July 25th, 2015

Rumah terbuka patut utama golongan miskin, jiran terdekat

Masa berlalu sangat pantas. Sambutan Aidilfitri yang masuk hari ketujuh menandakan bulan yang diberkati makin jauh meninggalkan kita.

Persoalan seharusnya memenuhi ruang hati dan fikir apakah kita berpuas hati dengan prestasi amalan ibadah yang dilaksanakan sepanjang Ramadan lalu.

Ulama terdahulu sangat mengambil berat mengenai Ramadan sehinggakan selepas berlalunya bulan mulia itu, mereka memanjatkan doa yang sama sepanjang enam bulan selepasnya, memohon semua amal ibadah dilakukan pada bulan mulia itu diterima oleh Allah SWT.

Selepas tempoh itu, mereka menadah tangan memohon doa supaya Allah SWT memanjangkan usia mereka sehingga dapat bertemu dan beribadah lagi pada Ramadan akan datang.

Doa sama kita panjatkan semoga Allah SWT menerima amalan dan memberikan keizinan bertemu dengan Ramadan akan datang.



Rumah terbuka membentuk masyarakat menentukan masa untuk rakan berziarah berbeza
dengan budaya masyarakat lalu yang tebal dengan semangat kejiranan. - Gambar hiasan

Selepas berjaya menjalani ibadah sebulan Ramadan, Allah SWT memberi kita waktu untuk menzahirkan kegembiraan melalui sambutan Aidilfitri.

Umat Islam keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan mengenakan pakaian baharu. Mengenakan pakaian baharu kerap diertikan dengan mengenakan pakaian yang baharu dibeli, sedangkan ia sebenarnya bukanlah sebegitu maksudnya.

Kesilapan ini ada kala menyebabkan ramai yang berbelanja boros dan melebihi had kemampuan serta berhutang semata-mata ingin membeli baju baharu.

Elak pembaziran

Pemahaman seperti itu perlu diubah bagi mengelakkan pembaziran serta penggunaan wang melebihi keperluan. Ia sebenarnya merujuk kepada pakaian yang masih elok, cantik dan bersesuaian dengan suasana hari raya.

Sebulan Syawal ini, ramai yang mengambil peluang mengadakan rumah terbuka untuk meraikan saudara-mara serta sahabat handai.

Rumah terbuka diadakan dengan memilih satu hari tertentu yang mana tuan rumah akan menyediakan juadah menarik hari raya seperti lemang, nasi himpit, kuah kacang dan biskut raya.

Tetamu akan bertandang pada hari itu dan menjamu selera bersama-sama. Ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia.

Selalunya cuti hujung minggu menjadi pilihan untuk menjayakan rumah terbuka. Jika diperhatikan, budaya ini terutama di bandar secara tidak langsung menyebabkan wujudnya kesan baharu dalam masyarakat.

Antaranya, tetamu hanya bertandang ketika rumah terbuka diadakan sahaja. Ia berbeza dengan budaya silam yang sentiasa membuka pintu untuk tetamu.

Walaupun ia bukanlah satu kesalahan, kita perlu mengambil berat supaya ia tidak meminggirkan apa yang biasa diamalkan terdahulu dalam masyarakat Melayu Islam.

Ketika mengadakan rumah terbuka, jangan kita lupa jiran terdekat. Tidak sedikit yang membuat rumah terbuka untuk rakan sepejabat, tetapi jiran sebelah rumah tidak dijemput.

Begitu juga, jangan ditinggalkan golongan tidak bernasib baik seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang ditimpa musibah.

Hakikat sebenar yang dianjurkan Islam adalah membuat jamuan makan serta mengajak orang terdekat dan yang tidak berkemampuan untuk makan bagi menggembirakan mereka pada Syawal ini.

Wajarlah kita meraikan mereka saudara seagama dan orang yang hampir dengan kita. Sepanjang Syawal juga, Allah SWT turut mensyariatkan satu lagi amalan mulia untuk umat Islam mengumpulkan pahala iaitu melaksanakan puasa sunat enam hari.

