August 5th, 2015

Islam subur di Moscow

Sekurang-kurangnya 1.5 daripada 12.5 juta penduduk yang mendiami ibu kota Rusia, Moscow adalah kalangan umat Islam.


Masjid Besar Moscow, antara enam buah masjid yang ada di ibu negara Rusia itu.

Dengan jumlah itu, Moscow bakal menjadi salah satu bandar raya yang mempunyai bilangan umat Islam yang terbesar di Eropah, menurut seorang penganalisa politik, Alexei Malashenko.

“Moscow secara perlahan-lahan menyesuaikan diri untuk menjadi bandar Islam terbesar di Eropah, dan umat Islam sendiri secara beransur-ansur berusaha menyesuaikan diri dengan kehidupan di ibu kota itu,” kata Malashenko.

Malah, seorang Paderi Besar Katholik Ortodoks, Dmitri Smirnov dalam ucapannya di sebuah gereja di Rusia turut menyatakan bahawa masa depan Rusia akan menjadi milik orang Islam.

Beliau melihat kesatuan umat Islam dalam soal-soal berkaitan ibadat fardu dan sunat cukup mengagumkannya.

Kesatuan itu jelas apabila lebih 180,000 orang Islam bersolat jemaah di lima buah masjid dan tiga tapak sementara dalam meraikan hari-hari terakhir bulan Ramadan lalu.

Satu lagi, kehadiran 60,000 umat Islam untuk bersolat sunat Aidilfitri di masjid Kubah Emas Sobornaya, Moscow walaupun kawasan sekitarnya dikawal ketat oleh polis turut membuktikan kesatuan umat Islam.

Malah, laungan Allah Maha Besar pada hari Sabtu oleh ribuan umat Islam di ibu kota Rusia itu telah menjadi antara aktiviti mingguan secara tetap.

Moscow bakal menjadi bandar raya dengan bilangan umat Islam terbesar di Eropah
Sebahagian daripada 60,000 umat Islam yang menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid Kubah Emas Sobornaya, Moscow baru-baru ini.

Selain itu, kehadiran Islam di Moscow telah berjaya menarik ramai penduduk daripada pelbagai etnik di Rusia untuk memeluk Islam.

“Saya mendengar banyak pujian bukan hanya tentang cara saya berpakaian, bahkan bagaimana ia kelihatan cantik,” kata Anastasiya Korchagina, yang menukar namanya kepada Aisyah selepas memeluk Islam lima tahun lalu.

Walau bagaimanapun, sebilangan besar umat Islam di Moscow tidak merasa kehadiran dan sumbangan mereka dialu-alukan oleh penduduk setempat.

Ada mendakwa mereka dikecam atau ditegur kerana melaksanakan ibadat solat fardu.

Bilangan masjid di Moscow juga hanya kekal enam buah sahaja, berikutan banyak sangat halangan dan rintangan yang perlu dipenuhi untuk membina masjid baru.

Di ibu kota itu, jumlah sekolah berasaskan Islam tidak banyak, dan setakat ini, hanya ada dua buah hotel halal.

Satu-satunya klinik kesihatan dan gimnasium khususnya untuk Muslim akan ditutup tidak lama lagi selepas dibuka kepada awam.

Perintah mempelajari sejarah

SURAH al-Fatihah atau juga disebut Ummul Quran yang kita baca setiap kali dalam sembahyang mengandungi perintah Allah SWT untuk mempelajari sejarah. Mungkin ramai yang tidak menyedari dan mempunyai kesedaran untuk membaca, mengkaji dan mendalami sejarah Islam.

Bermula daripada doa yang kita baca dan ucap setiap harinya yang bermaksud: ‘Tunjukilah kami jalan yang lurus (betul)’. (al-Fatihah: 6) dan jalan lurus, yang dimaksudkan di atas oleh para ahli tafsir itu adalah agama Islam.

