July 23rd, 2015

Manfaatkan Aidilfitri sepenuhnya

SATU Syawal telah berlalu. Diharapkan semoga pada tahun depan Allah terus memilih bagi dijadikan tetamu kehormat Ramadan, seterusnya merayakan hari kemenang­an pada Syawal. Penulis ingin berkongsi beberapa kenangan pahit dan manis Aidilfitri untuk dimanfaatkan bersama.

Langsung tidak salah untuk berniaga pada bulan Syawal dan pada bulan-bulan lain. Namun asasnya tetap perlu dijaga iaitu jangan sesekali mengambil kesempatan untuk menga­ut keuntungan berganda. Perlu diingatkan bahawa segala perbuatan itu akan diperhitungkan di Akhirat kelak. Pada dua Syawal, saudara penulis ke sebuah perkampungan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan yang terkenal dengan kelazatan satenya.

Beberapa hari sebelum Aidilfitri, harga secucuk sate antara 60 dan 70 sen, masuk sahaja Syawal ia bertukar menjadi 90 sen. Ada juga meletakkan syarat, hanya pembelian 50 cucuk ke atas sahaja dibenarkan Selepas dibawa balik untuk dinikmati bersama ahli keluarga, rasanya amat menyedihkan - keras dan berbau, seolah-olah dikitar semula setelah dibakar dan tidak terjual sebelum ini.

Mungkin boleh memulangkannya semula kepada peniaga terbabit, tetapi tidak sanggup rasanya untuk sekali lagi menem­puh kesesakan jalan raya. Semasa dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur melalui kawasan pantai Tok Bali, Pasir Putih dan Kuala Besut, Terengganu, hampir di sepanjang laluan terbau aroma makanan tradisional Sata yang dibalut dengan daun pisang dan dibakar di tepi jalan.

Anak-anak ingin mencuba, lalu dibeli untuk dimakan sebagai kudapan dalam perjalanan. Malangnya, makanan itu yang sepatutnya merupakan campuran ikan segar dan kelapa muda parut serta ramuan-ramuan lain tidak seperti yang diharapkan. Apa yang diperoleh hanya campuran kelapa dan gula serta garam, tanpa ikan!

Menyentuh mengenai negeri kelahiran penulis, Kelantan. Amat baik kerana kerajaannya telah meluluskan pelaksanaan undang-undang syariah atau bahasa mudahnya hudud. Segala persediaan telah dilaksanakan sebaik mungkin. Namun dirasakan terdapat beberapa perkara kecil yang seperti dilupakan terutamanya soal kebersihan tandas-tandas di masjid.

Sepanjang perjalanan kembali itu, urusan menyempurnakan ‘hajat’ sedikit terbantut semasa singgah di beberapa buah tandas masjid. Dari jauh lagi terbau semerbak aroma hancing, pintunya terpaksa disendal dengan batang kayu, langkahan masuk disapa dengan najis kering dan terapung. Malangnya masjid dicat dan dijaga dengan elok, tetapi tandasnya? Sepatutnya tandas berciri-ciri Islam perlu diutamakan oleh kerajaan Pas Kelantan.

Untuk berlaku adil, situasi tidak menyenangkan itu mungkin hanya secara kebetulan berlaku di sesetengah masjid sahaja, bukannya majoriti. Ingatan ini juga bukannya khusus kepada Kelantan sahaja tetapi turut terpakai kepada sesiapa sahaja terutamanya pengurusan masjid di seluruh negara. Bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW: “Kebersihan adalah separuh daripada iman.” - Riwayat Muslim.

Sementara itu, kenangan manis amat banyak, antaranya penulis amat beruntung kerana masih dikurniakan nikmat masa dan tenaga oleh Allah SWT bagi menjaga bonda tercinta yang pada Aidilfitri ini genap dua tahun koma dan terlantar di atas katil di rumah kerana terkena serangan penyakit strok seluruh otak. Segala keperluannya perlu dilakukan oleh anak-anak. Sumbangan kami adik-beradik hanya sebesar zarah jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan bonda membesarkan 11 orang anak.

Bersempena dengan Aidilfitri juga ramai dalam kalangan kita mengambil kesempatan menganjurkan reunion sama ada bekas pelajar sekolah atau ahli-ahli keluarga termasuk sekolah penulis, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maahad Muhammadi Lelaki (MML) yang menganjurkannya pada 3 Syawal lalu.

Program seumpama ini amat baik kerana mampu mengerat­kan hubungan silaturahim yang terpisah lama. Namun diharapkan tidak sekadar menjadi rutin Aidilfitri - bertemu, makan-makan, berbual-bual dan kemudian berpisah.

