October 27th, 2015

Sayap kapal terbang, sayap malaikat

SAMPAI akhirnya. Alhamdulillah! Ketika hampir mendarat mata saya terpaku kepada sayap pesawat SV 828. Hebat sekali otak manusia yang mampu mencipta kapal terbang hingga mampu digerakkan dengan struktur fizikalnya yang unik. Pergerakan sejauh ribuan kilometer dikawal hanya dengan beberapa enjin dan dua sayap. Lalu hati teringat kehebatan makhluk Allah yang jauh lebih banyak sayapnya iaitu para malaikat.

Semuanya adalah pantulan kehebatan Allah


SAYAP kapal terbang, sayap malaikat memang hebat tetapi ia tidak lebih sekadar pantulan kehebatan Allah Yang Maha Esa. - GAMBAR HIASAN -

Anda pernah melihat malaikat? Anda percaya malaikat? Ya! Sudah pasti! Ia adalah antara rukun iman. Walaupun tidak kelihatan di mata, malaikat sentiasa dekat di hati manusia. Manusia kufur sejahat Firaun pun percaya wujudnya malaikat: “(Firaun berkata lagi)(Kalau betul dia seorang Rasul) maka sepatutnya dia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya).” (al-Zukhruf[43:53]).

Bukan setakat itu, watak adiwira pembela manusia tertindas pun dikhayalkan sehebat malaikat. Mampu terbang, bergerak sepantas kilat dan melakukan yang mustahil.

Dalam bicara al-Quran, malaikat adalah duta Allah kepada manusia: “Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap, dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakan-Nya apa jua yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Fatir [35:1]).

PELBAGAI PORTFOLIO MALAIKAT


Rupanya malaikat juga dipanggil “Rasul” atau “utusan Allah” dengan pelbagai jawatan dan portfolionya:“Allah memilih utusan-utusan-Nya daripada malaikat dan manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Hajj[22:75]).

Antara jawatan tetap `kerasulan’ mereka adalah pencatat rekod amalan dan mengambil nyawa: “Dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hamba-Nya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (Malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).” (al-An’am [6:61]).

Ayat surah Fatir di atas menyebut antara `spesifikasi utama’ para malaikat adalah bersayap dan sayap mereka pula berbeza mengikut kehendak Allah.

Samalah seperti dunia manusia, enjin berbeza membawa kapasiti dan kemampuan berbeza pada pesawat ciptaan manusia.

Jibril a.s. diiktiraf antara malaikat terkuat yang sangat bijaksana:“Wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (Malaikat Jibril yang amat kuat gagah lagi mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal,” (al-Najm[53:5-6]).

“Kekuatannya pula ditambah pada sayapnya yang bukan dua, tiga atau empat tetapi mencecah 600 buah sayap. Antara dua sayapnya seluas timur dan barat.” - Sahih Bukhari, Muslim.

Segala kepelbagaian ini jelas menunjukkan Allah adalah Tuhan sebenar alam semesta yang mampu mencipta dalam berbagai rupa bentuk. Selepas ini jika anda berasa kagum dengan kehebatan malaikat, keindahan alam atau kehebatan manusia, segeralah ingat bahawa mereka semua hanyalah pantulan kehebatan Allah di alam ini. Janganlah kita terpedaya pada kanvas sebaliknya kagumilah Pencipta atau Pelukis kanvas tersebut.

Semoga musafir haji kali ini memberi pengajaran yang penting untuk hidup kita semua. Ya Allah, terimalah ibadah haji kami ini sebagai `Haji yang Mabrur’ dan mengubah kami menjadi hamba-Mu yang senantiasa istiqamah dalam ketaatan sehingga akhir hayat kami.


Ikut semangat Aus, Khazraj satu padukan umat

SELEPAS hijrah Nabi Muhammad SAW, tidak ada hijrah lagi, namun semangat berpindah atau melakukan perubahan ke arah keadaan lebih baik adalah hikmah perlu difahami serta dihayati daripada peristiwa yang diraikan umat Islam di negara ini setiap tahun.

Penolong Pengarah Pengurusan Pengembangan Syiar Islam, Unit Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Abd Aziz Disa, berkata ini kerana impak hijrah memberi satu perubahan kepada diri mereka yang melakukannya.

Mengimbau kronologi peristiwa sebelum Nabi Muhammad SAW membuat penghijrahan meninggalkan Makkah ke Madinah dalam usaha memastikan Islam tersebar serta berkembang luas, katanya, setiap ujian dihadapi membawa hikmah tersendiri.

"Ia menjelaskan kepada kita peringatan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: "Adakah manusia yang mengaku beriman itu menyangka mereka tidak akan diuji. Allah SWT menguji setiap kita dengan ujian yang pelbagai," katanya pada ceramah sempena Maal Hijrah di Surau The New Straits Times Press (NSTP), baru-baru ini.

