August 20th, 2015

Organ kita bukan milik kita

KUALITI kesihatannya semakin merudum, semakin kerap sesak nafas; tangan, kaki dan kawasan sekitar mata menjadi bengkak; mudah rasa letih dan muka juga jadi pucat lesi, lebih teruk lagi apabila otot-otot selalu jadi kejang dan semasa membuang air kecil, kencingnya bercampur dengan darah.

Kerana begitu runsing, dibuat pemeriksaan di hospital. Igauan memang tepat iaitu anak kecil berusia 12 tahun itu disahkan mengalami penyakit buah pinggang kronik. Tiada ubat melainkan terpaksa melakukan proses cuci darah atau hemodialisis seumur hidup. Jika terlupa walau sehari, ia boleh membawa maut kerana darahnya yang dipenuhi toksik tidak mampu disaring oleh buah pinggangnya yang sudah rosak. Mungkin kesihatannya boleh berubah jika menerima organ daripada individu yang berhati mulia. Masalahnya ada ke?

Penyakit yang turut dikenali sebagai penyakit senyap ini boleh menyerang sesiapa sahaja. Jika secara kebetulannya ‘singgah’ kepada orang berkemampuan, dirasakan tiada masalah, tetapi cuba bayangkan sekiranya mengenai mereka yang berada pada bawah paras kemiskinan atau kumpulan miskin bandar?.

Walau bagaimanapun sehingga Mac lalu terdapat sebanyak 294,053 rakyat negara ini yang berikrar sebagai penderma organ sejak 1997. Ia semakin meningkat tetapi jumlah berkenaan hanya dalam lingkungan satu peratus sahaja daripada keseluruhan penduduk negara ini.

Bilangan pesakit dalam senarai menunggu menerima pelbagai organ sehingga Januari lalu adalah sebanyak 19,744 orang. Pada tahun lalu, jumlah peningkatan pengikrar baharu yang berjaya didaftarkan adalah sebanyak 38,994 orang berbanding jumlah yang mendaftar pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak 27,155 orang.

Apa yang memberangsangkan, jumlah pengikrar dalam kalangan orang Melayu juga meningkat daripada 9,516 orang pada tahun 2013 kepada 14,562 orang pada tahun lalu.

Sebenarnya terdapat kebimbangan dalam kalangan orang Islam iaitu penderma berkenaan apabila dibangkitkan kelak jasadnya tidak akan sempurna. Jika derma mata, maka sifat mukanya nanti di padang mahsyar tidak akan sempurna iaitu kekurangan mata.

Tanggapan ini silap kerana perbuatan mulia itu boleh disifatkan sebagai kemuncak sedekah yang digalakkan Islam kerana ia melibatkan anugerah nyawa kurniaan Allah. Walaupun hanya sebahagian organ didermakan kepada yang memerlukan, namun ia secara tidak langsung memberi sekelumit nyawa untuk sebuah penghidupan.

Al-Quran menyatakan sedekah yang hendak diberikan mestilah daripada perkara yang paling disayangi. Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 92 yang bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Hukum pendermaan organ sebenarnya bukan isu baharu di negara ini. Fatwa asas mengenainya telah dibuat pada tahun 1970 lagi. Jawatankuasa Fatwa Bagi Majlis Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam mesyuaratnya yang pertama pada 23 dan 24 Jun 1970 memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung daripada orang mati kepada orang hidup hukumnya harus.

Terdapat beberapa perkara lagi yang membuatkan orang Islam gundah-gulana. Antaranya, adakah penderma bakal menerima tempias dosa sekiranya penerima organ itu kembali sihat dan meneruskan hidup yang bergelumang dengan dosa.

Islam ini amat indah, organ yang didermakan bakal menjadi saham akhirat sekiranya penerima memanfaatkan organ yang diterima pada jalan kebaikan. Tempias kebaikan akan turut dinikmati oleh pemilik pertamanya. Namun, sekiranya penerima melakukan maksiat, dosanya tidak akan ditanggung oleh penderma.

Allah yang Maha Adil menetapkan seseorang itu tidak akan menanggung dosa yang dilakukan oleh orang lain. Firman-Nya: “Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain.” (al-An’am [6:164], al-Isra’ [17:15] dan Fatir [35:18]).

