahi

Bergembira pada hari raya tidak menjadi satu kesalahan dalam Islam, bahkan disuruh bergembira dan membesarkan Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW pernah menegur Abu Bakar as-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah dan beberapa orang yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Baginda.

Rasulullah SAW bersabda: "Biarkan ia (wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya." (Riwayat al-Bukhari) Islam telah memberi garis panduan jelas untuk bergembira pada hari raya melalui dalil al-Quran dan hadis iaitu memperbanyakkan takbir dan memuji Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Gema takbir membesarkan dan tahmid memuji Allah SWT yang dikumandangkan bersama adalah simbol kesatuan umat Islam yang berada di bawah satu panji Islam, menyembah Allah SWT yang esa, membaca serta mengamalkan al-Quran.

Masing-masing bergembira menyambut kedatangan hari yang berbahagia ini. Menjadi adat dan amalan masyarakat Islam di Malaysia menyebut 'Selamat hari raya dan maaf zahir batin' atau ucapan seumpama dengannya. Ia tidak menjadi kesalahan, bahkan disuruh kita mengucapkan ucapan selamat kepada sesiapa sahaja pada hari mulia ini.

Alangkah baiknya jika dapat ditambah ucapan yang diajar oleh Nabi SAW iaitu 'Taqabbalallah minna wa minka' yang bermaksud semoga Allah menerima amalan saya dan kamu.

Tiada ucapan yang lebih baik jika datang daripada kekasih Allah SWT, Nabi Muhammad SAW. Berkata Wathilah, aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakan pada Baginda: "Taqabballahu minna wa minka."

Baginda menjawab: "Taqabbalallahu minna wa minka." (Riwayat Baihaqi) Salah satu nama Allah SWT ialah al-Jamil (Yang Maha Cantik) dan Islam menggalakkan umatnya memakai pakaian yang cantik dan terbaik pada hari raya, tidak mengira taraf atau kedudukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan janganlah pula kamu melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas." (Surah al-A'raf, ayat 31)

Sudah menjadi satu kebiasaan bagi umat Islam berpusu pulang ke kampung pada hari raya. Ini satu amalan yang baik bagi meraikan hari raya bersama ibu bapa, keluarga serta sanak saudara.

Setelah lama berhijrah mencari rezeki di kota raya, hari raya waktu terbaik untuk menghubungkan silaturahim sesama Islam.

Tiada yang membahagiakan jika menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta. Duit boleh dicari namun keluarga tiada galang ganti.

Di sebalik kemeriahan sambutan hari raya, jangan sekali-kali kita menodai hari ibadah umat Islam itu dengan perbuatan yang dilarang agama atau mencacatkan hari raya yang mulia ini.

Pelbagai fesyen terkini menjadi pilihan untuk digayakan pada hari raya. Apa juga fesyen, corak dan gaya tidak dilarang, tetapi mesti menepati piawaian pemakaian Islam iaitu menutup aurat, tidak nipis, tidak bersolek berlebih-lebihan serta tidak menampakkan susuk tubuh.

Ada juga yang mengenakan pakaian sunah seperti jubah, malangnya jubah dipakai ketat dan nipis atau berjubah, namun tidak berjilbab.

Pakailah pakaian yang baik. Bukankah kita sedang menyambut hari kebesaran Islam?

Kurangkan bermain telefon bimbit ketika berziarah pada hari raya. Adalah menghairankan kerana di media sosial dilihat begitu mesra dan gembira, tetapi apabila berkunjung ziarah seperti kera sumbang.

Carilah waktu sesuai untuk berinteraksi di media sosial dan utamakan kunjung mengunjung serta bertegur sapa. Seperkara lagi yang menjadi 'kegilaan' masyarakat ialah berselfie.

Tidak menjadi kesalahan berselfie, namun janganlah berselfie di tempat yang tidak sesuai seperti di pusara atau ketika mendengar khutbah hari raya.

