August 21st, 2015

Khutbah Jumaat ~ Jihad Harta

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat  21 Ogos 2015M/ 6 Zulkaedah 1436H JAWI

Jihad Harta

Mempunyai banyak harta bukanlah menandakan bahawa seseorang lebih dikasihi Allah SWT dan tidaklah bermakna mereka yang tidak memiliki harta itu dihina oleh Allah SWT.

Firman Allah dalam Surah Al-Fajr, ayat 15-17 Bermaksud : “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: "Tuhanku telah memuliakanku." Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: "Tuhanku menghinakanku".Sekali-kali tidak (demikian).”

Allah SWT mengurniakan harta yang melimpah ruah kepada firaun dan Qarun, sedang para nabi Allah hidup dalam keadaan sederhana. Walaupun begitu, Allah juga menjadikan Nabi Sulaiman AS dan sahabat Rasulullah SAW bernama Abdurrahman bin Auf kaya-raya sedang mereka dalam ketaatan kepadaNya.

Bagi mencapai erti taqwa dengan kekayaan yang dimiliki, setiap muslim wajib menyedari bahawa mereka perlu melakukan jihad harta. Allah SWT menegaskan bahawa mereka yang melakukan jihad dengan jiwa dan harta merupakan mukmin yang sebenar-benarnya.

Renungilah firman Allah SWT yang memuji orang-orang beriman yang berjihad dengan harta melalui Surah Al-Hujurat, ayat 15 : Bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.”

Lihat sahaja sifat pemurah Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidatina Khadijah binti Khuwailid yang membelanjakan seluruh harta kekayaan mereka demi perjuangan menegakkan kalimah Allah SWT di atas muka bumi ini.

Para sahabat yang lainnya juga menyumbangkan harta berbentuk kebun buah-buahan, perigi air, kenderaan dan sebagainya semata-mata demi meraih keredhaan Allah SWT.

Sifat bakhil dan kedekut yang menguasai hati menjadi punca mengapa umat Islam tidak melibatkan diri dalam jihad harta.

Sedarlah bahawa mereka yang membelanjakan harta di jalan Allah SWT, itulah orang yang merdeka, sedangkan mereka yang bakhil dan tamak sehingga tidak mahu membelanjakan harta mereka di jalanNya itulah menandakan mereka sebenarnya adalah hamba kepada harta dan wang ringgit, bukan hamba kepada Allah SWT yang sebenar.

Apabila mereka ditimpa musibah dan kesakitan, barulah mereka ingat kepada Allah SWT.

Di antara jihad harta yang kita dapat laksanakan ialah seperti berikut:

Pertama : Menunaikan zakat.

Zakat ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syaratsyarat yang ditetapkan oleh syarak. Terdapat dua jenis zakat iaitu zakat harta dan zakat badan atau dikenali sebagai zakat fitrah.

Kedua : Melazimi sedekah.

Ketiga : Mewakafkan harta.

Keempat : Bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Melalui hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA : Bermaksud : “Sesiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat. Sesiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup ke’aiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup ke’aibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya.”

Renungilah beberapa pesanan ini :

Pertama : Harta bukanlah suatu kemuliaan. Ia merupakan suatu ujian keimanan seseorang. Lebih banyak harta, lebih besarlah ujiannya.

Kedua : Apa yang dilaburkan demi kebaikan dan di jalan Allah SWT, itulah bahagian kita di akhirat sana dan apa yang kita bakhilkan daripada harta kita, akhirnya ia akan kita tinggalkan atau menjadi milik orang lain.

Ketiga : Jihad harta boleh dilaksanakan melalui zakat, sedekah, wakaf, bantuan kepada yang memerlukan serta lain-lain cara yang dibenarkan syarak demi menggapai redha Allah SWT.

Hayatilah firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran, ayat 180 : Bermaksud : “Jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaNya menyangka, bahwa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di leher mereka di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”

Wallahualam.

Mati bukan gurauan

MATI itu adalah pasti. Ia untuk menguji dan menilai siapakah yang lebih baik amalannya di antara kamu - (rujuk surah al-Mulk: 2). Masalahnya, ada kecen­derungan segelintir masyarakat yang suka menyebar berita kematian orang lain walhal individu tersebut masih hidup.

Dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kecanggihan gajet-gajet masa kini, penyebaran itu amat mudah. Hanya dengan hujung jari, sepantas kilat berita itu tersebar di seluruh pelosok negara.

Kes terbaharu pada 13 Ogos lalu, pelantun lagu Sonata Musim Salju, Hazami yang mengalami pendarahan usus dikatakan telah ‘mati’. Berita kematiannya tersebar luas di media sosial. Hazami dikatakan terkejut dengan berita tersebut dan berasa sedikit terganggu dengan tuduhan tidak berasas itu.

Mangsa penyebaran berita mati itu bukan hanya artis. Golongan ustaz pun terkena juga. Seorang daripadanya ialah Datuk Hassan Mahmud al-hafiz. Pada 24 Jun 2015, Hassan dikatakan telah meninggal dunia menerusi media sosial menyebabkan masyarakat Islam gempar seketika. Mujurlah, beliau segera membuat catatan dalam akaun Facebook menafikan berita palsu itu.

Pada Oktober 2014, tersebar berita di laman sosial Facebook kononnya Imam Besar Masjidil Haram, Dr. Sheikh Abdul Rahman As Sudais yang terkenal dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia, meninggal dunia. Cerita pemergian tokoh ulama itu dikongsi beberapa pemilik akaun Facebook yang bertanyakan benarkah Sheikh Abdul Rahman meninggal dunia sebagaimana yang disebarkan. Gambar beliau dikongsi ramai pemilik Facebook dengan status yang berbunyi ‘al-Fatihah’.

Apa pun, berita mengenai kematian, sakit dan kemalangan tidak boleh dijadikan bahan mainan. Ia meninggalkan kesan langsung kepada mangsa dan keluarga mereka. Meskipun dibuktikan berita itu palsu, setiap kali tersebar cerita mengenainya pasti akan menarik perhatian masyarakat yang mengagumi dan menghormati tokoh berkenaan.

Sebab itu, menyebar be­rita palsu dan mem­bohongi orang ramai adalah tergolong dalam perbuatan dosa yang amat dilarang oleh Islam. Dalam masa yang sama, kita diingatkan supaya tabayyun iaitu sentiasa teliti dan berhati-hati dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6).

Berita atau sebarang maklumat yang diterima mesti diteliti dan dipastikan dahulu ketepatannya bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti menfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian.

Umat Islam diingatkan supaya tidak menjadi ejen penyebar berita palsu terutamanya mak­lumat yang bo­leh mendatangkan kegusaran dan kerisauan kepada orang ramai. Perbuatan sedemikian juga dibimbangi menyebabkan seseorang itu menanggung dosa berpanjangan di atas penyebaran berita palsu itu.

Selain itu, tabiat sebegini jika dibiar disemai dalam jiwa masyarakat kita pada hari ini maka keamanan, persaudaraan dan masyarakat harmoni hanyalah menjadi satu harapan atau angan-angan yang tidak berkesudahan. Oleh itu, penekanan kepada semangat mencari dan menyampaikan kebenaran perlu ditekankan dan diteruskan.

Ulama terkenal, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Al-Halal Wa Al-Haram menukilkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sejahat-jahat hamba Allah SWT ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah-belah antara orang yang berkasih sayang, yang mencatatkan orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.” - (Riwayat Imam Ahmad).

Ingatlah hidup di dunia ini adalah tempat kita beramal untuk menuai hasilnya di akhirat. Sudahlah amalan kita sedikit, jangan ditambah pula dengan dosa menyebar berita palsu. Permainan dari sudut persepsi dan khabar angin yang ditelan bulat-bulat akan mengundang pelbagai petaka dan bahaya.

- Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 21 Ogos 2015

Kemanusiaan di zaman manusia

KEGANASAN yang paling ber­bahaya dan terus-me­nerus berlaku tanpa kita sedari adalah keganasan terhadap sistem soko­ngan kehidupan bumi yang ter­kan­dung di dalam udara, air dan tanah.

Cuba renungkan sejenak, adakah apa-apa yang kita makan, pakai mahupun usahakan bukan datang daripada ketiga-tiga unsur ini? Tanpa ketiga-tiganya berada dalam keadaan seimbang dan berfungsi dengan baik, kehidupan manusia dari segi fizikal, sosial, emosi bahkan spiritual juga akan terjejas.

