July 31st, 2015

Khutbah Jumaat ~ “Mempertahan Negara Tuntutan Islam”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 31 Julai 2015: JAIS

“Mempertahan Negara Tuntutan Islam”

Sebagai pewaris Negara, kita sedar bahawa pengorbanan generasi terdahulu cukup berharga sekali. Maka, menjadi tanggungjawab kita ialah bersedia meneruskan serta memelihara semangat kepahlawanan, menyusun langkah bersama, mengatur perpaduan bangsa dan membangun kecemerlangan negara.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 60: “Dan bersedialah untuk menghadapi mereka (musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah, nescaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi”

Rakyat Malaysia perlu memberi pengiktirafan sewajarnya kepada barisan pahlawan Negara. Sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan tentera Islam dahulu, adalah berasaskan daripada kekuatan iman dan ikhlas mereka berjuang kerana Allah SWT dan syariat-Nya, serta ketaatan kepada kepimpinan. Mereka berpegang teguh kepada ajaran Islam supaya tidak hilang pedoman.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 153:“Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus. Maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) memisahkan kamu daripada jalan Allah. Itulah yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa”.

Sejarah menunjukkan bahawa kegigihan tentera Islam sejak zaman kegemilangan Islam hinggalah semasa Kerajaan Umaiyyah, Abbasiyyah dan Uthmaniah Turki untuk menawan Kota Konstantinopel (Istanbul), serta kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh yang menjadi Sultan Kerajaan Uthmaniah Turki wajar dicontohi. Mereka adalah contoh tentera Konstantinopel, pahlawan yang kuat beriman, tawaduk, bijak, pintar dan berani, telah Berjaya memimpin tentera Islam menawan Kota Konstantinopel daripada Kerajaan Rom.

Kejatuhan kota itu memudahkan dan membuka laluan yang menjadi pintu masuk penyebaran Islam di Eropah. Antara kata-kata beliau pada hari ke-53 kepungan untuk menawan Kota Konstantinopel ialah; “ Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid, ikutilah aku”. Menurut riwayatnya, beliau adalah sangat taat kepada perintah Allah dan tidak pernah meninggalkan solat fardu atau sunat rawatib dan tahajjud. Dengan izin Allah dia mampu bertahan dalam apa juga keadaan dan tidak mudah mengaku kalah. Begitu juga pahlawan Agung Salahuddin al-Ayyubi yang mampu mengalahkan tentera Salibiyyah dalam jumlah yang besar.

Menurut Dr. Yusuf al Qardawi, seorang ulama’ tersohor dewasa ini dalam bukunya “Al Iman Wal Hayat”, menyatakan bahawa pokok kekuatan orang beriman ialah :

Pertama : Mempercayai AllahOrang beriman itu kuat, kerana dia memperoleh kekuatan dan bergantung kepada Allah semata-mata. Meyakini bahawa Allah bersama dengannya di mana sahaja dia berada. Bahkan Allah menolong orang-orang mukmin yang berpegang teguh dengan hikmah dan kebijaksanaan-Nya.

Kedua : Mempercayai Kebenaran. Orang beriman mengambil kekuatan daripada kebenaran yang dianutinya. Dia tidak bekerja kerana dorongan syahwat dan nafsu, bukan kerana kepentingan peribadi, bukan kerana mempertahankan satu golongan dan bukan pula kerana hendak menganiaya dan melanggar hak orang lain.

Ketiga : Mempercayai Qadar. Orang beriman memperoleh kekuatan daripada kepercayaannya terhadap qadar. Dia mengetahui bahawa segala cubaan yang datang menimpanya, adalah dengan izin Allah. Jika manusia dan jin berkumpul untuk mendatangkan sesuatu musibah, nescaya tidak akan memberikan bahaya, melainkan dengan sesuatu yang telah diputuskan oleh Allah untuknya.

Keempat : Mempercayai Persaudaraan. Orang beriman itu memperoleh kekuatan kerana berjuang bersama saudara-saudaranya yang beriman, untuk membantu dan mempertahankan negara saudara-saudaranya yang beriman.

