October 2nd, 2015

Khutbah Jumaat ~ “Solat Tiang Agama”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 02 Oktober 2015:JAIS

“Solat Tiang Agama”

Solat adalah wajib keatas setiap individu muslim yang difardhukan pada tahun kelima sebelum hijrah.  Solat difardhukan pada asalnya ketika Israk dan Mikraj sebanyak lima puluh waktu, kemudian dikurangkan oleh Allah SWT sehingga tinggal lima waktu sahaja dalam sehari semalam yang mana pahalanya tetap seperti lima puluh waktu.

Hadis daripada Anas Bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman dalam sebuah Hadis Qudsi; Wahai Muhammad sesungguhnya percakapan di sisi-Ku tidak berubah. Bagi Mu lima waktu ini pahalanya sama dengan lima puluh waktu”.(Hadis Qudsi diriwayatkan oleh At-Tirmizi).

Kefardhuan solat lima waktu ini berulang kali disebut dalam Al-Quran, diantaranya ialah ayat 43 surah al-Baqarah seperti berikut: “Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan bersama-sama orang-orang yang rukuk”.

Urang yang meninggalkan solat akan menerima seksaan atau azab dari Allah SWT semasa di dunia lagi, ketika hendak mati, semasa di dalam kubur dan semasa di akhirat kelak.

Seksaan ketika di dunia ialah Allah SWT akan menghilangkan berkat pada rezekinya dan dihilangkan tanda kesolehan dari mukanya.

Seksaan ketika rohnya hendak dicabut adalah dia akan berada dalam keadaan yang sangat dahaga dan merasai kesakitan yang amat sangat.

Seksaan ketika di dalam kubur adalah dia tidak dapat menjawab soalan-soalan malaikat Mungkar dan Nakir, bahkan kuburnya menjadi sempit dan gelap gelita.

Manakala seksaan di akhirat pula adalah ketika dihisab catatan amalan buruknya lebih banyak dari amalan baik dan menerima kemurkaan Allah SWT serta dimasukkan kedalam neraka Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Muddaththir ayat 42-43:“(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?. Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang”.

Solat adalah sebahagian daripada rukun islam yang lima, justeru islam tidak akan tertegak pada diri seseorang melainkan tertegaknya kesemua rukun islam terutamanya syahadat dan solat.

“Islam ditegakkan diatas lima perkara. Iaitu bersyahadat bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad ini Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa dalam bulan ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan menunaikannya”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

“Amalan yang mula-mula sekali dihisab dari seorang hamba diakhirat ialah solat. Jika ibadah solatnya diterima, nescaya diterima amalan-amalan yang lain dan apabila solatnya ditolak maka ditolaklah amalan-amalan yang lain”. (Riwayat Imam an-Nasai’ dan Imam At-Tirmizi).

Solat yang dilaksanakan dengan rasa ikhlas, khuysu’, sempurna dan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT akan melahirkan hikmah kepada si pelakunya. Diantara hikmah-hikmah tersebut ialah

Pertama: Ibadah solat akan mengingat dan menghampirkan diri seseorang hamba itu kepada penciptanya iaitu Robbul Jalil.

Firman Allah SWT dalam surah Toha ayat 14 : “Sesungguhnya Aku ini Allah, tiada Tuhan melainkan Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah solat untuk mengingati Aku”.

Kedua : Solat lima waktu dapat menghapuskan dosa-dosa kecil yang dilakukan.

Sebagaimana Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat lima waktu, jumaat hingga jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat itu selama dijauhi dosa-dosa besar”. (Riwayat Imam Muslim).

Ketiga: Solat menghalang perbuatan keji dan mungkar. Iaitu dengan melakukan solat akan menimbulkan rasa kehebatan, kebesaran dan keagungan Allah SWT serta gerun dan takut azab kemurkaan-Nya yang menjadi pengawal perbuatan keji dan mungkar.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45: “Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar”.

Keempat: Solat mententeramkan jiwa. Orang yang menunaikan solat jiwanya akan merasai tenteram dan damai seterusnya dapat mengawal tekanan jiwa.

Sepertimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya surah Al-Ma’arij ayat 19 – 23:“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil. Kecuali orang yang mengerjakan solat, Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solat mereka”.

Kelima: Solat melahirkan kejayaan, keberkatan dan kebahagiaan dalam hidup.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah a-Mukminun ayat 1 – 2 : “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya”.

Pengajaran dan penghayatan yang dapat kita ambil daripada khutbah ini adalah;

1. Umat Islam hendaklah memberikan keutamaan untuk menunaikan solat tanpa ada apa-apa alasan.

2. Kita hendaklah memastikan solat kita dilaksanakan dengan sempurna dan khusyuk.

3. Kita hendaklah memastikan ahli-ahli keluarga kita taat dan patuh menunaikan solat pada waktunya.

4. Umat Islam jangan meninggalkan solat kerana meninggalkan solat itu mengundang kemurkaan Allah dan diseksa dengan neraka Saqar.

“Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) Segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) Dengan taat dan khusyuk”. (Surah al-Baqarah : 238).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Keghairahan Siber

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 2 Oktober 2015M/ 18 Zulhijjah 1436H JAWI

Keghairahan Siber

Kita kini berada di zaman globalisasi, zaman dunia tanpa sempadan. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi Facebook, Whatsapp, Instagram, WeChat, Tweeter, Telegram seakan-akan menjadi suatu ketagihan yang luarbiasa kepada golongan muda mahupun golongan tua. Inilah yang dinamakan ”keghairahan siber” yang dilihat seakan-akan seperti tidak dapat dikawal penggunaannya.

