August 11th, 2015

Berusahalah cari kekuatan perbaiki diri

AWAL kehidupan kita mengenali manusia, kemudian membesar mengenal Allah SWT. Kita diperkenalkan dengan iman dan diberi didikan untuk beramal kepada Allah SWT. Kita menghabiskan zaman kanak-kanak dengan riang dan ceria kerana bersihnya hati kita.

Masa berlalu, kita terus mengharungi perkembangan kehidupan dari alam persekolahan, pekerjaan, perkahwinan dan seterusnya. Dari alam keluarga, kita dikelilingi manusia yang menjadi teman, musuh, menyokong atau menjatuhkan kita.

Kenalan bertambah mengikut peningkatan usia. Kita lalu disibukkan dengan pelbagai urusan harian membabitkan hubungan sesama manusia. Ditambah dengan kepesatan teknologi hari ini, kita berupaya mengenali dan memiliki sebegitu ramai kawan.

Berada di tengah ribuan manusia setiap hari dengan pelbagai urusan tidak berkesudahan. Kita dilekakan dengan pujian, cinta dan perhatian makhluk Allah SWT bernama manusia.


Berusahalah menjadikan jiwa tenang dan hanya mengharapkan pertolongan Ilahi. - Foto hiasan


Kita menjadi 'manja' dengan penghargaan manusia. Kita mudah menjadi terkesan dengan pandangan, fikiran dan kata-kata manusia di sekeliling kita.

Harap perhatian manusia

Kita sering mengharapkan perhatian manusia dan menantikan kata-kata pujian atas perbuatan baik dan tingkah laku kita.

Jika pandangan, fikiran dan kata-kata manusia itu tidak menepati hati dan kehendak, kita mudah berasa marah serta kecewa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang." (Surah al-Raad, ayat 28) Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin menerusi rancangan Pesona D'Zahra yang bersiaran jam 10.15 pagi di IKIMfm, Isnin lalu, mengupas persoalan mengapa manusia hari ini mudah terganggu emosi dan mentalnya.

Mungkin kerana kita berharap kepada orang lain, tetapi malangnya kita berasa dikecewakan mereka. Beliau berkata, kekecewaan yang dirasakan mungkin disebabkan kita tersalah menyandarkan harapan, keikhlasan dan impian kepada makhluk maka disebabkan itu kita selalu kecewa sedangkan sepatutnya kita meletakkan harapan kepada Allah SWT.

Katanya, umat Islam digalakkan mencari ruang waktu dari masa ke masa untuk bersendirian mencari Allah SWT. Bukan sedikit tokoh hebat dan orang salih terdahulu dalam sejarah umat Islam telah mencari kekuatan dengan amalan beruzlah.

Nama terkenal seperti Sultan Muhamad Al Fateh penakluk kota Constantinople yang kaya dan ternama, pemimpin daripada khalifah Uthmaniyyah bernama Sultan Biyazid dan ramai lagi yang tidak gentar menanggalkan pakaian kerajaan digantikan pakaian zuhud ketika beruzlah mencari kekuatan dengan mengasingkan diri serta beribadah sebanyak-banyaknya.

Menurut Muhammad, sesungguhnya manusia itu sentiasa diselubungi pelbagai penyakit yang tidak akan dapat diubati kecuali dengan jalan mengasingkan dan memperhitungkan diri di tempat sunyi, jauh daripada suasana dunia yang rakus, sombong, bongkak, dengki serta bermegah-megah.

Beliau berkata, segala-galanya itu adalah penyakit mencengkam jiwa manusia dan menguasai hati yang lemah akibat jauh dari Allah SWT. Maka jalan terbaik untuk kembali kepada Allah SWT adalah merenung dan bertafakur dengan segala nikmat pemberian-Nya, menghayati keagungannya serta kebesaran-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hanya orang Mukmin yang sebenar itu apabila disebut saja nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibaca ayat al-Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Allah sajalah mereka menyerah diri." (Surah al-Anfal, ayat 2)

Pada kesempatan berusahalah, kita dapat bermuhasabah diri merenung kebesaran Allah SWT, menghitung dosa dan perbuatan buruk kita sambil membandingkan dengan rahmat serta nikmat Allah SWT yang tidak terhitung.

Melalui ketenangan ketika beruzlah juga, kita mencari ilmu mengenai keesaan Allah SWT yang menciptakan segala di antara langit dan bumi, memohon rahmat, keampunan serta cuba memahami sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah seketika sementara akhiratlah tempat abadi.

Di sinilah diri akan memperoleh kekuatan untuk melaksanakan sesuatu ibadah dan amalan baik kerana hati hanya mengharapkan ganjaran dan reda Allah SWT.

