September 25th, 2015

Khutbah Jumaat ~ Jihad Mempertahankan Kesucian Islam

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat 25 September 2015M/ 11 Zulhijjah 1436H JAWI

Jihad Mempertahankan Kesucian Islam

Melihat zaman jahiliyyah dahulu, manusia hidup tanpa pedoman dan petunjuk.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Anbiya’ ayat 107 : Bermaksud : “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Pengutusan Nabi Muhammad SAW kepada umat manusia membawa kebahagiaan yang besar. Baginda menyelamatkan manusia dari kesengsaraan yang besar. Baginda menjadi sebab tercapainya berbagai kebaikan di dunia dan akhirat. Baginda memberi pencerahan kepada manusia yang sebelumnya berada dalam kejahilan. Baginda membawa hidayah kepada manusia yang sebelumnya berada dalam kesesatan yang nyata.

Suatu ketika dahulu umat Islam pernah menguasai dua pertiga dunia yang memimpin dengan iman, berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Mereka memerintah dengan penuh keadilan dan telah menunaikan segala amanah yang dipikulkan di atas bahu mereka. Mereka juga telah menjadi pembawa obor hidayah dan petunjuk ke jalan kebenaran.

Tamadun Islam pernah sampai ke kemuncak ketinggian yang menghimpunkan antara ilmu dan iman, menyambungkan antara langit dan bumi, menghubungkan antara dunia dan akhirat, mempertemukan antara akal dan hati serta menyeimbangkan antara hak individu dengan kepentingan masyarakat.

Kita juga sebenarnya menghadapi serangan musuh-musuh Islam. Antara bentuk serangan yang ditujukan mereka kepada kita ialah :

Pertama : Ghazwatul iman iaitu serangan terhadap iman.

Renungkanlah firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 109: Bermaksud : “Ramai di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w).”

Kedua : Ghazwatul fikri iaitu serangan terhadap pemikiran.

Ketiga : Ghazwatul amal iaitu serangan terhadap ibadah.

Renungkan pesanan Nabi SAW menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah daripada Abu Hurairah RA  Bermaksud : “Islam muncul dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang terasingkan itu.”

Kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk berjihad mempertahankan kesucian Islam di negara ini. Mulakanlah dengan diri sendiri dan ahli keluarga masing-masing. Persiapkan senjata ilmu agama yang mantap serta sematkan dalam jiwa dengan iman dan takwa.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Haj ayat 78 yang bermaksud : “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.”

Kesimpulan daripada khutbah hari ini:

Pertama : Berwaspadalah dengan serangan-serangan musuh-musuh Islam yang saban hari berusaha merosakkan Islam.

Kedua : Persiapkan bekalan senjata ilmu, iman dan amal soleh dalam mendepani serangan-serangan terhadap iman, pemikiran dan ibadah oleh pihak musuh.

Ketiga : Kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar supaya kita sentiasa terpelihara daripada tipu daya musuh-musuh Islam.

Firman Allah SWT dalam Surah Al Ankabut ayat 69: Maksudnya: ”Dan orang-orang Yang berjihad kerana memenuhi kehendak agama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya.”

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ “Iltizam Memartabatkan Islam”

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat 25 September 2015: JAIS

“Iltizam Memartabatkan Islam”

Sesungguhnya Islam adalah agama yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Hadis daripada ‘Aiz Bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi melebihinya”. (Riwayat al-Baihaqi).

Sebagai kaum Muslimin semua hendaklah bekerja dengan lebih kuat untuk mendapatkan sebanyak mungkin ilmu agama yang sentiasa tersedia dalam bentuk kelas, ceramah, kuliah agama, buku-buku, majalah dan pelbagai cara lagi.

Masyarakat bertamadun adalah masyarakat saling hormat menghormati antara satu sama lain dengan mempromosikan keamanan, keadilan dan hak untuk beragama.

Islam adalah agama yang aman dan harmoni di mana kita tidak sesekali akan mengganggu fahaman dimiliki oleh mana-mana agama yang wujud dalam dunia ini.

Islam adalah agama yang tegas di mana kita sebagai penganutnya hendaklah tidak sesekali membuka ruang kepada orang lain untuk mempersoalkan dan mempersendakan agama ini.

Catatan sejarah yang dinukilkan oleh Khalifah Al-Mu'tasim Billah ini memberikan beberapa pengajaran yang perlu kita amati; iaitu pertamanya, kita hendaklah memastikan kedudukan agama Islam itu sebagai agama yang paling utama mengatasi segala kedudukan yang lain.

