August 3rd, 2015

Larangan bersumpah tinggalkan kebaikan

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertakwa serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 224)

Di hujung ayat 223, surah al-Baqarah, Allah SWT memerintahkan orang beriman yang bertakwa kepada-Nya dan mengingatkan mereka jangan menderhakai serta menyalahi perintah-Nya.

Di sini Allah SWT menyebut antara perbuatan perlu dijaga dan ditakuti adalah bersumpah dengan nama Allah SWT sebagai penghalang melakukan kebaikan, ketakwaan atau melakukan islah sesama manusia.

Syeikh Muhammad Tantawi ketika menghuraikan ayat itu menyatakan maksudnya ialah janganlah engkau jadikan bersumpah dengan nama Allah SWT suatu penghalang bagi kamu daripada berbuat kebaktian, takwa dan islah di antara orang ramai.

Ada sebahagian manusia apabila diajak melakukan kebaikan tetapi dia tidak mengingininya lalu dia menyatakan, "Aku bersumpah dengan nama Allah aku tidak akan melakukannya," lalu Allah SWT dalam ayat ini melarang perbuatan itu.

Syeikh Al-Maraghy dalam tafsirnya menambah, jika kamu bersumpah tidak mahu melakukan perbuatan itu, maka hendaklah kamu membayar kifarat sumpah dan buatlah kebaikan kerana membuat kebaktian, takwa dan islah itu lebih baik daripada berpegang dengan sumpah.

Sebahagian mufassirin menghubungkan ayat ini dengan peristiwa yang berlaku kepada Abdullah bin Rawahah, seorang sahabat nabi yang bersumpah dengan menggunakan nama Allah SWT untuk tidak masuk campur urusan iparnya, Bashir bin al-Nu'man dan tidak berusaha mendamaikannya dengan isterinya.

Dengan alasan dia bersumpah untuk tidak masuk campur urusan mereka, tidak harus baginya melanggar sumpahnya lalu ayat ini dinuzulkan.

Kisah Saidina Abu Bakar

Ayat ini mempunyai persamaan dari sudut larangan bersumpah untuk meninggalkan kebaikan seperti yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar As-Sidiq yang bersumpah tidak akan lagi akan memberi nafkah kepada kerabatnya yang terbabit memfitnah anaknya Aisyah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya daripada kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nur, ayat 22)

Allah SWT menegur Abu Bakar dan semua orang yang mempunyai kelebihan supaya memberi bantuan kepada orang miskin, kaum muhajirin dan sesiapa sahaja memerlukan bantuan. Janganlah mereka bersumpah untuk tidak memberi bantuan kerana orang terbabit pernah melakukan kesalahan.

Apa yang sepatutnya ialah orang berharta dan berkelapangan itu berjiwa besar, berlapang dada dengan memaafkan kesalahan mereka.

Apabila Abu Bakar mendengar ayat itu, beliau memaafkan Misthah Ibnu Asasah dan membatalkan sumpahnya serta meneruskan bantuannya kepada Misthah seperti biasa.

Allah Maha Mengetahui sumpah yang dilafazkan dan niat yang tersimpan di hati, sama ada baik atau buruk.

Oleh itu, janganlah menjadikan sumpah sebagai alasan untuk tidak menyumbang kepada ketakwaan dan kedamaian sesama manusia.

Ibnu Abbas berkata, ayat itu memberi pengertian jangan kamu jadikan sumpah sebagai penghalang daripada melakukan kebaikan, sebaliknya jika kamu sudah bersumpah, keluarkanlah bayaran kifarat sumpah dan buatlah kebaikan.

Bayar kifarah

Jika kamu bersumpah untuk tidak berbuat kebaktian, tidak bertakwa dan tidak berlaku islah kepada orang ramai, maka kamu lebih baik tidak berpegang dengan sumpah itu, sebaliknya bayarlah kifarat sumpah dan berbuatlah kebaikan.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang membuat sesuatu sumpah, kemudian dia melihat sesuatu yang lain lebih baik daripada sumpah itu, maka hendaklah dia melakukannya (melanggar sumpah) dan hendaklah membayar kifarat sumpahnya." (Riwayat Muslim)

Berpandukan hadis dan sebab nuzul ayat berkenaan, sumpah tidak digalakkan terutama apabila amalan kebaktian terhalang. Sumpah menggunakan nama Allah SWT sepatutnya berperanan bagi mengukuhkan sesuatu untuk tujuan positif bukan yang negatif.

Oleh sebab itu, Allah SWT melarang kita melakukan perbuatan sedemikian dan menyuruh memilih cara yang baik. Jika bersumpah untuk meninggalkan sesuatu, pasti kita boleh lakukan dengan syarat kita wajib membayar kifarat sumpahnya.

