October 15th, 2015

Semangat perjuangan Rasulullah SAW

WALAUPUN peristiwa hijrah Baginda Rasulullah SAW sudah lama berlalu, namun tetap menjadi satu momen sejarah yang kita sentiasa kenang dan pelajarinya untuk memastikan kita sentiasa mengingati diri untuk bersedia berubah dan berhijrah dalam memacu kecemerlangan.

Misalnya, dalam memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara untuk menjadi pemimpin ilmu yang disegani, dihormati, berwibawa dan mampu pula me­lakukan transformasi dan perubah­an dalam masyarakat, negara dan dunia. Apatah lagi dalam bidang lain yang seharusnya dilakukan bersama-sama, tidak disabotaj dan melihat setiap usaha hanya dalam konteks yang cetek dan singkat.


Para peserta berarak dari Muzium Negara ke Masjid Negara dan membaca selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW pada majlis perhimpunan sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah/2015 Masihi semalam. BERNAMA

Hakikatnya, peristiwa hijrah Ba­ginda Rasulullah SAW tidak berlaku begitu sahaja. Penghijrahan itu dilakukan dengan penuh hati-hati, berstrategi jangka panjang, bijak dalam hitungan sahsiahnya dan mengambil kira keperluan pembangunan umat Islam dan ummah seluruhnya dalam jangka panjang. Fokusnya, untuk masa hadapan bukannya untuk kejayaan semasa sahaja.

Hijrah Baginda Rasulullah SAW bukan berlaku secara sendirian, tetapi berlaku dalam kumpulan yang melibatkan para sahabat dan pengikut setia yang percaya pada visi dan misi yang sama. Percaya kepada iman dan takwa yang berlandaskan kepada keredaan Allah SWT untuk kemaslahatan ummah dan daulah Islamiyyah dan dibuat dengan niat yang betul dan ikhlas, berpaksikan amanah dan tanggungjawab dengan mengambil kira semua keperluan untuk kejayaan.

Inilah yang harus kita terap dan sentiasa rasai dalam menegakkan dan meneruskan perjuangan untuk pembangunan roh ilmu dan pendidikan tinggi mahu pun proses pembangunan masa hadapan negara lainnya. Yang kita lakukan hari ini seharusnya berorientasikan masa hadapan dalam mengubah pemikiran dan melakukan transformasi untuk berdikari dan berdaya saing melalui sikap baik sangka, bersatu padu dan bekerjasama.

Usaha ini perlu dilakukan secara bersama-sama, melibatkan seluruh warga, berfokus, berstrategi, menetapkan matlamat keberhasilan utama, melihat kepada keperluan kejayaan segera atau quick wins dan sentiasa mempunyai ruang untuk pemantauan dan penilaian semula.

Setiap orang ada peranannya, meninjau setiap langkah perjalanan, menjalin sikap muhibah dan perpaduan, memastikan penerimaan dalam budaya baharu dan kesedia­an untuk berkorban demi masa hadapan, dalam konteks pendidikan tinggi tentu sahaja pelajarnya atau pemegang-pemegang taruh dalam apa jua institusi lainnya.

Inilah yang kita pelajari dalam sejarah pembangunan ummah selama ini. Sejarah yang sepatutnya menjadikan sumber kekuatan untuk melonjakkan kejayaan masyarakat dan negara pemikiran yang betul. Sikap untuk bekerjasama dan memahami hala tuju ke mana kita dan kesediaan untuk memastikan bahawa penerimaan semua pihak terhadap usaha yang kita lakukan pada masa ini akan mempengaruhi kejayaan pada masa hadapan.

Misalnya, untuk mencapai kejayaan masa hadapan dalam pendidikan tinggi, negara kita melalui Kementerian Pendidikan Tinggi melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia - Pendidikan Tinggi yang berfokus kepada lonjakan-lonjakan untuk mencapai kelestarian pendidikan tinggi masa hadapan melalui kesohoran global mahu pun pendidikan sepanjang hayat, meningkatkan kecekapan dan penguasaan ilmu kemahir­an dan pelbagai lagi yang perlu disokong dan dijayakan bersama-sama dalam satu semangat untuk masa hadapan negara.

