August 27th, 2015

Pemimpin jadi cerminan rakyat

DALAM al-Quran digambarkan bahawa sebarang krisis yang melanda sesebuah negara adalah cerminan kepada apa yang telah dilakukan sama ada oleh rakyat mahupun pemimpinnya di masa lalu.

Dalam perspektif teologi Islam, perkara ini disebut sebagai sunnatullah iaitu ketentuan Allah yang berkait rapat dengan hukum sebab akibat. Manusia melakukan perkara negatif, maka manusia juga yang akan menerima padahnya. Hukum ini berlaku pasti kepada semua makhluk-Nya tanpa terkecuali.

Hari ini kita berdepan dengan beberapa rangkaian peristiwa yang cukup merimaskan seperti kejatuhan matawang ringgit, kelembapan ekonomi dan pertelingkahan politik. Rentetan kejadian ini, jika tidak di­urus dengan betul dan bijaksana akan membawa impak yang boleh meranapkan negara dan pada ak­hirnya rakyat juga yang menerima tempias terburuknya.

Apa yang berlaku pada hari ini pada hakikatnya adalah pilihan kita sendiri dalam menentukan perjalanan kehidupan kita. Ia adalah risiko daripada apa yang kita kerjakan pada masa lalu. Ini bermakna, situasi krisis - kalau betul ini dikatakan krisis- yang terjadi adalah proses panjang yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyat di masa lalu.

Krisis yang berlaku ini digambarkan dalam al-Quran dikategorikan sebagai turunnya azab yang me­nimpa kepada manusia yang kufur terhadap nikmat Allah.

Dalam kalamnya Allah berfirman yang bermaksud “ Apabila kamu bersyukur nescaya akan ku tambah nikmat yang ku berikan kepadamu, namun apabila kamu kufur, nikmat itu akan berubah menjadi azab yang amat pedih” (Surah Ibrahim ayat 7).

Bersyukur bermakna memanfaatkan segala pemberian Allah atas kapasiti kita sebagai khalifah Allah di muka bumi dan menjayakan misi tersebut dengan amanah dan bertanggungjawab.

Sebagai khalifah, manusia memikul amanah mengurus bumi dan segala isinya dengan sebaik-baiknya sehingga dapat mendatangkan rahmat kepada seluruh isi jagat alam raya ini. Disebabkan matlamatnya adalah memperoleh kerahmatan, maka bersyukur bererti menggunakan semua anugerah Allah dengan cara apa jua bagi mewujudkan kebaikan untuk semua.

Dalam kosa kata Arab, orang yang bersyukur disebut sebagai syakir. Lawan katanya adalah kufur yang bermakna tidak menerima atau menentang. Secara umum istilah kufur diertikan sebagai lawan perkataan iman. Bersyukur juga bermakna menjaga dan mengawal diri daripada sikap dan perilaku jahat dan negatif. Apabila ada manusia yang berbuat jahat dan melanggar perintah agama ia dikira kufur.

Begitu juga apabila ada pemimpin yang tidak amanah, integri­tinya musnah, melakukan rasuah dan tidak mampu untuk berbuat kebaikan dan ke­sejahteraan kepada rakyatnya, pada hakikatnya ia adalah pemimpin yang kufur.

Nikmat yang Allah berikan digunakan bukan untuk menjalankan fungsinya sebagai khalifah Allah, sebaliknya khalifah yang dipertanggungjawabkan digunakan untuk memenuhi hajat nafsu serakahnya. Amanah yang dipikul yang sepatutnya untuk mewujudkan rahma­tan lil alamin, oleh pemimpin kufur hanya dijalankan untuk mengaut kepentingan diri peribadi dan puaknya.

Perkara ini turut disentuh oleh Imam al-Ghazali yang menyatakan bahawa apabila pemimpin diberikan kenikmatan dengan memimpin sesebuah negara, akan tetapi pada realitinya ia mempraktikkan kezaliman kerana tunduk kepada hawa nafsunya, maka sesungguhnya pemimpin itu jatuh sebagai musuh Allah.