Sabda Rasulullah SAW: "Demi Allah, sesungguhnya jika seseorang kamu terus berdegil dengan sumpahnya terhadap ahlinya (sedang dia melihat ada yang lebih baik daripada sumpahnya) maka perbuatan itu adalah berdosa baginya di sisi Allah daripada membayar kifarat sumpahnya yang sudah diwajibkan Allah ke atasnya." (Riwayat Bukhari)

Hubungan antara suami isteri sering kali berlaku keretakan disebabkan pelbagai cabaran dan masalah dalam rumah tangga. Islam mahukan jalan penyelesaian dicari supaya krisis tidak berlarutan sehingga akhirnya membawa kepada perceraian.

Keluarga dan masyarakat sekitar tidak seharusnya memandang kecil perkara ini kerana sesebuah rumah tangga bagaikan satu jasad, kadang-kadang jasad ini diserang demam ringan yang perlu dicarikan ubatnya dengan segera, semakin lewat mencari ubat semakin bertambah penyakit sedia ada.

Talak atau pembubaran ikatan perkahwinan adalah jalan yang terakhir selepas semua ubat tidak lagi berkesan. Namun, nama Allah SWT tidak boleh disalahgunakan bagi tujuan yang salah dan tidak membina.

Jika ada sesuatu yang mendatangkan kebajikan, jangan jadikan sumpah sebagai halangan berbuat kebaikan.

Berita Harian Rencana Agama Ogos 2, 2105

Cabaran mendalami al-Quran pada usia lewat

MULA belajar al-Quran dengan serius ketika usia mencecah 18 tahun, mungkin agak lewat bagi seorang pendakwah namun tidak menghalang penulis buku keagamaan, Rohidzir Rais, 40, untuk meneruskan cita-citanya mendalami agama dan kitab suci.

Menyingkap pahit jerih dalam menuntut ilmu agama danal Quran, tanpa segan silu, pendakwah bebas yang berasal dari Pulau Pinang mengakui beliau mula berjinak diri mengenali kalam suci pada usia yang agak lewat.

"Saya tidak pandai membaca al-Quran cuma kenal alif ba ta saja. Memang ada belajar al-Quran masa keciltetapi susah untuk mahir kerana banyak bermain.

Kesedaran untuk mendalami ilmu agama dan al-Quran sudah ada sejak Tingkatan Tiga tetapi tidak tahu bagaimana dan di mana mahu memulakannya.

Setiap kali solatitulah doa saya semoga mendapat jalan untuk menambah ilmu. "Semasa Tingkatan Enam, saya berjumpa Ustaz Yusoff Othman yang mengajar di sekolah saya dan beliau turut memiliki institut tahfiz, Ma'hadul Azhar dan sering bercerita mengenainya.

"Saya tertarik untuk mendalami Islam dan ustaz menawarkan saya belajar al-Quran di pondoknya setiap hari selepas waktu sekolah," katanya yang berulang menggunakan basikal ke sekolah itu. Kadangkala, jika ada halangan seperti hujan lebat, anak ketiga dari enam beradik ini akan bermalam di sekolah berkenaan.

Oleh kerana tidak mahir membaca al-Quran, beliau mengakui terpaksa membaca dari peringkat Iqra.

Beliau mahu meneruskan pengajian di Ma'hadul Azhar tetapi tidak dibenarkan oleh Yusoff kerana mahu beliau menghabiskan persekolahan dulu.

Namun, ia tidak langsung mematahkan semangatnya dan beliau bertekad menyambung pengajian di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan walaupun tanpa keizinan kedua orang tuanya.

"Ibu, Rodziah Ismail, 66 dan bapa, Rais Abdul Wahab, 68, tidak membenarkan saya pergi kerana sebagai anak lelaki sulung mereka mahu saya menamatkan persekolahan.

Mereka bimbang jika saya tidak menamatkan persekolahan sukar untuk mencari rezeki membantu keluarga tetapi saya tetap nekad dan mahu meneruskan pengajian.

"Saya hanya sempat bersalaman dengan ibu bapa dan meminta maaf dan terus pergi. Setiba di Pondok Pasir Tumbuh, saya menghantar surat panjang meminta maaf dan izin kepada ibu bapa untuk meneruskan pengajian.

"Awal pengajian di Pondok Pasir Tumbuh saya terpaksa belajar tulisan jawi selama seminggu kerana semua kitab dalam tulisan jawi. Saya susun jadual sendiri, 15 jam sehari diperuntukkan untuk membaca al-Quran," katanya.

Lama-kelamaan, katanya, ibu bapanya dapat menerima tindakannya dan lebih membahagiakan apabila adik di bawahnya turut mahir membaca al-Quran.