Penggunaan IT mempunyai kebaikan dan keburukannya. Kebaikannya yang terserlah adalah dapat membantu manusia untuk mendapatkan sumber maklumat, menghubungkan ukhuwah walaupun di tempat yang jauh serta memudahkan banyak urusan manusia di dalam kehidupan seharian. Namun begitu, IT juga mempunyai keburukannya seperti boleh berlakunya pengabaian tanggungjawab terhadap keluarga, pengabaian tanggungjawab terhadap kerja, hilangnya semangat kemasyarakatan dan kejiranan serta boleh menggalakkan kepada hubungan yang terlarang.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195: Bermaksud: ”Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan perelokkanlah perlakuan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Kesan negatif alam siber juga boleh menyelinap masuk ke dalam institusi pekerjaan. Terdapat segelintir pekerja yang sibuk bermain gajet ketika sedang bermesyuarat atau menghadiri seminar. Budaya negatif inilah yang menyebabkan seseorang pekerja dilihat tidak beretika kepada perkerjaan dan majikannya. Selain itu, ketagihan alam siber juga dilihat mampu menjadikan seseorang itu hilang nilai komunikasi sesama ahli keluarga, ibu bapa, adik-beradik dan jiran tetangga. Sekaligus boleh menyebabkan kehilangan nilai persaudaraan dalam masyarakat.

Firman Allah SWT dalam Surah AnNisa’ ayat 36 : Ertinya: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.

Manusia pada hari ini termasuk umat Islam lebih banyak menghabiskan masa meneliti gajet daripada membaca al-Quran atau buku-buku ilmiah yang lain.

Kelebihan membaca alQuran berdasarkan hadith riwayat Imam Muslim RhA Daripada Abu Umamah Al-Bahili R.A., dia berkata, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: ا لَِأ ْصحَابِهِ ً يَْأتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ َشفِيع ُ رْآنَ ، فَِإَّن ه ُ وا الْق ُ اقْرَء Bermaksud: "Bacalah Al Qur'an…kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaát kepada para pembacanya."

Rasulullah SAW menerangkan tentang kelebihan membaca alQuran. Imam Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abdullah ibn Mas’ud R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda: بِهِ َحسَنَة ُ فلََه َّهِ ا مِ ْن كِتاَ ً مَ ْن قَرََأ حَْرف ف، وَل َكِنْ ل الم حَْر ُ و ُ بِعَشْرِ َأ ْمثَالِهَا، لَا َأق ُ ِب الل ، وَالْ حَسَنَة ف وَلَام حَرْف وَمِيم حَرْف ف حَْر َألِ Bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah SWT maka untuknya diberi satu hasanah (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (Alif,Lam,Mim) sebagai satu huruf tetapi (Alif) adalah satu huruf, (Lam) adalah satu huruf dan (Mim) adalah satu huruf.”

Kesimpulan daripada khutbah hari ini:

Pertama: berwaspadalah dalam menggunakan kemudahan teknologi ini dan menggunakannya pada waktu yang diperlukan sahaja. Elakkan diri dari terjebak ke dalam gejala negatif alam siber.

Kedua: Selidikilah setiap berita mahupun maklumat yang diterima itu sebelum disebarkan. Ini amat penting bagi mengelakkan sebarang bentuk penyebaran fitnah dan hadith-hadith palsu.

Ketiga: Kawallah penggunaan gajet agar jangan sampai ia menjejaskan gaya hidup bermasyarakat yang perlukan perhatian dan penglibatan kita.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 6: Ertinya: ”Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Wallahualam.

Bermuhasabah Ketika Di Uji

SETELAH melalui pelbagai ujian dan musibah yang si­lih berganti ketika me­nunaikan fardu haji baru-baru ini, golongan baharu bergelar haji dan hajah tentunya amat bersyukur apabila menjejakkan kaki ke tanah air. Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka apabila dipertemukan semula de­ngan kaum keluarga dan sahabat handai dalam keadaan selamat.

Bagi jemaah dan keluarga yang ditimpa musibah dalam tragedi kren tumbang dan rempuhan di Mina, usah terlalu berduka dan mendoakan semoga yang terlibat dikurniakan ganjaran syahid dan nikmat syurga. Ini kerana bukan calang-calang orang terpilih mening­gal dunia dalam husnul khatimah apatah lagi ketika asyik beribadah.

Allah SWT berfirman maksudnya; “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) siapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu, orang-orang mati. Bahkan mereka itu orang yang hidup (de­ngan keadaan hidup yang istimewa) tetapi kamu tidak dapat menyedari­nya”. (Terjemahan Surah al-Baqarah:154)

Di sebalik kegembiraan itu, golongan haji dan hajah selayaknya mensyukuri nikmat dapat menyelesaikan kerja-kerja haji dengan berusaha mempraktikkan segala pengajaran dan pengalaman yang ditimba ketika di tanah suci. Keseronokan berulang-alik ke Masjidilharam contohnya eloklah diganti dengan sering berjemaah dan menghadiri majlis-majlis ilmu di kariah masing-masing.



SEBAHAGIAN daripada kumpulan pertama 407 jemaah haji Malaysia yang selamat tiba di tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Selasa lalu. UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN

Kehidupan selama lebih sebulan di bumi Mekah dan Madinah dengan segala aktiviti ibadah siang dan malam selayaknya diteruskan dengan berbuat kebajikan sambil mempererat hubungan silaturahim. Segala ujian dan cabaran yang dilalui sebagai tetamu Allah SWT hendaklah dijadikan pedoman mengharungi realiti kehidupan sebenar setelah kembali ke tanah air. Ini kerana proses tarbiyah di tanah suci merupakan pelajaran paling berharga khusus buat insan-insan terpilih yang dijemput ke sana.

Selain itu, segala ujian dan dugaan selayaknya diterima de­ngan reda dan bersangka baik kepada-Nya. Ini kerana tidak meningkat tahap keimanan seseorang kecuali setelah diuji oleh Allah SWT. Ingatlah juga betapa Allah SWT menguji hamba-hambanya pada kadar tertentu sesuai tingkatan keimanan masing-masing.

Firman Allah SWT yang bermaksud; “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurang­an dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. (Terjemahan Surah al-Baqarah:155-157).

Sementara itu, bagi yang akan ke tanah suci pada musim-musim haji mendatang ambillah iktibar daripada segala kejadian yang berlaku untuk mempersiapkan diri bagi menyelesaikan rukun haji. Usah takut dan bimbang untuk ke sana sebaliknya sentiasa bersangka baik kerana Allah SWT menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda dan nikmat syurga kepada para tetamu-Nya.

