October 11th, 2015

Jadikan sukan amalan hidup seharian

SEORANG ahli sukan veteran yang pernah memenangi pingat Sukan SEAP ketika ditemui penulis pada satu pagi di sekitar Shah Alam baru-baru ini berkata, sekali beliau menjadi ahli sukan sehingga ke hujung nyawa, mulut dan fikiran akan bercerita dan berfikir tentang sukan.

Dalam usia 79 tahun, Pak Shaharudin Jaffar yang tinggal di Seksyen 8 itu kelihatan rancak membicarakan tentang dunia sukan negara yang semakin hilang auranya disebabkan kemerosotan beberapa sukan yang pernah mengecap kejayaan hingga ke Sukan Olimpik dan peringkat Asia.

Namun pada pertemuan tersebut Shaharudin berkata, sukan sepatutnya menjadi sebahagian agenda kehidupan yang perlu menjadi aktiviti seharian bukan sekadar suka-suka dan melepaskan batok di tangga.


GALAKKAN anak-anak untuk melakukan pelbagai aktiviti sukan di padang-padang awam dan jangan disekat mereka dengan mengenakan kadar bayaran sewa yang tidak munasabah. GAMBAR HIASAN

Sukan pada dirinya yang dahulunya ialah jaguh lumba basikal negara, perlu dijadikan kewajipan dalam hidup sebagaimana kita melaksanakan amal dan ibadah.

Jika sukan dijadikan amalan, maka hasrat mewujudkan satu murid satu sukan akan lebih berjaya di negara ini. Hari ini, padang-padang awam sudah berkurangan disebabkan himpitan pembangunan, kalau ada pun padang, ia kosong tanpa sebarang aktiviti.

Tidak kira di waktu jerebu mahupun pada hari-hari biasa. Sepatutnya padang-padang sedia ada di sekolah dijadikan medan untuk anak-anak kita ditemani ibu bapa untuk bersenam dan me­ngadakan aktiviti sukan.

Kata Shaharudin lagi, biarlah padang dipenuhi anak-anak kita berlumba lari jarak dekat dan bermain bola jangan disekat mereka dengan bayaran sewa padang yang tidak munasabah.

Sempena Hari Sukan Negara hari ini, sewajarnya sukan dijadikan aktiviti hari-hari bukannya terhad pada tarikh tersebut semata-mata. Bersukan bukanlah aktiviti yang asing bagi mereka yang mementingkan kesihatan. Dengan bersukan, kekuatan fizikal dapat ditingkatkan malah dalam al-Quran turut menggalakkan umat Islam untuk mempersiapkan kekuatan fizikal bagi menghadapi musuh-musuh Allah.

Selain itu, terdapat hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Allah lebih menyukai mukmin yang kuat daripada mukmin yang lemah. Malah terdapat juga hadis Rasulullah SAW yang menggalakkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka berenang, memanah dan menunggang kuda. Islam pada hakikatnya sangat menitik beratkan pembentukan jasmani yang sihat sejak kecil lagi.

Justeru, bersukan amat pen­ting dalam kehidupan seorang muslim. Walau bagaimanapun, terdapat syarat-syarat tertentu yang digariskan oleh Islam supaya tidak melanggar batas-batas syarak ketika bersukan.

Pertama, setiap perbuatan yang dilakukan hendaklah diniatkan ikhlas kerana Allah demi menjaga nikmat kesihatan yang dikurniakan Allah. Selain itu, aktiviti sukan yang diadakan tidak boleh melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan. Begitu juga dengan batasan aurat yang perlu dijaga antara mereka melalui cara pemakaian yang sesuai dan pergaulan.

Malangnya, kebelakangan ini umat Islam yang terdiri daripada golongan atlet mahupun orang awam sendiri tidak menghayati dan mempraktikkan nilai-nilai Islam ketika bersukan. Sebagai contoh mereka masih mengenakan pakaian yang mendedahkan aurat. Sesungguhnya bersukan itu bukanlah perkara yang salah kerana membantu menyihatkan tubuh.

Kita pun biasa mendengar lagu di corong radio yang asyik membicarakan tentang sakit cinta, sedangkan jarang lagu cinta yang mengandungi saranan agar kita menjadi sihat mahupun menyebut perkataan sihat dilagukan.

