November 17th, 2015

Dosa halimunan media sosial, Elak jadikan telefon pintar lubuk dosa

“NANTI jika saya mengamuk atau naik minyak di jalan raya seperti manusia hilang akal, saya minta jasa baik awak ambil gambar atau video saya itu kemudian sebarkan dalam media sosial. Saya rela demi pengajaran untuk orang lain walaupun saya dimalukan!

“Selepas ini jika anak atau isteri saya mati dalam kemalangan ngeri, saya minta jasa baik awak sebarkan gambarnya untuk pengajaran kepada orang lain. Saya rela!

“Nanti bila tiba malam Jumaat minta jasa baik awak ambil gambar ibu atau isteri saya dan ciptakan lawak lucah malam Jumaat untuk gurauan. Apa salahnya menjadikan gambar isteri atau ibu sendiri sebagai bahan jenaka kerana jenaka adalah ubat terbaik untuk mengubat tekanan perasaan.”

Jika ada manusia yang sanggup menyebut dialog di atas, itu tanda maruahnya sudah hilang atau akalnya perlu segera dirawat pakar sakit jiwa.

Jika semua manusia Muslim yang asyik tenggelam dengan penggunaan media sosial sedar tentang maruah orang lain seperti maruahnya sendiri, sudah pasti telefon pintar kita tidak lagi menjadi lubuk dosa tanpa sedar. Jika kita tak mahu diri diaibkan atau ditelanjangkan di khalayak umum, maka usahlah galak berkongsi aib orang lain atas nama tazkirah media sosial.

Itulah tanda kesempurnaan iman. Bukan saya memandai kata, tetapi ia pesanan wakil Allah: ”Tidak sempurna iman kamu sehinggalah kamu suka sesuatu kepada saudara kamu sama seperti apa yang kamu suka untuk diri kamu sendiri,” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Banyak sekali dosa media sosial yang tidak kita sedari seperti kesilapan menyebar berita tidak pasti, menyebar gambar aib orang lain, mengumpat dan mengejek di alam maya, berjenaka dengan sebaran poster lucah malam Jumaat sehingga entah gambar ibu, anak dara atau isteri sesiapa sahaja menjadi mangsa sebaran, menyebar hadis palsu, memutuskan silaturahim dan banyak lagi.

Dosa media sosial tampaknya sudah menjadi seperti ombak api yang rakus menyambar siapa sahaja tanpa terkecuali. Gejolak ini diapikan oleh iblis dan syaitan yang sudah lama bersumpah untuk merosakkan manusia: “Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus; “Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur,” (al-A’raf[7:16-17]).

“Sesungguhnya singgahsana (pusat pemerintahan) iblis berada di atas laut, maka dia mengutus pasukan tenteranya yang memfitnah (merosakkan) manusia, syaitan yang paling dekat kedudukan dengannya adalah yang paling banyak kejahatannya,” - Riwayat Muslim.

CARA MENYELAMATKAN DIRI

1 Menambah ilmu agama kerana akal semata-mata tidak dapat memahami suruhan dan larangan Allah. Bagi si jahil, tindakannya masih remeh sedang bagi si alim, ia seperti sebuah bukit yang hampir menimpa kepala. Benarlah firman Allah: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu,” (Fatir[35:28])

2Menyelidik sebarang berita sebelum disebar. Ikutlah pesanan Allah ini, kita pasti terselamat: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan,” (al-Hujurat[49:6]).

3Berbaik sangka sebelum membuat persepsi buruk atas berita yang diterima: “Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri mereka sendiri dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata,” (al-Nur[24:12]).

4Jika sesuatu berita adalah keaiban orang lain, jangan sekali-kali disebar walau atas alasan pengajaran: “Sesiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat. Sesiapa yang mendedahkan aib saudara Muslimnya, Allah akan mendedahkan aibnya sehingga dia akan terhina di rumahnya sendiri,” - Riwayat Ibn Majah.