Dalam erti kata lain, warga pendidikan tinggi misalnya perlu bersama-sama sebagai satu pasukan untuk menjayakan usaha soaring upwards yang dijadikan tema kekuat­an kerana pada akhirnya kita perlu yakin untuk terus ke depan dengan kepakaran dan kekuatan ilmu pe­ngetahuan yang ada agar dapat berdiri sama tinggi dengan orang lain.

Setiap pihak perlu menterjemahkan usaha ini, misalnya di Universiti Sains Malaysia (USM), usaha dibuat kini berpaksikan kepada tiga objektif strategik jangka panjang iaitu membangunkan bakat yang relevan dan berdaya saing global sesuai dengan keperluan negara dan antarabangsa, meningkatkan ekosistem penyelidikan untuk menyokong pembangunan dan pencapaian kesohoran antarabangsa serta meningkatkan kecemerlangan institusi berasaskan prinsip etika, kewangan dan persekitaran yang lestari. Semua pihak perlu bersama-sama menjayakannya dengan menterjemahkan dalam bentuk tindakan yang bersesuaian.

Dalam hal ini juga, tidak harus berlaku pengecualian dalam penglibatan seluruh warga universiti. Baik warga akademik, pentadbiran, sokongan apatah lagi para pelajarnya perlu menghayati jiwa dan nada yang sama, terlibat dalam perancangan, pelaksanaan apatah lagi pemantauan dan memastikan semua yang dirancang dalam keseluruhan keberhasil­an utama mencapai kenyataan.

Kerana itu, amat tepat sekali usaha menjadikan perpaduan sebagai nadi transformasi negara dalam konteks pendidikan tinggi seharusnya menjadi nadi transformasi universiti yang dilakukan dengan penuh berstrategi dan berfokus demi kelestarian hari esok menggunakan nilai-nilai yang dibangunkan bersama dan tidak melupakan usaha memacu kecemerlang­an sekali gus merealisasikan hasrat kami memimpin dalam semangat Maal Hijrah demi faedah masyarakat dan negara.

Mengambil semangat perjuang­an Rasulullah SAW, usaha transformasi ini perlu dilakukan bersama-sama, berstrategi, berfokus dan melihat kepentingan masa hadap­an. Tentunya, seperti mana yang diajar oleh sejarah penghijrahan Rasulullah SAW perlu dilakukan dalam konteks penuh keikhlasan, kerana Allah SWT, demi kedaulatan negara yang kita cintai dan masa hadapan ummah yang cemerlang dan bermaruah.

Insya-Allah Hari Solat Negara selepas ini

PENULIS tertarik dengan ayat terpampang pada kain sepanduk yang digantung di Surau al-Ikhlas, Taman Impian Putra, Bangi Selangor - “Kata-kata tentera Yahudi: Israel akan hancur jika umat Islam yang solat Subuh berjemaah menyamai solat Jumaat.”

Mungkin petikan ayat-ayat itu masih boleh dipertikaikan kesahihan sumbernya, namun tidak salah untuk bermuhasabah maksud tersirat di sebaliknya. Solat Subuh berjemaah atau bersendirian antara ibadah yang paling sukar didirikan, cabarannya terlalu besar - mengantuk dan sejuk antara alasan lazim digunakan.

Jika yang paling sukar mampu ditunaikan dengan mudah, nescaya bakinya empat waktu lagi pasti mudah diselesaikan. Itu secara teorinya, namun secara praktikalnya? Tidak perlu bertanyakan orang lain, lihatlah diri sendiri, rakan sepejabat, anak-anak dan mereka yang berada di sekeliling. Sempurnakah solat mereka?

