October 17th, 2015

Perkara Nabi SAW lakukan dalam solat

NABI Muhammad SAW bersabda: "Solatlah sepertimana kamu lihat aku solat,". (Riwayat Bukhari)

Pentingnya Muslimin itu bersolat dengan cara yang betul dan tertib serta tidak tergopoh-gapah ketika menunaikan ibadah solat. Setiap anak Adam yang melafazkan dua kalimah syahadah pastinya tahu solat itu tiang agama dan menduduki tangga kedua dalam rukun Islam.

Minggu ini Rehal mendapatkan pendakwah dan juga penulis buku Seindah Solat Rasulullah SAW terbitan Karya Bestari, Ustaz  Mustafar Mohd Suki untuk berbicara lanjut mengenai cara solat Rasulullah SAW secara lebih detil.

Terlebih dahulu, Mustafar menjelaskan takrif solat , solat ialah ibadat yang mengandungi perbuatan dan perkataan yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam berdasarkan syarat dan atur cara tertentu di sisi syarak.

"Disunatkan solat di masjid yang lama dibina daripada yang baharu. Ia adalah berdasarkan satu riwayat daripada sahabat Nabi SAW, Anas bin Malik RA seperti yang diriwayatkan olah Abu Nua’im Al-Fadhl bin Dukain dalam kitabnya Al-Salah juga daripada riwayat musaddaq. Sebahagian ulama yang lain tidak membezakan kelebihannya seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Amidi.

"Nabi SAW membaca doa masuk  dan keluar masjid. Doa untuk masuk ke dalam masjid diriwayatkan oleh Muslim, manakala doa keluar masjid pula oleh Ibnu Majah. Nabi SAW mengamalkannya dan semoga kita juga berbuat demikian.  Mengenai waktu masuk ke dalam saf ketika mendengar iqamat pula, berdasarkan Mazhab Syafi’ie, Mazhab Dawud al-Zahiri, Sa’id bin Musayyab berpendapat  pada permulaan lafaz ‘Allahu Akbar’ daripada laungan iqamat, makmum harus berdiri menghampiri saf solat dan menurut Mazhab Abu Hanifah dan ulama Kufah pula harus berdiri makmum di saf solat pada lafaz Qadqamatis Salah dan Hayya 'alal Falah," katanya.

Menurutnya, menyamakan saf adalah sunnah dengan kesepakatan ulama, bahkan dinukilkan sebagai ijmak akan perkara ini. Sebahagian ulama berpendapat perkara ini adalah wajib, Imam Ibnu Hazm menekankan solat mereka yang tidak menyamakan saf dihukum batal. Hal ini berdasarkan perbuatan Ibnu Umar RA yang memukul dengan kayu bagi yang tidak menyamakan saf solat. Antara fadilat saf pertama di belakang imam berdasarkan hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada pada saf pertama,” (Riwayat Nasa’ie, sahih)


Niat dalam solat

"Telah menjadi kelaziman bagi seorang Muslim untuk berniat dalam setiap amal yang dilakukan walaupun amalan itu selalu dilakukan seperti bersolat. Nabi SAW memulakan solatnya dengan takbiratul ihram dengan menyebut lafaz ‘Allahu Akbar’ dan mengangkat kedua tangannya. Tidak dikira takbir itu kecuali dengan menyebut  lafaz ‘Allahu Akbar’ dan tidak sah dengan mana-mana lafaz lain walaupun maksudnya mengagungkan ALLAH SWT. Hal ini disepakati ulama secara keseluruhannya kecuali terdapat pendapat yang beza daripada Imam Abu Hanifah mengenai mengangkat tangan dan sifatnya.

"Sebahagian ulama berpandangan wajib mengangkat tangan bersama lafaz takbiratul ihram seperti yang dinukilkan oleh Imam Al-Auza’ie, Al-Humaidi dan Ibnu Khuzaimah serta juga yang dinukilkan oleh Al-Hakim.

"Dinukilkan juga oleh Imam Ibnu Munzir dan selain daripadanya secara ijmak akan hal mengangkat tangan adalah salah satu perkara sunat dalam solat. Cara mengangkat tangan adalah sejajar dengan bahu, atau sejajar dengan cuping telinga, Seperti hadis Nabi SAW di dalam Sahih Muslim," jelas Mustafar.

