August 10th, 2015

Undangan wajib dipenuhi, Berkongsi makanan dengan isteri

Undangan wajib dipenuhi
Sempena bulan Syawal ini, orang ramai mengambil kesempatan untuk menziarahi kaum keluarga dan rakan-rakan. Namun apabila sudah berkumpul beramai-ramai, mesti ada “sesi mengumpat”. Ia seperti terlalu sukar untuk dielakkan. Adakah boleh jika kita tidak pergi ke rumah orang lain kerana ingin menjaga lidah? Adakah termasuk dalam perkara yang memutuskan silaturahim? - Syira, Shah Alam.

UKE: Pergi ke majlis kenduri apabila dijemput adakalanya wajib dipenuhi dan adakalanya sunat pergi dan adakalanya tak perlu dipenuhi. Ia bergantung kepada bentuk kenduri dan pengisian yang ada di dalamnya.

Masalah yang anda ajukan ini lebih bersifat telahan daripada anda sendiri. Macam mana anda boleh tahu adanya sesi mengumpat di situ?

Adalah lebih afdal anda pergi, kemudian menikmati jamuan dan mengeratkan silaturahim sebagaimana yang disuruh agama. Jika anda dapati ada sesi mengumpat, maka anda janganlah campur dan tarik diri perlahan-lahan dari majlis tersebut. Bukannya terus membuat andaian awal sehingga tak mahu pergi memenuhi jemputan tersebut.

Nabi SAW pernah bersabda yang ertinya: “Hak Muslim pada Muslim yang lain ada enam iaitu: pertama, apabila engkau bertemu, berilah salam padanya. Kedua, apabila engkau diundang, penuhilah undangannya. Ketiga, apabila engkau diminta nasihat, berilah nasihat kepadanya. Keempat, apabila dia bersin lalu mengucapkan ‘Alhamdulillah’, doakanlah dia (dengan mengucapkan ‘Yarhamukallah’. Kelima, apabila dia sakit, jenguklah dia dan keenam, apabila dia meninggal dunia, iringilah jenazahnya. (HR. Muslim).

Antara hak yang harus ditunaikan oleh seorang Muslim kepada Muslim yang lain di dalam hadis ini adalah memenuhi undangan. Maka jika ada perbuatan yang anda sebutkan tadi ada di dalam majlis tersebut, maka bolehlah anda nasihati dan jika tidak berjaya, selepas makan jumpa tuan rumah dan tetamu yang lain, bersalam lebih kurang dan beredarlah.

Berkongsi makanan dengan isteri

Isteri saya suka mencicip atau mengambil sedikit makanan saya, baik dalam pinggan atau bungkusan. Ibu saya minta saya menegur perbuatan isteri kerana baginya, pantang orang tua dahulu si isteri buat begitu kerana seperti mahu mendahului suami, malah kurang beradab atas peranan suami. Tetapi saya rasa tidak ada masalah. Adakah saya salah dan hal ini ada dalam adab Islam?

- Ezman, Parit Buntar.

UKE: Biasalah orang tua penuh dengan pantang larang. Tak menjadi kesalahan berkongsi makanan dan minuman dengan isteri. Menjalani kehidupan sebagai suami isteri tidak ada yang lebih indah dan romantiknya apabila suami dan isteri tidak kekok untuk menikmati makanan dari satu bekas ataupun suami memakan makanan lebihan isteri dan sebaliknya.

Maka itu sudah cukup untuk membuktikan tiada lagi perasaan “tiada selera, jijik dan sebagainya” disebabkan cinta yang ikhlas dan suci sudah pun mantap dan berpadu.

Memanglah tindakan sedemikian tiadalah hinanya jika diamalkan kerana ia juga merupakan amalan junjungan besar Nabi SAW dengan para isteri baginda.

Ini dapat dibuktikan daripada hadis Saidatina Aishah RA yang menceritakan bahawa: “Aku minum air dari satu bekas, ketika itu aku sedang berhaid, lalu Nabi SAW mengambil bekas minumanku itu dan meletakkan mulut baginda pada tempat aku meletakkan mulut pada bekas tersebut.”