Melancong ke luar negara ketika hari raya, menziarahi keluarga yang berada di luar negara atau belajar di sana, sangat baik jika berkemampuan.

Namun, jika melancong kerana ingin mengelak berhari raya bersama keluarga, sanak saudara atau sahabat-handai adalah tidak wajar.

Hilangkan sengketa

Hari raya digalakkan kita bermaaf-maafan, hilangkan segala sengketa dan perselisihan faham antara adik-beradik serta keluarga.

Bak kata pepatah, air dicincang tidak akan putus. Selain itu, bersederhana menyambut hari raya. Di kala kita gembira menyambut Aidilfitri, umat Islam di negara lain mungkin berdepan pergolakan politik, peperangan, kemiskinan dan penindasan.

Atas semangat persaudaraan umat Islam, sebaiknya kita mendoakan dan saling membantu supaya mereka dapat meraikan hari kemenangan ini. Semoga Allah SWT merahmati umat Islam.
Mohd Hariri Mohamad Daud Berita Harian Rencana Agama 19 Julai 2015

Jadikan al-Quran sentiasa bersemi dalam hati

RAMADAN benar-benar menyedarkan bahawa tidak ada yang lebih dekat dengan kita kecuali Allah SWT. Sebaliknya, kita sering menjauhkan diri daripada Allah SWT dengan melakukan pelbagai maksiat dan dosa.

Seharusnya Ramadan membantu kita menilai diri. Ustazah Norhafizah Musa dalam program Usrati yang bersiaran pada Khamis di IKIMfm berkata, sepanjang menjalani ibadah puasa serta ibadah sunat yang digalakkan, kita boleh tahu adakah diri semakin dekat dengan Allah SWT atau sering tertewas dalam pertarungan melawan hawa nafsu.

Daripada Aisyah: "Rasulullah SAW jika sudah masuk 10 malam terakhir, tidak lagi mendekati tempat tidurnya. Baginda terus menghidupkan malam dengan mengejutkan ahli-ahli keluarganya." (Riwayat Bukhari)


GENERASI muda perlu dididik menjadi ahli al-Quran. - Foto hiasan



Hakikatnya, Ramadan adalah landasan untuk melakukan transformasi kerana padanya terdapat faktor pendorong yang boleh mencetuskan semangat melakukan perubahan.

Al-Quran diturunkan pada Ramadan dan kebanyakan kita memperbanyakkan membaca serta bertadarus al-Quran pada bulan itu.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya bagi Allah ada ahlinya daripada kalangan manusia.

Apabila sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW siapakah ahli Allah itu, Baginda menjawab: Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah ahli Allah, dan mereka itulah orang yang khusus di sisi Allah Azza wajalla."

Diangkat jadi ahli al-Quran Oleh itu marilah kita banyak membaca al-Quran, bertadabbur dan cuba menghafaz sambil berdoa serta berharap supaya kita diangkat darjatnya sebagai ahli Allah SWT dan ahli al-Quran.

Menurut al-Hakim al-Tirmizi , orang yang disebut sebagai ahli Quran itu adalah yang membaca al-Quran dalam keadaan hatinya bersih, jauh daripada sifat lalai dan berusaha menghilangkan dosa pada dirinya dengan jalan taubat.

Maka ahli al-Quran yang seumpama itulah yang disebut sebagai ahli Allah SWT. Tidak termasuk orang khusus kecuali bagi orang yang membersihkan dirinya daripada dosa yang nampak mahupun tersembunyi lalu menghiasi dirinya dengan ketaatan, ketika itu dia termasuk orang khusus di sisi Allah SWT.

Seeloknya kesempatan mendekatkan diri dengan al-Quran tidak terhenti apabila berakhirnya Ramadan tetapi ia menjadi medan latihan membentuk diri menjadi ahli Quran, memahami maknanya dan mengimpikan dikurniakan pengiktirafan serta dinobatkan sebagai ahli Allah SWT.