Oleh itu, jadikan sukan sebagai kewajipan kita kerana ia memberi banyak manfaat dalam segala aspek kehidupan. Hanya orang sihat badannya akan berfikiran positif di dalam kehidupan. Hanya orang sihat dan rajin bersukan mampu lebih empati dengan masalah orang lain dengan minda sedar dan fizikal yang cergas sepanjang masa.

Selamat bersukan setiap hari sepanjang usia kita kerana satu hari tanpa sukan mungkin membuka ruang penyakit datang menyapa diri. Berubahlah. Jangan sampai sukan diwajibkan. Hari-hari sukan bukan sehari sahaja.

Petanda kuasai Masjid Al-Aqsa

Suasana tegang sedang melanda Baitulmaqdis. Minggu lalu, polis Israel mengharamkan selama dua hari orang Palestin daripada memasuki Kota Lama di mana terletaknya Masjid al-Aqsa.

Sehari sebelum itu, seorang remaja Palestin ditembak mati oleh polis Israel setelah dia menikam dua orang Yahudi di Kota Lama itu. Beberapa minggu lalu pula, pertempuran berlaku antara polis Israel dan penunjuk perasaan Palestin di sebuah kawasan atas bukit, yang kemudian merebak ke Jericho, Baitulaham, Hebron dan Ramallah. Keadaan itu mendorong mahasiswa Universiti Birzeit untuk mengisytiharkan Hari Kemarahan.

Keadaan tegang ini bermula sebulan lalu apabila terdapat tanda-tanda bahawa Israel akan bertindak mahu menguasai sepenuhnya Haram Sharif meliputi Masjid al-Aqsa. Pada masa ini ia ditadbir oleh kerajaan Jordan dan pihak Israel hanya membenarkan orang Yahudi mengunjunginya tetapi tidak boleh beribadat di situ.

Orang Yahudi pula bukan saja mahu melawat kawasan itu tetapi juga melakukan ibadat kerana mereka menganggap ia tapak Rumah Ibadat Sulaiman atau Temple of Solomon yang pernah wujud pada zaman purba. Dalam tradisi Islam, ia adalah Masjid Nabi Sulaiman yang telah dibina semula sebagai Masjid Al-Aqsa.

Maka menjelang Tahun Baharu Yahudi baru-baru ini, mereka mengunjungi kawasan itu dengan dipimpin oleh seorang rabbi iaitu paderi Yahudi. Mereka datang tanpa memakai kasut bagi menghormati kawasan itu dan rabbi menunjukkan tempat-tempat di mana haram bagi seseorang Yahudi memijaknya menurut agama mereka.

Dalam kalangan orang yang melawat itu ialah Menteri Pertanian Israel, Uri Ariel. Mereka ini semua dikawal oleh polis Israel. Maka keadaan ini menimbulkan curiga dalam kalangan orang Islam. Perbuatan mereka itu dilihat sebagai suatu provokasi Israel untuk akhirnya menguasai Masjid al-Aqsa. Sememangnya orang Yahudi menganggap keseluruhan kawasan itu milik mereka dengan sebahagiannya mempunyai cita-cita bahawa satu hari Rumah Ibadat Sulaiman dapat dibina semula menurut reka bentuk asal.

Keadaan ini melahirkan dua kumpulan iaitu Gerakan Islam dan Murabitat Masjid al-Aqsa untuk mempertahankan kedudukan Masjid al-Aqsa sebagai milik orang Islam. Gerakan Islam dan Murabitat al-Aqsa ini dianggotai oleh warganegara Israel tetapi berbangsa Arab dan beragama Islam. Mereka ini sebenarnya orang Palestin. Tetapi oleh kerana mereka tinggal di wilayah Palestin yang telah menjadi negara Israel, maka mereka dikenali sebagai Arab Israel.

Kumpulan Murabitat al-Aqsa terdiri daripada muslimat. Mereka membawa al-Quran dan melaungkan takbir apabila datang para pengunjung Yahudi ke kawasan Haram Sharif. Kumpulan ini menyatakan bahawa tindakan mereka tidak berbentuk keganasan dan ia merupakan demonstrasi membantah sebarang usaha Israel untuk menguasai Masjid al-Aqsa.

