September 18th, 2015

Khutbah Jumaat ~ Muafakat Mengundang Berkat

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 18 September 2015M/ 4 Zulhijjah 1436H JAWI

Muafakat Mengundang Berkat

Kembali ke masa silam, negara kita pernah menyaksikan peristiwa bersejarah pada 16 September 1963 iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura telah diisytiharkan sebagai negara Malaysia. Kini, peristiwa tersebut telah 52 tahun berlalu.

Pada hari ini, kita telah mengecapi nikmat keamanan,  nikmat perpaduan dan dalam kemakmuran. Semua ini adalah nikmat yang Allah SWT telah kurniakan kepada kita.

Firman Allah  dari surah al-A’raf, ayat 96: “Sekiranya penduduk-penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan membuka kepada mereka berkat dari langit dan bumi, namun mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka kami timpakan (azab) atas mereka disebabkan apa yang mereka usahakan.”

Pembentukan negara Malaysia memperlihatkan kepada kita bahawa fitrah manusia itu saling memerlukan antara satu sama lain dalam aspek kenegaraan dengan liputan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang telah menubuhkan negara Islam Madinah.

Pertama, Rasulullah SAW telah menyatukan suku Aus dan Khazraj yang saling bertelagah bahkan berbunuhan sesama sendiri selama berpuluh-puluh tahun. Tindakan bijak Baginda Nabi SAW telah menyelamatkan bumi Yathrib daripada dikuasai oleh Yahudi.

Kedua, Nabi Muhammad SAW telah mempersaudara antara golongan Muhajirin dan Ansar. Kedua-dua kelompok ini telah melakukan pengorbanan yang besar demi agama Islam. Kaum Muhajirin telah meninggalkan harta kekayaan, kemuliaan, keluarga, dan budaya hidup jahiliah mereka dengan berhijrah ke Madinah. Manakala kaum Ansar sebagai penduduk asal pula sanggup berkongsi harta, keluarga dan tanah air demi kemuliaan Islam.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Taubah, ayat 100: Maksudnya: “Orang-orang yang terdahulu lagi yang awal (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka juga redha kepada Allah. Dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka (pula) kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.”

Penyatuan dan perpaduan antara golongan Muhajirin dan Ansar telah memberikan kesan yang besar kepada perkembangan agama Islam. Perpaduan mereka membuahkan kemenangan di Badar, mereka bukan sahaja mengecapi kemenangan di dunia, bahkan berlanjutan hingga ke akhirat. Inilah al-falah, kemenangan hakiki yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Kita juga impikan pemimpin negara ini yang amanah dan berdedikasi hasil cerminan iman dalam diri mereka. Pemimpin dan rakyat saling mengasihi, bermuafakat dan berpadu dalam usaha meraih keberkatan dan kemakmuran negara daripada Allah SWT. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang memiliki segala keberkatan.

Imam Ahmad RH meriwayatkan daripada Nu’man bin Bashir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: ث بِ ُ ، الَّت حَُ د َ َّ ه رْ الل َس لَْم يَْشكُ رْ الَّن ا مَ ْن لَْم يَْشكُ َ رْ الْ كَثِيرَ، و َّهِ رْ الْقَلِي َ ِّ، لَمْ يَْشكُ مَ ْن لَمْ يَْشكُ نِعْمَةِ الل ا ْلجَ َ ، و ٌ كْفر ُ كَُا زَرْ ُ َ ، و ٌ شكْر ُ ب ٌ عَذَا ُ رْقَة ُ الْف َ ، و ٌ ْحمَة َ ر ُ مَاعَة Maksudnya: “Sesiapa yang tidak bersyukur (terhadap nikmat) yang sedikit, (nescaya) dia tidak akan menyukuri (nikmat) yang lebih banyak. Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, (maka) dia tidak bersyukur (juga) kepada Allah. Berbicara mengenai nikmat Allah adalah (suatu bentuk) cara bersyukur dan meninggalkannya adalah (suatu bentuk) kekufuran. Berjemaah itu rahmat manakala perpecahaan itu azab.”