Malah masa dan kesempatan yang ada elok digunakan untuk memperbaiki diri, bertaubat dan memohon pertolongan-Nya, mendalami ilmu haji, selain mencukupkan perbelanjaan dengan rezeki yang halal sebelum dijemput ke tanah suci.

Di sisi pandang yang lain, musibah jerebu yang melanda negara jelas menunjukkan sikap tamak dan pentingkan diri sendiri segelintir pihak walaupun orang lain menderita. Akibatnya lagi sekolah-sekolah terpaksa ditutup, kewajipan menuntut ilmu tergendala dan ramai yang menderita pelbagai penyakit disebabkan alahan kepada asap jerebu. Lebih membimbangkan apabila mereka yang terlibat seolah-olah tidak merasa bersalah dan berdosa kerana menyusahkan orang lain.

Dalam hal ini tindakan menghentikan kontrak syarikat yang terlibat dengan tragedi kren runtuh di Masjidilharam serta mengenakan hukuman berat kepada petugas haji di Mina oleh pemerintah Arab Saudi patut dicontohi bagi mengenakan hukuman berat kepada mereka yang mengambil jalan mudah dan murah membakar hutan untuk mengusahakan pertanian.

Lebih daripada itu perubahan cuaca yang tidak menentu, kegawatan ekonomi semasa, masalah moral dan akhlak yang semakin meruncing mengajak masyarakat Islam untuk muhasabah diri de­ngan kembali mempraktikkan tuntutan agama dalam kehidupan seha­rian. Ini kerana ujian dan musibah menje­lang tibanya hari kiamat le­bih dahsyat lagi mengerikan.

Jangan gugat hak Islam

KITA menyokong Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang menegur tindakan beberapa orang Islam dalam DAP yang lebih mempertahankan dasar parti itu berbanding institusi agama Islam. Peringatan itu dibuat dalam khutbah Aidiladha pada 24 September lalu.

Dalam teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Mufti Ne­geri Pahang itu, umat Islam dinasihatkan supaya terus bersatu-padu walaupun berlainan ideologi politik. Ini bagi mengelak perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang semakin ketara.

Ingatan itu bertepatan dengan suasana politik negara hari ini. Umat Islam disuruh bersatu-padu dan jangan berpecah-belah. (Rujuk Ali-Imran: 103)

Oleh itu, kita memahami kekecewaan Abdul Rahman apabila Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menggesa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah tersebut atau berdepan tindakan undang-undang.

“Saya rasa terkilan dengan orang Islam dalam DAP, sepatutnya mereka kena mempertahankan ahli agama dan institusi Islam ini, namun mereka pula ingin menyaman kami dan meminta kami memohon maaf,” kata mufti itu.

Soalnya, sejak bila tugas menasihat umat Islam agar kembali berpegang kepada ajaran Allah dan jangan menjadikan orang kafir sebagai teman setia dengan meninggalkan orang mukmin menjadi kesalahan.

Walhal suruhan itu termaktub dalam ayat al-Quran sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Janganlah orang yang beriman mengambil orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman...(Ali-Imran: 28)

Dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan: (1) Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Kedudukan Islam memang lebih tinggi daripada agama lain dan tidak ada persamaan dalam perkara ini. Perlembagaan di mana-mana negara di dunia pun dianggap undang-undang dasar tertinggi.

Yang sepatutnya berlaku adalah ketentuan ini yang disokong dan diterima pakai oleh kontrak sosial mesti dijunjung oleh setiap rakyat. Bukan hanya orang Islam atau Me­layu sahaja. Ini adalah teras kepada jalinan hubungan antara kepelbagaian etnik dan agama di negara kita.

Pada asasnya, hubungan Islam dengan agama lain adalah didasari oleh wasatiyyah atau kesederhanaan. Ini pula perlu ditafsir dengan tepat. Islam menuntut dalam persoalan akidah tidak boleh paksa pihak lain terima akidah Islam. Ini ditegaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam).” (Al-Baqarah: 256)

Sebab itulah penganut bukan Islam di Malaysia boleh mengamalkan ajaran agama mereka dengan damai. Tetapi dalam bab kehidupan bernegara, kita semua terikat dengan undang-undang. Bagi orang Islam kita terikat dengan syariat Allah.

Yang menjadi masalah apabila tuntutan-tuntutan yang dikemukakan bukan berpunca daripada kehilangan hak. Sebaliknya hendak merebut hak orang lain (Islam). Dalam masa sama nak menggugat kedudukan Islam sebagai agama bagi negara.

Islam memang mengajar umatnya bersikap moderate. Namun jangan lupa Islam juga mewajibkan kita mempertahankan agama sehingga ke tahap sanggup syahid. - Mohd Radzi Mohd Zin Al Bayan Utusan Malaysia Rencana 02 Oktober 2015 12:54 AM

Pentingnya takhrij dalam penulisan guna hadis

HADIS berfungsi sebagai sumber kedua dalam syariat Islam selepas al-Quran. Hal ini disepakati golongan ulama. Fuqaha dalam kalangan sahabat semuanya kembali merujuk kepada hadis Rasulullah SAW. Apabila menerangkan makna kandungan al-Quran sesuai kedudukannya sebagai sumber kedua syariat Islam.

Fungsi as-sunnah terhadap al-Quran antara lain ialah sebagai penerang kepada nas al-Quran yang tidak jelas, mengkhususkan yang umum, mengikat yang mutlak serta membina hukum berdasarkan kepada sumber daripada al-Quran.



Justeru umat Islam tidak dapat melaksanakan ajaran Islam dengan sempurna sekiranya tidak berpandukan pertunjuk dan praktik sunnah atau hadis. Bagi mempraktikkan ajaran Islam dengan betul dan tepat, umat Islam wajib merujuk kepada as-sunnah atau hadis yang sahih.

Kepentingan merujuk kepada as-sunnah atau hadis yang sahih adalah untuk mengelakkan umat Islam daripada penyelewengan dan penyalahgunaan nas hadis untuk kepentingan diri ataupun bagi tujuan menjatuhkan martabat Islam.