Menurutnya, persoalan mengenai berdiri 'qiyam' dalam solat sering ditanya ramai, berdiri adalah rukun dalam solat fardu dan wajib bagi mereka yang mampu. Disunatkan untuk mereka yang mendirikan solat meletakkan sutrah (penghadang) sama ada solat bersendirian atau berjemaah bagi imam. Hal ini juga meliputi keadaan solat berdiri, bertongkat atau ketika menunggang binatang tunggangan.


Pandangan ketika solat

Daripada 'Aishah RA: "Sesungguhnya Nabi SAW memasuki ke dalam Kaabah, lalu Baginda SAW mengarah pandangannya ke arah tempat sujudnya, sehinggalah Baginda SAW keluar dari Kaabah." (Riwayat Al-Hakim)

Imam Abu Hatim dalam kitab Ilal menyatakan  maksud hadis, mengarah pandangan ke tempat sujud adalah untuk membesarkan ALLAH dan itu yang paling tepat, dan bukannya mesti melakukannya ketika solat.

Tidak sabit daripada Nabi SAW di mana Baginda SAW mengarah pandangannya ketika solat melainkan mengisyaratkan jarinya dan melihat ke arah isyarat jarinya ketika tasyahhud. Hal ini juga tidak terlepas daripada kecacatan dari segi periwayatannya juga makruh hukumnya menggerakkan mata ke kanan dan ke kiri ketika solat melainkan ada sebab yang tertentu.


Doa iftitah & istiazah

Membaca doa iftitah adalah satu sunnah dalam solat.

"Wahai ALLAH, jauhkanlah antara aku dan kesalahanku, sebagaimana Engkau menjauhkan antara timur dan barat. Wahai ALLAH, bersihkanlah aku dan kesalahanku, sebagaimana baju putih dibersihkan dari kotoran. Wahai ALLAH, cucilah aku dari kesalahanku dengan salji, air dan air sejuk." (Riwayat Bukhari).

Selepas membaca doa iftitah dianjurkan untuk membaca isti’azah, iaitu meminta perlindungan ALLAH daripada syaitan dengan pelbagai lafaz yang sabit daripada Nabi SAW seperti riwayat Imam Ahmad. Sebahagian ulama berpendapat membaca basmalah adalah wajib. Sehubungan dengan itu, mereka yang membaca basmalah di dalam solat secara kuat secara tidak langsung berpendapat basmalah itu adalah ayat dalam Surah Al-Fatihah.

Pendapat ini diutarakan dalam kalangan qurra’ seperti Asim bin Abi Jawad, Hamzah, Al-Kisa’i, ‘Abdullah bin Kathir, dan juga sebahagian sahabat dan tabi’in. Bagi mereka yang membacanya secara senyap (tidak menguatkan bacaan basmalah), maka secara tidak langsung hal itu bermaksud mereka tidak menganggap basmalah itu sebahagian ayat daripada Surah Al-Fatihah. Pendapat ini adalah  seperti pendapat Imam Ibnu ‘Amir, Abi ‘Amr, Ya’qub dan sebahagian riwayat daripada Nafi’.

Mengetahui dengan lebih lanjut mengenai cara Nabi SAW bersolat, boleh dapatkan kupasan lanjut dalam buku Seindah Solat Rasulullah dengan harga berpatutan dan mampu milik. Dapatkannya sekarang di tempat anda!

'Hijrah' ikut-ikutan

RABU lepas kita menginjak ke tahun baharu (1 Muharam 1437 hijriah). Cepat sungguh masa berlalu meninggalkan kita yang masih seperti dahulu. Saban tahun perkara sama berlaku selagi diri tidak beristiqamah dalam membuat perubahan.

Hijrah bermaksud meninggalkan atau keluar dari sebuah negeri ke negeri yang lain. Semasa berlaku penghijrahan Baginda SAW bersama sahabat dan kaum Muhajirin ke Madinah, terdapat seorang lelaki berhijrah kerana perempuan bernama Ummu Qais.

Lelaki itu digelar sebagai muhajir Ummu Qais. Lelaki itu berhijrah semata-mata kerana wanita dan bukannya ALLAH SWT dan Nabi SAW, menyebabkan si lelaki itu tidak mendapat apa-apa ganjaran kerana fokus penghijrahannya adalah wanita .