Dalam kebanyakan kes, solat dilaksanakan secara terpilih, langsung tidak dimartabatkan sebagai kewajipan mutlak seorang hamba kepada Pencipta. Ada yang hanya seminggu sekali iaitu pada hari Jumaat, setahun dua kali - sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

Solat adalah wajib, berkekalan dan tidak gugur daripada diri seorang mukalaf dalam apa jua keadaan, di mana sahaja berada selagi masih bernafas dan berakal.

Bukti kebesaran dan keagungan perintah solat ini, Allah menjemput Nabi Muhammad SAW pada malam Mikraj untuk disampaikan sendiri kefarduan solat ini secara terus tanpa melalui perantaraan malaikat sebagaimana ibadah-ibadah yang lain.

Selain itu, solat adalah amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah di akhirat dan penentu kepada kesempurnaan serta penerimaan amalan-amalan yang lain.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Amalan yang mula-mula sekali dihisab daripada seorang hamba di akhirat ialah solat. Jika ibadah solatnya diterima, nescaya diterima amalan-amalan yang lain dan apabila solatnya ditolak maka ditolaklah amal­an-amalan yang lain”. - Riwayat Imam an-Nasai’ dan At-Tirmizi.

Penulis bukannya ulama untuk berceramah mengenai dosa dan pahala tetapi percayalah selagi umat Islam tidak sempurna solatnya yang adalah tiang agama, maka selama itulah musuh agama langsung tidak akan takut kepada umat Islam.

Idea menulis mengenai solat ini berlaku secara kebetulan setelah melihat kejayaan Hari Sukan Negara (HSN) pada Sabtu lalu yang berjaya menggamit penyertaan lebih sembilan juta rakyat negara ini.

Insya-Allah bersesuaian dengan status Malaysia sebagai Negara Islam yang memiliki Indeks Syariah Malaysia, selepas ini boleh juga dianjurkan Hari Solat Negara (HSN) dengan melibatkan kepemimpinan beragama Islam tanpa mengira perbezaan politik sama ada penyokong kerajaan dan pembangkang serta seluruh umat Islam di negara ini.

Pelbagai agensi dan institusi kerajaan berkaitan dengan Islam bolehlah duduk berbincang mengenai pengisian HSN ini. Dicadangkan pagi Sabtu dimulakan dengan solat Subuh berjemaah di seluruh negara, solat dhuha, tazkirah dan amali memperelokkan sembahyang, gotong-royong membersihkan masjid, surau dan solat zohor berjemaah.

Mungkin ramai yang sinis terhadap cadangan ini. Ibadah kononnya tidak perlu diuar-uarkan. Sebenarnya masalah tidak solat di negara ini amat kronik, beberapa tahun lalu, pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah mendedahkan hasil kajiannya yang mendapati 80 peratus umat Islam di negara ini tidak menyempurnakan solat lima waktu.

Lebih teruk lagi ada yang secara dangkal mengatakan bahawa kubur lain-lain, maka tidak perlulah pihak lain bersusah mengambil tahu mengenai hal orang yang tidak solat. Jawapan terbaik bagi reaksi kurang cerdik ini ialah, “Sila jangan buat bising hingga mengganggu jiran dalam kubur se­belah semasa menerima azab kubur nanti.” - Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana Agama 15 Oktober 2015 6:15 PM

Teladani perancangan, semangat hijrah Rasulullah

Hijrah adalah untuk menegakkan agama Allah SWT. Penghijrahan sebahagian sahabat ke Habsyah pada tahun kelima selepas nubuwwah (Nabi diutus menjadi Rasul) adalah perintis jalan kepada hijrah lebih besar dan penting dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW.

Menelusuri lipatan sejarah, peristiwa itu penting kerana ekoran daripadanya terbentuk sebuah negara Islam di Madinah. Ustaz Meeftah Anuar menerusi Islam Itu Indah menerangkan rangka hijrah Rasulullah penuh dengan strategi dan melalui proses pemikiran yang benar-benar tuntas.