Lebih malang lagi jika nas-nas tersebut berkaitan dengan akidah dan syariat yang boleh menyebabkan akidah seseorang itu rosak atau sesat dan syariatnya batal.

Prof Dr Jawiah Dakir dalam kajiannya yang bertajuk Hadith Masyhur Dalam Masyarakat Melayu menyatakan bahaya penggunaan nas yang tidak sahih atau hadis palsu oleh guru agama dan ahli akademik akan menambah kekeliruan di kalangan orang awam lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak mempunyai asas dalam ilmu agama.

Pendedahan ilmu hadis yang sahih kepada umat Islam, khusus dalam kalangan orang Melayu adalah penting bagi menjaga agama Islam terutama sumber kedua ajaran Islam, iaitu as-sunnah atau hadis.

Kenali hadis

Al-Shaikh Muhammad Ajjaj Al-Khatib menjelaskan dalam kitabnya Usul Al-hadīth Ulūmuh Wa Mustaluhuh, perkataan hadis daripada sudut bahasa adalah sinonim dengan kata akhbar (berita) ataupun pemberitahuan.

Manakala sudut istilah sinonim dengan perkataan as-sunnah. Kedua-duanya diertikan sebagai sesuatu yang disandarkan atau diambil daripada Nabi SAW samada sebelum atau selepas Baginda SAW menjadi rasul.

Maksud takhrij

Dr Faisal Ahmad Shah dalam bukunya Takhrij Hadith Teknik Pencarian Hadith Yang Tepat Dan Berkesan menyebut perkataan takhrij dari sudut bahasa Arab membawa beberapa maksud, antaranya ialah menampakkan dan memperlihatkan.

Menurut sudut istilah pula, Profesor Dr Muhammad Abullais Al-Khayr Abadi dalam kitabnya Takhrij Al-Hadith Nasyatuhu Wa Manhajiyatuhu menyatakan takhirj ialah suatu ilmu yang membahaskan mengenai prinsip dan metod yang memudahkan capaian kepada kedudukan hadis, mengenal pasti mutaba'at dan syawahid daripada sumber asal, sumber yang menyerupai asal dan sumber yang tidak asal seterusnya menjelaskan hukum dan darjat hadis tersebut sama ada diterima atau ditolak.

Pentingnya ilmu takhrīj

Faisal juga menekankan kepentingan ilmu takhrij sebagai satu medium bagi mengetahui status sesuatu hadis yang digunakan. Beliau menyatakan lapan kepentingan ilmu takhrij iaitu:

1) Mengenal pasti kedudukan hadis dalam sumber rujukan asal.
2) Mengenali perawi hadis dan mengetahui kedudukan mereka dari sudut al-Jarh wa al-Ta'dil.
3) Mengumpulkan sanad bagi sebuah hadis seterusnya mengetahui jenisnya dari sudut bilangan riwayatnya sama ada mutawatir, masyhur, aziz atau pun gharib.
4) Membezakan hadis yang mempunyai asal dengan hadis yang tidak mempunyai asal.
5) Mengenal pasti darjat dan status hadis sama ada sahih atau daif, diterima atau ditolak.
6) Mengenal pasti keadaan hadis dan jenisnya dengan melihat kepada sifat yang terdapat pada sanad dan matan.
7) Membezakan jenis-jenis kelemahan tersembunyi yang terdapat pada hadis.
8) Mengenal pasti sama ada sesebuah hadis itu bersambung atau terputus.

Hadis untuk faham agama

Jawiah  juga menambah, untuk mengetahui secara betul dan tepat ajaran Islam, umat Islam dituntut supaya belajar hadis ataupun as-sunnah dengan tujuan memastikan apa yang diamalkan itu benar-benar daripada ajaran Rasulullah SAW atau sebaliknya.

Sejarah sahabat RA membuktikan mereka muncul sebagai orang Islam yang berilmu tinggi dan mampu untuk berijtihad serta menguasai pelbagai bidang ilmu Islam. Ini  kerana sebahagian hidup mereka ditumpukan untuk mempelajari al-Quran dan hadis daripada Rasulullah SAW.

Jawiah juga menyatakan kegigihan mereka dan generasi selepasnya dalam meriwayatkan dan mencatatkan hadis telah menyediakan wadah dan kemudahan bagi generasi kurun kedua dan ketiga untuk mentadwinkan hadis; iaitu mengumpul, memeriksa, menulis dan membukukan hadis sehingga dapat dimanfaatkan oleh generasi terkemudian.

Umat Islam sekarang mendapat faedah yang amat besar dengan pengumpulan dan penulisan hadis oleh generasi awal Islam. Umat Islam kini hanya perlu kepada daya usaha untuk mendapatkan kitab hadis yang muktabar, seterusnya belajar perihal hadis daripada kitab tersebut.

Dalam menentukan nas hadis itu sahih ataupun palsu, rujukan kepada kitab muktabar ini amat penting agar umat Islam terselamat daripada berhujah dengan nas palsu.

Di samping itu rujukan kepada ilmuwan Islam yang mahir dan mendalam ilmunya mengenai hadis boleh dilakukan sekiranya timbul sebarang ketidakfahaman atau kekeliruan perihal kesahihan atau kepalsuan sesuatu hadis. Ini bertepatan dengan saranan ALLAH SWT supaya umat Islam merujuk kepada ilmuwan agama sekiranya ada kemusykilan.

Jawiah menekankan kepentingan belajar dan menyampaikan ilmu ini amat mendesak pada masa kini berikutan penyebaran ajaran Islam yang diselewengkan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, yang dilakukan oleh orang perseorangan ataupun kumpulan yang berkepentingan.

Lebih-lebih lagi dalam menghadapi gelora dan ombak globalisasi ilmu dalam dunia tanpa sempadan, umat Islam dengan mudah dan cepat dihidangkan dengan ilmu dan maklumat yang tidak tepat atau menyeleweng daripada hakikat dan nilai-nilai Islam.

