August 13th, 2015

Think Tank bukan zombie alam siber

ANAK muda jangan jadi kalut apabila kepimpinan negara diserang bertalu-ta­lu dengan pelbagai mak­lumat yang tidak sa­hih yang kini menjadi viral dalam media so­sial. Ketika ini emosi sudah men­jadi raja dalam hati segelintir rakyat dengan penyebaran pelbagai maklumat yang boleh menjatuhkan kredibiliti dan imej negara.

Media sosial kini dilihat menjadi gudang melahirkan ramai tukang fitnah dan penyebar fitnah yang kebanyakannya kita secara tidak langsung terjebak sama apabila turut berkongsi pelbagai berita yang tidak logik dan mengikut persepsi penulis.



KREDIBILITI dan kompetensi anak muda akan kelihatan hebat jika menggunakan idea berdasarkan kemahiran dan jurusan mereka yang boleh memberi manfaat kepada kerajaan. - GAMBAR HIASAN

Dalam keadaan negara kita berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pencarian serpihan pesawat MH370, isu berkaitan 1MDB, masalah ekonomi, kejatuhan Ringgit Malaysia (RM) dan pelbagai lagi, kerajaan sangat memerlukan idea dan pandangan daripada anak muda untuk membantu memulihkan keyakinan pelabur serta memperkasakan keharmonian negara.

Anak muda sepatutnya menjadi think tank kerajaan. Bukannya menjadi tukang fitnah yang boleh mengganggu keharmonian negara, sekali gus menggugat ekonominya.

Idea daripada anak muda sudah pastinya segar dan kerajaan tentunya amat mengalu-alukan sekiranya idea-idea tersebut datangnya daripada anak muda tempatan bukannya daripada konsultan luar.

Untuk menjadi pemfitnah ketika ini sangat mudah hanya melalui sentuhan jari sudah mencukupi. Kita tidak perlu lagi bersembang panjang di restoran mamak ataupun kedai kopi cukuplah sekadar jari kita memainkan peranan menyebarkan berita atau fitnah di alam siber. Masyarakat dunia siber tidak menggunakan lidah untuk berkata-kata tetapi melalui telefon pintar, iPad, komputer dan laptop cukuplah untuk menghuru-harakan negara dalam menyebarkan berita yang panas tanpa kesahihan.

Anak muda harus sedar, serangan yang bertali arus melalui media sosial daripada anak muda sendiri akan memberi kesan kepada negara.

Kita mungkin boleh bergelak ketawa apabila melihat lawak viral yang disebarkan tanpa memikirkan akan kesan kepada ekonomi dan kestabilan negara. Ini akan mengundang persepsi negatif dunia luar dan akibatnya ekonomi negara kita tidak stabil dan boleh runtuh.

Kita harus akui, masa sudah tidak menyebelahi kita lagi pada waktu ini. Inilah waktunya anak muda bertindak dan bersatu membantu kerajaan yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran. Ketika ramai orang sibuk menjadi pahlawan siber tetapi tidak ramai yang berani tampil untuk memberikan idea dan membantu kerajaan memperbetulkan semula persepsi negatif ini.

Justeru, anak muda harus merebut peluang ini menjadi think tank kerana ini adalah peluang yang terbaik untuk menguji kebijaksanaan golongan ini.

Malaysia mempunyai graduan pelbagai bidang yang hebat dalam jurusan ekonomi, sains politik, kejuruteraan, sains komputer dan pelbagai lagi.

Dalam keadaan ekonomi negara tidak baik ketika ini, mungkin graduan yang berkelulusan bidang ekonomi mempunyai idea dan boleh menulis memberikan idea kepada kerajaan untuk menangani masalah-masalah yang berbangkit.

Rakyat Malaysia kini semakin bijak tidak seperti dahulu, masing-masing mempunyai idea yang bertaraf profesor. Kredibiliti dan kompetensi anak muda akan kelihatan hebat jika menggunakan idea berdasarkan kemahiran dan jurusan mereka yang boleh memberi manfaat kepada kerajaan dan masyarakat. Ini harus menjadi satu amalan kepada anak muda untuk menjadi golongan yang amat dihargai dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Satu cadangan yang gila-gila tetapi bernas dan kreatif tentunya akan memberi satu impak yang baik kepada masyarakat kita.

