October 30th, 2015

Khutbah Jumaat ~ “Penyelewengan Syiah”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 23 Oktober 2015:  JAIS

“Penyelewengan Syiah”

Islam merupakan agama anutan sebahagian besar rakyat Malaysia khususnya Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kebanyakannya bermazhab al-Syafie dalam menjalankan tanggungjawab menyebarkan ajaran Islam yang sebenar, mereka telah berjaya mencipta satu tamadun dan kesultanan Islam yang amat disegani dirantau ini.

Mereka menjadi umat yang digeruni dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain sehinggakan agama Islam diberi kedudukan khas dalam Perlembagaan Malaysia dengan memperuntukannya sebagai agama persekutuan.

Demi tanggungjawab dan amanah menjaga akidah umat Islam dari dicemari oleh anasir-anasir yang menyeleweng, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dengan tegas telah memutuskan bahawa ajaran Syiah adalah satu ajaran yang bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar sama ada dari sudut akidah mahupun syariah.

Mereka juga telah mengkafirkan para sahabat Nabi SAW terutama Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, Sayyidina Omar al-Khattab, Sayyidina Osman Bin Affan dan Sayyidatina Aisyah Ummul Mukminin.

Mereka juga mempercayai bahawa para Imam Syiah adalah maksum dan tidak melakukan sebarang dosa. Mereka juga meyakini bahawa Muhammad Bin Hassan al-Askari adalah Imam Mahdi yang dijanjikan, mereka mendakwa al-Quran yang sebenar adalah al-Quran yang mengandungi tujuh belas ribu ayat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9: “Sesungguhnya kamilah yang menurunkan al-Quran dan kamilah yang memelihara dan menjaganya”

Antara ajaran Syiah yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar juga ialah

i) mereka mengamalkan prinsip at-Taqiyyah iaitu prinsip berpurapura dengan menyembunyikan akidah mereka yang sebenar apabila berada bersama pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
ii) mereka juga meletakkan Sayyidina Ali RA sama taraf dengan Allah SWT.
iii) mereka mendakwa jawatan Khalifah dan Imamah adalah sebahagian dari rukun Islam dan pelantikannya adalah diwasiatkan secara nas.
iv) mereka mempercayai bahawa Ilmu Allah boleh berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia.
v) mereka menghalalkan perkahwinan mut’ah, iaitu perkahwinan kontrak bagi tempoh tertentu sahaja.
vi) mereka juga menokok tambah dua kaliamah Syahadah yang telah ditentukan lafaznya, dengan memasukkan Sayyidina Ali dalam lafaz syahadah mereka.
vii) mereka mengharuskan dan mengamalkan solat jamak dalam semua keadaan sekalipun semasa senang dan tidak musafir.
viii) mereka mencederakan diri setiap kali tibanya tanggal 10 muharram

Satu wasiat yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua, seperti mana yang diriwayatkan daripada al-‘Irbad B. Sariah, wasiat baginda yang bermaksud: “Hendaklah kamu semua tetap teguh di atas sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang telah mendapat petunjuk Allah, gigitlah ia dengan gigi geraham. Jauhilah daripada perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap bid’ah itu adalah sesat”. (Riwayat Ibnu Majah, Abu Daud dan at-Tirmizi).

Untuk itu marilah sama-sama kita berwaspada daripada ajaran yang sesat dan menyesatkan ini dengan mengambil tindakan berikut:

1. Menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti dan ajaran Syiah seperti yang dinyatakan dalam khutbah ini seperti yang difatwakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kerana ia bertentangan dengan akidah Islam yang sebenar.

2. Umat Islam yang telah terpengaruh dengan ajaran Syiah hendaklah segera bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar

3. Sentiasa berusaha mempelajari dan memahami akidah dan syariat Islam yang benar melalui ulama yang muktabar dan dari sumbersumber Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sah.

4. Pastikan kita dan anak-anak kita mendapat pendidikan Islam dengan sempurna dari guru-guru yang mempunyai ilmu yang mantap berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

5. Sekiranya ada fahaman dan amalan yang mengelirukan maka hendaklah segera merujuk kepada pihak-pihak yang berwibawa dan berautoriti seperti Mufti, jabatan agama Islam dan guru-guru yang diiktiraf.

“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali”. (an-Nisa’: 115)

Wallahualam.

Tandas kena kotor sebab rumah syaitan?

UMAT manusia sama ada yang baik, nampak baik, berlakon baik atau sememangnya jahat rasanya sepakat mengakui bahawa iblis iaitu bapa kepada syaitan ialah musuh utama manusia.

Malah jika ditanya Perdana Menteri kepada negara haram Israel, Benjamin Netanyahu rasanya dia akan mengakui bahawa makhluk ghaib itu punca segala kejahatan di dunia ini.

Barangkali kerana memahami maksud tersirat ini menyebabkan orang kita kurang gemar menjaga kebersihan tandas yang merupakan rumah syaitan. Tandas kena kotor, sebab nak pastikan syaitan sedih dengan kekotoran!

Apa yang peliknya, tandas di rumah masing-masing pandai pula memastikan kebersihannya tetapi apabila tiba kepada tandas awam atau masjid, langsung tidak dijaga kebersihannya.

Dalam kes-kes tertentu, niat asal untuk menyempurnakan ‘hajat’ di tandas kebanyakan masjid terpaksa dibatalkan apabila dari jauh terbau semerbak aroma hancing, pintunya terpaksa disendal dengan batang kayu, langkahan masuk disapa dengan najis kering dan terapung. Malangnya masjid iaitu rumah Allah itu dicat dan dijaga dengan elok, tetapi tandasnya?

Diakui memang terdapat tandas masjid yang bertaraf lima bintang, tetapi kenapa perlu terjadi perbezaan antara masjid-masjid lain. Adakah ajaran Islam mengenai pentingnya menjaga kebersihan berbeza di tempat-tempat lain?

Penulis tertarik dengan cadangan seorang rakan dalam kumpulan WhatsApp yang mencadangkan alternatif kepada pihak pengurusan masjid dan jemaah yang malas bagi memastikan tahap kebersihan tandas sentiasa terjaga.

“Dalam setiap daerah lazimnya mempunyai lima buah masjid mukim. Setiap masjid boleh buat sedikit bayaran kepada satu syarikat pencuci, bermakna dalam sebulan sebanyak RM5,000 dapat dikumpulkan. Syarikat ini boleh membuat giliran untuk mencuci tandas-tandas masjid terlibat.