Lebih malang lagi apabila apa yang disampaikan itu didakwa daripada ajaran Rasulullah SAW sedangkan hakikatnya ia bukanlah daripada Baginda SAW.

Melalui penjelasan ringkas ini, dapatlah kita membuat kesimpulan awal, ilmu takhrij sangat penting dalam penulisan hadis Nabi SAW sebagai sumber hujah di samping al-Quran. Ilmu takhrij menjamin kesahihan hadis Nabi SAW.

Dengan adanya ilmu takhrij, kemuliaan dan kesucian as-sunnah atau hadis Nabi SAW akan dapat dipelihara daripada dicemari hadis daif dan palsu.

Kitab agung warisan berharga

"KITAB" dalam bahasa Arab bermaksud buku (plural). Manakala "kutub" pula merujuk kepada banyak buku (singular) bermula dari tiga ke atas. Dalam ilmu hadis ada satu istilah terkenal iaitu al-kutub al-sittah. Ia merujuk kepada enam kitab utama yang menjadi rujukan dalam hadis.


Enam kitab tersebut ialah:

Sahih Al-Bukhari
Sahih Muslim
Sunan Abu Daud
Jami' Al-Tirmizi
Sunan Al-Nasaie
Sunan Ibn Majah

Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim juga dikenali sebagai al-Sahihain bermaksud dua kitab hadis sahih. Manakala istilah Sunan al-Arbaa’h merujuk kepada empat kitab yang lain iaitu Sunan Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah.

Sahih al-Bukhari

Tajuk lengkap kitab ini ialah al-Jami' al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min umur Rasululillah sallallahu ‘alaihi wasallam wa sunanihi wa ayyamihi. Lebih terkenal dengan tajuk Sahih Al-Bukhari kerana disandarkan kepada penulisnya.

Nama penulisnya ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah Al-Bukhari. Al-Bukhari ialah nisbah kepada tempat kelahiran beliau iaitu Bukhara. Dilahirkan pada tahun 194H.Imam Al-Bukhari banyak mengembara ke serata tempat bertujuan menuntut ilmu khususnya berkaitan hadis.

Beliau mengembara bertemu dengan ahli hadis di Syam, Mesir, Basrah, Hijjaz, Kufah, Baghdad dan tempat-tempat lain lagi. Meninggal dunia pada malam Aidilfitri tahun 256H.

Antara sumbangan terbesar Imam Al-Bukhari dalam dunia Islam ialah kitab Sahih Al-Bukhari. Sebuah kitab yang beliau syaratkan hanya menghimpunkan hadis Rasulullah SAW yang telah dipastikan mencapai tahap sahih.

Beliau telah menghambakan dirinya selama 16 tahun bagi kerja-kerja ini. Setiap kali ingin menulis hadis, beliau akan berwuduk dan solat dua rakaat memohon petunjuk agar hadis yang dikumpulkan memang benar-benar sahih.

Sahih Al-Bukhari ialah kitab pertama dalam sejarah yang menghimpunkan hadis sahih sahaja. Ia disebut sebagai kitab kedua paling sahih di atas muka bumi selepas al-Quran. Namun, bukan semua hadis sahih yang ada dimuatkan dalam kitab ini. Masih terdapat banyak lagi hadis sahih lain yang tidak dimasukkan dalam kitab beliau.

Imam Al-Bukhari mengarang dan mengumpulkan hadis berdasarkan topik fiqah. Jumlah hadis yang dikumpulkan sebanyak 2602 hadis (tidak dikira hadis yang berulang-ulang di bab yang berbeza). Terdapat hadis sama diulang-ulang dalam banyak bab kerana dalam satu hadis tersebut mengandungi pelbagai hukum hakam yang berbeza.

Penguasaan Imam Al-Bukhari bukan hanya semata-mata dalam menilai kesahihan hadis, bahkan beliau sangat menguasai hukum hakam yang boleh difahami daripada hadis tersebut. Kepakaran beliau dalam memahami hukum hakam fiqah ini dapat dilihat melalui caranya meletakkan nama bab dalam kitabnya atau ia disebut sebagai "terjemah".

Justeru, ada ungkapan yang terkenal iaitu fiqh al-Bukhari terletak pada terjemahnya (nama-nama bab)".

Cara Imam Al-Bukhari mengarang kitabnya dengan membahagikan kepada "kitab". Kitab ialah istilah yang digunakan bagi topik besar. Dalam setiap "kitab" pula dibahagikan kepada beberapa "bab" iaitu tajuk kecil (sub topik). Terdapat 97 kitab dan 3450 bab dalam Sahih al-Bukhari. Ramai ulama hadis menghuraikan kitab Sahih Al-Bukhari. Antara yang popular ialah kitab Fath al-Bari karangan Al-Hafiz Ibn Hajar Al-'Asqalani dan kitab Umdat al-Qari yang dikarang oleh Imam Badruddin "Al-'Aini.

Sahih Muslim

Judul lengkap kitab Sahih Muslim ialah al-Jami' al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min al-Sunan binaqli al-‘Adli ‘an al-Adli ‘an Rasulillah sallallahu ‘alaihi wasallam. Lebih dikenali dengan tajuk Sahih Muslim kerana disandarkan kepada nama penulisnya.

Penulisnya ialah Muslim bin Hajjaj bin Muslim Al-Naisaburi. Dilahirkan di Naisabur pada tahun 206H dan meninggal pada tahun 261H. Mengembara menuntut ilmu di banyak tempat seperti Hijjaz, Syam, Mesir, Iraq dan lain-lain lagi.

Imam Muslim juga mensyaratkan, beliau hanya mengumpul hadis-hadis yang dinilai sahih sahaja di dalam kitabnya. Oleh sebab itu, Sahih Muslim berada dikedudukan kedua selepas Sahih Al-Bukhari kerana syarat Imam Al-Bukhari dalam menilai hadis sahih lebih lagi ketat berbanding Imam Muslim.

