November 13th, 2015

Jaga persaudaraan sesama Muslim

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menjadikan umat Islam sebagai umat yang bersaudara. Berdasarkan persaudaraan ini, disyariatkan hak-hak tertentu atas setiap individu Muslim yang berupa kewajipan dan anjuran. Di samping itu, ditegah segala sebab musabab yang boleh melemahkan hubungan persaudaraan ini atau memutuskannya, hal-hal yang berupa perkataan atau perbuatan yang tercela.

Nabi Muhammad SAW menjelaskan kepada umatnya perkara yang diwajibkan atas seorang Muslim sesama saudara seagamanya. Baginda SAW berpesan supaya kewajipan ini dijaga demi maslahat yang akan dijana di dunia dan akhirat.

Selawat ALLAH dan salam-Nya atas junjungan besar kita, Nabi SAW dan sahabatnya yang telah memberi teladan terbaik dalam menunjukkan bentuk persaudaraan yang sebenarnya. Mereka seumpama sebatang tubuh atau sebuah bangunan yang saling mengukuh antara satu sama lain.

Prihatin sesama seislam

Firman ALLAH: "Hendaklah kamu tolong-menolong dalam hal kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam hal dosa dan permusuhan; dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Berat Azab seksa-Nya." (Surah Al-Maa'idah: 2)

Firman-Nya: "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, mereka menjadi penolong bagi sesetengah yang lain." (Surah Al-Maa’idah: 71)

Firman ALLAH: "Sesungguhnya orang-orang beriman adalah bersaudara." (Surah Al-Hujuraat: 10)

Nabi SAW bersabda: "Orang beriman sesama orang beriman adalah umpama sebuah bangunan yang saling mengukuhkan antara satu dengan lain." Kemudian Baginda SAW menjalinkan jari-jemari Baginda SAW. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Berdasarkan nas di atas dapat kita fahami perihal kedudukan yang perlu diambil oleh seseorang Muslim terhadap saudara Muslim yang lain. Ternyata ia adalah tali persaudaraan yang lebih tinggi nilainya daripada tali persaudaraan kekeluargaan.

Ia adalah persaudaraan yang menghubungkan antara masyarakat Islam walaupun negeri mereka berbeza dan tempat tinggal mereka berjauhan. Ia adalah persaudaraan yang menuntut kepada nasihat-menasihati, tolong-menolong, saling berpesan-pesan ke arah kebenaran dan bersabar atasnya. Ia juga adalah persaudaraan yang menegah seseorang Muslim itu menipu saudara Muslimnya, bermuslihat, menghampakannya mahupun menyakitinya dalam apa jua bentuk, sama ada pada tubuh badannya, hartanya ataupun maruahnya.

Firman ALLAH: "Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang lelaki dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak benar berdasarkan suatu kesalahan yang tidak dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata." (Surah Al-Ahzaab: 58)

Kesahihan berita

ALLAH melakarkan jalan yang perlu ditempuhi dalam persaudaraan ini. Ia adalah jalan yang mempunyai asas-asasnya, digembleng hasilnya dan ditolak segala yang bercanggah dengannya atau yang menghalang laluannya.

Dalam Surah Al-Hujuraat, terdapat apa yang menjelaskan laluan Rabbani ini. ALLAH memerintahkan supaya kita memastikan kebenaran khabar berita yang sampai kepada kita jika ia melibatkan seseorang individu atau kumpulan Muslim. Kita tidak boleh gopoh mengiakan berita tersebut melainkan setelah memastikan kesahihannya.  Kemudian ALLAH memerintahkan supaya kita menghentikan pertelingkahan dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan pihak yang bertelagah dalam kalangan umat Islam khususnya jika ia membabitkan pertelingkahan bersenjata. Ini bagi mengelakkan sebarang pertumpahan darah nyawa yang tidak berdosa.

Larangan ALLAH

ALLAH juga melarang seseorang Muslim itu dihina dan diperlekehkan kedudukannya. Kedudukan seseorang Muslim adalah tinggi di sisi ALLAH. Perbuatan ejek-mengejek jelas akan menimbulkan rasa tidak senang sesama saudara seislam. Apa jaminan yang kita ada, barangkali orang yang kita hina adalah lebih mulia berbanding kita di sisi ALLAH.