“Kosnya macam mana? Jika malas kenalah berkorban sedikit atau alternatif lain yang boleh difikirkan ialah seperti menyewa sedikit tanah masjid atau bahagian tertinggi bangunan untuk didirikan tapak pencawang telekomunikasi. Sebahagian daripada kadar sewa ini boleh digunakan untuk kerja-kerja mencuci ‘rumah syaitan itu’,” kata rakan penulis itu.

Sebenarnya di dalam al-Quran terdapat pujian khusus Allah terhadap jemaah Masjid Quba’ yang menjaga kebersihan tandasnya. Pada suatu hari Rasulullah SAW terpegun dengan pujian Allah itu, lantas segera dihantar wakil bertanyakan apakah rahsia amalan mereka sehingga mengundang pujian Allah dalam ayat ini?

“Jangan engkau sembahyang di masjid itu (Masjid Dhirar yang dibina orang munafik) selama-lamanya, sesungguhnya masjid yang didirikan di atas dasar takwa (Masjid Quba’) sejak hari pertamanya sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin),” (al-Tawbah [9:108]).

Menurut Musnad Ahmad dan Tafsir Ibn Kathir: Mereka akan membersihkan kemaluan dan tempat menunaikan hajat “dengan air” setiap kali selesai menunaikan hajat. Nampak seperti remeh tetapi mereka yang pembersih amat tinggi nilainya di sisi Allah. Lebih hebat lagi pujian ini kekal dalam al-Quran dan diulang baca oleh manusia sehingga kiamat!

Sementara itu, tidak menyucikan diri dengan sempurna selepas kencing juga boleh mengundang azab kubur. Seperti tidak logik tetapi itulah hakikatnya. Memang terdapat hadis Rasulullah SAW mengenainya: Pada suatu hari baginda bersama para sahabatnya melewati sebuah kubur, lalu baginda berkata:

“Mereka berdua (dalam kubur ini) sedang diazab, dan sebab mereka diazab bukanlah (kerana jenayah yang) besar pun. Rasulullah kemudiannya berkata: Sebenarnya ia memang dosa yang besar; seorang daripada mereka kencing secara terbuka. (Dalam riwayat lain disebut) “dia diazab kerana tidak benar-benar bersih daripada kencingnya. Manakala yang seorang lagi diazab kerana berjalan dengan umpatan (melaga-lagakan orang),” - Sahih Bukhari, Sunan al-Nasa’i.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa walau sebersih mana sesebuah tandas ia masih tetap rumah syaitan, cuma inisiatif itu bakal meningkatkan kemarahan makhluk itu apabila imej Islam bakal naik selari dengan kebersihan sebuah tandas.

- Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana Agama 29 Oktober 2015 6:10 PM

Khutbah Jumaat ~ Jihad Ilmu

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat 30 Oktober 2015M/ 17 Muharram 1437H JAWI

Jihad Ilmu

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW pernah berpesan : َحَّت ى يَرْ ج َع َّ ه مَ ْن خَرَ َج ف ي َطلَ ب الْع لْم كَانَ ف ي َسب ي ل الل Bermaksud : Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu, sesungguhnya dia sedang berada pada jalan Allah sehinggalah dia pulang.

Kemuliaan yang Rasulullah SAW letakkan kepada penuntut ilmu adalah setanding mereka yang keluar berjihad melawan musuh Allah SWT. Bahkan yang lebih menggembirakan apabila Allah SWT juga mengiktiraf dan memandang mulia kepada mereka yang tinggi ilmunya.

Bukankah Allah SWT telah menyatakannya di dalam Surah Al-Mujadalah, ayat 11 sepertimana yang dinyatakan pada muqaddimah khutbah sebentar tadi, yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah, niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Timbalah ilmu setiap hari walau di mana jua kita berada, mudah-mudahan darjat kita di sisi Allah SWT juga semakin tinggi.

Nama-nama gah seperti Ibnu Sina sebagai sumber khazanah perubatan, AlBattani menerajui ilmu astronomi, Al-Khawarizmi disanjungi sebagai bapa matematik dan ramai lagi menjadi sebutan dan rujukan masyarakat seluruh dunia.

Gejala meninggalkan ilmu menyebabkan sesuatu masyarakat akan dilambakkan dengan orang-orang yang jahil. Bayangkan, apabila orang-orang yang jahil yang menjadi majoriti dalam masyarakat, sudah tentu mereka akan mengangkat orang jahil jua menjadi pemimpin.

Islam menyeru umatnya agar mendalami dan mengukuhkan ilmu pengetahuan sepanjang masa.

Pertama : Gunakan semua saluran ilmu yang ada

Kedua : Buang perasaan malu dan fikiran negatif demi ilmu.

Ingatilah perintah Allah SWT melalui Surah An-Nahl, ayat 43:Bermaksud : “Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

Ketiga : Mendekati para ulamak dan duduk bersama mereka.

Riwayat Imam Ahmad daripada Anas bin Malik RA: Bermaksud : “Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu di bumi adalah seperti bintang-bintang di langit, yang memberi tunjuk arah dalam kegelapan di daratan mahupun lautan. Apabila bintang telah malap, maka hampirlah juru petunjuk itu kepada kesesatan.”

Prof. Dr. Hamka menukilkan kalimah Imam Malik di dalam Tafsir Al-Azhar : “Ulamak adalah pelita pada zamannya. Tanpa pelita ulamak ini, manusia akan meraba-raba dalam kegelapan. Tidak tahu mana putih dan mana hitam.”

Keempat : Umat Islam perlu berusaha membuat kajian baru berdasarkan ilmu demi kebaikan manusia.

Rasulullah SAW melalui riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA : ُِإَّل ا م ْن ثَلَاثَةٍ، ه ُ عَمَل ُ انْقَطَ َع عَنْه ُ ِإنْسَان ِإذَا مَا َت ا ْل ٍ ع ب ه َأ ْو وَلَدٍ َصا لح نْتَفَ ُ ُ ِإَّل ا م ْن َصدَقَةٍ جَار يَةٍ َأ ْو ع لْمٍ ي ي َدْعُو ل َه ُ Bermaksud : “Apabila matinya manusia, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah yang digunakan terus menerus atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang sering mendoakannya.”