Al-Ghazali memberi amaran ba­ha­wa kepimpinan atau yang di­se­butnya sebagai al-wilayah akan me­nemui bahayanya apabila pemimpin tidak amanah dan tidak berupaya dalam menciptakan kemaslahatan untuk orang ramai.

Bila seseorang pemimpin menjadi musuh Allah, ia akan menimbulkan bahaya besar kepada rakyat dan negara sebagaimana peringatan Rasulullah SAW iaitu seseorang pe­mimpin perlu memberikan perhatian kepada tiga perkara: Apabila rakyat memerlukan belas kasihan, maka para pemimpin wajib memberikan perhatian yang sewajarnya; apabila menjatuhkan sesuatu hukuman, hukumlah mereka secara adil; dan, melaksanakan apa yang telah dijanjikan (tidak mungkir janji).

Hakikatnya, perlu disedari bahawa pemimpin itu adalah cerminan dari masyarakat yang menghasilkan pemimpin tersebut. Dari masyarakat yang bertamadun, berbudi bahasa dan demokratik maka akan muncul seorang pemimpin yang baik dan demokratik. Sebaliknya, apabila sesebuah masyarakat itu ‘sakit’ dan terbelakang maka akan muncul pemimpin yang authoritarian dan tidak demokratik.

Di pihak lain, patut diakui pemimpin juga pencetus dan pembentuk corak budaya masyarakatnya. Apabila pemimpinnya adil, amanah, berintegriti dan bijaksana maka rakyat yang dipimpinnya akan menjadi masyarakat yang adil dan patuh kepada undang-undang.

Pemimpin adalah teladan dan contoh bagi rakyatnya. Apabila se­­orang pemimpin itu bersikap munafik, tidak jujur, berbohong dan korup, maka rakyat yang dipimpinnya akan meniru perkara yang sama. Jadi antara pemimpin dan rakyat adalah entiti yang saling mempengaruhi. Pemimpin yang kufur dan tidak amanah akan menghasilkan rakyat yang sama.

Kejujuran menjadi teras penting kepada seorang pemimpin. Tanpa kejujuran, kepimpinan ibarat bangunan tanpa tapak. Dilihat daripada luar, ia nampak megah dan kukuh namun sesungguhnya ia amat rapuh dan tidak boleh bertahan lama. Pemimpin yang tidak jujur dan suka menipu rakyatnya oleh Allah diharamkan menjejakkan kakinya di syur­ga. Amaran ini dirakamkan dalam hadis Nabi yang bermaksud:

Abu Ja’la (Ma’qil) bin Jasar r.a berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: tiada seorang yang diamanahkan oleh Allah memimpin rakyat kemudian ketika ia mati ia masih menipu rakyatnya, melainkan pasti Allah mengharamkan baginya syurga. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Namun demikian, patut kiranya dinyatakan bahawa kejujuran itu harus dimiliki oleh semuanya, bukan hanya seorang pemimpin. Dalam sebuah negara atau organisasi, semua komponen perlu memiliki kejujuran. Dari kakitangan yang pa­ling bawah seperti tukang bersih tandas, kerani, pegawai kanan sehingga peringkat yang paling tinggi mesti mempunyai nilai-nilai kejujuran. Tidak sedikit, dalam sebuah organi­sasi ada pihak yang jujur, namun ada juga pihak yang tidak jujur. Apabila pemimpin yang tertinggi jujur namun pegawai bawahannya tidak jujur, maka ke­pimpinan itu rapuh. Begitu juga sebaliknya. Organisasi atau negara yang dipimpinnya pun terdedah dengan kemusnahan.