Kemudian digambarkan ayat seterusnya dengan maksud: ‘(Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula) jalan mereka yang sesat,’. (al-Fatihah: 7)

Di sinilah perintah tersirat dan tersurat untuk mempelajari sejarah itu boleh kita fahamkan dan ia digambarkan melalui tiga golongan yang disebutkan dalam ayat terakhir itu iaitu;

1. Golongan yang telah diberi nikmat oleh Allah SWT.

2. Golongan yang dimurkai-Nya.

3. Golongan yang sesat.

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya (Tafsir Ibnu Kathir 1/140, al-Maktabah al-Syamilah) menjelaskan bahawa golongan yang merasakan nikmat Allah ini dijelaskan lebih lengkap dalam surah an-Nisaa’ ayat 69-70 yang bermaksud:

‘Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu : Nabi-nabi, para syiddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya,’.

Ada kata penghubung yang sama antara ayat ini dengan ayat dalam al-Fatihah. Iaitu kata An’am iaitu mereka yang telah dianugerahi nikmat. Sehingga Imam Ibnu Kathir mentafsirkan ayat dalam al-Fatihah tersebut dengan ayat ini.

Mereka adalah para nabi, para syiddiqin, para syuhada dan para solehin yang telah meninggal dunia tetapi perjalanan hidup mereka tercatat rapi dalam ukiran sejarah untuk dibaca dan difahami oleh kita semua.

Tolak kebenaran

Surah al-Fatihah dipohon dalam kehidupan seharian agar tidak tersesat

AL-QURAN menjadi panduan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. - GAMBAR HIASAN

Sementara itu, bagi golongan yang dimurkai Allah, Imam Ibnu Kathir menjelaskan bahawa mereka adalah golongan atau kelompok yang mempunyai ilmu tetapi kehilangan amalan, sehingga mereka dimurkai dan dilaknati.

Golongan ini diwakili oleh Yahudi. Sejarah memang mencatat bahawa mereka menentang Nabi Muhammad SAW walaupun mengetahui dengan yakin bahawa baginda adalah nabi yang dijanjikan hadir dalam kitab suci mereka sendiri.

“Demi Allah, sungguh telah jelas bagi kamu semua bahawa dia adalah Rasul yang diutus. Dan dialah yang sesungguhnya yang kamu jumpai dalam kitab kamu....”

Kata-kata itu bukanlah kalimah seorang sahabat yang sedang berdakwah di hadapan Yahudi tetapi pernyataan Ka’ab bin Asad, seorang pemimpin Yahudi Bani Quraizah.

Benarlah, Yahudi telah memiliki ilmu yang matang, tetapi mereka tidak mahu mengikuti kebenaran tersebut. Inilah yang disebut oleh surah al-Fatihah sebagai masyarakat yang dimurkai.

Para ulama menjelaskan bahawa tidaklah kaum Bani Israel itu diberi nama ‘Yahudi’ dalam al-Quran melainkan kerana setelah menjadi masyarakat yang rosak.

Rangkaian doa kita setiap hari dalam surah al-Fatihah tersirat kepentingan mempelajari sejarah.

Untuk dapat mengetahui secara lengkap bangsa dimurkai tersebut, bagaimana mereka, apa kederhakaan mereka dan lain-lainnya dalam menutup mata hati mereka sehingga mereka berbuat tidak selari dengan ilmu kebenaran.

Kerugian nyata

Bagi golongan ketiga iaitu mereka yang sesat, para ulama tafsir menjelaskan bahawa ia adalah masyarakat Nasrani. Ini kerana mereka itu seperti orang yang hendak berjalan menuju suatu lokasi tetapi tidak mempunyai ilmu tentang lokasi yang dituju.

Golongan itu kehilangan ilmu walaupun mereka masih beramal. Mereka mengikuti para pemimpin agamanya tanpa ilmu sehingga para pemimpin agama mereka itu boleh berbuat sesuka hati.

Allah berfirman yang bermaksud:

‘Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih anak Maryam, pada hal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan,’. (at-Taubah:31).

