October 9th, 2015

Khutbah Jumaat: “Ajaran Sesat Millah Abraham @ Ibrahim”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 09 Oktober 2015: JAIS

“Ajaran Sesat Millah Abraham @ Ibrahim”

Ajaran Millah Abraham adalah salah satu daripada ajaran sesat di Negeri Selangor yang berasal dari Bogor, Indonesia. Mereka mendakwa ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah berakhir sejak kejatuhan kerajaan Islam pada tahun 1324H. Mendakwa ajaran Islam seperti yang diamalkan sekarang oleh umat Islam adalah palsu, mendakwa bahawa ulama-ulama dan umat Islam hari ini adalah digolongkan sebagai kaum musyrikin. Pengasasnya bernama Ahmad Musaddeq yang mengaku sebagai rasul baru yang dibangkitkan membaharui ajaran dan membentuk kerajaan Islam yang sebenar.

Modus operandi dan pengajarannya menggunakan al-Quran terjemahan kemudian menafsirkan dengan menggunakan lojik akal mereka semata-mata.

Ajaran Millah Abraham ini disampaikan secara bertahap-tahap. Bermula dengan cara sembunyi-sembunyi, dan sekarang telah masuk ke tahap terang-terangan.

Antara penyelewengan yang dapat dirumuskan adalah seperti berikut:

1. Mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad SAW yang membawa ajaran baru
2. Mereka menghukum golongan yang tidak mengikut ajaran Millah Abraham sebagai golongan yang syirik dan kafir, termasuk ibu bapa mereka, bahkan ulama-ulama muktabar yang terdahulu.
3. Kumpulan ini terlalu taksub hingga sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan dan pasangan suami isteri.
4. Menggabungkan tiga ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Mereka menggunakan kitab Taurat dan Injil disamping al-Quran (terjemahan) sebagai panduan bagi menegakkan agama yang dapat menerangi kehidupan.
5. Meninggalkan solat fadhu lima waktu dan solat Jumaat kerana mereka menafikan kefardhuan solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat.
6. Kumpulan Millah Abraham akan mewajibkan anggotanya membuat bai’ah atau sumpah setia.

“Bahawa fahaman dan ajaran Millah Abraham adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam kerana mengandungi elemen-elemen yang menyesatkan. Justeru mana-mana orang Islam secara individu atau kumpulan adalah dilarang terlibat dengan apa sahaja aktiviti yang ada kaitan dengan ajaran ini atau mana-mana ajaran yang mempunyai persamaan dengannya”. Fatwa ini telah diwarta pada 17 September 2015.

Antara pengajaran yang dapat diambil daripada khutbah ini adalah;

1. Umat Islam hendaklah yakin bahawa Nabi Muhammad SAW adalah rasul yang terakhir, maka tidak akan ada lagi rasul selepasnya.
2. Umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada ajaran Millah Abraham dan ajaran-ajaran sesat lain yang telah difatwakan kerana ianya adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.
3. Umat Islam perlu mempunyai ilmu yang mantap bagi mengelak terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng. Ini kerana seseorang yang telah terlibat dan berbai’ah, amat sukar untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.
4. Umat Islam yang terlibat hendaklah segera bertaubat dan meninggalkan ajaran tersebut untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

“(Fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia meyakininya sebgai pekerjaan baik (sama dengan orang yang mendapat petunjuk. Tentu tidak sama). Maka, sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana bersedih terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan”. (Surah Fatir : 8).

Wallahualam. 

Khutbah Jumaat ~ Waspada Dosa Syirik

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat  09 Oktober 2015M / 25 Zulhijjah 1436H. JAWI

Waspada Dosa Syirik

F
irman Allah SWT di dalam surah al-Nisa ayat 48: Bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar."

Secara zat, Allah SWT adalah Tuhan hakiki dan tiada tuhan selain-Nya. Allah SWT bersifat dengan segala sifat-sifat kesempurnaan dan tiada zat lain yang bersekutu dalam kesempurnaan tersebut. Begitu juga af'al (perbuatan) Allah SWT seperti perintah (amr), kehendak (iradah), kuasa (qudrah) dan sebagainya adalah mutlak, tidak terbatas dan tidak memerlukan kepada daya upaya zat yang lain. Inilah ajaran dan kefahaman tauhid yang diseru oleh para nabi dan rasul kepada seluruh manusia dan jin.

Manakala syirik adalah perkara yang bertentangan dan berlawanan dengan ajaran tauhid.

Hadis riwayat al-Bukhari daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bermaksud: “Wahai Muaz, tahukah kamu apakah hak Allah SWT ke atas hamba-Nya dan hak hamba-Nya ke atas Allah SWT? Saya menjawab: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Hak Allah SWT ke atas para hamba-Nya ialah menyembah Allah SWT dan tidak mensyirikkan-Nya. Manakala Hak hamba ke atas Allah SWT ialah tidak mengazab sesiapa yang tidak mensyirikan-Nya dengan sesuatu.”