Apabila keikhlasan menjadi tunjang amalan, balasan dan perhatian manusia tidak akan menjadi permasalahan kepada seseorang itu.

Dalam konteks rumah tangga, keikhlasan dan mencari reda Allah SWT penting kepada setiap ahli keluarga dalam melaksanakan tanggungjawab, ketaatan serta amalan.

Ia akan membuatkan suami atau isteri tidak mudah kecil hati, kecewa, marah dan murung jika pasangan tidak memberikan balasan atau penghargaan setimpal.

Tidak putus asa

Kita akan berasa cukup dengan ganjaran dan rahmat yang Allah SWT sediakan sebagai balasan perbuatan baik kepada manusia lain.

Apatah lagi untuk mengungkit-ungkit sesuatu amalan atau pemberian apabila keikhlasan disandarkan kepada Allah SWT semata-mata.


Orang yang mengenal Allah SWT tidak akan putus asa dan memiliki kekuatan hati. Oleh itu, berusahalah mencari ruang beruzlah serta tanamkan keyakinan dalam hati bahawa hanya Allah SWT tempat mengharapkan reda dan tempat bergantung harap.

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menghampakan janji buat hamba-Nya yang selalu mengharapkan ihsan dan kasih sayang-Nya.

Bergantung hanya kepada Allah SWT akan melapangkan hati dan memberi kekuatan jiwa untuk menjalani kehidupan yang penuh ujian serta cabaran ini.

Romantik cara Rasulullah

RAMAI dalam kalangan pasangan menganggap sikap romantik tidak lagi penting atau perlu ditunjukkan dalam hubungan, lebih-lebih lagi selepas mencapai usia puluhan tahun bergelar suami isteri.

Malah, suami yang bersifat tegas dan bengis terhadap isteri dilihat seperti lebih dibanggakan serta dijadikan contoh kerana kononnya berjaya mendominasi sebagai ketua dalam keluarga.

Ini kerana, majoriti beranggapan sikap lemah lembut dan kasih sayang terhadap pasangan hanya sesuai untuk pasangan muda yang baru berkahwin atau memulakan cinta bagi mengenali pasangan masing-masing.

Sehinggakan apabila pasangan yang telah lanjut usia bersifat romantik terhadap pasangan masing-masing mereka dilihat janggal atau lebih tepat lagi seperti ‘membuang tabiat’.

Khalifah agung di luar, ‘suri’ dalam rumah

PERCINTAAN akan terus bahagia dengan mengamalkan sifat romantik dalam rumahtangga. - GAMBAR HIASAN - Rashid Mahfof

Menyentuh mengenai perkara ini, pendakwah antarabangsa, Imam Zia Sheikh berkata, romantik adalah sifat Rasulullah SAW dan apabila mana-mana pasangan melakukannya dengan tujuan mengamalkan sunah pasti akan mendapat pahala daripada Allah SWT.

Walaupun baginda terkenal sebagai pemimpin yang hebat dan panglima perang yang digeruni oleh musuhnya, namun beliau berkata, Rasulullah SAW memiliki sifat kasih sayang dan romantis sebagai seorang suami terhadap isteri-isterinya.

Ketinggian peribadi Rasulullah SAW itu, tambahnya, membuktikan kepada umat Islam bahawa kemuliaan akhlak baginda yang sempurna sehingga tidak dapat dikesan cacat celanya walaupun dengan teman rapat iaitu isteri-isterinya sendiri.

“Antara kejayaan Rasulullah SAW dalam berdakwah adalah kerana akhlaknya yang mulia. Sehinggakan sesiapa sahaja yang melihat baginda buat kali pertama pasti akan terpikat dengan sikap baginda.

“Kemuliaan ini bukannya lakonan baginda sebagai Amirulmukminin ketika bersama sahabat, tetapi isteri-isteri baginda sendiri tidak dapat menyatakan kekurangan baginda ketika bersama mereka di rumah.

“Malah pelbagai kisah diceritakan oleh isteri Rasulullah SAW sendiri mengenai keperibadian baginda ketika di rumah,” katanya ketika berucap pada Persidangan Islam Global (GIC) di Putrajaya, baru-baru ini.

Perhimpunan anjuran Texstar Oil Group selama dua hari itu mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan dan Persatuan India Muslim Malaysia itu menghimpunkan lapan orang ulama terkemuka antarabangsa bagi membentangkan topik masing-masing.

Antaranya, Mufti Ismail Musa Menk, Sheikh Tawfique Chowdhury, Sheikh Yahya Ibrahim, Sheikh Moutasem Al-Hameedy, Sheikh Alaa El Sayed, Sheikh Musleh Khan dan Sheikh Shady Suleiman.