5Jika tiada keperluan mendesak melaporkan sesuatu berita, usahlah menjadi wartawan dosa yang kononnya mahu menjadi orang pertama melaporkannya. Bukan royalti berita yang diperoleh tetapi bonus dosa. “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah disakiti jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dimuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah berkata baik atau diam sahaja,” Riwayat Bukhari dan Muslim.

6Taubat segera daripada kegilaan lampau berkongsi tanpa melihat batas agama dan jangan sesekali diulangi dosa tersebut: “Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah daripada mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan”. Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang yang beriman,” (al-Nur [24:16-17]).

7Gunakan tangan pinjaman Allah sebaik-baiknya dengan menaip atau berkongsi yang indah, benar dan sahih sahaja. Jangan jadikan tangan itu “cangkul” yang menggali lubang neraka dengan lebih dalam: “(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya,” (al-Anfal[8:51]). - Utusan Malaysia Rencana 17 November 2015

Rezeki berkat sentiasa cukup walaupun sedikit

Sumber rezeki bagi setiap orang bukan terbatas dalam bentuk wang ringgit, material atau harta benda semata-mata, tetapi rezeki juga meliputi kelapangan waktu untuk membuat kebaikan dan amal ibadah kepada Allah SWT, kesihatan yang baik, hati yang tenang dan lapang, idea bernas dan bermanfaat, hatta kehidupan yang bahagia sekalipun.

Rezeki yang paling baik adalah rezeki yang dipenuhi dengan berkat iaitu rezeki yang walaupun sedikit tetapi mencukupi, manakala rezeki yang tidak baik adalah rezeki yang diperoleh dengan banyak, tetapi tidak mendatangkan manfaat, tidak pernah cukup dan tidak berkat.

Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir dalam rancangan Tarbiah berkata, seseorang Mukmin yang mencari rezeki di atas muka bumi Allah SWT ini perlu meletakkan iltizam di dalam hati iaitu mencari rezeki bukan untuk mendapat kesenangan hidup semata-mata, tetapi mesti meletakkan keutamaan untuk mendapatkan rezeki yang halal dan berkat.

Dalam usaha untuk mendapat rezeki yang halal dan berkat, seseorang Muslim mestilah menuruti adab agama sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhamad SAW yang kemudiannya dituruti oleh sahabat serta alim ulama.

Oleh itu, terdapat beberapa adab dan syarat bagi seseorang Mukmin untuk mendapat rezeki yang baik dan berkat agar dengan rezeki yang baik itu memberi keberkatan dalam kehidupan dan seterusnya menjadikan seseorang manusia itu hidup dalam keadaan tenang, lapang dan bahagia, bahkan apabila bertemu Allah SWT di akhirat nanti dalam keadaan yang penuh kegembiraan.

Menurut Mohd Nazrul, terdapat beberapa adab perlakuan yang menjadi syarat untuk umat Islam amalkan dalam mencari rezeki yang berkat. Perkara ini juga disebut oleh ulama tersohor iaitu Imam Abdul Wahab al-Sya'rani dalam kitab karangan beliau yang bertajuk Lawaqih al-Anwar.

Kitab ini menerangkan tentang adab bagi orang yang bekerja mencari rezeki dan bekerja itu sebagai satu ibadah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Pertama, seseorang yang mencari rezeki hendaklah memasang niat untuk bekerja kerana Allah SWT dan membantu umat Nabi Muhammad SAW. Justeru, apabila seseorang Mukmin membetulkan niatnya mencari rezeki kerana Allah SWT, mereka akan melakukan pekerjaan yang halal, jujur dan ikhlas tanpa mempertikaikan jumlah rezeki yang diperoleh.

Setiap manusia dalam dunia ini mempunyai bentuk rezeki yang berbeza. Ada yang mendapat rezeki dalam bentuk material seperti kenaikan pangkat atau jumlah pendapatan yang banyak. Terdapat juga mereka yang gajinya tidak besar tetapi kesihatannya sentiasa baik, anak yang pintar dan sebagainya.

