September 20th, 2015

Hukum-hakam ibadah korban

IBADAT korban adalah ibadat yang dituntut pada 10 Zul­hijjah dan juga hari-hari tasyriq. Ramai umat Islam ber­semangat untuk melakukan ibadat ini. Berikut beberapa panduan agar ibadat ini menjadi lebih baik.

IBADAT KORBAN SYARIKAT

Terdapat entiti dan badan tertentu turut sama melakukan ibadat korban. Contohnya syarikat perniagaan membuat iba­dat korban di beberapa buah masjid. Begitu juga wakil rakyat, Menteri Besar atau Perdana Menteri. Persoalannya ialah siapakah individu yang melakukan ibadat korban? Apabila syarikat memberi 10 ekor lembu korban, siapakah individu yang membuat ibadat korban? Apabila menteri besar men­yerahkan lembu korban kepada setiap masjid dalam sesebuah negeri, siapakah yang melakukan ibadah korban? Adakah menteri besar yang melakukan ibadah korban? Namun duit untuk membeli haiwan korban bukanlah duit peribadi beliau sebaliknya duit kerajaan negeri. Dalam isu ini, fikah Islam menetapkan bahawa ibadat korban dilakukan oleh individu.

Dalam al-Minhaj, Imam Nawawi menyatakan yang ber­maksud: “Unta dan lembu bagi tujuh (individu), mana­kala kambing bagi satu (individu)”. Syarikat, badan berkanun, ke­rajaan negeri dan kerajaan pusat bukanlah individu. Oleh itu, pemberian haiwan korban bukanlah bermaksud ia haiwan korban sebaliknya ia sekadar haiwan sumbangan sahaja. Pihak yang menerima haiwan korban menjadi pe­milik haiwan tersebut. Maka pihak penerima haiwan seperti masjid sewajarnya menguruskan haiwan tersebut sebagai haiwan korban. Caranya dengan menawarkan haiwan korban kepada para jemaah surau atau masjid dengan bayaran yang tertentu.

PERKONGSIAN DALAM HAIWAN KORBAN

Seekor kambing memadai bagi seorang individu sahaja da­lam ibadah korban. Namun bagi lembu dan kerbau, ia me­madai bagi tujuh individu. Maka dalam seekor lembu atau kerbau, ada tujuh bahagian yang boleh dikongsi bersama dalam ibadah korban. Namun begitu, ada yang berkongsi dengan niat ibadah yang berbeza. Contohnya, ada yang ingin melakukan ibadah korban, akikah dan ada yang sekadar ingin mengambil da­ging­nya sahaja. Adakah perkongsian ini dibenarkan?

Bagi menjelaskan isu ini, Imam Nawawi dalam al-Minhaj dan huraiannya dalam al-Siraj al-Wahhaj menyatakan mak­sud­nya: “(Memadai) unta dan lembu bagi tujuh individu (sa­ma ada mereka sepakat dalam jenis ibadat atau berbeza).” Justeru, tiada tegahan untuk berkongsi ibadah seperti kor­ban dan akikah sempena Hari Raya Korban. Ya, mungkin ter­dapat pendapat ulama yang tidak bersetuju, namun kita meraikan perbezaan pendapat dalam isu khilaf ulama.

DAGING KORBAN DIMASAK SEMUANYA

Dalam tatacara daging korban, ada terdapat pandangan un­tuk memasak daging korban semuanya untuk jamuan ma­kan. Tatacara ini adalah tidak bertepatan dengan hukum syariah. Daging korban hendaklah diagihkan. Nas al-Quran menyatakan maksudnya:

“Maka makanlah daripadanya dan berilah makan kepada yang meminta dan tidak meminta,”. (Surah al-Hajj: 36).

Berdasarkan ayat ini, Imam Nawawi menyatakan dalam al-Minhaj dan huraian al-Siraj al-Wahhaj maksudnya: “Dan pandangan yang lebih sahih adalah wajib bersedekah dengan sebahagiannya (walaupun dengan kadar yang sedikit. Hanya sesungguhnya disyaratkan bahawa daging itu dalam keadaan mentah).”

Daging korban boleh dimasak, namun bukan semuanya boleh dimasak. Syarat utama ialah sedekah daging korban dalam keadaan mentah. Bukan semua perlu disedekahkan namun kadar yang sedikit sudah memadai. Daging yang disedekahkan itu pula dalam keadaan mentah. Ia hendaklah daripada bahagian peserta ibadah korban.