Sempena menyambut Hari Pahlawan pada tahun ini, marilah kita bersama-sama mempertahankan negara dengan mengambil langkahlangkah seperti berikut;

1. Kita hendaklah semarakkan iltizam, cintakan negara berasaskan prinsip-prinsip Islam sebagai pejuang Fi Sabilillah.
2. Pahlawan negara hendaklah sentiasa mempersiapkan diri dengan iman yang mantap, semangat yang sentiasa berkobar-kobar dalam menyempurnakan amanah dan peranan sebagai perwira.
3. Umat Islam hendaklah bersatu padu, berkasih sayang, memperkukuh persaudaraan yang sejati untuk mencipta kekuatan ke arah meninggikan syiar Islam, demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.
4. Umat Islam sewajarnya mendoakan Pahlawan Negara, baik yang telah syahid atau kembali menghadap Ilahi dengan iringan doa agar roh mereka mendapat rahmat dan keampunan. Bagi para pahlawan yang masih gagah, berdiri mengibarkan panji-panji perjuangan ini, demi negara yang dicintai, kita doakan agar mereka sentiasa istiqamah mempertahankan setiap inci bumi pertiwi ini walaupun dengan darah dan nyawa sebagai ganti.

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesiapa yang gugur dalam perjuangan membela agama Allah itu orang mati, bahkan mereka itu hidup tetapi kamu tidak dapat menyedarinya (mengetahui keadaan mereka)”. (Surah Al-Baqarah: 154)

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Pejuang Di Jalan Allah

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat 31 Julai 2015M/ 15 Syawal 1436H JAWI

"Pejuang Di Jalan Allah"

Saban hari di media cetak dan elektronik, kita dihidangkan dengan pelbagai kisah keganasan dan pemberontakan yang dikaitkan dengan perjuangan Islam. Pembunuhan secara berleluasa dilakukan dengan alasan memperjuangkan agama sebagaimana yang dilakukan oleh militan Negara Islam atau IS.

Tanggal 31 Julai pada setiap tahun, negara kita akan menyambut Hari Pahlawan. Sambutan tarikh keramat ini cukup sarat dengan pengajaran yang mencakupi segenap aspek kehidupan di dalam perjuangan dan pengorbanan Perajurit dan Pahlawan Negara yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis di Raja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan serta individu yang bersama-sama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 95: Bermaksud: “Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.”

Perjuangan hari ini tidak hanya berlaku di medan pertempuran sebaliknya boleh berlaku di medan ekonomi, penulisan, pendidikan dan sebagainya. Dermawan yang menginfaqkan hartanya untuk dibelanjakan pada jalan mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan negara, juga seorang pejuang. Penulis yang mengarang rencana mempertahankan kesucian Islam dan kedaulatan negara, juga seorang pejuang. Begitu juga dengan kita semua sidang jemaah sekalian, boleh menjadi pejuang dalam apa jua bidang yang kita ceburi.

Imam Hassan al-Banna menyatakan bahawa, “Islam mewajibkan jihad (perjuangan) ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas hati tiap-tiap Muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusia, menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran.”

Sultan Muhammad Al-Fateh merupakan pejuang Islam yang berperanan sebagai penakluk dan pembuka Kota Konstantinople yang kini dikenali sebagai Istanbul serta merampasnya kembali

Ini amat bertepatan dengan Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 190:Bermaksud: “Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) Agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh”.

Hidup dengan berjuang di jalan Allah adalah sebaik-baik kehidupan. Ini bertepatan sekali dengan Firman Allah SWT dalam Surah Al- Baqarah: Ayat 154 yang dibacakan di awal khutbah tadi yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang-orang mati;bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya”.

Justeru, bersempena sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai tahun ini, marilah bersama kita ambil semangat para pejuang Negara untuk diserapkan dalam jiwa dan sanubari kita dengan menghayati kesimpulan yang dapat diuntai daripada khutbah pada hari yang mulia ini:

Pertama : Pejuang dan perjuangan menegakkan agama Allah yang Maha Suci adalah satu ibadah yang menjanjikan ganjaran yang cukup hebat.

Kedua : Islam tidak menyuruh umatnya untuk memulakan sesuatu permusuhan sebaliknya menggalakkan perdamaian.