Kisah ‘Adi bin Hatim lebih menguatkan pernyataan ayat di atas. Daripada ‘Adi bin Hatim ra berkata: Aku mendatangi Nabi SAW dan di leherku ada salib dibuat daripada emas, aku kemudian mendengar Baginda membaca ayat:

“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah. Aku menyatakan: Ya Rasulullah sebenarnya mereka tidak menyembah rahib-rahib itu. ‘Nabi menjawab: Benar. Tetapi para rahib itu menghalalkan untuk mereka apa yang diharamkan Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan Allah, maka itulah peribadatan kepada para rahib itu. (riwayat Tirmizi dan Baihaqi dihasankan oleh Syeikh al-Albani).

Oleh itu, sangat penting kita menghayati kandungan surah al-Fatihah. Inilah doa yang selama ini kita mohonkan dalam kehidupan seharian kita agar tidak tersesat. Al-Fatihah merupakan surah yang pertama yang kita baca dalam solat. Surah yang mengandungi doa yang sering kita pohonkan kepada Allah SWT setiap masa.

‘Tunjukilah kami jalan yang lurus 
(iaitu) jalan orang-orang yang telah 
Engkau beri nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula) jalan mereka yang sesat. (al-Fatihah: 6-7).

Manja suami bukan 
serah tanggungjawab

Nak tergelak pun ada, keliru pun ada. Itulah reaksi tatkala Rohaya (bukan nama sebenar) menceritakan keadaan suaminya. Bahkan mungkin ada yang tak akan percaya bahawa di zaman serba canggih ini, seorang lelaki masih tidak tahu bagaimana hendak mengeluarkan duit di mesin ATM dan mengisi petrol ke tangki minyak kereta.

Awal perkahwinan, bicara Rohaya, dia seboleh-bolehnya cuba memahami keadaan suaminya. Namun kini mencecah enam tahun perkahwinan, keadaan tersebut masih tidak berubah. Katanya, jangan paksa dia melakukan sesuatu yang dia tak tahu.

Alahai pening juga kepala dibuatnya apabila segala urusan yang sepatutnya boleh dilakukan bersendirian oleh suami, tapi tidak mampu untuk dilakukannya. Maka terpaksalah Rohaya menemaninya setiap masa.

Untuk erat kasih sayang

IKATAN cinta bukan bermakna suami perlu menyerah semua tanggungjawab utamanya kepada isteri. Gambar Hiasan

Semua ini mungkin berpunca daripada sikap kemanjaan terlampau suaminya terhadap ibu bapanya di zaman bujangnya. Suaminya mengakui, sekalipun dia berkereta untuk pergi ke tempat kerja, tapi minyak kereta akan sentiasa penuh kerana diuruskan oleh ayahnya.

Justeru, dia tidak tahu langsung bagaimana untuk melakukannya tanpa bantuan daripada ibu bapa.

Begitu juga, kad ATM banknya dipegang oleh ibunya. Jadi segala keperluan duitnya, akan diatur oleh ibunya. Bila tiba hari gaji, dia hanya memberitahu ibunya untuk mengeluarkan sejumlah wang yang diperlukan.

Apa yang dia tahu, ibunya telah melakukan segala-galanya termasuklah urusan nafkah Rohaya, pembayaran duit kereta, minyak kereta, perbelanjaan dapur, pakaiannya dan sebagainya. Dia tidak pernah ke mesin ATM untuk mengeluarkan wang belanja.

Justeru, sebaik berumah tangga, sudah tentu kelakuan si suami mendatangkan rasa pelik pada Rohaya. Pada awalnya, Rohaya hanya menyangka suaminya sekadar ingin bermanja-manja dengannya. Dan Rohaya melayannya.

Bahkan kata Rohaya, dialah isteri yang paling bertuah apabila kad ATM suami, dia yang pegang. Jadi dia tahu berapa gaji suaminya dan berapa duit yang tinggal dalam akaun suaminya.

Namun sehinggalah saat dia hendak bersalin anak sulung, maka kad ATM diserahkan kepada suami dengan harapan, kalau berlaku apa-apa semasa proses bersalin, maka dia boleh menguruskannya termasuklah urusan bayaran kos bersalin. Ternyata, waktu itu wajah suaminya kelihatan gugup. Dia resah dan gelisah. Dan akhirnya satu pengakuan dibuat yang membuatkan Rohaya tercengang-cengang. Seakan tidak mahu mempercayainya tapi itulah realiti yang sedang berlaku.