Keutamaan dalam beragama didasarkan kepada akidah dan syariat Allah dengan tidak membezakan taraf dan darjat manusia antara yang kaya dan miskin.

Kedua, umat Islam hendaklah memastikan ketinggian kualiti peribadi dalam diri setiap individu muslim dan masyarakat. Oleh itu umat Islam hendaklah mengamalkan segala ajaran Islam merangkumi keseluruhan kehidupannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 208:Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hakamnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Hadis daripada Abdullah Bin Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga hawa nafsunya menuruti apa yang aku bawa”. (Riwayat an-Nawawi).

Ketiga, kita hendaklah beramal dengan apa yang kita percayai kerana dengan amalan tersebut keyakinan kita akan bertambah dan iman kita menjadi lebih kukuh.

Keimanan lahir daripada iltizam dan istiqamah memacu kepada amalan yang berterusan.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 162: “Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam”.

Keempat, kita hendaklah sedar bahawa tali persaudaraan sesama Islam adalah amat penting yang mana kuat atau lemah sesuatu masyarakat adalah tergantung kepada kekukuhan tali ini. Keutuhan silaturrahim sesama Muslim akan menjadikan masyarakat Islam itu kelihatan kuat dan sukar untuk dihina dan dipermain-mainkan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 46: “Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berperang), tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya; tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkan-Nya semangat mereka, dan dikatakan (oleh syaitan): "Tinggallah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal”

Hadis daripada Nu’man Bin Bashir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perbandingan orang-orang yang beriman tentang perasaan kasih sayang, berbelas kasihan dan bersimpati, mereka adalah seperti satu badan, sekiranya salah satu anggota daripadanya mengadu sakit, maka bersahutsahutlah lain-lain anggota kepadanya dengan tidak dapat tidur dan demam selesema”.

“Dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi”. (Surah ali Imran : 85).

Wallahualam.

Sejarah seni bina Masjidilharam

MASJIDILHARAM merupakan tempat paling suci, iaitu yang pertama daripada tiga buah tempat suci Islam selain dari Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis. Nama Masjidilharam yang digunakan pada hari ini telah digunakan oleh penduduk Mekah sejak sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi.

Ini merujuk kepada satu kawasan suci yang turut dikenali sebagai Mekah ketika itu. Selepas pembukaan Kota Mekah pada tahun ke-8 hijrah Nabi Muhammad SAW, tiada sebarang ubah suai rupa fizikal di kawasan sekitar Kaabah selain daripada pelupusan berhala yang berada di sekelilingnya.

Sejak daripada peristiwa pembukaan itu, ia mula dikunjungi oleh umat Islam untuk mengerjakan haji dan umrah setiap tahun. Tiga kawasan penting yang termasuk dalam kawasan Masjidilharam ialah Kaabah, Telaga Zam Zam dan Makam Ibrahim. Sewaktu pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab terdapat keperluan untuk meluaskan kawasan Masjidilharam kerana bilangan umat Islam yang semakin bertambah.

Kerja-kerja memperluaskan kawasan Masjidilharam telah dilakukan oleh Umar dan seterusnya disusuli oleh Khalifah Uthman al-Affan dengan memindahkan kawasan perumahan berhampiran dengan Kaabah dan membina pagar seperti dinding di sekeliling Kaabah. Bentuk kawasan yang dipagar ialah segi empat yang mempunyai sudut yang tidak tepat.

Selari dengan keperluan jemaah

SEBAHAGIAN daripada lebih dua juta umat islam yang berada di mekah untuk memnunaikan ibadah haji tahun ini membanjiri masjidilharam kelmarin untuk menunaikan sembahyang . - Reuters

Ini menjadikan kawasan tawaf lebih selesa dengan jumlah jemaah di zaman itu. Seterusnya kerja-kerja ubah suai turut dilakukan oleh dinasti Islam utama yang memerintah dunia Islam bermula dari Dinasti Umayyah, Abasiyyah dan seterusnya. Sewaktu pemerintahan Umayyah, penambahan yang dilakukan ialah dengan meletakkan atap atau bumbung di atas dinding pagar yang dibina oleh khalifah sebelum mereka.