Syirik menurut para ulama terbahagi kepada dua iaitu syirik akbar (besar) dan syirik asghar (kecil).

Syirik akbar adalah perbuatan yang menghapuskan seluruh amalan kebaikan seseorang Muslim, mengeluarkannya daripada agama Islam dan pelakunya kekal di dalam neraka. Ada pun syirik asghar hanya menghapuskan amalan berkaitan, tidak mengeluarkan pelakunya dari Islam dan pelakunya tidak terancam kekal di neraka.

Syirik asghar mengurangi dan mengotori kesucian tahap tauhid seseorang kepada Allah SWT. Syirik akbar mudah dikesan kerana ia berlaku secara jelas sama ada melalui kepercayaan atau pengamalan anggota tubuh badan. Namun, syirik asghar berlaku tanpa disedari.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Mahmud bin Labid RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: ، ُ ا ْلَأ ْصغَر ف عَلَيْكُ ْم الشِ رْكُ ُ ِإَّ ن َأ ْخوَ َف مَا َأخَا ُ ؟ قَا َل: الرِ يَاء ُ الَْأ ْصغَر مَا الشِ رْكُ َ َّ هِ و سو َل الل ُ َ وا: يَا ر . ُ قَال Bermaksud: “Sesungguhnya yang paling aku takutkan dari apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah syirik asghar (kecil). Sahabat bertanya: Apa yang dimaksudkan dengan syirik asghar? Baginda SAW menjawab: Riyak.”

Termasuk dalam bentuk syirik asghar ialah bersumpah dengan selain Allah SWT. Ada pun syirik asghar yang berbentuk perbuatan (fi'li) adalah seperti mendatangi bomoh, dukun, ahli nujum, tukang ramal dan sebagainya. Syirik asghar turut berlaku dalam perlaksanaan perkara kebaikan seperti bibir berkumat-kamit berzikir kerana manusia, menunjukkan kemarahan terhadap perkara dosa kerana manusia, bersedekah atau menderma kerana manusia dan sebagainya.

Tanpa taubat, segala amal dan usaha pelaku syirik akan berakhir dengan sia-sia. Firman Allah SWT di dalam surah al-Zumar ayat 65:  Bermaksud: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi."

Rumusan daripada khutbah yang disampaikan pada hari ini antaranya ialah:

Pertama: Syirik ialah perbuatan menyekutukan Allah SWT sama ada melalui kepercayaan, perbuatan dan perkataan.

Kedua: Syirik adalah penyelewengan dan kesesatan daripada ajaran tauhid yang diserukan oleh para nabi dan rasul yang diutuskan silih berganti.

Ketiga: Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya yang dibawa sehingga mati. Namun, hamba yang ikhlas bertaubat pasti mendapatkan pengampunan daripada Tuhan Yang Maha Pengampun.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Zumar ayat 53: Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Wallahualam.

Raih untung reda ALLAH

ALLAH SWT berfirman: "Dan ALLAH menghalalkan jual beli iaitu perniagaan (al-Bai') dan mengharamkan riba." (Surah Al-Baqarah: 275).

Tahu halal, haram

Jual beli atau muamalah di pasar malam adalah sebahagian daripada cabang perniagaan. Konsepnya sama sahaja, namun ada sesetengah peniaga yang tidak memandang serius perihal halal dan haram, apa yang patut dan tidak patut dilakukan dalam proses jual beli.

Pendakwah, Dr Mohd Faisol Ibrahim menjelaskan beberapa muamalah di pasar malam yang perlu dielakkan kerana ia boleh menyebabkan akad jual beli terbatal atau sebaliknya.

Peniaga Muslim di pasar malam perlu mematuhi tuntutan syariat dalam berjual beli. Sumber foto: faisaladmar.blogspot.com

"Antaranya, perlu menitik beratkan gharar (ketidakpastian) yang berlaku ke atas harga dan juga akad jual beli antara peniaga dan pelanggan.

Sebagai contoh jika dilihat terdapat peniaga yang tidak meletakkan tanda harga di atas barangan yang dijual atau harga barangan tidak jelas dan terang. Sudah pasti pembelian  barangan terbut akan boleh mewujudkan unsur gharar.

"Peniaga dilarang untuk bersifat spekulasi iaitu mengeluarkan maklumat yang tidak benar dan fakta yang tidak benar bagi melariskan jualan barang. Sebagai contoh peniaga memberitahu harga ikan atau daging akan mahal bermula esok kerana stok ikan dan daging semakin berkurang kesan ekonomi yang meleset.

Spekulasi ini menyebabkan pelanggan berpusu-pusu membeli ikan dan daging daripada peniaga tersebut kerana bimbang harga ikan dan daging akan naik lima kali ganda dari harga semasa.