Mimbar ingin merumuskan bahawa :

Pertama : Ilmu akan menjadikan kita lebih terpandu dalam menjalani kehidupan berlandaskan syariat.
Kedua : Tidak mustahil kita mengulangi kegemilangan ilmu yang pernah dipelopori oleh umat Islam suatu ketika dahulu, asalkan budaya ilmu diterapkan di setiap peringkat.
Ketiga : Jihad ilmu dituntut daripada setiap umat Islam sama ada lelaki mahupun perempuan sepanjang masa kehidupan mereka.

Renungi firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hajj ayat 54 sebagai pedoman agar kita menyedari betapa pentingnya ilmu yang membawa kita kepada rahmat Allah SWT : Bermaksud : “ dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahwasanya Al Quran itulah yang hak dari Rabmu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadaNya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus.”

Wallahualam.

Kemajuan teknologi landasan sebar fitnah tanpa sedar

PENYEBARAN fitnah sememangnya mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web serta e-mel membolehkan penyebaran maklumat dilakukan dengan mudah, cepat, meluas dan murah.

Sepatutnya semakin ramai golongan berpendidikan maka tidak ramai yang terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Namun sebaliknya, bahkan ada golongan berpendidikan turut menjadi penyambung kepada lidah fitnah yang disebarkan itu. Berita diterima perlu dipastikan kesahihannya.

Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran sepatutnya menjadikan kita tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang tidak diasaskan daripada kebenaran tetapi bertujuan mencemarkan nama baik orang lain.
KEMAJUAN teknologi komunikasi jika tidak digunakan sebaiknya mampu menjadi punca masalah kepada masyarakat. - Foto hiasan
Bagi pemfitnah, semakin luas sebaran maklumat yang ditulis bermakna keuntungan diharapkan telah diperoleh.

Namun, mereka lupa keuntungan dinikmati di dunia ini boleh menjadikan mereka muflis di akhirat.

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: "Tahukah kamu siapakah dia orang muflis? Sahabat menjawab: Orang muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.

Nabi SAW bersabda: Sebenarnya orang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu dan juga memukul orang. Maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu, kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakannya serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam neraka." (Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Sejarah Islam menunjukkan bukti yang nyata di mana tiga khalifah Islam menjadi korban fitnah menyebabkan Khalifah Umar al-Khattab, Khalifah Uthman bin Affan dan Khalifah Ali bin Abi Talib terbunuh. Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui sabda Baginda: "Orang Mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor (maki-hamun)." (Riwayat Ibnu Mas'ud)

Bercakap perkara baik sahaja

Rasulullah SAW juga berwasiat kepada Saidina Ali: "Wahai Ali, janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri. Wahai Ali, kuasailah lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan yang baik kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat yang melebihi ketajaman lisannya. Wahai Ali, jauhilah tukang caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk syurga."

Tidak dinafikan ada antara kita menjadikan penulisan berbaur fitnah serta dakwaan tanpa bukti kukuh sebagai kerjaya kerana ada yang menerima ganjaran daripada tugasan itu.

Disebabkan itu, mereka terlupa etika penulisan dan hukuman terhadap pihak yang membuat fitnah atau berita palsu. Bahayanya sangkaan buruk diingatkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Hujarat, ayat 12)

Golongan itu semakin berani apabila bilangan mereka kian bertambah melalui komen diberi menggunakan bahasa kasar yang menyokong tindakan atau kata-kata mereka.

Kini bukan sahaja tulisan, gambar turut disebar luas sesuka hati tanpa memikirkan kesan aib kepada pihak berkenaan. Fitnah dan tohmahan tidak mengenal siapa dan bagi yang suka menabur fitnah, kepuasan ialah apabila hasrat menjatuhkan seseorang itu tercapai.

Apatah lagi jika ada ganjaran dalam bentuk material, tugas itu lebih bermakna. Rasulullah SAW pernah bertanya sahabatnya: "Adakah aku belum pernah menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu? Sahabat menjawab: Belum. Lalu Nabi SAW bersabda: Mereka yang berjalan ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak bersalah." (Riwayat Ahmad)

Kesan buruk kepada komuniti

Keadaan yang berlaku hari ini menampakkan kegagalan masyarakat memikirkan kesan daripada perbuatan mereka terhadap orang lain. Ia juga memperlihatkan kejahilan mereka mengenai ajaran Islam yang melarang menyakiti saudara kerana umat Islam sepatutnya menyayangi saudara sebagaimana dia menyayangi dirinya.

Kebebasan bersuara serta hak asasi yang diagung-agungkan kelompok tertentu juga menjadikan perbuatan memfitnah, membuat dakwaan palsu sebagai suatu yang boleh diterima atau tidak salah. Undang-undang juga nampaknya gagal mengekang kumpulan yang terus merasakan diri mereka kebal melakukan kesalahan.

Tindakan itu sebenarnya menghilangkan rasa kasih sayang dalam jiwa umat dan menyebabkan terputusnya silaturahim yang sepatutnya menjadikan masyarakat kuat. Ia juga menjatuhkan martabat sesama kita dalam masyarakat. Rasulullah SAW memberi amaran, sesiapa yang mendedahkan aib saudaranya maka Allah SWT akan mendedahkan aibnya di dunia lagi. Baginda Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa menutupi (aib) seorang Muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat." (Riwayat Muslim)

Batasan ipar duai

SI abang ipar mengusap-usap kepala adik ipar perempuannya yang sudah baligh, seronok bergurau senda dan bergelak ketawa bersama si kakak dan seluruh ahli keluarga. Gambaran ini bukan aneh, malah tidak keterlaluan dikatakan sebagai kebiasaan dalam masyarakat kita.

Malah, ia menjadi janggal dan sangatlah pelik pula jika individu wanita yang baru menjadi ahli dalam sesebuah keluarga mengehadkan batas pergaulan dan menutup aurat apabila bersama mereka. Ayat-ayat seperti: “Akak pakai tudung dan berbaju lengan panjang ni, tak panas ke?”. Ada juga yang mengata di belakang: “Nak tunjuk alimlah tu,”.

Senario begini dilihat sebagai biasa dalam masyarakat Islam hari ini, walaupun hakikatnya, ikhtilat atau percampuran antara lelaki dan wanita dalam kalangan ipar duai sangatlah dilarang dalam Islam. Jadi seseorang Muslim itu perlu memahami maksud ikhtilat dengan sebaiknya.