Paparan hadis ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Nabi SAW tidak menjadikan bekas mulut isterinya sebagai jijik, walaupun ketika itu isteri baginda sedang haid. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan jika diperhatikan kepada hadis lain, didapati baginda juga makan daripada kesan gigitan isteri.

“Aku menggigit sepotong daging, lalu sisa gigitan itu diambil oleh Nabi SAW, lalu baginda pun menggigitnya pada bahagian yang aku gigit tadi.”

Pesanan yang tak wajib dilaksanakan

Saya berasal daripada keluarga bukan Islam. Arwah emak, abang sulung, kakak yang kedua (arwah) dan saya, Alhamdulillah sudah menjadi Muslim yang taat. Hanya dua orang lagi kakak saya iaitu yang ketiga dan keempat masih bukan Islam. Ketika hidupnya, arwah ibu saya ada berpesan pada saya yang dia tidak mahu kakak-kakak saya yang bukan Islam menyentuh mayatnya apabila dia meninggal dunia nanti. Ketika abang sulung saya menghubungi saya memberitahu tentang kematian emak kami, saya pun menyampaikan amanah arwah emak kami itu. Malangnya kakak saya yang ketiga tidak boleh menerimanya. Saya dituduh berlagak alim dan Islam munafik. Saya pernah cuba telefon kakak saya yang ketiga itu namun tidak berjawab. Sekarang sepuluh tahun sudah berlalu, saya tidak pernah lagi berhubungan dengan kakak saya itu. Jadi saya sentiasa berfikir dan risau adakah akan diterima amalan saya ustaz? Mohon pencerahan.

- Puan Yati, Kuala Lumpur.

UKE: Puan Yati, bukan semua pesan si mati perlu dilaksanakan oleh waris atau orang yang dipesan untuk melaksanakannya. Dalam masalah anda ini, pesanan arwah emak anda ini termasuk dalam kategori yang tak perlu dilaksanakan kerana boleh mendatangkan implikasi yang lain.

Nah, sekarang anda nampak sendiri apa yang telah berlaku. Tidaklah menjadi kesalahan kalau yang bukan Islam memegang jenazah orang Islam. Malah, apabila kita melayan mereka dengan baik, mudah-mudahan terbuka pintu hati mereka terhadap Islam.

Apa pun perkara telah berlaku dan apa yang anda harus lakukan ialah mencari jalan supaya anda kembali bertaut kasih sayang dengan kakak anda. Jika anda telah berusaha untuk berbaik tetapi ditolak, maka janganlah terus membuang diri, sebaliknya berbuat baik seperti berkirim salam, memberi hadiah, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau apa sahaja yang boleh menyambung silaturahim.

Tetapi jika dia tetap berdegil, maka urusan anda telah selesai. Hanya kakak anda yang masih bermasalah.

Insya-Allah, amalan anda diterima dan pastikan dalam masa yang sama, anda berusaha kembali rapat seperti dahulu. Buat kakak anda, saya nasihatkan sudah-sudahlah, buanglah yang keruh, ambil yang jernih.

Memutuskan silaturahim hukumnya haram dan dikira melakukan maksiat besar sehingga mendapat laknat daripada Allah SWT. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “(Kalau kamu tidak memenuhi perintah) maka tidakkah kamu harus bimbang dan dikhuatirkan jika kamu dapat memegang kuasa, kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.” (Surah Muhammad: 22-23).

Apatah lagi orang yang memutuskan silaturahim ini tidak masuk syurga, sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (HR. Muslim).

Kuat berangan

Saya seorang yang kuat berangan sejak kecil lagi. Setiap masa saya akan berangan perkara yang bukan-bukan terutamanya diminati ramai lelaki kerana kecantikan dan kebijaksanaan saya, dipuji orang kerana ada kereta besar dan mendapat teman lelaki "mat saleh".