Kata pepatah cina, “Masa yang terbaik untuk menanam pokok adalah 20 tahun yang lalu dan masa kedua terbaik adalah sekarang”.

Jika sekarang kita berlumba-lumba untuk memusnahkannya, apa akan terjadi kepada kita semua pada masa akan datang? Pemimpin dan ahli politik mungkin ada membuat kesilapan dan mereka bukannya malaikat yang sangat sempurna tetapi sebagai generasi muda, kita harus banyak membantu memberikan pandangan dan idea serta mempertahankan negara bukannya menjadi seperti machine gun menembak sesuka hati.

Sebagai anak muda Melayu juga, serangan berterusan kepimpinan Melayu perlu dilihat mempunyai agenda yang tersembunyi yang mungkin kita tidak sedari sama sekali.

Kepimpinan Melayu sudah terbukti berjaya dan diiktiraf oleh pelbagai bangsa di dunia dan ini sudah pastinya mengundang cemburu daripada mereka.

Dalam konteks ini, anak muda Melayu bolehlah diumpamakan sebagai hulu balang yang sepatutnya berada di barisan hadapan untuk mempertahankan institusi raja-raja Melayu dan pemimpin Melayu.

Tambahan pula, di fasa akhir zaman ini, kita akan menyaksikan pelbagai kacau-bilau, ujian dan fitnah dunia yang semakin marak dan menghimpit kehidupan kita.

Perkara ini akan terus bermaharajalela jika kita tidak kuat dan tidak bertakwa kepada Allah SWT. Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri kita dari syurga.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Oleh itu, anak muda perlu menjadi pahlawan di zamannya bukannya mensia-siakan hidup mereka dengan tidak berbuat apa-apa untuk agama, bangsa dan negara. Mereka kini tidak perlu menjadi pahlawan dengan melawan penjajah tetapi cukuplah dengan menjadi warganegara Malaysia yang baik dan menghormati undang-undang.

Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Singapura dan China sudah ada undang-undang untuk menahan pengguna Internet yang menyalahgunakan kemudahan tersebut.

Kita bimbang fitnah akan menjadi tabiat masyarakat kita. Internet bukan lagi tempat untuk percambahan ilmu tetapi dijadikan markas dan tempat untuk menjatuhkan pemimpin dan negara. Sikap tidak takut menyebar fitnah di alam siber ini akan menjadi barah kepada rakyat Malaysia.

Sebagai anak muda, inilah cabaran buat kita semua. Jangan terperangkap dengan menjadikan anak muda sebagai hantu atau zombie untuk berkeliaran di alam siber sebagai penyebar fitnah.

Jadilah think tank ketika kerajaan berhadapan dengan cabaran dan kesusahan. Tidak rugi untuk bertindak. Kita bukannya pengampu atau pembodek kerajaan tetapi ini adalah satu tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Kenapa perlu berasa malu untuk menyokong kerajaan sedangkan ia adalah untuk kebaikan negara kita sendiri?

Bersediakah kita untuk mati?

SUASANA amat hening. Setiap pancaindera jemaah Surau al-Huda, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad pada Khamis lalu khusyuk fokus kepada munajat Ustaz Mohd. Radzi Mohd. Zin yang diselang-selikan dengan bahasa Arab dan Melayu. Suaranya meskipun perlahan tetapi amat jelas kedengaran.

Bulu roma meremang semasa nada suaranya yang sedikit tersekat-sekat seperti menahan sebak, berulang-kali memohon keampunan Allah dan semoga dipermudahkan segala urusan bagi Allahyarham Zuarida Mohyin dan suaminya, Mohd. Rozi Mahmud.

Terasa diri ini begitu kerdil dan hina. Sehebat mana kita ini, meskipun begitu tinggi pangkat dengan harta melimpah-ruah, semuanya langsung tidak bernilai sekiranya hidup tidak dikurniakan keberkatan dan keampunan Allah. Bagaimanakah nanti nasib di alam barzakh, mampukah menghadapi azab kubur, menjawab soalan-soalan malaikat. Apa status apabila dibangkitkan kelak di Hari Kiamat, warga syurga atau neraka!