Firman ALLAH: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) barangkali puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) barangkali puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka." (Surah Al-Hujuraat: 11)

Perbuatan menghina dan memperlekehkan hanya lahir daripada hati yang penuh dengan sifat-sifat tercela. Kerana itu, sabda Nabi SAW: "Cukuplah kejahatan seseorang itu untuk dia menghina saudara Muslimnya." (Riwayat Muslim)

Kemudian ALLAH menegah aib kesalahan dan kelemahan seseorang Muslim dicari dan dibongkar di hadapan khalayak. Memberi gelaran atau nama yang tidak baik juga ditegah kerana perbuatan sedemikian jelas akan menimbulkan permusuhan dan menyebabkan pihak yang digelar membalas hal yang serupa. Akhirnya orang yang memulakannya dikira telah menyakiti saudaranya dan menyakiti dirinya sendiri.

Firman ALLAH: "Dan janganlah kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk." (Surah Al-Hujuraat: 11)

Bahkan perbuatan sedemikian adalah satu kefasikan dan kezaliman jika orangnya tidak bertaubat.

Firman ALLAH: "(Larangan tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruk sebutan nama fasik sesudah dia beriman; dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Hujuraat: 11)

Bersangka buruk sesama Muslim juga dilarang selagi mana tiada bukti. Kerana asal seseorang Muslim itu adalah baik dan bebas daripada apa jua keburukan. Perbuatan bersangka buruk juga akan menyebabkan orang-orang Islam berjauhan sesama mereka di samping menimbulkan kebencian dan permusuhan. Hal ini semua bertentangan dengan asas persaudaraan sesama Muslim.

Makan daging saudara

Perbuatan mengumpat atau menyebut satu perkara benar tetapi tidak disukai oleh orangnya juga dilarang. ALLAH menyamakan perbuatan mengumpat dengan memakan daging orang yang diumpat itu sesudah dia mati. Perkara ini tentu sangat menjijikkan. Tetapi itulah perumpamaannya. Orang yang mengumpat perihal saudara Muslimnya dikira telah memakan daging saudaranya itu setelah dia mati.

Firman ALLAH: "Janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Hal demikian sudah tentu kamu jijik kepada-Nya." (Surah Al-Hujuraat: 12)

Mafhumnya, jika kamu jijik memakan daging saudara Muslim kamu sesudah dia mati, bagaimana pula kamu boleh memakan dagingnya sedang dia masih hidup?

Demikianlah sebahagian apa yang digariskan oleh ALLAH mengenai perkara yang perlu dijaga dalam perhubungan sesama Muslim. Ini bagi menjamin kekuatan umat Islam serta keharmonian antara mereka.

Fitnah runtuhkan ummah

FIRMAN ALLAH: "Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak dingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan," (Surah Al-Hujurat: 6)

Ayat di atas jelas menerangkan, wajib setiap Muslim menghalusi segala berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita yang diterima, terlebih dahulu perlu dipastikan kebenarannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting untuk digunakan bagi memastikan tidak mudah terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Dibenci Islam

Budaya menabur fitnah, menyebarkannya dan berkongsi (istilah moden hari ini disebut share dan like) adalah sesuatu yang keji dan dibenci Islam sehingga dikategorikan sebagai dosa besar dalam Islam.

Fitnah bermaksud tuduhan yang diada-adakan sama ada berbentuk gambar, berita dan sebagainya yang boleh memburukkan atau memusnahkan seseorang individu, sesebuah institusi atau kumpulan dan seumpamanya.

Dalam era serba moden dan canggih dengan pelbagai teknologi ini, penyebaran fitnah mudah berlaku sama ada melalui ucapan, khidmat pesanan ringkas (SMS), emel, laman sosial Facebook, laman sesawang seperti blog, aplikasi WhatsApp, Instagram dan pelbagai lagi.

Penyebaran berita berunsur fitnah pastinya berlaku dengan cepat, meluas dan mudah diperoleh tanpa sebarang sikap waspada untuk menyelidiki maklumat yang diterima. Maklumat itu pula tanpa sebarang tapisan dan langsung tidak teragak-agak disampaikan kepada individu atau komuniti yang lain.

Sikap ini ditegah Islam kerana Islam menganjurkan umatnya agar setiap berita yang sampai, terutamanya melalui orang yang digolongkan sebagai fasik (mereka yang tidak pedulikan perintah ALLAH) sepatutnya diselidiki terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada yang lain.