Sama seperti Sahih Al-Bukhari, hadis-hadis dalam Sahih Muslim juga disusun mengikut bab-bab dalam hukum hakam fiqah. Cuma, perbezaannya ialah Imam Muslim tidak meletakkan apakah tajuk babnya seperti yang dilakukan oleh Imam Al-Bukhari. Walaupun begitu, keistimewaan Sahih Muslim ialah apabila dikaji hadis-hadisnya memang disusun mengikut bab-bab fiqah dan diletakkan dalam satu tempat yang sama.

Kemudian, apabila Imam Nawawi menghuraikan Sahih Muslim, beliau memberikan nama-nama bab yang sesuai dengan hadis-hadis tersebut. Jumlah hadis yang dikumpulkan oleh Imam Muslim di dalam kitab ini sebanyak 3033 hadis.

Antara yang popular menghuraikan Sahih Muslim ialah Imam Nawawi. Kitab beliau diberi judul al-Minhaj fi Syarhi Sahih Muslim.

Demikian serba ringkas pengenalan dua kitab utama dalam hadis yang menghimpunkan hadis sahih. Namun, perlu diketahui apa yang dikumpulkan Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim bukanlah menunjukkan keseluruhan hadis sahih.

Masih terdapat banyak lagi hadis sahih yang tidak dimasukkan di dalam kitab mereka. Kefahaman kita berkaitan agama perlu bersumberkan hadis yang sahih. Jadi, sekiranya kita ingin mencari hujah dan dalil berkaitan agama, maka dua kitab ini patut dijadikan keutamaan.

Bukannya berhujah dengan hadis palsu atau kata-kata tok guru, tuan syekh dan habib yang tidak ada sandarannya. Lebih malang lagi sekiranya kita memberikan fokus untuk menghafal dan memahami bait-bait lagu dan qasidah, sedangkan usaha untuk memahami hadis-hadis Rasulullah SAW tidak pula dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Dua kitab agung ini adalah warisan berharga yang ditinggalkan oleh dua orang tokoh yang ALLAH anugerahkan buat umat ini. Warisan ini tidak akan bererti jika ia hanya tersusun indah di rak-rak perpustakaan atau sekadar dijadikan kata-kata slogan.

Khazanah ini bukan hanya untuk ditatap sepi. Ia mesti dipelajari, diamalkan dan dihayati. Inilah tanda kita cintakan sunnah Nabi SAW.

Perkara haram menodai kebersihan jiwa

SEGALA puji bagi ALLAH SWT menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian dan diberikan kelebihan yang cukup banyak berbanding makhluk lain.

Antara kelebihan tersebut adalah kurniaan akal fikiran yang ALLAH berikan sebagai pembeza antaranya dengan haiwan dan supaya manusia dapat mengetahui hal-hal yang bermanfaat. Sesungguhnya sebaik-baik perkara adalah apa yang bermanfaat di dunia dan akhirat.

Doa teguhkan hati

Ada pula manusia yang berbuat buruk dengan menafikan peranan akal fikirannya, balasannya ALLAH akan turunkan dia ke serendah-rendah kedudukan. Firman-Nya: "Dan sesiapa yang berada di dunia ini dalam keadaan buta (mata hatinya), maka dia juga akan buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalan-Nya." (Surah Al-Israa': 72).

Kerana itu, antara doa yang banyak dibaca Nabi Muhammad SAW adalah doa supaya diteguhkan hati iaitu: "Ya muqallib al-quluub, thabbit qalbi a'la diinika (Wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu)." (Riwayat Tirmizi, sahih)

Sesungguhnya ALLAH menjadikan manusia dengan sebaik-baik ciptaan. ALLAH berfirman: "Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu untuk derhaka kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah?

Tuhan yang mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu bersesuaian serta menjadikan binaan tubuh badanmu sama padan dengan kekuatannya; dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya, Dia menyusun kejadianmu." (Surah Al-Infithaar: 6-8)

Hakikat penyakit jiwa

Kejadian manusia terdiri daripada anggota badan yang mana setiap anggota itu mempunyai tugasan khusus. Sekiranya anggota itu sakit maka akan terganggulah tugas dan peranannya. Jika tangan sakit, badan tidak akan dapat mencapai dan memegang benda yang diingininya.

Dan jika mata sakit, ia tidak akan mampu melihat. Ada pula hati, jika ia sakit kerana maksiat dilakukan, maka hilanglah peranan utamanya iaitu untuk memahami dan mengenali ALLAH serta beribadah kepada-Nya.

Hakikatnya penyakit jiwa adalah suatu penyakit berbahaya yang ramai tidak mengetahuinya. Kerana itu, ramai manusia tidak mengetahui jiwa mereka sakit akibat penyakit yang menghinggapinya.

Dan sekalipun mereka mengetahuinya, adalah susah untuk mereka bersabar menanggung kesakitan merawatnya. Ini kerana penawar penyakit jiwa adalah dengan meninggalkan hal-hal maksiat yang digemari nafsu syahwat.

Ternyata hati dan jiwa manusia adalah pusat segala tindakan yang diambil oleh tubuh badan. Ia juga adalah asas kebahagiaan dan kesengsaraan serta sumber kebaikan atau keburukan seseorang manusia.

Sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging, sekiranya ia baik maka baiklah seluruh tubuh itu, dan jika ia buruk maka akan buruklah tubuh itu: ia adalah hati (jantung)." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam hadis di atas, disebutkan kebaikan amalan seseorang adalah kerana baik hatinya (jantung). Keburukan amalannya juga disebabkan buruk hatinya. Hati yang baik adalah hati yang sihat; dan tidak akan bermanfaat di sisi ALLAH selain daripadanya.

Terdapat tiga jenis hati manusia:

Jenis pertama: Hati yang bersih dan bebas daripada segala penyakit serta derita. Ia adalah hati yang tidak ada melainkan cinta kepada ALLAH dan takut kepada-Nya di samping takut daripada segala yang boleh menjauhkan dirinya daripada-Nya.

