September 15th, 2015

Kelebihan 10 hari pertama Zulhijah

IMAM al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas bahawa Nabi SAW bersabda: “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan berganda dan amat dikasihi oleh Allah SWT melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijah.” Para sahabat Baginda bertanya: “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah?” Ujar Baginda: “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.”

JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN

Pertama: Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Sabda Nabi SAW: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga.”

Kedua: Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah.

Memetik sebuah hadis qudsi: “Puasa itu adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata kerana-Ku.” Abu Sa’id al Khudri berkata Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang pun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh 70 tahun.”

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.”

Ketiga: Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Taala yang bermaksud: “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum).” Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijah. Oleh kerana itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu ‘Umar yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di antaranya: “Oleh kerana itu perbanyakkanlah pada­nya tahlil (Lailahaillallah), takbir (Allahu Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

Imam Al Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah kedua-duanya pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli fikah) dalam kalangan Tabi’in (generasi selepas sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, Lailahaillallah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa Lillahi Hamdu]”. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Taala yang bermaksud: “(Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas nikmat-Nya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala doa yang baik.

Keempat: Bertaubat dan mening­galkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba daripada rahmat ­Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Ba­ginda SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hamba-Nya melakukan perkara yang ditegah-Nya.”

Kelima: Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi lebih disukai oleh Allah jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu me­lainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia ce­dera atau mati syahid).

Keenam: Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur Hari Raya Haji (10 Zulhijah), kesemuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijah.

Ketujuh: Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada Hari Raya Haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijah). Ini sunnah (amalan) Nabi Ibrahim AS setelah Allah Taala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Kelapan: Imam Muslim meriwayatkan daripada Ummu Salamah bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijah dan ada dalam kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya daripada (memotong) rambut dan kukunya.” Dan di dalam riwayat lain: “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.”

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Taala, maksudnya: “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan da­gingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).”

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemilik haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang ber­kenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

Kesembilan: Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjemaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.

Ke-10: Penuhilah hari-hari ber­kenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya. - Syed Nazmi Taufek Utusan Malaysia Rencana 15 September 2015 1:59 AM

Tragedi Jumaat cetus keinsafan

Perjalanan saya ke Masjidilharam untuk menunaikan solat Maghrib petang kelmarin, pada awalnya tidak banyak berbeza dengan hari-hari yang saya lalui sejak menjejaki kaki di bumi Anbiya ini.

Melalui jalan yang menghala ke Masjid agung itu, langkah dipercepatkan supaya segera tiba. Sebagaimana saya, begitu juga jemaah lain yang sudah berada di kota kelahiran Rasulullah SAW ini sejak pertengahan bulan lalu, sempena musim haji tahun ini.

Masing-masing berpusu-pusu dan menyegerakan langkah untuk segera tiba bagi mendapatkan ruang solat terbaik dan kesempatan beriktikaf sementara menunggu masuknya waktu.

Namun, apabila kaki sudah berada di dataran Masjidilharam, cuaca tiba-tiba mula bertukar dan ketika mendongak untuk menyaksikan perubahan yang agak pantas itu, saya melihat langit bertukar menjadi coklat pekat dan angin kencang yang penuh dengan pasir bertiup ke arah muka.

Dalam keadaan itu, saya hanya memikirkan betapa kerdilnya jutaan manusia dan segala binaan hebat di Makkah ini jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah SWT. Tidak disangka pagi Jumaat yang tenang di Makkah bertukar menjadi kucar-kacir pada petangnya apabila ribut pasir yang kuat melanda sehingga menyebabkan sebuah kren pembinaan di Masjidilharam yang sedang menjalani kerja pembesaran, tumbang dan mengorbankan nyawa sebilangan jemaah dan mencederakan ratusan yang lain.

Nyaris dihempap pencangkuk

Rakan sebilik, Azri Asmon, 31, yang pada waktu angin kencang melanda sudah berada di dalam Masjidilharam menceritakan bagaimana beliau yang berada di tingkat atas mataf pada waktu itu kerana menunaikan tawaf sunat, menyaksikan sendiri sebuah kren tumbang di atas Masa'a (tempat mengerjakan saie) dan pencangkuknya melayang dekat dengannya sebelum jatuh ke atas ruang tawaf di bahagian bawah.