Ganjaran besar dijanjikan Allah SWT bagi orang yang menyempurnakan puasa Ramadan diikuti puasa enam hari Syawal.
Kanak-kanak paling gembira mendapat duit raya. - Gambar hiasan

Saran puasa sunat awal

Ada kala disebabkan terlalu banyak rumah terbuka, kita tidak berkesempatan berpuasa enam. Justeru, adalah disarankan kita mula berpuasa sunat Syawal pada awal bulan sebelum disibukkan dengan pelbagai urusan pada pertengahan dan hujung bulan itu.

Kanak-kanak yang paling ceria pada Aidilfitri terutama apabila menerima duit raya. Mereka berlumba-lumba menziarahi rumah ke rumah untuk mendapatkan duit raya. Itulah sifat kanak-kanak yang mana kita sebagai orang dewasa tidak boleh menyalahkan mereka.

Sebagai ibu bapa, kita boleh memberi panduan dan ajaran supaya anak tidak berkunjung ke rumah orang semata-mata untuk mendapatkan duit, tetapi untuk menziarahi saudara-mara, merapatkan ukhuwah dan menjalinkan silaturahim.

Jika diberi duit raya, maka ia adalah rezeki untuk mereka. Ibu bapa juga boleh menanam semangat menderma dan menabung hasil wang kutipan duit raya.

Semailah rasa berterima kasih kepada yang memberi serta membuat sedikit peruntukan daripada jumlah duit raya diterima untuk tabung kebajikan Palestin, anak yatim, pembinaan masjid dan sebagainya.

Puasa sunat enam tingkat takwa, baik untuk kesihatan

Syawal disambut tanda meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa. Walaupun Ramadan sudah berlalu bukan bermakna segala rutin dan amal ibadah terhenti.

Justeru, amalan baik seperti menjaga adab, tatasusila ketika beraya, bersolat pada awal waktu, bersabar dan berpuasa sunat enam Syawal tanda amalan Ramadan terkesan dalam hati. Kebanyakan umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri secara besar-besaran dan cukup meriah.

Kebanyakan mereka bukan sekadar meraikan kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa, tetapi ramai bercuti panjang untuk pulang di kampung berkumpul bersama keluarga serta mengunjungi sanak saudara.

Ziarah-menziarahi adalah amalan mulia yang dituntut agama kerana dapat mengeratkan silaturahim. Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang ingin rezekinya diperluas dan umurnya ditambah, maka hendaklah ia menyambung silaturahim." (Riwayat Anas bin Malik)


Ziarah-menziarahi jiran tetangga amalan mulia yang dapat mengeratkan silaturahim. - Gambar hiasan

Tuntutan menghubung silaturahim ditekankan kerana dengan cara itu akan dapat membentuk perpaduan dan ukhuwah sesama Islam.

Kesempatan berada pada Syawal yang mulia amatlah dituntut untuk kita terus menjalin perhubungan yang mungkin tidak dapat dilakukan sebelum ini.

Jaga adab, tatasusila di rumah orang

Dalam kegembiraan menyambut lebaran dengan kunjung mengunjung, jangan dilupa adab dan tatasusila ketika berada di rumah orang.

Pelihara akhlak dan percakapan kerana itu melambangkan nilai serta tarbiah diri sepanjang Ramadan. Elak daripada bercakap perkara sia-sia apatah lagi perbualan yang boleh mengguris hati tuan rumah atau tetamu lain. B

arangkali kerana bertemu sekali sekala kita terlalu ghairah bercerita pelbagai topik sehingga boleh melukakan hati orang lain dengan soalan atau kata-kata yang sensitif.

Begitu juga ketika menjamu juadah disediakan tuan rumah, jangan sesekali kita mengambil makanan berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran.