Fahami maksud ikhtilat

Ikhtilat dari segi bahasanya bermaksud pertemuan, perjumpaan dan penyertaan. Manakala, istilah syarak pula bermaksud pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Pendakwah, Ustaz Anhar Opir menjelaskan, ikhtilat adalah perkataan baru dalam konteks ini kerana pada asalnya ia digunakan untuk dua bahan yang bercampur lalu membentuk unsur baharu, seperti air bercampur dengan serbuk milo dan  gula, maka akan menjadi air milo. Tiga unsur asal sudah tidak boleh dikenal pasti kerana telah membentuk unsur baharu iaitu air milo. Tetapi perkataan ini digunakan untuk pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, seakan-akan unsur asal lelaki dan perempuan tidak dapat dibezakan lagi.

Menurutnya, dalam Islam jika pergaulan di antara lelaki dan wanita tidak melanggar batas syarak, ia diharuskan seperti kerana menuntut ilmu. Manakala jika melanggar batas syarak, ia dilarang sama sekali. Jadi terdapat ikhtilat yang disyariatkan dan terdapat juga ikhtilat yang dilarang.

"Antara ikhtilat yang disyariatkan ialah percampuran yang mempunyai hajat dan patut dilakukan, iaitu ada perkara yang perlu melibatkan kaum lelaki dan perempuan, menyebarkan dakwah yakni dengan menyeru kebaikan dan menghindari kemungkaran, menghadiri  sebarang jemputan seperti walimatul urus dan lain-lain, dalam bidang perubatan, tunaikan haji dan umrah.

"Ikhtilat yang dilarang atau ghoiru syarie pula adalah percampuran yang boleh mencemarkan maruah lantas menimbulkan fitnah seperti perhubungan antara lelaki dan perempuan di tempat sunyi, bercanggah dengan adat dan adab etika Islam seperti bergurau senda secara berlebih-lebihan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi, bukan berhajat (tidak mempunyai sebarang hajat yang perlu melibatkan hubungan antara lelaki dan perempuan), tidak ikut adab Islam dan tidak mengasingkan tempat antara lelaki dan perempuan," ujarnya.

Beliau berkata, begitu jugalah perihalnya dengan ikhtilat dalam kalangan ipar duai. Seseorang Muslim itu perlu menjaga batas pergaulan dalam sesebuah keluarga yang besar contohnya saat bersama ipar duai.

Ini kerana dibimbangi jika berlaku ikhtilat yang dilarang. Buruk akibatnya kalau selalu lihat aurat si adik, tidak mungkin tidak terdetik sesuatu dalam perasaan, apatah lagi jika figura tubuhnya menggiurkan si lelaki (abang ipar), jangan pula perhubungan yang sedia elok jadi goyah hanya kerana ikhtilat yang dilarang.

RAMAI yang bertanya, kenapa kita sebagai umat Islam perlu menjaga ikhtilat? Adakah dengan tidak menjaga ikhtilat akan wujudnya pergaulan bebas sekali gus menyebabkan zina?


Perintah ALLAH

Beliau yang juga Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, menegaskan bahawa pentingnya kita menjaga ikhtilat kerana ia adalah perintah ALLAH SWT.

"Menerusi Surah An-Nur,  ALLAH memerintahkan golongan lelaki dan perempuan agar menjaga pandangan serta kemaluan masing-masing. Ini adalah isyarat kepada kewajipan menjaga ikhtilat terutamanya yang dilarang. Ini kerana faktor biologi lelaki dan perempuan itu sendiri yang saling menarik di antara satu sama lain. Maka syariat Islam datang untuk mengurus fitrah ini agar tidak terbabas daripada fitrahnya.

"Ya, ikhtilat yang tidak dijaga boleh membawa kepada zina yang diharamkan, kerana lelaki dan wanita ini telah ALLAH jadikan saling ingin mengingini antara satu sama lain. Sebab itu ALLAH menyebut dalam al-Quran dengan lafaz "Janganlah kamu dekati zina". Maksudnya semua jalan yang boleh membawa zina adalah haram termasuk pergaulan bebas atau ikhtilat yang sedang kita perkatakan.

"Melihat kepada situasi ipar duai ini. Perhubungan ipar duai adalah mahram sementara sahaja, iaitu selagi masih berstatus ipar. Apabila suaminya (abang kita) meninggal contohnya atau menceraikannya maka bekas kakak ipar ini boleh berkahwin dengan kita selepas tamat idahnya.

"Oleh itu hukum-hakam mahram sementara ini tidak sama dengan hukum-hakam mahram yang kekal selama-lamanya, iaitu dari aspek aurat, auratnya sama seperti ajnabi (bukan mahram) iaitu wajib ditutup, tidak boleh didedahkan serta tidak boleh dilihat.

Apabila bersentuh kulit tanpa lapik di antara seseorang lelaki dan kakak iparnya, maka batal wuduk sebagaimana dalam Mazhab Syafie. Begitu juga dari aspek bersalam, ia tidak diharuskan. Juga tidak dibenarkan untuk bersekedudukan atau berdua-duaan tanpa ditemani mahram yang lain," kata anak kelahiran Klang, Selangor ini.

Tambah beliau lagi, apabila seseorang Muslimah berdepan dengan iparnya, perlulah ingat akan pesanan Nabi Muhammad SAW dalam Sahih Al-Bukhari sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir:

"Jauhkanlah diri kamu masuk (bercampur) dengan perempuan. Seorang lelaki Ansar bertanya: Wahai Rasulullah, apa pendapat kamu mengenai ipar?" Nabi SAW menjawab: "Ipar adalah maut.

Begitulah juga sebaliknya, iaitu Muslimah dengan abang iparnya. Daripada hadis ini, Nabi SAW menjelaskan akan bahayanya tidak menjaga batas pergaulan dengan ipar duai. Nabi SAW menyebut perkataan maut dengan maksud kerosakan yang membinasakan sesebuah keluarga jika batasnya tidak dijaga.

Auratnya juga wajib ditutup sebagaimana jika Muslimah ini keluar daripada rumah. Ipar duai hanyalah mahram sementara sebagaimana yang telah dijelaskan.