Sikap buruk

Menabur fitnah dengan mengumpat dan sebagainya berlaku, sama ada disedari atau tidak, termasuk dalam sikap buruk apabila seseorang menyebut atau menceritakan keburukan seseorang tanpa menyiasat terlebih dahulu. Penyebar berita biasanya "dengar khabar", "khabar angin" atau "viral". Bagaimanapun, apabila berita tersebut disampaikan daripada seorang kepada seorang, berulang kali diulang, maklumat yang belum sahih itu seolah-olah sudah menjadi fakta dan berita benar.

Ancaman masyarakat

Kenapa fitnah dianggap keji dan ia diancam ALLAH dan ia adalah dosa? Antara ancaman, dosa fitnah dan penabur fitnah yang disebutkan oleh al-Quran dan as-Sunnah ialah:-

1. Penabur fitnah yang tidak dapat membawa saksi atas segala dakwaan mereka (fitnah), ALLAH perintahkan supaya dihukum dengan 80 sebatan. Berkenaan perihal hukuman ada dijelaskan dalam Surah An-Nur ayat 4.

2. Penabur fitnah dan pengumpat disifatkan sebagai sekeji-keji manusia. Hadis daripada Abdul Rahman Bin Ghanmin, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melagak-lagakan antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah." (Riwayat Ahmad)

3. Menabur fitnah dan mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudaranya sendiri. Sesungguhnya manusia yang waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

4. Penabur fitnah dan pengumpat diseksa di dalam kubur.


Sikap batu api memecah-belahkan keharmonian.

Selain ancaman, dosa fitnah dan penabur fitnah sebagaimana yang disebutkan syarak, fitnah juga turut membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat. Antaranya:

Dosa pembuat dan penyebar fitnah disifatkan sebagai dosa sesama manusia. Dosa ini tidak akan diampunkan kecuali orang yang difitnah memaafkan perbuatan tersebut.

Fitnah memecah-belah rumah tangga dan merosakkan masyarakat. Kerana fitnah, hubungan adik-beradik, suami isteri, jiran tetangga hancur dan membawa kepada permusuhan yang berkekalan. Bahkan perbuatan menyebar fitnah diumpamakan sebagai api yang marak membakar tanah gambut kerana ia cepat merebak sehingga akhirnya menjadi jerebu yang menyakitkan ramai serta merugikan negara.

Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Sikap sebegini bertujuan menonjolkan diri dan anggap dirinya lebih baik atau lebih layak berbanding orang yang diburukkan.

Budaya menabur fitnah boleh mengganggu gugat kestabilan dan keamanan negara. Oleh itu, usah biarkan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling menjadi alat atau ejen pembuatan dan penyebar fitnah yang boleh menimbulkan huru-hara dan mengancam kestabilan sesebuah negara.

Fitnah boleh mengakibatkan jatuh nya maruah seseorang individu dan kumpulan, begitu juga ia boleh menyebabkan kerugian dari segi kewangan. Ini kerana saman malu boleh dibuat terhadap penyebar fitnah dan bakal mengakibatkan kerugian yang besar dari sudut kewangan, emosi dan sebagainya.

Pengajaran yang boleh diambil:-

1. Umat Islam dilarang membuat dan menyebarkan fitnah kerana ia adalah salah satu dosa besar yang dikutuk ALLAH dan Rasul-Nya.

2. Setiap individu Muslim wajib memperhalusi setiap berita yang diperoleh supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.

3. Umat Islam hendaklah menghindarkan diri daripada budaya menabur fitnah kerana ia adalah sikap keji dan bakal meruntuhkan keharmonian rumah tangga, merosakkan masyarakat dan menjejaskan kestabilan serta keamanan negara.

4. Umat Islam hendaklah sedar segala persengketaan dan kekeliruan tidak akan dapat diselesaikan melalui budaya menabur fitnah. Sebaliknya, hendaklah bersikap merendah diri, bertolak ansur, saling bermaafan atas apa jua kesilapan dan berlapang dada apabila menerima teguran.

Vape: Matlamat tidak menghalalkan cara, Mudarat telan asap

AMARAN Kerajaan Malaysia: "Merokok membahayakan kesihatan". Ungkapan itu terpampang dengan megahnya berserta gambar janin dan imej jantung yang rosak dipenuhi tar hitam pekat. Sekali toleh rasa menakutkan, tapi pastinya si perokok tegar berkali-kali pandang, mereka sudah kalih, malah apabila ditanya tidak takutkah bahaya mendatang?