Hadis di atas turut memberi penekanan kepada pentingnya seorang pemimpin memberi contoh dan teladan yang baik kepada pihak-pihak yang dipimpinnya. Teladan dan contoh yang baik ini perlu diterjemahkan dalam keputusan dan dasar yang pada prinsipnya tidak melukai atau menipu rakyat. Apabila seorang pemimpin sanggup menipu rakyat dan melukai hati rakyat, Allah membalasnya dengan mengharamkan pemimpin itu menikmati syurga.

Meskipun hukuman ini nampak ‘kurang kejam’, kerana hukuman itu hanya berlaku di akhirat dan ‘tidak wujud’ hukuman di dunia, namun sebenarnya ungkapan ‘haram masuk syurga’ dalam hadis di atas mencerminkan betapa murkanya Allah terhadap pemimpin yang tidak jujur dan suka menipu rakyat. Na­uzubillahi min dzalik. - Tan Sri Dr Alies Anor Abdul Utusan Malaysia Rencana 27 Ogos 2015 1:54 AM

Memaknakan erti kemerdekaan

BEBERAPA hari lagi kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan Negara ke-58 dan lebih kurang dua minggu selepas itu Hari Malaysia pula akan diraikan. Kedua-dua tarikh keramat ini amat bermakna bagi rakyat Malaysia kerana negara berada di dalam pelbagai dugaan. Tema sambutan kemerdekaan ‘Sehati Sejiwa’ diharapkan dapat menyatukan rakyat pelbagai bangsa pasca sambutan kemerdekaan ini.

Saban tahun rakyat Malaysia berganding bahu memajukan negara mengikut acuan yang telah dipersetujui. Laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sudah pasti tidak akan terpadam daripada lipatan sejarah negara dan sentiasa diperingatkan setiap kali negara menyambut kemerdekaan. Detik keramat lebih lima dasawarsa lepas itu pasti akan diingati saban tahun bagi menaikkan semangat kecintaan terhadap negara bertuah ini.

Baiki aspek yang masih ada elemen penjajah

KESEDARAN sebagai bangsa merdeka yang disemai sejak peringkat awal mampu melahirkan jati diri kebangsaan sebagai bangsa 1Malaysia. - GAMBAR HIASAN

Angka 58 tahun kemerdekaan adalah tempoh singkat berbanding dengan tempoh 446 tahun negara dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Tentulah di dalam tempoh yang begitu lama kesan penjajahan itu agak sukar untuk dihapuskan walaupun setelah merdeka. Namun itu bukanlah alasan untuk tidak membebaskan diri kita daripada minda penjajah.

Kemajuan negara berbanding zaman pramerdeka amatlah ketara. Sekalung tahniah diucapkan kepada setiap rakyat Malaysia yang tidak putus-putus berusaha membangunkan negara, begitu juga kerajaan yang memacu kemajuan negara sehingga disegani di setiap pelosok dunia.

MASIH BERGANTUNG UNDANG-UNDANG INGGERIS

Namun dalam kita menikmati kebebasan ini ada beberapa aspek yang mana kita masih terus ‘dijajah’ khususnya dalam aspek perundangan.

Umpamanya kebergantungan mahkamah sivil di Malaysia terhadap undang-undang lazim (common law) Inggeris melalui seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 masih lagi merupakan aspek penting di dalam penghakiman di mahkamah walaupun kita telah merdeka. Kita masih lagi meminggirkan budaya, adat resam, norma dan agama kita dengan mengimport tata budaya dan norma yang begitu asing di dalam undang-undang kita iaitu undang-undang lazim Inggeris.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz pernah menyarankan supaya undang-undang lazim Malaysia digarap dan menyuntik elemen undang-undang dan jurisprudens Islam. Ia ditambah pula dengan kenyataan tegas bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa undang-undang Syariah adalah undang-undang terbaik.

Kenyataan dua tokoh kehakiman dan perundangan ini merupakan satu manifestasi betapa perlunya undang-undang Islam dilaksanakan di Malaysia. Tambatan kepada undang-undang Inggeris ini perlulah dihentikan dan keutamaan kepada prinsip undang-undang Islam yang lebih mencerminkan kehendak majoriti rakyat Malaysia direalisasikan.