Di zaman pemerintahan Abasiyyah pula dinding pagar beratap yang terdapat di sekeliling Kaabah diubah suai menjadi laluan berbumbung yang didirikan dengan deretan tiang dan gerbang di sekelilingnya. Penambahan demi penambahan telah dilakukan oleh pemerintah kerajaan Islam lain seperti lampu minyak untuk kemudahan ketika mengerjakan tawaf pada waktu malam.

Lampu elektrik mula digunakan dalam Masjidilharam untuk menggantikan lampu minyak pada tahun 1930-an. Kawasan mataf yang digunakan untuk tawaf telah dilapiskan dengan batu marmar putih dan ditandakan dengan garis laluan berbentuk bulatan di sekeliling Kaabah. Ia semakin mengecil jika laluan tawaf semakin menghampiri Kaabah.

Perubahan bentuk fizikal Masjidilharam boleh dipelajari secara visual melalui lakaran bangunan Masjidilharam yang dilakukan oleh para jemaah yang mengunjungi tempat ini sejak zaman berzaman. Salah sebuah manuskrip yang mempunyai lakaran ini ialah Dalail wa Khairat. Manuskrip ini boleh dilihat di galeri al-Quran dan Manuskrip di Muzium Kesenian Islam Malaysia. Tidak lama lagi satu lagi sejarah akan dicatatkan apabila bangunan Masjidilharam terbaharu yang lebih besar, selesa dan moden siap dibina untuk menyambut kedatangan umat Islam mengerjakan haji dan umrah setiap tahun.

Tatacara agihan daging korban

Kawan saya selalu juga belanja makan. Dia menggunakan kad kredit yang tidak patuh syariah. Apa hukumnya jika kami makan hasil belanja makannya menggunakan kad kredit?

Kad kredit yang tidak patuh syariah mengandungi unsur yang bertentangan dengan syariah. Ia mengandungi unsur riba. Ini kerana wang yang diberikan kepada pengguna kad biasanya atas asas pinjaman. Kemudian pengguna kad perlu membayar jumlah wang yang digunakan berserta dengan caj lebihan. Maka caj lebihan itu termasuk dalam riba.

Kawan kita menggunakan kad tidak patuh syariah. Beliau bersalah. Beliau belanja kita makan. Makanan tersebut adalah halal. Ini kerana kita tidak terlibat dengan urusan pembayaran kad kredit tersebut. Namun adalah lebih baik jika kita menasihatkannya agar beralih kepada kad kredit yang patuh syariah.

Bagaimana tatacara agihan daging korban?

Terdapat pelbagai cara dalam agihan daging korban sebagaimana amalan masyarakat kita. Ada sistem angka 3,2, dan 1. Angka ini bermaksud tiga kilogram daging, dua tulang dan satu organ diagihkan kepada setiap peserta korban. Selebihnya diagihkan kepada golongan fakir miskin. Ada juga sistem 212 iaitu dua kilogram daging, satu organ dan dua tulang diberikan kepada peserta. Ada sistem agihan daging korban berdasarkan permintaan peserta korban. Contohnya apakah yang peserta korban ingin ambil daripada haiwan yang dikorbankan. Mungkin ada yang ingin mengambil 2/3 daging manakala 1/3 diagihkan kepada fakir miskin. Mungkin ada peserta korban meminta kepala haiwan korban.

Perbezaan sistem agihan ini tidaklah menjadi isu syariah selagi mana syarat wajib dalam agihan dipatuhi. Antara syarat wajibnya ialah agihan daging korban mentah kepada fakir miskin. Kadarnya tidak ditetapkan. Sedikit pun boleh, banyak pun boleh. Contohnya satu bahagian daging lembu ialah 10 kilogram. Peserta hendaklah bersedekah daging korban mentah. Mungkin 1 kilogram, 2 kilogram, 7 kilogram dan sebagainya. Daging yang lebih boleh dihadiahkan, dimasak makan dan sebagainya.

Dalam isu sistem agihan daging korban, perbincangan hendaklah diadakan antara pihak pengurusan masjid dan juga surau dengan peserta ibadat korban.

Seekor anjing kebasahan. Anjing berjalan melalui satu koridor. Lantai basah terkena air daripada anjing tersebut. Maka ada seorang insan menyimbahkan sebaldi air di atas tempat yang dilalui oleh anjing tadi. Adakah kita perlu menyamak tempat laluan anjing tersebut?

Dalam hadis, hanya disebut jilatan anjing sahaja yang disamak. Samak atau sertu ialah basuhan terhadap najis mughallazah dengan tujuh simbahan air. Salah satunya dengan air tanah.