Katanya, mereka yang kuat diuji ialah Rasul yang menyampaikan dakwah kepada umatnya khususnya Rasul ulul azmi kerana memiliki ketabahan serta kesabaran luar biasa menghadapi cabaran menyebarkan agama Allah SWT sementara Rasulullah SAW paling banyak diuji.

Kesedaran kepada umat Islam

Abdul Aziz berkata, ujian dihadapi Rasulullah SAW jika dikenang kembali sepatutnya memberi kesedaran kepada umat Islam hari ini yang hidup dalam suasana di mana mereka bebas melakukan ibadah serta mengamalkan ajaran Islam sebenar.

Sedangkan katanya, dalam usaha menyebarkan agama Islam, Baginda SAW yang diutuskan Allah SWT dinafikan hak kebebasan untuk beribadah, malah Baginda diganggu serta ditawarkan pelbagai perkara termasuk harta dan kuasa dengan syarat sanggup meninggalkan Islam.

Antara dugaan dihadapi Nabi Muhammad SAW, diletakkan najis haiwan di kepala Baginda ketika beribadah di Kaabah oleh Aqabah bin Abi Muit. Baginda juga cedera apabila cuba mengajak penduduk Taif kepada Islam.

"Malah Musyrikin Makkah pernah menawarkan syarat menang-menang kepada Rasulullah SAW iaitu tahun ini mereka menyembah Tuhan Baginda, manakala tahun hadapan pula Baginda menyembah Tuhan mereka pula.

"Tidak berjaya dengan pujukan, mereka membuat pemulauan ekonomi dan menurut riwayat keadaan itu berlanjutan tiga tahun menyebabkan umat Islam terpaksa makan daun kayu. Tetapi Rasulullah SAW dan sahabat tetap bertahan. Ada juga usaha mendapat pertolongan pihak lain, tetapi tidak berjaya," katanya.

Beliau berkata, melihat tentangan dihadapi Rasulullah SAW itu sepatutnya menimbulkan kesedaran di jiwa umat Islam untuk menghargai nikmat Islam dikurniakan serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dalam setiap aspek kehidupan.

Hayati maksud ayat al-Quran

Abd Aziz berkata, antara caranya ialah mempelajari al-Quran, memahami maksud ayat dan menghayati mesej disampaikan kerana bagi mereka yang membaca kalam Allah SWT itu berapa ramai yang berasa gerun dengan amaran diberi.

Mengambil contoh amalan membaca surah Yasin dalam kalangan masyarakat Islam, adakah ayat yang dibaca, malah dihafal kebanyakan kita berjaya menimbulkan rasa gerun kerana terdapat cerita mengenai neraka serta azab seksaan.

"Jika kita faham ayat dalam surah Yasin itu, kita akan takut untuk membuat kesilapan kerana Allah sudah beri amaran iaitu di mana pada Hari Kiamat nanti mulut akan dikunci sebaliknya tangan yang akan memberitahu kesalahan dilakukan. "

Sebaiknya kita mula belajar al-Quran dengan betul jika tidak mahu malu di hadapan Allah SWT nanti. Sekarang pun kita sudah ada ramai ahli ibadah, tetapi melakukan ibadah dalam keadaan jahil. Jangan kita mati dalam keadaan tidak mula berhijrah mendekatkan diri dengan agama Allah SWT," katanya.

Katanya, sirah yang berlaku kepada umat terdahulu ibarat kitaran hidup dan ia akan berulang justeru, umat Islam perlu belajar daripada sirah, melihat kejadian menimpa umat sebelum ini serta mengambil pengajaran daripadanya.

Mengaitkan sirah dengan perkembangan semasa, beliau mengambil contoh keadaan umat Islam yang terpaksa membawa diri mendapatkan bantuan dari negara bukan Islam disebabkan kekacauan berlaku di negara mereka.

Beliau berkata, umat Islam dahulu pergi ke Habsyah untuk meminta perlindungan serta menyelamatkan keimanan mereka.

Kedatangan mereka disambut baik pemerintah Habsyah walaupun ada usaha pihak Musyrikin membawa mereka kembali ke negara asal.

Umat Islam kini saling berdengki

Malangnya, adalah menyedihkan apabila negara Islam hari ini tidak menerima saudara mereka, malah antara umat Islam pula saling berdengki.

Oleh itu katanya, keadaan itu perlu diubah dan umat Islam perlu mengambil semangat kaum Aus dan Khazraj yang membantu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

"Pada masa sama kekalkan semangat untuk mengamalkan sunah Rasulullah SAW. Tanya diri apa kita buat untuk mempertahankan Rasulullah SAW kerana tidak malukah kita nanti tidak berbuat apa-apa, tetapi di akhirat ingin meminta syafaat Baginda," katanya. Berita Haraian Rencana 27 Oktober 2015