Kematian adalah pasti. Maka adalah lebih baik apabila pahala dapat diteruskan selepas kematian. Pepatah mengatakan harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa. - Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana 20 Ogos 2015

New curriculum will be more exam-centric

THE Malaysian education system has adopted a new paradigm with the introduction of the Standard Curriculum for Primary Schools (KSSR). The intention was extremely noble – to diversify the method of assessment to gauge the progress of our students. It also wanted to include questions deemed “higher order thinking” in order to produce Malaysian students who are able to apply their syllabus in a wide range of settings.

One could argue that our education system has been tailored to fit into the method of assessment used by an international assessment body such as Programme for International Student Assessment (Pisa).

Like all systems, KSSR has its strengths and weaknesses that need to be examined carefully and improved.

KSSR promises to move away from our traditional mode of assessment – our national examinations such as UPSR and PMR. We now have the school-based assessment to be a second mode of assessment as in the case of UPSR and as a singular mode of assessment as in the case of PMR. The intention was to move away from being an exam-dominated education system.

However, the introduction of KSSR has led to our education system being much more exam-centric.

Schools are still using exams as the sole way to measure student performance, and they are now introducing four exams a year instead of two.

So, instead of removing stress, KSSR would be adding more stress to the current students because each examination now counts as part of their UPSR and PMR grades.

For decades, Malaysian students have used school examinations as mere tests where mistakes are tolerated. Students could fail their school examinations without fear because they knew the national examination was more important. KSSR took this away.

This is also extremely unfair to students who are late bloomers.

Every 60% scored in the school examination now constitutes losing 24% of the final UPSR grade. A student who averaged 60% in his school examination will now be walking into his UPSR exam hall with a score of 36/60. A student with an average of 70% will walk into the hall losing almost 18% of his UPSR final grade.

Additionally, having non-standardised and standardised mode of examinations at the same time to calculate the final grade is extremely unfair to students who are given hard exam questions by their school teachers or who have tough graders as their teachers.

It punishes students who are stuck in the middle in good schools but who are, technically, straight A students in a standardised exam like UPSR.

In the US, school-based exams are still used to determine a student’s progress. However, standardised exam is also used as an extra gauge.

The Malaysian education system could have used the UPSR as our standardised exam and our school-based assessment as our non-standardised mode of data collection. Both help to give a more nuanced picture of a student’s achievement.

It’s time to rethink how UPSR 2016 and PMR 2016 will be graded. Concerned Malaysian, Baltimore, US The STAR Home News Opinion Letters  AUgust 19, 2015

Bukan semua menyeleweng

SERING dikaitkan dengan bermacam-macam gambaran, amalan tarekat atau jalan, terus menimbulkan pelbagai persepsi dan reaksi dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Walaupun bukan baru diperkenalkan, namun perbahasan mengenai ajaran yang berkait rapat dengan ilmu Tasawuf itu dilihat bagaikan tiada titik noktah kerana tidak pernah selesai diperdebatkan terutamanya oleh kelompok tertentu.

Tidak terlepas daripada tempias negatif, sehingga ada yang melabel kesemua ajaran yang diperkenalkan dengan tujuan asal bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT itu adalah menyeleweng daripada syariat ajaran Islam atau sesat. Sekali gus, menjadikan tarekat semakin dipandang serong dan diketepikan oleh umat Islam.

Tetapi umat Islam kena pastikan ia bertepatan dengan syariat


MENUNTUT ilmu merupakan asas yang perlu diperkukuh sebelum menyertai sesuatu tarekat.

Mengulas perkara tersebut, Ahli Jalsah Turuq Sufiyyah Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Dr. Jahid Sidek ketika ditemui menegaskan bahawa tidak semua tarekat adalah menyeleweng, sebaliknya disyariatkan kepada umat Islam menerusi dalil yang terkandung dalam al-Quran dan sunah.

Beliau berkata, ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Sekiranya manusia istiqamah di atas jalan (tarekat) ini, nescaya kami akan kurniakan kepada mereka air yang melimpah ruah.” (Surah Al-Jin: 16)

Malah tambahnya, mengamalkan tarekat yang khusus mampu membawa seseorang umat Islam kepada tahap kesempurnaan dalam Islam iaitu darjat Ihsan sebagaimana definisi tarekat yang disimpulkan oleh ulama Tasawuf Syeikh Mohammad Zakaria al-Kandahlawi di dalam kitab al-Syari’ah wat-Toriqah yang membawa maksud, jalan atau amalan yang menyampaikan (seseorang mukmin) ke darjat ihsan.