Jawab mereka mudah, tidak senang dan tenteram badan ini jika bibir tidak menyentuh rokok.

Tiga tahun kebelakangan ini, Malaysia mula meriah dengan penggunaan rokok elektronik atau vape. Perihal isu vape menjadi perbualan ramai dan dikupas ramai pakar dan agamawan. Ada yang mengatakan menghisap vape kesannya tidaklah seperti merokok, namun ada juga berpandangan sebaliknya. Terfikir juga di benak ini, jika kesannya tidak seberapa kenapa Singapura, Brunei, Hong Kong dan Britain mengharamkan penggunaan vape?



Rokok dan vape memberi 'nikmat' kepada individu yang mahukannya. Walaupun kandungan asap wap vape berbeza dengan rokok . Tapi tetap menelan asap dan memberi kemudaratan kepada tubuh badan dan individu yang berada berdekatannya.

Risiko kepada persekitaran

Bagaimanapun, setakat ini masih tidak ada kajian khusus mengenai wap vape ini.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Pemulihan dan Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, Selangor, Dr Fazah Akhtar Hanapiah, kesan merokok kepada kesihatan manusia terlalu banyak untuk disebutkan. Banyak penyakit dihubungkaitkan dengan asap rokok yang mengandungi lebih dari 7,000 bahan kimia (di mana lebih dari 70 adalah penyebab barah).

"Merokok adalah penyebab barah seperti barah mulut, tekak, perut dan usus, paru-paru, hati, buah pinggang, pundi kencing, serviks dan leukimia. Penyakit penyakit kronik seperti angin ahmar (strok), jantung, saluran darah tersumbat, penyakit paru paru seperti jangkitan (pneumonia) dan asma, penyakit kencing manis (diabetes), masalah kemandulan dan kelamin, kandungan di luar rahim serta masalah penyakit kepada anak dalam kandungan, arthritis, tulang rapuh, fungsi sistem imun rendah untuk melawan penyakit dan pelbagai lagi, dibuktikan merokok adalah penyebab kepada berlakunya penyakit kronik.

"Sentimen yang mengatakan merokok adalah langkah awal untuk berjinak-jinak dengan dadah adalah tepat. Kajian menunjukkan apabila perokok itu mula merokok di alam remaja, mereka adalah 3 hingga 4 kali lebih berkemungkinan akan mengambil ganja dan kokain berbanding dengan mereka yang tidak merokok.

Remaja yang merokok lebih dari 15 batang rokok sehari adalah lebih berisiko untuk terjebak dengan najis dadah.

"Perokok pasif lebih berisiko untuk mendapat penyakit berbanding perokok kerana asap yang terhasil dari tembakau itu sendiri mengandungi kimia-kimia yang toksik di mana konsentrasinya lebih tinggi dari asap yang dihisap oleh si perokok.

Asap yang terhasil dari pembakaran tembakau atau rokok ini dipanggil asap sidestream, berbanding dengan asap yang dihisap oleh si perokok dipanggil asap mainstream," katanya.

Menurut Dr Fazah lagi, seorang yang duduk berdekatan dengan perokok digelar perokok pasif.

Perokok pasif akan menghidu dan bernafas asap 'sidestream' dan asap 'mainstream' yang dihembus oleh si perokok. Asap ini tidak tertapis oleh penapis rokok dan bahan kimia toksik akan terus masuk ke sistem pernafasan individu tersebut.

Kanak kanak dan wanita hamil berisiko tinggi jika terdedah sebagai perokok pasif. Asap rokok pasif disahkan penyebab kematian mengejut bayi sudden infant death syndrome, penyakit paru paru seperti asma dan jangkitan paru paru, penyakit telinga, kecacatan kongenital (anak dalam kandungan), tumbesaran boleh terjejas, serta semua penyakit yang berkaitan dengan perokok aktif.

Kajian juga membuktikan tiada paras asap sidestream yang selamat bagi seorang perokok pasif.


PAKAR Perunding Perubatan Pemulihan dan Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, Selangor, Dr Fazah menjelaskan, dalam ramainya individu ketagih merokok ada juga golongan perokok tegar ini berinisiatif mengurangkan ketagihan merokok dan jika seseorang itu tekad dan berniat untuk berhenti merokok, ia boleh dilakukan.

"Pelbagai agensi kerajaan sedia untuk bantu individu yang ingin berhenti. Ketagihan ini berlaku akibat nikotin, sejenis dadah dalam tembakau. Ketagihan ini juga akibat tingkah laku berkaitan dengan aksi merokok.

