October 21st, 2015

Beza pendapat jangan sampai cetus konflik permusuhan

Islam bermaksud selamat, sejahtera, aman dan harmoni, maka sewajarnya umat Islam menjadi pendukung nilai kebaikan seperti cintakan keamanan, kedamaian serta keadilan sejagat.

Pengucapan 'assalam' adalah terjemahan daripada perasaan kedamaian yang ada dalam hati seseorang. Masyarakat negara ini beruntung kerana hidup dalam suasana harmoni dan aman tenteram.

Nikmat itu patut disyukuri kerana keharmonian membolehkan umat Islam dan bukan Islam hidup bersama serta melakukan aktiviti secara bergandingan.

Semua itu dapat dikekalkan selagi semua pihak menghormati prinsip yang dipersetujui bersama. Mereka bebas berinteraksi dalam persekitaran sosial serta berintegrasi dengan semua lapisan masyarakat berbilang bangsa serta agama.

Sehingga ke saat ini, masyarakat masih mengamalkan toleransi, sifat terbuka dalam hubungan sosial, menggalakkan kesatuan, integrasi masyarakat, meluaskan ruang bersama, saling memahami serta menghormati.

Suasana yang kondusif ini tidak terdapat di negara lain yang mempunyai pelbagai bangsa, agama dan ras berbeza. Justeru, keharmonian ini perlu dipelihara demi kemaslahatan semua rakyat.

Perbezaan pendapat

Perbezaan pendapat mengenai sesuatu isu bukan perkara baharu kerana masing-masing ada pandangan tersendiri.

Bahkan dalam satu kumpulan besar pun perbezaan pendapat tidak boleh dihalang. Namun, membiarkannya secara tidak terkawal amat berbahaya.

Apatah lagi apabila ia membabitkan sentimen kemarahan dan kebencian. Sentimen sebegini menjadi api pemusnah dan kita telah diberi peringatan bahawa api tatkala kecilnya menjadi kawan, besarnya menjadi lawan.

Bagaimanapun, sikap longlai dalam menyelesaikan masalah sehingga menjurus kepada konflik berpanjangan boleh menjadi kuman berbahaya apabila merebak tanpa kawalan.

Maka timbullah kata mengata, rendah merendah dan jatuh menjatuhkan dalam pertelingkahan tanpa batasan itu. Apatah lagi virus sedemikian amat mudah tersebar melalui media maya.

Pelbagai tulisan berserta gambar yang negatif dan mendorong ke arah pertelingkahan terus menerus menjadi viral. Tanpa ragu kita tidak mempersoalkan kesahihan berita dan gambar berkenaan, melainkan terus mempercayainya. Kesannya, muncul pelbagai sebaran perkara negatif dalam kehidupan bermasyarakat yang kini menjadi budaya yang menyeronokkan.

Ia bertentangan peringatan Rasulullah SAW: "Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya." (Riwayat at-Tirmizi)

Pengurusan konflik penting kerana konflik tidak dapat dielakkan. Jika konflik diuruskan secara proaktif, ini akan memberikan kelebihan kepada negara, tetapi jika gagal diuruskan dengan baik, banyak risiko dan kesan terpaksa dihadapi rakyat.

Kita tidak boleh membiarkan konflik dan pertembungan isu sensitif dibiarkan tanpa ada tindakan untuk menyelesaikannya. Lebih malang lagi apabila pelbagai isu sensitif dan mengancam perpaduan serta keharmonian diperbesarkan.

Empat peringkat tangani konflik

Menurut Islam terdapat empat peringkat menangani konflik antara kaum iaitu pertama, al-Ta'aruf (berkenal-kenalan). Bagi masyarakat negara ini, hendaklah mengetahui dan mempelajari sejarah, latar belakang, budaya serta adat resam setiap kaum di Malaysia.

