September 6th, 2015

Hemat berbelanja di tanah suci

Musim haji telah tiba lagi. Jutaan orang Islam dari seluruh pelosok dunia akan mengunjungi Mekah dan Madinah bagi melengkapkan Rukun Islam kelima. Tidak ketinggalan juga bagi jemaah haji dari negara kita. Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia telah berlepas ke Madinah pada 16 Ogos lalu. Kumpulan terakhir pula dijangka berlepas pada 16 September nanti. Kepada semua jemaah haji didoakan agar mendapat haji yang mabrur dan selamat pulang ke tanah air nanti.

Musim haji pada tahun ini agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Secara kebetulan, musim haji kali ini berlaku pada masa ekonomi global yang tidak stabil. Keadaan ekonomi terutama kejatuhan nilai mata wang sudah pasti akan membawa bersama-samanya kesan kepada jemaah haji.

Malaysia, sebagai sebuah negara yang pesat membangun, pasti turut terkena tempias daripada fenomena global ini. Pendek kata kejatuhan nilai ringgit Malaysia boleh memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara terutamanya jemaah haji.

Akibat daripada keadaan ini, wujud berita-berita yang tidak betul berkenaan Ringgit Malaysia dan jemaah haji. Ada yang mendakwa ringgit sudah tidak laku di sana. Ada juga pihak yang kata jemaah haji bermasalah untuk menukar ringgit kepada riyal.

Dakwaan ini adalah tidak benar. Hal ini telah pun dinafikan oleh pihak Tabung Haji (TH). Jemaah haji Malaysia bukan hanya boleh menukarkan ringgit di kedai-kedai penggurup wang malah boleh juga digunakan secara terus di merata tempat di Arab Saudi. Tiada masalah untuk membeli jubah, barangan haji dan lain-lain keperluan dengan menggunakan ringgit.

Namun begitu, jemaah haji disaran supaya lebih berhemat ketika berbelanja dalam keadaan kejatuhan nilai ringgit ini. Ini kerana kejatuhan nilai ringgit akan menyebabkan kuasa beli jemaah haji akan berkurang.Perbelanjaan yang lebih untuk membeli barang dan perkhidmatan mesti dikeluarkan. Ini memandangkan kuasa membeli barangan di luar negara adalah berkurang. Nilai ringgit menjadi semakin kecil berbanding dengan mata wang riyal Arab Saudi. Banyak kerugian yang akan ditanggung dari segi pertukaran wang.

Jumlah wang saku yang dibawa jemaah haji akan dilihat mengecil dan bebanan untuk berbelanja semakin memberat. Dahulu dengan duit yang dibawa mungkin dapat membeli sepuluh jenis barang. Namun, dalam keadaan sekarang, dengan jumlah wang yang sama mungkin hanya berupaya untuk membeli lima jenis barang sahaja atau kurang daripada itu.

Justeru, sebagai langkah untuk menghadapi keadaan nilai ringgit yang rendah ini, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh jemaah haji ketika di tanah suci. Pertama, jemaah haji disaran agar tidak berbelanja sakan di tanah suci. Berjimatlah dalam berbelanjalah untuk barangan keperluan terlebih dahulu.

Kecenderungan setiap jemaah untuk membeli "ole-ole" untuk diberikan kepada kaum keluarga, sahabat handai dan kenalan memang tidak dapat dinafikan. Masakan tidak untuk mereka menghadiahkan pelbagai jenis barangan dari tanah suci seperti jubah, kopiah, sejadah, buah kurma dan lain-lain lagi. Hadiah-hadiah seperti ini boleh dibeli namun dihadkan jumlahnya.

Fokus

Ini kerana kebanyakan barang-barang ini boleh turut diperolehi di negara kita. Malah ada sesetengah barang yang diperbuat dari negara kita dan negara jiran seperti Indonesia. Ketika berada di sana, utamakan pembelian barangan keperluan terlebih dahulu dan tumpukan kepada amal ibadat sepenuhnya. Barangan hadiah boleh dibeli dalam negara. Jika hendak membeli di sana pun, belilah barangan yang sangat jarang ada dijual di negara kita.