Melalui peristiwa itu terbentuk tiga skop utama iaitu skop insan, negara dan peradaban. Membina skop insan sedikit sebanyak berjaya disemai oleh Baginda di Makkah yang melahirkan insan hebat seperti Saidina Abu Bakar as-Siddik, Saidina Umar al-Khattab, Othman ibn Affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Mus'ab bin Umair dan banyak lagi.


Berdoa kepada Allah SWT cara terbaik menjayakan penghijrahan diri. - Gambar hiasan


Namun, terdapat banyak halangan perlu ditempuh Rasulullah SAW apabila ekonomi diboikot, pengikut Baginda tidak dapat menjual mahupun membeli keperluan harian.

Rasulullah SAW serta sahabat juga menerima halangan dari sudut politik. Pembesar Quraisy menindas Rasulullah SAW serta pengikut Baginda menyebabkan usaha membina sebuah daulah Islamiah seakan terbantut di bumi Makkah.

Maka, Rasulullah SAW memerlukan bumi subur yang sedia menerima benih pertumbuhan sebuah negara. Justeru, ia membawa kepada perancangan membina negara Islam.

Sebelum memilih Yathrib (Madinah) sebagai destinasi tujuan, Rasulullah SAW terlebih dahulu berikhtiar memilih dan merisik beberapa tempat.

Sesungguhnya tiada sesuatu yang indah diperoleh dengan mudah seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (Surah al-Insyirah, ayat 5-6)

Tak mudah putus asa

Awalnya, Rasulullah SAW mengutus sahabat ke Habsyah tetapi hajat kedatangan Baginda ditolak. Percubaan juga dibuat di Taif yang menyaksikan bukan sekadar tidak diterima malah Rasulullah SAW dihalau dan dibaling dengan batu sehingga berdarah gigi Baginda.

Dalam keadaan Rasulullah SAW dihujani ujian itu, Allah SWT menggerakkan hati beberapa penduduk Yathrib untuk datang menemui Baginda.

Tepat seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah SWT jugalah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)." (Surah al-Qasas, ayat 56).

Hidayah itu milik Allah SWT maka dengan kuasa-Nya, hati beberapa penduduk Yathrib terbuka untuk mencari Rasulullah SAW. Sheikh Saiful Rahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Raheeq al-Makhtum menyatakan, enam orang Yathrib datang bertemu Baginda SAW pada musim haji tahun 11 kenabian.

Kemudian kembali ke Yathrib dalam keadaan masih tidak beriman. Sepanjang bersama dengan Nabi mereka banyak memerhati. Namun perancangan Allah SWT itu indah.

Mereka datang dan melihat peribadi Rasulullah SAW dan membawa pulang kisah Baginda yang hebat akhlak serta kepemimpinannya menepati ciri tercatat dalam kitab sebelum datangnya al-Quran.

Rentetan daripada itu, pada Julai 621 Masihi, berlaku Bai'ah Aqabah pertama sejurus kedatangan 12 penduduk Yathrib ke Makkah yang kemudian memeluk Islam. Menerusi Bai'ah Aqabah itu secara tidak langsung menjayakan hasrat untuk menubuhkan daulah Islamiah.

Isi baiah itu mengandungi enam perkara.

Pertama, tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu apapun. Tidak boleh mencuri dan mengambil hak orang lain, seterusnya mereka tidak dibenarkan berzina. Mereka ditegah membunuh anak lelaki, tidak boleh mengumpat dan tidak boleh memfitnah.

Ikrar sebar Islam

Bagi memastikan ikrar itu berjalan lancar, Rasulullah mengutuskan tokoh duta ke sana dalam kalangan orang muda yang paling awal memeluk Islam iaitu Mus'ab bin Umair. Semasa di Yathrib, Mus'ab bin Umair dengan beberapa sahabat menjalankan amanah bersungguh-sungguh hingga berjaya mengajak masyarakat Yathrib mengenal Islam dan menyebarkan cabang keimanan. Rasulullah SAW menghantar Mus'ab bin Umair sebagai pembuka jalan serta pemudah cara sebelum Rasulullah SAW ke sana sehingga berlakunya Bai'ah Aqabah kedua.

