August 14th, 2015

Istimewanya tetamu Tanah Suci

SEKALI lagi tetamu-tetamu Allah SWT dari seluruh pelosok dunia bersiap-sedia untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Ini adalah jemputan khusus buat insan-insan istimewa yang bakal bergelar haji dan hajah. Hal ini kerana tidak semua berkesempatan menunaikan fardu haji walaupun memiliki wang yang banyak dan keinginan yang meluap-luap untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.


SEBAHAGIAN daripada petugas Tabung Haji dan petugas media melafazkan ikrar petugas haji pada Perlepasan Petugas Haji Ketiga Musim Haji 1436H di Kompleks TH, kelmarin. - BERNAMA

Dalam sebuah Riwayat al-Bazzar dan al-Tabarani, Baginda Nabi Muhammad SAW menyebutkan tentang kelebihan-kelebihan haji yang antara lain menjadi asbab memperoleh kebaikan dan menghapus kesa­lahan.

Allah SWT berfirman: “Hamba-Ku datang kepada-Ku dengan kusut masai dari segenap penjuru mengharapkan syurga-Ku. Kalau dosa mereka seperti bilangan pasir atau titisan air hujan atau buih di lautan nescaya Aku ampunkan.”

Sehubungan itu, para tetamu Allah dinasihatkan agar bersiap-sedia mental dan fizikal untuk menyempurnakan kerja-kerja haji dan ibadah lain semasa di Tanah Suci. Usah disia-siakan kesempatan yang ada dengan hanya solat di hotel tanpa berjemaah di Masjidil Haram. Rebutlah ganjaran pahala 100,000 kali ganda solat di dalamnya apatah lagi dengan menghadap ke arah Kaabah di depan mata.

Berusahalah untuk banyak-banyak memohon keampunan dan keredaan Ilahi di tempat-tempat yang mustajab doa di Tanah Haram tanpa rasa penat dan jemu.

Antaranya di Multazam, di belakang Makam Ibrahim, antara penjuru Yamani dan Hajarul Aswad, di Bukit Safa dan Marwah, di bawah Mizab yakni Pancuran Emas, di Padang Arafah, Muzdalifah, Mina dan banyak lagi seperti yang disebutkan dalam Kitab Jawami’ al-Doa. Berusahalah juga untuk memilih waktu-waktu yang mustajab doa seperti ketika sujud, di sepertiga malam, ketika dalam perjalanan dan lain-lain lagi.

Para tetamu Allah SWT juga diingatkan supaya tidak menyibukkan diri dengan berjalan dari sebuah kedai ke kedai yang lain untuk menjamu mata dan berbelanja, banyak berehat, membuang masa dan bersembang-sembang. Sebalik­nya diganti dengan banyak beriktikaf di masjid, beristighfar, khatam al-Quran, tawaf sunat, mengerjakan umrah serta pelbagai amal kebajikan lain yang dilipatgandakan ganjarannya juga sebagai persiapan untuk wukuf di Arafah dan menyelesaikan kerja-kerja haji yang lain.

Malah disebutkan dalam hadis Riwayat Bukhari yang mafhumnya: “Siapa yang melakukan haji tanpa membuat perkara fasik dan keji maka ia pulang selepas itu sama se­perti ia dilahirkan oleh ibunya.”

Oleh sebab itu juga tetamu-tetamu Allah SWT dinasihatkan supaya sentiasa bersangka baik dan mengharap bantuan dan pertolongan-Nya agar dipermudahkan segala urusan.

Ketika berada di Kota Suci Madinah sama ada sebelum haji ataupun sesudahnya, jagalah adab dan akhlak di samping Nabi SAW yang mulia. Berusahalah untuk dapat beriktikaf, solat dan berdoa di kawasan Raudah yang disifatkan sebagai antara taman-taman Syur­ga.