Namun, tabiat saya itu menyebabkan saya sering melakukan kesilapan kecil seperti lambat masuk parkir, tersadung apabila berjalan, terlebih cakap sebab hendak dianggap bagus dan tidak boleh fokus ditempat kerja. Apakah zikir, doa dan ayat al-Quran yang patut saya amalkan untuk menangkis sifat negatif ini.

- Lolita, Kuala Lumpur.

UKE: Pelik sungguh masalah anda ini. Mungkin anda menghadapi masalah selalu bermonolog. Saya mencadangkan agar anda bertemu dengan pakar untuk membantu menyelesaikan masalah anda.

Bagi amalan harian, saya cadangkan amalan berikut; Baca surah al-Rahman sekali selepas solat Subuh atau dua kali seminggu atau baca surah al-Jumuah setiap kali selepas solat Isyak atau baca ayat 200-201 surah al-A’raf (hembus pada air dan minum) atau baca surah al-Fatihah dan surah al-Nas setiap kali selepas solat.

- Utusan Malaysia Rencana Agama 9 Ogos 2015

Baitullah menggamit lagi

MEMANG ramai dalam kalangan kita ternan­ti-nanti tambahan kuo­ta jemaah haji negara. Boleh dikembalikan daripada jumlah sedia ada, 22,320 jemaah kepada angka asal 27,900 atau tidak?

Kuota haji rasmi itu dikurangkan sebanyak 20 peratus atau 5,580 sejak 2013. Namun, ini juga bergantung kepada takdir-Nya. Kalau diizinkan oleh kerajaan Arab Saudi yang sekian lama budiman kepada Kuala Lumpur, adalah rezekinya. Lagipun kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah serta sekitarnya masih belum sempurna.

Begitupun buat masa ini, ramai yang sudah bersiap sedia setelah menerima surat tawaran mengerjakan haji untuk Musim 1436H/2015 ini. Bersyukurlah kerana anda terpilih, dipanggil ke rumah Allah atau kiblat umat Islam ini.

Alhamdulillah kerana sudah sampai seru-Nya. Kalau tidak, tempoh menunggu giliran bagi yang baru mendaftar haji semalam (9 Ogos 2015) adalah 73 tahun. Setakat 29 Julai tahun ini, jumlah yang te­lah mendaftar haji adalah 1,820,525 orang (1.8 juta).

Bagi jemaah penerbangan pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Ogos ini, talbiah haji tentu bergema. Sejumlah tujuh stesen lapangan terbang disenaraikan bagi membawa jemaah haji secara terus ke tanah suci menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan Saudi Airlines.

“Labaik Allahumma Labaaik, labaaik Laa Syarika Laka Labaaik Inal Hamda Wan Ni’mata Laka Wal Mulka La Syarikalah.” (“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu”).

Apakah perkara baharu menanti jemaah di tanah suci nanti untuk Musim 1436H ini? Walaupun dalam kalangan 22,320, detik-detik berada di lapangan terbang nanti, diikuti bersalaman, sebak dan saling menangisi bersama ibu bapa, adik beradik dan sanak saudara merupakan detik-detik untuk berlepas, namun difahamkan kali ini pergerakan jemaah akan lebih berjalan lancar di sana.

Dengan siapnya projek kereta api berkelajuan tinggi Haramain di Jeddah dan Mekah, kesesakan yang ditempuh para jemaah antara Mekah dan Madinah akan berkurangan. Terbahagi kepada enam seksyen atau kawasan bermula dari seksyen 1 di Mekah dan berakhir di seksyen 6 di Madinah, stesen lain yang akan turut dilalui oleh bullet train ini adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz dan Pusat Ekonomi Raja Abdullah di Rabigh.

Kelajuan tertinggi kereta api ini adalah 360km/jam. Tren menghubungkan Mekah-Madinah tersebut setakat ini keperluannya untuk orang tempatan, yang sekali gus mengurangkan kesesakan lalu-lintas.