UPAH KEPADA TUKANG SEMBELIH

Tukang sembelih harus menerima upah. Namun tukang sembelih tidak harus diberikan upah daripada daging korban atas nama upah. Upah kepada tukang sembelih jika ada hendaklah diberikan daripada sumber yang lain. Selepas itu, jika daging korban hendak diagihkan kepada tukang sem­belih maka tidak mengapa. Namun ia bukan dalam bentuk upah.

HAIWAN KORBAN NAZAR MENJADI CACAT SEBELUM DISEMBELIH

Ibadat korban hukum asalnya adalah sunat muakad. Su­nat muakad ialah sunat yang dituntut. Namun begitu, ibadah korban menjadi wajib dengan nazar dan penentuan. Apabila seseorang bernazar maka ibadah korban menjadi wajib. Contohnya seseorang berkata: “Kerana Allah maka ke atas saya untuk melakukan ibadah korban seekor kambing.”

Dalam lafaz sebegini, beliau sudah bernazar untuk mela­ku­kan ibadah korban. Maka hukum ibadat korban bukan la­gi sekadar sunat tetapi sudah menjadi wajib. Begitu juga, ibadah korban menjadi wajib apabila seseorang Muslim menentukan haiwan yang akan dikorbankan. Contohnya be­liau berkata: “Kerana Allah maka ke atas saya untuk me­lakukan ibadah korban dengan kambing ini.”

Jika haiwan korban yang ditentukan itu cacat dan se­ba­gainya sebelum disembelih, maka tidak mengapa. Sem­be­lihan korban tetap dilakukan walaupun haiwan itu sudah cacat. Ini kerana haiwan korban telah ditentukan. Jika haiwan korban itu mati sebelum waktu korban, maka tidak mengapa juga dan tidak perlu diganti.

IBADAH KORBAN DENGAN AYAM

Tidak sah ibadat korban dengan ayam. Namun wujud nukilan pendapat daripada Ibn ‘Abbas RA bahawa sah haiwan korban walaupun dengan ayam. Maka pendapat ini tidak diamalkan dalam masyarakat kita. Namun bagi yang amat tidak mampu tetapi tetap ingin menyembelih, maka bolehlah mereka membeli ayam dan menyembelih ayam. Ia sekadar sembelihan. Jika ada pahala ibadah korban, ia kurniaan daripada Allah. Namun pendapat ini tidaklah se­wa­jarnya diamalkan secara rasmi dan muktamad sehingga diuar-uarkan dalam iklan masjid dan surau.

LARANGAN MEMOTONG KUKU DAN BULU

Dalam riwayat hadis, terdapat pedoman dalam perkara ini. Pedoman tersebut adalah agar orang yang ingin melakukan ibadat korban untuk tidak memotong rambutnya, mencukur misainya, menggun­ting janggutnya dan memot­ong ku­ku­nya. Masanya bermula 1 Zulhijjah sehingga haiwan korban disembelih. Jika disembelih pada 12 Zulhijjah, maka selepas sembelihan haiwan maka baharulah wajar dilakukan perkara yang dilarang tadi. Namun larangan dalam hadis tersebut bu­kanlah satu perkara wajib. Ia sekadar sunat bagi orang yang ingin melakukan ibadat korban. - Utusan Malaysia Rencana Agama 20 September 2015

Jasad beruntung diurus anak salih saat kematian

Pada saat roh dicabut daripada jasad, dunia sudah tidak ada nilainya dan kita bersendirian menghadap Allah SWT. Beruntunglah jika saat roh dicabut itu kita tergolong dalam kalangan orang Mukmin, kerana mampu melafazkan kalimah tayyibah.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang menyebut Lailaha illallah pada akhir kehidupannya, aku jamin dia akan dapat memasuki syurga Allah."

Bahkan Baginda berpesan kepada mereka yang menziarahi orang sakit tenat, apabila sampai saat kematiannya, kita mengajarnya menyebut dan mengulang kalimah tayyibah. Berhentilah berbicara perkara dan urusan lain.

Pada ketika itu malaikat mencari-cari di manakah kalimah Allah SWT daripada jasad seseorang, di hati, tangan dan seluruh anggota badannya.

Jika tiada, malaikat akan menepuk di bawah dagunya menyebabkan lidah bergetar dan menyebut kalimah Allah SWT, maka terkeluarlah roh daripada jasad itu.

Bau busuk tak dapat dihidu jin, manusia

Namun, jika ketika roh sedang ditarik, kalimah Allah SWT tidak mampu diucapkan walaupun selepas diajar, maka satu kecelakaan kepada orang itu.