Dalam keadaan sakit hendak bersalin, terpaksalah Rohaya ‘dicuri’ untuk dibawa keluar sebentar, semata-mata mahu mengeluarkan wang di mesin ATM yang terletak di lobi hospital.

Saat itulah barulah Rohaya sedar bahawa suaminya bukan mahu ‘bermanja’ dengannya tapi sememangnya dia tidak tahu bagaimana untuk menggunakan kad ATM termasuklah mengisi minyak petrol ke dalam tangki kereta.

Bukan itu sahaja yang suaminya tak tahu. Bahkan boleh dikatakan banyak kerja rumah yang suaminya tak tahu untuk melakukannya termasuklah menukar lampu yang terbakar.

Ternyata apabila keadaan ini berlarutan sehinggalah enam tahun hidup bersama, sudah tentu perkara-perkara remeh sedemikian akan menjadi beban kepada Rohaya.

Ada kalanya, berlaku juga beberapa siri pergaduhan hanya disebabkan oleh perkara-perkara yang remeh. Sikap suaminya yang suka mengadu dan bercerita dengan ibunya membuatkan Rohaya semakin tawar hati untuk terus hidup bersama suaminya.

Rohaya bingung memikirkan apa yang harus dia lakukan untuk ‘memulihkan’ suaminya agar menjadi lelaki yang serba tahu dan tidak hanya bergantung dengan orang lain walaupun isu yang remeh temeh!.

TIP KAUNSELOR

1 Tugas seorang suami amatlah berat sehingga Allah meletakkan tanggungjawab utama dalam kehidupan kepada kaum lelaki.

2 Manakala kehadiran perempuan dalam kehidupan di dunia ini adalah sebagai pelengkap yang akan menyempurnakan keperluan hidup sesuai dengan fitrah kejadian dan peranan yang diciptakan untuknya.

3 Tugas seorang suami dalam rumahtangga lebih bersifat tugasan yang berbentuk fizikal dan mental seperti mencari nafkah dan keperluan keluarga meliputi makan minum, tempat tinggal, kemudahan pengangkutan dan juga keselamatan.

4 Sebaliknya tugas isteri lebih kepada pelaksanaan hidup seperti melahirkan zuriat, menjaga keperluan rumahtangga seperti menyediakan suasana hidup keluarga yang harmoni dan sejahtera.

5 Namun untuk melalui kehidupan yang penuh dugaan dan cabaran ini suami isteri perlu bekerjasama merancang dan melakukan visi kehidupan mereka bersama-sama.

6 Sebagai ibu bapa pula mereka juga mempunyai peranan yang besar dalam membantu anak-anak membangunkan keluarga mereka kerana anak-anak memerlukan panduan dan pandangan serta pengalaman ibu bapa.

7 Kebijaksanaan ibu bapa dalam mengurus masalah anak menantu akan membuatkan anak-anak terasa kehadiran ibu bapa sebagai mentor mereka.

Cabaran besar memperkasa hukuman syariah

PERBINCANGAN mengenai kesalahan syariah tenggelam timbul. Tenggelam timbul bergantung kepada suhu politik negara.

Keadaan begini perlu ditamatkan. Hal perundangan Islam hendaklah dilihat dan dibahas menurut perspektif undang-undang, bukan sentimen politik, walaupun tidak dinafikan, seperti perkara lain juga, memerlukan kehendak politik.

Bagi tujuan tulisan ini, saya mengambil pendekatan akademik perundangan untuk memberi pandangan mengenai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1964 atau dikenali sebagai Akta 355.

Akta 355 adalah undang-undang atau akta yang diluluskan oleh Parlimen bagi menentukan had bidang kuasa berkaitan hukuman jenayah syariah yang boleh dibuat oleh Badan Perundangan Negeri, dijatuhkan dan seterusnya dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah seluruh negara ini.