Majlis tahlil itu dibuat khusus bagi mendoakan Pengarang Agama, Utusan Malaysia Zuarida dan suaminya yang maut selepas motosikal mereka terlibat dalam kemalangan di kilometer 435.6 arah Utara dari Serendah ke Sungai Buaya, kira-kira pukul 12 tengah malam 30 Julai lalu.

Penulis tidak berniat untuk berkhutbah atau cuba mempolemikkan isu mati. Ini kerana kematian perkara wajib yang perlu dilalui oleh setiap manusia. Justeru, orang yang paling bijak ialah yang sentiasa mengingati mati, sekali gus membuat persediaan bagi menerima kehadiran malaikat pencabut nyawa.

Bagaimanapun, walaupun mati sesuatu yang wajib berlaku dan diketahui oleh semua manusia tetapi masih terdapat segelintir yang mengabaikannya, amat jarang membuat persiapan.

Lebih menyedihkan apabila ada yang memberikan alasan kehidupan di dunia hanya sementara, maka inilah masanya untuk bergembira dan mencari keseronokan. Jawapannya, mana lebih hebat keseronokan abadi di akhirat atau kegembiraan sementara di dunia.

Bagi yang sedikit nakal dan licik, mungkin masih berkemampuan untuk melarikan diri daripada hukuman dunia, tetapi ketahuilah di akhirat kelak atau selepas mati semuanya akan diperhitungkan, tiada pengecualian.

Firman Allah da­lam Surah Yaasin, ayat 65, mafhumnya: “Pa­da waktu itu Kami pa­te­rikan mulut mereka dan (memberi peluang ke­pada) tangan-tangan me­­reka memberitahu Ka­mi (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.”

Apabila kita mem­per­cayai kepada agama, dengan sendirinya akan merasakan di sisi kita ada malaikat pencatat amalan baik dan jahat, setiap perbuatan dipantau oleh Allah. Dalam Islam dikenali dengan konsep ihsan yang secara ringkasnya bermaksud melaksanakan sesuatu ibadah dengan perasaan penuh yakin seolah-olah dilihat terus oleh Allah SWT.

Keyakinan ini merupakan satu brek untuk menghalang kita daripada terus melakukan dosa, tanpa keyakinan itu manusia seperti kehilangan brek. Jika kereta hilang brek, pasti akan terjun ke gaung. Tetapi jika manusia hilang brek, maka dia akan terjun ke neraka.

Sebelum ini kerajaan telah melancarkan Indeks Syariah Malaysia yang bertujuan memartabatkan syiar dan syariat Islam. Inisiatif ini amat baik dan sewajarnya diperluaskan pelaksanaannya dalam setiap aspek kehidupan rakyat di negara ini.

Dicadangkan supaya menjadikan nasib yang bakal menimpa selepas mati sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap penjawat awam Melayu Islam di semua sektor - atasan dan bawahan. Pihak swasta juga dipelawa untuk amalkan KPI ini.

Ini bukannya perkara remeh-temeh kerana tujuan utama Allah menciptakan manusia dan jin adalah untuk beribadah serta menjadi hamba cemerlang di dunia dan mampu melepasi proses pengauditan di akhirat kelak.

Mati adalah pasti, tiada pengecualian. Apabila ajal tiba, tidak walau sesaat pun diawalkan atau dilewatkan. Bila? Tiada siapa yang tahu, mungkin tahun depan, esok, lusa atau sekejap lagi. - Tarmizi Abd Rahim Utusan Malaysia Rencana 13 Ogos 2015

Pentingnya sihat semasa Haji

ALI bukan nama sebenar yang baru balik daripada negara Afrika atas urusan perniagaan, mengalami demam dan sakit kepala. Baginya mungkin akibat situasi biasa iaitu kerana faktor keletihan perjalanan dan perubahan cuaca antara benua.

Dia sekadar mengambil ubat biasa yang selalu dimakannya apabila dirasakan kurang sihat, namun keadaannya semakin teruk - loya, muntah-muntah, ketegangan atau sakit pada leher, mata terlalu sensitif apabila melihat cahaya, ruam pada badan dan lain-lain tanda seperti kepeningan dan kebingungan, sawan dan tidak sedarkan diri.