Keduanya, al-Tafahum (memahami) untuk menghilangkan prasangka kaum manakala ketiga, al-Tadhamum (bekerjasama) antara satu sama lain. Selepas kita memahami antara kaum, maka kita boleh bekerjasama dalam semua perkara.

Keempatnya, al-takaful (saling membantu). Tahap ini sebenarnya mampu untuk menghilangkan konflik dan rasa perkauman.

Namun, semua bergantung kepada keinginan kita untuk mengekal dan mempertahankan keamanan serta kestabilan yang dinikmati sekian lama.

Rasulullah SAW bersabda: "Demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman. Lalu ditanya, siapa (yang tidak sempurna imannya) wahai Rasulullah? Jawab Baginda: iaitu orang yang tidak memberi ketenteraman kepada jirannya dengan sebab kejahatan yang dilakukannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pembentukan satu rupa bangsa yang berlainan dalam banyak perkara termasuk pegangan agama, kepercayaan, amalan dan adat resam bukan mudah untuk diuruskan. Namun, berkongsi hidup secara aman dan saling membantu bukanlah satu yang mustahil untuk dilaksanakan.

Hak, tanggungjawab, ihsan resipi hidup bahagia

DALAM kehidupan ini ada beberapa perkara yang mesti difahami dengan betul supaya ia tidak mengeruhkan keharmonian. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin membicarakan isu hak, tanggungjawab dan ihsan dalam rancangan Pesona D'Zahra yang bersiaran setiap Isnin, jam 10.15 pagi di radio IKIMfm.

Hak perkara yang perlu diperoleh. Contohnya, hak bagi seorang isteri terhadap suaminya adalah nafkah zahir dan batin. Ini termasuk tempat tinggal, makanan dan minuman, pakaian, perasaan dan lain-lain.

Begitu juga hak yang sepatutnya diperoleh oleh anak dari segi pendidikan, perbelanjaan harian di sekolah dan sebagainya. Antara yang sering diabaikan ialah hak anak untuk mendapatkan ibu yang salihah, nama yang baik dan mengajarnya dengan al-Quran.

Pernah seorang lelaki datang menemui Khalifah Umar al-Khattab mengadukan mengenai anaknya yang derhaka terhadapnya. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya. Anak itu menjawab: "Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?"

Umar menjawab: "Ya." Anak itu bertanya lagi: "Apakah ia wahai Amirul Mukminin?" Jawab Umar: "Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran)." Anak itu lalu membalas: "Wahai Amirul Mukminin!

Sesungguhnya ayahku tidak pernah melakukan satu pun perkara kau nyatakan itu.

KEHARMONIAN dalam sesebuah keluarga dapat diwujudkan jika ada ihsan dalam diri pasangan. - Foto hiasan

Ibu saya seorang perempuan Majusi. Saya pula diberikan nama 'Ju'alan' iaitu sejenis kumbang hitam.

Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun daripada al-Quran."

Umar lantas berkata kepada lelaki itu: "Kamu datang mengadu anakmu derhaka, walhal kamulah yang terlebih dulu derhaka terhadap anakmu."

Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri. Ini adalah antara hak anak yang mesti ditunaikan oleh ibu bapa mereka.

Perkara kedua ialah disebut tanggungjawab. Tanggungjawab bermaksud apa yang perlu diberi atau dilaksanakan. Hak isteri ialah diberi nafkah zahir dan batin oleh seorang suami, manakala tanggungjawab isteri pula ialah mentaati dan hormat kepada suami, menjaga maruah suami, memelihara dan membesarkan anak.

Ada ketikanya, kita begitu kuat berjuang untuk mendapatkan hak kita, namun kita juga dalam masa yang sama tidak pun melaksanakan tanggungjawab kita. Tanggungjawab adalah amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak sama ada ditunaikan atau tidak.

Ihsan dilaksana kerana sayang

Perkara ketiga ialah disebut ihsan. Ihsan bukan tanggungjawab tetapi dilakukan lebih kerana perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Ia tidak akan dipersoalkan pada hari akhirat kelak jika tidak dilaksanakan sekalipun.