Mus'ab bin Umair pulang ke Makkah dengan penuh kerinduan untuk bertemu Baginda SAW. Pada musim haji tahun ke-12 kenabian seramai 75 ahli rombongan dari Yathrib datang menyatakan kesanggupan untuk menerima Baginda SAW sebagai pemimpin mereka.

Daripada Jabir: "Wahai Rasulullah, di atas apakah yang akan kami berbai'ah dengan tuan hamba? Jawab Rasulullah: Kamu berbai'ah untuk mendengar dan mematuhi dalam keadaan segar (taat) atau saat malas. Berinfaq ketika susah atau sakit dan senang. Menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Berjuang kerana Allah tanpa mempedulikan kecaman orang. Menyokong daku setibanya daku dalam kalangan kamu nanti, mempertahankan daku seperti mana kamu pertahankan diri dan anak isteri kamu, sebagai balasan adalah syurga Allah di akhirat nanti." (Riwayat Imam Ahmad)

Hasil daripada baiah kedua itu, bermulalah perancangan yang membawa kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah.

Sahabat mula bergerak dalam keadaan penuh risiko ditambah dengan cabaran cuaca padang pasir yang panas terik. Penghijrahan penuh strategi itu membabitkan seluruh golongan tanpa mengira status, jantina, usia malah golongan musyrik (Abdullah bin Uraiqit) turut bersama dengan tugasan masing-masing yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW.

Mengambil semangat hijrah Rasulullah SAW, untuk menjadi lebih baik dan membina kehidupan dekat dengan Allah SWT perlu kepada perancangan.

Sesungguhnya kegagalan sebenar adalah tatkala gagal untuk merancang. Usah takut untuk berubah jika yakin perubahan itu membahagiakan.

Cari jalan untuk menjadikan setiap individu bisa menyumbang sesuatu dalam penghijrahan diri mahupun organisasi kerana kemenangan Islam perlu kepada pembabitan semua walaupun individu yang belum beragama Islam.

Hijrah tuntut jihad tingkat mutu ummah

Sambutan Maal Hijrah 1437H yang dinanti tiba lagi. Allah SWT merakamkan detik penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah melalui firman-Nya bermaksud: "Ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya. (Surah al-Anfal : 30).

Setelah penghijrahan kedudukan agama Islam bertambah kuat. Penduduk Madinah memberi sambutan baik terhadap Islam.

Peluang keemasan ini digunakan sebaiknya oleh Rasulullah SAW. Baginda mendirikan masjid sebagai pusat komuniti Islam, mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar seterusnya membuat perjanjian kerjasama dan persefahaman dengan masyarakat bukan Muslim di Madinah.

Ketiga-tiga perkara ini adalah asas penting membangunkan masyarakat yang kuat dan padu. Sirah merakamkan banyak peristiwa penting selepas penghijrahan.

Tahun kedua hijrah menyaksikan pertukaran kiblat umat Islam, iaitu dari Baitulmaqdis ke Makkah, tercetusnya Peperangan Badar, pensyariatan ibadah puasa pada Ramadan serta diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah.




Tahun ketiga hijrah berlakunya Peperangan Uhud dan penguatkuasaan pengharaman arak.

Tahun keempat hijrah menyaksikan peperangan Dhat al-Riqa', disyariatkan solat qasar serta dibolehkan bertayamum.

Tahun kelima hijrah menyaksikan Peperangan Khandaq dan Peperangan dengan Bani Quraizah.

Tahun keenam pula termeterainya Perjanjian Hudaibiah.

Tahun ketujuh hijrah berlakunya Peperangan Khaibar.

Pembukaan Kota Makkah pada tahun kelapan hijrah.