Namun begitu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menganggap mereka sebagai pengganas dan polis Israel bertindak menangkap anggotanya. Akibatnya berlaku pertempuran antara polis Israel dengan orang Palestin. Polis menggunakan peluru getah dan pihak Palestin menggunakan batu. Israel pun mengenakan hukuman lebih berat terhadap mereka yang membaling batu. Banyaklah orang Palestin ditangkap.

Kemuncaknya apabila polis Israel menyerbu Masjid al-Aqsa pada satu subuh dan menghalang orang Islam daripada bersembahyang di situ. Bagaimanapun mereka kemudian membenarkan solat Aidiladha di situ. Tetapi kebenaran untuk sembahyang di situ hanya dihadkan kepada mereka yang berusia lebih 50 tahun. Keadaan ini menimbul lagi kemarahan orang Palestin hinggakan terdapat jangkaan akan berlaku kebangkitan Intifadah ketiga.

Suasana kecewa dalam kalangan orang Palestin sememangnya dirasakan. Impian untuk mewujudkan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka terasa hilang. Sebaliknya lebih banyak tanah Palestin di Tebing Barat diambil oleh Israel untuk dibina penempatan Yahudi. Perjanjian Oslo yang diharap merintis kepada penubuhan negara Palestin ternyata hanya menguatkan kedudukan Israel ke atas wilayah yang dikuasai.

Dalam suasana geopolitik serantau, Israel mendapat kelebihan. Apabila Iran dihalang daripada membangun senjata nuklear, maka Israel muncul sebagai satu-satunya negara di Timur Tengah yang memiliki bom nuklear. Sementara perang di Syria pula menghancurkan satu-satunya negara Arab yang mampu berdepan dengannya secara ketenteraan. Maka dalam suasana ini tidak hairanlah Israel boleh bertindak untuk menguasai sepenuhnya Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.

Dalam negara pula, Israel sudah menjadi lebih kepada sebuah negara Yahudi berbanding pada masa ia mula-mula ditubuhkan dahulu. Walaupun Zionisme merupakan fahaman yang menjanjikan sebuah negara sendiri bagi orang Yahudi, tetapi cita-cita asalnya adalah untuk menubuhkan sebuah negara sekular, demokratik dan pelbagai kaum serta agama. Tetapi kini ia menjadi negara agama Yahudi dan demokrasi hanya untuk satu kaum. Ia jadi eksklusif dan tidak inklusif. Lebih buruk lagi ia jadi negara penjajah dan dipencilkan majoriti negara dunia. Keadaan ini berlaku kerana pada setiap pilihan raya, pengundi memilih parti yang berpandangan lebih melampau. Parti lebih sederhana terus terpinggir.

Maka Israel dilihat bukan saja tidak mahu adanya negara Palestin berdaulat dan merdeka, tetapi tahun demi tahun ia terus menambah penempatan Yahudi di wilayah Palestin hingga mahu menelan kesemua kawasan yang dijajah termasuk Masjid al-Aqsa. Sedangkan pada masa penubuhannya, Baitulmaqdis dan Tebing Barat adalah sebahagian daripada Jordan. Gaza pula adalah sebahagian daripada Mesir. Dari segi wilayah, Israel tidak rugi jika negara Palestin ditubuhkan di Tebing Barat dan Gaza.

Tetapi Israel tidak mahu mengaku wujudnya Palestin. Yang diakuinya hanyalah Pihak Berkuasa Palestin yang bertugas untuk menghalang warganya daripada menyerang Israel seperti yang termaktub dalam Perjanjian Oslo. Maka tidak hairanlah, kini rakyat Palestin berasa kecewa dan gelisah. Suasana ini tercermin dalam ucapan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu. Katanya, pihak Israel telah banyak melanggar perkara-perkara dalam Perjanjian Oslo. Maka, pihak Palestin sudah tidak terikat dengan perjanjian itu.

Namun, apakah yang dapat dilakukan oleh pihak Palestin selain daripada membaling batu?

- Zin Mahmud Utusan Malaysia Rencana Muka 6 11 Oktober 2015 12:20 AM

Pemerintah wajib diterajui orang Melayu Islam

Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Rabu lalu bahawa pemerintahan di negara ini wajib diterajui orang Melayu beragama Islam boleh dilihat sebagai penegasan bahawa tidak ada tempat kepada pemimpin Cina DAP menjadi Perdana Menteri, walaupun pembangkang menang pilihan raya umum.