Contoh antara perkara yang dikira ihsan ialah seperti membawa anak isteri bercuti dan melancong atau membelikan hadiah hari jadi dan sebagainya.

Ia bukan tanggungjawab bapa atau hak anak dan isteri, tetapi lebih kepada ihsan bapa kepada keluarganya. Kebiasaannya sering terjadi anak atau isteri menuntut perkara begini hanya kerana kawan mereka memilikinya sedangkan ia bukan hak mereka yang wajib ditunaikan oleh bapa atau suami.

Jika dilaksanakan oleh bapa atau suami dengan niat menggembirakan keluarganya sudah pasti akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Jika perkara ihsan ini tidak dilaksanakan ia bukanlah suatu kesalahan.

Jangan kita meletakkan perkara ihsan ini sebagai suatu yang wajib kerana ia pasti akan membebankan suami atau bapa. Begitu juga bagi isteri memasak, mengemas rumah dan membasuh baju.

Ia bukan tanggungjawab mereka, tetapi dilakukan kerana ihsan.

Sentiasa berjiwa besar

Walaupun ihsan itu sifatnya harus, namun ia amat digalakkan dilaksanakan bagi yang berkemampuan. Sebagai contoh mudah membezakan antara tanggungjawab dan ihsan ialah bandingan antara zakat dan sedekah.

Zakat adalah tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam yang cukup syaratnya, namun sedekah perkara harus yang digalakkan kepada mereka yang ingin mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Contoh lain dalam hal ihsan ialah seperti membantu adik-beradik yang kesusahan atau membantu saudara Islam yang miskin. Walaupun dari segi tanggungjawab ia bukan tanggungjawab kita membantu, namun bantuan seperti itu mencerminkan orang yang mempunyai ketakwaan yang tinggi.

Bagaimanapun di pihak yang menerima bantuan, jangan pula menganggap pertolongan daripada orang lain itu adalah hak dan tanggungjawab orang tersebut. Mereka perlu menjadi orang yang sentiasa bersyukur dan berpada (qanaah) serta tidak tamak.

Orang yang paling kaya ialah orang yang banyak bersyukur, demikian ujar Imam al-Ghazali.

Kesimpulannya, dalam hidup berumah tangga masing-masing hendaklah sentiasa berjiwa besar, berlapang dada dan saling bertoleransi antara satu sama lain.

Jangan masing-masing bertegas menuntut hak, Apa yang lebih utama ialah tunaikan tanggungjawab dan memperbanyakkan buat kebaikan atau ihsan dan melepaskan sebahagian hak kita dan memaafkan kekurangan pasangan kita.

Dengan cara ini pasti wujudkan keharmonian rumah tangga.

Kebebasan beragama ikut Perlembagaan

BEBERAPA perkara asas Perlembagaan yang sering dianggap sensitif dan tidak mudah untuk dibincangkan secara terbuka ialah hal berkaitan hubungan antara penganut agama.

Agama adalah satu perkara yang begitu dekat dengan diri dan hati penganutnya. Soal sensitiviti ini amat benar kerana kita sudah saksikan sejarah dunia mengenai persengketaan, bahkan peperangan akibat kegagalan sistem sosial dan perundangan menangani permasalahan antara penganut agama.

Bagi negara dan masyarakat kita, sistem sosial dan perundangan sentiasa mengambil berat perkara ini. Perlembagaan kita yang digubal dalam keadaan di mana soal sensitiviti agama dan perubahan landskap kewarganegaraan begitu terzahir sudah mengambil perhatian yang begitu mendalam mengenai sensitiviti agama.

Perlembagaan mencipta formula penting dalam hubungan antara penganut agama ini. Perlembagaan juga mengambil perhatian mengenai sensitiviti agama masyarakat Islam selaku kumpulan terbesar dari segi bilangan dan penganutnya.