Jenis kedua: Hati yang keras tidak bernyawa yang tidak mengenali Tuhan-Nya dan tidak menyembah-Nya. Ia hati yang sentiasa tunduk kepada kemahuan syahwat dan keseronokan walaupun ia boleh mengundang kemurkaan ALLAH serta kemarahan-Nya. Ia tidak menghiraukan kata-kata teguran dan nasihat sebaliknya, sentiasa mengikut bisikan syaitan.

Jenis ketiga: Hati yang sakit. Ia bernyawa tetapi berpenyakit. Maka hati yang pertama adalah hati yang ada kesedaran, lembut dan suci. Adapun hati yang kedua adalah hati yang kering dan mati. Hati yang ketiga ialah hati yang sakit jika bukan tenat.

Perlu kita tahu, hidup mati hati dan jiwa kembali kepada sebab-sebab tertentu yang dilakukan oleh manusia itu sendiri.

Antara sebab hati menjadi bersih dan bernyawa adalah dengan kembali kepada ALLAH dengan membaca al-Quran dan menghayatinya di samping sentiasa berzikir mengingati ALLAH.

Khusyuk kepada allah

Begitulah hati orang beriman. Mereka sentiasa mengingati ALLAH; berzikir, berdoa dan membaca al-Quran. Hasilnya, hati mereka menjadi tenang tenteram penuh khusyuk.

Antara sebab kekal sucinya hati adalah berdamping, bergaul dan mencontohi orang-orang soleh. Mendengar ceramah dan tazkirah di samping menjaga solat fardu berjemaah dan solat Jumaat adalah antara makanan hati untuk kekal suci.

Sebab mengapa hati menjadi kotor dan tidak bernyawa adalah kerana berpalingnya ia daripada kebenaran sesudah ia mengetahuinya.

Akhirnya hati itu tersimpul, tertutup dan orangnya tidak memperoleh manfaat daripada hatinya kerana dia berpaling daripada kebenaran serta reda dengan kesesatan. Sehingga kesesatan menjadi makanan hatinya.

Semoga ALLAH melindungi kita daripada kesesatan dan kegelapan. Mengapa hati menjadi sakit dan berpenyakit adalah kerana orangnya menjamah makanan minuman yang haram. Makanan yang haram akan menumbuhkan darah daging yang haram.

Betapa banyaknya perkara haram yang tersebar pada zaman kita sekarang sehingga menyebabkan hati menjadi keras dan busuk sekali gus merosakkan tingkah laku dan akhlak manusia.

Perkara maksiat juga boleh menyebabkan hati menjadi rosak. Dalam hadis disebutkan, seorang hamba apabila melakukan satu dosa, ia akan menyebabkan satu titik hitam pada hatinya. Jika dia bertaubat hilanglah titik hitam itu. Jika tidak, maka titik hitam akan terus bertambah dan bertambah sehingga hati itu menjadi hitam sepenuhnya.

Rosak jiwa

Nyanyian muzik melalaikan yang kini tersebar luas di serata tempat antara sebab rosaknya jiwa manusia. Kesannya dapat kita lihat pada buruk tingkah laku golongan muda-mudi hari ini, bahkan juga pada sebahagian mereka yang sudah berumur.

Melihat perkara haram juga akan menodai kebersihan jiwa. Kerana itu ALLAH berfirman: "Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada melihat yang haram), dan memelihara kehormatan mereka...Dan katakanlah kepada wanita yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada melihat yang haram), dan memelihara kehormatan mereka." (Surah Al-Nuur: 30-31)

Realitinya, tidak ada kesembuhan buat jiwa yang kotor dan berpenyakit kecuali dengan mengambil penawar yang diturunkan ALLAH dalam kitab dan Sunnah Nabi-Nya. Semoga ALLAH memelihara hati dan jiwa kita daripada segala dosa dan noda. Ustaz Idris Sulaiman Sinar Harian Rehal 2 Oktober 2015

Ambil tanpa izin pemilik

DALAM perjalanan ke tempat kerja atau ke mana sahaja, setiap kali melalui jalan raya, mata pasti tertumpu kepada pokok-pokok yang ditanam oleh pihak majlis perbandaran (sebagai contoh) sebagai perhiasan landskap atau untuk menjadikan kawasan itu redup daripada sinar mentari.

Tanaman seperti pokok mangga, pokok kelapa pandan, pokok asam jawa dan banyak lagi pastinya akan berbuah sekali gus menarik perhatian mata yang melihat.

Berbicara perihal ini, terfikir juga adakah tangan yang mengambil buah itu mindanya ligat memikirkan boleh atau tidak buah tersebut dimakan lantas menjadi darah daging?

Apakah hukum mengambil, memakan atau menjual harta awam itu sedangkan ia bukan hak kita.

Tanaman itu ditanam oleh perbandaran, adakah ia wakaf atau kita boleh ambil? Perlukah juga kita meminta izin terlebih dahulu? Kalau dijual adakah hasil jualan itu kita boleh guna atau perlu kembalikan kepada pihak sepatutnya.

Sebab ia ditanam

Rehal mendapatkan penjelasan daripada Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Antarabangsa Madinah (Mediu), Prof Madya Dr Usman Jakfar bagi merungkai permasalahan ini.

"Harta yang seperti ini hukumnya mengikut kepada maksud daripada penanamannya. Jika dimaksudkan untuk perhiasan atau menjadikan kawasan itu redup atau maksud yang lain, kemudian maksud tadi akan hilang jika ada orang yang mengambil, memakan, menjual atau melakukan apa-apa sahaja tindakan terhadap tanaman tersebut, maka hukum mengambil, memakan atau menjualnya adalah haram.

"Dalilnya adalah kaedah fiqah al-umuru bil muqasidiha yang bermaksud semua masalah itu hukumnya mengikut kepada maksudnya. Lebih-lebih lagi jika pihak perbandaran menetapkan hukuman bagi orang yang mengambil, memakan atau menjual pokok atau buah daripada tanaman tersebut," katanya.

Menurutnya, jika ada individu yang ingin mengambil, memakannya atau menjual, maka dia wajib mendapatkan izin terlebih dahulu daripada pihak perbandaran.          