Namun masih terdapat golongan ultra sekular yang tidak mendalami hakikat sejarah negara dengan menentang proposisi yang dinyatakan di atas. Begitu juga beberapa pertubuhan bukan kerajaan bukan Islam yang mendakwa undang-undang lazim Inggeris selama ini telah berperanan baik. Tentangan sebegini seolah-olah mahu membawa negara ke era prakemerdekaan. Mereka masih mengutamakan norma dan budaya penjajah berbanding dengan norma dan budaya masyarakat di Malaysia sendiri. Jelaslah kongkongan pemikiran penjajah masih amat menebal dalam diri mereka dan menolak budaya arus perdana rakyat Malaysia.

TIDAK MEMAHAMI ROH UNDANG-UNDANG ISLAM

Sikap ini sebenarnya timbul akibat kedangkalan ilmu undang-undang Islam yang adil tanpa mengira bangsa dan agama, bukan hanya kepada manusia sahaja malah kepada sekalian alam semesta. Contohnya, di dalam undang-undang Islam begitu mengambil berat tentang pemeliharaan dan tanggungjawab manusia terhadap alam sekitar. Ia lebih mementingkan aspek tanggungjawab manusia manakala undang-undang Barat seperti undang-undang Inggeris pula lebih mengutamakan hak. Itulah sebabnya golongan ini terlalu mementingkan hak asasi manusia berbanding dengan tanggungjawab asasi manusia.

Mereka begitu angkuh terhadap Pencipta dan menuntut pelbagai hak tanpa melunaskan tanggungjawab mereka terlebih dahulu. Natijahnya ialah masyarakat menjadi terlalu mementingkan diri sendiri dan mengabaikan tanggungjawab bersama. Masyarakat juga menjadi terlalu individual dan tidak memandu kudrat bagi mempertahankan identiti dan sahsiah diri.

Kenapakah kita lebih mudah menerima perkara asing untuk diterapkan kepada nilai kita oleh penjajah tanpa persetujuan kita berbanding dengan jurisprudens Islam yang mana sebahagian besar rakyat Malaysia mengamalkannya dan pernah suatu ketika dahulu dipraktikkan secara menyeluruh di negara ini.

Sikap tidak menyenangi orang Islam mengamalkan agama mereka secara sepenuhnya adalah berpaksikan kepada ketidakfahaman tentang ajaran Islam sendiri dan kekeliruan berhubung dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada siapapun boleh mempertikaikan kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan. Apa yang diusahakan oleh orang Islam sekarang hanyalah untuk mengembalikan Islam pada kedudukannya yang sebenar sebagaimana sebelum penjajahan. Orang Islam perlu menerangkan keadaan ini kepada rakan bukan Islam agar syak wasangka ini akan terpadam.

Haiwan 
yang afdal 
untuk korban

Dalam ibadat korban, haiwan manakah lebih afdal antara unta, kerbau dan lembu?

Perkara paling penting ialah melaksanakan ibadat korban. Keduanya, ibadat korban perlu dilakukan dengan ikhlas. Mengenai haiwan yang lebih afdal, sewajarnya kita menilai keperluan masyarakat tempatan dan haiwan yang mudah didapati. Unta bukanlah haiwan yang hidup membiak dalam negara kita.

Unta, kerbau atau lembu


HAIWAN korban yang afdal bergantung kepada keperluan masyarakat tempatan termasuk ia mesti mudah didapati. - GAMBAR HIASAN

Masyarakat kita pun jarang makan daging unta. Maka adalah lebih baik kita menggunakan haiwan yang didapati dengan mudah seperti lembu dan kerbau. Begitu juga perbezaan antara lembu dan kerbau, sekiranya lembu yang mudah dan praktikal, maka gunakan lembu, begitulah sebaliknya.