Saudara-saudaraku yang dikasihi sekalian, Pengunaan media-media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Twitter, Telegram, Instagram dan lain-lain hakikatnya tidak dilarang oleh agama selagi mana ia mendatangkan manfaat yang baik kepada penggunanya.

Para tetamu Allah yang dikasihi sekalian, Mengakhiri khutbah pada hari ini, berikut adalah kesimpulan khutbah sebagai renungan kita bersama:

Pertama: Keamanan dan kemakmuran negara adalah nikmat daripada Allah SWT yang wajib disyukuri.

Kedua: Kesatuan dan muafakat umat Islam adalah syarat utama yang mengundang rahmat Allah SWT dalam sesebuah negara. Begitu juga sebaliknya, ia mampu mengundang azab.

Ketiga: Dengan menghayati ajaran Islam yang sebenar, Muslim mampu bekerjasama dengan non-Muslim dalam keadaan yang harmoni sekali gus memerlihara kemakmuran negara.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Syuura, ayat 8: Maksudnya: “Dan jika Allah menghendaki, tentulah Ia menjadikan mereka satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah yang satu); akan tetapi Allah (tidak merancang yang demikian bahkan Ia akan) memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan); dan orang-orang yang zalim tidak ada baginya sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan dan pertolongan.

Wallahualam.

Khutbah Jumaat : “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”

Sedutan Petikan Khutbah 18 September 2015 JAIS

“Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”

Sejarah manusia bermula dengan kesatuan. Untuk menangani perpecahan dikalangan manusia, para rasul diutus bersama Kitab dari Allah SWT. Misi utama para rasul adalah menyelesaikan konflik dikalangan manusia. Para rasul menyatukan manusia dengan mengajak mereka kepada kesatuan aqidah, kesatuan syariat dan kesatuan nilai akhlak mulia dan amal soleh.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 213: “Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu). (Tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang yang beriman dengan balasan syurga) dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. (Sebenarnya) tidaklah yang berselisihan mengenai agama melainkan orang yang telah diberi kepada mereka kitab-kitab suci itu,iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang yang beriman ke arah kebenarannya Yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu) dengan izin-Nya. Allah sentiasa memberi hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang benar”.

Perpecahan adalah bencana yang ditimpakan oleh Allah akibat dari penyelewengan tingkahlaku manusia itu sendiri. Penyelewengan terbesar adalah pengkhianatan terhadap akujanji manusia untuk berpegang kepada ajaran Allah . mereka melupakan teras syariat Allah iaitu mentauhidkan Allah SWT.

Al-Quran diturunkan ditengah-tengah bangsa yang berbudaya hidup berpuak-puak. Mereka mempunyai semangat yang kuat dan fanatik kepada suku dan puak masing-masing. Dalam persengketaan yang berlarutan itu, soal siapa benar dan siapa salah tidak menjadi perhitungan. Yang penting ialah “dia orang siapa”?! Orang kita harus dibela biarpun dia bersalah!”. Inilah yang dinamakan asabiyyah jahiliyyah atau fanatik perkauman sempit yang dilarang dalam Islam.

Hadis daripada Wasilah B. al-Asqa’ RA. bahawa beliau mendengar bapanya berkata, “wahai Rasulullah, apakah itu asabiyyah? Maka Rasulullah SAW menjawab;  “Bahawa kamu membantu dan bekerjasama dengan kaummu dalam melakukan kezaliman”. (Riwayat Abu Daud).