Pakar Perubatan Kesihatan Pekerjaan Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Hazlee Abdul Hadi berkata, tanda dan gejala itu adalah berkaitan dengan meningococcal meningitis iaitu satu penyakit melibatkan jangkitan kuman dan keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang.

Vaksin meningococcal antara alternatif terbaik

VAKSINASI penyakit itu yang disyorkan untuk jemaah haji dan umrah dipanggil Vaksin Meninggokokal ACYW-135 yang terbahagi kepada dua jenis iaitu Polysaccharide (MPSV4) dan Conjugate (MCV4). Kedua dua jenis vaksin ini boleh mengelakkan empat jenis penyakit meninggokokal iaitu daripada kumpulan A, C, Y dan W-135. - GAMBAR HIASAN

Katanya, ia berlaku kerana jangkitan yang melibatkan selaput otak yang dipanggil ‘meninges’ menjadi radang dan boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria, virus dan kulat.

“Penyakit meningitis berjangkit secara langsung melalui titisan rembesan salur pernafasan daripada hidung dan tekak orang yang dijangkiti (batuk, bersin, bercium atau berkongsi peralatan peribadi seperti berus gigi, pisau cukur, berkongsi peralatan makanan dan minuman).

“Tinggal di penempatan yang padat juga dikenal pasti sebagai risiko untuk mendapat jangkitan seperti ini, seperti semasa melakukan ibadah haji dan umrah,” katanya di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tegas Hazlee, lima hingga 10 peratus daripada mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala penyakit dan sekiranya tidak mendapat rawatan sempurna, pesakit meningitis mungkin mengalami masalah sistem saraf seperti lumpuh, kerencatan akal, pekak, kurang penglihatan atau boleh membawa maut.

Sementara itu, kerajaan memberikan vaksinasi penyakit itu yang disyorkan untuk jemaah haji dan umrah yang dipanggil vaksin meninggokokal ACYW-135 yang terbahagi kepada dua jenis iaitu polysaccharide (MPSV4) dan conjugate (MCV4). Kedua dua jenis vaksin ini boleh mengelakkan empat jenis penyakit meninggokokal iaitu daripada kumpulan A, C, Y dan W-135.

“Hanya jenis polysaccharide sahaja yang disyorkan dan selamat untuk golongan berumur lebih dari 55 tahun buat masa ini. Manakala jenis conjugate pula selamat untuk diberikan dari umur 9 bulan - 55 tahun. conjugate vaksin lebih baru berbanding Polysaccharide dan boleh mengurangkan kadar pembawa penyakit ini (carrier) melalui saluran pernafasan.

“Ini boleh mengurangkan risiko membawa balik penyakit ini dari kawasan endemik ke tanah air dan dengan itu akan mengurangkan risiko menjangkiti keluarga terdekat.

“Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia sehingga bulan Januari tahun ini lebih 217 juta orang telah menerima vaksin meningokokal A conjugate vaccine di 15 negara di lingkaran Afrika (African belt),” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Kesihatan Lembaga Tabung Haji, Abdullah Talib menarik perhatian dengan mengatakan ibadah haji dan umrah bukan sahaja perhimpunan ibadah tetapi boleh dianggap sebagai perhimpunan penyakit.

“Umat Islam seluruh dunia akan berhimpun serentak dalam satu masa dalam jumlah yang terlalu besar iaitu melebihi 3 juta orang. Jemaah haji dari negara ini bukan senang untuk dipilih menjadi tetamu Allah, jadi kena bersiap sedia sepenuhnya terutama daripada segi kesihatan.

“Syarat Arab Saudi amat jelas, visa dan permit haji serta umrah hanya akan diberikan apabila jemaah itu telah mendapat suntikan vaksin,” katanya yang memaklumkan pada tahun ini seramai 600 petugas Tabung Haji, termasuk 250 petugas kesihatan akan membantu melancarkan segala urusan jemaah,” katanya.

Tambah Abdullah, cuaca musim haji kali ini dijangka amat panas iaitu antara 40 dan 45 darjah Celcius dan para jemaah semasa menghadiri kursus-kursus haji diingatkan supaya jangan mendedahkan diri terlalu lama kepada cuaca panas.

“Kena minum air dengan banyak bagi mengelak terjadi kejutan kepada cuaca panas atau strok haba,” katanya.