“Secara umumnya terdapat tiga asas dalam agama Islam iaitu rukun Islam yang lima, rukun Iman yang enam dan ihsan. Kebanyakan umat Islam mengamalkan tarekat umum iaitu dua daripada tiga asas tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan kadar minimum amalan dan akidah Islam yang wajib ditaati.



AMALAN suluk iaitu mengasingkan diri untuk beribadah merupakan antara amalan pengamal tarekat bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. -GAMBAR HIASAN

“Namun, bagi membawa seseorang Muslim dan Mukmin itu untuk mencapai tahap ihsan atau Muhsin, dengan mengamalkan satu tarekat yang khusus dapat membantu mencapai tahap ketiga tersebut yang bermaksud beribadah kepada Allah SWT seolah-olah melihatnya, jika tidak sesungguhnya Allah SWT melihat anda,” katanya.

Jahid yang juga merupakan Syeikh Tareqat Naqsyabandiah Khalidiah berkata, amalan tarekat lazimnya adalah dengan mengamalkan bacaan zikir iaitu kalimah Lailahaillaah atau nama-nama Allah yang lain.

“Jika diperhatikan, terdapat lebih 60 ayat suruhan berzikir disebutkan di dalam al-Quran, yang mana menceritakan kelebihan dan kedudukan orang berzikir juga kesan buruk orang yang tidak berzikir kepada Allah SWT.

“Malah, amalan berzikir merupakan kaedah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika berdakwah kepada umat Islam di Mekah selama hampir 11 tahun sebelum perintah solat disyariatkan kepada umat Islam ketika itu.

“Ini selari dengan syariat asas dakwah di Mekah pada zaman Rasulullah SAW adalah memfokuskan kepada aspek akidah dan akhlak. Terbukti amalan zikir mampu memperbetulkan kedua-dua aspek tersebut kepada umat Islam pada masa itu,” ujarnya.

PRINSIP TAREKAT

Walau bagaimanapun, Jahid berkata, dalam memilih tarekat yang ingin diikuti, umat Islam perlu memastikan ajaran yang dibawa bertepatan dengan garis panduan atau prinsip syariat bertarekat bagi mengelakkan daripada terjerumus dalam penyelewengan.

Antara prinsip itu katanya, termasuk takwa, mencari ilmu, berguru, mempunyai amalan zikir, mempunyai hikmah yang tinggi, rakan yang membantu dan syukbah.

Kesemua prinsip itu, tambahnya, perlu diperhatikan dengan menilai bermula kepada sikap guru, ahli yang mengikuti kumpulan dan juga pergerakan tarekat secara keseluruhannya sebelum menyertai sesuatu fahaman itu.



TARIAN Darwish yang terkenal di Turki merupakan salah satu bentuk tarian sufi pengamal tarekat.

“Takwa adalah aspek terpenting untuk dinilai. Takwa bermaksud melakukan segala syariat Islam yang diperintahkan dan meninggalkan perkara yang dilarang. Bagi mengelakkan takwa tidak terpesong, perlulah berpegang dengan akidah ahli sunah wal jamaah dan mengikuti salah satu mazhab empat yang diiktiraf.

“Begitu juga, ilmu perlu dicari dan elakkan daripada memegang kepercayaan ilmu datang sendiri. Sekurang-kurangnya ilmu Fikah, Tauhid dan Tasawuf wajib dipelajari dalam tarekat. Ini kerana tasawuf penting bagi memperhalusi Tauhid dan Fikah.

“Guru yang ingin dijadikan ikutan itu pula perlulah mematuhi syarat seorang guru yang dipercayai dan berpengetahuan luas yang boleh menjadi ikutan kepada kebenaran,” katanya yang juga merupakan Bekas Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Dalam pada itu katanya, tarekat yang benar perlulah mempunyai amalan zikir yang diajarkan atau diturunkan daripada syeikh atau guru terdahulu.

“Berzikir juga perlu ada caranya, iaitu tidak dibenarkan berzikir sehingga dipandang buruk oleh kaca mata syariat Islam. Jika sekadar bergerak badan dibolehkan tetapi tidak sehingga dilihat seperti menari atau melompat-lompat.