Katanya, orang yang sedang tawaf di mataf kelam kabut berlari mencari jalan keluar dan mereka bertolak-tolak... ada yang jatuh di atas lantai mataf kerana hanya ada dua laluan kecil yang menghubungkan mataf dengan bangunan masjid. "Saya simpati dengan warga tua dan jemaah berkerusi roda yang tersekat dalam kesesakan.

Malah, ada jemaah yang cuba turun mataf yang setingginya kira-kira 25 meter itu, mungkin bimbang mataf itu juga akan runtuh ditiup angin.

KEADAAN sekitar Masjidilharam selepas kejadian ribut pasir dan kren tumbang, kelmarin. - Foto Gambar Ihsan Pembaca
Dalam keadaan itu saya hanya berdiri, melaungkan azan serta berzikir dan berdoa memohon perlindungan Allah SWT.

Mujur isteri tidak ikut sama tawaf sunat dan berada di ruang dalam masjid," katanya yang berasal dari Pasir Gudang.

Ahli keluarga terpisah


Katanya lagi, jemaah yang berjaya masuk ke kawasan perlindungan mula sibuk mencari pasangan masing-masing dan ahli keluarga yang terpisah ketika ribut itu berlaku.

Keadaan diburukkan lagi apabila semua talian telefon terputus dan wajah-wajah kebimbangan jelas di muka.


Ribut pasir yang tiba-tiba muncul itu turut menurunkan hujan batu dan beberapa jemaah cedera serta luka di badan kerana terkena ketulan ais yang agak besar.


Saya turut melihat empat sekeluarga lengkap dengan pakaian ihram berpaut pada tiang lampu di dataran Masjidilharam, cuba menahan diri daripada diterbangkan angin kencang.

Kilat sabung menyabung dan guruh berdentum dan untuk beberapa ketika, saya melihat angin pusar yang besar melintasi kawasan dataran, menerbangkan apa saja di dalam laluannya.

Angin kencang itu turut menerbangkan penghadang jalan plastik di dataran, seumpama kertas dan mencederakan beberapa jemaah yang tidak sempat mengelakkan diri, terutama warga tua yang panik dan tidak dapat bergerak laju untuk menyelamatkan diri.

Dalam kekalutan ribuan manusia yang cemas di dataran Masjidilharam mencari perlindungan, saya dan seorang lagi jemaah India membantu seorang jemaah wanita tua dari Indonesia di hadapan saya yang terjatuh dan cedera akibat terkena penghadang jalan plastik yang diterbangkan oleh angin kencang itu.

"Tolong mas, tolong saya, mas. Jangan tinggalkan saya," rayunya berkali-kali diiringi tangisan sambil merangkul erat kaki saya. Mulutnya berdarah dan kedua-dua kakinya tidak dapat digerakkan.

Dalam keadaan yang basah kuyup, saya memujuknya dengan berjanji tidak akan meninggalkannya. Bagaimanapun, saya tidak berani untuk mengangkat wanita itu kerana saiz badannya yang agak besar dan bimbang jika beliau mengalami kecederaan dalaman.

Sambil melindunginya daripada ribut dan angin kencang, beberapa penghadang besi tumbang dan penghadang jalan plastik juga terbang hampir dengan kami.

Ketika itu, saya melayani hati dengan bertawakal kepada Allah SWT untuk melindungi kami dan reda jika itu adalah hari terakhir buat saya walaupun saya tahu peluang untuk selamat lebih cerah jika saya meninggalkan wanita itu dan menyelamatkan diri.

Namun, ini adalah Tanah Haram dan setiap insan yang berada di situ akan diuji tahap keimanan mereka seperti beberapa lelaki yang berlari melintasi kami tanpa mempedulikan jeritan pertolongan saya kepada mereka untuk membantu kami yang terdedah kepada pelbagai bahaya di kawasan lapang dataran itu.