Jelasnya, ideologi dan teori yang memisahkan ajaran agama dengan politik, ekonomi serta pengurusan masyarakat tidak mampu mengawal gejala fanatisme dan cauvinisme. Penegasannya dibuat bukan atas dasar taksub kepada bangsa atau agama, tetapi berdasarkan sejarah dan atas asas Islam, tegas Hadi.

"Wajib ditegakkan kepemimpinan negara beragama Islam daripada bangsa Melayu. Hanya Islam yang mempunyai roh perhitungan beribadat kepada Allah SWT dalam aspek pemerintahan serta ada perhitungan dosa pahala terhadap segala tindakan kerajaan dapat memimpin masyarakat majmuk dengan adil dan berkebajikan terhadap semua," katanya.


Habih tu sapa di antara depa ni yang tak 'islam' ?


Boleh terima teguran

Andainya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup, beliau juga akan berkata perkara sama. Hanya kerana ada perkataan 'demokratik' pada nama DAP, tidak bermakna parti itu boleh berlaku adil, menjamin kebaikan atau keamanan. "Kita boleh terima teguran, kritikan dan nasihat jika kita buat salah dari segi nas, hadis atau tidak betul dari Qurannya.

Tapi jangan sampai peringkat nak lawan semata-mata turut demokrasi. Ertinya demokrasi sudah bertukar jadi agama." (Baca Kelantan: Universiti Politik Terbuka oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nilam Puri, 1995 hal 145). Semasa hayatnya, beliau cuba mentarbiyah DAP mengenai negara Islam dan hukum hudud, tapi gagal.

Selama menjalinkan hubungan politik lebih 20 tahun, DAP tetap menentang PAS sehingga berpecah Ogos lalu. DAP menolak hudud kerana menganggap hukum Islam yang diasaskan lebih 1,400 tahun lalu tidak boleh diguna dalam negara majmuk seperti Malaysia. Kata Nik Aziz, hujah DAP tak boleh dipakai. "Mereka menolak atas dasar masyarakat Malaysia berbilang bangsa. Mana ada tempat di muka dunia ini tidak majmuk?

Sejak zaman Nabi hingga zaman kita hingga ke Kiamat semakin majmuk. Tuhan buat Melayu, Cina, India, Siam, Arab, malah semuanya daripada Tuhan belaka. Tuhan itu jugalah yang buat langit, bumi Quran dan hukum hudud. Jadi kenapa Cina (DAP) tak boleh terima? Apa sebab mekanik yang sama, nat dan skru yang sama tapi bila hendak pasang tak boleh?"



Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

"Hudud bukan kita yang reka. Kita ambil langkah berhati-hati. Kita bentuk firma, panggil peguam, pensyarah universiti, ulama dan bekas Ketua Hakim Negara buat hudud. Kita minta fatwa daripada Datuk Mufti dan ambil tandatangan Sultan.

Kita dah buat cukup syarat semua sekali. Hudud ni diluluskan oleh sebuah negeri, bukan oleh saya seorang atau oleh tok guru pondok beberapa orang. Tapi masih ditolak mentah-mentah.

Tidak pandai berkawan demo ni. Nampak sangat sifat ego." (hal 57-58, 103-104)," katanya.

Marah pemimpin DAP kutuk Hadi

Nik Aziz juga pasti marah kepada pemimpin DAP yang mengutuk Abdul Hadi selepas berpecahnya Pakatan Rakyat dan bekas pemimpin PAS yang turut menghina serta bersekongkol dalam Pakatan Harapan.

"Yang tak reti Islam cakap Islam memang bahaya. Jangan main benda ni. Jangan kita tertipu seperti budak-budak kecil dengan kereta steamroll, pakat pusing benda itu, pusing benda ini. Ini kerja bahaya. (Jangan) kata pemimpin PAS jahil, tidak beriman atau suka pecah belah. Biarlah kata kat ambo seorang ini jahil. Tapi Ustaz Hadi takkanlah jahil.

Dia mengaji betul benar di universiti... bila kita caci sangat ulama atau tok guru dan agama, akan timbul kelak pandangan lekeh kepada para nabi pula sebab ulama adalah pewaris nabi." (hal 33, 50). Nik Aziz pernah meninggalkan pesan, yang barangkali beliau akan tujukan kepada pemimpin yang buang bai'ah dengan PAS dan ahli yang meninggalkan jemaah untuk masuk Parti Amanah Negara (PAN) jika masih hidup.