Jika musim haji lepas, jemaah mana-mana negara yang menggunakan perkhidmatan bas, teksi, pikap perlu ‘bersaing’ dengan jemaah tempatan sehingga untuk ke Arafah pun memakan masa antara lima hingga enam jam, kali ini paling lama pun untuk ke lokasi urusan mengerjakan wukuf itu menjadi satu hingga dua jam. Ini impak dari siapnya projek kereta api ini, yang mengurangkan jemaah tempatan di atas jalan raya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya masih mengekalkan larangan lawatan ke ladang unta dan kurma kepada jemaah haji Malaysia.

“Untuk membeli kurma tidak jadi masalah. Kita semua juga jangan risau akan ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS), kerajaan Arab Saudi telah menjamin keselamatan jemaah haji dari seluruh dunia di tanah suci nanti.

“Cuma, mana yang tidak dapat pergi tahun ini (Musim Haji 1436H/2015M) harap bersabarlah, Tabung Haji akan cuba sedaya upaya kemas kini kaedah pemilih­an,” kata beliau.

Abdul Azeez memberitahu, seramai 600 petugas haji termasuk wakil media, doktor serta jururawat akan ditugaskan di pelbagai sektor di Mekah dan Madinah bagi tujuan memudahkan operasi dan perjalanan jemaah.

“Seramai 250 petugas dihantar awal pada 3 Ogos lalu dan selebih­nya akan dihantar pada 8 dan 12 Ogos ini,” katanya.

Kata beliau, kos jemaah muassasah yang mengerjakan haji buat kali pertama dikekalkan pada kadar RM9,980 seorang walaupun kos sebenarnya RM17,270.

“Ini bermakna, subsidi sebanyak RM7,290 telah diperuntukkan kepada setiap jemaah haji dan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung Tabung Haji pada tahun ini ialah RM150 juta,” katanya.

Pihak Tabung Haji turut me­lantik 17 syarikat pengelola untuk musim haji kali ini.

“Syarikat pengelola ini mengendalikan pakej haji bukan muassasah, jadi saya nasihatkan mereka yang pergi haji menerusi syarikat-syarikat atau travel agent haji ini untuk melaporkan kepada Tabung Haji jika ada perkara-perkara yang tidak disenangi mereka. Ini untuk mengelakkan Tabung Haji dipersalahkan,” kata beliau.

Antara inovasi baharu yang akan diperkenalkan semasa Musim Haji 1436H ini:

Perkhidmatan Talian Kaunseling (PeKa) sebagai tambahan kepada Talian Ibadat (Taib) sedia ada.

Sistem baharu yang akan diperkenalkan di tanah suci tahun ini iaitu Sistem THHIS (TH Health Information System) telah dibangunkan sendiri oleh Tabung Haji bagi pengurusan maklumat pesakit dari kalangan jemaah haji.

Perkhidmatan pergigian yang dimulakan tahun lalu, akan ditambah baik dengan peralatan baharu yang lebih canggih.

Di Mekah baru-baru ini, Tabung Haji turut memastikan tahap kemudahan yang disediakan di Pusat Rawatan Aziziah sentiasa berkualiti dari segi perkhidmatan dan keselesaan. Antaranya, menaiktaraf pusat rawatan itu agar mematuhi peraturan keselamatan kebakaran yang ditetapkan oleh bomba Arab Saudi.

Kerja-kerja menaik taraf yang dilakukan termasuk memasang sistem pemercik air dalam bangunan pusat rawatan tersebut.

Pada masa sama, Muassasah Asia Tenggara turut memberi reaksi positif terhadap beberapa pandangan yang dikemukakan Tabung Haji. Antara cadangan yang diutarakan adalah membenarkan Tabung Haji menggunakan petugasnya sendiri untuk menguruskan jemaah haji Malaysia.

Mereka turut menyambut baik cadangan Tabung Haji menempatkan beberapa chef agensi itu bagi membantu muassasah dari segi penyediaan makanan panas untuk jemaah haji Malaysia.

Muassasah turut memperuntukkan sebanyak 20 ambulans khusus untuk jemaah dari Tabung Haji. Tabung Haji dengan kerjasama radio IKIMfm juga menyediakan Program Haji 1436H/2015M bagi memberi pendedahan dan ilmu kepada para jemaah tersebut.