Hanya doa yang tidak putus-putus dan keyakinan kepada Allah SWT saja yang menguatkan hati saya untuk terus bertahan di situ.

Jemaah dari India yang bersama saya itu kemudian berlari di dalam ribut untuk mendapatkan bantuan dan kembali dengan seorang anggota polis yang cuba menghubungi anggota lain.

Kekalutan itu berlaku dalam seminit dua, tetapi dalam keadaan itu, waktu bagaikan berputar terlalu lama dan tidak lama kemudian, tiba seorang lagi anggota polis yang membuat pemeriksaan pantas dan memutuskan untuk mengangkat wanita Indonesia itu untuk dibawa ke tempat perlindungan.

Berlindung di aras bawah

Bersama-sama, kami memapah beliau dalam ribut yang masih kencang itu ke bilik air di aras bawah tanah yang terletak kira-kira 100 meter dari situ. Sebaik tiba di bilik air itu, saya melihat sudah ada beberapa ratus jemaah yang berlindung di situ dan wanita itu segera mendapatkan bantuan daripada jemaah Indonesia lain.

Ribut itu reda kira-kira setengah jam kemudian dan perlahan-lahan jemaah yang berlindung mulai keluar untuk mencari anggota keluarga dan sahabat mereka yang terpisah dan melihat kerosakan disebabkan ribut berkenaan.

Ribuan pekerja masjid juga pantas membuat kerja pembersihan dengan membuang air yang bertakung di kawasan dataran dan sebahagian masjid.

Tidak lama kemudian, azan Maghrib berkumandang dan imam yang bagaikan mengerti, membaca surah al-Zalzalah dan al-Qari'ah yang menceritakan mengenai hari kiamat dan tanda-tandanya, pada rakaat pertama dan kedua solat.

Surah al-Zalzalah yang mengandungi lapan ayat itu bermaksud: "Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat), dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandung)nya, dan manusia bertanya: "Mengapa bumi (menjadi begini)?" Pada hari itu bumi menceritakan beritanya kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya. Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)-Nya dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)-Nya pula."

Kedengaran esak tangis jemaah apabila surah berkenaan dikumandangkan. Selepas solat, saya terus pulang ke hotel kerana keletihan dan agak trauma.

Ketika itu saya mendapat tahu ada jemaah yang meninggal dunia dan cedera dalam kejadian berkenaan. Al-Fatihah buat jemaah yang meninggal dunia.

Apa pun, jika ditanya kepada saya, tiada tempat lain yang saya ingin menghembuskan nafas saya yang terakhir selain daripada di Tanah Haram.

Semoga kejadian ini memberikan kita keinsafan akan kekuasaan Allah SWT dan menambah ketabahan dalam menghadapi dugaan-Nya.

Aurat dipelihara, hidup sejahtera

WANITA merupakan insan istimewa ciptaan Allah. Kehadiran mereka menjadi pelengkap dan penyeri hidup seorang lelaki. Nikmat dikurniakan ibu yang penyayang, isteri peneman hidup dan anak penghibur hati perlulah disyukuri.

Sejajar dengan amanah yang perlu digalas sebagai ketua keluarga, kewajipan tentang penjagaan aurat wanita perlu diterapkan dengan berhikmah. Ini merupakan jaminan untuk mengecapi hidup sejahtera di dunia hingga ke akhirat. Firman Allah dalam Surah al-Tahrim, ayat 6 :

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Namun harus diingatkan juga bahawa kewajipan menutup aurat bagi lelaki juga telah ditetapkan oleh syariat Islam. Sepertimana isteri dan anak-anak perempuan, jangan pula diabaikan juga anak-anak dan saudara-saudara lelaki kita.

Pelaksanaannya perlu berteraskan ketakwaan

PELAJAR wanita Indonesia daripada beberapa buah universiti berlainan menyerahkan pamplet mengenai kempen menutup aurat di Jakarta, Indonesia beberapa tahun lalu.