Mula usia lewat

Selepas setahun di Pondok Pasir Tumbuh, beliau kembali ke Pulau Pinang dan meneruskan pengajian di Ma'hadul Azhar selama tiga tahun.

Sepanjang di sekolah pondok itu, katanya, adalah antara tahun mencabar dalam usahanya mencari ilmu disebabkan usia yang sudah agak lewat.

"Di Ma'hadul Azhar adalah saat pengajian yang paling mencabar kerana terpaksa belajar wajib 10 jam sehari.

"Cabaran untuk belajar dalam keadaan usia yang agak lewat adalah terpaksa berguru dengan pelajar yang bijak jauh lebih muda daripada saya.

Mereka masuk ke sekolah itu ketika di sekolah rendah dan ke Mesir ketika usia mencecah 14 tahun, sedangkan saya sudah tamat persekolahan baru masuk sekolah itu.

"Saya terpaksa belajar dengan pelajar yang usianya lima tahun lebih muda dan berdepan dengan tekanan pada saat pelajar lain diulit mimpi, kita terpaksa berusaha keras belajar.

Kadangkala air mata tidak dapat ditahan terutama apabila apa yang dibaca tidak difahami," katanya.

Berdepan suasana cemas

Ceritanya, di Ma'hadul Azhar, beliau pernah berdepan dengan saat mencemaskan apabila dikepung satu parti politik yang berang kerana menyangkakan pelajar pondok itu menurunkan poster kempen Pilihan Raya Umum 1999.

"Ketika itu di asrama, pelajar paling tua adalah saya kerana pelajar senior ke Perak untuk mengambil peperiksaan Empat Thanawi.

Apabila geng motosikal masuk ke kawasan pondok, saya terpaksa turun kerana pelajar lain semuanya masih kecil. Dalam pada gementar itu, sempat juga saya menyelitkan pisau lipat dalam saku baju.

"Kumpulan itu memarahi kami dengan agak kasar dan saya meminta mereka menunggu ustaz untuk menyelesaikan perkara itu.

Apabila ustaz tiba dan berunding serta menafikan dakwaan mereka akhirnya kumpulan seramai lebih 20 orang itu bersurai.

"Memang bukan pelajar pondok kami yang menurunkan poster tetapi ada pihak yang berdendam dengan pondok kami yang mahu mengenakan kami," katanya.

Bercerita mengenai latar belakang pendidikannya, Rohidzir berkata beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Sungai Dua, Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Abdul Kadir, Kepala Batas sebelum menyambung pengajian di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan seterusnya Ma'hadul Azhar di Pokok Sena, Pulau Pinang.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang syariah Islam di Universiti al Azhar, Mesir selama empat tahun. Ketika di Mesir, beliau mula giat menjinakkan diri dalam bidang penulisan dan di tahun tiga di universiti itu beliau menterjemah karya penulis Turki, Harun Yahya bertajuk Evolusion Deceite dari bahasa Inggeris ke Melayu.

Usaha menterjemah karya Harun terus dilakukan sehingga di tanah air selepas tamat pengajian. Setakat ini, sebanyak 30 buku penulis itu diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Tubuhkan sekolah

Sekembali ke tanah air, beliau mengajar di Kolej Darul Azhar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang sambil melakukan kerja penterjemahan.

Beliau yang pernah berkhidmat dengan syarikat penerbitan PTS dan Pustaka Sheikh Nurudin, kini membuka syarikat penerbitan buku sendiri, Inspirasi i Media dan membuka sekolah Islam Nur al Azhar (SINAR), di Sepang untuk pelajar pintar.

"Saya menubuhkan sekolah ini adalah kerana saya tidak tahu di mana mahu menghantar dua anak saya. Saya berkongsi dengan rakan yang juga bekas pelajar Ma'hadul Azhar dan membuka sekolah ini dengan silibus sendiri di bawah Majlis Agama Islam Selangor.

"Sekolah ini adalah khusus untuk pelajar pintar dengan bimbingan guru mursyid. Setakat ini ada 28 pelajar berusia antara 10 hingga 16 tahun bersekolah di sini," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan bekas anak muridnya, Alina Abdullah, 31 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Dua tahun selepas kembali dari Mesir, beliau tidak menyampaikan ceramah agama kerana tidak yakin dengan ilmunya hanya membuat kerja penulisan.

"Saya mula berceramah selepas Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi menyarankan saya berbuat demikian. Saya berguru secara terus dengannya di rumahnya dan menerusi telefon.

Kebetulan ketika itu tawaran kali kedua untuk muncul dalam program Tanyalah Ustaz selepas kali pertama saya tolak.

"Saya minta pandangannya dan beliau menyarankan saya menyampaikan ilmu kepada khalayak. Saya masih ingat kali pertama muncul, berpeluh juga saya," katanya sambil ketawa.