Ulama Alhafiz Muhammad Hussein al-Ajuri berkata, seseorang itu harus menjadikan al-Quran sentiasa bersemi dalam hatinya, menghidupkan kembali kerosakan hati dengan al-Quran, serta beradab dan berakhlak dengan al-Quran.

Beliau berkata, hendaklah diwujudkan untuk ahli al-Quran iaitu ketakwaan kepada Allah SWT, baik dalam keadaan sunyi mahupun nampak, berhati-hati makan minum, pakaian, tempat tinggal, memahami fenomena zaman, kerosakannya dan dapat merawatnya, berhati-hati terhadap agamanya serta urusan agama.

Katanya, ahli al-Quran jarang melakukan sesuatu yang tidak perlu, dia sangat takut kepada Allah SWT, takut sekiranya mulutnya mengeluarkan perkataan yang membawa kemurkaan Allah SWT dan seluruh pancaindera dijaga dengan baik. Itulah orang yang hidupnya terkesan daripada al-Quran.

Kita perlu memahami untuk menjadi ahli al-Quran bukan hanya dengan membacanya sahaja, tetapi benar-benar mengharap kepada Allah SWT supaya membantu dalam azam dan niat untuk menjadi ahli al-Quran.

Dua golongan membaca al-Quran

Mereka yang membaca al-Quran ini terdiri daripada dua golongan iaitu yang membaca, memahaminya, bertadabbur dan menghayati kandungannya.

Golongan kedua terdiri daripada mereka yang membaca al-Quran dalam keadaan hati yang lalai. Seharusnya kita membaca al-Quran dalam keadaan hati yang boleh mengambil pengajaran dan memahami ayat al-Quran.

Selain itu, amalan membaca al-Quran perlu dilakukan secara bersungguh dan paling utama diteruskan sepanjang masa. Bertuahnya mereka yang termasuk dalam golongan ahli al-Quran dan sepatutnya kita juga berusaha ke arah itu.

Justeru, momentum yang merapatkan kita dengan kitab suci Allah SWT pada Ramadan ini perlu diteruskan dengan semangat lebih membara.

Jika ketika berpuasa mudah bagi kita meluangkan masa membaca al-Quran, lebih lagi sepatutnya pada bulan lain.

Alangkah rugi jika perasaan tenang, damai dan pahala diperoleh tatkala kita menjalin hubungan dengan al-Quran tiba-tiba lenyap begitu sahaja kerana berakhirnya Ramadan.

Suka, duka sambut Aidilfitri perlu dijadikan iktibar

AIDILFITRI adalah hari istimewa kepada umat Islam untuk bergembira setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan. Di sesetengah tempat, hari raya yang jatuhnya pada setiap 1 Syawal, disambut dengan meriah.

Rumah terbuka dengan pelbagai makanan dan kuih-muih disajikan kepada saudara-mara dan sahabat-handai yang datang berkunjung.

Bagi anak-anak, ini adalah hari yang paling ditunggu-tunggu yang menjanjikan mereka dengan pakaian baharu pelbagai warna.

Kegembiraan berhari raya yang dirasai oleh anak-anak ini adalah proses yang sama dilalui oleh setiap individu sewaktu mereka masih kecil.

Jika dahulu, ibu bapa mereka yang membelikan pakaian baharu untuk mereka, hari ini mereka pula membelikan pakaian baharu untuk anak-anak.

Mereka tahu nikmat kegembiraan yang dirasai oleh anak-anak sebagaimana mereka dibesarkan oleh orang tua mereka terdahulu.

Namun, kemeriahan hari raya juga perlu dilihat daripada perspektif yang berbeza.

Lain orang, lain tahap kegembiraan mereka. Tidak semua mereka yang menyambut hari raya dalam suasana gembira.

Ada yang menyambut hari mulia ini dalam suasana yang muram akibat baru kehilangan anggota keluarga dan orang tersayang, ditimpa malapetaka seperti bencana alam, menghadapi penindasan, dihimpit kemiskinan dan sebagainya.

