September 1st, 2015

Sehati sejiwa

ISLAM datang dengan membawa sifat kemerdekaan, iaitu menyeru manusia supaya membebaskan diri daripada sebarang bentuk amalan dan kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam. Oleh sebab itulah kemerdekaan umat Islam bermula daripada roh tauhid atau akidah dengan kalimah syahadah.

Dalam mendepani arus kemodenan dunia sekarang, kecanggihan teknologi maklumat dan media baharu memainkan peranan amat penting kerana semua maklumat yang diterima hanya di hujung jari sahaja.

Maklumat atau berita yang disebarkan secara berleluasa melalui aplikasi media sosial kepada masyarakat ada yang benar dan banyak juga palsu.

Kemerdekaan antara nikmat terbesar kurniaan Allah

KEMERDEKAAN berkait rapat dengan usaha memulihkan dan mengekalkan perpaduan termasuk menjaga hubungan sesama manusia. - GAMBAR HIASAN -

Justeru, umat Islam perlu berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan berita yang diterima. Perlu terlebih dahulu tabayyun iaitu menyiasat, meneliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenaran fakta serta ketepatan maklumat bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku.

Firman Allah:“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah Al- Hujurat:6)

Perselisihan yang berlaku akibat daripada kekaburan maklumat atau berita yang diperoleh menjadikan seluruh masyarakat hidup dalam keadaan syak wasangka sesama sendiri.

Sedarlah bahawa terdapat undang-undang di negara kita yang memantau penyebaran maklumat palsu dan adalah salah di sisi undang-undang jika maklumat itu dimuat naik dan disebarkan kepada umum.

ANASIR JAHAT

Begitu juga dengan kekeliruan konsep jihad yang kini tersebar luas di media sosial. Ajakan berjihad itu terutama akhir-akhir ini termasuk di bumi Syria dan juga Iraq lebih-lebih di mana wujudnya kumpulan militan yang dikenali sebagai IS.

Satu laporan menyebut kira-kira 30,000 sukarelawan dari seluruh dunia telah menyertai kumpulan tersebut.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga menyatakan sekurang-kurangnya 15,000 militan dari negara asing menyertai pertempuran di Syria.

Kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad bersama-sama kumpulan itu berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar menurut hukum syarak sehingga boleh membawa kekeliruan.

Keliruan ini juga menyebabkan kita terjebak dalam pelbagai pertelingkahan hingga lupa kepada maksud kemerdekaan yang merupakan satu nikmat.

Kemerdekaan juga berkait rapat dengan usaha untuk memulih dan mengekalkan perpaduan yang bermaksud menjalin hubungan sesama manusia dengan tujuan saling memahami serta menghormati antara satu sama lain. Dalam kata lain kita perlu sehati sejiwa.

Allah memerintahkan kita untuk bersatu dan berpegang teguh dengan agama Islam sebagaimana firman-Nya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara.” (Ali-Imran ayat:103).

Pendekatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW amat unik iaitu bagi mewujudkan kesatuan ummah dengan menyeru umat Islam mengukuhkan perpaduan dan persefahaman antara satu sama lain.

Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan contoh dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara dengan mengukuhkan persefahaman serta perpaduan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan melalui Piagam Madinah.

KESEDERHANAAN ASAS PERSEFAHAMAN

Faktor utama yang menjadi penyebab kepada wujudnya persefahaman antara kita adalah sikap kesederhanaan dan keseimbangan.

Kesederhanaan merujuk kepada pelaksanaan sesuatu perkara yang dilakukan secara berhikmah dan seimbang bagi mengelak berlaku kekerasan serta kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama, pada masa sama agama Islam dapat dimartabatkan.

Persefahaman adalah roh kekuatan Islam kerana ia mewujudkan perasaan kasih sayang, persaudaraan, kedamaian dalam hubungan kekeluargaan dan masyarakat.

