November 12th, 2015

Khutbah Jumaat ~ “Memelihara Batas-batas Pergaulan Menurut Islam”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 13 November 2015: JAIS

“Memelihara Batas-batas Pergaulan Menurut Islam”


Ajaran Islam amat menitik beratkan batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Pergaulan ataupun percampuran antara lelaki dan perempuan selayaknya dilihat sebagai sesuatu yang besar impaknya kepada keruntuhan moral ummah.

Syariat Islam tidak melarang pergaulan antara lelaki dan wanita asalkan mengikut lunas dan prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh syarak. Malah Islam menggalakkan pergaulan yang sihat dan membuahkan manfaat kepada mereka.

Pergaulan itu ada dua jenis, iaitu pergaulan sesama jenis dan kedua pergaulan yang berlainan jenis.

Hadis daripada Sayyidina Umar al-khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah bersunyi-sunyian (berkhalwat) seseorang lelaki dengan seseorang perempuan, kerana sesungguhnya syaitan bersama-sama mereka”. (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).

Dalam memelihara batas-batas pergaulan lagi, Allah menyuruh lelaki dan perempuan agar menundukkan sebahagian pandangan mereka apabila bertemu ataupunn berselisih jalan sepertimana firmannya dalam surah An Nur ayat 30:“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan persiapan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”.

Islam telah meletakkan peraturan bahawa antara lelaki dan perempuan mesti mengawal pandangan dan tidak bebas bergaul antara keduanya.

Firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 32 :“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…”.

Melalui khutbah yang disampaikan pada hari ini perlulah diambil perhatian perkara-perkara berikut;

1. Umat Islam hendaklah mematuhi hukum dan batas-batas pergaulan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dan umat Islam hendaklah menjauhi pergaulan bebas yang diharamkan dalam Islam.

2. Umat Islam hendaklah mendidik anak-anak dengan ilmu-ilmu agama yang sempurna supaya mereka dapat mematuhi batas-batas syarak dalam aspek pergaulan.

3. Setiap individu muslim wajib mencegah kemungkaran sama ada dengan tangan, yakni kuasa yang dimiliki ataupun sekiranya tidak mampu, cegahlah dengan lidah dan sekiranya tidak mampu juga, hendaklah degah dengan hati.

4. Umat Islam hendaklah menerima setiap teguran dengan hati yang terbuka dan ikhlas dan janganlah bersikap sombong, ego dan angkuh.

5. Masyarakat setempat perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam mencegah dan melaporkan perkara-perkara yang tidak bermoral.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah at-Taubah : 71).

Wallahualam. 

Khutbah Jumaat ~ "Memburu Redha Ilahi"

Sedutan Teks Khutbah Jumaat 13 November 2015M/ 1 Safar 1437H JAWI

Memburu Redha Ilahi

Sesungguhnya orang yang beriman diibaratkan seperti satu jasad. Setiap anggota saling bantu membantu antara satu sama lain. Salah satu amal ibadah yang dapat membentuk masyarakat sebegini ialah amalan bersedekah. Sedekah adalah amalan mulia yang sangat dituntut.

Firman Allah SWT yang dibacakan pada permulaan khutbah tadi bermaksud: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa Yang kamu sayangi. dan sesuatu apa jua yang kamu nafkahkan maka Sesungguhnya Allah mengetahuinya”

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Abu Zar al-Ghifari RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Kamu senyum kepada saudaramu adalah sedekah, kamu melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar adalah sedekah, kamu menunjukkan jalan seseorang yang tersesat adalah sedekah, dan kamu membuang batu, duri dan tulang dari jalan adalah sedekah, juga kamu mengosongkan timbamu untuk mengisi timba saudaramu itu juga sedekah”.

Bertuahlah bagi mereka yang melazimi amalan bersedekah. Diceritakan bahawa seorang dermawan, al-Laith bin Saad yang mempunyai pendapatan hasil tanamannya sebanyak lebih dari tujuh puluh ribu dinar setahun yang semuanya disedekahkan. Pada suatu ketika dia membeli sebuah rumah yang dilelong lalu wakil beliau pun pergi untuk menerima rumah itu. Didapati di dalamnya anak-anak yatim dan kanak-kanak yang masih kecil. Apabila berita ini diketahui oleh al-Laith, beliau dengan segera menghantar utusan memberitahu mereka bahawa rumah tersebut adalah hak mereka dan pada setiap hari mereka akan mendapat apa yang mereka perlukan.