Usman menambah, akan tetapi keadaannya boleh berubah jika pihak perbandaran memaksudkan tanaman ini adalah untuk diwakafkan kepada orang awam, maka mengambil, memakan atau menjualnya adalah halal. Kesimpulannya dikembalikan kepada "maksud penanaman tanaman tersebut".

Di kampung contohnya, sudah menjadi santapan mata apabila melihat haiwan ternakan dilepas oleh tuannya untuk mencari makanan sendiri, pastinya haiwan tersebut sama ada lembu atau kambing akan meragut rumput atau tanaman orang tanpa meminta, selepas itu haiwan itu disembelih dan dimakan, ada juga yang dibuat korban dan akikah.

Wajib bayar

Usman menjelaskan pemilik haiwan ternakan tersebut wajib membayar kadar harga tanaman orang lain yang dimakan haiwan ternakannya. Kecuali jika pemilik tanaman atau ladang itu mengizinkan.

"Keputusan daripada permasalahan di atas adalah pemilik kambing harus memperbaiki kebun yang rosak sehingga menjadi seperti sediakala yakni sebelum dirosakkan oleh kambingnya. Dia juga harus menyerahkan kambing-kambingnya kepada pemilik kebun, tapi hanya sementara.

"Selama pemilik kambing memperbaiki kebun, pemilik kebun perlu menjaga kambing tersebut dengan baik. Ia berhak memperoleh hasilnya, seperti bulunya, susunya, dan anaknya.


"Setelah kebun tersebut selesai dibaiki, kebun itu perlu diserahkan kepada pemiliknya. Kambing juga perlu dikembalikan ke pemilik asalnya. Dengan demikian, tidak ada pihak yang dirugikan. Masing-masing memperoleh kembali hak milik seperti sebelum ini," katanya lagi.


Buat sementara waktu, pemilik haiwan ternakan yang haiwan ternakannya akan dijadikan ibadah korban atau akikah perlu  menunggu sementara waktu sehingga pemilik haiwan ternakan itu membayar kadar harga tanaman orang lain yang dimakannya.  
       

Minta izin tuannya

Ramai bertanyakan mengenai apakah yang perlu dilakukan sekiranya berdepan dengan permasalahan mengenai tanaman yang ditanam dan dahannya yang berbuah masuk ke kawasan kebun orang lain dan orang itu mengambil buah tersebut tanpa meminta, adakah buah itu telah menjadi haknya?

Usman menjelaskan lagi, tidak, buah itu belum menjadi miliknya kecuali setelah mendapatkan izin daripada tuan punya buah itu. Adapun dahan pokoknya yang masuk ke kawasan kebun atau halaman rumah kita, maka dahan itu wajib dipotong oleh pemilik pokok itu.

"Mengambil harta orang lain sama ada harta milik peribadi atau awam bahananya sangat besar, terlebih-lebih lagi jika harta awam. ALLAH SWT melarang kita memakan harta orang lain dengan cara yang tidak halal. ALLAH berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil." (Surah An-Nisa': 29)

Al-Imam al-Alusi yang mengatakan: "Perkataan yang dimaksudkan 'makan' di sini adalah segala bentuk tindakan, baik mengambil atau menguasai." (Tafsir Al-Alusi)

Rasulullah SAW juga bersabda: "Barang siapa merampas hak seorang Muslim dengan sumpahnya, maka ALLAH mewajibkan dia masuk neraka dan mengharamkan baginya syurga." Maka salah seorang bertanya: "Meskipun sedikit, wahai Rasulullah?" Rasulullah SAW menjelaskan: "Memakan harta orang lain juga menjadi asbab doa tidak diterima oleh ALLAH."

Kemudian Rasulullah SAW menyebutkan seseorang yang berjalan jauh, rambutnya kusut dan pakaiannya berdebu. Dia mengangkat tangannya ke langit berdoa: "Ya Rabb, Ya Rabb, sementara makanannya haram, minumnya haram dan pakaiannya haram dan ia dibesarkan dengan harta-harta yang haram, bagaimana ALLAH mengabulkan doanya?" (Riwayat Muslim)

"Fahamilah hadis dan kenyataan yang diucapkan oleh Baginda SAW mengenai bahana mengambil harta orang lain tanpa keizinan individu berkenaan. Jika si polan itu mengizinkan dan meredainya tidak mengapa," kata anak kelahiran Indonesia ini.

Kerana sebiji epal

Terdapat satu kisah yang boleh menjadi teladan kepada semua umat ISLAM mengenai hikmah mendapat keizinan daripada tuan punya barang. Cerita perihal epal yang terjatuh daripada pokok di seberang sungai, lalu epal itu dihanyutkan arus sungai dan dijumpai seorang pemuda, kemudiannya pemuda itu memakan epal itu tanpa mendapat izin daripada tuan punya buah epal itu. Dengan tiba-tiba terbit di hati pemuda itu untuk mencari gerangan pemilik pokok epal itu.

Pemuda itu berjalan dan terus berjalan sehinggalah menjumpai tuan punya pokok epal itu. Lihatlah, betapa jujurnya dan mulianya sifat pemuda itu. Daripada pemuda itu lahirlah Syeikh Abdul Qadir Jailani, ulama yang terkenal dengan kepintaran dan alimnya.

Usman berpendapat, ibu bapa sekalian perlu meneladani kisah berkenaan, bukan sekadar meneladani malah menghayati dan mempraktikkan dalam proses mendidik zuriat.
Antara teladan yang boleh diambil daripada kisah berkenaan adalah:-

1. Kita perlu memastikan setiap yang kita makan atau minum adalah halal dan suci (halalaltoyyiban), walaupun sedikit cuma makanan atau minuman tersebut, tetapi ia tetap akan menjadi darah sekali gus menjadi daging membentuk tubuh badan.

2. Kita juga perlu mendidik diri supaya sentiasa menepati janji yang telah disepakati.

3. Yakinlah bahawa saat kita berusaha untuk memastikan makanan yang kita makan adalah halal dan kita menepati janji yang telah kita sepakati, maka ALLAH akan memberikan balasan yang terbaik untuk kita, anak-anak dan keturunan kita.