Pendakwah, Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil berkata, iktibar yang boleh diambil daripada cerita di atas adalah jangan lakukan sesuatu selain kerana ALLAH dan Nabi SAW. Yang pasti, apabila berhijrah tidak boleh untuk ikut-ikut sahaja. Ikut-ikut ini hanya trend sementara dan tidak kekal.

Sedangkan hijrah yang sebenarnya adalah istiqamah dengan apa yang dilakukan, meninggalkan apa yang dilarang ALLAH.

"Ramai berhijrah sama ada berhijrah daripada satu tempat yang tidak selamat ke tempat lebih selamat atau tempat kerja yang tidak bagus ke tempat yang sesuai dengan jiwa. Kita tidak boleh klasifikasikan 'hijrah' ikut-ikutan ini sebagai penghijrahan yang sebenarnya.

"'Hijrah' ikut-ikutan ini ada positif dan negatifnya, saya huraikan da0ri sudut negatif  dahulu bagi memudahkan ia difahami. Pertamanya, jika seseorang Muslim itu terikut-ikut dengan perubahan ke arah yang tidak baik natijahnya dirasai sendiri individu itu. Bayangkan, daripada rajin melakukan perkara yang elok tiba-tiba terikut-ikut dengan perlakuan tidak sopan. Tatkala itu, individu sekeliling perlu memainkan peranan. Beri teguran sebelum serius dengan 'hijrah' ikut-ikutannya.

"Kedua, 'hijrah' ikut-ikutan ini tidak akan bertahan lama dan bersifat sementara sahaja,  dia berubah kerana terikut-ikut dengan gaya atau sikap yang mahu diikutnya. Apabila berakhirnya trend itu maka berakhirlah 'hijrah'nya. Sebagai contoh, kita lihat sekarang segelintir wanita contohnya yang tidak bertudung apabila melihat gaya bertudung semakin diterima dan kelihatan cantik di mata, dia mula memakai tudung dan berpakaian sopan. Dilihat di sini dia memakai tudung kerana ingin cantik tetapi dia sebenarnya tidak begitu. Sebaik dia tidak selesa, ditinggalkan." katanya kepada Rehal.

Menurutnya, perkara negatif yang ketiga adalah, berubah ikut-ikutan ini akan memupuk sikap tidak ikhlas terhadap amalan yang dilakukan dan memberi kesan yang tidak elok kepada individu sekeliling. Contohnya, seorang lelaki itu mahu berkahwin dengan wanita yang dicintai. Semasa merisik dan bertunang sehinggalah ke akad nikah dia menunjukkan sikap yang baik di hadapan isteri dan keluarga mertuanya. Selepas itu, hanya ALLAH yang tahu perangai sebenar lelaki itu. Sepatutnya, tonjolkan siapa dirinya yang sebenar dan bukan bersikap hipokrit.

RASULULLAH SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH cintakan seseorang daripada kamu yang mengerjakan sesuatu dikerjakannya dengan teliti (bersungguh-sungguh)."


Sokongan ramai

Ustaz Mohamad Amiro berkata, setiap yang buruk ada baiknya. 'Hijrah' ikut-ikutan ini turut mempunyai kesan positif kepada individu yang berbuat demikian. Benar pada mulanya dia melihat rakannya bersolat lima waktu dan berpakaian menutup aurat. Lama kelamaan hatinya terpaut lantas dia ber'hijrah' ikut-ikutan seperti rakannya. Bukankah keadaan ini akan menjadikan dia lebih baik daripada sebelum ini.

"Sebagai kawan yang ada dan sering bersama dengan individu yang 'hijrah' ikut-ikutan ini, hendaklah selalu memberi kata perangsang dan dorongan. Jangan pula mengutuk itu dan ini sehingga sanggup 'mendoakan':

"Sekejap je berubah tu, dua tiga hari nanti seksi balik.". Siapa kita untuk mengadili mereka, ucapkan kata-kata positif dan doakan penghijrahannya diredai ALLAH.

"'Hijrah' ikut-ikutan ini juga adalah perkara baru bagi individu tersebut. Dia seolah-olah baru tersedar bahawa apa yang dilakukannya sebelum ini bersalahan sebagai seorang Muslim. Saranan saya kepada mereka supaya sabar dan cuba mengikuti langkah demi langkah secara perlahan, jika terlampau drastik kelak akan memakan diri. Apa yang kita takut adalah try and error. Cuba-cuba untuk berhijrah tetapi cepat berputus asa," katanya.