"Menipu iaitu membohongi pelanggan dengan menyatakan sesuatu yang tidak benar. Peniaga yang menjual barangan yang palsu tetapi dengan harga tinggi kerana mendakwa barangan tersebut original ataupun peniaga mendakwa barangan yang dijual adalah barangan barang baharu, sedangkan barang tersebut sudah lama yang tidak habis dijual," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, ada juga peniaga yang bersikap monopoli (barangan yang dijual oleh seorang peniaga sahaja di pasar malam).

Disebabkan peniaga ini tidak mempunyai pesaing, maka beliau dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga yang tinggi sehingga membebankan pelanggan kerana pelanggan tidak mempunyai pilihan. Keadaan ini akan mewujudkan diskriminasi kepada pelanggan.


Patuh prinsip Islam

Mohd Faisol menyarankan kepada peniaga Muslim sama ada mereka yang ingin atau sedang menjalankan perniagaan pasar malam, beberapa prinsip perniagaan Islam perlu wujud dalam diri mereka agar perniagaan yang dijalankan meraih keuntungan besar dan mendapat reda ALLAH, sekali gus mencapai status falah (berjaya).

"Peniaga perlu mempunyai prinsip ketakwaan, barang yang hendak dijual atau diniaga mestilah halal dan penggunaannya tidak dilarang hukum.

Penjualan barang dan perkhidmatan yang memudaratkan moral dan rohani pengguna Islam ditegah seperti menjual mercun berbahaya, barangan yang cantik tetapi diperbuat daripada khinzir, memasarkan VCD lucah, menjual barang yang dicuri dan sebagainya.

Walaupun sesetengah barang permintaannya tinggi dan keuntungan berlipat kali ganda, namun Islam menegah perkara ini kerana ia akan menjatuhkan moral masyarakat.

"Al-Quran tegas menyatakan pemasaran barangan mestilah bersifat sederhana dan tidak berlebih-lebihan.

Ini kerana kebanyakan peniaga pasar malam akan memasarkan barangan secara besar-besaran bagi mencipta keuntungan berlipat kali ganda sehingga sanggup berhutang dahulu bagi memastikan matlamat ini tercapai tanpa memikirkan risiko jika jualan gagal.

Ada juga peniaga cuba menjual barangan mereka bagi tujuan menunjuk-nunjuk dan mengaibkan orang lain. Situasi ini bertentangan dengan Islam kerana membazir itu amalan syaitan," katanya yang juga pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Menurutnya, digalakkan jika peniaga pasar malam cuba untuk memasarkan barangan berasaskan benda-benda baik atau pun makanan berasaskan sunnah yang dianugerahkan ALLAH seperti air zam-zam, madu lebah, tamar, minyak zaitun, daging kambing, susu segar dan sebagainya.

Ini penting bagi membantu melahirkan warisan masyarakat yang bijak serta mempunyai modal insan berakhlak mulia seperti Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, bahan memabukkan dan berbahaya tidak boleh dijual walaupun cuma sedikit penggunaannya, tetapi jika ia diperlukan pada saat menyelamatkan nyawa maka ia diharuskan.


Islam VS konvensional

Mohd Faisol berkata, cara mudah membezakan peniaga pasar malam bercirikan Islam dengan peniaga bercirikan konvensional ialah konsep memaksimumkan keuntungan.

"Seseorang peniaga pasar malam yang bercirikan Islam akan lebih menitikberatkan memaksimumkan pahala melalui keberkatan keuntungan yang diperoleh. Pelbagai perkara tidak sihat yang dipraktikkan dalam amalan penjualan barang di pasar malam seperti menyembunyikan kos tertentu daripada pelanggan, menipu dan membohongi pelanggan melalui barangan yang ditawarkan, menaikkan harga sesuka hati, memonopoli perniagaan, spekulasi harga barang dan sebagainya lagi perlu dielakkan.

"Konsep siddiq, amanah, tabligh dan fathanah perlu dirangsang dalam jiwa peniaga Muslim di pasar malam  masa kini bagi membezakan peniaga Islam yang berorientasikan syariah dan peniaga konvensional yang bermatlamatkan materialistik, keuntungan dan kepuasan semata-mata," katanya.

Kesimpulannya, peniaga Islam di pasar malam mementingkan barakah dalam peniagaan melalui keuntungan diredai ALLAH berbanding peniaga konvensional di pasar malam yang mementingkan keuntungan yang paling maksimum.


Peniaga di pasar malam mestilah mempunyai ciri-ciri berikut:

- Siddiq (benar). Contohnya peniaga Muslim mesti berani mengakui kelebihan dan kelemahan yang wujud pada produknya,
memberitahu pengguna mengenai kualiti dan standard sesuatu produk dengan tidak ada sebarang perasaan prejudis.

- Amanah (jujur). Amanah yang dimaksudkan di sini adalah amanah kepada Pencipta dengan mengakui perihal harta dan rezeki di dunia ini adalah milik-Nya. Selain itu perkataan amanah ini bermaksud jujur dalam semua perkara.