Sanggupkah kita melihat isteri dan anak-anak diseksa dan diazab kerana tidak menutup aurat? Marilah kita sama-sama menghayati bagaimana yang dikatakan aurat dijaga, hidup sejahtera. Moga-moga ia boleh bermanfaat dan dikongsi bersama ahli keluarga.

TUTUP AURAT 
PERINTAH ALLAH

Menutup aurat adalah perintah Allah, bukannya satu fesyen dan trend yang menjadi ikutan.

Secara jelas Allah menyatakan dalam Surah An-Nur, ayat 31, bermaksud : “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Menutup aurat merupakan salah satu manifestasi iman bagi perempuan dan lelaki. Mana mungkin kita mengaku beriman dengan lidah, membenarkan dengan hati, tetapi kita gagal menterjemahkan melalui perbuatan. Menutup aurat bukan kerana cantik, untuk nampak baik atau untuk menutup kekurangan diri tetapi menutup aurat biarlah berprinsip dan digarap dengan kefahaman tauhid yang jelas.

Kesempurnaan dalam menutup aurat

Mari kita fikirkan, apa akan terjadi pada hidangan tanpa ditutup? Sudah pasti hidangan ini dihinggapi lalat, lantas menghilangkan selera kepada penggemarnya. Islam secara jelas menggariskan ciri-ciri menutup aurat melalui Surah al-Ahzab , ayat 59, maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Kesempurnaan aurat meliputi tudung yang tidak jarang dan labuh menutup dada. Manakala pakaian pula, mestilah labuh, kain yang tebal dan tidak ketat sehingga menampakkan susuk badan. Realiti masyarakat hari ini, sebahagian menyangka dengan bertudung mereka telah menutup aurat. Sedangkan, ciri-cirinya masih belum ditepati.

Natijahnya, gambaran tentang bertudung sudah semakin tercemar. Kita ghairah mengikut budaya masyarakat lain. Hasilnya lahirlah busana Muslimah yang pada hakikatnya tidak menepati syariat. Mari kita fikirkan sejenak, adakah isteri dan anak-anak kita telah menutup aurat dengan sempurna. Atau sekadar mengikut orang yang mereka suka? Perkara ini yang perlu dijelaskan sebagai tanda kasihkan mereka.

PENDIDIKAN SEJAK KECIL

Mulakan kefahaman ini dengan menekankan sifat malu sebagai amalan. Perasaan malu adalah asas kepada akhlak yang mulia, termasuklah keinginan menutup aurat. Jika tidak, masakan Rasulullah S.A.W secara sinis menjelaskan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam

al-Bukhari daripada Uqbah bin Amru RA maksudnya: “Antara perkara yang masih diamalkan umat manusia daripada ajaran Nabi terdahulu ialah ‘Jika engkau tidak malu, buatlah apa saja yang kamu mahu.”

Justeru, teraplah budaya pakaian yang menutup aurat sejak kecil. Berilah pujian dan galakan dengan membeli pakaian yang cantik dan menepati syariat. Bukannya membeli pakaian yang mendedahkan aurat dan mencolok mata.

Didiklah mengikut tahap dan peringkat. Semailah minat dan rasa cinta hidup berpandukan syariat sejak awal, pasti kesannya akan berpanjangan. Moga-moga tindakan hari ini menyelamatkan kita pada masa akan datang.

KESAN TIDAK 
MENUTUP AURAT

Melihat masalah sosial hari ini, menimbulkan kegusaran di hati. Apabila wanita gagal menutup aurat dengan sempurna, pintu maksiat akan terbuka. Eksploitasi wanita semakin bermaharajalela.

Masih ingatkah mengenai pengajaran tentang aurat dalam Peristiwa Israk Mikraj? Bayangkan rambut yang menjadi kebanggaan, diikat dan digantung sehingga menggelegak otaknya. Sanggupkah kita melihat anak dan isteri kita diazab sedemikian rupa? Justeru, apa lagi? Buktikan kasih sayang pada golongan wanita ini. Tarbiahlah mereka agar perintah Allah ditepati.