Kedua, jemaah haji juga disaran untuk membina sikap tidak menurut rakan ketika berbelanja di tanah suci. Jangan sesekali membandingkan dengan orang lain dari segi kuantiti dan jenis barangan yang ingin dibeli. Sikap jemaah haji perlu diubah agar lebih fokus kepada perkara-perkara yang lebih memberikan manfaat.

Sikap yang akan membolehkan kita bahagia walaupun mempunyai masalah atau mempunyai kesempitan wang ringgit iaitu sabar dan syukur. Sabar maksudnya tidak terlalu mengikut setiap keinginan yang timbul dalam diri. Jika terlalu mengikut keinginan, banyak belanja akan dikeluarkan. Ini kerana keinginan tidak pernah ada penghujungnya.

Syukur pula bermaksud reda dan berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Syukur akan menghindarkan perasaan untuk membanding-bandingkan dengan orang lain. Dengan rasa syukur dalam berbelanja, setiap kita akan memperolehi ketenangan dan akan membuatkan kita tersenyum.

Sebagai kesimpulannya, alangkah moleknya bagi jemaah haji untuk tidak berbelanja sakan di tanah suci. Berjimat dan berhematlah ketika berbelanja di sana memandangkan nilai ringgit yang agak rendah pada masa sekarang. Nilai ringgit yang rendah akan mengakibatkan kerugian dari segi pertukaran walaupun boleh keluar wang melalui kaunter TH di sana.

Barangan yang hendak dibeli di sana untuk dikirim kepada keluarga boleh dibeli di tanah air sahaja kerana barangan tersebut juga ada dijual di sini. Utamakanlah ibadah haji dan umrah. Perbanyakan amal kebajikan dan menggunakan peluang menambah sebanyak-banyak pahala dan sedaya upayalah untuk mengelakkan pembaziran dan perbelanjaan yang tidak perlu. - Dr. Ram Al Jaffri Saad Utusan Malaysia Rencana Bicara Agama 06 September 2015 12:47 AM

Perkenalkan, wakil rakyat saya orang dilaknat

Umpama sebuah restoran eksotik, pimpinan Parti Pekerja kini sedang ghairah menyajikan cerita politik yang begitu langka. Menunya bai’ah, talak tiga dan kafarah, sesuatu yang asing di tekak kita.

Ceritanya juga seperti perangkap yang terkena diri sendiri. Dulu, semasa melafaz dan menandatangani bai’ah itu tidak pula mereka pertikaikan. Tidak pula diheboh-hebohkan sebagai memperalatkan agama. Mereka bangga bahkan berebut-rebut untuk menjadi calon pilihan raya Pas.

Tapi sekarang, ceritanya sudah diterbalikkan. Dulu, sejak 2004 bai’ah adalah sumpah setia yang digeruni, tujuannya untuk menghalang wakil rakyat Pas melompat parti. Mereka berpegang pada bai’ah bahawa sesiapa yang keluar parti akan dilaknat oleh Allah dan Rasulnya serta ditambah bercerai talak tiga di Kelantan.

Kini, setelah keluar parti mereka mencari hujah dan pandangan yang paling meringankan. Bai’ah yang sebegitu serius ditebus dengan menjamu fakir miskin.

Begitulah, apabila agama dipolitikkan. Yang diyakini dan dipegang dahulu boleh berubah sesedap rasa, semudah menterbalikkan telapak tangan.

Anehnya mereka yang melanggarnya seperti berbangga dapat menconteng arang di muka sendiri. Mereka tanpa silu mengumumkan diri telah melanggar sumpah setia itu dan menebusnya dengan memberi makan orang miskin.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 22 wakil rakyat Pas telah keluar parti menyertai Parti Pekerja pimpinan bekas Timbalan Presiden, Mohamad Sabu. Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli pula antara yang melafazkan taklik cerai talak tiga.