- Tabligh (menyampaikan sesuatu dengan penuh keikhlasan). Usahawan Muslim perlu menyampaikan maklumat
mengenai produk keluarannya tanpa berasa tergugat dan riak. Pemberian maklumat ini merangkumi kualiti, bahan-bahan, harga barangan, dan sebagainya.

- Fathanah (bijaksana). Dalam erti kata lain bijak dalam menjalankan perniagaan sehingga tidak melalaikan urusan akhirat. Bijaksana di sini juga bermaksud tidak pernah putus asa dan kecewa sebaliknya mempunyai pemikiran yang positif terhadap sesuatu perkara yang berlaku, khususnya yang berkaitan perniagaan.

Mintalah pengampunan Dia Yang Mengasihani

ALLAH SWT memerintahkan hamba-Nya supaya bertaubat kepada-Nya dan beristighfar meminta keampunan atas dosa dilakukan. Sejajar dengan apa yang ALLAH sifatkan Dia sebagai Maha Pengampun (al-Ghaffaar) dalam  al-Quran, Yang Banyak Mengampunkan (al-Ghafuur) dan Yang Mengampunkan dosa-dosa (Ghafir al-Dzanb) di samping pujian yang diberikan kepada mereka yang beristighfar memohon keampunan dosa dengan janji syurga buat mereka.

Ini semua menjadi petanda pentingnya kita beristighfar, kelebihan dan kebergantungan kepadanya. ALLAH menceritakan mengenai nabi-nabi bagaimana mereka beristighfar kepada ALLAH dan bertaubat kepada-Nya.

Disebutkan perihal taubat kedua ibu bapa kita yakni Adam dan Hawa yang berkata:

"Wahai Tuhan, kami telah berlaku zalim atas diri kami dan jika Engkau tidak ampunkan kami dan merahmati kami nescaya kami akan tergolong dalam kalangan mereka yang rugi." (Surah Al-A’raaf: 23)

Nabi Nuh AS pula berkata: "Dan jika Engkau tidak mengampunkan aku dan merahmatiku nescaya aku dalam kalangan mereka yang rugi." (Surah Huud: 47)

Ada pula Nabi Musa AS, baginda pun turut beristighfar:

"Tuhanku, sungguh aku telah menzalimi diriku maka ampunilah aku." (Surah Al-Qasas: 16)

Disebut mengenai Nabi Daud AS: "Beliau telah meminta keampunan Tuhannya lalu dia tunduk rukuk dan kembali (bertaubat)." (Surah Saad: 24)

Adapun junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, ALLAH memerintahkan supaya Baginda SAW: "Beristighfarlah atas dosa engkau dan juga orang yang beriman dalam kalangan lelaki dan perempuan." (Surah Muhammad: 19)


Rahsia istighfar

Dalam hadis qudsi, ALLAH SWT berkata: "Wahai hambaku, sungguh kamu berbuat salah di waktu siang dan malam, dan Aku pula mengampunkan semua dosa-dosa; maka mintalah keampunan-Ku nescaya Aku ampunkan kamu." (Riwayat Muslim)

Amalan beristighfar mendatangkan banyak faedah besar. Antaranya ia menjadi sebab diampunkan dosa dan dihapuskan keburukan serta kejahatan.

Sebagaimana hadis qudsi yang ALLAH berkata: "Mintalah keampunan-Ku nescaya Aku ampunkan kamu." (Riwayat Muslim)

Dalam al-Quran, ALLAH turut berfirman: "Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon keampunan ALLAH, nescaya dia akan mendapati ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Nisaa’: 110)

Dalam hadis qudsi yang lain ALLAH berfirman: "Wahai anak Adam, jika engkau memohon daripada-Ku dan berharap daripada-Ku, Aku akan ampunkan apa yang ada pada engkau tanpa Aku peduli (sebanyak mana pun); Wahai anak Adam, jika dosa engkau sampai ke langit pun lalu engkau minta keampunan-Ku, Aku akan ampunkan engkau." (Riwayat Tirmizi, hasan)

Juga antara faedah beristighfar adalah ia dapat mengelakkan hukuman dan menghindarkan azab. Sebagaimana firman ALLAH: "Tidaklah ALLAH akan mengazab mereka sedangkan mereka beristighfar." (Surah Al-Anfaal: 33)

Istighfar juga menjadi sebab dihilangkan kebimbangan, mendatangkan rezeki dan keluar daripada kesempitan.

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa melazimi istighfar, ALLAH akan datangkan baginya jalan keluar bagi setiap kesempitan, kegembiraan untuk setiap kebimbangan dan diberikan kepadanya rezeki daripada jalan yang tidak disangka-sangkanya."

Amalan beristighfar menjadi sebab turunnya hujan dan harta kekayaan di samping tumbuhnya pokok-pokok dan datangnya air minum.

Firman ALLAH perihal kata-kata Nabi Nuh AS: "Sehingga aku berkata: Pohonkanlah keampunan Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Dia menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu; dan Dia memberi kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia mendatangkan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta sungai-sungai." (Surah Nuuh: 10-12)

Waktu mustajab

Kita dituntut beristighfar pada setiap masa. Meskipun begitu, terdapat juga waktu-waktu mustajab untuk kita beristighfar.