Contohnya, jika berlaku gelombang panas yang panjang dan ekstrem dengan suhu tinggi, bagaimana agaknya jemaah haji dapat menjalankan ibadat mereka dengan selesa? Jika berlaku banjir besar akibat degradasi alam sekitar seperti di Kelantan tahun lalu, rumah ibadat termasuk masjid akan turut musnah.

Degradasi alam sekitar berhubung kait secara langsung dengan pelbagai bentuk keganasan seperti peperangan, kemiskinan dan penindasan. Krisis alam sekitar yang melanda dunia hari ini sebenarnya timbul akibat krisis nilai atau kepercayaan.

Dalam banyak komuniti, sistem nilai tradisional seperti yang diajar oleh agama telah dilumpuhkan oleh nilai agama pasaran (religion of the market) yang melihat semua benda sebagai komoditi untuk dijual. Sama ada kita sedar atau tidak, sebagai sumber nilai yang paling dominan hari ini, agama pasaran menjadi agen utama yang mencetuskan keganasan terhadap manusia dan alam sekitar.

Hal ini kerana semua modal perniagaan sebenarnya boleh kita kesan bermula dengan modal insan (idea dan kreativiti/ilham) dan modal alam sekitar (minyak, logam, tenaga air/suria, hutan dan pelbagai spesies hidupan, air dan lain-lain). Apa yang fundamental ialah kedua-dua modal utama ini kurniaan Allah kepada manusia yang tidak punyai apa-apa. Manusia ialah khalifah yang diamanahkan alam ini untuk dijaga dan memakmurkannya, jauh sekali merosakkan.

“Pada hari itu manusia akan keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam supaya diperlihatkan kepada mereka balasan pekerjaan mereka. Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun akan melihat balasannya dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun akan melihat balasannya juga.” (al-Quran 99:6-8).

Kegagalan yang amat membimbangkan hari ini ialah kita tidak cukup memahami dan menghargai sistem kitaran dan rantaian kehidupan yang juga disebut sebagai ekosistem untuk survival. Dalam sistem tauhid, kecanggihan, ketelitian, keseimbangan dan kesenian sistem-sistem ini menunjukkan kebijaksanaan dan kekuasaan Maha Pencipta. Dia bukan hanya mencipta seluruh yang berada di langit dan di bumi bahkan memelihara dan mentadbir seluruh alam ini.

Hari ini para saintis boleh memahami bagaimana sistem bumi berfungsi tetapi mereka tidak mampu untuk menjawab soalan kenapa sistem-sistem tersebut bersifat sedemikian.

Apabila tidak faham kita tidak menghargai, seperti juga ungkapan ‘tak kenal maka tak cinta’.

Sekiranya kita memahami kebergantungan kita kepada alam sekitar dan fitrah ciptaan Ilahi, kita akan menyedari bahawa krisis bumi hari ini antaranya perubahan iklim yang ekstrem dengan ribut taufan, tsunami, banjir besar, kilat, gelombang haba dan penipisan ozon, sebenarnya manifestasi pentas kehidupan yang sudah goyah.

Sebenarnya bumi sudah wujud 4.6 bilion tahun dan iklimnya telah mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Namun sejak 11,000 tahun yang lalu wujud zaman yang digelar oleh saintis sebagai Zaman Holocene di mana Allah menciptakan keadaan bumi yang amat stabil sehingga munculnya pelbagai tamadun manusia yang gemilang.

Hari ini manusia menjadikan dirinya sebagai satu daya semula jadi yang telah merubah keadaan stabil bumi yang selama 11,000 tahun lalu telah menghidupkan bukan sahaja manusia bahkan berjuta spesies ciptaan Allah di atas planet ini yang juga berfungsi memenuhkan keperluan manusia.

Semenjak 1800-an (pada waktu di mana empayar Islam yang terakhir di Turki berakhir), apabila bermulanya revolusi industri di Eropah serta merebaknya sistem laissez faire yang mengasaskan agama pasaran hari ini serta sistem dan institusi kewangan yang tidak lagi berlandaskan keadaan sosial dan prinsip kebertanggungjawaban yang hakiki, bermulalah zaman yang disebut sebagai Zaman Anthropocene atau Zaman Manusia. Konsep ini disokong oleh sekurang-kurangnya 1300 saintis terkemuka dunia dari 95 negara.