Amat baik jika hasil pertemuan itu dijadikan sebagai platform untuk memantapkan lagi persaudaraan seperti mendaftarkannya secara rasmi, seterusnya memudahkan segala urusan berkaitan kebajikan para ahli. Tahniah kepada bekas pelajar MML kumpulan menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia 1992 yang melakukan transformasi untuk mendaftarkan alumni tersebut secara rasminya. Sesungguhnya kesempatan penulis bersama kalian merupakan kenangan terindah. - TARMIZI ABDUL RAHIM Utusan Malaysia Rencana Agama 23 Julai 2015 1:05 AM

Didik kewangan Islam sempena musim raya

HARI Raya Aidilfitri telah di­sambut secara sederhana dan meriah di seluruh negara. Semua lapisan masyarakat tidak kira sama ada tua, muda, kanak-kanak mahupun orang dewasa masing-masing ceria dan bergembira di hari kemenangan tersebut. Kesempat­an turut diambil oleh anak-anak perantauan untuk pulang beraya di kampung bersama ahli keluarga dan sanak-saudara.

Pelbagai perkara boleh dikaitkan dengan Hari Raya. Bermula daripada penzahiran rasa syukur, sema­ngat persaudaraan, ziarah menzia­rahi, keprihatinan kepada ibu bapa dan keluarga sehinggalah kepada amalan-amalan murni yang lain.


IBU BAPA perlu mengambil kesempatan pada hari raya untuk mendidik anak-anak mengenai hikmah duit raya dan kewangan Islam. GAMBAR HIASAN

Dalam kesibukan dan kegembiraan menyambut hari raya, penulis berpendapat inilah masa terbaik untuk mendidik anak-anak mengenai kewangan Islam. Sempena hari raya ini yang akan dirayakan untuk tempoh lebih 20 hari lagi adalah masa terbaik untuk memahamkan anak-anak mengenai kewangan Islam.

Mengapa penulis berfikiran sedemikian? Jawapannya adalah hari raya adalah sangat berkait rapat dengan duit raya. Orang dewasa bersifat pemurah pada hari raya dengan menghulurkan duit raya kepada kanak-kanak tak kira sama ada ahli keluarga, jiran tetangga ataupun masyarakat sekeliling. Datang sahaja ke rumah, pasti duit raya akan dihulur. Kanak-kanak pula kadang-kadang berkunjung ke rumah jiran-jiran bukan kerana mahu menjamah hidangan raya, tetapi lebih kepada duit raya.

Dengan duit raya yang dikumpul tersebut, banyak nilai baik yang boleh diterapkan kepada anak-anak. Dalam hal ini, kita boleh mulakan dengan mengajar mereka mengenai aplikasi kewangan Islam seperti zakat.

Umum sedia maklum, bulan Ramadan sering dikenali sebagai bulan zakat. Setiap insan yang hidup diwajibkan membayar zakat fitrah. Dalam konteks ini, ajar anak-anak mengenai kewajipan zakat fitrah. Jika boleh bawa mereka bersama semasa menyerahkan zakat fitrah kepada asnaf-asnaf yang terpilih.

Mereka akan dapat melihat sendiri kehidupan orang yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan. Ini secara langsung dapat mengajar mereka erti bersyukur dan menyuburkan sikap suka memberi. Latihan di peringkat awal adalah penting kerana apabila mereka menginjak dewasa nanti, pasti tidak mempunyai masalah untuk menunaikan tanggungjawab ini.

Lanjutan daripada zakat fitrah, didik juga mereka dengan zakat harta. Kadang-kadang ada dalam kalangan masyarakat yang hanya faham zakat itu adalah zakat fitrah sahaja sedangkan zakat harta juga wajib ditunaikan.

Zakat harta ialah zakat yang wajib dibayar ke atas harta seperti hasil pertanian, binatang ternakan, perniagaan, wang simpanan, harta temuan, emas dan perak. Antara jenis-jenis zakat harta yang wajib dikeluarkan zakat ialah zakat hasil pertanian yang menjadi makanan rugi (asasi) sesuatu tempat seperti padi, gandum, kurma dan barli, zakat emas dan perak, zakat perniagaan seperti kedai, kilang dan saham, zakat wang simpanan, zakat pendapatan dan zakat rikaz dan ma’din.

Selain zakat, didik juga anak-anak mengenai wang syubhah. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, syub­hah bermaksud samar atau suatu keadaan yang mana sesuatu harta masih samar-samar sama ada halal ataupun haram. Beliau menjelaskan cara yang paling baik ialah dengan meninggalkan perkara-perkara yang syubhah ini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang haram.