Banyak mudarat

Antara ayat al-Quran yang melarang ikhtilat ini ialah firman ALLAH yang bermaksud: "Dan apabila kamu meminta sesuatu daripada mereka (isteri-isteri Nabi SAW) maka mintalah daripada balik tabir." (Surah Al-Ahzab: 53)

Ustaz Anhar berkata, ini menunjukkan larangan ikhtilat dan percampuran bebas di antara lelaki dan perempuan, jika ikhtilat dibenarkan nescaya ia tidak perlu kepada balik tabir dalam urusan tersebut.

Menurut beliau lagi, penghujahan mengenai ikhtilat turut dinyatakan dalam Sahih Al-Bukhari bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah seorang lelaki bersunyi-sunyian (khalwat) dengan seorang perempuan, dan janganlah seorang perempuan bermusafir melainkan bersama dengan mahramnya."

"Hadis ini menunjukkan larangan ikhtilat di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Jika tidak dijaganya akan membawa natijah yang dahsyat kepada si pelaku.

"Selain itu, ikhtilat yang dilarang biasanya memudaratkan dan merosakkan hubungan sesama manusia lantas menyebabkan pergaduhan dan persengketaan. Mahukah kalian jika adik beradik bermasam muka hanya kerana kamu tidak menjaga batasan pergaulan yang disyariat?," katanya.


Solusi terbaik

Antara penyelesaian kepada persoalan ikhtilat ini ialah kemestian setiap individu Muslim memahami ajaran agama Islam dengan sebaiknya dengan mengetahui hukum-hakam yang berkaitan dengan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Ia sebenarnya telah dijelaskan dalam ayat suci al-Quran dan as-Sunnah, maka kita sewajarnya merujuk kepada huraiannya dalam mana-mana kitab tafsir yang muktabar serta syarah (huraian) kepada as-Sunnah yang diktiraf oleh golongan ulama.

Ini kerana terdapat dalam kitab-kitab fikah secara berasingan, sebahagiannya ada dalam bab menutup aurat yang terdapat dalam tajuk syarat sah solat, sebahagian yang lain pula ada dalam tajuk perkara yang membatalkan wuduk, dan terdapat juga dalam tajuk sirah nabawiyah (sejarah Nabi SAW). Oleh itu, setiap kita berperanan untuk sentiasa menambahkan ilmu.

Selain itu, pihak yang berautoriti juga mesti berperanan untuk mengangkat persoalan ini menjadi wacana masyarakat hingga menjadi perbahasan umum agar timbul kesedaran dan komitmen yang sewajarnya. Jika berjaya menjadi wacana masyarakat di peringkat nasional, maka ia bakal menjadi ilmu yang tersebar yang akhirnya menjadi praktis masyarakat agar dapat mencapai kemakmuran hidup berteraskan Islam. Itulah yang kita ingin dan mahu!.

Hijrah bukan sekadar lintasan sejarah

SEHARUSNYA kehangatan sambutan tahun baharu hijriah diberi sentuhan luar biasa dan bukan seperti semaraknya menyambut tahun baharu Masihi.

Kita sedia maklum, fenomena sambutan di Malaysia itu sendiri menjadi kebiasaan untuk umat Islam berarak, menganjurkan majlis ilmu, penceritaan semula hijrah Nabi Muhammad SAW, nasyid  dan sebagainya.

Namun, adakah sambutan ini cukup dan mengarah kepada pengertian hijrah yang sebenar (dengan cara syarie)?

Peristiwa hijrah Nabi SAW adalah satu  momentum penting dalam lintasan sejarah perjuangan Islam. Dengan hijrahlah, Islam sebagai sebuah ideologi dan sistem boleh ditegakkan dalam institusi negara ketika itu, iaitu daulah Islamiyah.

Sejak keruntuhan  daulah Islamiyah yang terakhir (khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924M), kaum Muslim berada dalam kongkongan ideologi dan sistem jahiliah moden.


Masih seperti dulu

Pasca kejatuhan sistem khilafah ini menyaksikan keadaan umat yang tidak jauh berbeza dengan sebelumnya, tahun 2015M (1436H) dilewati dengan permasalahan sosial masyarakat yang memilukan. Sistem demokrasi dari Barat yang diadopsi oleh hampir semua negeri Islam, asalnya memberikan kebaikan dan kemajuan, beralih menjadi alat penjajahan menakutkan.

Misalnya apa yang berlaku kepada Afghanistan, Iraq dan Palestin dan yang terbaru, Syria juga berjaya dicerobohi oleh Rusia hasil buah tangan Barat dan sekutunya atas alasan melawan terrorism. Walhal orang awam termasuk wanita, warga tua dan anak-anak menjadi mangsa atas serangan pukul rata pihak Rusia.

Selain itu, dapat juga kita saksikan berita di pelbagai belahan dunia memaparkan kezaliman dan diskriminasi terhadap Muslimah. Muslimah tidak dapat mengenakan hijab syarie sebagaimana yang dituntut syarak dengan bebas. Muslimah menjadi mangsa bunuh, diskriminasi di sekolah dan tempat kerja serta menjadi mangsa Islamphobia.


Buah tangan Barat

Jangan pernah kita lupa, kerana buah tangan Barat dalam Perjanjian Balfourlah  Palestin terpecah dan berjaya dicerobohi Israel. Bahkan, umat Islam dibunuh dan dilecehkan sewenang-wenangnya. Muslim Rohingya dan Palestin diusir dan dibantai namun kita hanya diam dan tidak mampu  menolong.

Tahun ini menyaksikan beberapa pembunuhan zalim ke atas Muslimah di Palestin, dunia masih diam. Tentulah berdosa bila kita hanya diam.

Demokrasi juga menjadi alasan untuk golongan kapitalis menjadi rakus mengeksploitasi kekayaan sumber alam negeri lain serta menganiaya orang lain, atas nama pelaburan dan pasar bebas,  seperti yang terjadi pembakaran hutan  di Indonesia dan sumber minyak di Iraq. Sistem kapitalisme global yang dipraktikkan hari ini secara sistematik  memiskinkan umat manusia, termasuk umat Islam.

Negeri Islam, pada dasarnya adalah negeri yang kaya dengan sumber alam dan minyak rakyatnya hidup dalam kemiskinan.

Melalui sistem demokrasi ini juga Barat menyebarkan idea liberalisme yang membahayakan berbagai aspek kehidupan masyarakat.  Agenda liberalisme agama membuatkan agama menjadi hal yang remeh, ajaran yang menyesatkan pun berkembang dengan dalih kebebasan berkeyakinan.