Ketiga : Pejuang yang sebenar adalah pejuang yang sentiasa menjaga dan memelihara hak-hak Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-‘Ankabut ayat 69:Bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”.

Wallahualam.

Istiqamah didik jiwa teguh dalam kehidupan

SETIAP manusia dilahirkan ke dunia ini mempunyai tujuan hidup iaitu beribadat kepada Allah. Bagaimana pun adakah ibadat itu sentiasa istiqamah atau pun tidak, kita jarang memikirkannya. Mungkin seseorang itu tetap istiqamah dalam ketaatan kepada Allah seumur hidup?

Bagaimana pun, tentunya manusia yang lemah tidak terhindar daripada kehidupan; kerana siapakah di antara manusia yang tidak pernah berbuat dosa? Jawapan kepada persoalan ini hanya kita sendiri yang perlu memikirkannya.

Umat Islam masa kini banyak mengalami pelbagai gejala penyakit rohani sehingga menimbulkan keresahan dan kegelisahan di hati dan jiwa.

Kesannya, fizikal atau jasmani manusia mengalami seksaan dan penderitaan jiwa. Penyakit rohani seperti keluh kesah apabila ditimpa keburukan dan tidak mahu bersedekah apabila mendapat rezeki dan harta ini juga boleh membawa kepada keresahan hidup. Hanya dengan hati dan jiwa yang istiqamah dapat merawat hati dan jiwa.

Dari segi istilah ‘istiqamah’ membawa maksud ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara sederhana tetapi terus menerus (termasuk urusan agama). Oleh itu, pendidikan sejak kecil mestilah sentiasa diarahkan untuk selalu taat dan dekatkan hati dan diri kepada Allah.

Istiqamah menurut bahasa bererti tegak, tetap dan lurus. Dalam istilah syarak, istiqamah bererti berdiri teguh pada jalan yang benar, lurus, berpegang kepada akidah Islam dan mengamalkan syariatnya dengan tekun tanpa berubah.

Apa yang haram hukumnya tetap haram di sisi Allah dan Islam. Hanya dengan iman segala-galanya ini dapat mengelakkan seseorang itu menyimpang jauh, serta terbabit dengan pelbagai gejala sosial, penyalahgunaan dadah, meminum minuma alkohol, membuang masa, terlibat dengan lumba haram sehingga meninggalkan solat.

Sifat istiqamah juga dapat menahan diri daripada ujian. Firman Allah yang bermaksud, “Apakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji lagi.” (Surah Al-Ankabut:2)

Oleh hal yang demikian, ketaatan kepada Tuhan akan dapat diuji keimanan seseorang manusia.

Firman Allah bermaksud, “ Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa (pengikut) dan buah-buahan (biji-bijian). Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadanya Kami kembali” (Surah al-Baqarah:155-156)

Manusia yang dijadikan di atas maka bumi ini akan diuji oleh Allah dengan berbagai-bagai bentuk ujian. Barang siapa yang beriman dan taat akan sabar dengan bermacam-macam-macam bentuk ujian itu. Allah akan memberi pahala kepadanya. Sementara itu, barang siapa tidak sanggup menerima ujian daripada Allah yang bermacam-macam-macam itu, maka Allah akan murka dan balasannya ialah neraka.

Hakikat ujian itu didatangkan bertujuan penghapusan dosa. Menguji tahap keimanan hamba. Selain itu, sebagai peningkatan darjat di sisi Tuhan sebagai peningkatan darjat di sisi Tuhan.

Allah hendak beri pahala tanpa hisab. Ini juga adalah tarbiah dari Allah. Tanda kasih sayang dari Allah.

Berkaitan tentang istiqamah Allah berfirman yang maksudnya, “Sesungguhnya orang yang mengatakan: Allah Tuhan kami, kemudian mereka berpendirian teguh (istiqamah), maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (berkata): Jangan kamu takut dan berdukacita, dan terimalah berita gembira memperoleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kami menjadi pelindung kamu dalam kehidupan di dunia ini dan pada hari akhirat.

Di sana kamu memperoleh semua apa yang menjadi keinginan jiwamu (hatimu), dan di sana kamu memperoleh semua apa yang kamu minta. Sebagai kehilangan dari Tuhan yang Pengampun dan Penyayang”. (Surah Fussliat: 30-32).