Parlimen, dalam membuat akta yang diluluskan pada pertengahan tahun 1960-an itu mengambil punca kuasa daripada Perlembagaan Persekutuan, iaitu Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan. Bahagian yang relevan daripada butiran itu ialah, urusan berkaitan Islam adalah urusan negeri, yang mana termasuklah... 'keanggotaan, susunan dan tatacara Mahkamah Syariah,... tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang Persekutuan...'

Frasa yang digaris itu adalah punca kuasa bagi Parlimen untuk membuat Akta 355. Tajuk panjang dan mukadimah Akta 355 dinyatakan bahawa ia bertujuan memberikan bidang kuasa kepada mahkamah yang ditubuhkan di bawah undang-undang negeri bagi mengendalikan kesalahan di bawah undang-undang Islam.

Membezakan kesalahan

Jika dilihat kepada sejarah penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan secara khusus penggubalan frasa berkenaan, saya belum menemui dokumen sejarah yang menjelaskan kenapa peruntukan itu digarap sebegitu, sedangkan hal ehwal Islam, termasuk pentadbiran dan perundangannya, termasuk kesalahan syariah adalah di bawah kuasa dan bidang kuasa negeri.

Sering dikatakan bahawa Islam berada dalam kuasa autonomi negeri. Dengan ketiadaan dokumen sejarah, ia seperti misteri dan kita tidak mempunyai penjelasan sebenar kepada salasilah dan juga tujuan frasa ini dimasukkan dalam Perlembagaan.

Namun, pada pendapat dan tafsiran saya, frasa ini bertujuan untuk membezakan kesalahan atau jenayah yang berada dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri serta meletakkan hal berkaitan jenayah di bawah kawalan Persekutuan walaupun hal ehwal Islam dan perundangan Islam diisytiharkan sebagai kuasa autonomi negeri.

Walaupun pada dasarnya masih lagi boleh dihujahkan atau ditafsirkan lagi frasa yang ditekankan di atas, terutama maksud kepada perkataan bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan, sama ada ia membabitkan hukuman sahaja atau jenis kesalahan, apa yang tidak dapat dipertikaikan ialah Parlimen sudah dianugerahkan oleh Perlembagaan, dengan kuasa untuk menentukan bidang kuasa berkaitan kesalahan yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Implikasi ke atas kuasa negeri

Atas sebab itu, Akta 355 ini perlu diberikan perhatian sewajarnya dan beberapa persoalan berkaitannya perlu dijawab. Antaranya persoalan yang memerlukan jawapan ialah, adakah akta ini sah?

Apabila ia membabitkan hal perundangan Islam, secara khususnya undang-undang jenayah syariah, yang difahami ramai sebagai berada dalam kuasa autonomi negeri, adakah akta ini selaras atau bercanggah dengan Perlembagaan?

Dengan ada peruntukan yang saya tekankan di atas, ia menjadikan pemahaman khalayak umum mengenai kedudukan Islam dalam aspek pentadbiran dan perundangannya, sebagai secara mutlak berada dalam kuasa autonomi negeri adalah tidak tepat.

Frasa ini dengan jelas sudah menjadikan sedikit daripada aspek perundangan Islam, iaitu hal berkenaan dengan kesalahan tidak secara mutlak berada dalam kuasa atau autonomi negeri.

Maka Akta 355 ini adalah akta yang sah. Walaupun sedikit sahaja aspek yang terkesan, implikasinya ke atas kuasa negeri berkenaan kesalahan syariah sangat besar.

Bahkan Akta 355 ini adalah cabaran besar dalam memperkasa hukuman kesalahan syariah. Sekiranya mahu ditambah jumlah dan tahap hukuman kepada kesalahan syariah, Akta 355 ini hendaklah dipinda.

Dalam usaha pindaan kepada Akta 355 ini, ia adalah bidang tugas Kerajaan Persekutuan, kerana ia adalah sebuah akta yang diterima pakai di semua negeri.

Cadangan pindaan itu tidak sepatutnya dimulakan oleh negeri. Walau apa pun hujah saya di atas, saya berpendirian bahawa kita hendaklah akur dengan peruntukan Perlembagaan ini, kecuali kita meminda Perlembagaan.

Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian Kolumnis 5 Ogos 2015