Rasulullah SAW bersabda: “Dan demi nyawaku dalam genggaman-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman sepenuhnya dan kamu tidak beriman sehingga kamu sayang-menyayangi antara kamu, apakah kamu suka aku tunjukkan sesuatu yang mana jika kamu membuatnya nescaya kamu akan berkasih-sayang, ia adalah memberi salam di kalangan kamu.” - Riwayat Muslim.

Untuk itu Beberapa rumusan boleh kita ambil sebagai pengajaran, iaitu:

Umat Islam diseru supaya tidak menyalah gunakan kecanggihan teknologi.

Setiap berita yang diterima hendaklah dipastikan terlebih dahulu kebenarannya sebelum dipercayai atau menyebarkannya kepada orang lain.

Kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad adalah berpunca daripada kekeliruan dan salah faham terhadap konsep jihad dan mati syahid yang sebenar menurut hukum syarak.

Untuk mengekalkan keharmonian dan kemakmuran dalam masyarakat, kita hendaklah saling memahami dan bersatu padu serta berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Hendaklah kita sentiasa bersyukur di atas segala nikmat Allah.

Kemerdekaan merupakan antara nikmat yang dikurniakan Allah agar dapat disyukuri oleh setiap hamba-Nya yang inginkan kebebasan dan keamanan. Sehubungan itu, Hari Kebangsaan 2015 perlu disambut dengan amalan-amalan yang sihat, tidak bercanggah dengan ajaran Islam, tidak menghina Islam apalagi sehingga mencemari kesucian Islam.

-

Masjid simbol perpaduan

MASJID merupakan simbol syiar yang sangat penting dalam kehidupan umat Islam. Ia adalah jantung hati dan nadi kehidupan umat Islam. Sewaktu peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah perkara pertama yang menjadi agenda besar baginda ialah membina masjid di Quba’ Madinah. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa mendirikan sebuah masjid dengan mengharapkan keredaan Allah SWT nescaya didirikan baginya sebuah rumah di dalam syurga,” - Riwayat Bukhari

Sejarah juga telah membuktikan bahawa masjid mempunyai fungsi pelbagai berabad lamanya bermula dari zaman Rasulullah SAW sehingga hari ini. Menjejaki sirah, kita dapat melihat betapa Nabi Muhammad SAW bukan sahaja menjadikan Masjid Nabawi sebagai pusat ibadah, malah juga sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran negara Islam Madinah.

Rumah Allah merupakan tempat paling aman

MASJID merupakan jantung, hati dan nadi kehidupan umat Islam. GAMBAR HIASAN

Masjid Nabawi amnya menjadi nadi penggerak Islam, penggerak aktiviti masyarakat, malah tempat rakyat menuntut hak dan keadilan. Juga turut berperanan sebagai pusat kebajikan, gedung ilmu dan pusat hubungan dengan Allah serta manusia sesama manusia. Dengan fungsi-fungsi tersebut, terbukti Rasulullah berjaya menggambarkan kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai al-Deen (cara hidup) melalui fungsi-fungsi komprehensif yang dijana oleh institusi masjid.

Ini jelas menunjukkan bahawa masjid bukan sahaja tempat untuk melakukan ibadah solat, bahkan mempunyai peranan yang lebih luas sebagai suatu tempat untuk menyebarkan dakwah dari segenap aspek kehidupan kepada masyarakat.

SIMBOL PERPADUAN UMMAH

Masjid sebagai simbol perpaduan ummah. Bermula daripada fungsinya sebagai tempat beribadat, tempat sujud, juga sebagai pusat pembelajaran segala ilmu-ilmu Islam seperti al-Quran, Tafsir, Hadis, Tauhid, Fikah, Sirah, Akhlak dan lain-lain. Pada zaman Rasulullah dan sahabat, masjid menjadi institusi paling penting dan besar pengaruhnya dalam pembinaan sahsiah, peribadi dan kehidupan umat Islam dalam semua bidang.