Dalam keghairahan anak-anak untuk kumpul duit raya dan berlumba-lumba dengan kawan-kawan untuk siapa yang dapat duit raya paling banyak, kadang-kadang mereka terjumpa duit raya yang keciciran. Maka peringatkan mereka tentang duit tersebut bukan kepunyaannya dan adalah haram untuk mengambilnya.

Apa yang boleh dibuat jika terjumpa dengan duit tersebut. Boleh diterangkan kepada mereka bahawa duit tersebut boleh sama ada dise­rah kepada Baitulmal atau diserah kepada golongan fakir.

Duit raya yang diperoleh juga boleh dikaitkan dengan duit takaful. Takaful merupakan sebuah perlin­dungan yang akan memberi manfaat kewangan ketika berdepan dengan masalah-masalah seperti kemalangan dan kesihatan. Duit takaful adalah pemberian sumbang­an bagi membantu orang lain yang ditimpa sebarang bencana.

Justeru, duit raya yang dikumpul itu perlu disimpan sama ada dalam bentuk takaful atau simpanan biasa di bank. Duit tersebut boleh digunakan dalam keadaan kecemasan atau keadaan-keadaan lain yang memerlukan sumber kewangan yang ba­nyak seperti menyambung pengajian dan sebagainya.

Akhir sekali, selepas zakat, duit syubhah dan takaful, beritahu mereka bahawa dengan duit raya mereka macam-macam boleh dilakukan dalam aplikasi kewangan Islam. Duit tersebut boleh disedekahkan atau diwakafkan atau diinfak ataupun didermakan.

Sedekah adalah pemberian seseorang individu Muslim kepada orang lain secara sukarela dan ikhlas tanpa dihadkan oleh jumlah dan waktu. Sedekah lebih luas daripada konteksnya berbanding zakat dan infak kerana sedekah merangkumi harta dan segala amal yang baik.

Duit raya boleh diserahkan untuk kegunaan dan kesejahteraan umum dalam bentuk wakaf. Begitu juga dengan infak dan derma yang mana duit raya boleh diinfakkan kepada fakir miskin sesama Muslim, infak bencana alam, infak kemanusiaan, dan lain-lain.

Ajarkan anak-anak bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: “Ada malaikat yang sentiasa berdoa setiap pagi dan malam: “Ya Allah SWT berilah orang yang berinfak, gantinya dan berkata yang lain, “Ya Allah jadikanlah orang yang menahan infak, kehancuran.”

Kesimpulannya, raya membawa seribu erti kepada semua pihak dan banyak perkara baik yang boleh dipelajari sempena raya. Ambillah kesempatan raya untuk mendidik anak-anak mengenai duit raya dan kewangan Islam. Semoga mendapat manfaat.

Helaian al-Quran tertua

BIRMINGHAM 22 Julai - Beberapa helaian muka surat al-Quran dipercayai paling tua di dunia, dijumpai di Universiti Birmingham, lapor saluran penyiaran BBC.

Dijumpai pasukan penyelidik di Universiti Birmingham


Beberapa helaian muka surat al-Quran paling tua di dunia dijumpai di Universiti of Birmingham. Agensi

Jelas laporan berkenaan, pe­meriksaan radiokarbon mendapati, helaian muka surat menggunakan kulit kambing biri-biri atau kambing tersebut berusia sekurang-kurang 1,370 tahun, menjadikannya antara al-Quran terawal di dunia.

Helaian muka surat al-Quran tersebut berada di perpustakaan universiti itu sejak satu dekad lalu, tetapi tidak pernah dikenal pasti kewujudannya.

Ujian yang dilakukan oleh Unit Radiakarbon Universiti Birmingham memberikan beberapa tarikh penghasilan kitab suci itu dengan lebih 95 peratus keberangkalian bertarikh antara 568 dan 645 tahun Masihi.

Pakar Perpustakaan Britain, Dr. Muhammad Isa Waley berkata, penemuan luar biasa tersebut pasti disambut kegembiraan umat Islam.

Helaian tersebut sebelum ini ditempatkan bersama koleksi buku-buku dan dokumen Asia Barat lain tanpa dikenal pasti sebagai antara helaian muka surat al-Quran tertua di dunia.

Perkara itu disedari apabila seorang penyelidik sarjana menemukannya dan membuat keputusan untuk melakukan proses ujian radiokarbon.

Pengarah Koleksi Khas Universiti Birmingham, Susan Worrall berkata, beliau tidak menjangka usia helaian muka surat al-Quran tersebut.

“Penemuan ini sangat menarik,’’ katanya.