Mereka telah menemui dan mengingatkan pakar/pemain ekonomi dan politik dunia bahawa dua pertiga sistem penting yang menampung kehidupan di bumi telah musnah akibat kegiatan manusia seperti yang kita dapat lihat berlaku di negara kita kebelakangan ini.

Antaranya peningkatan jumlah partikel karbon yang terhasil daripada proses pembakaran. Ukuran maksimum yang selamat ialah 380 bahagian per sejuta (ppm) partikel di udara. Pada Jun lalu, ukuran ini sudah meningkat ke angka 402.6 ppm, paling tinggi pernah dirakamkan dan melampaui batas selamat.

Partikel karbon ini bertindak memerangkap haba sinaran matahari dan menyebabkan peningkatan suhu lebih dua darjah Celsius. Walaupun angka kecil, sudah cukup untuk menimbulkan pelbagai masalah seperti perubahan iklim, memanaskan air laut yang mengakibatkan kerosakan terumbu karang dan habitat hidupan laut yang juga punca makanan manusia. Peningkatan suhu juga mencairkan ais di kawasan kutub, meningkatkan paras laut dan menenggelamkan pulau-pulau.

Kesannya turut membiakkan nyamuk penyebab wabak malaria dan denggi, merosakkan tanaman lalu menjejaskan aktiviti pertanian yang akhirnya menggugat kehidupan manusia.

Sekiranya manusia tidak berbuat sesuatu dan suhu bumi terus meningkat, katakan sebanyak empat darjah lagi, manusia dan banyak spesies lain tidak akan mampu bertahan. Zaman Anthropocene akan tamat.

Sistem bumi seperti keseimbangan suhu begitu tepat dan rapi diciptakan oleh Maha Pencipta. Jika keseimbangan dipelihara hasilnya ialah keadilan ekosistem, keamanan dan kecantikan seperti yang kita nikmati selama ini.

Sebenarnya menangani krisis yang diakibatkan oleh Anthropocene bukan bererti kita menentang kemajuan, teknologi dam pembangunan. Sebaliknya kita perlu menyemak semula nilai agama pasaran sama ada perlu diteruskan, khususnya yang membabitkan pengabaian tanggungjawab dan keadilan sosial.

Dalam dunia perniagaan sekular pun ada etika yang berlandaskan penghormatan kepada sifat kemanusiaan seperti keadilan, memelihara nyawa serta kehidupan dan lain-lain yang tidak jauh beza daripada prinsip yang dianjurkan oleh agama. Walaupun pasaran yang menentukan, siapakah pasaran itu sebenarnya? Kita juga adalah sebahagian ‘pasaran’ tersebut. Pokoknya pengguna perlulah mendidik atau dididik (peranan saintis dan ulama) supaya boleh mempengaruhi pembekal membekalkan produk yang mesra alam sekitar.

Walaupun Anthropocene belum menjadi ‘buzzword’ dalam kalangan masyarakat kita, kita tidak mempunyai alasan untuk tidak mengambil tahu apakah yang boleh kita sumbangkan untuk menyelamatkan bumi daripada Zaman Manusia yang sedang mengancamnya sekarang. Prof Datin Dr Azizan Baharuddin Pandangan IKIM Utusan Malaysia Rencana 21 Ogis 2015

Rahsia manifestasi seni Islam - Kosmologi

Seni Islam dikenali sebagai manifestasi visual masyarakat Islam yang mempunyai pelbagai latar belakang dan budaya yang disatukan di bawah teduhan rahmat Allah SWT. Taburan masyarakat Islam yang tinggal di seluruh dunia dari Timur ke Barat telah memperkayakan warisan seni Islam dengan pelbagai teknik, warna, hiasan dan falsafah. Kepelbagaian ini dirangkumkan di bawah satu label jenama iaitu seni Islam.

Setiap masyarakat pada zaman dahulu mempunyai cara tersendiri dalam menyampaikan nasihat dan peringatan. Salah satu daripadanya ialah dalam bentuk visual dan kiasan yang mungkin sukar untuk ditafsirkan dan difahami oleh masyarakat moden hari ini. Kejayaan para pendakwah Islam menyampaikan sinaran wahyu kepada masyarakat tempatan dengan bijak dan halus tanpa menafikan kesemua budaya dan seni yang diamalkan oleh masyarakat di sesuatu tempat membantu mereka menyesuaikan diri, sekali gus memahami Islam secara berperingkat dan semula jadi.