Di sesetengah negara, rakyatnya menyambut hari raya dalam ketakutan akibat peperangan. Ketika umat Islam menikmati juadah lazat di negara ini, mereka menggalas senjata di medan perang demi menegakkan kesucian agama dan kedaulatan tanah air.

Ramai juga berduka

Di Malaysia, walaupun rata-rata umat Islam menyambut Aidilfitri dalam suasana gembira, ramai juga antara mereka yang berduka.

Mereka hanya dapat mendengar atau melihat kegembiraan yang dialami oleh orang lain sedangkan tidak dapat membayangkan erti kegembiraan sebenarnya.

Bagi mereka yang berasakan hari raya ini memberi kegembiraan kepada diri dan keluarga, sepatutnya bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Pada hari yang mulia ini mereka pulang ke kampung halaman bersama anak dan isteri untuk bertemu ibu dan ayah, adik beradik serta saudara mara.

Mereka bermaaf-maafan dan berbual mesra merapatkan hubungan silaturahim. Mereka gembira melihat anak-anak bermesra bersama datuk dan nenek serta keluarga mereka dan menjamu selera dengan bermacam juadah yang disediakan.

Datuk dan nenek pula melepaskan kerinduan dengan hilai dan ketawa terhadap cucu-cucu yang pulang berhari raya bersama mereka. Mereka bersyukur kerana dipanjangkan umur untuk melihat telatah cucu yang sedang membesar.

Bagi mereka yang sudah tidak mempunyai ibu dan ayah pula, walaupun terpancar tanda-tanda kegembiraan, mereka tidak dapat menyembunyikan kesayuan di wajah, apatah kerinduan terhadap keluarga yang sudah tiada lagi. Ini adalah kehilangan kekal yang sukar dicari ganti.

Ketika melihat orang lain bersalaman dan berpelukan dengan ibu dan ayah, mereka hanya mampu mengimbau peristiwa silam ketika ayah dan ibu yang melahirkan mereka masih ada.

Bagi media, sepanjang bulan Ramadan ini, banyak menyiarkan berita sedih yang menimpa umat Islam. Ada yang menderita akibat mengalami pelbagai penyakit, penderitaan ditanggung ibu atau ayah akibat penyakit yang dihidapi anak, ditimpa kemalangan, kecacatan dan sebagainya.

Walaupun tujuannya adalah untuk menimbulkan kesedaran dan meraih simpati, namun, bagi mereka yang terbabit, ia adalah ibarat 'berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.'

Anak yatim dirai

Ada antara mereka menceritakan bagaimana mereka menjadi anak yatim piatu dan terpaksa menanggung adik-adik yang masih kecil akibat pelbagai pancaroba dunia.

Ada antara ibu bapa yang meninggal dunia akibat kemalangan, sakit kronik, kemiskinan dan sebagainya. Semua ini adalah antara teladan dan sempadan yang sewajarnya direnungi bersama atas nama kebesaran Allah SWT.

Sepanjang bulan Ramadan juga, ramai anak-anak yatim dari rumah-rumah kebajikan diraikan dalam majlis iftar dan berbuka puasa di tempat-tempat istimewa termasuk di hotel, dewan terkemuka dan rumah orang kenamaan.

Majlis ini dilanjutkan dalam tempoh perayaan hari raya. Selain menikmati juadah lazat yang jarang mereka dinikmati, mereka juga menerima saguhati semata-mata untuk memberi sedikit keriangan di jiwa mereka.

Tetapi, apabila ditanya, kegembiraan yang mereka nikmati itu tidak sama seperti rakan-rakan sebaya yang berhari raya bersama ibu bapa sendiri.

Namun, bagi mereka hidup perlu diteruskan walaupun setiap tahun mereka terpaksa mengharapkan belas kasih daripada orang lain.

Di rumah-rumah orang tua pula, penghuninya tidak dapat menyembunyikan kesedihan terutamanya ketika mengenangkan peristiwa silam.