Penanda aras ilmuan tahfiz Darul Quran terus lahirkan tokoh hafiz profesional

BUKAN sahaja ganjaran di akhirat, tetapi sejak di dunia lagi Allah SWT telah menjanjikan pelbagai kelebihan kepada orang yang menghafal kalam Allah SWT iaitu al-Quran.

Sehinggakan Allah SWT meletakkan martabat golongan yang dikenali sebagai hafiz itu sebagai kerabat menerusi hadis yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat baginda.

Tidak memandang remeh terhadap galakan sabda Nabi Muhammad SAW, usaha itu diangkat oleh Darul Quran (DQ) sehingga menjadi satu-satunya rujukan berkaitan al-Quran di negara ini.

Walaupun terletak jauh dari ibu kota, namun sebut sahaja Maahad Tahfiz, pastinya terlintas dalam fikiran kebanyakan daripada kita mengenai madrasah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu.

Tidak kira sama ada untuk tujuan kemasukan atau rujukan berkaitan al-Quran, pusat pengajian dan hafazan yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor itu sentiasa menjadi pilihan ramai untuk dijadikan panduan.

Sehinggakan penubuhannya dilihat sebagai penanda aras bagi madrasah tahfiz seumpamanya yang terdapat di negara ini berikutan pencapaian yang diperoleh termasuk daripada dalam dan luar negara sejak ditubuhkan pada 1966 atau 49 tahun lalu.

Malah, nama-nama besar seperti Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad; pendakwah, Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz dan Hassan Mahmud al-Hafiz juga merupakan antara tokoh kelahiran institusi tersebut.

Pengarahnya, Dr. Nordin Ahmad berkata, DQ merupakan satu-satunya pusat tahfiz yang bernaung di bawah Jakim dan pelbagai agensi daripada institusi dan institut pengajian tinggi sering meminta untuk menjalinkan kerjasama bersama DQ.

Beliau berkata, usaha itu bertujuan menggunakan kepakaran dan pengiktirafan yang diterima oleh DQ bagi dikongsikan kepada kakitangan atau pelajar di agensi masing-masing.

“DQ sering menjadi tumpuan daripada pelbagai agensi sama ada kerajaan mahupun bukan kerajaan dan juga institusi pengajian yang ingin bekerjasama mengenai bidang pengajian dan hafazan al-Quran.

“Kita juga sering menjadi rujukan dan salah satu panel pemantauan berkaitan al-Quran dan penubuhan pusat Tahfiz al-Quran di negara ini bagi memastikan penubuhan dan silibus pengajiannya adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Setakat ini, DQ telah mempunyai sebanyak 14 madrasah tahfiz induk yang terdapat di seluruh negara yang akan mendapat sijil pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, DQ yang dikenali sebagai Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ditubuhkan sebagai salah satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur.

Dengan penubuhan tersebut maka bermulalah pengajian dalam bidang Tahfiz al-Quran di Dewan Syarahan Masjid Negara pada 1 Mac, 1966 dengan bilangan pelajar pada masa itu seramai lapan orang sebagai perintis yang dipilih dan dihantar oleh seluruh negeri di Malaysia.

Sejak penubuhannya, DQ telah mengalami beberapa kali proses pemindahan iaitu pada tahun 1980 di bangunan JKR 588/33, Jalan Chenderasari, Kuala Lumpur dan kemudiannya dipindahkan ke Taman Tun Dr. Ismail bagi penempatan pelajar lelaki dan pelajar perempuan pula ditempatkan di Jalan Ledang pada 1992.

Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat akhirnya ditukar nama sebagai Darul Quran pada 1 November 1998, dan ditempatkan ke kampus tetap sehingga kini di Kompleks Darul Quran di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Mempunyai persekitaran yang tenang dan selesa, kampus DQ sangat bersesuaian bagi pelajar untuk menghafal al-Quran di samping terletak jauh daripada kawasan kota.

Gambar Ihsan Darul Quran

SABDA Rasulullah SAW bermaksud; “Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabat-Nya dalam kalangan manusia. Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah SAW? Jawab baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan orang-orang pilihannya.” - Riwayat Ibnu Majah

Pertama kali diperkenalkan di negara ini, DQ melangkah ke hadapan dengan menawarkan kursus Sijil Pengurusan Masjid Tahap 3 dengan mendapat kerjasama Sijil Kemahiran Malaysia.