"Di zaman kecil, kita main kucing buta. Ambil kain balut muka kita sendiri, mata kita tutup, telinga pun tutup. Nak tengok tak boleh, nak dengar tak boleh, jadi macam mana orang nak berjalan?

Sama ada dia duduk tak boleh pergi ke mana-mana atau dia turut orang. Ke mana saja orang heret dia turut. Turun ke sawah, dia turun ke sawah. Ke jalan raya, dia ke jalan raya. Ke mana saja dia lintang pukang sebab mata, telinganya sudah dibungkus. Seperti inilah orang taksub, ertinya orang yang turut bulat-bulat pemimpin mereka.

"Surat khabar ada sebut orang Melayu masuk DAP. Kenapa ada orang Melayu di pantai barat rela jadi calon DAP? Saya fikir orang Melayu itu sudah tak nampak dan tak peduli halal haram. Masa depan Islam semakin gelap. Orang Islam akan hanya tinggal nama Mamat, Saleh, Timah itu saja. Hati perut mereka sudah kosong daripada semangat Islam." (hal 129).

3 amalan bekalan penghuni syurga

Setiap Mukmin mempunyai impian untuk menjadi penghuni syurga Allah SWT yang digambarkan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Allah telah menjanjikan kepada lelaki dan perempuan yang beriman dengan jannah (taman/syurga) yang mengalir sungai di bawahnya, kekal mereka di dalamnya dan (mendapat) tempat tinggal yang baik di dalam jannati (taman/syurga) 'Adni. Dan keredaan Allah itulah yang lebih besar, itulah kejayaan yang cemerlang." (Surah at-Taubah, ayat 72)

Menerusi program Tarbiah di IKIMfm jam 10.15 pagi, Ustazah Muzayyanah Abdullah memperincikan tiga amalan yang menjadi jambatan untuk seseorang Mukmin menjadi penghuni syurga Allah SWT yang amat indah seperti digambarkan itu.

Pertama, membina hubungan yang akrab dengan Allah SWT melalui solat. Ibadah solat adalah amalan penting dan utama yang dihisab oleh Allah SWT pada saat tibanya hari perhitungan setiap amal baik serta buruk di akhirat nanti.

Amalan tak beri makna jika tak solat

Jika amalan baik seperti sedekah, zakat serta berbuat baik sesama makhluk dilaksanakan, tetapi tidak solat, amalan itu tidak memberi makna kerana solat adalah tiang agama dan bagaimana amalan lain ingin berdiri jika tidak ada tiang tempat bersandar.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna seseorang itu perlu berhenti melakukan amalan kebaikan kerana Allah Maha Pengampun dan berkuasa untuk mengurniakan kefahaman ilmu serta hidayah-Nya yang boleh membuka hati seorang itu menunaikan solat apabila memahami kepentingan serta manfaatnya.

Sabda Rasulullah SAW: "Solat itu akan mencegah daripada sebarang perbuatan yang keji dan mungkar."

Seseorang yang mendirikan solat dan faham suruhan itu pastinya mempunyai akhlak terpuji, malah mereka sentiasa memelihara akhlak setiap masa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadah lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Amalan kedua adalah mengamalkan sunah Rasulullah SAW sebagai jalan bagi seseorang Mukmin menuju seterusnya menjadi penghuni syurga Allah SWT.

Amalan sunah ataupun berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah amalan sangat dituntut oleh Allah SWT. Sesungguhnya bagi seseorang Mukmin ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT, mestilah menurut sunah Rasulullah SAW. Ini bermakna, bagi seorang Mukmin yang menghidupkan sunah, menuruti seruan hadis Baginda akan mendapat keredaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya mengucapkan selawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkanlah selawat ke atasnya (Nabi) dan berikanlah salam dengan sesempurna salam." (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Mukmin yang menghidupkan sunah Baginda pastinya mendapat keberkatan dan syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat nanti.

Jaga hubungan kekeluargaan, jiran dan sahabat

Muzayyanah berkata, amalan ketiga ialah membina silaturahim sesama manusia. Hubungan antara manusia dimulakan dari dalam rumah melalui hubungan kekeluargaan.