Menurutnya,  terdapat contoh lain yang boleh dikaitkan dengan 'hijrah' ikut-ikutan ini. Kita lihat di asrama, kebiasaannya warden asrama 'paksa' penghuninya supaya bersolat jemaah. Dan kebanyakan daripada mereka ikut kerana takut dimarahi tetapi di belakang warden sebaliknya. Bab yang berkaitan dengan pendidikan agama tidak boleh dibiarkan dan situasi paksa serta dipaksa akan terjadi. Nabi SAW sendiri pun memberi didikan kepada sahabatnya. Perihal menyuruh orang bersolat bukan sesuatu yang mudah, malah perlu dilakukan secara istiqamah dan memerlukan kesungguhan.

Apabila warden atau pihak asrama menetapkan peraturan itu, dan orang yang melakukan peraturan pasti mendapat kebaikan dan langsung tidak memberi manfaat kepada orang lain, Dan jika dia tidak melakukannya dia yang rugi. Fikir-fikirkanlah kerana anda pastinya seorang yang mukallaf.

Berubah mesti dengan kefahaman ilmu yang mendalam. Bukan didasari dengan sangkaan atau ikut-ikutan. Orang lain buat, kita buat. Kalau majoriti tolak, kita pun tolak. Akibatnya hanya akan membawa kepada masalah yang lebih besar atau lebih buruk daripada itu, ia mengundang fitnah kepada masyarakat, apatah lagi kepada agama Islam yang murni.


Perlu dipuji

Mengupas lanjut mengenai 'hijrah' ikut-ikutan, Ustaz Mohamad Amiro berkata, menyentuh bab pemberian sumbangan kepada individu memerlukan dengan memanggil ramai pengamal media untuk melaporkan dan menyiarkan mengenai sumbangan pemberiannya turut mempunyai timbal balik.

"Dari satu sudut yang lain, tindakan dilakukan individu itu pelu dipuji dan kemungkinan besar dapat mendidik kelompok yang berkemampuan supaya melakukan perkara yang sama. Tetapi jika setiap kali dia menyampaikan sumbangan dan menjadi bualan ramai sehingga mendapat liputan media dengan alasan untuk menunjukkan, tindakan itu dilihat tidak bertepatan dengan konsep memberi yang dituntut Islam.

"Begitu juga dengan trend hadir ke majlis ilmu, sepatutnya perlu dipuji  kerana masyarakat sekarang dilihat berminat untuk mempelajari ilmu agama jelas menunjukkan masyarakat semakin sedar. Soal untuk menunjuk kepada ramai dengan 'hijrah ikut-ikutan' yang dilakukan tidak perlu dipersoal. Kita tidak boleh terus menghukum dengan mengatakan apa yang dilakukan itu tidak elok, tanya diri kita dulu, baikkah perlakuan kita?," ulasnya lanjut.

Ustaz Mohamad Amiro menjelaskan, mana-mana syarikat yang menganjurkan kuliah agama dan bersolat secara berjemaah patut dipuji. Ia bukanlah wajib dan jika tidak menghadiri kelas akan jatuh hukum haram, tidak!. Sebaliknya apa yang dilakukan pihak syarikat adalah untuk mendidik kakitangannya dengan memberikan santapan kerohanian.

Jika difikirkan secara teliti, apabila dibebani dengan urusan kerja yang tidak pernah berkesudahan, seseorang itu langsung tidak ada keluangan untuk menghadiri kelas agama dan jika tempat kerjanya menganjurkan kelas agama perkara itu dilihat sangat bertepatan. Namun, semuanya terpulang kepada diri sendiri.


Teguran berhemah

Daripada Abu Said Al-Khudri, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa antara kamu melihat suatu kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu maka cegahlah dengan lisannya dan jika tidak mampu maka cegahlah dengan hatinya. Dan itu (mencegah dengan hati) adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim, At- Tirmidzi & Ahmad Ibnu Hanbal)

Dalam bab untuk memberikan nasihat atau teguran kepada sesiapa sahaja, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian. Pertamanya, lakukan kerana ALLAH dengan niat untuk membantu dan bukannya untuk mendapat perhatian orang lain. Kedua, tegurlah individu berkenaan menggunakan bahasa yang lemah lembut. Maksudnya kita tidak menghina dan mencacinya. Ketiga, usah tegur di hadapan khalayak kerana ia akan mengaibkannya. Keempat, bagi harapan dan dorongan supaya 'hijrah' ikut-ikutan itu menjadi satu hijrah yang sebenar-benarnya dan dia istiqamah. Kelima, sentiasa mendoakan dirinya supaya dapat banyak manfaat daripada perubahan lantas menarik ramai lagi untuk hijrah bersamanya.