KESIMPULAN

Menutup aurat merupakan kewajipan setiap Muslim. Ia perlu dilaksanakan berteraskan ketakwaan kepada Allah.

Didiklah anak-anak dan isteri menutup aurat dengan sempurna selaras tuntutan syariat untuk menutup ruang dan jalan maksiat dalam kalangan masyarakat.

Pendidikan tentang kepentingan menutup aurat bagi lelaki dan perempuan perlu bermula sejak kecil. Pengabaian terhadap perkara penting ini akan memberi kesan buruk kepada gaya hidup bersyariat orang yang kita sayang.

Lafaz talbiyah simbol tauhid dalam ibadah haji

Ilmu tauhid adalah pangkal kepada segala ibadah. Seandainya umat Islam gagal menguasai ilmu ini, maka ibadahnya boleh dianggap kurang sempurna dan dibimbangi akan menjadi sia-sia.

Mendalami ilmu tauhid adalah teras dalam kehidupan kerana pada peringkat awal memahami agama adalah dengan mengenal Allah.

Jika manusia tidak mengenal Tuhan, kepada siapa mereka beribadah. Inilah yang ditekankan dalam mempelajari ilmu tauhid. Tauhid adalah fitrah dikurniakan kepada umat manusia.

Melalui penciptaan Nabi Adam, ia adalah simbolik perlunya manusia mentauhidkan Allah SWT. Justeru, konsep tauhid adalah penyebab kepada penciptaan seluruh alam ini kerana ia adalah gambaran kepada sifat Allah SWT yang Maha Agung dan Maha Pencipta.

Tauhid adalah persoalan penciptaan dan kehidupan serta rahsia al-Quran diturunkan. Tauhid adalah hak Allah SWT yang sangat besar terhadap hamba-Nya.

Jemaah haji perlu melafazkan talbiyah ketika sai. - Gambar hiasan


Mantapkan pegangan tauhid

Justeru, dalam sejarah Rasulullah SAW mengembangkan Islam selama 23 tahun di Makkah dan Madinah, 13 tahun diperlukan oleh Baginda untuk memantapkan pegangan tauhid umat Islam.

Dalam satu kisah, ketika Baginda mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman sebagai gabenor, Rasulullah memberikan wasiat agar menjadikan tauhid sebagai perkara utama yang harus ditekankan dalam dakwah Islamiah.

Sabda Baginda SAW bermaksud: "Di sana, kamu akan berhadapan dengan ahli kitab. Maka, jadikanlah seruan utama kamu ialah mentauhidkan Allah SWT".

Dalam riwayat lain menyebut: "Serulah kepada penyembahan kepada Allah dan kenabian Muhammad SAW." (Riwayat Bukhari, Muslim & Ahmad).

Sehubungan itu, Baginda SAW seterusnya memberi jaminan syurga terhadap mereka yang memelihara kalimah tauhid dengan sabdanya bermaksud: "Sesiapa yang mengakhiri hidupnya dengan kalimah 'lailaha Illallah' dia akan mendapat syurga". (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Ini menunjukkan betapa pentingnya tauhid dalam menentukan kedudukan mereka di akhirat sama ada bahagia atau sebaliknya.

Sesungguhnya, sekeping hati apabila dipenuhi dengan iman dan tauhid serta makrifat, maka ia akan menjadi bersih dan bercahaya. Ini adalah kerana pemilik hati mengetahui hakikat kewujudan makhluk di atas dunia ini.

Dia tidak akan berasa takut dan tidak mengharapkan selain daripada Allah SWT. Dalam membicarakan persoalan ilmu tauhid, ibadah haji adalah antara ibadah amat sinonim dengan ilmu tauhid.

Lafaz 'talbiyah' ketika mengerjakan haji adalah simbol tauhid bagaimana manusia memperbesarkan Allah. Lafaz ini adalah lafaz tauhid yang sentiasa dilaungkan sepanjang musim haji, sama ada ketika berihram, tawaf, sai, wukuf, bermalam di Muzdalifah, melontar, berada di Mina dan seluruhnya.