Terbukti apabila para sahabat yang diasuh dan dibimbing dalam suasana persekitaran masjid telah berjaya menjadi individu yang hebat, terbaik, cemerlang dan gemilang seperti Saidina Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abu Talib, Abdur Rahman bin Auf, Abdullah bin Abu Bakar, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Mas’ud dan ramai lagi. Masyarakat Islam pada zaman itu merupakan generasi umat Islam terbaik.

Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik umatku adalah pada zamanku,” - Riwayat Tirmizi.

Hari ini fungsi masjid semakin berkembang pesat menjadi pusat penting dalam kehidupan. Antaranya menjadi pusat ilmu, dakwah, maklumat, kebudayaan, muamalat dan sebagainya. Dari sudut ilmu, ia berfungsi menjadi tempat mengadakan kelas bimbingan al-Quran, kelas bimbingan fardu ain, fardu kifayah, kelas tuisyen dan lain-lain. Dalam dakwah pula, masjid berfungsi menjadi tempat ceramah, motivasi dan bimbingan kepada saudara baharu.

Masjid sebagai pusat maklumat juga berfungsi menjadi pusat penyebaran ilmu kepada masyarakat setempat, ahli kariah, pelancong dan lain-lain. Menjadi pusat budaya dan muamalat, masjid berkesan dalam mendekatkan masyarakat khususnya umat Islam setempat, ahli kariah dan masyarakat umum tentang keindahan Islam dari sudut ajaran dan syariat Islam, juga tentang budaya, gaya hidup, akhlak dan akal budi umat Islam yang berpegang dengan Islam.

TANGGUNGJAWAB UMAT ISLAM

Tanggungjawab umat Islam terhadap institusi masjid juga semakin berkembang bersesuaian dengan perkembangan zaman. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi bermaksud: “Rasulullah SAW menyuruh kita membangunkan masjid-masjid di daerah dan masjid-masjid itu dipelihara kebersihan dan keharumannya”.

Membangunkan masjid adalah perintah Rasulullah SAW, kemudian umat Islam disuruh supaya bangunan itu dipelihara dan dijaga sebaik-baiknya. Terutama kebersihan, keharuman dan keceriaan masjid, iaitu dalam dan luar masjid, termasuk menyediakan kemudahan asas lain seperti ruang membaca yang mesra pengguna, tempat berwuduk, bilik air yang bersih dan lain-lain lagi.

Sesungguhnya mulialah orang yang sentiasa memelihara dan menjaga kemuliaan masjid-masjid Allah. Perlu diingatkan, bahawa masjid adalah tempat paling disukai Allah, sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud: “Rasulullah bertanya kepada malaikat Jibril AS: ‘Wahai jibril, tempat manakah yang paling disukai Allah? Jibril AS menjawab: ‘Masjid-masjid dan yang paling disukai Allah ahlinya ialah orang yang pertama masuk dan orang yang terakhir keluar meninggalkannya.” - Riwayat Muslim.

KELEBIHAN MENGUNJUNGI MASJID

Masjid disebut sebagai rumah Allah. Ia merupakan tempat paling aman, selamat dan damai kepada umat Islam yang selalu berkunjung ke masjid. Umat Islam yang datang ke masjid akan mendapat bonus pahala dan keberkatan hidup di sisi Allah.

Masyarakat dan umat yang hidup dalam persekitaran masjid atau mereka yang sentiasa mengutamakan masjid dan tidak pernah renggang daripada masjid kerana sentiasa memakmurkan masjid dengan mengerjakan solat berjemaah, beriktikaf, hadir majlis ilmu dan seumpamanya adalah umat yang paling disukai di sisi Allah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Gembirakanlah orang yang berjalan kaki di malam gelap gelita menuju ke masjid bahawa bagi mereka cahaya yang terang benderang di hari Kiamat.” - Riwayat al-Hakim dan at-Tirmizi.