Tambah Zia, antara sifat romantik Rasulullah SAW, adalah seperti bergurau senda dengan isteri dan menemani isterinya ketika keluar rumah.

Sifat penuh romantik itu diceritakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”

Malah, Nabi Muhammad turut membantu isterinya semasa menaiki kenderaan sebagaimana diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa: “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda membengkokkan lututnya. Lalu isteri baginda, Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”.

KERJA RUMAH

Menjadi kelaziman di dalam sesebuah keluarga meletakkan tanggungjawab menguruskan hal rumah tangga dan tugasan di rumah kepada isteri.

Ini kerana, kebanyakan suami merasakan kerja rumah adalah tugas isteri sepenuhnya, manakala tanggungjawab suami pula adalah mencari nafkah, menyediakan tempat tinggal dan menyara keluarga.

Walaupun isteri itu juga turut bekerja, telah menjadi budaya terdapat segelintir suami yang tidak mahu membantu melakukan tugas yang sinonim bagi golongan wanita tersebut kerana dikhuatiri jatuh keegoan sebagai lelaki.

Zia menjelaskan, umat Islam terutamanya golongan suami perlu menyedari bahawa melakukan kerja rumah adalah tugas suami, manakala isteri adalah sebagai pembantu.

“Hinggakan Rasulullah SAW melakukan sendiri kerja-kerja rumah. Baginda juga pernah menjahit sendiri pakaian yang koyak, tidak semata-mata mengharapkan isterinya melakukan kerja-kerja berkenaan.

“Rasulullah SAW juga tidak pernah merungut di hadapan makanan walaupun tidak ada apa yang ingin dimakan pada hari itu. Baginda hanya makan dua kali sehari iaitu makan tengah hari sebelum waktu Zohor dan makan malam selepas Asar sehingga sebelum waktu solat Maghrib,” jelasnya.

Tugas suami yang disepakati dalam al-Quran ialah memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri mengikut kemampuan.

Bagi nafkah zahir, ulama bersepakat ia melibatkan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Manakala nafkah batin pula bukan sahaja menunaikan keperluan seksual tetapi ia adalah fokus kepada pasangan suami atau isteri yang mahu dikasihi, dimanjakan, ambil berat antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, tidaklah menjadi kesalahan sekiranya isteri 100 peratus menguruskan hal ehwal rumahtangga jika ia diredai oleh isteri berkenaan.

LAKUKAN SUNNAH SELAGI TERMAMPU

Bagi menzahirkan kesetiaan dan kecintaan kepada Rasulullah SWT, umat Islam digalakkan untuk mengamalkan sunah iaitu dengan mencontohi perbuatan yang diajar oleh baginda ketika hayatnya.

Saranan itu ditegaskan oleh Sheikh Moutasem al-Hameedy kepada seluruh umat Islam di negara ini dalam usaha memperoleh syafaat daripada Rasulullah SAW ketika di akhirat kelak.

Beliau bagaimanapun menambah, mengamalkan sunah bukan suatu kewajipan, namun umat Islam digalakkan mencontohi akhlak dan perbuatan Rasulullah SAW sekadar termampu.

“Segala perbuatan dan sifat yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW merupakan fitrah baginda sebagai seorang manusia biasa dan perbuatan itu dikenali sebagai sunah.

“Buatlah sekadar yang termampu dan ia amat digalakkan dalam Islam, tetapi janganlah sehingga terbeban atau tertekan untuk melakukan sesuatu yang tidak termampu.

“Hidup ini juga adalah fitrah, setiap pekerjaan yang kita lakukan boleh menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala jika dilakukan bagi memperoleh keredaan daripada Allah SWT,” jelasnya.

Fitnah hancurkan perpaduan negara

Hari ini masih kedengaran kritikan pihak tertentu terhadap kerajaan dan pentadbiran negara. Pengkritik yang baik ialah yang sanggup mendengar penjelasan pihak yang menjadi sasaran itu. Menyokong yang baik dan menentang yang salah, bukan menyokong apa sahaja atau menentang kesemuanya mahupun yang baik. Persoalannya, apakah selama ini kerajaan hanya melakukan perkara yang tidak baik sahaja dan langsung tiada sebarang kebaikan dalam pentadbiran negara.

Islam mempunyai pandangan yang luas merangkumi setiap aspek kehidupan manusia termasuk ibadah, sosial, kebudayaan, ekonomi, politik, ketenteraan, pendidikan dan sebagainya. Semuanya saling berkaitan antara satu sama lain, bantu membantu dan lengkap melengkapi. Pertembungan kepentingan antara kehendak gelojak hawa nafsu menimbulkan konflik dalam diri manusia.