Usah terkesima dengan kenya­manan dan keseronokan di Kota Madinah sehingga lalai daripada mengerjakan solat berjemaah di Masjid Nabi yang dilipatgandakan pahalanya sebanyak 1,000 kali lebih baik berban­ding masjid-masjid yang lain selain Masjidil Haram.

Di sisi yang lain, bagi yang belum berpeluang menunaikan fardu haji, ambillah peluang dan kesempatan yang ada untuk mendalami ilmu berkaitan haji dan fardu ain yang lain sambil menunggu kuota haji untuk menjadi tetamunya.

Bagi yang belum menabung untuk ke Tanah Suci, bersungguh-sungguhlah menyimpan sedikit demi sedikit. Anggaplah simpanan di akaun Tabung Haji sebagai simpanan semata-mata bukan untuk digunakan semasa sesak dan kekurangan wang.

Bagi yang belum mendaftar bersegeralah mendaftarkan diri untuk menunaikan haji di Pejabat Tabung Haji yang berdekatan sambil memperbanyakkan bersedekah dan berdoa semoga segera dipilih suatu hari nanti.

Bagi yang lalai dan lengah serta sentiasa mencari seribu macam alasan untuk menunaikan fardu haji dalam keadaan sudah berkemampuan, diingatkan akan ancaman Allah SWT boleh jadi mati seperti matinya orang Yahudi dan Nasrani yakni dari sudut seksaannya seperti mana hadis Riwayat al-Tirmizi dan al-Baihaqi.

Oleh itu, usah hanya berseronok-seronok makan dan minum di majlis doa selamat kaum kerabat dan sahabat handai yang akan ke Tanah Suci tanpa mengambil endah kewajipan haji yang dipertanggungjawabkan kepada semua individu Muslim yang berkemampuan. Hal ini penting untuk difahami agar setiap Muslim meletakkan urusan mengerjakan haji lebih utama daripada keinginan-keinginan yang lain.

Selamat berangkat tetamu Allah

Musim haji tiba lagi. Penerbangan pertama (KT1) bakal haji dijadual berlepas Ahad ini, 16 Ogos bersamaan 1 Zulkaedah, insya-Allah. Tahun ini, jumlah yang dijemput menjadi duyufurrahman (tetamu Allah) adalah 22,320 orang. Pastinya, bakal-bakal haji gembira tidak terkira. Maklumlah, dengan menunaikan haji maka lengkaplah rukun Islam yang lima.

Dalam taklimat kepada kumpulan ketiga petugas Tabung Haji (TH) yang berlepas ke Jeddah, Rabu lalu di Kelana Jaya, Pengurus Besar Kanan (Haji) TH, Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman memaklumkan Malaysia kini mempunyai senarai menunggu yang sangat panjang. Kini senarai menunggu itu mencecah 75 tahun.

Kefarduan menunaikan haji dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan me­nunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. (al-Hajj: 27)

Untuk itu, amat penting kepada bakal haji melaksanakan segala rukun dan wajib haji dengan sempurna. Sebabnya, kefarduan haji itu adalah sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan. Justeru, hendaklah dilakukan yang terbaik. Bagi mencapai haji yang mabrur, bukan sahaja perlukan tumpuan dan keikhlasan beribadat di Tanah Suci. Ia juga memerlukan kawalan hawa nafsu yang cukup kental. Mereka yang mengerjakan haji perlu banyak bersabar terhadap apa juga mehnah dan cabaran.

Cabaran itu bermula apabila menjejak kaki di lapangan terbang Jeddah atau Madinah. Di pintu masuk utama Tanah Suci itu selalunya jemaah haji berhadapan dengan kerenah ‘orang Arab’. Kebanyakannya bekerja ikut ‘kepala mereka’. Bukannya mereka prihatin dengan tetamu-tetamu Allah yang keletihan selepas melalui perjalanan jauh antara lapan ke sembilan jam dari Malaysia untuk sampai ke sana. Sebaliknya, ada di antara mereka yang bertugas sambil lewa walaupun nampak barisan jemaah haji yang panjang untuk melepasi pemeriksaan imigresen.