Di Malaysia contohnya, budaya liberalism juga bercambah dalam negeri, ia didalangi pejuang idea liberal yang berusaha mengelirukan dan menyesatkan pemikiran umat Islam, seperti  Sister in Islam dan gerakan Islam Moderat. Muslimah disogokkan dengan budaya hedonism dan tatacara berpakaian yang tidak syarie, serta memandang hijab syarie bukan tuntutan agama.

Seterusnya ajaran liberalism memberi impak kepada  tingkah laku sehingga melahirkan perilaku bagaikan binatang seperti budaya zina / seks bebas, pornografi, jenayah seksual dan kes buang bayi berleluasa. Tambah merunsingkan apabila pelbagai kes rompak di pelbagai negeri, kes bunuh dan kes pengabaian kanak-kanak juga semakin meruncing.


Bangkit

Umat Islam seharusnya berusaha untuk melepaskan diri dari semua keperitan ini. Caranya tidak lain dengan kembali berhijrah menuju daulah Islamiyah. Saat ini Islam tidak lagi diterapkan secara menyeluruh dalam sesebuah negara, tugas seluruh kaum Muslimlah untuk mewujudkan kembali Islam kaffah di tengah-tengah mereka.

Muslim yang tidak mahu melakukan usaha hijrah tanpa ada alasan syarie, tak ubah seperti seseorang yang tidak lagi peduli  terhadap agamanya. Sedangkan Muslim sejati adalah orang yang peduli terhadap kesempurnaan ibadahnya kepada ALLAH SWT.

Seperti bila dia menyedari pekerjaan dan muamalatnya bertentangan dengan syariat, dia akan segera meninggalkan semua itu dan berpindah menuju kepada  pekerjaan dan muamalat  yang  Islami.

Selain itu juga, dia akan  berusaha sekuat  tenaga untuk mengubah kehidupan sistem  kufur  tersebut, dan  diganti dengan aturan Islam, agar dia boleh menjalankan semua perintah ALLAH tanpa ada halangan lagi.

Dengan kata lain, dia selalu memikirkan berbagai usaha dan cara agar keadaan masyarakatnya yang kufur itu berubah (berpindah) menuju masyarakat yang Islami. Orang mukmin itu  tidak akan hanya menunggu tegaknya daulah Islamiyyah di negeri lain, sehingga dia boleh berhijrah ke sana, akan tetapi dia pasti berusaha keras untuk menegakkan kekuasaan Islam di negerinya.

Seperti halnya hukum Islam yang lain, hijrah adalah bahagian  integral daripada ketakwaan seorang Muslim kepada ALLAH.

Hijrah itu instrumen hukum yang ditetapkan untuk melindungi agama dan jiwa kaum Muslim dari ancaman musuhnya. Dengan hijrah, seorang Muslim akan dihantar menuju tempat atau keadaan yang menjadikan dirinya aman dan tenang dalam menjalankan taklif syariat.

Tidak hanya itu, seorang Muslim juga akan berasakan betapa luasnya bumi ALLAH; sehingga dia rela meninggalkan negeri yang dicintainya menuju negeri yang menjamin keselamatan agama dan jiwanya. Dengan hijrah juga, kesempitan dalam menjalankan perintah ALLAH akan berganti dengan kelapangan.

Oleh itu, hijrah akan sentiasa realistik, bahkan menjadi keperluan  bagi seorang Muslim yang peduli dengan keselamatan jiwa dan agamanya. Atas dasar itu, merealisasikan hijrah dalam konteks sekarang mestilah dimaknai dengan perjuangan untuk melanjutkan kembali kehidupan Islam dalam ranah individu, masyarakat, dan negara.

Dengan kata lain, hijrah sekarang mestilah diwujudkan dengan berjuang menegakkan kembali kekuasaan Islam yang menjamin terlaksananya hukum hijrah itu sendiri. Sebab, hijrah dalam konteks berpindahnya kaum Muslim dari darul kufr menuju darul Islam hanya  boleh ditegakkan jika di tengah-tengah kaum Muslim berdiri Khilafah Islamiyyah.

Dan hanya dengan Khilafah Islamiyyah semata, kaum Muslim boleh berpindah (hijrah) dari sebuah keadaan dan negeri kufur menuju keadaan dan negeri Islami. Dengan begitu, tujuan utama hijrah yakni penjagaan atas jiwa dan agama kaum Muslim boleh diwujudkan secara faktual.

Istimewanya hari Jumaat

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menjadikan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari. Ia adalah satu perayaan yang ALLAH khaskan buat umat Islam pada setiap minggu. Kelebihan ini tidak dikecap umat terdahulu.

Dalam sebuah hadis, diriwayatkan Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Kami adalah (umat) yang datang kemudian yang pertama dan yang mendahului pada hari kiamat; walhal kitab diturunkan kepada mereka dahulu. Hari ini adalah hari yang ALLAH fardukan atas mereka tetapi mereka menyelisihkannya lalu ALLAH beri kita hidayah kepadanya. Manusia mengikuti kita dalam hal ini; Yahudi esok (Sabtu) dan Kristian lusa (Ahad)."


Ibadah tertentu

Di antara petunjuk yang ditunjukkan Nabi SAW adalah Baginda SAW mengagungkan hari ini dengan memuliakannya di samping mengkhususkan ibadah tertentu yang tidak dilakukan pada hari yang lain.

Pada solat Subuh di pagi Jumaat, Baginda SAW membaca surah Al-Sajadah dan Al-Insan. Dikatakan Baginda SAW membaca kedua surah ini kerana keduanya menceritakan perihal apa yang telah berlaku dan akan berlaku bermula dengan penciptaan Nabi Adam AS dan kejadian hari kiamat serta kebangkitan manusia pada hari tersebut. Kejadian ini semua telah dan akan berlaku pada hari Jumaat.

Maka dengan membaca kedua surah ini, ia menjadi peringatan buat umat Islam mengenai kejadian besar yang akan berlaku supaya mereka bersiap sedia.

Pada hari Jumaat juga dianjurkan memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar kita Nabi SAW pada waktu siang dan malam sebelumnya. Ini kerana segala kebaikan yang diperoleh umat ini pada hari Jumaat dan hari-hari yang lain daripada kebaikan dunia dan akhirat adalah hasil daripada tunjuk ajar Baginda SAW.