Kekayaan yang dianugerahkan ini tidak melekakan atau melalaikan dirinya hanyut dalam kemewahan dunia. Walaupun memiliki harta yang banyak, ia tidak menjadikannya seorang yang sombong atau kedekut. Beliau sentiasa bersedekah tanpa rasa takut menjadi miskin atau hartanya semakin berkurangan. Malah amalan ini lebih mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Hayatilah firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 265: Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.”

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA : Bermaksud : “Apabila matinya manusia, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah yang digunakan terus menerus atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang sering mendoakannya.”

Para Tetamu Allah yang diberkati, beberapa kesimpulan yang dapat diambil sebagai renungan kita bersama ialah:

Pertama: Sedekah adalah amalan mulia yang sangat dituntut. Konsep bersedekah adalah luas, membabitkan perkara-perkara yang membawa kebaikan sama ada dalam bentuk rohani atau jasmani.

Kedua: Orang yang bersedekah akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT di dunia mahupun di akhirat.

Ketiga: Lakukanlah amalan bersedekah ini dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT, bukan disebabkan habuan atau kepentingan tertentu.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 272 : Maksudnya: “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”

Wallahualam.

Caj pengurusan bukan untuk ambil kesempatan

MAHKAMAH Syariah sebenarnya bukanlah institusi yang baharu wujud di negara kita. Sejak Islam mula bertapak di Tanah Melayu, satu set undang-undang juga digubal bagi mentadbir sebarang pertikaian membabitkan penganut Islam seperti Batu Bersurat yang ditemui di Terengganu dipercayai wujud pada tahun 1326, menggambarkan institusi badan perundangan syariah telah wujud sejak itu.

Sehingga kini, Mahkamah Syariah mengalami evolusi dan perubahan selari dengan perkembangan zaman. Sejak kewujudan Pejabat Kadi sehingga wujudnya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mahkamah Syariah berusaha terus relevan menjadi tempat rujukan bagi menyelesaikan pertikaian membabitkan umat Islam.

MAHKAMAH Syariah banyak melakukan perubahan bagi memudahkan dan menjimatkan masa semua pihak. - Foto hiasan.


Sejajar dengan perkembangan ini, tidak boleh dinafikan selain sumber manusia, sumber kewangan juga sangat mendasar bagi membolehkan Mahkamah Syariah membangun.

Seperti jabatan kerajaan dan badan berkepentingan lain, Mahkamah Syariah juga akan mengenakan beberapa caj bagi tujuan pengurusan.

Tak timbul isu cekik darah

Caj ini bukanlah sebagai sumber pendapatan mahkamah tetapi menjadi hasil kerajaan dan akan dikembalikan semula kepada mahkamah untuk tujuan pengurusan dan pembangunan.

Tidak sepatutnya timbul isu seperti cekik darah, mengambil kesempatan mahupun berniat menyusahkan pelanggan mahkamah.

Baru-baru ini, terdapat satu status aplikasi media sosial menjadi viral yang menceritakan kepayahan dan rasa kurang senang seorang pelanggan Mahkamah Syariah terhadap caj dikenakan terhadap beliau bagi tujuan pemfailan kes.

Pelanggan berkenaan menyatakan diri beliau dalam kesusahan akibat ditinggalkan suami sejak sekian lama dan terpaksa menanggung enam anak. Kini terpaksa pula menanggung kos untuk pengangkutan ke mahkamah, yuran pemfailan kes dan yuran penyediaan dokumen.

Pemilik aplikasi media sosial itu juga menyatakan pelanggan terbabit tidak mendapat sebarang bantuan daripada mana-mana pihak. Kes salah faham terhadap mahkamah seperti ini bukanlah perkara baharu diutarakan.

Sesetengahnya bersifat separuh benar dan berlaku salah faham sehingga menjejaskan nama baik Mahkamah Syariah yang telah melakukan banyak perubahan dari segi pentadbiran dan prosiding mahkamah.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, hampir 90 peratus kes di mahkamah syariah diselesaikan dalam tempoh 12 bulan.

Dan baki 10 peratus disebabkan beberapa kes yang tiada sandaran bukti sebagai contoh kegagalan dalam penyampaian saman.

Oleh itu, isu dihadapi oleh pelanggan yang memuat naik status berkenaan adalah isu terpencil dan sebenarnya boleh diselesaikan. Sebagai pelanggan di mahkamah seharusnya seseorang itu tidak menghamburkan segala-galanya pada mahkamah.

Apatah lagi bila membabitkan isu yang sudah lama sehingga memakan puluhan tahun. Sebagai individu bertanggungjawab, pelanggan juga perlu mengenal pasti beberapa perkara sebelum terus menerjah ke mahkamah.