Kebebasan beragama

Dalam soal ini juga Perlembagaan mengambil pendekatan yang begitu baik dalam menjaga sensitiviti masyarakat beragama yang bukan menganut agama Islam.

Mereka dibenar dan dijamin oleh Perlembagaan mengenai hak dan kebebasan menganut dan mengamal agama mereka. Agama sudah membentuk satu konsep penting dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ketika penggubalan Perlembagaan tidak lupa hubungan antara penganut agama. Apatah lagi apabila Perlembagaan kita ini digubal dalam keadaan kesukaran pengaruh komunis yang diketahui sebagai satu fahaman yang menolak ketuhanan.

Dalam proses kemerdekaan itu sudah dizahirkan kebimbangan dalam kalangan penganut agama bukan Islam mengenai hak mereka, terutama hak kebebasan beragama.

Dalam usaha menjaga kedudukan Islam sebagai agama negara, Perlembagaan meletakkan dasar yang sangat jelas mengenai agama dan hubungan antara penganut agama, iaitu setiap agama boleh diamalkan dalam keadaan 'aman dan damai'.

Formula ini disebut dengan jelas dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama bagi negara. Formula ini tidak diberikan penjelasan secukupnya dalam dokumen sejarah Perlembagaan.

Walaupun tiada dokumen yang memberikan penjelasan secukupnya mengenai formula itu, saya fikir kita sudah begitu jelas dengan prinsip yang ada, iaitu, setiap anutan atau amalan agama hendaklah sentiasa mementingkan keamanan dan keharmonian atau kedamaian dalam negara.

Keamanan dan kedamaian ini bukan hanya merujuk kepada tanggungjawab yang dipikul oleh penganut agama, termasuk juga hal berkaitan agama Islam.

Walaupun Islam itu adalah agama negara, anutan dan amalan agama berkenaan juga perlu diamalkan dengan aman dan damai sebagaimana ajaran dan kehendak agama Islam itu sendiri.

Kesejahteraan awam

Jika dirujuk kepada ajaran agama Islam, peruntukan Perlembagaan kita adalah menepati prinsip Islam sebenar, iaitu mementingkan kesejahteraan awam dalam menentukan perhubungan antara penganut agama.

Antara kebimbangan yang dizahirkan ketika cadangan Parti Perikatan untuk memasukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan ialah mengenai paksaan yang mungkin dikenakan oleh Islam ke atas penganut agama lain.

Penzahiran kebimbangan ini diambil perhatian oleh Parti Perikatan dengan menyatakan jaminan mengenai kebebasan beragama. Oleh itu kebebasan beragama disebut dalam Perkara 3 yang menyatakan mengenai bolehnya agama lain diamalkan.

Selain itu, kebebasan beragama juga dijamin oleh Perkara 11. Penzahiran kepada kebimbangan itu dapat menyelesaikan polemik pada ketika itu.

Menurut ajaran agama Islam yang sebenar, masyarakat yang menganut agama lain tidak perlu bimbang kepada 'paksaan' kerana agama Islam tidak membenarkan umatnya membuat paksaan bagi tujuan pemelukan kepada agama Islam.

Dalam ayat suci al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 157. Pendekatan Islam ini disokong oleh peruntukan Perlembagaan dengan adanya peruntukan dalam perkara 3(1) dan Perkara 11.

Oleh itu, penganut agama lain tidak lagi perlu gusar kepada 'paksaan' ke atas mereka untuk menganut agama Islam. Hak kebebasan itu bukan sahaja dalam ajaran agama Islam, tetapi dimaktub dan seterusnya dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Untuk orang Islam,

Perlembagaan menjaga mereka dengan baik untuk menganut dan mengamal agama mereka. Janganlah pula mereka sendiri yang menentang ajaran agama sendiri. Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian Kolumnis 21 Oktober 2015