“Tabung Haji sudah bersedia sama ada dari segi penginapan, klinik kesihatan sehinggalah ke keperluan logistik, perkhidmatan pengeluaran wang, mengepos dan bagasi,” kata Abdul Azeez.

Di beberapa lapangan terbang di Malaysia bermula tengah malam 16 Ogos sehinggalah 16 September depan, talbiah haji akan terus bergema. Lirik lagu Panggilan Haji juga akan ikut berkumandang.

Panggilan haji

Telah tiba lagi

Menunaikan ibadah

Panggilan Baitullah

Tanah Suci Makkah

Ya Makkatul Mukarramah

Tanah Suci Makkah

Ya Makkatul Mukarramah.

- Zulkifli Jalil Utusan Malaysia Rencana Agama 10 Ogos 2015

Isteri lihat kekurangan diri pasti temui banyak kelebihan suami

JIKA kita seorang lelaki atau wanita yang baik dan beriman berniat untuk mendapatkan pasangan soleh serta solehah, kita akan dapat sebagaimana yang diniatkan.

Jika kita sudah berusaha menjadikan diri soleh atau solehah, Allah SWT akan menggerakkan hati orang yang beriman mendekati kita.

Itu yang saya perkenalkan dalam konsep pemikiran 'reset minda' dengan formula 'Ada - Beri - Dapat'.



DALAM kehidupan rumah tangga, suami dan isteri harus belajar menerima pasangan dengan seadanya. - Foto NSTP/gambar hiasan

Insya-Allah kita akan dapat orang yang sama seperti kita, kecuali Allah hendak menguji dengan memberikan pasangan yang bertentangan sikap, perangai, bagi menguji kesabaran, ketakwaan dan keimanan.

Atau kita ditakdirkan Allah SWT menjadi 'ejen pengubah' kepada pasangan. Wanita yang memiliki suami, anak, rumah tangga aman bahagia, sihat tubuh badan dan harta secukupnya, ia adalah nikmat tidak terhingga. Ibarat telah mendapat syurga di dunia.

Bersyukur kepada Allah SWT jika kita tergolong dalam kategori wanita bertuah seperti itu. Ada wanita yang nasibnya tidak sebaik kita.

Mereka dikurniakan suami kacak, baik, berkerjaya bagus, berharta dan agamanya terjaga, tetapi walaupun sudah bernikah bertahun-tahun pasangan itu tidak dikurniakan anak.

Ada wanita pula, hasil perkahwinan dengan suami tercinta, dikurniakan ramai anak tetapi ekonomi mereka tidak kukuh.

Tidak kurang juga wanita yang berasa tidak bahagia, walaupun dikurniakan beberapa orang anak kerana anaknya semua perempuan, sedangkan suami teringin hendak anak lelaki.

Elak membandingkan diri

Lebih dahsyat lagi ujian Allah SWT, ada pasangan mempunyai anak lelaki dan perempuan tetapi anaknya cacat pula.

Dalam hidup ini, apabila kita fokus kepada apa yang dimiliki, kita akan bersyukur. Tetapi, jika fokus kepada yang tidak ada, akan rasa kekurangan kerana asyik membandingkan diri dengan orang lain.

Hasil daripada perbandingan itu, yang akan terserlah hanyalah rasa terkilan dan tidak puas hati kerana hidup tidak seindah atau sebahagia orang lain.

Ingatlah jika asyik membandingkan dan bersaing dengan orang lain, mengharapkan penghargaan manusia dan sentiasa fikir apa orang kata, hidup tidak akan tenang.

Demikianlah permasalahan rumah tangga, jika tidak berpunca daripada anak, mungkin daripada sikap suami atau isteri sendiri.

Apabila kita berhadapan dengan masalah, kita tidak perlu cari punca masalah.

Carilah segera penyelesaian masalah dan pada masa sama cari jalan untuk menguatkan jiwa supaya tabah menghadapi serta berhadapan masalah atau musibah.