Sebagai langkah awal, selepas mengetahui mahkamah yang berbidang kuasa, seorang pelanggan perlu mengetahui tindakan paling wajar diambil sebelum sebarang pemfailan dibuat.

Tindakan yang berbeza memerlukan persediaan berbeza. Bagi kes dinyatakan di atas, beliau ingin membuat pengesahan lafaz cerai. Walaupun mungkin tindakan itu tidak keseluruhannya salah, tetapi jika sudah ditinggalkan puluhan tahun, terdapat tindakan lebih sesuai seperti fasakh atau taklik.

Beliau juga perlu membuat sedikit rujukan sebelum ke mahkamah. Sebagai contoh, dokumen yang perlu disediakan, bilangan salinan dokumen dan yang paling penting berapakah kos perlu dikeluarkan.

Ini bagi mengelakkan terjadi salah faham seperti sebelum ini. Pasti ramai yang akan bertanya, dari mana ibu yang sedia susah ini boleh mendapatkan nasihat atau panduan sebelum apa-apa tindakan dibuat.

Kerana itu perlunya mana-mana pelanggan sebelum ke mahkamah mendapatkan maklumat yang betul sama ada dari mana mana jabatan agama yang kini sudah ada panel peguam syarie mereka, jabatan bantuan guaman ataupun terus ke mana-mana firma guaman yang mempunyai tauliah untuk beramal sebagai peguam syarie.

Setidak-tidaknya dapatkan nasihat daripada mereka dan sikap segan bertanya perlu dikikis bagi melancarkan sebarang tindakan selanjutnya. Kebanyakan masalah yang timbul disebabkan salah faham dan maklumat yang tidak jelas.

Ambil usaha proaktif

Pelanggan mengharapkan masalah dialami bertahun-tahun boleh diselesaikan mahkamah dalam satu hari. Mahkamah bukanlah pejabat aduan yang ada pil ajaib, menyediakan ubat segala penyakit.

Sebahagian tindakan di mahkamah perlu membabitkan usaha proaktif oleh pelanggan sendiri bagi melicinkan sebarang proses. Jika pelanggan menyerahkan segala-galanya kepada mahkamah, maka mereka perlu menjangkakan satu tempoh masa bagi mahkamah menguruskan kes mereka.

Terdapat peruntukan undang-undang bagi membantu mereka yang tidak berupaya memulakan, mendakwa ataupun membela mana-mana tindakan di mahkamah.

Sebagai contoh Seksyen 31 (1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan: "Mana-mana orang yang berhasrat untuk memulakan atau membela apa-apa tindakan atau prosiding lain mengikut haknya sendiri, dan tidak berupaya membayar fi Mahkamah baginya, boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan kebenaran untuk mendakwa atau membela sebagai orang miskin."

Jalan tanggungjawab sosial

Selain bantuan guaman daripada Jabatan Bantuan Guaman dan Peguam Syarie Majlis Agama Islam, terdapat juga bantuan sokongan lain seperti Badan Sokongan Keluarga (BSK) yang diselaraskan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Ada beberapa badan korporat yang sudah mula menjalankan tanggungjawab sosial mereka membantu golongan yang tidak berkemampuan di mengambil tindakan di mahkamah syariah.

Sebagai badan perundangan Syariah di Malaysia yang terus kekal relevan dan berdaya saing, telah banyak perubahan yang telah diusahakan oleh Mahkamah Syariah di Malaysia.

Sebagai contoh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor telah memperkenalkan kaedah Kes Cerai 'Fast Track' bagi pasangan yang bersetuju bercerai tidak lagi perlu menunggu 90 hari bagi menyelesaikan kes perceraian mereka.

Proses perceraian bagi pasangan Islam di Selangor kini dipermudah dan dapat diselesaikan dalam tempoh enam jam. Langkah drastik yang diperkenalkan pada Jun lalu adalah bukti Mahkamah Syariah cuba sedaya upaya memudahkan pelanggan dan sudah pasti mengurangkan kos dan menjimatkan masa semua pihak.

Namun, sebanyak mana pun usaha mahkamah ini, ia tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak termasuk pelanggan sendiri.

Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memperkasa Mahkamah Syariah.

Penyertaan NGO yang berkaitan bagi membantu nasib mereka tidak berkemampuan seperti ibu tunggal, isteri yang ditinggalkan suami dan mereka kurang bernasib baik supaya tidak timbul lagi salah faham terhadap mahkamah syariah pada masa masa akan datang.

Kita tidak mahu keadilan itu hanya diperoleh oleh mereka yang kaya saja.