Solat yang dilakukan dua rakaat selepas tawaf di belakang makam Ibrahim adalah simbol peringatan tetamu Allah kepada jasa Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah untuk meletakkan dasar tauhid bagi kehidupan manusia selepasnya.

Mereka yang melaksanakan ibadah haji digalakkan secara terus menerus mengucapkan 'talbiyah' "yang bermaksud: "Ya Allah, kami sentiasa menjawab panggilan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, sesungguhnya segala pujian dan nikmat hanyalah milik-Mu, begitu juga seluruh kerajaan (langit dan bumi) hanyalah milik-Mu tiada sekutu bagi-Mu. "

Lafaz ini menunjukkan bahawa akidah tauhid adalah tujuan Allah SWT mewajibkan ibadah haji. Mereka yang datang bukan kerana Allah atau akidah yang satu akan tertolak hajinya kerana dilakukan atas sebab selain daripada Allah SWT.

Kaum Muslimin yang biasanya berseteru dan berselisih serta berpecah-belah, dalam kesempatan itu mengumandangkan satu kalimat dan satu ucapan sahaja.

Mereka berpakaian yang sama dan mengucapkan kalimat yang sama. Imam Ibnu Hajar menceritakan bahawa Ibnu Abdil Barr menyebut : "Telah berkata sebahagian besar ulama bahawa makna 'talbiyah' yang diucapkan ketika haji adalah jawapan kepada panggilan Nabi Ibrahim ketika memberitahu manusia untuk menunaikan haji".

Seruan itu diabadikan oleh Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Serulah kepada seluruh manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, menaiki kenderaan unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh." (Surah Al-haj ayat 27).

Berkata Ibnu Abbas dalam mentafsirkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Haj ini: "Ketika Allah SWT memerintahkan Ibrahim untuk mengkhabarkan manusia agar mengerjakan haji, Baginda berkata: "Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah (Kaabah) dan memerintahkan kamu untuk berhaji kepadanya. Lalu menerima panggilan ini apa saja yang mendengarnya dari batu-batuan, pokok-pokok, bukit-bukit debu atau apa saja yang ada, lalu mereka berkata 'Labbaikka Allahumma Labbaik'. (Riwayat Ibnu Jarir)

Baginda Rasulullah SAW menyatakan perintah bertalbiah di dalam sabdanya bermaksud: "Telah datang kepada ku Jibril sambil berkata: "Wahai Muhammad, perintahkan sahabat mu menyaringkan suara mereka dengan talbiyah kerana talbiyah itu adalah syiar ibadah haji." (Riwayat Ibnu Majah).

Falsafah pengukuhan akidah tauhid

Maka, syiar ini dijadikan slogan pada musim haji sebagai falsafah kepada pengukuhan akidah tauhid. Baginda juga menjelaskan kelebihan talbiyah ini menerusi sabdanya bermaksud: "Setiap mereka yang berihram apabila menghabiskan masanya bertalbiyah sehingga tenggelam matahari maka akan tenggelam jugalah dosa-dosanya atau hapuslah atau bersihlah dosa-dosanya dan balik bersih seperti baru dilahirkan oleh ibunya." (Riwayat Ibni Majah).

Oleh yang demikian, orang yang bertalbiyah dituntut selalu berasakan keagungan Allah dan menyerahkan amal ibadahnya hanya kepada Allah semata-mata, bukan sekedar mengucapkannya tanpa berasakan hakikat talbiyah itu.

Kesimpulannya, tiada kebaikan untuk jiwa yang jauh daripada ilmu tauhid. Ketika kekuatan tauhid melonjak tinggi, berlumbalah manusia untuk melakukan ketaatan dengan bersemangat dan berlapang dada.

Justeru, ibadah haji adalah lanjutan dan kemuncak kepada akidah tauhid yang diwarisi oleh nabi dan rasul. Segala slogan syirik yang dicipta oleh kumpulan sesat akan tertolak dengan sendirinya apabila berhadapan dengan slogan tauhid yang datang daripada Allah SWT.