Perpaduan yang dianjurkan oleh Al Quran adalah perpaduan yang berasaskan rasa persaudaraan yang tumbuh dari ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa antara kamu, (bukan kerana keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Perpaduan ummah hendaklah berasaskan iltizam untuk bersama syariat Allah, menegakkan dan mendaulatkan ajaran Allah yang terangkum dalam ayat Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 8: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan kebenaran kerana Allah, lagi menjadi saksi dengan adil dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa; dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

“Oleh itu, orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (ajaran Al-Quran) ini, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya (iaitu syurga) dan limpah kurnia-Nya (yang tidak terbatas), dan Allah akan membimbing mereka ke jalan yang lurus (agama Islam), yang menuju kepada-Nya”. (Surah al-Nisa’ : 175).

Wallahualam.

Orang mukmin 
reda takdir Allah

INSIDEN kren jatuh di Masjidilharam pada Jumaat, 11 September lalu sememangnya menyayat hati. Sebanyak 107 jemaah haji terkorban manakala 238 lagi cedera. Setakat ini lima jemaah haji Malaysia turut terkorban, 10 cedera manakala dua lagi masih hilang. Semoga Allah mengampuni dan menempatkan mereka dalam kalangan orang beriman.

Pastinya para waris masih bersedih dengan peristiwa itu. Bagaimanapun, kesedihan itu terubat apabila kita meneliti hadis Nabi SAW tentang syahidnya mereka yang terkorban dalam kejadian tersebut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Syuhada itu ada lima, iaitu orang yang meninggal kerana penyakit taun, orang yang meninggal kerana penyakit perut, orang yang mati tenggelam, orang yang meninggal kerana tertimpa runtuhan dan orang yang gugur di jalan Allah.” - (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Insiden tersebut juga berlaku pada hari Jumaat yang juga ada kelebihan. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah seorang muslim meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah akan melindunginya daripada fitnah (pertanyaan) kubur.” - (Riwayat At-Tirmidzi dan Ahmad).

Sesungguhnya tiada nikmat yang lebih besar selain mati sebagai orang mukmin kerana ganjarannya adalah syurga. Itulah juga doa yang sering kita panjatkan kepada Allah SWT iaitu meminta pengakhiran hidup yang baik (khusnul khatimah) bukannya suul khatimah.

Alhamdulillah, keluarga waris juga reda dengan ketentuan ini. Beginilah seharusnya sifat orang beriman yang reda dengan qada dan qadar Allah. Lagipun mati itu pasti. Cuma bila, bagaimana dan di mana lokasinya menjadi rahsia Allah. Ini disebut dalam firman Allah yang bermaksud: “Walau di mana pun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh.” (an-Nisa’: 78).

Dalam masa yang sama, Saudi Press Agency melaporkan, dalam dekri diraja kelmarin, Raja Salman mengumumkan satu juta riyal (RM1.13 juta) akan dibayar kepada setiap keluarga mangsa yang terbunuh dan jemaah yang mengalami kecacatan kekal, manakala 500,000 riyal (RM566,247) dibayar kepada setiap mangsa yang cedera.

Raja Arab Saudi itu berkata, pembayaran itu tidak akan mengganggu usaha keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan tragedi itu bagi menuntut pampasan.

Beliau turut mengumumkan bahawa Arab Saudi akan menaja dua anggota keluarga mangsa yang terbunuh pada musim haji tahun depan. Mereka yang cedera dan tidak dapat melengkapkan ibadah haji mereka pada tahun ini akan dibenarkan mengerjakan haji pada tahun depan sebagai tetamu Raja Salman.

Lembaga Tabung Haji turut memberi sumbangan khas RM20,000 dan pampasan skim insurans Takaful sebanyak RM20,000 kepada waris semua jemaah haji yang meninggal dunia dalam tragedi tersebut.

Memanglah wang ringgit tidak dapat menggantikan arwah-arwah berkenaan tetapi ini menunjukkan keprihatinan, ihsan sesama insan dan hikmah insiden tersebut. Dengan kata lain, ada rezeki di sebalik musibah kepada para waris mangsa.