Amalan membazir bukan sahaja perbuatan yang tidak manis, tetapi ditegah oleh agama. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah al-Isra', ayat 27)

Selesai beribadah pada Ramadan, bukan bermakna telah selesai rutin dan amalan ibadah kita pada bulan lain. Walaupun ganjaran pahala yang Allah SWT kurniakan tidak setinggi ganjaran pahala pada Ramadan, tetapi itu adalah kualiti nilai tarbiah diri ketika kita menjalani ibadah bulan mulia itu.

Syawal juga dilihat sebagai medan untuk menentukan sama ada amalan Ramadan benar-benar terkesan dalam hati dan perbuatan kita.

Sekiranya kita masih mengekalkan rutin ibadah seperti membaca al-Quran, bersolat pada awal waktu, sabar dengan ujian, tidak mengumpat atau menjauhi perbuatan maksiat, bererti madrasah Ramadan kita benar-benar mengukuh dalam diri.

Jika kita meninggalkan amalan pada bulan mulia itu, bererti kita hanya sekadar beribadah mengikut adat dan budaya sahaja, tetapi tidak melaksanakan amalan itu kerana Allah SWT.

Amal ibadah lain yang boleh kita terus laksanakan pada Syawal ialah puasa sunat enam. Seperti kata Abu Ayyub Al-Ansari, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari pada Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun." (Riwayat Muslim)

Ganjaran puasa sunat enam Syawal

Rasulullah SAW menyatakan puasa enam hari selepas Ramadan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Ganjaran pahala ini hanya terdapat pada puasa sunat enam Syawal dan ia adalah satu kelebihan bagi umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan di sisi Allah SWT.

Menyingkap hikmah berpuasa enam jika dilihat dari sudut kesihatan, ia baik bagi sistem pencernaan yang berehat lama pada Ramadan.

Jika kita dapat meneruskan puasa pada Syawal, tidak dapat tidak ia seperti satu latihan secara beransur-ansur untuk sistem penghadaman kembali kepada keadaan biasa.

Sesungguhnya kita hendaklah sentiasa istiqamah beribadah kepada Allah SWT supaya terus dapat membina hubungan dengan Allah SWT dan mengekalkan hubungan baik sesama manusia seperti dilakukan pada Ramadan.

Kata ulama, betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada Ramadan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai.

Rugi bagi kita jika tidak mengambil kesempatan dan peluang yang Allah SWT berikan ini untuk menambah amal ibadah kepada Allah SWT.

Jadikanlah Syawal ini ruang untuk kita meneruskan momentum beramal salih kepada Allah SWT, mudah-mudahan kita menjadi hamba yang mendapat pandangan tertinggi di sisi-Nya dan penghuni syurga Allah SWT yang kekal abadi.

Pemantauan harga kita hambar

Kunta Kinte harap semua pembaca dan ahli sidang pengarang kita sihat walafiat lepas puasa dan raya Aidilfitri. Yang balik kampung dan balik pekan, tentu rasa kesan kesesakan lalu lintas dan belanja isi minyak kereta dan motosikal.

Maklumlah minyak tambah mahal dan bila sangkut dalam kesesakan jalan raya, penggunaan minyak naik. Sebut pasal harga minyak, dua hari lalu Kunta Kinte sembang dengan orang kuat Persatuan Pengedar Petroleum Malaysia (PDAM).

Kunta Kinte tanya, harga akan turunkah pasal harga minyak mentah jatuh lagi? Dia kata, walaupun harga minyak mentah di pasaran dunia turun, belum tentu harga runcit dalam negara kita ikut turun.

Sebaliknya, dia kata harga runcit mungkin naik lagi pasal kadar tukaran ringgit jatuh berbanding dolar Amerika. Harga minyak dunia disebut dalam mata wang dolar.

Jadi kita kena tukar ringgit kepada dolar sebelum boleh beli minyak mentah. Betul kita keluarkan minyak mentah. Tapi sejak tahun lalu, kita dah jadi pengimport bersih.