Analoginya, apabila susu tertumpah di atas meja adakah kita akan segera mengambil kain dan mengelap bagi mengelak susu tumpah ke lantai yang menyebabkan banyak lagi tempat perlu dibersihkan.

Atau kita bising-bising mencari siapa dan bagaimana susu itu tertumpah? Fikirkan mana satu pilihan perlu diambil.

Dalam kehidupan rumah tangga, cabaran sering ditemui ialah isteri berasa dirinya tidak dihargai, tidak dilayani dengan baik dan tidak mendapat kasih sayang daripada suami.

Andai berhadapan masalah ini, pertama, tanyalah diri adakah kita telah melayan suami dengan baik?

Cari kesilapan sendiri

Kita tidak akan membersihkan jiwa selagi hanya sibuk melihat keburukan dalam diri orang lain.

Salah satu cara Allah SWT memberi kebaikan atau hidayah kepada seseorang adalah apabila dia sibuk melihat kesilapan diri dan melihat kebaikan orang lain hingga tidak sempat melihat keburukan orang.

Jika hendak mencari kesilapan suami tentu kita akan temui banyak kesilapannya kerana kita akan dapat apa yang difokuskan. Tetapi jika kita muhasabah mencari kekurangan diri, akhirnya kita akan dapat menerima suami seadanya dan menemui banyak kebaikan suami untuk disyukuri.

Manusia paling lemah ialah mereka yang menyembunyikan keburukan diri tetapi sibuk mencanangkan keburukan orang lain dan berasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.

Jika ingin diri disayangi dan dihormati, kita terlebih dahulu perlu menyayangi serta menghormati. Ingatlah dunia melayan kita sebagaimana kita melayan diri sendiri. Harga diri yang tinggi bergantung kepada ketakwaan kepada Allah SWT dan akhlak yang terkawal.

Cabaran seterusnya biasa dihadapi isteri adalah berhadapan dengan suami yang ego.

Hakikatnya, suami adalah ketua keluarga dan kerana itu perlu mempunyai ego tetapi janganlah berlebihan keegoan hingga menggugat hubungan suami isteri.

Tanda orang yang tinggi sifat egonya, suka marah, cakap semua hendak betul dan panas baran. Orang yang marah kepada dirinya akan marah kepada orang lain.

Kemarahan keluar daripada hati yang suka marah. Oleh itu, perlu pastikan kemarahan disebabkan oleh apa dan kepada siapa.

Ada sejarah hitam

Orang yang ego sebenarnya kurang keyakinan diri dan mempunyai sejarah hitam semasa kecil yang mempengaruhi kehidupan dewasanya.

Isteri berhadapan suami yang berimej negatif perlu menghargai dan melayan suami dengan kasih sayang. Puji dan hargai kehadirannya dalam hidup kita, sebut selalu kebaikannya.

Tukar fokus kepada mencari kebaikan suami. Tonjolkan kebaikan, jangan sengaja mencari dan mengungkit kelemahan suami. Ramai yang suka menghukum berdasarkan perkara yang lepas.

Allah SWT lebih suka orang yang berdosa tetapi bertaubat daripada orang yang kuat beramal tetapi riak. Jangan fikir sejarah silam suami jika berniat ingin membawanya ke jalan yang baik kerana Allah SWT.

Insya Allah akan dipermudahkan urusan kita. Apabila suami mendapat pujian dan penghargaan isteri, keyakinannya semakin tinggi.

Pada masa sama, suami tidak berasa perlu menunjukkan kehebatan dan kemampuan dirinya (keegoan) kerana sudah mendapat pengiktirafan daripada isterinya.

Akaun emosi suami akan melonjak tinggi apabila suami mendapat kasih sayang dan penghargaan daripada orang terdekat dengannya iaitu isteri.

Dalam proses hendak mengambil dan menambat hati suami, jangan menghukum atau bersangka buruk kepada suami.

Sebaliknya, berterus terang dan cakap dari hati ke hati apa yang patut atau tidak patut dilakukan.

Semarakkan rasa cinta dan jadilah isteri yang sentiasa bersyukur serta menghargai kehadiran seorang lelaki bergelar suami.