Sebab itu, kita perlu yakin bahawa perancangan Allah adalah lebih baik daripada perancangan kita, insan yang lemah. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah: 216).

Kepada jemaah haji didoakan sihat walafiat menjelang hari wukuf yang semakin hampir. Seterusnya beroleh haji mabrur. Ambillah kesempatan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan para jemaah dan negara semasa di Arafah. - Mohd Radzi Mohd Zin Al-Bayan Utusan Malaysia Rencana 18 September 2015 1:33 AM

Bangunkan insan berakhlak mulia

PEMBANGUNAN insan da­­­­lam sesebuah negara amat penting bagi men­capai negara maju. Pembangunan insan mestilah meliputi pembangunan akal budi generasi muda atau penduduknya ke arah perubahan dan kemajuan. Insan yang terdidik dengan adab sopan akan sentiasa menjaga kesopanan dan kesantunan dalam kehidupan.

Melalui pembangunan akal budi seseorang insan akan beradab mulia dan berbudi tinggi, menghargai dan mengenang jasa pemimpin terdahulu yang merangka segala pembangunan negara. Melalui akal budi juga akan terpancar keluhuran hati bagi meningkatkan tamadun bangsa itu sendiri. Akal budi sesuatu bangsa itu akan terpancar melalui percakapan, perbuatan dan pemikiran serta tindakan yang baik.

GOLONGAN belia ceria dan bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin. BERNAMA

Jika dilihat dan diteliti melalui perhimpunan Bersih 4.0, tingkah laku dan gaya hidup generasi muda pada masa ini lebih menjurus kepada sikap yang penuh kekasaran, ganas, perbuatan yang kurang sopan dan tidak beradab, gemar mencarut dan mudah terpengaruh dengan gejala negatif, melanggar undang-undang negara, memijak gambar pemimpin dan tidak berfikir secara rasional sebelum melakukan sesuatu perkara.

Malaysia sedang memasuki era baru pembangunan ke taraf negara maju menjelang abad ke-21, selepas 58 tahun kemerdekaan. Malaysia menjadikan pembangunan sebagai agenda utama ke arah kemajuan. Kini Malaysia sudah menjadi salah sebuah kuasa ekonomi terpenting di rantau ASEAN dan negara perdagangan ke-18 terbesar di dunia.

Dengan penduduknya seramai hampir 30 juta orang pada hari ini, Malaysia juga menumpukan dan menyeimbangkan bidang pembangunan dengan bidang perindustrian dan pertanian. Kedua-dua bidang ini adalah penyumbang terbesar ke arah kerancakan ekonomi.

Justeru, pembangunan akal budi penduduknya dengan bidang pembangunan mestilah seimbang. Perlu ditegaskan perkembangan ekonomi serta kemajuan sains dan teknologi akan terjejas sekiranya pembangunan akal budi tidak mantap.

Pendidikan akal budi dapat diterapkan melalui ilmu agama, sastera, sejarah, moral, muzik, drama, tarian dan bentuk kesenian lain termasuk budaya tradisional yang dapat membentuk identiti kebangsaan. Lantaran itu, kajian dan penyiasatan saintifik perlu dilakukan terhadap perubahan tingkah laku generasi muda. Ini boleh dilakukan dengan mengenal pasti masalah, membuat hipotesis dan merancang penyiasatan yang berkesan.

Dahulu, masyarakat negara ini sangat mementingkan adab dan budaya, pertuturan yang sopan dan perbuatan yang berlandaskan akal yang bijaksana. Ini menunjukkan mereka begitu menghargai dan menjunjung tinggi akal budi sehingga budi itu diibaratkan sebagai sendi bangsa yang membentuk kemajuan tamadun. Jelaslah, budi pekerti yang sempurna akan menghasilkan fikiran yang bernas.