Atas sesuatu sebab, mereka tidak lagi hidup bersama keluarga tetapi ditempatkan di rumah khas yang penghuninya ialah golongan sebaya mereka.

Dalam hati, mereka mungkin mengharapkan belaian kasih sayang daripada anak dan cucu ketika meraikan hari yang berbahagia ini, tetapi, malangnya mereka sudah tidak lagi terdaya terutama mereka yang dibuang keluarga.

Banyak lagi contoh kesedihan pada hari mulia yang perlu kita hayati bersama. Mior Kamarul Shahid Berita Harian Rencana Agama 17 Julai 2015

Usah anggap beban jaga ibu bapa

KISAH ibu bapa diabaikan anak pasti menjadi isu yang menyayat hati siapa sahaja. Tidak hairan saban tahun iklan perayaan sering menggunakan sentimen ini bagi meraih simpati dan perhatian masyarakat.

Hakikatnya, dalam kehidupan terlalu mencabar dan sukar ini, kebaktian terhadap orang tua acap kali diabaikan. Secara sengaja atau tidak, memelihara orang tua menjadi beban kepada anak sama ada yang masih bujang, malah yang sudah berkeluarga.

Yang bujang akan beralasan, mereka baru bekerja dan tidak mempunyai pendapatan cukup bagi memelihara ibu bapa yang tua.

KOS sara hidup, kesuntukan masa bukan alasan abai tanggung jawab terhadap orang tua. - Foto hiasan

Anak yang berkeluarga juga memberikan alasan kos sara hidup semakin mencengkam dan rumah yang sempit tidak memungkinkan mereka memelihara ibu bapa.

Lebih sukar apabila pasangan tidak sukakan ibu bapa mentua bersama mereka. Lalu episod luka ibu bapa yang disisihkan anak ini berterusan saban tahun tanpa ada kesudahannya.

Benar sebagaimana bidalan menyatakan, ibu bapa mampu mengasuh sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu mampu menjaga ibu bapa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu tidak menyembah kecuali kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baik kebaktian.

Sekiranya salah seorang atau kedua-duanya telah tua dalam peliharaanmu, jangan sesekali kamu berkata kepada mereka 'ah', dan jangan kamu membentak mereka.

Bercakap dengan mereka perkataan yang mulia. Rendahkan diri kamu di hadapan mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkan, 'Wahai Tuhan! Kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua mengasihi daku semasa kecilku." (Surah al-Isra, ayat 23-24)

Kewajipan memelihara ibu bapa

Ayat Allah SWT menyebutkan keimanan kepada-Nya diikuti kebaktian terhadap orang tua, menunjukkan memelihara ibu bapa adalah kewajipan besar selepas ketaatan kepada Allah SWT.

Ia juga membuktikan bahawa hanya orang yang beriman kepada Allah SWT akan memelihara ibu bapa mereka dengan baik.

Baginda Rasulullah SAW menegaskan, keredaan Allah SWT kepada seorang hamba bergantung keredaan ibu bapanya. Sabda baginda: "Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua orang tua, dan murka Allah juga terletak pada murka mereka." Bererti ibu bapa kita adalah penyebab kita ditempatkan di syurga atau dihumban ke neraka.

Rasulullah SAW berkata apabila ditanya mengenai hak ibu bapa terhadap anak mereka: "Mereka berdua (ibu bapa) adalah syurgamu dan nerakamu."

Sebagai ibu bapa, pernahkah merasakan anak yang baru meningkat remaja mula bersikap biadap dan enggan mendengar kata.

Anda mungkin tertanya bagaimana anak yang diasuh dengan penuh kasih sayang itu tega memperlakukan ibu bapa mereka sedemikian rupa.

Masalah biasa yang dialami oleh ibu bapa ini mungkin berpunca daripada kederhakaan mereka terhadap emak dan ayah mereka.

Penderhakaan yang dilakukan anak terhadap ibu bapa mereka menyebabkan anak mereka juga menjadi biadap dan menderhakai mereka.