Program sukaneka mampu mengeratkan silaturahim


Apabila seseorang Mukmin menjaga hubungan kekeluargaan, mereka akan menjaga hubungan dengan jiran, sahabat serta kawan kerana Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang suka diluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan silaturahim." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Indahnya Islam dan seruan Nabi Muhammad SAW terhadap Mukmin yang memelihara silaturahim diberikan khazanah kebaikan di dunia iaitu dipanjangkan usia serta dimurahkan rezeki.

Ganjaran di akhirat pula, mereka yang menjaga hubungan sesama manusia ganjarannya adalah syurga. Kehidupan Mukmin akan mendapat barakah dunia dan akhirat jika mentaati segala suruhan Allah SWT, menjauhi larangan-Nya dan mencintai sunah Rasulullah SAW.

Mukmin yang memahami tuntutan terhadap dirinya pasti akan memperbaiki diri untuk mencari reda Allah SWT. Berbekalkan amalan dan perbuatan mengikut landasan ajaran agama Islam, mudah-mudahan seorang Mukmin itu akan dipermudahkan laluan di titian sirat dan pada penghujungnya menjadi penghuni syurga Allah SWT yang kekal abadi.

Umat Islam dituntut sentiasa bersedia hadapi kematian

Kata Imam al-Ghazali, "Yang singkat itu waktu, yang menipu itu dunia, yang dekat itu adalah kematian, yang besar itu adalah hawa nafsu, yang berat itu amanah, yang sulit itu adalah ikhlas, yang mudah itu adalah berbuat dosa, yang susah itu adalah bersabar, yang sering dilupa adalah bersyukur."

Demikianlah hakikatnya, hidup di dunia ini amat singkat, selepas mati kita akan hidup di alam kubur dan hidup yang kekal adalah di akhirat. Kematian suatu yang menakutkan bagi orang yang lalai perintah -Nya. Saat akan mati, kita berhadapan dengan sakratulmaut.

Susah atau senang sakratulmaut bergantung kepada amalan kita. Oleh itu, bagi menghilangkan rasa takut kepada kematian hendaklah kita mempertingkatkan amalan. Manusia ini pelbagai sikapnya, seperti kata pepatah Melayu, "Rambut sama hitam, hati masing-masing berlainan."


Doa anak yang soleh menjadi bekalan si mati menempuh alam akhirat. - Gambar hiasan
Ada tujuh peringkat sikap manusia, pertama ialah manusia kehaiwanan, iaitu kehidupan manusia pada tahap akhlak paling rendah.

Kedua, manusia yang hidup dalam kesedaran ikut-ikutan. Manusia tidak ada pendirian, suka mengikut arus kehidupan atau mengikut apa yang orang ramai suka buat.

Ketiga, manusia yang menyedari dirinya seorang yang berbeza, unik dan terlalu berprinsip.

Keempat, manusia tidak tahu tujuan hidup, tidak ada keyakinan diri, malas mencuba dan cepat berputus asa.

Kelima, manusia yang hidup dengan disiplin sangat kuat, terlalu dominan dan teratur.

Keenam, manusia yang percaya disiplin memberi pengalaman hidup iaitu yang bercita-cita ingin berubah memperbaiki diri.

Ketujuh, manusia yang mengawal diri dan kehidupan dari dalam ke luar. Manusia makrifatullah, iaitu Allah SWT adalah segala-gala dalam hidup.

Kepelbagaian sikap itu meletakkan manusia pada tahap yang berbeza kedudukan serta hasil kehidupan semasa di dunia atau akhirat.

Manusia makrifatullah mengutamakan mencari makna dan tujuan akhirat lebih daripada keduniaan. Sesiapa yang tidak memberatkan akhirat hidupnya akan sukar di sana nanti.

Hal ini pernah diperkatakan oleh Umar Abdul Aziz kepada Anbasah, "Seringlah mengingati mati, sebab jika hidupmu mudah, ia akan membuatnya sukar. Dan jika hidupmu sukar ia akan membuatnya mudah."

Biarlah kita penat di dunia, memanfaatkan waktu untuk memperbanyak amal soleh, seperti sabda Nabi SAW: "Ambil kesempatan lima sebelum lima, iaitu sihatmu sebelum sakitmu, waktu lapangmu sebelum sibukmu, kayamu sebelum fakirmu, mudamu sebelum tuamu dan hidupmu sebelum matimu."