Nordin berkata, kursus yang baru diperkenalkan pada Julai lalu itu mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi memperakui kemahiran yang diceburi pelajar.

“Kita melihat, ramai dalam kalangan Hafiz yang berjaya menghafal keseluruhan al-Quran, tetapi malangnya tidak mempunyai latar belakang pendidikan akademik. Ini akan menyukarkan mereka untuk memperoleh pekerjaan kerana tiada kelulusan rasmi.

“Justeru, DQ memperkenalkan program ini dengan memberi peluang kepada Hafiz yang tidak mempunyai pendidikan akademik untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan adanya pengkhususan ini, graduan boleh berkhidmat bukan sahaja sebagai imam masjid, tetapi mampu menguruskan segala urusan pentadbiran masjid dengan sendiri berbanding pentadbiran masjid yang diuruskan oleh mereka dalam pelbagai latar belakang kini,” katanya.

Setakat ini terdapat 20 pelajar yang menyertai kursus Sijil Pengurusan Masjid Tahap 3 selama empat semester atau dua tahun.

Antara kemudahan pembelajaran yang disediakan di DQ ialah dewan kuliah, makmal komputer, makmal al-Quran, makmal bahasa, perpustakaan , surau, asrama lelaki dan perempuan, dewan makan, dan auditorium.

Manakala bagi kemudahan riadah, terdapat padang permainan untuk sepak takraw, bola sepak, badminton, bola tampar, bola jaring, bola keranjang dan trek jogging.

Khutbah Jumaat ~ Tanggungjawab Memelihara Keluarga

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat 14 Ogos 2015M/ 29 Syawal 1436H JAWI

Tanggungjawab Memelihara Keluarga

Firman Allah SWT tersebut dalam surah al-Tahrim, ayat 6. Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh para malaikat yang kasar, bengis (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah terhadap setiap perkara yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap (setia) melaksanakan segala yang diperintahkan.”

Sebagai seorang ketua dalam sesebuah keluarga, kitalah yang menentukan hala tuju ahli keluarga kita sama ada bakal menghuni syurga atau menerima azab neraka di akhirat kelak.

Menurut Ibn al-Munzir, Sayyidina Ali RA ketika membicarakan ayat ini beliau pernah berpesan, “Ajarkanlah diri kamu dan keluarga kamu tentang kebaikan dan didiklah mereka.”

Peranan untuk membentuk peribadi isteri dan anak-anak, semuanya tertanggung di pundak kita.

Pertama: Memberikan pendidikan dan tarbiah Islam kepada anggota keluarga. Pupuklah mereka supaya bercita-cita tinggi untuk memburu kejayaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah, ayat 200 hingga 202: Bermaksud: “Maka dalam kalangan manusia ada orang yang berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia”, dan tiadalah baginya bahagian di akhirat. Dan dalam kalangan mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka”. Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”

Kedua: Tanggungjawab menjaga dan memelihara anak dan isteri

Allah SWT berfirman dalam surah al-Syuara’, ayat 214:  Bermaksud: “Dan berilah peringatan (nasihat) kepada kaum kerabatmu yang terdekat.”

Peringatan paling penting kepada ialah ialah supaya berpegang teguh dengan aqidah Islam dan jangan sekali-kali mensyirikkan Allah SWT.

Inilah yang telah dipesan oleh seorang bapa contoh yang bernama Luqman al-Hakim kepada anak-anaknya sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Luqman, ayat 13:  Bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi pelajaran kepadanya: “Hai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.”

Firman Allah SWT dalam surah Luqman, ayat 14: Bermaksud: “Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kamu kembali.”

Ketiga: Menghidup dan membudayakan syariat Islam dalam rumah tangga.

Asas membudayakan Islam dalam rumah ialah dengan mendirikan solat dan memerintahkan setiap ahli keluarga melaksanakannya. Sedarlah bahawa ia bukanlah suatu yang mudah, malah ia menuntut kesabaran yang tinggi.

Firman Allah SWT menerusi surah Toha, ayat 132:  Bermaksud: “Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu tentangnya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.”