Usah terus menghukum individu yang melakukan penghijrahan dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengar, sebaliknya lorongkan mereka ke jalan agama yang diredai. Kerana itulah, kita memerlukan masyarakat yang faham dan celik mengenai hijrah. Seterusnya, sebagai ahli dalam masyarakat kita sepatutnya bersyukur kerana masih ada kelompok yang mahu berhijrah walaupun 'hijrah' ikut-ikutan. Doakan untuk mereka, semoga hijrah ini akan menjadi hijrah yang sebenar-benarnya.

Orang masjid, janganlah sombong ...

TEMPATNYA di pekarangan sebuah masjid. Acaranya ialah majlis sempena Hari Raya. Tujuannya sudah pasti suci, tulus lagi murni untuk mengeratkan silaturahim sesama anak kariah.

Ada ironi yang terjadi. Saya hadir berseluar jeans, berkemeja lengan panjang sebagaimana kebiasaan. Selepas itu, rancangnya mahu penuhi jemputan yang lain pula. Maka tidaklah saya berkopiah atau berjubah sebagaimana kebanyakan hadirin lain.

Ada pun ceritanya, ketika saya berbual dengan beberapa rakan, datang seseorang yang berkopiah berjabat tangan dengan semua yang ada, kecuali saya. Tertanya-tanya oleh saya mengapa dikecualikan. Seingatnya, saya tidak pernah pun ada apa-apa masalah dengan dia, malah apa yang lebih mungkin, saya percaya dia tidak pun mengenali saya.

Mungkin kerana pakaian saya agaknya, yang tidak seperti orang masjid. Namun wajarkah kerana itu saya diperlakukan sedemikian.

Walaupun ini mungkin kes terpencil yang peribadi sifatnya, daripada pengalaman saya, memang ada sesetengah orang masjid yang berasa diri mereka lebih Islam daripada orang lain. Tidak jadi masalah jika keislaman itu ditunjuk melalui penampilan kerana itu sememangnya sunnah Rasul namun yang jadi masalah jika imej yang begitu indah, ditunjukkan sebaliknya pada sikap sombong, riyak dan memandang rendah pada orang lain.

Itulah apa yang saya rasakan pada masa itu,  terhina dan tersinggung. Namun apa yang lebih membuat saya berasa sedih sebenarnya ialah kerana yang terlibat itu berpenampilan Islam, imej suci Islam turut sama terpalit oleh perlakuan orang yang seperti itu.

Semua kita tahu, Islam melarang keras sikap sombong. Banyak ayat al-Quran menegaskan tentang ini, dah hadis Nabi pula ada menyebut, "tidak akan masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya ada sikap sombong waima seberat biji sawi."

Bagaimana jika yang jadi mangsa dalam situasi seperti ini orang bukan Islam. Adakah mereka hanya akan menyalahkan orang itu seperti kita atau menuding kepada Islam secara keseluruhan?

Kerana itulah, setiap kali berbicara mengenai akhlak negatif yang tersembunyi, pertimbangan saya sering diselubungi kebimbangan. Seseorang kaki maksiat, jika ditanya mengenai perbuatannya, saya percaya dia akan mengaku apa yang dilakukan itu maksiat dan berdosa.

Ini memungkinkan suatu hari nanti dia akhirnya akan insaf dan bertaubat juga.

Namun jika melibatkan orang agama, ada kemungkinan dia akan tersesat dan dikelirukan oleh penampilan dirinya sendiri yang kelihatan seperti tiada dosa, seolah-olah syurga telah terjamin untuknya sedangkan kita tahu, amal ibadah orang yang sombong tiada nilai di sisi ALLAH, malah tempatnya adalah neraka. Saya tidaklah menuju ayat ini kepada orang yang tidak bersalam dengan saya itu tetapi suatu penegasan mengenai banyak amaran ALLAH dalam al-Quran.

Itu juga bukanlah satu-satunya pengalaman saya dengan orang masjid. Tidak lama dahulu, saya sertai kumpulan Facebook masjid untuk mengikuti jadual kuliah selain menambah ilmu melalui diskusi ahli-ahli jemaah.