Simbolik Islam agama rasmi

KIRA-KIRA sebulan sebelum negara mencapai kemerdekaan 58 tahun lalu, pengisian hari keramat simbolik pembebasan daripada belenggu penjajah itu seperti kosong - seperti ada yang tidak kena dengan penetapan Islam sebagai agama rasmi negara. Sesuatu perlu dilakukan. Hasilnya pada 30 Julai 1957, dalam persidangan Majlis Kerja Kerajaan Persekutuan mencadangkan pembinaan sebuah masjid sebagai tanda peringatan Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Bagi menjayakannya, sebuah jawatankuasa kerja ditubuhkan di bawah pemantauan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak Hussein. Jawatankuasa kerja ini bertanggungjawab mendapatkan dana bagi membangunkan masjid ini dengan anggaran kos berjumlah RM10 juta. Sebanyak RM4.5 juta dipersetujui menggunakan peruntukan Pusat, manakala bakinya daripada sumber lain yang bertujuan menimbulkan semangat kerjasama atau kekitaan dalam pembinaannya.

Simbol bebas daripada penjajah dan lambang perpaduan, toleransi kaum

Kerajaan negeri-negeri menyumbang sebanyak RM2.5 juta, ahli perniagaan dan korporat serta orang ramai menyumbang RM3 juta. Semua pihak terlibat termasuk sumbangan daripada masyarakat Islam, Kristian, Buddha dan Hindu, sekali gus melambangkan semangat perpaduan dan toleransi antara kaum.

Selepas itu, pada 5 Mac 1958, Mesyuarat Ketua-ketua Menteri yang dianggotai 11 buah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu memutuskan untuk menamakan masjid ini sempena nama Bapa Kemerdekaan, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj sebagai menghargai jasanya menerajui usaha Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Namun, Perdana Menteri pertama itu tidak bersetuju, sebaliknya mencadangkan nama Masjid Negara diberi sebagai tanda kesyukuran kemerdekaan dicapai secara aman tanpa pertumpahan darah.

Pemilihan Tapak

Tapak Masjid Negara dipilih berdasarkan kesesuaian lokasinya di tengah-tengah beberapa bangunan penting dan berdekatan dengan stesen keretapi yang merupakan sistem pengangkutan utama pada ketika itu. Namun, keluasan tanah kerajaan tidak mencukupi dan sebagai pilihannya beberapa bangunan serta tanah sekitarnya terpaksa diambil dengan bayaran pampasan ganti rugi yang dipersetujui oleh semua pihak terlibat.



MASJID Negara ketika dalam proses pembinaan.

Selepas itu, kerja-kerja penyediaan tapak seluas kira-kira 5.3 hektar itu dimulakan pada Disember 1960. Pada 27 September 1961 Tunku Abdul Rahman telah merasmikan upacara penetapan kiblat.

Proses Pembinaan

Kerja-kerja reka bentuk Masjid Negara diamanahkan kepada tiga orang arkitek dari Pejabat Pengarah Kerjaraya Persekutuan, iaitu Datuk Baharuddin Abu Kassim, Datuk Ir. Hisham AlBakri dan seorang arkitek British, H. Ivor Ashley.

Pada peringkat awalnya, arkitek utamanya Baharuddin membuat kajian terlebih dahulu sebelum mereka bentuk keseluruhan masjid ini dengan meninjau beberapa reka bentuk bangunan dan masjid luar negara sebagai panduan. Antara negara yang dilawati termasuklah Arab Saudi, Iran, Turki, Sepanyol, India dan Pakistan. Idea reka bentuk Masjid Negara merupakan gabungan seni bina moden bersulamkan seni bina tempatan.

KERATAN akhbar menceritakan mengenai perasmian Masjid Negara.

Pembinaan struktur bangunan Masjid Negara bermula pada 1963. Tawaran bagi kerja-kerja pembinaan telah diberikan kepada Messrs Lim Chong, Syarikat Pembinaan Berhad. Pada 27 Februari 1963, Yang di-Pertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail menyempurnakan peletakan batu asas pembinaan Masjid Negara.