Ertinya kita import lebih banyak minyak mentah daripada kita eksport. Cuma sebab gas asli, kita masih jadi negara pengeksport bersih minyak dan gas. Itu pun kita menderita teruk pasal harga bahan mentah petroleum merudum.

Macam Kunta Kinte dah cerita, kita jual minyak mentah kita yang mutu tinggi dengan harga mahal. Untuk kegunaan dalam negara kita import minyak mentah mutu rendah dengan harga yang lebih murah. Kunta Kinte pun dah cerita juga berkenaan kesan kejatuhan nilai ringgit ke atas harga import.

Bila nilai duit kita jatuh, harga import naik. Misalnya, pada 1 Julai 2009 kalau kita import satu barang harga AS$1 kita bayar RM3.52. Itulah kadar tukaran duit kita berbanding dolar masa itu.

Tapi pada 1 Julai tahun ini, kita kena bayar RM3.74 sebab nilai duit kita jatuh. Pada 16 Julai lalu, duit kita jatuh lagi kepada RM3.81 bagi satu dolar.

Ekonomi tak berapa kukuh

Ada tiga empat sebab duit kita jatuh. Satu pasal ekonomi kita tak berapa kuat. Dua, pasal harga barangan utama kita macam minyak mentah, minyak sawit dan getah jatuh. Tiga, pasal pelabur asing tarik keluar modal mereka dan empat, orang kita sendiri hantar keluar duit pasal tak berapa yakin dengan keadaan dalam negara.

Bila ramai orang jual ringgit dan beli dolar, nilai ringgit jatuh, nilai dolar naik. Lagi satu kita ada masalah dengan keanjalan harga.

Bila kos bahan mentah naik harga runcit naik, tapi bila harga bahan mentah turun, harga runcit tak turun. Contohnya harga petrol dan diesel. Bila harga petrol naik kali terakhir 1 Jun lalu, harga minyak mentah adalah AS$60.24 (RM221.68) setong.

Pada 20 Julai lepas, harga minyak mentah dah turun kepada AS$50.15 (RM191.07).

Harga runcit jarang turun

Sepatutnya untuk masa depan harga runcit bahan petroleum patut turun sebab harga minyak mentah jatuh dengan banyak, iaitu RM30.61 setong.

Malangnya harga runcit jarang turun, tapi terus naik. Bila kadar kejatuhan harga minyak mentah lebih besar daripada kejatuhan nilai ringgit, harga runcit sepatutnya turun.

Tapi kerana sistem penentuan harga kita yang tak telus, harga runcit naik bila kos bahan mentah naik, tapi tak turun bila kos bahan mentah jatuh.

Di negara maju macam Amerika, harga minyak di pam naik dan turun boleh kata setiap hari ikut harga minyak mentah. Pengusaha stesen pula lawan satu sama lain dengan tawarkan harga paling rendah.

Lagi pula, sistem pemantauan dan kawalan harga kita sangat lemah, manakala peniaga kita pula kurang sikap tanggungjawab. Mereka naikkan harga sesuka hati dengan guna macam-macam alasan.

Dua alasan paling kerap mereka guna sekarang adalah GST dan nilai ringgit. Kunta Kinte tak nafi pelaksanaan GST dan kejatuhan nilai ringgit sebabkan harga naik.

Tapi yang tak masuk akal ialah kadar kenaikan harga runcit. Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, sistem pemantauan dan kawalan harga kita adalah standard ayam dan dibuat macam hangat-hangat tahi ayam saja.

Bunyi bukan main hebat, tapi wal hasil balik asal itu fasal tak hasil. Kalau pihak berkuasa peduli nasib rakyat jelata, khususnya golongan pendapatan rendah, mereka kena bikin serupa cakap, bukan terus cakap tapi tak bikin.

Dosa cakap bohong dan kotak-katik rakyat jelata. Wallahuaklam.