Antara keistimewaan hari ini adalah dianjurkan untuk mandi, membersihkan diri, memakai wangian, menggosok gigi dan memakai sebaik-baik pakaian sebelum menghadiri solat Jumaat. Ini kerana hari Jumaat adalah hari perhimpunan umat Islam dan perayaan mingguan mereka. Maka wajarlah untuk seseorang Muslim itu berada dalam keadaan sebaik-baiknya sebagai tanda menghormati hari tersebut dan mengagungkannya.


Besar ganjarannya

Umat Islam pada hari Jumaat dianjurkan pergi awal ke masjid untuk solat Jumaat dengan berjalan kaki jika mampu. Berjalan kaki ke masjid, setiap ayunan langkah itu akan diberi ganjaran pahala puasa dan solat setahun.

Betapa besarnya pahala dijanjikan ALLAH bagi orang yang berjalan dan pergi awal solat Jumaat. Setiap ayunan langkahnya diberi ganjaran pahala puasa dan solat setahun. Ditambah lagi orang yang hadir awal ke solat Jumaat, sesudah masuk masjid dia melakukan solat sunat, berzikir dan membaca al-Quran dia memperoleh pahala yang sangat banyak. Tidak cukup dengan itu, malaikat terus menerus beristighfar untuknya sepanjang dia berada dalam masjid. Dan dia akan diberi pahala orang yang solat sepanjang dia duduk dalam masjid menanti dikumandangkan iqamat.

Sangat dikesali, kebanyakan manusia pada hari ini seolah-olah tidak mahu mengejar ganjaran pahala ini. Dia hanya hadir bersolat Jumaat pada saat-saat terakhir. Sebahagian yang lain sampai ketika khatib sedang berkhutbah. Tidak kurang juga yang sampai ketika iqamat dikumandangkan. Jelas mereka telah mengharamkan atas diri mereka ganjaran pahala yang sangat banyak gara-gara dilambatkan oleh syaitan.

Betapa perlunya kita bertakwa kepada ALLAH dan berusaha sedaya upaya mendapatkan ganjaran pahala yang berlimpah ruah ini dengan datang awal ke solat Jumaat.


Kata pujian

Juga di antara keistimewaan hari Jumaat, adanya khutbah Jumaat yang mengandungi puji-pujian terhadap ALLAH serta mengagungkan-Nya di samping kesaksian terhadap keesaan-Nya dan perakuan terhadap perutusan Rasul-Nya. Khatib juga akan mengingatkan sidang Jumaat akan hari akhirat serta persediaan yang perlu dilakukan untuknya dengan melaksanakan suruhan ALLAH serta menjauhi larang-Nya.

Khutbah Jumaat adalah antara syarat sahnya solat Jumaat. Kerana itu, menghadiri khutbah Jumaat, diam dan mendengarnya adalah satu kewajipan atas jemaah.

Firman ALLAH: "Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah Al-A’raaf: 204)

Imam Ibnu Kathir RH menjelaskan, kewajipan diam dan dengar dalam ayat di atas adalah ketika khutbah Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha, Jumaat dan ketika imam mengeraskan suaranya membaca al-Quran.

Maka diam dan mendengar khutbah Jumaat adalah satu kewajipan. Bahkan barang siapa yang tidak diam ketika khatib berkhutbah dia telah melakukan hal yang sia-sia. Dan barang siapa melakukan hal yang sia-sia, akan luputlah pahala Jumaatnya.

Justeru, menghadiri khutbah Jumaat, diam dan mendengarnya adalah satu tuntutan syarak kerana khutbah tersebut mengandungi peringatan buat hati yang lalai serta pengajaran buat orang yang jahil. Firman-Nya: "Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati ALLAH dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik buat kamu, jika kamu mengetahui." (Surah Al-Jumu’ah: 9)

Di samping itu, perlu diketahui barang siapa yang datang ketika khatib sedang berkhutbah, tidak boleh baginya terus duduk. Sebaliknya hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat tahiyyatul masjid secara ringkas. Sebagaimana sabda Nabi SAW: "Jika seorang kamu datang solat Jumaat sedang khatib berkhutbah, hendaklah dia solat dua rakaat." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Dalam riwayat Muslim adanya tambahan: "Dan hendaklah dia meringkaskan kedua rakaat tersebut."

Juga antara keistimewaan hari Jumaat adalah solat Jumaat dikira sebagai antara solat yang paling wajib yang perlu didirikan secara berjemaah. Dan barang siapa yang meninggalkannya kerana lalai, ALLAH akan menutup hatinya. Ada pula orang yang menjaga dan mengerjakannya, akan dihapus dosa-dosa kecilnya antara hari Jumaat tersebut dan hari Jumaat yang berikutnya. Adapun dosa besar, hal tersebut tidak akan terhapus kecuali dengan taubat.

Akhirnya, ada baiknya diingatkan sekiranya seseorang itu hanya sempat mengerjakan satu rakaat bersama imam ketika solat Jumaat, hendaklah dia menambahkan satu rakaat lagi bagi menyempurnakan dua rakaat solat Jumaatnya. Tetapi sekiranya dia tidak sempat memperoleh walau satu rakaat sekalipun, hendaklah dia tetap solat bersama imam dan sesudah imam memberi salam perlulah dia menambah empat rakaat dengan niat solat Zohor.

Demikianlah hukumnya sebagaimana yang disebut dalam hadis Nabi SAW. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang memperoleh pahala dan fadilat hari Jumaat.

Sembang dunia dalam masjid

BOLEHKAH bercakap hal keduniaan di dalam masjid?

Ada satu hadis yang disebarkan sebagai ancaman supaya jangan bersembang urusan dunia dalam masjid: "Sesiapa yang bercakap mengenai urusan dunia dalam masjid, ALLAH akan menghapuskan amalannya empat puluh tahun."


Hadis palsu

Apakah kedudukan hadis ini? Adakah ia sahih?


Menurut Al-Saghani, hadis ini adalah palsu. Pendapat ini dipersetujui oleh 'Ali al-Qari dalam bukunya Al-Asrar Al-Marfua'h fi Akhbar Al-Maudhua'h.

Hadis ini antara hadis palsu yang banyak tersebar dalam masyarakat kita sama ada melalui ceramah-ceramah, penulisan dan sebagainya. Malah, ada sesetengah masjid yang menulisnya dalam bentuk khat yang cantik dan digantung di dalam masjid sebagai perhiasan.