Maka dianjurkan untuk kita beristighfar selepas selesai menunaikan mana-mana ibadah seperti bersolat  sebagai kafarah dan penutup kesalahan serta kekurangan dalam mengerjakan ibadah kita.

Empat kitab imam hadis

PADA siri lepas, saya kongsikan secara ringkas berkenaan dua kitab hadis sahih iaitu Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Kali ini saya akan kongsikan pula baki lagi empat kitab yang dikategorikan sebagai kutub al-sittah iaitu enam kitab yang menjadi rujukan utama dalam hadis.

Sunan Abi Daud

Kitab hadis al-Sunan ini dikarang oleh Imam Abu Daud Sulaiman bin Ishaq al-Azdi al-Sajistani. Dilahirkan pada tahun 202H dan meninggal pada tahun 275H di Basrah.

Beliau merantau ke serata tempat menuntut ilmu pengetahuan sehingga ke Khurasan, Iraq, Syam, Hijaz, Mesir dan Basrah. Antara guru beliau ialah Imam Al-Bukhari dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Kitab sunan Abi Daud ini berada pada kedudukan ketiga selepas Sahih Al-Buhkari dan Sahih Muslim. Dalam kitab al-Sunan ini mengandungi hadis yang dinilai sahih, hasan, daif dan beberapa hadis yang mauduk.

Jumlah hadis yang dikumpulkan sebanyak 5,273 dan ia disusun mengikut topik dalam bab fiqah. Terdapat beberapa kitab yang dikarang sebagai huraian kepada kitab al-Sunan ini. Antara yang terkenal ialah Ma'alim al-Sunan Syarah Sunan Abi Daud dikarang oleh Abu Sulaiman Hamd bin Muhammad Al-Khattabi dan ‘Aun al-Ma’bud dikarang oleh Al-‘Azim Al-Abadi.


Jami’ al-Tirmizi

Menurut Syekh Abdul Fatah Abu Ghuddah dalam bukunya al-Isnan min al-Din, judul penuh kitab ini ialah al-Jami' al-Mukhtasar min al-Sunan ‘an Rasulillah sallallahu ‘alaihi wasallam wa Ma’rifati al-Sahih wa al-Ma’lul wama ‘alaihi al-‘Amal.

Dikarang oleh Imam Abu Isa Muhammad bin Isa bin Saurah Al-Tirmizi. Dilahirkan pada tahun 200H dan meninggal pada tahun 279H. Antara guru beliau ialah Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim. Tetapi beliau tidak meriwayatkan hadis yang beliau dapat daripada Imam Muslim dalam kitab Al-Jami' ini melainkan satu hadis sahaja.

Secara umumnya, kitab Jami' al-Tirmizi ini berada pada kedudukan keempat selepas Sunan Abi Daud. Hadis yang terkandung dalam kitab ini terdiri daripada hadis yang dinilai sahih, hasan, daif dan sedikit hadis yang mauduk.

Hadis dalam kitab ini disusun mengikut bab fiqah dan kebiasaannya Imam Al-Tirmizi akan menyebutkan apakah kedudukan hadis tersebut.

Terdapat beberapa kitab terkenal yang menghuraikan hadis yang disusun oleh Imam Al-Tirmizi ini. Antara yang terkenal ialah Aridhat al-Ahwazi lisyarhi al-Tirmizi yang dikarang oleh Ibn al-‘Arabi al-Maliki dan kitab Tuhfat al-Ahwazi bisyarhi Jami’ al-Tirmizi karangan Al-Mubarakfuri.


Imam al-Nasaie

Nama kitab ini ialah al-Mujtaba min al-Sunan. Ia sebenarnya kitab yang diringkaskan oleh Imam Al-Nasaie daripada kitabnya sendiri iaitu al-Sunan al-Kubra. Ia dilakukan atas permintaan pemerintah Al-Ramlah di Palestin, selepas Imam Al-Nasaie menunjukkan kitabnya yang asal kepada beliau.

Nama penuh Imam Al-Nasaie ialah Abu Abdul Rahman Ahmad bin Syuaib Al-Nasaie. Dilahirkan di bandar Nasa di Khurasan pada tahun 215H. Semenjak kecil lagi beliau mengembara ke serata tempat seperti Khurasan, Iraq, Syam, Hijaz, Mesir dan al-Jazirah demi menuntut ilmu. Meninggal dunia pada tahun 303H di bandar al-Ramlah, Palestin.

Mengikut kiraan Syekh Abdul Fatah Abu Ghuddah, jumlah hadis dalam Sunan Al-Nasaie ialah 5761H. Ia juga disusun mengikut bab fiqah. Hadisnya terdiri daripada hadis yang dinilai sahih, hasan dan sedikit yang daif. Secara keseluruhannya, Sunan Al-Nasaie Al-Mujtaba berada pada kedudukan kelima selepas Jami’ Al-Tirmizi.