Manusia juga diminta supaya sentiasa tegah daripada Allah, firman-Nya yang bermaksud, “Bersikap teguhlah (istiqamah) seperti yang diperintahkan kepada kamu, demikian pula orang-orang yang kembali (kepada Tuhan) bersama kamu. Janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Tuhan melihat apa yang kamu kerjakan”.( Surah Hud:112)

Jelaslah orang yang sentiasa istiqamah akan menuju ke jalan yang lurus dan diredai Tuhan. Allah berfirman yang maksudnya “Dan barang siapa berpegang dengan Allah, mala sesungguhnya akan dipimpin dia ke jalan yang lurus” (Surah Ali-Imran:101).

Istiqamah menurut pengajaran agama Islam ialah berdiri teguh pada jalan yang benar dan lurus tanpa sedikit pun berubah sikap atau pendirian dalam apa keadaan sekali pun.

Inilah satu-satunya ciri orang yang benar-benar beriman terhadap Allah. Sesudah mereka menyatakan diri memeluk agama Islam seseorang itu lantas berpegang teguh dengannya, mengerjakan apa yang diperintah serta menjauhi apa yang dilarang.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Daripada Abi ‘Amr (ada yang menyebutnya Abi Amran) Sufyan bin Abdullah al-Tsaqafi RA berkata: Wahai Rasulullah SAW, katakanlah kepadaku suatu ungkapan tentang Islam, yang saya tidak memintanya kepada seseorang pun kecuali kepadamu. Rasulullah SAW bersabda: Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamah. (Hadis Riwayat Muslim).

Istiqamah juga adalah sikap tidak mudah putus ada walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. Istiqamah adalah merujuk kepada perkara-perkara berikut;

- Cita-cita yang murni untuk berjaya di dunia dan akhirat.

- Cabaran yang dihadapi, iaitu sanggup berdepan dengan pelbagai masalah dan ujian.

- Prinsip yang menjadi pegangan iaitu kebenaran (ajaran Islam berterap ilmu ibadah, solat, iman dan akhlak mulia.

- Berjihad melawan pengaruh hawa nafsu.

- Sentiasa berpendirian teguh dan tidak terpengaruh keseronokan.

Selain itu, istiqamah juga bererti berpendirian teguh atas jalan yang lurus, berpegang kepada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah dan berpaling walau dalam apa keadaan sekali pun.

Dapat dirumuskan unsur-unsur utama istiqamah adalah:

- Berpegang pada akidah yang benar, akidah ahli sunah wal-jemaah.

- Melaksanakan tuntutan syariat Islam berpandukan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

- Mempunyai prinsip dan keyakinan yang tidak akan berubah atau goyah.

- Tidak terpengaruh dengan diayah dan godaan hawa nafsu dan godaan syaitan.

- Tidak tunduk pada tekanan demi melaksanakan tanggungjawab dan mempertahankan kebenaran.

Sungguh indah sekali sifat istiqamah ini. Oleh itu, setiap orang yang mengakui dirinya Muslim, wajiblah memiliki sifat istiqamah ini. Orang yang bersikap istiqamah adalah orang yang sangat dikasihi oleh Allah dan akan beroleh ganjaran yang besar di akhirat kelak.

Justeru, istiqamah ini akan melahirkan sifat akhlak yang lain yang terpuji seperti menyukai kebenaran, berlaku sabar, amanah dan sebagainya.

Kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah agar dijadikan kita semua orang yang beristiqamah dalam kehidupan di dunia demi kebaikan di akhirat.

- Dr Aminudin Mansor Utusan Malaysia Rencana Agama 31 Julai 2015 1:34 AM

Masjid jadi sepi

Sambutan Aidilfitri terus meriah. Di sana sini, makin banyak penganjuran rumah terbuka hari raya. Ternyata ramai yang mengunjungi rumah-rumah terbuka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Di sebalik kemeriahan itu, masjid dan surau nampaknya kini makin lengang. Pesta ibadat dalam bulan Ramadan nampaknya berlalu bersama-sama berakhirnya bulan mulia itu. Kalau dalam Ramadan, ada 10 saf jemaah yang solat Subuh di masjid dan surau kini hanya tinggal satu saf atau dua. Rumah Allah jadi sepi.