Paling penting, jaga mulut dan elak riak. Jangan terlepas kata-kata yang mencaci, nista, bertengkar dan memburuk-burukkan orang. Jangan dicaci makanan jika tidak menepati selera kita atau terkurang masin di sana dan sana. Maklumlah memasak untuk jumlah puluhan ribu orang tidaklah semudah memasak untuk sekeluarga lapan atau 10 orang. (rujuk al-Baqarah ayat 197). Semasa di Tanah Suci, usahakan untuk solat berjemaah setiap waktu di Masjid Nabi dan Masjidil Haram. Jangan kita terpengaruh dengan perbuatan segelintir jemaah haji dari negara lain yang hanya solat di hotel. Sentiasa ingatkan diri yang tujuan kita ke Tanah Suci iaitu untuk melakukan ibadat semaksimum mungkin.

Dalam melakukan tawaf jangan pula kita terikut-ikut perbuatan jemaah haji lain waima mereka orang Arab sekalipun. Buatlah sebagaimana yang diajar dalam kursus-kursus oleh pihak TH. Jika ada masalah, jangan segan atau malu bertanya kepada pakar rujuk atau pembimbing haji yang disediakan oleh TH.

Sentiasalah bermunajat kepada Allah agar diberi kekuatan dan kemudahan beribadat. Pastikan juga kita menggunakan kesempatan ini berdoa di tempat-tempat mustajab. Kalau di Masjid Nabawi Madinah, pastinya Raudhah menjadi tum­puan. Di Masjidil Haram antara tempat yang mustajab berdoa adalah:

- Multazam - iaitu tempat di antara pintu Kaabah dan rukun Hajar Aswad.

- Hijir Ismail - iaitu bangunan terbuka, berbentuk sete­ngah lingkaran berada di sebelah barat Kaabah.

- Maqam Ibrahim - Maqam bererti tempat berpijak. Maqam Ibrahim adalah batu yang dipergunakan Nabi Ibrahim untuk berpijak ketika membina Kaabah. Menurut salah satu riwayat, batu ini adalah salah satu batu yang turun dari syurga seperti halnya hajar aswad. Paling penting perba­nyakkan berdoa dan ikhlas beribadat agar beroleh haji mabrur. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Haji yang mabrur itu balasannya adalah syurga. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

- Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 14 Ogos 2015

Tuntutan rumah terbuka patut utamakan jiran terdekat

AMALAN rumah terbuka telah menjadi satu tradisi dan Syawal dirasakan tidak lengkap tanpa penganjuran rumah terbuka untuk meraikan keluarga, jiran serta sahabat handai.

Berbekalkan matlamat mengeratkan silaturahim, rumah terbuka dilihat landasan terbaik menjalinkan hubungan persaudaraan.

Perkataan silaturahim, iaitu 'silah' atau 'wasal' bererti menyambungkan dan menghimpun manakala 'rahim' bererti kasih sayang dengan saudara serta kerabat yang masih ada hubungan darah (senasab). Ia membawa maksud sesuatu yang asalnya tidak bersambung kepada bersambung.

RUMAH terbuka dapat mengeratkan silaturahim dan perpaduan tanpa mengira bangsa dan agama. - Foto hiasan
Rasulullah SAW bersabda: "Yang disebut bersilaturahim itu bukanlah seseorang yang membalas kunjungan atau pemberian, melainkan bersilaturahim itu ialah menyambungkan apa yang telah putus." (Riwayat Bukhari)

Ukhuwah pula berasal daripada perkataan 'akhun' yang membawa erti saudara, teman atau sahabat. Dari segi istilah, menurut al-Quran ialah perasaan kasih sayang, tolong- menolong, bantu membantu, bertolak ansur, bermesra dan cinta mencintai sesama umat Islam tanpa terkecuali.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang Mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Kelebihan tradisi amalan rumah terbuka dapat merapatkan jurang pemisah dan mengekalkan tali persaudaraan sesama kita. Dalam keseronokan kita mengikut aliran semasa itu, ada perkara yang kita terlepas pandang.