Antara karya terkenal yang menghuraikan kitab ini ialah Zahru al-Ruba ‘ala al-Mujtaba yang dikarang oleh Imam Al-Suyuti dan Syarh al-Sindi oleh Syeikh Al-‘Allamah Abi Al-Hasan Muhammad bin Abdul Hadi Al-Hanafi.


Sunan Ibn Majah

Sunan Ibn Majah adalah hasil karya Imam Abu Abdillah Muhammad bin Yazid bin Majah al-Qazwaini. Lebih terkenal dengan nama Ibn Majah. Dilahirkan pada tahun 209H dan meninggal pada tahun 273H.

Seperti imam hadis yang lain, Ibn Majah juga menjalani pengembaraan ilmunya yang tersendiri. Beliau menjelajah ke Iraq, Hijaz, Syam, Mesir, Kufah, Basrah dan lain-lain lagi.

Terdapat sebahagian ulama yang tidak memasukkan Sunan Ibn Majah dalam senarai kitab utama hadis. Namun, sebahagian yang lain memasukkannya sebagai kitab yang keenam.

Paling awal dilakukan oleh Al-Hafiz Abu Al-Fadhl Muhammad bin Tahir Al-Maqdisi dan kemudian diikuti oleh ulama yang lain. Jadi, secara umumnya, Sunan Ibn Majah dikategorikan sebagai kitab keenam dalam enam kitab hadis yang utama.

Imam Ibn Majah mengumpulkan sebanyak 4341 hadis dalam kitabnya. Ia disusun mengikut kitab (topik) dan dipecahkan pula kepada bab (sub topik). Hadis ini disusun mengikut bab fiqah.

Hadis dalam Sunan Ibn Majah terdiri daripada hadis sahih, hasan, daif dan juga sebahagian hadis munkar dan mauduk. Bahkan, hadis daif yang terkandung dalam Sunan Ibn Majah lebih banyak berbanding kitab sunan yang lain.

Antara karya terkenal yang menghuraikan hadis dalam Sunan Ibn Majah ialah Misbah al-Zujajah ‘ala Sunan Ibn Majah oleh Imam al-Suyuti.


Karya lain

Selain enam kitab yang utama ini, terdapat juga beberapa karya lain yang turut menjadi rujukan asas dalam hadis. Contohnya seperti Kitab Al-Muwatta' oleh Imam Malik, Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, Sahih Ibn Khuzaimah dan lain-lain lagi.

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa imam-imam ini memasukkan hadis-hadis daif dan mauduk dalam kitab mereka? Adakah mereka ingin menyebarkan hadis yang lemah dan palsu? Adakah mereka tidak tahu yang hadis tersebut lemah dan palsu?

Ringkasnya, bagi mendapat gambaran umum mengenai persoalan ini kita perlu tahu, dalam ilmu hadis terdapat satu kaedah terkenal yang menyebut "sesiapa yang sudah menjelaskan sanad riwayatnya, maka dia berlepas diri".

Jadi, semua imam ini tidak memasukkan sesuatu hadis dalam kitab mereka, melainkan dengan dinyatakan sanadnya secara lengkap (dinyatakan silsilah periwayat).  Justeru, apabila dibentangkan siapakah periwayat yang ada dalam sanad tersebut, pembaca dapat mengetahui dan menilai sendiri bagaimana kedudukan riwayat tersebut.

Namun, bagi kita di zaman terkemudian ini pula, perkara ini menjadi lebih mudah kerana hadis dalam kitab sunan ini telah pun disemak dan dinilai oleh ulama hadis. Setiap hadis yang terkandung dalamnya akan dinyatakan apakah kedudukannya sama ada sahih, hasan, daif atau pun mauduk.

Semoga sedikit maklumat asas mengenai kitab utama hadis ini dapat membantu kita dalam mengetahui apakah sumber utama dalam hadis.

Apabila kita sudah tahu, diharapkan dapat dipupuk pula semangat untuk mempelajari, mengamalkan dan mempertahankan kesucian sunnah Rasulullah SAW daripada dicemari oleh perkara bidaah, khurafat dan sebagainya.

Kompas timbal baik, buruk

MANUSIA dan akal tidak dapat dipisahkan. Akal adalah syarat bagi manusia itu dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan perintah ALLAH SWT.

Jika seorang manusia mempunyai masalah kekurangan akal disebabkan faktor genetik atau kerana kemalangan, maka kewajipan yang diperintahkan ke atasnya misalnya solat, mencari nafkah, membayar zakat, berpuasa, menguruskan harta dan lain-lain tanggungjawab dikecualikan.

Pertarungan manusia terhadap menilai baik dan buruk yang datang daripada akal pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW. Kisah ini diceritakan sendiri oleh Khalifah Umar Al-Khattab RH: "Kebiasaan bagi setiap rumah orang musyrik di Makkah pada waktu itu ialah adanya 'tuhan' dalam rumah kami.