Malangnya, apabila saya lontarkan satu soalan di 'wall', datang seseorang - berkopiah juga - yang tidak pun saya kenal menyindir: "Soalan macam tu, budak darjah 6 pun boleh jawab."

Saya pun membalas: "Maafkan saya tuan, saya sekolah setakat darjah 5, tak sampai darjah 6..."

Sudah orang loyar buruk, saya pun loyar buruklah juga. Barang kali tidak menyangka respons saya yang begitu, dia cuba mengendurkan keadaan: "Saudara tanya itu pada orang yang salah ..."

Dan saya membalas lagi: "Walaupun saya tak bersekolah tinggi, mak bapak saya ajar saya bersangka baik pada semua orang, pandang setiap orang lebih daripada saya, sebab itu saya tanya ... tak sangkalah pulak di sini tanya pun jadi kesalahan."

Selepas itu, saya terus keluar daripada Facebook mereka. Sebelum itu, saya sempat berhubung dengan pentadbir Facebook itu menyatakan kekesalan saya. Jika beginilah sikap orang masjid, bagaimanakah agaknya mereka mahu mengajak lebih orang mengimarahkan rumah ALLAH. Orang tidak datang ke masjid, dikata, diumpat dan dicerca. Elok orang datang hendak bermesra, disombong-sombongkan pula.

Sudah elok jadi orang masjid, akhlak kenalah jaga. Biarlah selari dengan apa yang dipakai. Jangan tempah dosa berganda-ganda. Sudah elok berpakaian Islam, kalau akhlak tidak dijaga nanti jadi fitnah pada agama. Kalau orang seperti saya, buat maksiat, orang hanya mengata saya. Tetapi orang berkopiah, berjubah jika buruk perangainya, itu mengundang fitnah pada agama.

Seorang alim yang saya rujuk mengenai hal-hal yang seperti ini mengingatkan: "Kalau orang agama begitu akhlaknya, begitu sombongnya ... ingatkan dia untuk periksa siapa yang sebenarnya dia sembah, ALLAH atau ego dirinya sendiri?" Jawablah sendiri! Muhamad Mat Yakim Sinar Harian Rencana 16 OKTOBER 2015

Tiada siapa terlepas himpitan kubur

Huzaifah berkata, Rasulullah SAW pernah mendatangi satu jenazah. Ketika sampai di kubur, Baginda duduk di tepi liang kubur dan Rasulullah SAW berkali-kali memandang ke dalam kubur itu lalu bersabda: "Di dalam kubur ini seorang Mukmin dihimpit dengan himpitan kubur yang menghancurkan anggota tubuhnya.

Sementara pada kubur orang kafir penuh dengan api neraka. Satu perkara yang perlu anda ingat dalam hidup kita, apabila tiba saat liang lahad terbuka dan jasad kita diturunkan ke dalamnya, satu perkara yang perlu kamu ingat ialah di mana akan berlakunya himpitan kubur."

Ada perbezaan antara himpitan kubur dan azab kubur. Himpitan kubur berlaku pada saat awal sebelum liang lahad ditutup dan hampir semua manusia akan melaluinya kecuali Nabi serta Rasul.

Riwayat Aisyah menyebut, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya kubur itu memiliki himpitan. Kubur ini, jika mayat itu turun berlaku himpitan. Lalu jika ada orang yang terselamat daripada himpitan kubur ini, nescaya Saad bin Muadz orang pertama yang terlepas daripada himpitan kubur."

Manusia akan mengalami himpitan kubur selepas dimasukkan ke liang lahad. - Gambar hiasan


Saad bin Muadz adalah antara sahabat Rasulullah SAW yang ketika gugur syahid, bergegar Arasy Allah SWT, malah malaikat juga turut menangis.

Faktor alami himpitan kubur

Berdasarkan perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menerusi program Mau'izati di IKIMfm setiap Khamis, jam 5.15 petang, ada beberapa faktor yang menyebabkan manusia mengalami himpitan kubur.

Menurut Rasulullah SAW, perkara pertama menyebabkan berlakunya himpitan kubur kerana cuai terhadap air kencing yang tidak dicuci dengan bersih dan ada kalanya terkena kepada pakaian yang kemudiannya dipakai untuk mengerjakan solat.