Allah SWT sudah memberikan peringatan, tujuan puasa adalah melahirkan orang yang bertakwa. Ini bukanlah semudah kita menyebutnya tetapi ia adalah proses yang rumit. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa kepada Allah SWT. (al-Baqarah-183)

Kalimah la’alla yang dijadikan sendi firman-Nya dalam tersebut sudah sedia melontarkan konotasi ‘mudah-mudahan’, tanda tidak semua daripada kita berhasil mencapai takwa di hujung Ramadan.

Erti takwa adalah seperti yang digambarkan oleh Ubai bin Kaab, apabila ditanya oleh Saidina Umar mengenainya. Takwa kata Ubai: “seperti seorang yang sedang melalui jalan yang penuh duri”. Maksudnya sangat berhati-hati agar tercegah daripada memijak duri.

Oleh itu, orang yang bertakwa amat berhati-hati menjaga hukum Allah selain berusaha mencegah dirinya daripada melakukan perbuatan yang diharamkan. Bagi menilai sama ada mencapai takwa atau sebaliknya, ada beberapa ciri yang boleh kita perhatikan.

Pertama, bagaimana sikap individu itu terhadap kefarduan solat. Jika sebelum Ramadan, dia seorang yang tidak pernah meninggalkan solat, selepas Ramadan pastinya dia akan cuba istiqamah untuk solat jemaah lima waktu pula.

Solat jemaah bukan sahaja mendapat ganjaran pahala lebih 27 kali ganda daripada solat bersendirian. Lebih penting, solat jemaah itu hukumnya fardu kifayah. Maknanya, jika dalam sesuatu kawasan perumahan atau pejabat itu jika tidak didirikan solat jemaah maka seluruh penduduknya berdosa.

Kedua, bagaimana sikap kita terhadap penjagaan masa. Jika dalam Ramadan kita amat menjaga masa terutama waktu sahur dan berbuka adakah kita melakukan perkara yang sama kini? Waktu sahur diperhatikan agar tidak melanggar batas waktunya manakala waktu berbuka atau Maghrib pula ditunggu-tunggu. Ia selari dengan anjuran menyegerakan waktu berbuka puasa.

Soalnya, adakah kita kini memerhatikan masa-masa tersebut. Adakah kita sentiasa menunggu-nunggu waktu untuk solat Subuh dan waktu solat lima waktu yang lain? Atau adakah kita kini semakin dilalaikan dengan keseronokan dunia yang sementara.

Ketiga, bagaimana pula akhlak kita sebagai Muslim. Adakah selepas Ramadan kita masih mengulangi tabiat lama suka mengata orang, mengumpat, bercakap bohong, menyakiti orang dan sebagainya? Jika perangai buruk itu masih melekat pada diri kita, maka besar kemungkinan kita belum mencapai tahap takwa.

Mana mungkin mencapai tahap takwa jika kita gagal mempertahankan segala amal baik yang dilakukan sepanjang Ramadan. Sebabnya dalam Ramadan syaitan diikat dan nafsu kita lemah. Dalam bulan Syawal kita sudah kembali kepada fitrah dan realiti berhadapan pelbagai cabaran dan dugaan untuk melakukan kebaikan.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka belum diuji? (al-Ankabut: 2)

Justeru, marilah kita mempertahankan amalan yang baik sepanjang Ramadan. Terutamanya dalam bab solat berjemaah. Hayatilah pesan Saidina Ali, beruntunglah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, rugilah orang yang hari ininya sama dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam.

- Mohd Radzi Mohd Zin Al Bayan Utusan Malaysia Rencana Agama 31 Julai 2015 1:34 AM

Hari raya tepati konsep ibadah, bukan bawa padah

SUASANA hari raya di negara ini masih meriah dengan aktiviti Aidilfitri seperti rumah terbuka dan menziarahi sanak-saudara serta sahabat handai. Walaupun hakikatnya Aidilfitri disambut sehari sahaja, namun budaya masyarakat Islam di Malaysia meraikannya selama sebulan.