Pada suatu hari, aku berasa lapar dan hanya ada kurma di rumahku. Saat itu kurma di dapur habis dan hanya yang ada pada tuhanku aku telah mengambil kurma yang dibentuk menjadi berhala yang aku mengakui ia tuhanku, lalu aku makan sebutir kurma daripada berhala yang aku sembah.

Kerana perutku lapar, maka aku makan sedikit demi sedikit, bermula dari matanya hinggalah hampir hilang tuhan dalam bentuk berhala yang aku sembah."

Saat Umar menceritakan kisahnya kepada sahabat lain, hanya deraian tawa kedengaran. Umar ketawakan kejahilan dirinya yang pada masa itu membentuk tuhan daripada kurma dan itulah hasil tuhan musyrik yang berpandukan akal.


Sejak dahulu lagi

Pendakwah, Ustazah Shadiya Abbas berkata, peristiwa mengenai akal telah dijadikan sebagai hujah untuk memesongkan manusia sudah berlaku sejak ALLAH menciptakan Nabi Adam AS lagi.

"Dalam banyak-banyak kisah nabi, terdapat satu kisah nabi yang agak popular iaitu zaman Nabi Idris AS yang juga dikenali sebagai manusia pertama yang pandai menulis dan menenun pakaian.

"Diceritakan oleh Profesor Abu Ishaq Al-Asfaraini dalam kitabnya Al-Tartib fi Usul al-Fiqh bahawa pada suatu hari Nabi Idris duduk berehat dalam rumahnya sambil menenun dan menjahit baju. Ketika itu datang seorang lelaki dan kelihatan dirinya seorang yang banyak ilmu pengalaman serta ibadah. Berlakulah dialog di antara mereka;

Lelaki : "Wahai Idris, bukankah Tuhanmu ALLAH berkuasa melakukan apa sahaja."

Nabi Idris: "Ya, Tuhanku ALLAH Maha Berkuasa melakukan mengikut kehendak-Nya."

Lelaki: "Jika demikian, mampukah Tuhanmu menjadikan dunia sebesar ini (sambil di tangannnya memegang sebutir telur) dan memasukkannya ke dalam lubang jarum yang kau sedang pegang itu?"

Nabi Idris: "Sesungguhnya ALLAH Maha Berkuasa menjadikan dunia sebesar telur yang engkau gambarkan tadi dan mengeluarkannya daripada lubang jarum yang sedang aku pegang ini."

 "Sepantas kilat Nabi Idris mencucuk sebelah mata lelaki tadi hingga menyebabkan lelaki itu menjerit-jerit kesakitan sekali gus melarikan diri. Rupa-rupanya lelaki tersebut ialah Iblis laknatullah yang datang untuk menyesatkan manusia. Itulah juga 'buah tangan' istimewa daripada Nabi Idris yang telah membutakan sebelah mata Iblis hingga buta sampai hari kiamat," kongsinya kepada Rehal.

Berdasarkan kisah di atas, Shadiya mengulas perihal iktibar yang boleh diambil. Lihat bagaimana Nabi Idris menjawab pertanyaan berunsur logik yang dikemukakan oleh Iblis.

Nabi Idris bukan sahaja memberi jawapan yang ringkas, malah bertindak memberi peringatan kepada Iblis agar tidak menyesatkan manusia dengan tipu dayanya yang halus terutama menggunakan hujah akal dalam menggambarkan sunnatullah. Dan, seorang utusan ALLAH pastilah sangat mengenali ciri-ciri musuh seperti Iblis yang melontarkan pertanyaan bukan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH tetapi dengan tujuan menjauhkan diri daripada melaksanakan ketaatan sebagai seorang hamba-Nya.


Kebesaran ALLAH

Shadiya mengatakan, sebagai seorang jurulatih motivasi, beliau pernah ditanya dengan soalan begini oleh peserta remaja semasa sesi soal jawab akidah.         

"SAYA menyatakan jawapan itu dan bermula dengan memerhatikan tanda-tanda kebesaran yang ALLAH ciptakan kepada diri kita. Mari kita mulakan pencarian jawapan logik yang dilontarkan Iblis kepada Nabi Idris iaitu: "Mampukah ALLAH menjadikan dunia sebesar sebiji telur dan memasukkannya ke dalam lubang jarum?"

"Mampu," jawab remaja tersebut dengan muka yang agak yakin.

"Buktikan!" saya memancingnya untuk terus memberi jawapan.

"Memanglah kalau nak fikir logik atau tak, pastilah tak logik. Tetapi saya yakin ALLAH mampu lakukan. Cuma saya tak tahu nak bagi jawapan yang tepat." Keyakinan pada wajah remaja tadi sedikit luntur apabila dia gagal membawakan bukti.

"Tuan ada bukti itu. Lihatlah sekeliling," peserta remaja memandang kiri dan kanan. Ada yang senyum ada yang mengangguk-angguk tidak kurang ada yang masih terpinga-pinga.