Teknologi Pembinaan

Masjid Negara mengambil kira falsafah seni bina moden melalui penggunaan teknologi dan bahan binaan terkini pada ketika itu. Penggunaan teknologi konkrit tetulang sebagai struktur utamanya merupakan bukti aplikasi teknologi terkini pada waktu itu. Hasilnya, struktur payung terbuka bergaris pusat 144 kaki persegi sebagai bumbung menutupi dewan solat dengan disokong 16 batang tiang bulat berteknologi konkrit tetulang setinggi 84 kaki.

Bumbung masjid dibina sebagai plat berlipat kukuh dan mampu melintang dengan lebih luas. Konsep pembinaan ini merupakan satu inovatif anak tempatan yang amat dibanggakan. Struktur bumbung berbentuk payung merupakan kubah masjid paling menarik di dunia seni bina moden hingga ke hari ini.

Perasmian

Masjid Negara dirasmikan pembukaannya pada Jumaat, 27 Ogos 1965 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail. Turut hadir dalam upacara itu ialah Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri dan beberapa orang kenamaan lain. Hampir 10,000 orang yang hadir dan menunaikan solat Jumaat berjemaah dengan diimamkan oleh Imam Masjidil Haram, Mekah, Sheikh Abdullah AI @ al-Khayyat.

50 tahun terus istiqamah perkasa dakwah

SELEPAS 50 tahun, Masjid Negara yang dibina sebagai tanda kesyukuran kemerdekaan Malaysia yang dicapai secara aman tanpa sebarang pertumpahan darah terus menjadi lambang pembangunan Islam serta penyatuan ummah di negara ini.

Ternyata doa Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, dalam titah ucapan ketika merasmikan pembukaan Masjid Negara pada 27 Ogos 1965 supaya segala kebajikan, kemajuan dan kemakmuran dinikmati seluruh rakyat Malaysia berlipat ganda dimakbulkan Allah SWT.


MASJID Negara lambang pembangunan Islam dan penyatuan ummah. - Foto Effendy Rashid

Walaupun negara berdepan pelbagai krisis serta permasalahan, menghadapi saat jatuh bangun dalam proses memacu kejayaannya, rakyat yang terdiri daripada masyarakat berbilang agama dan bangsa tetap berusaha menjaga perpaduan supaya kemakmuran terpelihara.

Begitu juga harapan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra yang mengharapkan Masjid Negara menjadi gedung ilmu pengetahuan dan memandu masyarakat Islam ke jalan diredai Allah SWT terus dikongsi kepemimpinan negara hingga kini.

Lambang kegemilangan Islam

Meniti usia setengah abad, Masjid Negara menjadi kebanggaan khususnya kepada umat Islam sebagai lambang kegemilangan Islam sejajar visinya meneraju kecemerlangan institusi masjid di seluruh negara menjelang tahun 2020.

Usaha itu dilakukan secara istiqamah bagi memenuhi misi Masjid Negara untuk memperkasakan aspek dakwah dan pendidikan dalam memantapkan kefahaman masyarakat serta rasa ingin sentiasa mendekati Islam melalui organisasi masjid secara kreatif dan strategik.

Pembinaan Masjid Negara dicetuskan sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi, tetapi hasrat itu berjaya direalisasikan apabila kerja penyediaan tapak dimulakan pada Disember 1960 dan Tunku Abdul Rahman merasmikan upacara penetapan arah kiblat pada 27 September 1961.

Masjid Negara menyimpan kisah unik kerana pembinaannya yang menelan kos kira-kira RM10 juta itu sebahagiannya adalah daripada sumbangan ahli perniagaan, korporat dan orang ramai yang berjaya mengumpul dana RM3 juta.