Alam semesta hadiah terbesar Allah kepada seni Islam
Bahagian dalam kubah Masjid Sultan Ahmed di Istanbul, Turki.

Penyataan visual dalam bentuk seni bukan sahaja cantik di mata malah ia turut cantik di hati dengan memiliki maksud tersirat dan tersurat yang terdiri daripada ajaran Islam, nasihat, larangan dan falsafah yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat. Ia juga antara medium yang boleh digunakan dalam berdakwah. Salah satu maksud yang sering digambarkan dalam karya seni Islam ialah alam semesta yang dijadikan oleh Allah.

Alam semesta atau istilah kosmologi yang digunakan dalam dunia penyelidikan merupakan hadiah terbesar dan terhebat yang Allah sediakan untuk kehidupan makhluk ciptaan-Nya seperti manusia, haiwan, tumbuhan dan banyak lagi. Penciptaan alam semesta banyak kali disebutkan dalam al-Quran.

Antaranya, Firman Allah dalam Surah al-A’raf, ayat 54 yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas ‘arash (yang layak dengan kebesaran dan kesucian-Nya). Dia menghubungkan malam dengan siang yang mengiringinya dengan pantas (silih berganti) dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, urusan penciptaan dan pemerintahan hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.”

Maklumat tentang kejadian alam semesta yang diwahyukan Allah ini diulang-ulang dalam penghasilan seni menggunakan rekaan visual dengan corak tumbuhan, lapisan dan warna. Sebagai contoh, dalam satu rekaan seni Islam yang dihasilkan di Iran dikenali sebagai iwan sering menggunakan latar berasaskan warna biru dan hamparan lingkaran tumbuhan berbunga menggambarkan langit dan bumi. Yang kedua, corak geometri yang mempunyai tujuh lapisan bagi menggambarkan lapisan langit yang dijadikan oleh Allah dan penggunaan warna kontra terang dan gelap seperti rekaan kain batik dalam menyatakan kejadian malam dan siang.

Terdapat juga corak ringkas yang menceritakan tentang peredaran bulan yang mengelilingi bumi dengan meletakkan corak besar di bahagian tengah dan dikelilingi corak yang lebih kecil di sekelilingnya.

Karya-karya seni Islam yang dihasilkan tidak memerlukan corak figura dalam penyampaian maksud seperti yang dituntut dalam ajaran Islam. Ini berlawanan dengan karya seni dari Barat yang memerlukan corak figura terutamanya manusia dalam menggambar dan menyampaikan penceritaan tentang kejadian alam semesta mengikut ajaran agama yang mereka anuti.

Ke mana hilangnya akhlak, budi mulia

Hari ini, negara berdepan dengan isu pengurusan maklumat dalam kalangan pengikut laman sosial. Semuanya kerana faktor taksub dan fanatik yang tidak berlandaskan rasional, disulami pula unsur negatif terhadap kepimpinan negara sehingga sanggup menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihannya. Maklumat yang disebarkan boleh menjejaskan ketenteraman awam dan memudaratkan demokrasi berparlimen di negara ini. Persoalannya ke mana hilangnya budi pekerti masyarakat kita selama ini ?

Budi dan akhlak merupakan komponen terpenting dalam kehidupan insan. Ini adalah kerana tanpa budi pekerti dan akhlak, umat manusia akan menjadi seumpama haiwan. Keistimewaan manusia adalah kerana akhlaknya. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak dan budi pekerti yang mulia.” - Riwayat Tirmizi

Firman Allah SWT dalam bentuk gaya bahasa pujian kepada Nabi Muhammad untuk dijadikan ikutan umat Islam sejagat yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam : 4).

Akhlak dan budi pekerti mulia merupakan intipati ajaran agama Islam. Mesej ini dinyatakan oleh Nabi Muhammad dalam hadis yang bermaksud:

“Seseorang datang kepada Rasulullah dari arah depan. Lalu dia bertanya, “Wahai Rasulullah, apa agama itu?” Rasulullah menjawab, “Agama itu adalah akhlak yang baik”. Lalu dia mendatangi Rasul dari arah kanannya dan bertanya, “Wahai Rasulullah, apa agama itu?” Rasulullah menjawab, “Agama itu adalah akhlak yang baik”. Kemudian dia mendatangi Rasulullah arah kirinya dan bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, apa agama itu?” Rasulullah menjawab, “Agama itu adalah akhlak yang baik.” - Riwayat Muslim.