“Sesuatu ajaran tarekat juga perlu mempunyai hikmah yang tinggi. Untuk memperoleh hikmah itu perlu mempunyai keazaman dan kemahuan kental untuk terus beramal untuk mendapatkan keredaan Allah SWT dan istiqamah.

“Begitu juga persekitaran dan rakan sekumpulan yang baik dan boleh memantau serta menegur kesalahan jika kita melakukan kesalahan. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda, seseorang itu boleh dinilai menerusi rakannya,” katanya.

Jihad membudayakan ilmu

Dunia dan umat Islam kini sedang ‘dipanggang’ api kezaliman Yahudi dan musuh-musuh Islam. Islam dikatakan agama pengganas, fundamentalis, ekstremis, dan bermacam lagi. Sedangkan Islam adalah agama suci yang diredai Allah SWT. Sesungguhnya, Islam menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Sedangkan pengganas sebenar dianggap sebagai wira sejagat. Yahudi dan puaknya semakin berani menghina Allah dan Rasulullah SAW. Mereka juga telah merampas Baitulmaqdis, malah mahu memasuki Baitullah al-Haram. Mereka juga menyatakan baginda seorang penzina dan pengganas. Natijahnya, segala tohmahan ini menyebabkan kehidupan umat Islam dilanda kemelut yang berpanjangan. Justeru, perlulah diluruskan pemahaman terhadap Islam, agar umat Islam kembali menghayati Islam yang jelas dan benar. Iaitu yang bersumberkan al-Quran, al-Sunah, Ijmak dan Qias.

Jana kegemilangan pemikiran, tindakan rasional

BUDAYA memartabatkan ilmu akan membantu ke arah kegemilangan pemikiran dan tindakan rasional dalam kalangan umat Islam. - GAMBAR HIASAN

Ketika ini dunia dilanda krisis yang sangat membimbangkan. Jika dibiarkan, ia akan mengancam kewujudan dan kesinambungan umat Islam. Sesungguhnya, umat Islam adalah umat teristimewa yang membawa misi peradaban dan kesejahteraan kepada dunia serta dilantik oleh Allah sebagai pemimpin dan saksi bagi umat manusia. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 143: “Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil (pertengahan) dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya, ‘Sanggahan Salah Tafsiran Islam’ menyatakan antara krisis umat Islam yang amat membimbangkan ialah krisis pemikiran dan moral. Akibat kemunduran umat Islam, terjadilah kejumudan fikiran, tafsiran melulu dalam bidang fikah, keraguan dalam akidah, menganggap ibadah sebagai adat kebiasaan dan berlebih-lebihan dalam tasawuf.

Oleh yang demikian, kita harus bangun dan membetulkan kefahaman terhadap Islam agar umat Islam mengikuti jalan Islam yang sebenarnya. Dengan bekalan ilmu di dada dan berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak, kerana fikiran adalah pangkal pekerjaan yang benar, manakala ilmu pengetahuan adalah penyuluh ke arah kebenaran.

Allah berfirman dalam surah al-A’laq ayat 1-2 yang bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.”

Oleh itu, jelaslah bahawa budaya memartabatkan ilmu dalam kehidupan akan membantu ke arah kegemilangan pemikiran dan tindakan rasional dalam kalangan umat Islam agar tidak mudah dipersendakan oleh Barat. Medan jihad dalam keilmuan menjadi nadi pemangkin ummah.

Merujuk Kamus Dewan, jihad didefinisikan sebagai usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredai Allah. Manakala makna kedua ialah penentangan (perlawanan) terhadap anasir-anasir yang hendak merosakkan negara dan lain-lain (seperti jihad pada hawa nafsu).

Ulama besar Dr. Said Ramadhan al-Buti berkata: “Jihad ialah bersusah payah mencurahkan tenaga demi meninggikan kalimah Allah dan membina masyarakat Islam. Mencurahkan tenaga dengan jalan peperangan adalah sebahagian daripadanya dan matlamat utama ialah mendirikan masyarakat Islam dan membentuk Daulah Islamiyyah yang sebenar.