MASJID Negara ketika dalam pembinaan. - Foto fail NSTP

Mercu tanda negara

Rakyat negara ini patut berbangga kerana turut menyumbang kepada pembinaan masjid yang menjadi mercu tanda negara tercinta. Selebihnya, kos pembinaan diperoleh daripada peruntukan Persekutuan Tanah Melayu (RM4.5 juta) serta sumbangan kerajaan negeri (RM2.5 juta).

Begitu juga dari aspek seni bina masjid yang terletak di tanah seluas 5.2 hektar ketika itu di Jalan Sultan Hishamuddin diterajui anak tempatan, arkitek Pejabat Pengarah Kerja Raya Persekutuan, Datuk Dr Baharuddin Abu Kassim, Datuk Hisham AlBakri dan arkitek British, H Ivor Ashley.

Menurut Dr Baharuddin, tapak Masjid Negara yang berdekatan stesen kereta api dipilih oleh Tunku Abdul Rahman dengan alasan ia akan memudahkan mereka yang bermusafir untuk menunaikan ibadah serta berehat sebelum meneruskan perjalanan masing-masing.

Memikirkan keadaan masyarakat yang menggunakan pengangkutan awam, kedudukan itu dilihat begitu strategik. Malah, Tunku Abdul Rahman dengan tegas menjelaskan objektif pembinaan Masjid Negara adalah untuk manfaat rakyat.

"Tunku punya idea adalah rakyat terlebih dahulu. Beliau kata orang dulu-dulu tak ada kereta, mereka naik kereta api. Sebab itu, masjid dekat dengan stesen kereta api.

Masjid boleh diguna untuk orang berteduh, lepas itu solat. Kita yang buat dapat pahala," katanya mengimbau kembali kata-kata Tunku. Pegawai Perhubungan Awam Masjid Negara, Abdul Rashid Md Isa, berkata menepati objektif sebagai institusi yang mesra masyarakat,

Masjid Negara menyediakan pelbagai kemudahan untuk dimanfaatkan bukan sahaja jemaah yang datang beribadah tetapi juga mereka yang sedang bermusafir.

Malah katanya, pada awal pembinaannya dahulu, masjid berkenaan turut menyediakan bilik untuk musafir berehat, tetapi disebabkan ada pihak menyalahgunakan kemudahan itu dengan menetap lama, pihak pengurusan mengambil keputusan menggunakan ruang berkenaan untuk kegunaan lain.

"Sekarang pun kita menerima kehadiran bas rombongan dari seluruh negara yang berhenti di masjid untuk berehat, membersihkan diri dan menunaikan solat sebelum mereka meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

"Ada juga pihak mencadangkan dibina asrama atau hotel untuk kemudahan mereka yang ingin bermalam berhampiran dengan masjid. Itu cadangan yang baik dan pihak berkenaan boleh memikirkan kaedah terbaik untuk merealisasikan hasrat itu," katanya.



MASJID Negara jadi tumpuan jemaah bertarawih. - Foto hiasan

Ruang solat muat 3,000 jemaah

Selain kemudahan ruang solat yang mampu memuatkan 3,000 jemaah, kemudahan lain yang terdapat di Masjid Negara ialah Dewan Syarahan Utama, bilik mesyuarat, bilik kuliah, bilik taklimat, bilik kaunseling, perpustakaan, tempat pengurusan jenazah, kiosk dan pejabat Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.

Bagi Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, berasa bertuah kerana diberi amanah untuk berkhidmat di masjid berkenaan kerana hubungannya dengan institusi itu sudah terjalin sejak usia remaja ketika mengikuti pengajian tahfiz pada tahun 60-an.

Katanya, menepati inspirasi Rasulullah SAW menjadikan masjid sebagai institusi pelbagai fungsi, Masjid Negara menganjurkan pelbagai program memantapkan pengetahuan umat Islam seperti kelas pengajian, tahfiz serta kursus pemantapan sahsiah remaja selain aktiviti berbentuk massa untuk korban dan aqiqah.