Dalam isu ini, koridor bukanlah tempat untuk berbaring, tidur dan sebagainya. Ia sekadar tempat laluan sahaja. Ia bukan tempat untuk kita melakukan solat. Maka pada pendapat saya, kita tidak perlu menggunakan kaedah sertu.

Syarat wajibnya perlu diagihkan daging mentah


MELAKA - 20 DISEMBER 2007 - MOHD Farhan Faqrullah Mohd Fadil,2, khusyuk memerhatikan seorang petugas melapah daging lembu pada majlis korban yang dianjurkan oleh De Mawardah Travel & Tour sempena Hari Raya Aidiladha di Padang Temu semalam, Melaka. Gambar : GAIE UCHEL / Pemberita : FITRI (KOSMO)

Wakil rakyat memberi seekor lembu kepada setiap surau di kawasan kami sempena hari raya korban. Adakah lembu ini dikira lembu korban atau sekadar sembelih untuk makan sahaja?

Ibadat korban dilakukan oleh insan Muslim. Maka peserta ibadat korban mestilah manusia dan Muslim.

Apabila seorang wakil rakyat memberi lembu kepada setiap surau dan masjid dalam kawasannya, kemungkinan ia lembu untuk ibadat korban. Mungkin juga sekadar untuk makan-makan sahaja. Maka pihak penerima lembu iaitu jawatankuasa masjid dan surau hendaklah bertanya kepada wakil rakyat sama ada lembu ini lembu untuk ibadat korban atau bukan ibadat korban.

Ini berbeza dengan pemberian lembu kerajaan. Kerajaan bukan manusia. Ibadat korban dilakukan oleh manusia, bukan kerajaan. Jika pemberian lembu daripada kerajaan maka ia adalah lembu pemberian. Ia bukan lembu untuk ibadat korban. Setakat ini, saya tidak memahami bagaimana lembu pemberian kerajaan adalah lembu korban. Maka lembu sebegini tidak tertakluk kepada syarat ibadat korban. Justeru itu, lembu ini boleh dimasak semuanya untuk dimakan oleh penduduk kawasan.

Namun jika lembu pemberian adalah bagi pihak Menteri Besar, maka peserta korban adalah Menteri Besar. Jika lembu pemberian 1,000 ekor, maka Menteri Besar melakukan ibadat korban sebanyak 1000 ekor lembu.

Apa yang wajar dilakukan oleh pihak berkuasa, syarikat swasta dan entiti atau badan tertentu ialah memberikan haiwan kepada pihak masjid dan surau. Haiwan pemberian ini diuruskan oleh pihak berkenaan.

Pihak masjid atau surau menawarkan haiwan ini untuk korban dengan harga yang lebih murah. Contohnya seekor kambing harga pasaran ialah RM600. Pihak berkenaan menjual kambing ini dengan harga RM400.

Begitu juga dengan satu bahagian lembu sekitar RM550. Ia ditawarkan satu bahagian dengan kadar RM300. Dengan ini, lebih ramai umat Islam dapat melakukan ibadat korban.

Manusia lali diselimuti dosa, tetapi alah berdepan jerebu bina sikap, akhlak terpuji

"Maka sesungguhnya tidak hina orang yang Engkau pimpin, dan tidak mulia orang yang engkau memusuhinya." Saban pagi doa qunut ini dibaca memberi penghayatan keindahan belas kasih yang Maha Kuasa dalam menentukan segala.

Sesungguhnya mulia dan hinanya seseorang hamba terletak pada reda Penciptanya. Jerebu di balik jendela lumrahnya menggusarkan jiwa, namun jerebu dosa terlalu jarang meresah rasa. Itu antara perkongsian Ustaz Mohd Meeftah Anuar menerusi Islam Itu Indah, Rabu lalu di IKIMfm.


Bencana jerebu tanda peringatan akibat kerakusan manusia membakar hutan. - Gambar hiasan
Kata bijak pandai, dosa apabila sudah terlalu banyak, maka orang tidak perasan.

Dosa diumpamakan seperti bau busuk apabila terlalu banyak dilakukan, ia akan lali dan tidak terasa kewujudan dosa itu.

Ustaz menggambarkan situasi insan yang harinya bergelumang sampah.