Berjihad dalam memartabatkan tradisi budaya ilmu dalam kehidupan merupakan antara usaha yang perlu dititikberatkan. Ilmu merupakan alat utama dan amat berharga kepada manusia. Justeru, ilmu dapat merubah diri manusia daripada jahil kepada tahu, gelap kepada cahaya, derita kepada bahagia, batil kepada al-haq. Perjuangan dan jihad merangsang masyarakat agar menghidupkan tradisi ilmu serta budaya membaca dalam membina kemajuan agar setanding dengan bangsa-bangsa asing.

Dr. Abdul Monir Yaacob menyatakan bahawa apabila Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW, baginda juga diberi ilmu. Ilmu yang mencakupi seluruh cara hidup dan keperluan manusia di dunia serta akhirat. Islam mementingkan umatnya menguasai ilmu. Bahkan membenarkan setiap orang mencari ilmu walaupun di mana sahaja. Jelas bahawa ilmu itu perlu dicari, tidak datang menggolek. Pernah pada suatu ketika seorang khalifah di zaman Abbasiyyah mahukan puteranya belajar. Jawab guru berkenaan, ilmu itu dicari bukan ditunggu dan mempunyai adabnya.

Seseorang yang berilmu bukan sahaja memiliki kebenaran malahan mempunyai keyakinan dan kesedaran terhadap tanggungjawabnya kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan tugas yang tertinggi sekali iaitu menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

Abu Hurairah RA meriwayatkan katanya; “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila anak Adam meninggal dunia maka semua amalannya terputus kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah dan anak soleh yang sering berdoa kepada kedua ibu bapa.”

Saidina Ali berkata: “Ilmu adalah lebih utama daripada utama. Ilmu menjagamu sedangkan kau harus menjaga hartamu. Harta akan berkurangan bila kau belanjakannya. Sedangkan ilmu bertambah subur bila kau sebarkannya. Ilmu adalah hakim dan sebaliknya harta adalah sesuatu yang dihakimi.”

Kepentingan berjihad atau berusaha dalam memartabatkan budaya ilmu mendorong individu untuk berjihad ke atasnya dan beristiqamah dalam memperjuangkannya. Ini akan membentuk peribadi yang bertakwa dalam menentang hawa nafsu dan memaksa diri untuk mentaati Allah. Demikian juga, ilmu dan takwa merupakan buah daripada amalan jihad pada jalan Allah.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: “Dan mereka bersungguh-sungguh berjihad untuk Kami, tetap Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami.”

Didapati bahawa semakin kuat pihak Barat berusaha mencengkam akidah, akhlak dan syariat Islamiyyah. Tidak lain, mereka bertujuan untuk melihat kehancuran Islam dan umatnya di atas muka bumi dengan meracuni dan seterusnya merosakkan pemikiran serta akhlak umat Islam. Oleh yang demikian, jelaslah di sini ideologi yang berteraskan keimanan dan bersendikan prinsip (al-amal bil ma’ruf wan nahyu ani mungkar) adalah menjadi syarat paling utama untuk melayakkan diri sebagai pemimpin daulah Islamiah berkualiti.

Umat Islam tidak boleh hanya duduk berpeluk tubuh dan bergantung kepada pengalaman dan nama Islam sahaja tanpa berusaha mencapai peningkatan dalam bidang ilmu pengetahuan yang pelbagai. Malahan sekiranya, orang-orang yang berilmu pengetahuan namun tidak dijadikan pakaian dalam kehidupan, maka kemusnahan, kesesatan dan kemungkaran akan berleluasa di merata dunia.

Hakikatnya, tiada penentangan langsung antara agama dengan tamadun sebagaimana yang dilabelkan oleh Barat. Adalah menjadi tanggungjawab utama umat Islam untuk meninggikan darjat umat Islam. Semua kaedah kehidupan dunia hendaklah berjalan di atas landasan ajaran Islam yang sebenar.

Dengan kekuatan keimanan, ketakwaan berserta dengan ilmu pengetahuan yang luas. Maka umat Islam mampu bangun untuk berjihad menentang kedurjanaan musuh Islam kerana umat Islam mempunyai akidah yang teguh iaitu tauhid rububiyah dan uluhiyyah sebagai tulang belakang perjuangan. Ajaran Islam perlu disebarkan ke tengah masyarakat secara berkesan melalui nas-nas al-Qura, al-Sunah, ijtimak dan qias.