Semua ini dilakukan dengan tujuan memberi peringatan kepada orang yang hadir ke masjid supaya tidak bercakap perihal urusan dunia. Ancaman yang diberikan ialah perbuatan tersebut boleh menyebabkan amalan selama empat puluh tahun akan terhapus.

Namun, setelah dikaji oleh sarjana hadis, amaran ini tidak sahih untuk dikaitkan dengan larangan yang dikeluarkan oleh Rasulullah SAW. Ia adalah sandaran yang palsu kepada Baginda SAW. Walaupun dengan niat yang baik, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyandarkan sesuatu perkara itu kepada Rasulullah SAW. Perbuatan ini termasuk sebagai pendustaan kepada Baginda SAW.


Sumber tidak kukuh

Betulkah kita tidak dibenarkan langsung bercakap urusan dunia dalam masjid? Bagaimana kita hendak bezakan yang itu perkara dunia dan yang ini urusan akhirat?

Kalaulah kita dilarang bercakap mengenai urusan dunia di dalam masjid, bagaimana pula kita hendak faham perihal hadis 'Aisyah yang menceritakan mengenai orang Habsyah bermain pedang dalam masjid. Rasulullah SAW melihatnya dan tidak langsung menghalang perbuatan mereka. Hadis ini adalah sahih dan diriwayatkan oleh Al-Bukhari no 5236 dan Muslim no 892.

Jika hendak dibandingkan, perbuatan sahabat yang bermain pedang dalam masjid ini juga boleh dianggap sebagai urusan dunia dan ia lebih berat lagi daripada bercakap hal dunia dalam masjid. Tetapi, Baginda SAW tidak menghalang mereka.

Jadi, larangan bercakap urusan keduniaan dalam masjid adalah larangan yang tidak bersumberkan asas yang kuat. Namun begitu, keharusan untuk bercakap soal keduniaan dalam masjid tidak boleh digunakan sebebas-bebasnya. Ia masih terikat dengan beberapa adab lain seperti tidak sampai menimbulkan gangguan kepada orang yang sedang solat, atau yang sedang membaca al-Quran atau yang sedang menuntut ilmu.

Topik perbualan juga tidak boleh menyentuh perkara yang diharamkan oleh syariat. Walaupun begitu, mengurangkan bercakap dalam masjid dan menumpukan ibadah kepada ALLAH SWT ketika di dalam masjid tetap dikira sebagai perbuatan yang lebih baik.


Perlahankan suara

Bagi mereka yang membaca al-Quran dalam masjid pun perlu juga menghormati orang yang sedang menunaikan solat. Perlahankan suara agar tidak mengganggu solat mereka. Hal ini seperti yang dipesan oleh Rasulullah SAW.

Abdullah bin Umar RH meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang solat itu bermunajat kepada Rabbnya, maka hendaklah dia memperhatikan apa yang dia bisikkan kepada-Nya. Janganlah sebahagian kalian melantangkan bacaan al-Quran atas yang lain." (Riwayat Malik no 178 dan Ahmad no 5326. Disahîhkan al-Albani dalam Shahîh al-Jami' no 1951)

Membaca al-Quran adalah ibadah. Namun, Rasulullah SAW tetap melarang supaya diperlahankan bacaan sekiranya ada orang sedang solat. Ia sama jika hendak dikiaskan dengan zikir selepas solat. Menghairankan apabila ada sesetengah imam yang tanpa rasa bersalah berzikir selepas solat dengan suara yang kuat menggunakan mikrofon sedangkan di belakangnya masih ada makmum yang masbuk sedang menyempurnakan solat mereka.

Beruntunglah mereka yang memahami dan beramal dengan sunnah. Selesai solat, zikir dilakukan secara individu. Imam pula tidak menyaringkan suaranya. Mereka yang masih solat dapat menghabiskan solat dengan tenang.

Ringkasnya, larangan bercakap hal dunia di dalam masjid adalah larangan yang tidak mempunyai asas daripada dalil yang sahih.

Namun begitu, terdapat beberapa larangan lain berkaitan masjid yang disebut secara khusus oleh Rasulullah SAW. Antaranya ialah:

a) Larangan melakukan urusan berjual beli dalam masjid, sehingga Rasulullah SAW mengatakan: "Jika kamu melihat sesiapa yang berniaga dalam masjid, maka hendaklah kamu ucapkan: "Semoga ALLAH tidak menguntungkan perniagaan kamu...." (Riwayat al-Tirmizi, hasan)

b) Larangan membuat iklan untuk mencari barang yang hilang dalam masjid. Rasulullah SAW berkata: "Sesiapa yang mendengar seseorang membuat pengumuman untuk mencari barang yang hilang dalam masjid, maka ucapkan: "Semoga ALLAH tidak mengembalikan barang tersebut kepada kamu. Sesungguhnya masjid bukan dibina untuk urusan ini." (Riwayat Muslim) Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ (Dar al-Fikir, juz 2 hal. 177) menjelaskan: "Diperbolehkan membicarakan sesuatu dengan perkataan yang harus dan juga membicarakan urusan dunia dan hal-hal lain yang harus dalam masjid, meskipun perbicaraan tersebut sampai menimbulkan ketawa dan semisalnya selama masih dalam batas perkara yang harus. Ketentuan ini didasarkan pada hadis yang diriwayatkan Jabir bin Samuroh RH, beliau berkata: "Rasulullah SAW tidak berganjak dari tempat solat yang Baginda SAW gunakan untuk mengerjakan solat Subuh, sampai matahari terbit. Setelah matahari terbit Baginda SAW baru berganjak pergi," -Jabir berkata: "Mereka membicarakan beberapa hal sampai hal-hal yang terjadi pada masa jahiliah hingga mereka tertawa, dan Nabi SAW tersenyum mendengarnya." (Riwayat Muslim)

Oleh itu, mari kita hidupkan masjid dengan fungsinya yang pelbagai. Bukan hanya sekadar tempat untuk solat sahaja. Masjid perlu menjadi paksi dan tempat rujukan masyarakat setempat. Mereka yang diberikan amanah untuk menguruskan masjid perlu memahami dan menjiwai gagasan ini.

Masjid adalah hak masyarakat bersama. Masjid boleh dihidupkan dengan aktiviti pelbagai. Sudah pasti ia dilakukan dengan meraikan adab-adab masjid yang perlu diutamakan.