Antaranya, dari segi jemputan kerana dengan kemudahan gajet yang canggih, sekali tekan sahaja kita boleh menyampaikan undangan kepada setiap jemputan.

Malah, ada aplikasi yang membolehkan kita mengasingkan senarai keluarga, sahabat, kenalan serta saudara mara. Namun, dalam kita ghairah menghantar mesej jemputan, jangan lupa bertanya adakah jiran berdekatan rumah sudah dijemput semuanya, terutama 40 rumah di sekeliling rumah kita dan bagi yang duduk di pangsapuri, tetangga di aras atas serta di bawah jangan dilupakan.

Jemputan utamakan jiran tetangga

Kehidupan yang sibuk dengan urusan kerja dan keluarga ada kala menyebabkan kita tidak berpeluang beramah mesra dengan jiran tetangga, tetapi jangan berat mulut menjemput mereka termasuk jiran bukan Islam.

Tuntutan menjalinkan hubungan baik sesama jiran dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki." (Surah an-Nisa', ayat 36)

Antara keseronokan menghadiri rumah terbuka adalah memakai pakaian cantik, indah dan bersih.

Ringkasan kitab Al-Umm karya Imam Syafi'i, ada dinyatakan disunatkan umat Islam memilih pakaian yang terbaik serta indah mengikut kemampuan masing-masing, "Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari raya, iaitu hari Jumaat, dua hari Aidiladha dan Aidilfitri dan tempat diadakan majlis (majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai pakaian yang bersih dan memakai wangi-wangian."

Malangnya, ada segelintir daripada tetamu khususnya wanita memakai pakaian tidak mengikut landasan yang telah digariskan syarak.

Rumah terbuka dijadikan tempat memperagakan pakaian, pemilihan warna agak terserlah, fesyen melampau sehingga menampakkan susuk tubuh ditambah pula aksesori berlebihan dengan tujuan mendapat tarikan dan pujian daripada yang lain.

Ada yang tidak memilih, semuanya dijemput, tetapi tempat pula diasingkan.

Untuk tetamu khas diasingkan dengan tetamu biasa. Keadaan sedemikian boleh membuatkan tetamu biasa rasa tersinggung. Oleh itu, tuan rumah perlu memastikan semua jemputan mendapat layanan yang sama.

Begitu juga dengan usaha mengundang dan menghidang makanan untuk golongan fakir dan miskin. Sabda Rasulullah SAW: "Seburuk-buruk makanan adalah makanan (di majlis) kenduri yang hanya dijemput golongan kaya dan mengetepikan golongan fakir." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tak leka dalam keseronokan

Dalam keseronokan menghadiri rumah terbuka, perasaan teruja bertemu kerabat, saudara mara dan sahabat handai yang lama terpisah boleh menjadikan seseorang itu leka tanggungjawab terhadap anak sehinggakan anak tidak dipantau yang boleh mengundang perkara tidak diingini berlaku.

Begitu juga masalah kawasan meletakkan kenderaan terutama di kawasan yang jalannya kecil atau sempit.

Meletakkan kenderaan di tempat tidak sepatutnya seperti di hadapan rumah jiran yang boleh mengganggu mereka keluar masuk, boleh menimbulkan kemarahan.

Apatah lagi jika jiran itu tidak dijemput ke majlis berkenaan.

Menganjurkan rumah terbuka dengan niat mengeratkan silaturahim adalah amalan yang baik dengan syarat semua perkara diberi perhatian sepenuhnya khususnya yang berkaitan tuntutan syarak.

Berusahalah memberi layanan terbaik kepada semua yang sudi meluangkan masa hadir ke majlis kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah: Hai hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh 'hasanah' (kebaikan). Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." (Surah az-Zumar, ayat 10)