Ungkapan 'Selamat Hari Raya' meniti di bibir sebagai mengucapkan selamat. Adalah lebih baik andai kalimah diajarkan Nabi Muhammad SAW iaitu 'Taqabbalallahu minna wa minkum' yang bermaksud semoga Allah menerima amalan dan ibadah kita pada Ramadan menjadi ucapan semua kita.

Tiada masalah untuk menggunakan apa juga kalimah, asalkan ia mempunyai maksud yang sama. Namun, lebih baik kita mengamalkan apa yang termaktub dalam sunah Rasulullah SAW.

Itulah saranan Ustaz Pahrol Mohd Juoi ketika berkongsi ilmu menerusi program Islam Itu Indah.

Budaya bersendikan syariat

Beliau memetik pepatah Minangkabau yang terkenal ada menyatakan, "Adat basandi syarak, syarak basandi Kitabullah".

Katanya, budaya bersendikan syariat dan Islam adalah lebih wajar diutamakan, bukannya bersandarkan adat semata.

Selamat Hari Raya menggambarkan sebuah harapan dan doa. Sesungguhnya setiap yang diingini oleh fitrah manusia, pasti Islam ada jawapannya.

Perkataan Islam berasal daripada bahasa Arab iaitu 'salima' bererti selamat sentosa atau kedamaian. Daripada perkataan 'salima' itu dibentuk perkataan 'aslama' yang bermaksud memelihara dalam keadaan selamat sentosa.

Ia juga memberi erti menyerah diri, tunduk patuh dan taat. Oleh itu, Islam adalah selamat dan menyelamatkan. Adakah hari raya yang disambut benar-benar sejahtera, jelas mendamaikan dan betul-betul selamat di dunia juga akhirat.

SAMBUTAN hari raya dengan mengadakan rumah terbuka sinonim masyarakat di Malaysia. - Foto hiasan

Selamat di dunia bermaksud terhindar daripada malapetaka yang menimpa fizikal, material dan emosi.

Tenang dan senang berhari raya, terhindar daripada kesedihan, berserabut serta perasaan marah. Wujud kebaikan, terhindar daripada keburukan dan kemudaratan terhadap agama, nyawa, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Satu lagi dimensi selamat bagi orang beriman adalah selamat pada kehidupan selepas mati yang hakiki dan abadi.

Selamat ini merangkumi selamat daripada kemurkaan Allah SWT, mendapat keredaan dan pengampunan seterusnya selamat daripada seksaan neraka.

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka." (Surah at-Tahrim, ayat 6) Menepati suruhan Allah SWT menerusi firman-Nya: "Dan antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan pada akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka." (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Hari raya sangat berkait rapat dengan ibadah kerana ia perayaan yang berteraskan agama. Apabila hari raya dikira ibadah, ia akan membabitkan ketaatan mahupun kederhakaan kepada Allah SWT.

Berlaku pertimbangan antara pahala dan dosa. Justeru, terdapat syarat serta konsep yang perlu dipatuhi supaya hari raya menepati konsep ibadah bukannya membawa padah.

Dari sudut fitrah, sememangnya hari raya ingin disambut dan dirai dengan gembira serta meriah.

Diungkapkan oleh Anas: "Adalah mereka (penduduk Madinah) memiliki dua hari raya, hari di mana bermain dan bergembira, sampai Rasulullah SAW hijrah ke Madinah.

Rasulullah SAW bertanya: Apakah tujuan dan erti dua hari ini? Mereka menjawab: Pada zaman jahiliah dulu kami bermain pada dua hari raya ini.

Rasulullah SAW berkata: Sesungguhnya Allah SWT telah mengganti dua hari itu dengan hari raya yang lebih baik, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Riwayat Nasa'i dan Ibnu Hibban)

Islam tidak menghalang umatnya bergembira meraikan hari raya, tetapi bergembira itu perlu dalam acuan ibadah yang dianjurkan oleh Islam.

Utamakan niat yang ikhlas kerana Allah SWT mengikut didikan serta sunah Rasulullah SAW.