Melalui akal dan budi seseorang itu dapat menilai kebenaran dan kebatilan dengan akal yang waras dan sihat seperti firman Allah SWT yang maksudnya; “Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang berakhlak dan berakal sihat yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar:9).

Pendidikan akal budi hendaklah diterapkan di rumah dan di sekolah dalam usaha melahirkan manusia beriman dan ihsan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya; “Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) adab daripada Allah, kalau Allah meluaskan adab baginya maka akan luas adabnya dan menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya adab) maka sempitlah adabnya.” (Riwayat Al-Hakim).

Masyarakat hari ini berdepan cabaran baharu yang rumit, yang dicetuskan oleh arus globalisasi. Apa yang harus dipastikan adalah keseimbangan dalam pembangunan di negara ini. Semua pembangunan yang dilaksanakan mestilah mengambil kira kesejahteraan manusia dan generasi akan datang. Para pemimpin parti politik juga perlu mendidik generasi muda dan tidak melakukan provokasi sehingga mereka terpengaruh dengan gaya yang kasar dan melampaui batas.

Ibnu Khaldun dalam Mukaddimah menyatakan manusia mempunyai kelebihan daripada makhluk lain kerana manusia boleh menanggapi sesuatu di luar diri melalui kemampuan berfikir, mewujudkan imaginasi sesuatu perkara berdasarkan kepada analisis dan sintesis.

Begitulah bagi Malaysia yang dirancang mencapai tahap negara maju mesti mempersiapkan pembangunan akal budi penduduknya terutama generasi muda. Landasan kepada tujuan ini sudah ada melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2016 yang telah dilancarkan pada 16 Januari 2007, antaranya bertujuan membina negara bangsa dan membangunkan modal insan. Usaha ini akan diteruskan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang memfokuskan sistem pendidikan sebagai tunjang pembangunan modal insan yang holistik.

Seterusnya, negara akan mencapai pendidikan berkualiti dengan menyediakan hala tuju dasar dan inisiatif terperinci bagi mencapai matlamat sistem pendidikan yang dinamik. Oleh itu, pendidikan dan pembangunan akal budi mestilah diseimbangkan dalam pendidikan dan pengajaran di sekolah.

Dua bidang utama yang menjadi fokus dalam proses transformasi Kementerian Pendidikan mampu merealisasikan aspirasi untuk meningkatkan akses, kualiti, ekuiti, perpaduan serta keberkesanan sistem pendidikan negara. Selain itu, tumpukan juga pendidikan akal budi yang meliputi pendidikan hati, jiwa dan akal yang penuh dengan kasih sayang dan nilai kemanusiaan.

Melalui perancangan teliti kurikulum baru telah dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa. Ia merangkumi dimensi intelek, emosi dan fizikal setiap murid serta menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum.

Sistem pendidikan merupakan tunjang pembangunan negara yang bukan sahaja bertanggungjawab melahirkan modal insan berkualiti tinggi tetapi juga insan yang berbudi pekerti, berakhlak mulia dan rasional dalam tindakan yang menjadi nadi kepada kejayaan sesebuah negara berdasarkan transformasi yang mahu dilaksanakan kerajaan.

Dalam pada itu, pembinaan institusi keluarga yang bahagia, komuniti yang utuh semangat kewarganegaraannya, mempunyai semangat patriotisme dan cinta negara yang tidak berbelah-bahagi turut menyumbang kepada usaha mewujudkan modal insan berkualiti yang daripadanya akan terbentuk masyarakat yang selamat dengan kadar jenayah terkawal.

Jauhkan generasi muda daripada budaya luar yang melalaikan. Mereka perlu dipupuk dengan sikap yang produktif dan jati diri yang kuat ke arah kebaikan dan kemajuan negara. Pegangan agama dan budaya yang kukuh akan menjadikan generasi muda hari ini pemimpin berwibawa pada masa depan.