Lali bau busuk, jerebu

Mereka sudah lali dengan bau busuk yang menusuk hidung sehingga tidak memberi sebarang kesan terhadap aktiviti harian berbanding individu yang tidak berada dalam situasi pekerjaan seumpama itu.

Mereka akan menutup hidung melintasi kawasan pembuangan kerana bau busuknya. Begitu juga bagi individu yang terbiasa tinggal atau bekerja dalam suasana berdebu, pasti jerebu tidak memberi implikasi teruk, tetapi yang alah dengan debu, kehadiran jerebu memberi kesan kepada tahap kesihatannya.

Mereka yang terbiasa melakukan dosa, serasa tiada perkara yang perlu dikhuatirkan, ia ibarat menghalau lalat yang hinggap di hidung. Berbeza hamba yang peka bahana dosa dilakukan, akan gentar dan bimbang dosa itu merosakkan amalan baiknya seperti gunung yang akan menghempap bahu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Jika kamu menjauhkan dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)." (Surah an-Nisaa', ayat 31)

Itu tawaran daripada Allah SWT bagi hamba-Nya yang mampu mencegah diri daripada melakukan dosa. Allah SWT memberi jaminan penghapusan dosa yang lalu dan dimasukkan ke tempat mulia iaitu syurga.

Tawaran hebat untuk semua tanpa mengira keperibadian dan sejarah silamnya. Syaratnya, tidak melanggar sempadan yang telah Allah SWT tentukan.

Setiap kisah tercatat dalam al-Quran hendaklah dihayati supaya kita melakukan perkara disukai serta menjauhi perbuatan dimurkai-Nya.

Dosa biasa membawa kepada kefakiran. Contohnya, penzina, pengamal rasuah, riba dan peminum arak berasa tidak cukup dengan apa yang ada dan takut kepada kemiskinan walau hidup dilimpahi kemewahan.

Mereka fakir dari sudut ketenangan hati dan ketenteraman fikiran. Punya harta untuk membeli makanan yang lazat tetapi tidak mampu menikmatinya kerana berpenyakit.

Miliki harta yang banyak untuk membahagiakan keluarga, tetapi asbab dosa akhirnya membawa kepada perpecahan keluarga.

Tanpa disedari, kemungkaran yang dilakukan secara berleluasa akan mengakibatkan bencana dan malapetaka tidak berpenghujung.

Jika menyedarinya pula, adakah bersedia untuk melakukan pembetulan demi menyelamatkan diri, masyarakat dan dunia daripada terkena musibah yang tidak terjangka?

Sudah menjadi kebiasaan, tatkala berlaku malapetaka, musibah dan bencana alam, ia dipandang dari sudut fizikal kejadian sahaja.

Masyarakat sudah lali dengan suasana sehingga tidak menerobos maksud tersirat atas setiap kejadian. Jarang melihat setiap fenomena sebagai teguran daripada Allah SWT.

Manusia alpa bahawa bencana akibat dosa itu boleh tiba tanpa mengira masa. Umpama kaum 'Ad yang ditimpa bencana ketika sedang berarak menuju syurga ciptaan raja mereka.

Bala terhadap kaum 'Ad, Sadom

Sehinggakan Rasulullah SAW dan sahabat menundukkan muka, takut untuk memandang langit serta melangkah pantas kala melalui lokasi kejadian.

Sedangkan Rasulullah SAW dan sahabat berada jauh dari zaman Allah SWT menurunkan bala kepada kaum 'Ad dan kaum Sadom itu.

Baginda faham dan mengambil ibrah daripada peristiwa yang Allah SWT terangkan dalam firman yang bermaksud: "Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang yang terdahulu dari mereka? Orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang itu juga telah didatangi oleh rasulnya dengan membawa keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Sesudah dibinasakan di dunia maka akibat orang yang melakukan kejahatan itu ialah seburuk-buruk azab (di akhirat kelak), disebabkan mereka mendustakan ayat keterangan Allah dan sentiasa mempersendakannya." (Surah ar-Ruum, ayat 9-10)

Justeru, jadikanlah setiap musibah dan bencana yang berlaku sebagai suatu peringatan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Jerebu, jika diteliti dari sudut ilmu alamnya ia akibat daripada pembakaran terbuka yang besar sehingga menyebabkan berlakunya jerebu.

Tetapi, jika di lihat daripada mata hati seperti firman-Nya yang bermaksud: "Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau (asap tebal) yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)." (Surah ad-Dukhaan, ayat 10)