Meninggal mengejut

Apabila sampai waktunya, kita akan pergi ke alam abadi menemui Ilahi. Cara kematian dan bila itu menjadi rahsia Ilahi. Sakit dan tua bukan syarat untuk mati, ada meninggal dunia tanpa sebarang sakit, umurnya habis ketika tidur, ada meninggal secara mengejut kerana kemalangan.

Nabi SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah: "Secerdik-cerdik manusia ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan paling bersungguh-sungguh bersiap sedia.

Mereka ialah orang yang benar-benar cerdik, mereka pergi (ke alam baqa) dengan membawa kemuliaan dan kemuliaan akhirat." Kemuliaan semasa hayat bukan sahaja hubungan kita dengan Tuhan, tetapi juga hubungan sesama insan.

Sentiasa berkasih sayang dan menghargai antara satu sama lain terutama kepada orang yang banyak berjasa kepada kita, orang yang rapat dan penting dalam hidup (ahli keluarga).

Sentiasa bermurah hati memberi senyuman, mengucapkan sayang, berterima kasih, menghargai.

Jauhi sikap berdendam, berdengki, berprasangka buruk dan berperasaan negatif supaya orang sekeliling berasakan ketika kita ada menguntungkan, ketiadaan kita satu kehilangan dan disebut-sebut kebaikan kita.

Perpisahan disebabkan kematian adalah sesuatu yang perit untuk diterima. Apatah lagi kematian yang tidak disangka-sangka, akan berbekas kesedihan mendalam dan berpanjangan kepada ahli keluarga yang ditinggalkan. Jika tidak dikawal dan dirawat dengan baik, menyebabkan kemurungan berpanjangan.

Berbanding kehilangan orang tersayang yang sakit berbulan-bulan, keluarga telah bersedia untuk menerima hakikat mereka akan kehilangannya.

Kesedihan itu berganda kerana kita berasa belum puas berkasih sayang, tiba-tiba disentap Allah SWT dalam keadaan kita tengah sa- yang dan belum bersedia untuk kehilangan mereka.

Kedua, kita be- rasa ralat dan terkilan. Jika tahu itu pertemuan terakhir, tentulah kita melakukan sesuatu terbaik untuknya. Ketiga, kerana tidak ada peluang kedua.

Kita mahu dia tahu kita amat menghargai dan menyayanginya tetapi tidak sempat dan berpeluang untuk menyatakannya.

Sunnatullah, orang yang mati tidak akan kembali lagi ke dunia, sama seperti bayi yang dilahirkan tidak akan kembali ke perut ibunya. Bagaimanakah hendak mentadbir takdir Allah SWT, menerima kematian orang tersayang? Percaya kepada qada dan qadar Allah SWT.

Terima hakikat kita orang yang terpilih untuk menerima ujian daripada-Nya. Pujuk hati sendiri menerima hakikat orang yang kita sayangi telah tiada. Menangislah, jangan ditahan air mata kerana menangis itu satu terapi. Tetapi, jangan sampai hilang punca hingga mempersoalkan ketentuan Allah SWT.

Terima hakikat

Lain orang lain penerimaannya. Ada yang kelihatan seolah-olah dia menerima hakikat kehilangan itu tetapi selepas seminggu atau lebih, dia tidak boleh menipu dirinya, menafikan orang yang disayanginya telah tiada, ketika itu emosinya terganggu dan menangis semahu-mahunya.

Fahami makna kematian yang sebenar supaya kita boleh menerima hakikat ia hanya satu peralihan atau berpindah alam.

Terima hakikat di mana kita bermula dan di mana kita berakhir. Walaupun, hubungan antara jasad berakhir, tetapi hubungan roh masih terjalin.

Justeru, doakan mereka daripada anak yang soleh. Peranan orang terdekat dan masyarakat untuk memulihkan semangat keluarga yang kematian orang tersayang.

Dengar curahan hati mereka, cuba faham, berikan semangat dan jangan menghukum mereka dengan tuduhan tidak sepatutnya, apatah lagi menyebar fitnah di laman sosial. Hidup lawannya mati.

Beringatlah, jangan sampai tiba-tiba maut datang, segala-galanya sudah terlambat untuk menyesali apa yang telah kita kerjakan ketika hidup di dunia.

Saidina Abu Bakar berkata, "Sesiapa masuk kubur tanpa bekalan, maka seperti mengharungi laut tanpa perahu!"