Setakat ini Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Mariah Mahmud yang telah menjamu fakir miskin bagi menebus bai’ah yang mereka lafazkan. Mereka mendakwa melanggar bai’ah yang dilafazkan ketika menjadi calon Pas sebelum ini bukan atas sebab kepentingan peribadi. Jadi, mereka menganggap telah menunaikan tanggungjawab masing-masing mengikut lunas-lunas Islam.

Agaknya pemimpin jenis apakah yang sanggup melanggar sumpah janji dilaknat oleh Allah dan Rasulnya? Dari segi hukum biarlah ulama yang mengulas atau mahkamah yang menentukan gugur atau tidak talak tiga pengucapnya.

Dari segi moral, bagaimanakah masyarakat boleh menerima pemimpin yang berkelakuan seperti ini, apatah lagi bakal memimpin mereka? Semudah itukah, dulu terikat, sekarang tidak?

Walaupun bai'ah itu sedang dicabar, kepemimpinan Pas dan ulamanya tetap berpegang teguh dengan maksud bai’ah tersebut. Wakil rakyat yang melanggarnya akan dilaknat dan bercerailah isteri masing-masing dengan talak tiga. Kenyataan terbaharu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan; “Selagi perjuangan Islam itu dibawa (Pas), tidak boleh khianat. Kalau dikhianati, dilaknat Allah, dilaknat Rasul, dilaknat semua yang melaknat”. Tidak timbul kafarah bagi menebus bai’ah.

Ketua Hakim Syarie dan Mufti Kelantan pun berpendirian mereka yang berbai'ah taklik talak tiga perlu merujuk ke mahkamah untuk mendapatkan keputusan muktamad. Tentu sekali tujuannya bukan untuk memporak-perandakan keluarga tetapi mencari jalan penyelesaian.

Atau seperti yang difahami, letaklah jawatan sebagai wakil rakyat. Jangan terus-terusan salahkan parti. Kamu juga dahulu yang sanggup bersumpah setia begitu.

Kesannya memang amat besar. Umum tertanya-tanya apakah pula kesannya kepada masyarakat yang mereka pimpin? Sekurang-kurangnya kepada ahli dan penyokong Pas yang berpegang kepada bai’ah itu, bagaimanakah mereka mahu menerima wakil rakyat yang diketahui dilaknat oleh Allah dan Rasulnya serta sekalian mereka yang melaknatnya? Bolehkah menyertai aktiviti wakil rakyat berstatus sebegini?

Yang jelas, kita sekarang dapat melihat betapa bersimpang-siurnya politikus serpihan Pas ini. Pendirian mereka tidak konsisten, jauh panggang daripada api jika dibandingkan dengan nilai pimpinan parti pujaan mereka, DAP.

Supremo DAP, Lim Kit Siang dan diperturunkan kepada anaknya, Lim Guan Eng sentiasa konsisten dengan pendirian parti mereka. Tidak boleh masa dahulu, tetap tidak boleh masa sekarang. Ini tidak, dahulu sokong hudud sekarang tolak hanya kerana sekutu tidak setuju.

Apakah orang yang sanggup melanggar janji apatah lagi yang melibatkan agama layak untuk diangkat sebagai pemimpin? Jika sumpah yang sebegitu berat boleh dilanggar, bagaimana pula dengan janji-janji biasa kepada rakyat?

Di mata umum, pemimpin jenis ini jelas boleh mengkhianati janji pada bila-bila masa yang mereka suka. Asal memenuhi selera, jalan saja.

Mereka sepatutnya menunjukkan contoh dan teladan. Sebagai pemimpin, mereka semestinya bertarung habis-habisan memperjuangkan kebajikan rakyat bukan menimbulkan kontroversi yang mengheret dan meresahkan masyarakat.

Tetapi sudah kepalang terlanjur. Kita semua terpaksa juga menghadapi perilaku wakil rakyat dan politikus yang sengaja tidak mahu menghentikan laku lancung itu. Mereka hanya mahu orang bertindak adil kepada mereka tetapi diri sendiri tidak pula mahu bertindak adil kepada orang lain. Salahnya kita juga yang mengiktiraf dan mengangkat kedudukan mereka.

- Zulkefli Hamzah Utusan Malaysia Rencana Agama 06 September 2015 12:47 AM