Mengakhiri khutbah kali ini, marilah sama-sama kita mengamati inti khutbah yang telah disampaikan tadi.

Pertama: Keluarga adalah merupakan suatu anugerah sekali gus sebagai amanah daripada Allah SWT kepada kita.

Kedua: Kita hendaklah menyediakan pendidikan yang seimbang antara dunia dan akhirat kepada setiap ahli keluarga.

Ketiga: Kemuncak kebahagiaan dalam berkeluarga ialah apabila setiap anggotanya membudayakan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian. Bukan mudah untuk mencapainya, namun yang dituntut itu adalah usaha kita.

Ambil masa dan marilah kita renung sejenak firman Allah SWT dalam Surah al-Tur, ayat 21: Bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, dan zuriat (anak cucu) mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan (himpunkan) anak cucu mereka dengan mereka (di dalam syurga), dan kami tiada kurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.”

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ “Doa; Amalan Orang Beriman”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 14 Ogos 2015: JAIS

“Doa; Amalan Orang Beriman”

Pada awal tahun baru masihi 2015, negara kita di Pantai Timur khasnya berhadapan dengan musibah yang sangat besar, yang tidak terjangkau oleh pemikiran kebanyakan daripada kita.

Dalam berhadapan dengan musibah yang besar ini, kita dikehendaki untuk :

1. Berhadapan dengan hati yang penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT,

2. Meninggalkan hati yang penuh sangsi dan menggantikannya dengan sifat percayakan keadilan Allah SWT,

3. Membuang jauh-jauh lintasan yang datang dalam benak fikiran kita dan bisikan syaitan yang menghasut bahawa Allah telah menzalimi dan tidak berlaku adil terhadap hamba-hamba-Nya

Sebenarnya, musibah ini mengajar kita bahawa manusia itu tidak kuat, tidak hebat dan tidak berupaya melawan kekuasaan Allah.

Musibah ini perlu dipandang secara positif untuk meruntuhkan kesombongan dan keegoan manusia, bahawa semua pencapaian dan kejayaan yang diperolehi itu adalah dengan kehendak dan kuasa Allah.

Berdoa merupakan salah satu cara bagi melahirkan rasa rendah diri, ketundukan, kepatuhan dan menaruh harapan kepada Allah. Ia boleh membuang sifat bongkak, sombong dan ego dengan perintah Allah.

Doa adalah merupakan intipati kepada ibadat, kerana tujuan ibadat ialah untuk melahirkan manusia yang sentiasa menaruh harap kepada Allah dan sentiasa mempunyai sifat tawakkal serta merendah diri dengan Allah.

Dalam solat, puasa, zakat dan haji semuanya ada doa.

Hadis daripada Anas B. Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Doa adalah otak kepada ibadat”. (Riwayat at-Tirmizi).

Sesungguhnya, tujuan kita berdoa ialah untuk menunjukkan perhambaan kita kepada Allah.

Sifat manusia seperti yang disebutkan oleh Allah dalam surah Hud ayat 9-10:  “Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur. Dan demi sesungguhnya! Jika Kami memberinya pula kesenangan setelah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: “Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku”. Sesungguhnya ia riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai).

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang ingin supaya Allah menerima doanya pada masa kesusahan dan malapetaka hendaklah ia sentiasa berdoa semasa senang dan ketika keadaan gembira.” (Riwayat at-Tirmizi).

Menginsafi dan menyedari kelemahan dan kekerdilan diri kita di hadapan Allah SWT. Maka kita hendaklah;

1. Mengeratkan hubungan dengan Allah SWT setiap masa dan ketika seperti mendirikan solat Fardu dan solat-solat sunat yang lain.

2. Hendaklah sentiasa berdoa memohon sama ada di waktu senang ataupun ketika susah dan menjadikan doa itu sebagai amalan harian kita.

3. Orang-orang yang beriman hendaklah membuat pengakuan diri kepada Allah SWT kerana hakikatnya manusia sangat berharap kepada rahmat dan keampunan Allah SWT.

4. Orang-orang yang beriman seharusnya tidak mudah kecewa dan putus asa dengan musibah yang menimpa, sebaliknya redha dengan ketentuan yang diterima.

“(Oleh kerana Allah Menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”. (Surah al-Fathir : 15).

Wallahualam.