“Siapa yang suka selfie?" sekali lagi saya memancing jawapan.

Masing-masing tersenyum. Kedengaran suara nakal mengatakan biar selfie jangan selfish.

 "Bagaimana kita yang besar-besar ini bergambar beramai-ramai dan boleh dipotretkan dalam skrin telefon pintar yang kecil?." Semua peserta remaja diam. Saya kira itu respons yang baik kerana saya nampak wajah mereka sedang mencari jawapan tambahan kepada soalan logik Iblis.

"Bagaimana bumi yang besar boleh dilihat dengan mata kita yang kecil bahkan pelayar seperti Ibnu Battutah melakarkan dunia yang luas ini menggunakan mata pena bulu ayam di atas sehelai kertas? Bumi ini bukan sahaja besar tetapi seluas mata memandang, namun ia berjaya dilakarkan sehingga disebut peta pada hari ini," katanya.

ALLAH berfirman: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi serta peralihan malam dan siang ada tanda-tanda (kebesaran ALLAH) bagi orang yang berakal. Iaitu yang menyebut nama ALLAH semasa berdiri dan duduk, juga semasa berbaring dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi seraya berkata: "Ya Tuhan Kami, tidaklah Engkau jadikan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa api neraka." (Surah Al-‘Imran:  190-191)
Saring maklumat

Shadiya menambah, cabaran pada akhir zaman khasnya buat remaja lebih besar pada hari ini. Akses kepada kunci kefahaman beragama lebih mudah dan terlalu banyak hingga perlu disaring agar dapat digunakan dengan betul misalnya penggunaan hadis yang diperoleh melalui carian internet.

"Itulah sebabnya tidak hairan, remaja pada hari ini lebih lantang bersuara mengenai pandangan mereka terhadap agama dan bebas menyokong atau menyelar hal-hal keagamaan yang hakikatnya mereka belum benar hadam untuk memahaminya.

"Maknanya untuk kita memberi vitamin kepada akal dan minda, kita mestilah dengan jalan mengaji, mengulang kaji dan bergaul dengan orang yang sihat akalnya. Dengan itu, barulah akal puas dan memahami hikmah di sebalik ketetapan ALLAH, jiwa dan diri berasa indah meniti kehidupan dengan hidup bertuhankan ALLAH.

 "Indahnya hidup bersama ALLAH akan dirasai apabila kita memahami ayat al-Quran melalui lisan Nabi SAW dan ulama. Misalnya dalam masalah rambut perempuan, adakah aurat atau tidak?," ulasnya lanjut.

Menurutnya, memang dalam al-Quran, tidak dinyatakan secara khusus dengan sebutan sya'run yang bermaksud rambut bagi merujuk aurat wanita tetapi ALLAH menyatakan secara umum yang dapat difahami oleh akal yang sihat bahawa aurat bagi wanita adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Jadi, perlulah difahami di sini, menutup aurat bukan sekadar menutup rambut tetapi ia menutup ruang-ruang kerosakan sama hal yang ditetapkan kepada kaum lelaki agar menutup aurat.

Paling mudah difahami, hidangkan kepada seorang pelanggan makanan yang ditutup penuh, yang ditutup separuh dan yang tak ditutup langsung. Apakah pilihan pelanggan yang sihat akalnya? Mintalah fatwa daripada hati kita untuk menentukan waraskah kita atau sebaliknya.


Beza manusia, makhluk lain

"ALLAH mengurniakan akal buat manusia sebagai kurniaan besar yang menyebabkan kita menjadi makhluk yang berbeza dengan malaikat, iblis dan tentera-tenteranya serta haiwan.

"Akal adalah kompas dalam menimbangkan buruk dan baik, manakala Iman adalah kayu ukur yang memandu akal untuk menyaring buruk dan baik kepada dosa dan pahala.

 "Beza antara orang beriman dan yang tidak beriman sudah dapat dilihat melalui akalnya. Permulaan ukuran seseorang itu berakal atau tidak, dinilai dengan tindakannya membezakan perkara yang paling asas seperti beza masam dan manis, pahit dan tawar atau hitam dan putih," katanya lagi.

Menurut Shadiya, apabila seorang kanak-kanak sudah mencapai tahap ini maka dia dipanggil sebagai mumaiyiz manakala tahap kedua mumaiyiz ialah baligh yang akan dicapai oleh seorang remaja sebelum menempuh alam dewasa.

Islam memberikan panduan iaitu al-Quran dan hadis, rasul dan ulama sebagai talian hayat kepada umat Islam untuk menempuh perjalanan yang sukar apatah lagi kita berada di hujung usia dunia.

Akal sifatnya terbatas. Akal kita terhad untuk memikirkan perkara yang kecil seperti bagaimana sebatang jarum jahit yang dicucuk ke mata Iblis boleh menyebabkannya buta hingga hari kiamat? Fikir-fikirkan.