Menerusi hadis Rasulullah SAW yang dirujuk dalam kitab karangan Imam Jalaludin al-Suyuti, ketika Saad bin Muadz dikebumikan, Rasulullah SAW bertasbih diikuti sahabat Baginda.

Apabila sahabat diam, Rasulullah SAW bertakbir, dituruti oleh sahabat. Kemudian sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW kenapa Baginda bertasbih dan bertakbir.

Baginda menjawab, kubur orang salih itu telah dihimpit lalu Allah melapangkannya kembali. Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, selepas Rasulullah SAW mengebumikan Saad bin Muadz, Baginda SAW berucap di tepi kuburnya: "Jika ada di antara kamu yang boleh selamat daripada himpitan kubur, nescaya Saad bin Muadz lah yang pertama terlepas daripada himpitan kubur."

Himpitan kubur seperti disebut oleh Muhammad al-Taimi yang diriwayatkan Ibnu Abi al-Dunya, adalah seumpama himpitan seorang ibu kerana dari sanalah seseorang itu diciptakan atau seperti seorang ibu yang memeluk anaknya.

Lalu anak itu merungkaikan pelukan itu dan menghilang. Setelah itu kembali semula kepada ibunya dan dipeluk semula seperti pelukan orang tua kepada anaknya.

Himpitan dialami berbeza antara satu sama lain berdasarkan amalan. Oleh itu, sesiapa yang taat kepada Allah SWT akan mengalami himpitan penuh kelembutan dan kasih sayang tetapi mereka hidup dalam kemaksiatan, akan dihimpit dengan himpitan keras kerana bencinya Allah SWT kepadanya.

Terdapat perbezaan himpitan kubur yang dialami antara orang Mukmin dan orang kafir. Abu al-Qassim al-Said mengatakan, tidak ada seorang pun sama ada baik atau jahat yang akan terselamat daripada himpitan kubur.

Bagi orang kafir, himpitan kubur berlaku buat selama-lamanya, bermula selepas dimasukkan ke dalam kubur sehinggalah tiba hari akhirat.

Bagi orang Mukmin, himpitan kubur hanya dialami pada waktu mula-mula dimasukkan kemudian akan menjadi lapang selepas selesai urusan pengebumiannya.

Faktor kedua yang menyebabkan berlakunya himpitan kubur ialah akibat melakukan kesalahan lalu membiarkan kesalahan itu berpanjangan dan menangguhkan waktu untuk bertaubat.

Seterusnya, kurangnya rasa bersyukur kepada Allah SWT adalah faktor ketiga berlaku himpitan kubur. Jarang sekali kita menyebut Alhamdulillah seperti sejurus selepas bangun daripada tidur atau memanjatkan rasa syukur kerana dikurniakan pasangan hidup yang baik.

Gerakan pada kedua-dua kaki

Setelah jasad diturunkan ke liang lahad, terasa gerakan pada kedua-dua kaki. Ibnu Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Al-Walid bin Amru bin Muadz, katanya, "Pernah sampai kepadanya satu berita yang menyebut bahawa hal pertama akan dirasakan oleh mayat ketika turun ke liang kubur itu, dirasakan gerakan kedua-dua kakinya.

Lalu dia bertanya, siapa kamu? Kemudian dia menjawab, aku amalanmu. Lalu amal itu akan memukul paha kirinya, sambil berkata: Aku adalah amal perbuatan kamu ketika hidup di dunia dahulu.

Kemudian apabila jasad itu bertanya di mana keluarga serta apa yang diberikan Allah kepadanya sebelum ini, lalu amal itu berkata: Kamu telah meninggalkan keluarga dan segala kurniaan Allah, tiada apa yang mengikut kamu kecuali aku.

Mayat itu seterusnya menyebut: Seandainya aku mengetahui hanya amal yang akan mengikutku, maka aku akan mengutamakan kamu (amal) di atas dunia berbanding keluargaku dan segala yang diberikan kepadaku, tetapi sebaliknya aku sibuk dengan semua itu sehingga aku tertinggal amalan yang sepatutnya aku kerjakan."

Kemudian kita akan diperlihatkan malaikat Mungkar dan Nakir yang berwarna hitam kebiru-biruan berada hujung kaki untuk memulakan pertanyaan soalan azab kubur.

Saat diperhatikan malaikat itu, datang perasaan amat takut kepada Allah SWT kerana ketika di dunia kita hanya takut kepada perkara selain-Nya.