Peperangan Tabuk tercetus pada tahun kesembilan hijrah.

Tahun ke-10 hijrah menyaksikan Rasulullah SAW mengerjakan Haji Wada' (Haji Perpisahan).

Situasi ini cebisan kecil peristiwa dilalui Rasulullah SAW dan sahabat di Madinah. Sekalipun berlakunya peperangan pada era Madinah, peperangan itu adalah usaha untuk mempertahankan diri dan agama Islam.

Peringkat mempertahankan diri daripada serangan dan tipu helah musuh era Madinah berbanding era Makkah. Ketika di Makkah, umat Islam dilarang menggunakan kekerasan dan peperangan.

Keizinan berperang ini adalah dasar baharu di era Madinah. Masyarakat Islam perlu mengatur strategi dan membuat perancangan menghadapi musuh seterusnya memerangi mereka.

Rasulullah SAW memainkan peranan besar menyempurnakan ketahanan ummah dan negara Islam Madinah.

Rasulullah SAW menerima wahyu demi wahyu mempertingkatkan lagi syariat dan undang-undang Islam.

Syariat dan undang-undang Islam mula merangkumi aspek kemasyarakatan, ekonomi, ketenteraan, pendidikan selain dari persoalan akidah yang menjadi topik dan mesej terpenting ketika era Madinah.

Berkat ketabahan dan kesungguhan Rasulullah SAW bersama sahabat, Madinah menjadi negara Islam bertaraf antarabangsa. Setiap bangsa dan agama yang dianuti diterima menjadi warganegara dan dibenar tinggal di negara Islam itu.

Islam berkembang subur di Madinah

Madinah menjadi tempat subur untuk perkembangan agama Islam. Islam tersebar dan berkembang di Madinah dan negara Arab yang berjiran. Islam mara ke segenap pelusuk dunia pada masa itu melalui pengutusan surat dan delegasi diplomatik ke Mesir, Rom, Parsi dan lain-lain. Islam mula menyeberangi batas sempadan dan geografi Semenanjung Tanah Arab.

Perkara ini adalah suatu perancangan supaya negara Islam Madinah sebagai negara ideal contoh sepanjang zaman.

Penghijrahan Rasulullah SAW bersama sahabat menzahirkan kebersihan hati dan keikhlasan serta ketinggian semangat jihad dalam kalangan Muhajirin.

Sahabat dalam kalangan Ansar membuktikan semangat setiakawan yang unggul, sanggup membantu apa sahaja semata-mata meringankan beban dan penderitaan Muhajirin.

Senario ini menggambarkan keimanan, perjuangan, persaudaraan dan pengorbanan dilakukan Muhajirin dan Ansar. Masing-masing dengan posisi jihad yang tersendiri direalisasikan demi kemajuan dan kecemerlangan dakwah dan ummah.

Persaudaraan melahirkan ketahanan ummah dan keteguhan negara. Hijrah mengubah kehidupan seluruhnya dan memberi sumbangan besar terhadap masyarakat Islam dari komuniti yang kecil dan terhimpit di Makkah kepada masyarakat kuat dan disegani di Madinah.

Masyarakat boleh berhijrah melalui jihad melawan hawa nafsu, syahwat dan keinginan murahan. Penghijrahan melalui pembersihan jiwa dan sedia untuk mengamalkan perilaku kehidupan lebih baik lagi, walaupun berhadapan pelbagai kesulitan dan halangan.

Hijrah kerana Allah memerlukan tindakan lebih serius mengamalkan ajaran Islam seperti mengerjakan solat, puasa, membayar zakat dan sebagainya, begitu juga akhlak Islamiah perlu menjadi amalan seharian dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat mahupun kehidupan bernegara.

Hal ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW mafhumnya: Tidak ada lagi hijrah setelah pembukaan Kota Makkah, tetapi yang ada ialah jihad dan niat. (Riwayat al-Bukhari). Inilah wasatiyyahnya kehidupan seorang Muslim sebenar.