Ibn Khaldun dalam kitab tersohornya, ‘al-Muqaddimah, al-Insaanu Ibnu al-Baiah’ menyebut bahawa manusia merupakan makhluk yang dipengaruhi oleh persekitarannya. Di sini perlunya diwujudkan suatu persekitaran baik yang merangkumi semua aspek kehidupan sama ada ruang perhubungan baik antara kaum, media cetak yang baik, media elektronik yang baik mahu pun pengikut laman sosial yang baik.

Semua pihak terutamanya pengikut laman sosial perlu mengawal emosi apabila berhadapan dengan sesuatu maklumat dengan mengklasifikasikan maklumat yang diperoleh untuk membezakan mana berita benar, salah, sesuai dengan realiti sebenar atau sebaliknya. Mereka perlu mengetahui maksud tersirat dan tersirat yang ada di sebalik setiap maklumat secara tuntas.

Firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Semuanya kerana faktor taksub, fanatik



PAHLAWAN papan kekunci perlu rasional apabila menerima sebarang maklumat, mengesahkan kesahihannya sebelum bertindak menyebarkannya. - GAMBAR HIASAN

Al- Quran menggariskan kaedah penyampaian dakwah dengan hikmah dan hujah yang jelas di samping memberi nasihat dengan lembut dan bersopan. Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Nahl :1).

Generasi hari ini adakalanya memandang negatif terhadap nilai-nilai murni dalam kehidupan. Mereka lebih sukakan hiburan yang melalaikan. Mereka condong kepada gaya hidup berorientasikan keseronokan nafsu. Sebaliknya masyarakat perlu berganding bahu dalam menyebarkan ilmu pengetahuan dan mendidik jiwa.

Masyarakat hari ini hanya mementingkan aspek ilmu tanpa memberi penekanan terhadap pendidikan dan pembudayaan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Realiti inilah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dalam pembentukan generasi awal Islam di kediaman al-Arqam Abi al-Arqam pada zaman permulaan Islam. Hasilnya telah melahirkan generasi sahabat terpuji dan berakhlak mulia seperti Khulafa’ al-Rasyidin, Saad bin Abi Waqas, Bilal bin Rabah, keluarga Ammar bin Yasir dan sebagainya.

Sunah juga merakamkan seorang yang kuat solat dan kuat berpuasa tetapi selalu menyakiti jirannya. Mafhum hadis tersebut :

“Rasulullah ditanya: Wahai Rasulullah, si polan itu siang hari berpuasa, malam hari dia bangun kerana mengerjakan ibadah. Cuma dia ada sedikit cacat. Akhlaknya rosak iaitu menyakiti jirannya dengan lidahnya. Lantas dijawab oleh Rasulullah : Tidak ada kebaikan lagi pada wanita itu bahkan dia adalah menjadi ahli neraka.” - Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Hakim.

Hadis ini menggambarkan mengenai seorang yang begitu kuat ibadahnya, cuma dia tidak berakhlak. Dan itu pun hanya satu sahaja akhlaknya yang cacat iaitu lidahnya yang selalu menyakiti jirannya. Walaupun demikian, Rasulullah mengatakan amal ibadahnya yang begitu banyak tidak berharga di sisi Allah. Dia dianggap tidak membuat kebaikan, bahkan menjadi penghuni neraka. Hadis ini memberi pengajaran bahawa seorang ahli ibadah bakal menjadi penghuni neraka kerana tidak berakhlak.

Kita mengharapkan agar masyarakat memiliki kekuatan apabila berhadapan isu sebegini. Semua pihak perlu bertenang dan sewajarnya bersikap rasional. Umat Islam juga perlu mempunyai semangat dan nilai kesederhanaan serta mendokong budi pekerti dalam menangani ancaman penyebaran maklumat terutamanya berita palsu dan fitnah yang berleluasa hari ini. Para pengikut laman sosial juga sewajarnya jangan hilang arah dan fokus, sebaliknya membantu usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan memulihkan keyakinan masyarakat menangani masalah persepsi.

-