Sesungguhnya, akhlak yang mulia ibarat perhiasan yang cantik. Insan yang berakhlak mulia akan menjadi pasak kepada pembangunan negara. Insan yang dilengkapi adab sopan, budi-bahasa dan akal budi akan menjamin pembangunan seimbang bagi negara ini.

Kaabah asas corak geometri islam

REKAAN corak geometri Islam merupakan antara corak yang sering menjadi pilihan bagi menghiasi bangunan dan kediaman dalam sejarah Islam. Ia diminati kerana keindahan corak dan susunannya yang unik dan mampu menjadi tumpuan dalam sesebuah seni bina Islam. Namun begitu, ia jarang diselami dan difahami. Lazimnya cantik dipandang tetapi kurang dihayati.

Corak geometri dikatakan telah mencapai kegemilangannya sewaktu pemerintahan Islam walaupun corak-corak asasnya telah lama wujud sebelum Islam muncul sebagai tamadun terkuat dunia. Antara wilayah Islam yang banyak menggunakan corak geometri ialah seperti di Mesir, Parsi dan Turki.

Corak geometri terbentuk daripada gabungan titik dan garis lurus yang kemudiannya membentuk bulatan dan pengulangan pelbagai corak yang tiada had. Ratusan corak geometri telah dihasilkan oleh seniman Islam di seluruh dunia.

Manifestasi seni Islam


KAABAH yang merupakan kiblat umat Islam mempunyai asas binaan yang berasaskan corak geometri iaitu titik, garis lurus dan bulatan. - GAMBAR HIASAN

Kaabah yang merupakan satu-satunya arah kiblat atau arah sembahyang bagi umat Islam pada hari ini mempunyai asas binaan yang berasaskan corak geometri iaitu titik, garis lurus dan bulatan. Titik merujuk kepada fungsinya sebagai kiblat umat Islam, garis lurus yang membentuk sudut dan bentuk Kaabah, manakala bulatan ialah pusingan tawaf yang dilakukan oleh umat Islam untuk mengerjakan haji dan umrah.

Ia merupakan asas corak geometri yang mempunyai pengaruh luas di mana kedudukan masjid di seluruh dunia di bina mengelilingi Kaabah. Ia membentuk lapisan pengulangan lingkaran seni bina masjid di seluruh dunia tanpa disedari. Titik kiblat umat Islam ini sentiasa dikelilingi dengan tawaf yang dilakukan sebanyak tujuh pusingan oleh setiap umat Islam yang mengerjakan haji dan umrah serta lima kali azan sehari di seluruh dunia.

Lingkaran ini diisi dengan kehadiran umat Islam dalam barisan saf yang mendirikan solat lima kali sehari. Ini secara tidak langsung melambangkan perpaduan umat Islam di seluruh dunia. Pengulangan adalah elemen utama yang bukan sahaja memberi sentuhan keindahan malah maksud tersirat dalam corak geometri.

Jika diperhatikan pengulangan corak geometri Islam, ia seumpama mempunyai rima yang membentuk corak tersendiri. Antara ibadah dalam ajaran Islam yang melibatkan pengulangan infiniti ialah zikir. Kekerapan berzikir adalah amalan yang mampu mendekatkan diri seseorang Islam dengan Penciptanya iaitu Allah.

Geometri dalam seni Islam turut digunakan dalam menghasilkan bentuk-bentuk lain seperti bintang, bunga, dedaun dan sulur bayung. Ia dihasilkan dengan menggunakan pelbagai medium seperti jubin, kayu, ukiran kayu, tempaan logam dan tenunan tekstil. Corak geometri dalam seni Islam merupakan manifestasi kreativiti visual estetika ilmu matematik yang digunakan dalam pembinaan bangunan tamadun Islam seperti masjid, pemerintahan dan kediaman Islam.

Corak geometri melambangkan kestabilan dan keyakinan dalam perkembangan penyebaran Islam dalam corak infiniti yang mengandungi pelbagai warna dan keunikan.

-