Ini jelas berdasarkan sabda Baginda SAW yang dilaporkan oleh At-Thobari, "Berbaktilah kepada kedua orang tua kamu, nescaya anak kalian juga akan berbakti kepada kalian."

Baginda juga berkata, "Lakukan apa sahaja yang kamu mahu, tetapi apa sahaja yang kamu lakukan kepada orang lain, kamu juga akan diperlakukan perkara yang sama."

Kelapangan rezeki, masa

Justeru, bagi ibu bapa yang berhadapan dengan anak luar biasa degil dan biadap terhadap mereka, mungkin perlu muhasabah kembali hubungan dengan ibu bapa mereka.

Jika mereka masih hidup, mohon ampun dan berbaktilah kepada mereka sebagaimana mereka pernah berbakti kepada kita. Dalam psikologi pendidikan, anak yang melihat ibu bapa menghormati dan menjaga datuk serta nenek mengajar mereka untuk melakukan perkara sama kepada ibu bapa mereka.

Berbeza dengan pandangan zahir yang melihat ibu bapa sebagai beban yang menyusahkan anak dan menyempitkan kewangan mereka, sebaliknya ibu bapa adalah sumber rezeki Allah SWT.

Rasulullah mendedahkan perkara ini dalam sabdanya, "Siapa yang mahu dipanjangkan usianya dan ditambahkan rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada kedua orang tuanya dan menyambung silaturahim."

Begitu juga dalam laporan Tsauban, Baginda SAW bersabda, "Seorang itu tidak memperoleh rezeki kerana dosa yang dilakukannya. Takdir tidak akan tertolak melainkan dengan doa. Tiada yang dapat menambah usia melainkan dengan berbakti kepada kedua ibu bapa."

Justeru, bagi anak yang berasa sukar berbakti kepada orang tua kerana kewangan yang sempit, percayalah rezeki itu datangnya daripada Allah SWT.

Kebaktian seorang anak kepada ayah dan ibunya tidak bergantung kepada kekayaan dan kelapangan masa. Ia manifestasi kasih sayang anak kepada orang tua yang pernah berbakti dengan penuh kasih sayang.

Kebaktian kepada ibu bapa juga menjadi asbab Allah SWT mengampunkan dosa. Salah satu cara untuk bertaubat atas kesalahan dilakukan kepada Allah SWT adalah berbakti kepada ibu bapa yang masih hidup.

Dicatatkan, seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan mengaku telah melakukan dosa dan meminta cara bertaubat. Baginda bertanya jika dia masih mempunyai ibu, tetapi ibunya telah meninggal dunia.

Lalu baginda bertanya jika dia mempunyai ibu saudara dan dia mengakuinya. Baginda mengarahkannya berbakti kepada ibu saudaranya sebagai taubat kepada Allah SWT.

Dilema pilih isteri, ibu bapa

Dilema biasa bagi lelaki sepanjang zaman apabila terpaksa memilih antara isteri dan ibu bapa, siapa perlu didahulukan? Dalam banyak keadaan, lelaki akan lebih berpihak kepada isterinya dibandingkan dengan ibu bapa yang sudah tua.

Dilema seperti ini berlaku sejak zaman Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail dan malah pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Dilaporkan, anak Umar al-Khattab pernah mempunyai seorang isteri yang tidak disenangi oleh ayahandanya, lalu diarahkan menceraikan isteri itu, tetapi dia enggan.

Lalu Umar menceritakan perkara itu kepada baginda dan dia mengarahkan anak Umar menceraikan isterinya. Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai siapa lebih berhak ke atas seorang wanita, lalu dia menjawab, suaminya.

Aisyah bertanya pula mengenai lelaki, lantas Rasulullah menjawab, ibunya. Ia tidak bererti seorang lelaki perlu membuat pilihan antara dua wanita yang disayanginya.

Sebaiknya dia sepatutnya bijak membimbing isterinya bagi menghormati ibunya dan memberikan tumpuan lebih kepada ibunya tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab terhadap isteri.