Laksana perintah Tuhan

Teras kepada kegembiraan umat Islam adalah dapat melaksanakan perintah Allah SWT menerusi puasa sebagai hadiah daripada Allah SWT.

Perlu gembira walau dalam keadaan tiada apa kerana itulah yang diajar dalam Islam.

Oleh itu, ketika hari raya digalakkan bertakbir yang terkandung tasbih, tahmid, takbir dan tahlil. Ia takbir keceriaan, kemenangan dan kemegahan kerana beragama. Ia mendidik diri untuk membesarkan Allah SWT.

Pada hari raya memperbanyakkan syukur menerusi tahmid. Syukur dengan nikmat Allah SWT dan gunakan nikmat itu untuk melaksanakan ketaatan.

Dalam bersyukur dengan nikmat hari raya usah terlupa untuk solat dan ibadah lain kerana itu juga tanda syukur. Akhir sekali, ada tahlil dalam takbir raya yang mengajar manusia tiada cinta selain daripada cinta Allah SWT.

Semua itu perlu terangkum dalam sambutan hari raya supaya ia menjadi ibadah.

Isu melihat Nabi SAW

Para ulama bersepakat bahawa harus melihat Nabi SAW dalam mimpi. - GAMBAR HIASAN

 Simpan yaqazah sebagai pembakar semangat bukan jual cerita

Wujud pertikaian pendapat tentang yaqazah Nabi SAW. Bagaimana sikap kita dalam menangani isu ini?

JAWAPAN:

Istilah yaqazah merujuk kepada perbuatan seseorang yang melihat Nabi SAW dalam keadaan jaga.

Dalam riwayat hadis, ada disebutkan beberapa hadis. Antaranya sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang melihat daku dalam mimpi maka dia akan melihat daku dalam keadaan jaga.”

Para ulama bersepakat bahawa harus melihat Nabi SAW dalam mimpi. Maka jika ada insan mendakwa bahawa beliau bermimpi bertemu dengan baginda SAW atau bermimpi melihat Nabi SAW, kita yakin ia harus berlaku. Cuma dakwaan insan tersebut mungkin benar dan mungkin sekadar pembohongan sahaja.

Maka kita melihat peribadi, watak dan akhlak insan tersebut. Jika insan tersebut baik,tidak pernah meninggalkan solat fardu, rajin solat sunat, rajin bersedekah dan sebagainya maka insan tersebut mungkin bercakap benar.

Jika kaki minum arak yang mendakwa bermimpi melihat Nabi SAW, maka kita wajar curiga. Jika insan seperti Abu Lahab atau Musaylamah al-Kazzab, kita mesti curiga.

Dalam isu melihat Nabi SAW secara jaga atau bukan dalam mimpi, nampaknya ada perbezaan pendapat dalam kalangan ijtihad para ulama. Ada pendapat ulama yang mengharuskan dan ada pendapat ulama yang menolak.

Hadis bahawa seseorang akan melihat Nabi SAW secara yaqazah mempunyai beberapa tafsiran. Bagi golongan ulama yang menerima yaqazah, mereka berhujah dengan zahir hadis ini. Manakala, bagi golongan ulama yang menolak yaqazah, mereka berhujah bahawa maksud hadis ini adalah untuk insan yang hidup pada zaman Nabi SAW. Ada juga yang berhujah bahawa yaqazah ini berlaku di akhirat nanti.

Dalam hal ini, kita berlapang dada menerima perbezaan pendapat. Cuma kita tidak dapat memastikan kesahihan dakwaan seseorang bermimpi berjumpa dengan Nabi SAW atau melihat secara jaga. Mungkin juga diperlihatkan oleh Allah SWT kepada seseorang.

Kita tidak perlu menuduh orang sebagai sesat hanya kerana menerima yaqazah atau menolak yaqazah. Yaqazah tidak membuktikan apa-apa kehebatan bagi seseorang. Al-Quran tidak memberi fokus kepada yaqazah.

Begitu juga riwayat hadis tidak memberi fokus kepada yaqazah. Jika kita yakin kita mendapat yaqazah, simpanlah ia sebagai satu kenangan dan pembakar semangat untuk terus berjuang dan berdakwah, bukan menjual cerita kita.