Pertembungan ini menentukan hala tuju dan status fitrah kehidupan kita. Nafsu jahat yang dikenali sebagai sifat mazmumah dapat dikenali melalui sifat keji dan kotor yang ada pada manusia seperti buruk sangka, menyebar fitnah dan hasad dengki. Sifat-sifat ini melekat pada hati seperti daki melekat pada badan manusia. Jika tidak dikikis dan dibuang, ia semakin kuat dan menebal pada hati. Jihad membasmi sifat sebegini, memerlukan kesabaran yang amat tinggi.

Islam juga menyatakan dengan jelas peranan seorang Muslim sejati untuk sentiasa mementingkan perpaduan dan menjaga ketahanannya supaya tidak mudah diganggu oleh anasir-anasir jahat. Seorang Muslim akan sentiasa berusaha dan berikhtiar memartabatkan masyarakat Islam menjadi masyarakat yang kuat setanding dengan masyarakat yang lain.

Oleh itu perpaduan dalam kalangan umat Islam merupakan misi dan pengajaran agama Islam yang terpenting. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6).

Dalam firman lain: “Allah tidak menyukai menyebut keburukan orang (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nisa’ : 148).

Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas Allah SWT memerintahkan umat Islam memastikan terlebih dahulu kebenaran sesuatu berita sebelum disebarkan dalam kalangan masyarakat. Penyaluran sesuatu maklumat hendaklah dikaji terlebih dahulu apakah ia boleh dipercayai atau sebaliknya.

Langsung tidak membawa kebaikan dan kemakmuran

FITNAH langsung tidak memberikan sebarang manfaat sebaliknya bakal membawa kehancuran. - GAMBAR HIASAN

Kita sesama Islam digalakkan supaya bersangka baik. Ayat yang kedua pula menggesa supaya tidak mudah membuat tuduhan-tuduhan liar yang tidak berasas seperti mencela, memaki, mendedahkan keburukan-keburukan orang lain, menyinggung perasaan seseorang dan sebagainya kecuali orang yang dizalimi.

Rasulullah SAW tidak mudah untuk mendengar kata-kata yang mengeruhkan perhubungan dalam kalangan para sahabat. Baginda bersabda yang bermaksud:

“Jauhilah olehmu berprasangka kerana berprasangka adalah seburuk-buruk pembicaraan. Janganlah kamu saling mencari keburukan orang lain, janganlah saling bermegah-megah, janganlah saling dengki mendengki, janganlah saling menghangatkan emosi dan janganlah saling menjauhi. Jadilah hamba-hamba Allah yang bersatu dan bersaudara sebagaimana yang telah diperintahkan Allah kepadamu. Seorang Muslim dengan Muslim lainnya adalah bersaudara yang di antara mereka dilarang saling menganiaya, saling menghina dan saling meremehkan. Takwa adalah di sini (sambil Rasulullah SAW memberi isyarat ke arah dada). Cukuplah seorang Muslim dikatakan melakukan keburukan apabila dia menghina sesama Muslim. Seorang Muslim dengan Muslim lainnya harus saling menjaga darah, kehormatan dan hartanya.” - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW melarang penyebaran aib orang lain kerana bakal menimbulkan fitnah, pandangan serong, tidak berlaku adil dan pelbagai motif jahat yang lain. Oleh itu, Allah SWT menganjurkan supaya berhati-hati menerima berita-berita yang belum lagi diketahui asal-usul dan kebenarannya berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra’ : 36)

Rakyat perlu sedar dan insaf bahawa tabiat tuduh menuduh dan memfitnah membawa kepada kehancuran sesama sendiri dan langsung tidak mendatangkan sebarang manfaat. Kebiasaannya perkara sebegini berlaku berpunca daripada sifat mazmumah. Rasulullah SAW bersabda: “Takbur itu ialah sombong dengan tidak mahu menerima kebenaran dan memandang hina orang lain.” - Riwayat Muslim.

Allah SWT berfirman yang memberi peringatan berkenaan perkara ini: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat : 12).

Islam mampu menjadi petunjuk bagi menyelesaikan kegawatan yang dihadapi oleh umat Islam sepanjang zaman. Modal insan adalah sumber terpenting kepada pembangunan negara. Maju atau mundurnya sesebuah negara bergantung penuh kepada kekuatan dan kehebatan nilai, kompetensi dan kemahiran insaniah bangsa itu sendiri.

Ringkasnya, pada hemah saya, kita perlu membangunkan sebuah masyarakat yang memiliki nilai-nilai tinggi, berakhlak mulia serta memiliki minda yang mencerminkan rakyat sebuah negara maju berpaksikan prinsip Islam. Inilah transformasi hidup seorang Muslim pasca Ramadan al-Mubarak.