Niat kerja sebagai ibadah

Justeru, niat bekerja sebagai satu ibadah yang dilakukan kerana Allah SWT akan membetulkan hati manusia untuk melihat rezeki yang diperoleh itu adalah kurniaan Allah SWT semata-mata, bukan dari manusia.

Begitu juga niat bekerja mencari rezeki untuk membantu umat Islam yang lain akan meluruskan hati seseorang Mukmin untuk ikhlas dalam pekerjaannya lalu berbuat baik dengan rakan sekerja.

Niat yang baik ini akan mengikis sebarang akhlak buruk seperti dengki, khianat, busuk hati terhadap rakan sekerja kerana niat yang baik akan meluruskan setiap perbuatan dan perlakuan seseorang Mukmin.

Katanya, Nabi Muhammad SAW sering mengingatkan sahabat untuk bekerja dengan niat kerana Allah SWT. Orang yang berniat kerana Allah SWT umpama juga melaksanakan perbuatan di jalan Allah SWT (fisabilillah).

Dalam satu hadis Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Ka'ab bin Ujrah, ketika melihat seorang lelaki sedang gigih bekerja, sahabat berkata: "Ya Rasulullah, kalaulah lelaki ini bekerja kuat dan gigih untuk fisabilillah."

Lalu Nabi Muhammad SAW membetulkan sudut pandang sahabat bahawa apa yang dilakukan oleh lelaki itu yang bekerja dengan bersungguh-sungguh itu juga adalah bekerja di jalan Allah SWT.

Sabda Baginda Rasulullah SAW lagi: "Jika seseorang manusia yang bekerja untuk menyara ibu bapanya, bekerja untuk menyara dirinya daripada meminta sedekah, bekerja untuk mencari rezeki yang halal, pekerjaan seseorang itu umpama fisabilillah.

Namun, jika manusia itu bekerja untuk riak, untuk mendapat pandangan manusia, untuk berlaku tidak adil sesama manusia, seseorang itu telah melaksanakan pekerjaan yang menuruti perbuatan syaitan."

Oleh itu, umat Islam harus sedar bahawa bekerja dengan niat yang betul, akhlak dan perbuatan yang baik adalah tempat jatuh pandangan Allah SWT kepada seseorang Mukmin yang pastinya tidak saja mendapat pendapatan yang berkat tetapi ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Amalan bangun awal pagi

Mohd Nazrul berkata, untuk mendapat rezeki yang berkat seseorang Mukmin juga mesti membiasakan diri dengan amalan bangun pada awal pagi.

Nabi Muhammad SAW berdoa agar Allah SWT memberkati umatnya yang bangun pada awal pagi.

Justeru, menjalani kehidupan di awal pagi bukan bertujuan untuk mengejar kekayaan dunia, tetapi untuk mendapat keberkatan doa Baginda SAW dan kerana taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Ulama dan sahabat memulakan hari mereka seawal pagi untuk merebut doa Rasulullah SAW dan seterusnya mendapat kehidupan yang berkat. Bagi sesetengah ulama yang menjalankan perniagaan, pada siang hari mereka gigih mencari rezeki dan apabila menjelang malam, mereka menghabiskan waktu untuk beribadat kepada Allah SWT.

Hakikat yang perlu difahami oleh umat Islam adalah rezeki yang sedikit tetapi berkat dan mencukupi adalah jauh lebih baik dari rezeki yang melimpah ruah, tetapi sering kehabisan dan tidak mendatangkan kebaikan.

Begitu juga bentuk pekerjaan dan di manapun tempat bekerja, ia adalah tempat jatuhnya pandangan Allah kepada setiap hambanya.

Oleh itu, jalanilah pekerjaan dengan amanah dan sebaik mungkin untuk mendapat kehidupan yang berkat dan ganjaran syurga Allah di akhirat kelak.