Barraq bin A'zid menyebut, apabila roh itu keluar daripada jasad, tersembur roh dalam keadaan berbau sangat busuk. Hanya dua makhluk yang tidak dapat menghidu bau busuk ini iaitu jin dan manusia.

Lalu dinaikkan roh ini ke langit pertama hingga langit ketujuh dan menghadap Allah SWT.

Kemudian Allah SWT memerintahkan roh itu ditempatkan dalam neraka Sijjin, seterusnya roh akan pulang dan diletakkan di hujung kepala jasadnya.

Begitu juga roh orang Mukmin, selepas diperintahkan rohnya ditempatkan dalam syurga Illiyeen, roh itu dipulangkan ke hujung kepala jasad mereka.

Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm pada Khamis, jam 5.15 petang, diriwayatkan oleh Abu Said al-Qudri, Rasulullah SAW bersabda: "Seorang mayat yang telah terbujur kaku itu, dia akan mengenali siapakah yang akan memandikan jasadnya."

Dalam hadis lain menyebut, ketika memandikan jasad, Rasulullah SAW berpesan supaya menjirus air di telapak tangan dan direnjis kepada jasad kerana sakit yang dirasainya ketika menghadapi saat kematian bagaikan melecur seluruh badannya.

Pada waktu air dijirus kepada jasad, roh akan berkata kepada mereka yang memandikannya supaya melakukannya secara perlahan-lahan, sakit menghadapi kematian masih belum berakhir.

Roh juga akan merasai setiap usapan, sentuhan dan tekanan oleh mereka yang memandikannya. Rasulullah SAW juga berkata, roh akan melihat dan merasai ketika jasadnya diangkat dan dikafankan.

Beruntunglah pada ketika itu jika mereka yang memandikan jasad terdiri daripada orang salih. Beruntung juga jika ketika menghadapi saat kematian, kita dikelilingi anak salih yang akan menguruskan jasad kita.

Baginda SAW bersabda, jasad akan sedar siapa yang mengusungnya untuk dikebumikan. Ada sesetengah ulama tidak membenarkan orang lain membawa jenazah ibu bapanya dan akan mengusung sendiri jenazah mereka ke tanah perkuburan.

Sampai peringkat, jasad akan sedar saat ketika dia diturunkan ke dalam liang lahad, dapat melihat suasana di alam barzakh dan melihat di hujung kakinya, berdiri dua malaikat iaitu Mungkar dan Nangkir yang akan memulakan sesi soal jawab.

Ketika menghadap Allah SWT, kita mengharapkan doa keluarga dan anak salih kerana ketika itu wang banyak, jawatan besar atau kedudukan tinggi sudah tidak bermakna lagi, hanya roh sahaja.

Justeru, bersedialah di dunia ini supaya kita ditemani doa anak yang salih ketika menghadap Allah SWT. Apa yang dikesali, jika anak hanya melihat dan berpeluk tubuh tanpa mampu melakukan apa-apa dan tidak berani menyentuh jenazah apatah lagi mengangkat tangan mendoakan kita.

Ini menandakan kita tidak melakukan persiapan untuk hidup selepas kematian nanti.

Jenazah seolah-olah tersenyum

Ada sesetengah jenazah yang dilihat seolah-olah tersenyum kerana dia sudah dapat melihat tempatnya dalam syurga Allah SWT.

Apabila orang Mukmin meninggal dunia dan ditunjukkan tempatnya dalam syurga Allah SWT, dia akan berasa cukup reda di atas apa yang dilalui sepanjang hidupnya di dunia.

Diriwayatkan oleh Amru bin Abi Dinar daripada Ibnu Abi al-Dunya yang menyebut, tidak ada seorang pun yang meninggal dunia melainkan dia mengetahui apa yang terjadi kepada keluarganya.

Apabila meninggal dunia, kita mampu melihat apakah yang dilakukan oleh isteri, anak dan mereka yang berada di sekeliling kita pada ketika itu.

Rasulullah SAW bersabda: "Mereka mandi dan mengapani, sementara kita melihat keadaan bagaimana mereka mengapan, dan melakukan solat serta penguburan jenazah kita ke dalam kubur."

Walaupun roh sudah keluar meninggalkan jasad, tetapi kita dapat merasai dan melihat berlakunya kematian kepada diri kita.

Bertakwalah kepada Allah SWT dalam urusan ini, dibimbangi apabila tiba masanya menghadapi kematian, kita tidak bersedia melihat keadaan yang lebih buruk daripada itu.