"Masyarakat juga bermurah hati dalam membantu masjid menganjurkan pelbagai aktiviti melalui sumbangan mereka. Berkat sokongan ramai yang menderma, tabung Jumaat kita sentiasa bertambah dan mencecah hingga RM30,000 untuk setiap Jumaat.

"Saya berpandangan Masjid Negara akan sentiasa menjadi tumpuan umat Islam yang akan mengimarahkan masjid terutama pada Ramadan untuk bertarawih.

Boleh dikatakan, apa yang diperlukan masyarakat boleh diperoleh di Masjid Negara," katanya.

Prihatin keselesaan orang ramai

Beliau berkata, pihak pengurusan juga prihatin dengan keselesaan orang ramai yang berkunjung ke Masjid Negara dengan memastikan kemudahan di masjid sentiasa diselenggara secara berkala, manakala kerosakan cuba diperbaiki pada kadar segera.

Berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), 500,000 jemaah dan pengunjung yang datang ke Masjid Negara setahun dan daripada jumlah itu kira-kira 250,000 adalah pelancong termasuk dari luar negara termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang berkunjung pada April tahun lalu.

Sempena sambutan Jubli Emas Masjid Negara yang bermula 27 hingga 29 Ogos, pelbagai acara menarik disediakan kepada pengunjung antaranya ekspo, Forum Perdana Ehwal Islam, program Lailatul Quran dan pertandingan Bilal Cilik.

Mereka yang hobinya mengumpulkan sampul surat hari pertama setem kenang-kenangan pula boleh mendapatkan setem Masjid Di Malaysia di semua pejabat pos seluruh negara bermula esok.

Khusus untuk pembeli di Masjid Negara, sampul surat akan dicop dengan cap khas tertera perkataan Masjid Negara.


PROSES meletak mimbar di Masjid Negara. - Foto fail NSTP

INFO

SEJARAH PEMBINAAN MASJID NEGARA

Cetusan idea
: Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra dan jawatankuasa kerja Masjid Negara di bawah pemantauan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak Hussein.

Kos pembinaan: RM10 juta (RM4.5 menggunakan peruntukan Persekutuan Tanah Melayu, RM2.5 juta sumbangan kerajaan negeri dan RM3 juta daripada ahli perniagaan, korporat serta orang ramai).

Tempoh pembinaan: Dari 1963 hingga 27 Ogos 1965. Perasmian Masjid Negara: Pada hari Jumaat 27 Ogos 1965 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail.

Reka bentuk Masjid Negara: Menara berukuran 245 kaki tinggi kelihatan seperti sekaki payung yang kuncup manakala bumbungnya kelihatan seperti sekaki payung yang kembang dihiasi mozek kaca dan emas putih. Bumbung berukuran 84 kaki tinggi itu mempunyai garis pusat sepanjang 200 kaki dan disokong oleh 16 batang tiang yang ukuran garis pusatnya sepanjang 3 kaki.

Tiang-tiang itu diturap dengan terrazzo. Di tengah-tengah bumbung itu terdapat sebuah aluminium yang diukir ayat al-Quran - seperti replika kubah Masjid Biru di Istanbul, Turki.

Bentuk mihrabnya dulu bersegi seperti pintu tetapi telah diubah suai melengkung seperti gerbang. Mihrab ini bertatahkan ayat al-Quran dalam seni khat Maghribi.

Mimbar, tempat imam berkhutbah pula terletak di sebelah kanan mihrab. Mimbar berbentuk seperti beranda itu dibina daripada kayu.

Dewan sembahyang dapat memuatkan 3,000 jemaah dan berupaya menampung 5,000 lagi di beranda yang terdapat di ketiga-tiga rusuk bahagian dewan itu.

Seluruh kawasan masjid dikelilingi sebahagiannya tembok konkrit dan sebahagiannya pagar berhias. Semuanya terdapat tujuh pintu masuk. Permakaman untuk tujuh pahlawan negara terletak di bahagian barat.