"Pendekatan yang boleh diambil oleh individu yang ingin berhenti merokok adalah untuk menyertai program berhenti merokok, mendapat sokongan keluarga dan rakan, menjauhi diri dari tempat serta kawan yang merokok, gantikan tabiat merokok dengan aktiviti seperti senaman dan rekreasi, atau mengunyah kudapan yang berkhasiat sewaktu datangnya ketagihan," jelasnya lagi.

Menurutnya, tempat kerja, sekolah, institusi dan semua tempat awam seharusnya bebas dari tembakau. Inisiatif pengisytiharan kampus bebas tembakau yang telah dilaksanakan oleh Fakulti Perubatan dan Pergigian UiTM harus dicontohi.


Wap vape juga mempunyai nikotin.

Sangat membazir

Keputusan Majlis Fatwa kebangsaan yang mengharamkan penggunaan vape pada Ogos lalu mengundang rasa kurang senang banyak pihak.

Dalam satu laporan di akhbar, terdapat kes yang berlaku di luar negara menunjukkan ada pengguna vape mencampurkan dadah dalam cecair vape. Caranya adalah dengan melarutkan dadah seperti syabu, marijuana dan lain-lain dadah yang boleh larut ke dalam air. Kemudian dadah ini dimasukkan dalam botol vape dan dihisap.

Menurut pendakwah, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi, apa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa kebangsaan adalah fatwa dan mana-mana pihak tidak perlu berhujah, kerana apa yang diputuskan itu adalah untuk kesejahteraan bersama.

"Dan sebagai seorang Islam, kita patut mematuhinya sekalipun permasalahan vape atau rokok tidak berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW, namun perkara tersebut telah dikiaskan secara jelas melalui keputusan fatwa kebangsaan dan juga fatwa negeri berkaitan pengharaman rokok dan juga vape. Tambahan pula, penggunaan vape dan rokok turut dikaitkan dengan masalah pembaziran, kemudaratan dan akhlak si pelaku.

"Harga rokok naik lagi bermula 4 November lalu. Pek 20 batang bagi jenama premium seperti Dunhill, Kent dan Benson & Hedges, sekarang berharga RM17. Sangat membazir. Ada pula yang ingin membeli rokok sanggup bergaduh suami isteri, bertikam lidah adik beradik sehingga bunuh membunuh. Perkara yang saya sebutkan itu ada berlaku cumanya kita tidak sedar.

"Pembaziran yang berlaku bukan dari sudut duit semata-mata, bahkan masa juga terbuang begitu sahaja, bayangkan sekumpulan anak muda duduk melepak dengan berbual kosong menanti rokok habis disedut. Bukan sekadar masa, tenaga juga termasuk dalam aspek pembaziran ini. Kita bekerja bermati-matian dengan menggunakan banyaknya tenaga, akhirnya kita 'membakar' duit yang diperoleh daripada hasil kerja tadi untuk membeli barangan yang langsung tidak mendatangkan kebaikan," kata anak kelahiran Kelantan ini dengan panjang lebar.

Apabila majlis fatwa dan ulama menghukumkan mengenai isu rokok dan vape, sebagai seorang Muslim kita mestilah menjadi orang yang patuh kepada apa disebut ulama. Yang mana apa yang mereka bicarakan itu adalah semua yang dibicarakan oleh Nabi SAW kerana ulama itu adalah pewaris Nabi SAW walaupun apa yang dibincangkan pada hari ini barangkali tidak pernah berlaku pada zaman Nabi SAW,  janganlah kita menjadikan matlamat menghalalkan apa jua cara.

Menurutnya, maksud matlamat tidak menghalalkan cara dalam kaedah fikah disebut  Al Ghoyah la Tubihu Al- Mahzhurah (matlamat tidak mengharuskan kita untuk berbuat perkara yang dilarang atau diharamkan).

Contoh dalam kes orang yang merokok, apabila seseorang itu ingin berhenti daripada merokok maka dia mulakan dengan menghisap vape. Barangkali harga lebih murah berbanding harga rokok dan vape dilihat sebagai  salah satu solusi atau cara seseorang itu berhenti merokok tetapi cara tersebut adalah dilarang agama. Justeru cara yang salah bukan bererti diharuskan untuk melakukan perkara atau matlamat yang baik iaitu untuk berhenti daripada merokok atau seumpamanya.